Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 Jun 2009

MEMBACA & MEMAHAMI AL-QURAN


Sabda Rasulullah SAW: "Orang-orang yang mahir membaca Al-Quran adalah orang-orang yang sentiasa ditemani oleh malaikat yang mulia lagi berbakti." (HR Bukhari/Muslim) Hadis ini bermaksud bahawa orang-orang yang mahir membaca Al-Quran sentiasa ditemani para malaikat dan dicintai oleh mereka.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW telah bersabda bahawa memang ada malaikat ditugaskan menjaga kita. Jadi, antara kaedah untuk kita berdamping dengan para malaikat ialah dengan memahirkan diri membaca Quran serta memahami kandungannya.

Tapi bagaimana pula dengan orang yang tidak mahir membaca Al-Quran? Usia sudah lanjut baru ada kesedaran untuk mendalami ilmu membaca dan memahami Al-Quran. Berkenaan orang-orang yang kurang mahir membaca Al-Quran, Rasulullah SAW bersabda: "Dan orang yang membaca al-Quran tetapi sulit/payah hingga merangkak-rangkak, dia mendapat 2 pahala. Yang pertama, dia mendapat pahala kerana membaca Al-Quran. Dan yang keduanya ialah kerana walaupun sukar tapi dia tetap mencubanya."

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang belajar Al-Quran, kemudian mengajarkannya." (HR Muslim) Perlu diingat bahawa Al-Quran bukan hanya diturunkan kepada bangsa Arab, malah untuk semua bangsa di dunia. Oleh yang demikian selain tajwid, memahami kandungan Al-Quran walaupun dalam bahasa ibunda sendiri adalah amat penting dalam membentuk peribadi setiap Muslim kerana akhlak Rasulullah SAW sendiri adalah selari dengan Al-Quran.

Dari hadis Mushabih Sunnah, Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang yang dalam kehidupan sehariannya langsung tanpa Al-Quran (seperti tidak pernah mengamalkan kandungannya, tidak pernah membaca dan jauh sekali menghafal), maka dia seperti sebuah rumah yang usang." Cuba kita bayangkan memasuki rumah-rumah yang sudah lama ditinggalkan orang. Tentu sekali rumah sebegini tidak bernilai langsung bagi sesiapapun apatah lagi bagi Allah SWT sebagai pemilik seluruh alam. Inilah sebesar-besar kerugian bagi orang yang langsung tiada mengamalkan Al-Quran.

Nabi SAW juga bersabda: "Barang siapa yang membaca 1 huruf daripada Al-Quran, maka dia mendapat 1 kebaikan. Dan 1 kebaikan itu pula diganda menjadi 10." (HR Tirmidzi) Ini merupakan satu ganjaran istimewa yang diberikan oleh ALLAH SWT bagi orang-orang yang membaca Al-Quran. Namun, timbul satu persoalan, iaitu seelok-eloknya sebanyak manakah ayat yang patut dibaca? Seelok-eloknya ambillah kaedah yang telah ALLAH SWT firmankan di dalam Surah al-Muzzammil ayat 20 yang bermaksud: "...bacalah oleh mu apa yang kamu rasa senang dan mudah daripada Quran itu." Bukanlah jumlah banyaknya ayat yang penting. Tetapi yang penting sekali bagi setiap Muslim ialah istiqamah dengan membaca Al-Quran setiap hari sambil mencuba memahami kandungannya yang penuh hikmah.

Rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan membaca dan memahami kandungan Al-Quran kerana ia adalah ibadah yang tidak ada tolok bandingnya selain kitab yang memberi petunjuk ke jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.
.

Tiada ulasan: