Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


28 Februari 2009

SIKSAAN BAGI ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT


Sabda Nabi: "Sesungguhnya sembahyang 5 waktu itu seperti sungai yg mengalir ia di hadapan pintu seorang daripada kamu maka mandilah kamu tiap2 hari 5 kali sehari maka tanggallah dakinya pada tubuh mereka itu, demikianlah sembahyang yang sempurna itu yang membasuh segala dosanya barangsiapa memelihara air sembahyang dan waktunya dan rukuknya dan lainya iaitu pada hal diketahuinya bahawa sembahyang itu sebenar2 atasnya maka diharamkan oleh Allah tubuhnya daripada api neraka." Sabdanya lagi: "Apabila meninggal dia akan suatu fardhu maka malaikat akan mencatit namanya di pintu neraka."

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata ia adalah ku dengar sabda Rasullullah SAW: "Bermula orang yang meninggalkan sembahyang itu bahawasanya berkat ia tiada baginya pada Islam dan tidak diterima Allah tauhidnya dan imannya dan sedekahnya dan puasanya dan shahadahnya telah lepaslah Allah daripadanya dan tidak menoleh oleh Allah kepadanya dan baginya itu azab yang amat pedih di akhirat, melainkan taubat ia daripadanya".

Nabi juga bersabda: "Bermula sepuluh jenis daripada umatku disiksakan akan dia oleh Allah pada hari kiamat dan dimasukkan ke dalam neraka jahannam dan telah gugurlah daging mukanya itu." Maka sembah sahabat bertanya: "Siapa orang itu, ya Rasulullah?" Jawabnya: "Orang yang zina, Orang yang zalim, Orang yang minum arak, Orang yang derhaka pada ibu bapa, Orang yang mengumpat, Orang yang dusta, Orang yang tidak memberi zakat, Orang menginaya orang, Orang yang meninggalkan sembahyang, Orang mengadu domba melainkan maka bahawa ia taubat daripadanya. Adapun orang yang meninggalkan sembahyang itu berkali2 ganda seksanya. Maka didatangkan pada hari kiamat pada hal keadaan mengangkat kedua tangannya atas tengkuknya (dan) segala malaikat memulau mereka itu akan dia dan dibuka baginya pintu neraka jahannam dan masuklah ia seperti kilat maka gugurlah kepalanya dahulu bersama2 di dalam neraka yang terkebawah."

Petikan dari kitab 'TANBIHUL GHAFILIN' (Peringatan Bagi Orang-Orang Yang Lalai)
.

27 Februari 2009

UCAPAN KAMAL ATTATURK LAKNATULLAH...


Pada 20 Mei 1923, Mustaffa Kamal Attaturk laknatulLah telah memberi ucapan di hadapan ribuan tentera Turki dan kumpulan kaum-kaum sekular, munafiqin dan musyrikin, yang digerakkan oleh kaum freemason di bawah naungan Persepakatan Yahudi Dunia (Zionis) di hadapan Ayasofia dan dengan penuh samseng dan murtad Kamal Attaturk berkata:

“Wahai bangsa Turki mari kita ke depan melepaskan bunyi tembakan dan peluru kemenangan dan meruntuhkan dan memusnahkan segala kejahatan dan kezaliman Khalifah serta penipuan dan pembohongan yang diperlakukan oleh kumpulan manusia iblis yang menyamar sebagai ulamak, cerdik pandai, cendekiawan, dan penerus ajaran Muhammad dan kita lihat bagaimana ajaran ini yang dipanggil oleh mereka sebagai Islam adalah ajaran yang dipenuhi dengan tipu helah, tipu daya dengan melaungkan slogan-slogan yang entah dari mana bukti kesahihannya hanya semata-mata untuk membohongi kita agar kita takut kepada neraka dan kita semua terpedaya dengan janji syurga yang mungkin tidak pernah wujud. Namun kenapa kaum yang menyamar di sebalik janggut dan jubah, bacaan dalam bahasa Arab yang kita tidak fahami sepenuhnya, berkumpul di masjid menghabiskan masa, dan kemudian keluar menipu sedangkan mereka merampas harta dan hidup bermewah".

"Wahai kaum Turki, nah! Kami akan membawa kamu ke jalan baru di mana kita akan bebas dari koleksi kaum penipu ini dan sesungguhnya merekalah yang sekian lama berbuat jahat dan khianat, berbohong dan berdusta yang akan masuk neraka dan kita yang berkumpul hari ini untuk berjuang membinasakan mereka akan menuju ke syurga dan sudah pastinya syurga itu ada dalam ciptaan kita.”

(Terjemahan dari teks ucapan Kamal Attaturk yang disalin dalam bahasa Russia oleh Peter Ivanov, The Last Day of Islam Khalifa (terjemahan), Uzbekistan Library).
.

IMAM SYAFIE SEWAKTU KECIL


Semenjak kecil Imam Syafie r.a. telah menghafal al-Quran dan banyak dari Hadis Nabi SAW. Sekiranya beliau mendengar ada orang alim, maka beliau segera menemuinya untuk menimba ilmu pengetahuan. Ketika berusia masih kecil yaitu 14 tahun, beliau menceritakan hasratnya kepada ibunya yang sangat dikasihinya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu pengetahuan.

Pada mulanya ibunya keberatan untuk melepaskan Imam Syafie kerana beliaulah seorang yang menjadi harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kecintaan Imam Syafie kepada ibunya, maka mulanya beliau terpaksa membatalkan keinginannya itu, demi kasih sayangnya kepada ibunya itu. Meskipun demikian akhirnya ibunya mengizinkan Imam Syafie untuk memenuhi hajatnya untuk menambah ilmu pengetahuan.

Sebelum melepaskan Imam Syafie berangkat, ibunya mendoakannya: "Ya Allah, Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut ilmu pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah, permudahkanlah urusannya, peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat sepulangnya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu pengetahuan yang berguna, amien!"

Selesainya berdoa, ibunya memeluk Imam Syafie dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah. Sambil berkata: "Pergilah anakku! Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan di kemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahawa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan!". Selepas ibunya mendoakan Imam Syafie, beliau mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya. Sambil meninggalkan ibunda yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu, Imam Syafie melambaikan tangan mengucapkan salam selamat tinggal dan mengharapkan ibunya sentiasa mendoakannya kesejahteraan dan kejayaannya dalam menuntut ilmu pengetahuan yang berguna.

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Imam Syafie berangkat dengan tidak membawa wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu pengetahuan sambil bertawakkal kepada Allah SWT. Imam Syafie mengisahkan perpisahan dengan ibunya dengan mengatakan: "Sesekali aku menoleh ke belakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih tercegat di luar pekarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barkah, tanpa membawa sedikitpun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah SWT serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah, seru sekalian alam."
.

25 Februari 2009

KISAH NABI KHIDIR A.S.

Biarpun tidak disebut dalam al-Quran, Nabi Khidir AS menjadi sebutan umat Islam sejak zaman berzaman, malah ada juga yang percaya beliau masih hidup sehingga sekarang. Siapakah sebenarnya Nabi Khidir AS sehingga dianggap sedemikian rupa, sedangkan 25 orang Rasul yang dinyatakan Allah secara qatie (putus) di dalam Al-Quran semuanya telah wafat kecuali Nabi Isa AS. Kisah Nabi Khidir ada dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW.
.
Di dalam Al-Quran ada menceritakan pertemuan Nabi Musa AS dengan lelaki soleh yang disebut sebagai hamba-Nya yang diajarkan ilmu ladunni. Nabi Musa AS berguru beberapa ketika dengannya sebelum meneruskan dakwah baginda ke atas kaum Bani Israel. Lelaki itulah diyakini para ulama tafsir seperti Ibnu Abas, Ibnu Kathir dan Al-Tabari sebagai Nabi Khidir AS. Dalam bahasa Arab Khidir bermaksud hijau.
.
Berdasarkan dalil Al-Quran Nabi Khidir AS diwujudkan semasa zaman Nabi Musa AS, pada suatu ketika Nabi Musa berdakwah kepada kaumnya tentang ajaran Allah SWT, selesai Baginda berucap, bangkitlah seorang lelaki lalu bertanya: "Wahai Musa! Siapakah manusia yang paling pandai?" dengan pantas Nabi Musa AS menjawab: "Aku!". Lelaki itu bertanya lagi: "Adakah pernah engkau tahu, ada orang lebih berilmu daripada kau!". "Tidak!", jawab Nabi Musa AS. Tetapi jawapan Nabi Musa AS segera ditegur Allah SWT kerana ucapannya itu tercermin riak kesombongan. Lantas Allah SWT menurunkan wahyu menyatakan ada lagi seorang hambaNya yang lebih berilmu (Sahih Bukhari, Hadis ke 72).

Insaf dengan teguran Allah itu, bersama seorang pengikutnya, Yusya' Bin Nun, Nabi Musa AS bermusafir mencari lelaki soleh tersebut hingga menemuinya di satu tempat di mana bertemunya dua lautan. (QS Al-Kahfi:60-82). Dikatakan tempat itu ialah di pertemuan Teluk Suez dengan Teluk Akabah di lautan Merah. Ini kerana di situlah lokasi peredaran sejarah kehidupan Bani Israel yang dipanggil Daratan Sinai setelah mereka keluar dari bumi Mesir.

Sebagai Pesuruh Allah, Nabi Musa AS memiliki ketinggian ilmu sehingga baginda dapat menghadapi kezaliman dan keangkuhan Firaun, Haman dan Qarun. Malah Baginda juga berhadapan perbagai kerenah Bani Israel sehingga dikurniakan Mukjizat yang hebat seperti boleh membelah lautan, tongkat menjadi ular dan diturunkan makanan dari langit. Kata-kata Nabi Musa AS itu telah dicelah Allah SWT dan mengutuskan Nabi Khidir AS untuk menyedarkan Baginda bahawa masih terdapat hamba-Nya yang lebih berilmu.

Nabi Khidir AS adalah seorang yang soleh yang berperanan menyebarkan risalah Allah kepada orang disekitarnya. Tetapi Nabi Khidir AS tidak diutuskan seperti Nabi-Nabi lain yang bertaraf Rasul. Nabi Khidir AS ditugaskan membimbing Nabi Musa AS yang hidup dizamannya, sebagaimana kita sekarang wajib menyampaikan dakwah kepada orang lain disekeliling kita. Baginda tidak dikurniakan Mukjizat seperti Nabi Musa AS sebaliknya diajarkan ilmu secara Laduni. Hal ini turut dimiliki Para Wali Allah dan Alim Ulama yang dianugerahkan Allah Ilmu Makrifat serta Kasyaf. Golongan ini selalunya berhati-hati daripada mendabik dada dengan ilmu yang mereka miliki. Sifat warak dan merendah diri pada Baginda inilah yang diamalkan oleh Wali Allah sehingga orang ramai menyebut-nyebut namanya sampai ke hari ini.

Biarpun ada golongan Sufi mendakwa ada bertemu malah bersahabat dengan Nabi Khidir AS, tetapi sebenarnya yang wujud adalah semangat kewarakan Baginda, seperti Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, namanya sentiasa disebut-sebut walaupun telah wafat ribuan tahun yang lampau. Begitu juga orang yang mati syahid seperti para Sahabat Rasulullah, Al-Quran sendiri menyebut mereka ini tidak mati walaupun hakikatnya jasad mereka telah disemadikan.

Oleh itu marilah kita ambil jalan tengah. Setiap manusia itu pasti mati, begitu juga Nabi Khidir AS. Memikirkan sama ada Nabi Khidir AS masih hidup atau tidak adalah lebih baik kita menanamkan sifat Nabi Khidir AS dalam diri kita. Ini kerana bukan saja Nabi Musa AS mesti mencari Nabi Khidir AS untuk menambah ilmu malah sesiapa saja perlu mencari Nabi Khidir AS. Orang yang mempunyai watak seperti Nabi Khidir AS memang sukar ditemui. Namun kita sering ditemui orang alim yang bertutur penuh hikmah dan kejernihan buah fikirannya dapat dijadikan pedoman hidup. Dipandang dari satu segi dikata wujud ramai Khidir dan dia tidak mati melainkan sentiasa silih berganti. Marilah kita amalkan semangat Nabi Khidir AS dalam menyebarkan ilmu tanpa sifat angkuh dan sombong. InsyaAllah!!.
.

NUR MUHAMMAD



Dalam kitab “Kashf al-Ghaibiyyah” (berdasarkan karangan asalnya “Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannah wa al-Nar” karangan Imam ‘Abd al-Rahim bin Ahmad al-Qadhi, dan kitab “Durar al-Hisan” karangan al-Suyuti, dan “Mashariq al-Anwar” oleh Shaikh Hasan al-‘Adawi antara lainnya), oleh Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani rh (Maktabah wa Matba’ah dar al-Ma’arif, Pulau Pinang, t.t.) Kitab ini dikarang oleh beliau pada tahun 1301 Hijrah. Pada halaman 3 dst. terdapat bab awal berkenaan dengan penciptaan roh teragung, (al-Ruh al-A’zam), iaitu nur Nabi kita Muhammad ‘alaihis-salatu was-salam. Kata beliau:

Sesungguhnya telah datang pada khabar oleh bahawasanya Allah taala telah menjadi ia akan satu pohon kayu baginya empat dahan, maka menamai akan dia Syajarat al-Muttaqin (Pokok Orang-orang yang bertaqwa), dan pada setengah riwayat Shajarah al-Yaqin (Pokok Keyakinan), kemudian telah menjadi ia akan Nur Muhammad di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seu(m)pama rupa burung merak dan dihantarkan ia akan dia atas demikian pohon kayu itu, maka mengucap tasbihlah oleh Nur itu atas pohon kayu itu kadar tujuh puluh ribu tahun, kemudian menjadi akan cermin kemaluan maka dihantarkan akan dia dengan berhadapannya; maka tatkala menilik oleh merak itu di dalam cermin itu melihat ia akan rupanya terlebih elok dan terlebih perhiasan kelakuan, maka malu ia daripada Allah taala, maka lalu berpeluh ia maka titik daripadanya enam titik, maka menjadi oleh Allah taala daripada titik yang pertama akan ruh Abu Bakar radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kedua itu akan ruh ‘Umar radiya’Llahu ‘anhu dan daripada titik yang ketiga itu akan ruh ‘Uthman radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang keempat itu akan ruh ‘Ali radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kelima itu akan pohon bunga mawar dan daripada titik yang keenam itu akan padi” (hal. 3).

Kemudian disebut bagaimana Nur Muhammad itu sujud lima kali, dengan itu, menjadi fardu sujud, lalu difardukan sembahyang yang lima waktu atas Muhammad dan ummatnya. Kemudian disebut Allah menilik kepada nur itu, lalu ia malu, berpeluh kerana malunya. Daripada peluh hidungnya, Allah jadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah jadikan ‘Arasy, Kursi, Lauh dan Qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang, dan barang-barang yang ada di langit. Daripada peluh dadanya dijadikan anbia, mursalin, ulama, syuhada dan solihin. Daripada peluh belakangnya dijadikan Bait al-Ma’mur, Ka’bah, Bait al-Maqdis, dan segala tempat masjid dalam dunia. (hal. 3-4).

Disebutkan beberapa kejadian lagi daripada peluhnya itu:

Daripada peluh dua kening: mukminin dan mukminat dari umat Muhammad;
Daripada peluh dua telinganya: arwah Yahudi dan Nasrani, dan Majusi, golongan mulhid, kafir yang engkar kebenaran, munafikin.
Daripada peluh dua kaki: segala bumi dari Timur dan Barat dan yang ada di dalamnya (hal. 4)

Kemudian Allah memerintah nur itu supaya memandang ke hadapan, di hadapannya ada nur, di kanan dan kirinya juga nur. Mereka itu ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, dan ‘Ali. Kemudian Nur itu mengucap tasbih selama tujuh puluh ribu tahun.

Kata pengarang: Dijadikan nur para anbia daripada Nur Muhammad s.a.w.; ertinya dijadikan arwah para anbia daripada peluh ruh Muhammad s.a.w., dan dijadikan segala ruh umat anbia itu daripada peluh arwah anbia mereka itu.

Kemudian diriwayatkan bahawa dijadikan oleh Allah kandil daripada akik yang merah, dilihat orang akan zahirnya itu daripada bahagian dalamnya, kemudian dijadikan rupa Muhammad seperti Baginda di dunia ini, kemudian diletakkan di dalam kandil tersebut, berdiri Baginda di dalamnya seperti berdirinya di dalam sembahyang; kemudian berkeliling roh segala anbia dan lainnya di sekeliling kandil nur Muhammad ‘alaihis-salam, mengucap tasbih dan mengucap tahlil mereka itu selama seratus ribu tahun; kemudian Allah menyuruh segala ruh itu menilik kepadanya; yang menilik kepada kepalanya menjadi khalifah dan sultan antara sekelian makhluk; yang menilik kepada dahinya menjadi amir yang adil; yang menilik kepada dua matanya menjadi hafiz kalam Allah; yang melihat dua keningnya menjadi tukang lukis; yang melihat kepada dua telinganya jadilah ia menuntut dengar dan menerima (pengajaran); yang melihat dua pipinya jadilah ia berbuat baik dan berakal; yang melihat dua bibir mulutnya menjadi orang-orang besar raja. Yang melihat hidung menjadi hakim dan tabib dan penjual bau-bauan. Yang melihat mulut menjadi orang puasa. Demikian seterusnya dengan melihat anggota tertentu, jadilah orang itu mempunyai sifat-sifat tertentu di dunia nanti. Misalnya yang melihat dadanya menjadi orang alim, mulia dan mujtahid. (hal. 5). Dan orang yang tidak menilik sesuatu kepadanya jadilah ia mengaku menjadi Tuhan seperti Fir’aun dan yang sepertinya. (hal. 5).

Beliau menyebut hadith qudsi ( كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق لاعرف )

"Adalah Aku perbendaharaan yang tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenal akan daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalnya akan daku." (hal. 6)

Kemudian beliau menyebut hadith Nabi s.a.w. أول ما خلق الله تعالى نورى وفى رواية روحى

Ertinya: "Yang awal-awal barang yang suatu dijadikan Allah taala itu nurku (dan pada suatu riwayat - ruhku)." Kata pengarang ini: Maka adalah sekelian alam ini dijadikan Allah subhanahu taala daripada sebab nur Muhammad s.a.w. seperti yang telah tersebut. Lalu ia menyebut pula hadith qudsi: خلقت الاشياء لاجلك وخلقتك لاجلى

Ertinya: "Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau itu kerana Aku, yakni dijadikan nur Muhammad itu dengan tiada wasitah suatu jua pun." (hal. 6)

Melalui kitab terkenal ini tersebar fahaman tentang konsep Nur Muhammad di kalangan Muslimin sebelah sini.

Dipetik dari: 'KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU DALAM KONTEKS WACANA SUNNI - SATU PENGAMATAN AWAL' OLEH: MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY (UEM)

LAPAR DAN KENYANG


Di dalam lapar terdapat 10 kebaikan dan di dalam kenyang terdapat 10 kemudaratan:

LAPAR: Menjernihkan hati, mencerdaskan otak dan menerangi penglihatan hati. KENYANG: Menyebabkan kebebalan, membuatkan hati buta.

LAPAR: Merasai kelazatan berzikir kerana hati lembut dan bercahaya. KENYANG: Zikirnya hanya di lidah dan hati tidak merasa apa-apa, hatinya tertutup daripada cahaya Allah SWT.

LAPAR: Menyebabkan hilang rasa angkuh dan ego. Di saat ini rasa kehambaannya pada Tuhan adalah memuncak, hatinya akan tenang. KENYANG: Tidak merasa kebesaran Allah, rasa ketuanan akan memenuhi hati.

LAPAR: Tidak melupai bala Allah SWT. Orang yang berakal cerdas akan mengingati bala di Akhirat apabila melihat bala di dunia. KENYANG: Menyebabkan seseorang itu lupakan kelaparan dan lupa bala Allah SWT.

LAPAR: Mematahkan hawa nafsu terhadap segala bentuk maksiat kerana lapar akan melemahkan nafsu. KENYANG: Mudah mengikut nafsu kerana kekenyangan adalah pintu kepada syaitan untuk masuk ke dalam hati manusia.

LAPAR: Kuranglah tidurnya dan mudah untuk bangun. KENYANG: Akan merasa mengantuk kerana gas yang dihasilkan oleh pencernaan makanan meruap ke otak . Otak kekurangan oksigen.

LAPAR: Mudah untuk mendapat khusyuk dalam ibadah kerana pintu godaan syaitan tertutup. KENYANG: Syaitan akan mengganggu ibadahnya menyebabkan ia tidak dapat menumpukan hatinya pada Allah SWT.

LAPAR: Terhindar daripada banyak jenis penyakit kerana kebanyakan penyakit berpunca daripada kandungan makanan yang dimakan. KENYANG: Mengundang pelbagai jenis penyakit seperti diebetis, darah tinggi dan lain-lain.

LAPAR: Menjimatkan perbelanjaan di kala kegawatan ekonomi kerana dapat mengurangkan perbelanjaan terhadap makanan. KENYANG: Sudah tentunya memerlukan perbelanjaan untuk mendapatkan makan bagi tujuan ini sedangkan negara menghadapi krisis ekonomi yang hebat.

LAPAR: Menyemai rasa kasih sayang pada insan lain terutama fakir miskin dan anak yatim. KENYANG: Tidak merasai kesusahan orang lain seterusnya menyebabkan hilang kasih sayang di hatinya.

Lapar merupakan tali yang mengikat nafsu. Ingatlah bahawasanya syaitan sentiasa berada dalam diri anak Adam dan berjalan melalui salur darah (arteri dan vena). Dan saluran itu akan disempitkan untuk syaitan dengan berlapar dan haus. Cubalah menahan diri daripada terlalu banyak makan dan minum dengan cara berpuasa. Bila berbuka pula, berpada-padalah. Berusahalah untuk membuktikan kasih dan sayang pada diri kita. Kasihilah akal, hati dan badan, agar anggota itu berfungsi dengan baik. Insya Allah, kita akan dapat memberi kasih sayang pada orang lain dan semoga NUR Allah akan menyinari hati kita.

Sabda Rasullullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam diri manusia mengikuti perjalanan darah. Oleh sebab itu, aku takut syaitan melontarkan sesuatu tuduhan atau satu kejahatan dalam hatimu". (HR Bukhari dan Muslim)
.

KECINTAAN MURNI KEPADA RASULULLAH S.A.W.


Sewaktu Perang Badar, seorang sahabat bernama Sawad datang memeluk Nabi SAW dan menangis bersungguh-sungguh. Melihat keadaan itu Nabi SAW bertanya kenapa dia berbuat demikian. Jawabnya: "Engkau lihat ya Rasulullah apa yang engkau nampak. Aku ingin sekali sebelum mengakhiri hayatku supaya kulitku bersentuh dengan kulitmu sebelum aku balik menemui Allah SWT."

Dalam Perang Uhud pula, menjelang akhir hayatnya, Saad ibnu Rabi' berkata kepada Zaid bin Thabit: "Sampaikan salamku kepada Rasulullah SAW. Katakanlah kepadanya sesungguhnya aku dapat menghidu bau syurga yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW."

Seorang wanita Ansar diberitahu mengenai kematian bapa, saudara lelaki serta suaminya dalam Perang Uhud. Apabila berita itu disampaikan kepadanya dia terus bertanya mengenai keadaan Rasulullah SAW. Sahabat memberitahu bahawa Rasulullah SAW dalam keadaan baik dengan katanya: "Alhamdulillah, sihat seperti yang kamu kehendaki." Kemudian wanita itu meminta untuk melihat Rasulullah SAW. Apabila melihat Rasulullah SAW, wanita itu berkata, "Segala musibah yang menimpa aku adalah kecil sedangkan yang besar adalah engkau, ya Rasulullah."

Bagaimanakah sifat itu lahir di dalam diri sahabat Rasulullah SAW? Sebenarnya mereka telah mengenal Rasulullah SAW dan mengetahui riwayat hidupnya sejak kecil hingga dewasa. Kemudian mereka mengikuti proses pendidikan di madrasah Rasulullah SAW. Dengan itu Allah SWT mencampakkan rasa kasih sedemikian rupa hingga memenuhi setiap sudut dan ruang di dalam hati mereka.
.

24 Februari 2009

AIR MATA NABI ADAM A.S.


Tahukah saudara semenjak Nabi Adam AS terkeluar dari syurga akibat tipu daya iblis laknatullah, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah SWT. Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun. Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip.

Dari air mata Nabi Adam itu Allah SWT tumbuhkan pohon kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau. Burung itu berkata: "Sedap sungguh air ini." Nabi Adam AS terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah SWT.

Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata taubatmu itu."
.

DOA KETIKA DITIMPA MUSIBAH


Musibah yang dialami oleh seorang mukmin, baik yang besar atau kecil, merupakan kifarat (balasan) Allah SWT atas dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Musibah tersebut adalah sebagai penghapus dosa-dosa selama ia tidak melakukan perbuatan syirik dan dosa besar lainnya sehingga ia akan menghadap Allah SWT dalam keadaan bersih dari dosa yang pada akhirnya akan dimasukkan syurga oleh Allah SWT. Apabila ia tidak melakukan kezaliman berupa kesyirikan, kezaliman terhadap sesamanya, atau kezaliman terhadap dirinya, maka ia akan mendapatkan rasa aman pada hari kiamat dan petunjuk di dunia dan akhirat. (Fathul Majid, tanpa tahqiq hal. 38).

Lalu bagaimana agar musibah yang menimpa seorang mukmin dapat menjadi penghapus dosa bahkan menjadi pahala dan menggantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik? Pertanyaan ini telah dijawab oleh Allah SWT dalam al-Quran: "Orang-orang yang apabila tertimpa musibah mereka mengatakan:"inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kami akan kembali kepada-Nya). Mereka itu mendapatkan salawat (pujian) dan rahmah. Merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS Al-Baqarah 156-157)

Nabi SAW juga memberikan petunjuk kepada kita apa yang harus diucapkan ketika kita tertimpa musibah, besar atau kecil, dengan mengucapkan kalimat istirja’. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah salah seorang kamu mengucapkan istirja’ dalam segala hal (musibah) meskipun yang terjadi pada tali sandalnya. Sebab yang demikian tergolong musibah." (Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan setelah melihat adanya penguat hadis ini berasal dari Ibnu Sunni dengan sanad lemah (Al-Kalimuth Thayyib, Ibnu Taimiyah, tahqiq Al-Albani, hal.81)

Ummu Salamah r.a. mengatakan bahawa ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang yang tertimpa musibah lalu ia berkata: 'inna lillahi wa inna ilaihi raji’un' dan berdoa: Allahuma jurnii fi musibatii wakhluf liya khairan minhaa (Ya Allah berilah aku pahala dalam musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik daripadanya). Niscaya Allah akan memberinya pahala kerana musibah itu dan menggantikan untuknya dengan yang lebih baik." (HR. Muslim 3/37-38).

Tatkala Abu Salamah (suaminya) meninggal, dia mengucapkan apa yang dikatakan Nabi SAW. Tak lama kemudian ia menjadi isteri Rasulullah SAW, suami baru yang lebih baik dari Abu Salamah. Siapa mangandaikan ia akan mendapat suami seperti Rasulullah SAW sementara ia sendiri pernah mengatakan: "Lelaki mana yang lebih baik daripada suamiku"? (Mukhtashar Syarah Shahih Muslim, hadith no. 918)

Oleh yang demikian, maka patutlah seorang mukmin tetap dalam keadaan sabar, istiqamah dan mengharap pahala serta ampunan Allah SWT dalam menghadapi segala macam musibah dan tidak sebaliknya dengan menampar-nampar pipi atau menyobek-nyobek saku baju, menjerit atau tindakan lain yang tidak selayaknya diperbuat oleh seorang mukmin.
.

23 Februari 2009

RIWAYAT RINGKAS IMAM AS-SYAFIE


Imam Syafie adalah seorang Ulama Fiqih (hukum Islam) yang terkenal dan mempunyai pengikut yang ramai di negara-negara yang ramai penduduk Islamnya terutama di Indonesia dan Malaysia. Beliau dilahirkan pada tahun 150H di Gaza.

Imam Syafie menghabiskan seluruh hidupnya untuk mengkaji hal-hal yang berkenaan Hukum Islam. Di samping itu beliau juga salah seorang ahli syair yang terkenal dengan syairnya yang indah dan berisi. Syairnya-syairnya ibarat untaian mutiara yang gemerlapan, penuh dengan ungkapan-ungkapan balaghah, hikmah,dan nasihat yang bernilai tinggi.

Imam Syafie pencinta ilmu pengetahuan semenjak beliau kecil lagi. Beliau biasa mengkhatamkan al-Quran sebanyak enam puluh kali, terutama dalam bulan Ramadhan, terutamanya dibaca ketika solat. Imam Syafie seorang yang suka bersedekah dari apapun harta yang dimilikinya.

Hidupnya sangat sederhana terutama dalam makan dan minum. Beliau tidak pernah makan kenyang semenjak usia enam belas tahun. Kerana kekenyangan akan menambah berat badan, mengeraskan hati, menumpulkan otak serta menjadikan kita mengantuk dan malas beribadah, demikian kata Imam Syafie.

Imam Syafie meninggal dunia selepas maghrib malam Jumaat, akhir bulan Rejab, dan jenazah beliau dikebumikan pada hari Jumaat, tahun 204 Hijriyah di Mesir.

Ramai ulama yang mengakui kejujuran, keadilan, kezuhudan, kewara'an dan akhlak yang mulia yang dimiliki oleh Imam Syafie. Selama hidupnya penuh dengan petunjuk dengan sifat taqwanya yang tinggi dan hidupnya jauh dari kesesatan dan kejahatan. Beliau jujur dalam hukum-hukumnya, berlandaskan kebenaran dan keadilan Allah SWT yang disanjung tinggi. Hukum-hukumnya ibarat bintang-bintang yang menghiasi angkasa raya.

Beliau suka merantau untuk menambah ilmu pengetahuan dan mengamalkannya untuk kepentingan Ummat. Untaian mutiara pesanan yang ditinggalnya sangatlah banyak, antaranya:

"Pergilah (merantaulah) dengan penuh keyakinan, niscaya akan engkau temui lima kegunaan, iaitu Ilmu Pengetahuan, Adab, pendapatan, menghilangkan kesedihan, mengagungkan jiwa dan persahabatan."

"Sungguh aku melihat air yang tergenang membawa bau yang tidak sedap. Jika ia terus mengalir maka air itu akan kelihatan bening dan sihat untuk diminum. Jika engkau biarkan air itu tergenang maka ia akan membusuk."

"Singa hutan dapat menerkam mangsanya, setelah ia meninggalkan sarangnya. Anak panah yang tajam tak akan mengenai sasarannya, jika tidak meninggalkan busurnya."

"Emas bagaikan debu, sebelum ditambang. Pohon cendana yang tertancap ditempatnya, tak ubah seumpama kayu bakar."

"Jika engkau tinggalkan tempat kelahiranmu, engkau akan menemui darjat yang mulia ditempat yang baru, dan engkau bagaikan emas sudah terangkat dari tempatnya."
.

KENDURI PERKAHWINAN YANG DIBERKATI...


Majlis perkahwinan boleh mendatangkan berkat apabila suasana yang mendatangkan keberkatan itu dijaga dengan baik. Antaranya:

1. Tiada percampuran antara lelaki dengan perempuan. Tetamu yang hadir hendaklah diasingkan supaya tidak berlaku percampuran. Contohnya majlis akad nikah dibuat di masjid atau di surau-surau.

2. Berkenduri jangan sampai membazir. Memadailah dengan apa yang termampu. Jangan hanya menjemput orang berada sedangkan fakir miskin dilupakan. Nabi SAW bersabda: "Sebusuk- busuk makanan ialah makanan perjamuan yang diundang orang kaya dan dibiarkan orang miskin".

3. Bagi pasangan pengantin yang selesai diijabkabulkan, mereka disunatkan melakukan sujud syukur dan sembahyang sunat dua rakaat.

4. Tuan rumah hendaklah memastikan tetamu yang hadir tidak meninggalkan solat hanya kerana menghadiri majlis kendurinya. Sediakan satu ruang untuk tetamu menunaikan solat.

5. Majlis yang penuh keberkatan ini jangan pula dicemari dengan perkara-perkara maksiat seperti tari-menari yang diiringi muzik kononnya untuk meraikan pengantin. Sebaik- baiknya meriahkanlah majlis perkahwinan itu dengan memuji kebesaran Allah SWT dan Rasulullah SAW seperti khatam al- Quran, berzanji, tahlil, marhaban, qasidah atau nasyid.
.

22 Februari 2009

KEWAJIPAN BERZAKAT


Mengeluarkan zakat adalah termasuk rukun Islam. Kewajipan berzakat bagi setiap Muslim hanya yang memiliki harta benda tertentu yang cukup syaratnya dan diberikan kepada orang yang tertentu mengikut ketentuan syarak, sebagai kaedah membersihkan diri serta menunaikan tanggungjawab dan amanah Allah SWT. Orang yang enggan mengeluarkan zakat sedang ia berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya, bererti ia telah mengingkari perintah Allah SWT, berdosa besar dan terkeluar dari landasan Islam serta akan mendapat azab Allah.

Menurut ulama, orang yang enggan mengeluarkan zakat akan mati dalam suul khotimah, iaitu dalam keadaan menyimpang dari agama. Ada riwayat mengatakan bahawa harta yang tidak dikeluarkan zakat akan berupa seekor ular besar, pada hari kiamat akan membelit leher pemilik harta itu.

Firman Allah SWT: "Janganlah orang- orang yang bakhil dengan barang-barang yang dikurniakan Allah kepadanya mengira bahawa bakhil itu lebih baik, bahkan kejahatan bagi mereka, nanti akan dikalungkan ke leher mereka barang- barang yang mereka bakhil itu pada hari kiamat." (QS Ali Imran:180)

Firman Allah SWT: "Orang- orang yang menyimpan emas dan perak dan tiada membelanjakannyapada jalan Allah, hendaklah beri peringatan dengan siksaan yang pedih." (QS At-Taubah:34)

Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga golongan pertama sekali masuk neraka ialah pemerintah yang angkuh, orang yang memiliki kekayaan tetapi tidak membayar hak Allah dari hartanya (zakat) dan orang miskin yang sombong." (HR Ibnu Hibban)
.

IMAM SYAFIE & GURUNYA, IMAM MALIK


Betapa gembiranya Imam Malik kerana mendapat seorang murid yang cerdas dan bijak seperti Imam Syafie. Imam Syafie semenjak kecil bukan saja telah menghafal seluruh isi Al-Quran dan ribuan hadis Nabi SAW, malah beliau juga telah menghafal seluruh isi kitab Hadis Muwatta' karangan Imam Malik bin Anas, sebelumnya Imam Syafie bertemu dengan Imam Malik.

Imam Syafie membahagikan malam kepada tiga bahagian iaitu sepertiga untuk Ilmu Pengetahuan, sepertiga untuk solat dan sepertiga untuk tidur. Rabi' menerangkan bahawa Imam Syafie setiap hari menamatkan al-Quran sekali, tetapi dalam bulan Ramadhan seluruhnya enam puluh kali, dan semuanya dibaca ketika menunaikan ibadah Solat.

Imam Syafie sendiri menerangkan bahawa beliau belum pernah bersumpah seumur hidupnya, baik ketika membenarkan sesuatu ataupun mendustakan sesuatu. Pernah di suatu ketika ada orang bertanyakan sesuatu masalah kepada beliau. Ketika itu Imam Syafie mendiamkan diri sejenak dan tidak langsung menjawabnya. Ketika beliau disoal mengapa berbuat demikian, maka Imam Syafie menjelaskan: "Aku menunggu terlebih dahulu, sehingga aku mengetahui, mana yang lebih baik aku diam ataupun menjawab pertanyaanmu." Ini menunjukkan bahawa Imam Syafi'i adalah orang yang sangat teliti dalam memberikan sesuatu fatwa, kepada seseorang yang bertanyakan sesuatu masalah.

Imam Syafie pernah mengatakan: "Pada suatu hari aku tidak punya wang sesenpun, sedangkan aku ingin benar menuntut ilmu. Lalu aku pergi bekerja di sebuah dewan untuk mendapat sedikit belanja". Ini menunjukkan bahawa Imam Syafie tidak berdiam diri ketika menemui kesulitan dalam kewangan, terutama ketika menuntut ilmu. Beliau bersedia bekerja apa saja yang halal, asalkan cita-citanya tercapai.

Imam Razali pernah menceritakan bahawa Imam Syafie juga adalah seorang tokoh penting dalam kehidupan Sufi. Ia seorang yang sangat bertaqwa, tidak ingin bermegah-megahan dalam hal apapun juga. Berkenaan ilmu Sufi, Imam Syafie berkata: "Saya ingin manusia itu mempelajari ilmu ini, tetapi janganlah menyebut-nyebut namaku, dengan sepatah kata juapun."

Diantara kata-kata yang bernilai sufi dari Imam Syafie ialah: "Orang yang zalim kepada dirinya ialah orang yang merendahkan dirinya kepada orang yang tidak memuliakannya dan orang yang menyukai sesuatu benda yang tidak memberi manfaat kepadanya, begitu juga orang yang menerima sesuatu pujian dari seseorang yang lain yang tidak mengenalnya, dengan sesungguh-sungguhnya. Orang yang tidak diutamakan kerana Taqwanya, tidaklah termasuk Orang Yang Utama. Siasat manusia lebih kejam daripada siasat binatang. Jikalau kuketahui bahawa ia dengan itu dapat mengurangi kehormatanku, meskipun aku haus, aku tidak akan meminumnya. Diantara tanda-tanda benar dalam Ukhuwah ialah menerima kritikan teman, menutupi aib teman, dan mengampuni kesalahannya." Demikianlah kata-kata Hikmah dari Imam Syafie r.a.
.

21 Februari 2009

RINTIHAN ROH...


Diriwayatkan: Jika roh telah keluar dari tubuh manusia dan telah lewat tiga hari, maka roh itu berkata: "Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku sehingga aku berjalan dan melihat tubuhku yang dahulu aku berada didalamnya." Maka Allah SWT memperkenankan kepadanya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat kepadanya dari jauh. Kedua lubang hidungnya dan mulutnya mengalir darah. Maka ia menangis dengan suatu tangisan yang cukup lama. Lalu ia merintih, "Aduuuh hai tubuhku yang miskin, wahai kekasihku. Ingatlah akan hari kehidupanmu. Rumah ini adalah rumah serigala, bala bencana, rumah yang sempit, rumah kesusahan dan penyesalan."

Selepas lima hari roh berkata: "Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku." Maka Allah SWT memperkenankannya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Dan mengalirlah kedua lubang hidung dan mulutnya berupa air nanah. Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul qudus) dan para malaikat berdiri dengan berbaris." (QS An-Naba:38)

Disebutkan dalam satu keterangan, bahawa yang dimaksudkan roh itu adalah rohnya anak Adam (manusia), dan keterangan yang lain mengatakan bahawa roh itu adalah rohnya malaikat Jibril AS. Juga ada keterangan yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya Nabi Muhammad SAW yang berada dibawah Arasy, ia minta izin dari Allah di malam Lailatul Qadar untuk turun memberikan salam penghormatan kepada seluruh mukminin dan mukminat dan roh itu berjalan melalui mereka. Ada pula yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya para kerabat yang sudah mati, mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, semoga Engkau memperkenankan kami untuk turun ke rumah-rumah kami, sehingga kami melihat anak-anak kami dan ahli-ahli kami." Maka roh-roh itu turun pada malam Lailatul Qadar.
.
Ibnu Abbas r.a. mengatakan: "Jika datang Hari Raya, hari Asyura, hari Jumaat yang pertama dari bulan Rajab, malam Nisfu Syaaban, Lailatul Qadar, dan malam Jumaat, roh-rohnya para mayat semua keluar dari kubur mereka dan mereka semua berdiri di pintu-pintu rumahnya seraya berkata: "Belas kasihanlah kamu semua kepada kami di malam yang berkah ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah. Jika kalian bakhil dengan sedekah, dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, maka hendaklah kalian mengingati kami dengan bacaan surah Al-Fatihah di malam yang penuh keberkahan ini. Adakah seorang telah belas kasihan kepada kami, apakah dari salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami wahai orang yang menempati rumah-rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita (isteri kami), wahai orang yang berdiri memperluas mahligai kami yang sekarang kami dalam kesempitan kubur kami, wahai orang yang membagi harta benda kami, wahai orang yang menyiakan anak yatim kami. Adakah salah seorang dari kamu sekalian ada yang mengenang perantauan kami? Buku amal kami dilipat dan kitab amal kalian dibuka. Dan bukanlah bagi mayat yang berada dalam liang kubur melainkan pahalanya. Maka janganlah kalian melupakan kami dengan sebuku rotimu dan doamu, sebab kami orang-orang yang berhajat kepada kamu sekalian, selama-lamanya." Jika mayat memperoleh sedekah dan doa dari mereka maka ia kembali dengan riang gembira, dan jika ia tidak memperoleh maka ia pulang dengan sedih dan duka serta terhalang, dan putus asa dari mereka.

Telah diterangkan, bahawasanya roh dalam perkumpulan haiwan tidak dalam seluruh tubuh, tapi ia dalam satu bahagian dari beberapa bahagian yang tidak dapat ditentukan dengan dalil. Bahawasanya seseorang yang dilukai dengan luka-luka yang banyak, maka ia tidak mati. Dan ia dilukai dengan luka-luka satu maka ia mati. Sebab luka itu jika menimpa pada tempat di mana roh bertempat di mana roh di dalamnya, dan bahawasanya roh bertempat pada seluruh tubuh dan bahawasanya mati itu dalam seluruh tubuh, maka Firman Allah SWT: "Katakanlah: la akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali yang pertama, dan Dia itu Maha Mengetahui segala makhluk." (QS Yaa Sin:79)

Jika dikatakan, apakah bezanya antara roh dengan rawan? Maka kita katakan bahawa keduanya adalah satu. Keduanya tidak ada perbezaan, sebagaimana tubuh serta tangan adalah menjadi satu. Cuma kalau tangan dapat bergerak ke sana kemari tapi kalau tubuh sama sekali tidak bergerak. Demikian pula rawan kesana kemari tapi sama sekali tidak bergerak. Kemudian mengenai tempatnya roh di dalam tubuh tidak dapat ditentukan. Adapun tempatnya rawan diantara kedua alis. Maka jika roh itu hilang, seorang hamba menjadi mati, dan jika rawan hilang ia menjadi tidur. Sebagaimana air yang dituangkan qas'ah dan ditaruh di rumah ada matahari yang sinarnya melalui lubang atap dan qas'ah itu tidak bergerak dari tempatnya. Maka demikian halnya roh bertempat di dalam tubuh dan pusatnya berada di Arasy.

Adapun rawan melihat ketika bermimpi dan ia berada di alam malakut. Adapun tempatnya roh setelah dicabut, ada diterangkan bahawa tempatnya di sengkala yang di dalamnya terdapat lubang sejumlah bilangan haiwan-haiwan yang dijadikan sampai hari kiamat. Jika ia mendapat kenikmatan berada di situ dan jika mendapat azab maka di situ juga. Ada disebutkan bahawa roh-roh para mukminin berada dalam telur burung yang hijau di syurga Illiyyin, adapun rohnya orang-orang kafir berada di dalam telur burung yang hitam di neraka. Dan ada dikatakan bahawa rohnya para mukminin ketika dicabut, maka para malaikat rahmat mengangkat membawa naik roh ke langit yang tujuh dengan memuliakan dan mengagungkan. Kemudian dipanggil Zat pemanggil dari sisi Allah yang Rahman: "Hendaklah kamu semua menulis roh itu dalam Illiyyin lalu kembalikanlah ke bumi." Maka mereka mengembalikan roh seorang mukmin ke dalam tubuhnya dan ia dibukakan pintu syurga, ia melihat tempatnya di syurga sampai datangnya hari kiamat.

Dan bahawasanya roh orang-orang kafir sewaktu dicabut maka para malaikat azab membawa naik roh itu ke langit dunia. Maka ditutuplah pintu-pintu langit yang lain dan ia diperintah mengembalikan ke tempat berbaring tubuhnya, kuburnya disempitkan dan ia dibukakan pintu neraka. Oleh kerananya ia melihat tempat kediamannya kelak sampai datangnya hari kiamat. Dalam hal ini sebagaimana pernah disabdakan Nabi SAW, sehingga bahawasanya mereka mendengar suara perbualan kita, hanya saja mereka terhalang dari berkata. Sebahagian Hukama' ditanya tentang tempat roh-roh setelah mati, maka ia menerangkan sebagai berikut:

1. Bahawasanya roh-roh para Nabi berada dalam Syurga Adn, ia berada dalam liang yang menyenangkan tubuhnya. Adapun tubuh bersujud kepada Tuhannya.

2. Roh-roh para Syuhada berada disyurga Firdaus, pada tengahnya syurga itu berada dalam telur burung yang hijau yang terbang di syurga sekehendak hatinya. Kemudian datang ke qanadil yang digantungkan di Arasy.

3. Adapun roh-rohnya anak-anak kecil yang Islam berada dalam telur burung pipit di Syurga.

4. Roh-rohnya para anak-anak musyrik berputar-putar di syurga dan ia tidak punya tempat, sampai hari kiamat. Lalu mereka melayani para mukminin.

5. Roh-rohnya orang-orang mukmin yang mempunyai hutang dan aniaya digantung di angkasa. Ia tidak sampai ke syurga dan tidak pula ke langit sampai ia membayar hutangnya dan penganiayaannya.

6. Roh-rohnya orang-orang Islam yang berdosa diazab di dalam kubur beserta tubuhnya.

7. Roh-rohnya orang-orang kafir dan munafik dalam penjara neraka Jahannam dipindakan di waktu pagi dan petang.

Dan disebutkan, bahawasanya roh adalah merupakan jisim yang halus. Oleh kerana itu tidak boleh dikatakan bahawa Allah SWT itu mempunyai roh. Sebab mustahil kalau Allah SWT mempunyai tempat seperti jisim-jisim. Dan dikatakan bahawa roh adalah merupakan sifat dan dikatakan pula kalau ia pecah jadi angin, maka kedua perkataan ini adalah perkataan orang yang mengingkari adanya seksa kubur. Ada diceritakan, bahawa seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, maka mereka bertanya kepada baginda tentang roh dari Ashabi Raqim dan Raja Dzul Qarnain. Dengan perdebatan Yahudi itu maka turunlah surah Al-Kahfi. Dan diturunkan tentang haknya roh. Firman Allah SWT: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah: Roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberikan pengetahuan melainkan sedikit." (QS Al-Isra:85)
.

AS-SYAFIE: KEPENTINGAN ILMU


Imam Syafie nama lengkapnya ialah Muhammad bin Idris As-Syafie, juga sangat dihormati oleh para Imam lainnya. Antaranya Imam Ahmad bin Hanbal, berkata: "Tidak pernah aku mengerjakan solat selama empat puluh tahun, kecuali aku selalu mengiringkan solatku itu dengan doa untuk Syafie."

Di suatu hari, Abdul Malik Al-Maimuni berbincang dengan Imam Ahmad bin Hanbal, dan pembicaraan itu menyinggung diri Imam Syafie. Al-Maimuni mengatakan: "Jelas aku lihat Ahmad memuliakannya dan berkata: "Aku pernah membaca sebuah hadis Nabi SAW, bahawa Allah membangkitkan bagi ummat ini setiap seratus tahun, seorang lelaki yang menghidupkan urusan agamanya." Imam Syafie sangat tidak menyukai kata-kata ataupun ucapan yang tidak baik terhadap sesama manusia.

Pernah di suatu hari ada seorang mengeluarkan kata-kata kotor terhadap seorang alim, maka Imam Syafie menegur orang itu: "Bersihkanlah pendengaranmu dari mendengar perkataan yang keji, sebagaimana engkau membersihkan lidahmu dari mengeluarkan kata-kata yang keji dan kotor. Seseorang yang hodoh dan keji selalu menumpahkan kekejiannya itu untuk mengisi kebersihanmu, jika engkau jawab dengan kekejian pula, engkau akan berbuat keji sebagaimana perbuatan orang yang keji itu."

Imam Syafie senang menyelesaikan berbagai masalah agama yang diajukan orang kepadanya. Sehingga beratus-ratus masalah agama dapat diselesaikan Imam Syafie dalam masa semalaman, untuk maslahat Ummat Islam sehingga pernah Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan kepada anaknya berkenaan Imam Syafie: "Gerak dan diamnya, perkataannya, zikir dan fikirannya, semuanya untuk Allah SWT. Qiamnya itu taat, tidurnya itu sedekah, zikirnya itu tasbih, diamnya dan ilmunya itu obat bagi ummat manusia."

Mutiara kata dari Imam Syafie berkenaan Ilmu, beliau berkata: "Engkau tidak akan memperoleh Ilmu kecuali dengan enam hal, yaitu dengan kecerdasan, semangat keras, rajin dan tabah, biaya yang cukup, bersahabat dengan guru. Tetapi ingatlah! Orang yang diberikan darjat yang mulia kerana Ilmunya tak mungkin diberi harta yang melimpah kerana Ilmu dan Harta tak mungkin berjalan bersama. Sudah ditakdirkan, bahawa orang yang akan dinaikkan darjatnya, pastilah diuji dengan kemelaratan. Buktinya, banyak orang pandai yang hidupnya melarat dan banyak orang bodoh yang hidupnya serba cukup. Orang yang diberi rezeki dengan mudah, pahalanya sedikit, tidak terpuji dan tidak mendapatkan taufiq." Beliau melanjutkan: "Berjaga malam untuk menekuni Ilmu, lebih nikmat bagiku daripada lagu merdu dan bau wewangian. Goresan penaku di tengah lembaran kertas, terasa lebih indah daripada khayalan."
.

20 Februari 2009

ADAB MEMBERI SALAM


HUKUM MEMBERI SALAM

Hukum memberi salam adalah sunat muakad bagi perseorangan dan sunat kifayah bagi perkumpulan sedangkan menjawab salam pula adalah wajib bagi perseorangan dan fardhu kifayah bagi perkumpulan.

ORANG YANG PALING UTAMA MEMBERI SALAM

1. Yang berjalan kepada yang duduk.

2. Yang muda kepada yang lebih tua.

3. Yang berkenderaan kepada yang berjalan kaki.

4. Yang berada di luar kepada yang berada di dalam.

5. Yang berada di belakang kepada yang berada di depan.

6. Yang mahu meninggalkan majlis kepada yang berada di dalam majlis.

MAKRUH DIUCAPKAN SALAM KEPADA:

1. Orang yang sedang azan atau iqomah.

2. Orang yang sedang mengajar ilmu agama.

3. Orang yang sedang membaca Al-Quran.

4. Orang yang sedang membuang air besar/kecil.

5. Orang kafir dan musuh-musuh Islam.

ORANG TIDAK WAJIB MENJAWAB SALAM

1. Orang yang sedang bersolat.

2. Orang yang sedang mengajar ilmu agama.

3. Orang yang sedang membuang air besar/kecil.

4. Orang yang menerima salam setelah bercakap-cakap dengannya.

5. Orang yang suka meminta-minta.

HIKMAH MEMBERI SALAM

1. Mendapat keredhaan Allah SWT.

2. Mendapat doa dari para Malaikat.

3. Akan mendukacitakan iblis.

4. Dapat membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah (keji).

5. Dapat mengukuhkan persaudaraan Islam.
.

KELEBIHAN WANITA...


1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.

4. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

5. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

6. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

7. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

8. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah SWT dengan penuh rahmat.

9. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

10. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

11. Wanita yang memerah susu binatang dengan 'Bismillah' akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

12. Wanita yang menguli tepung gandum dengan 'Bismillah', Allah SWT akan berkatkan rezekinya.

13. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah.

14. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah SWT akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia sukai. 15. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

16. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

17. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

18. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

19. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

20. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

21. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah SWT akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

22. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.

23. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.

24. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

25. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah SWT di akhirat, tetapi Allah SWT akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

.

17 Februari 2009

SIFAT-SIFAT TERPUJI MUKMININ


1. Taubat ertinya meninggalkan segala perbuatan tercela yang telah dikerjakannya dengan niat kerana membesarkan Allah SWT. Orang yang bertaubat mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
a) Meninggalkan maksiat dengan kesedaran.
b) Menyesal dengan perbuatan yang telah dikerjakan.
c) Berazam tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

2. Khauf ertinya takutkan Allah SWT, takutkan kemurkaanNya dengan memelihara deen dan melakukan perkara-perkara yang ditegah.

3. Zuhud ertinya bersih atau suci hati dari berkehendakkan lebih dari keperluannya serta tidak bergantung kepada makhluk. Hatinya sentiasa mengingati bahawa harta yang dimilikinya adalah sebagai amanah dari Allah.

4. Sabar ertinya tabah atau cekal menghadapi sesuatu ujian yang mendukacitakan.

5. Syukur ertinya menyedari bahawa semua nikmat yang diperolehinya baik yang lahir mahupun batin semuanya adalah dari Allah SWT dan merasa gembira dengan nikmat itu serta bertanggungjawab kepada Allah SWT.

6. Ikhlas ertinya mengerjakan amal ibadat dengan penuh ketaatan serta semua perbuatan yang dilakukan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT, bukan kerana tujuan lain.

7. Tawakkal ertinya berserah diri kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu rancangan.

8. Mahabbah ertinya kasihkan Allah SWT dan hatinya sentiasa cenderung untuk berkhidmat dan beribadat kepadaNya serta bersungguh-sungguh menjaga diri dan jauhkan dari melakukan maksiat.
.

16 Februari 2009

MENGASIHI RASULULLAH S.A.W.


Kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW adalah satu kemestian dalam kehidupan seorang muslim. Setiap muslim mesti berbuat demikian kerana baginda adalah orang yang paling berjasa di dalam membimbing dan memberi petunjuk kepada manusia sejagat. Cinta dan kasih kepada baginda mestilah direalisasikan melalui perilaku di dalam kehidupan harian. Di antara cara hidup Rasulullah SAW yang perlu diamalkan oleh setiap muslim adalah sentiasa bersifat benar (siddiq), amanah, menyampaikan perintah (tabligh) Allah SWT dan bijaksana (fathonah).

Berikut adalah sifat utama yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. Sifat-sifat ini jugalah yang membawa kecemerlangan kepada umat Islam generasi pertama dahulu:

1. Sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada teman

2. Rajin melawat orang sakit

3. Mengutamakan hal-hal kematian

4. Sentiasa menunjukkan sikap kasih sayang dan menghargai anak-anak yatim, fakir dan orang miskin yang memerlukan bantuan.

5. Sentiasa berselawat ke atas Baginda.

6. Sentiasa berusaha menyebarkan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW sepanjang hayat.

7. Sentiasa akur kepada larangan-larangan Rasulullah SAW seperti menjauhkan diri dari bercakap bohong, khianat, dengki, mencaci, bakhil dan malas.
.

MENJAGA IMAN


Beberapa langkah utama yang mesti dijaga oleh setiap Mukmin untuk menjaga kesejahteraan imannya adalah seperti berikut:

1. Menuntut Ilmu
Orang yang mencari ilmu untuk dijadikan bekalan di dalam perjalanan hidup untuk Hari Kemudian dan berniat untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata, maka ia termasuk dalam golongan orang-orang yang bakal memperolehi keselamatan dan kejayaan. Imam Al-Ghazali menyatakan: "Yang paling utama sekali adalah waktu kamu digunakan untuk menambah ilmu yang berguna dan bermanfaat terhadap Deen, iaitu ilmu yang dapat menghantar kamu menuju ketaqwaan kepada Allah, membuka kesedaran kamu untuk menyaksikan segala keburukan yang terdapat di dalam dirimu. Memperdalamkan makrifat terhadap ibadah kepada Allah. Mengurangkan hasrat kamu yang berlebih-lebihan terhadap dunia dan menambah penglibatan dirimu terhadap kehidupan di akhirat kelak. Ilmu ini dapat membuka luas mata hatimu terhadap cacat cela segala macam amal perbuatanmu, sehingga kamu dapat menjaga jangan sampai berulang lagi perbuatan yang buruk, malah membuat kamu lebih waspada dan berhati-hati sekali terhadap godaan-godaan syaitan dan tipu dayanya."

2. Mentaati Perintah Allah
Taat itu maksudnya ialah menurut atau patuh kepada peraturan-peraturan dan ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Perintah-perintah Allah itu terdiri daripada amal-amal yang wajib dan sunat. Amal-amal yang wajib adalah merupakan amal pokok yang paling penting bagi menggerakkan setiap urusan serta membawa manusia ke jalan yang selamat dan bahagia. Amalan-amalan sunat pula merupakan keuntungan yang memberikan dan mengangkat darjat kepada kejayaan dan kemuliaan. Dalam mentaati perintah Allah SWT, seseorang Mukmin mestilah menunaikan kewajipan-kewajipan yang telah difardhukan kepadanya seperti solat, puasa pada bulan Ramadhan, menunaikan haji dan mengeluarkan zakat. Demi untuk memastikan keempat-empat fardhu ini hidup di dalam dirinya hendaklah ia menyeru manusia kepada perlaksanaannya serta melarang manusia dari mengabaikannya. Usaha ini dinamakan sebagai amru bil ma'ruf wa nahu 'anil munkar. Oleh itu sekiranya tugas ini tidak dilaksanakan dengan sempurna, maka menjadi kewajipan kepadanya untuk melaksanakannya. Di samping melakukan perkara-perkara yang fardhu, seseorang Mukmin itu hendaklah meningkatkan dirinya bagi melaksanakan amalan-amalan sunat. Amalan-amalan yang sunat ini begitu luas ruang lingkupnya. Oleh itu perkara yang paling penting dalam melaksanakan amalan-amalan sunat ini hendaklah ia berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.

3 . Menjauhi Maksiat
Seorang Mukmin itu juga mestilah menjauhi dirinya dari maksiat. Memandang berat terhadap dosa-dosa besar, berwaspada terhadap dosa-dosa kecil dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhinya. Imam Al-Ghazali memberi peringatan: "Di dalam tuntutan Deen terdapat dua perkara yang sangat penting untuk diperhatikan: Pertama, meninggalkan dan menjauhi segala sesuatu yang dilarang dan diharamkan. Kedua, berbuat taat dan menunaikan segala perintah, beribadah dan berbakti kepada Allah. Untuk menjadikan Iman jauh dari pengaruh maksiat hendaklah seseorang Muslim itu menjaga adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW." Ini kerana kebiasaannya syaitan itu menyerang manusia dari pintu-pintu yang terlemah di dalam dirinya. Oleh itu hendaklah ia membentengi dirinya daripada serangan-serangan syaitan. Adab-adab ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, ia bersangkutan dengan:

a. Mata dan apa yang dilihatnya.

b. Telinga dan apa yang didengarinya.

c. Lidah dan apa yang diucapkannya.

d. Perut dan dari sumber yang bagaimana dimasukkan ke dalamnya.

e. Tangan dan apa yang dilakukannya.

f. Kaki dan ke mana diarahkannya.

g. Kemaluan dan bagaimana dijaganya.

h. Hati dan dosa-dosa yang dilakukannya.

Kita berdoa semoga Allah sentiasa menggolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang beriman dan menjauhkan diri kita daripada menyekutukan-Nya.

Dipetik dari kitab 'Bidayatul Hidayah' oleh Imam Al-Ghazali
.

15 Februari 2009

KERANA SEBIJI KURMA...


Selesai menunaikan ibadah haji, seorang sufi terkenal, Ibrahim bin Adham berniat ziarah ke Masjidil Aqsa. Untuk bekal di perjalanan, ia membeli sejumlah kurma dari pedagang tua di dekat mesjidil Haram. Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma tergeletak dekat timbangan. Menyangkakan kurma itu sebahagian dari yang telah beliau beli, Ibrahim memungut dan memakannya. Setelah itu ia terus berangkat menuju Al-Aqsa.

4 Bulan kemudian, Ibrahim tiba di Al-Aqsa. Seperti biasa, ia suka memilih sebuah tempat beribadah pada sebuah ruangan di bawah kubah Sakhra. Ia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba-tiba ia mendengar percakapan dua Malaikat tentang dirinya.

"Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan wara' yang doanya selalu dikabulkan Allah SWT," kata malaikat yang satu. "Tetapi sekarang tidak lagi. Doanya ditolak karena 4 bulan yg lalu ia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua dekat masjidil haram," jawab malaikat yang satu lagi.

Ibrahim bin Adham terkejut sekali. Jadi selama 4 bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan lainnya tidak diterima oleh Allah SWT gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya. "Astaghfirullahal adzhim" Ibrahim beristighfar. Ia langsung berkemas untuk berangkat lagi ke Mekah untuk menemui si pedagang tua penjual kurma untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah ditelannya.

Apabila sampai di Mekah, ia langsung menuju ke tempat penjual kurma itu, tetapi ia tidak menemukan pedagang tua itu melainkan seorang anak muda. "4 bulan yang lalu saya membeli kurma di sini dari seorang pedagang tua, kemana ia sekarang ?" tanya Ibrahim. "Sudah meninggal sebulan yang lalu, saya sekarang meneruskan pekerjaannya berdagang kurma" jawab anak muda itu. "Innalillahi wa innailaihi roji'un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan?".

Lantas Ibrahim menceritakan peristiwa yang dialaminya, anak muda itu mendengarkan penuh minat. "Nah, begitulah" kata ibrahim setelah bercerita, "Engkau sebagai ahli waris orang tua itu, maukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?". "Bagi saya tidak masalah. Insya Allah saya halalkan. Tapi entah dengan saudara-saudara saya yang jumlahnya 11 orang. Saya tidak berani mengatas namakan mereka kerana mereka mempunyai hak waris sama dengan saya." "Dimana alamat saudara-saudaramu? Biar saya temui mereka satu persatu." Setelah menerima alamat, Ibrahim bin Adham lalu pergi mancari waris2 terbabit. Biar berjauhan, akhirnya selesai juga. Semua setuju menghalalkan sebutir kurma milik ayah mereka yang termakan oleh Ibrahim.

4 bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada di bawah kubah Sakhra. Tiba-tiba ia terdengar dua malaikat yang dulu terdengar lagi bercakap-cakap. "Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara-gara makan sebutir kurma milik orang lain." "O, tidak.., sekarang doanya sudah makbul lagi, ia telah mendapat penghalalan dari ahli waris pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram kerana masih milik orang lain. Sekarang ia sudah bebas."

Oleh sebab itu berhati-hatilah dengan makanan yang masuk ke tubuh kita. Pastikan ianya benar2 halal. Lebih baik tinggalkan sekiranya ragu-ragu (syubhah)...
.

KERANA SEBIJI TEMBIKAI...

Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhi r.m telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?" Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut. Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya: "Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuanNya."

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
.

14 Februari 2009

MIMPI BERTEMU RASULULLAH S.A.W.


Ulama menyatakan bahawa mimpi itu ada 3 jenis:

1-Mimpi melalui malaikat yang ditugaskan untuk kerja tersebut. Mimpi demikian adalah benar.

2-Mimpi melalui pengaruh syaitan.

3-Mimpi melalui fikiran dan perasaan takut sendiri.

Ada juga hadis menyatakan 3 jenis mimpi yg telah diriwayatkan oleh Abu Daud:

a. Mimpi baik yang mendapat berita baik daripada Allah SWT.

b. Mimpi buruk yang dikuasai syaitan semata2 untuk menakut-nakutkan dan membinasakan orang yang bermimpi.

c. Mimpi yang terjadi hasil daripada fikiran yang sering dihantui dan khayalan sendiri.

Ulama2 yang ahli dalam ta'bir mimpi menyatakan bahawa malaikat yg telah dilantik khas untuk tugas mimpi itu bernama 'Siddiqun'. Abdullah Ibn Mas'ud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Dia yang melihatku di dalam mimpi, sebenarnya melihatku kerana syaitan tidak dapat menyerupai mukanya dengan wajahku."

Walaupun begitu, jika seseorang melihat Rasulullah SAW yang tidak sepatutnya yakni yang bertentangan dengan maruahnya misalnya bertentangan dengan sifat2 mulianya, maka itu adalah disebabkan kelemahan orang yang bermimpi, bukannya ada apa2 kekurangan dan kecacatan bagi pihak peribadi Rasulullah SAW.

Allah SWT telah menyelamatkan Rasulullah SAW semasa hayatnya daripada pengaruh syaitan, begitu juga selepas kewafatannya baginda diselamatkan daripada pengaruh syaitan, di mana dia tidak mempunyai kuasa menukar dirinya menyerupai wajah dan bentuk Rasulullah SAW.
.

13 Februari 2009

IMAM AL-GHAZALI: JAUHI MAKSIAT ZAHIR


IMAM AL-GHAZALI rahimahullah berkata bahawasanya agama itu terbahagi kepada dua. Pertamanya meninggalkan maksiat yang ditegah dan satu bahagian lagi adalah mengerjakan segala yang disuruh. Lazimnya, berbuat taat dan menurut segala yang disuruh itu adalah lebih mudah berbanding dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana itulah Nabi SAW bersabda, " Orang yang berhijrah itu adalah seorang yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah seorang yang memerangi hawa nafsunya."

Individu yang berbuat maksiat adalah mereka yang mengkhianati Allah SWT dan mengkufuri nikmat yang dianugerahkanNya. Ini kerana anggota tubuh badan adalah satu nikmat dan amanah Allah kepada hambaNya. Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota itu kepada perlakuan maksiat, ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah seseorang itu menjadi kufur terhadap nikmat Allah SWT. Oleh itu, hendaklah setiap individu muslim menjaga sungguh-sungguh seluruh anggota badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara MATA, TELINGA, LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Ini kerana Jahannam itu terdiri dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya anak Adam melainkan maksiat anggota yang tujuh itu.

MATA yang dianugerahkan Allah SWT untuk melihat dan memimpin anggota tubuh yang lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata dari melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis remaja dengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan pandangan yang menghinakan dan melihat segala keaiban orang lain.

TELINGA yang berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari mendengar segala perkataan bid'ah yang menyimpang dari ajaran agama, mendengar umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang keji dan juga mendengar perkataan yang batil dan sia-sia.

LIDAH diciptakan oleh Allah SWT untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia digunakan mengikut fungsinya yang benar. Janganlah sampai ia diselewengkan dengan menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda, mengumpat, menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari sifat munafik." Tetapi dalam keadaan tertentu kita diharuskan berdusta, misalnya untuk mendamaikan dua orang yang berkelahi atau suami-isteri yang bergaduh, yang mana tidak mungkin mereka dapat didamaikan kecuali dengan berdusta. Begitu juga dengan mengumpat. Ia dibenarkan jika membawa maslahah (kebaikan) yang meliputi pada enam keadaan:

>Mendedahkan kejahatan penjenayah supaya dihukum pemerintah atau mendedahkan kezaliman pemerintah supaya dihukum oleh rakyat.

>Mendedahkan perbuatan mungkar seseorang supaya dia meninggalkan maksiat tersebut.

>Mendedahkan kezaliman seseorang untuk menuntut hak dan keadilan.

>Mendedahkan kefasikan dan kezaliman seseorang kepada orang yang belum mengetahuinya bagi mengelakkan mereka bersahabat dengan si fasiq atau si zalim itu.

>Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali melainkan dengan menyebut keaiban yang ada pada dirinya.

>Menyebut akan sifat keji orang yang masyhur dengan kezaliman, kefasikan atau kejahatannya.

Selain dari enam situasi di atas, kita dilarang sama sekali dari mengumpat walau apa yang dikata itu ada kebenarannya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: "Jangan mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain. Adakah sebahagian kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu benci."

PERUT pula hendaklah dipelihara dari memakan yang haram dan yang syubhah (tidak jelas antara yang halal dan haram). Ini kerana makanan yang kita makan akan menjadi darah daging. Rasulullah SAW bersabda: "Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka neraka adalah lebih utama untuknya." Rasulullah SAW bersabda lagi: "Ibadat dan ilmu yang disertai dengan memakan rezeki yang haram seperti membina rumah di atas himpunan najis."

Seterusnya, Imam Ghazali mengingatkan kita agar menjaga KEMALUAN dari segala yang diharamkan ke atasnya oleh Allah SWT. Hendaklah ia dipelihara sebagaimana firman Allah SWT: "Dan mereka yang memelihara akan kemaluan mereka melainkan ke atas isteri mereka atau ke atas hamba sahaya mereka, meka sesungguhnya mereka tiada dicela."

TANGAN turut harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan dan menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk mencapai tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram.

Manakala kedua KAKI pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Dan juga kedua kaki itu hendaklah dikawal dari menghadap pemerintah yang zalim tanpa sebarang keadaan darurat yang mendesak.

Begitulah nasihat Imam Ghazali di dalam kitabnya yang masyhur, 'Bidayatul Hidayah'. Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di mukabumi ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Yaa Sin: "Pada hari Kami kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan." (QS Yaa Sin:65)
.

12 Februari 2009

ANAK SOLEH BERIBUBAPAKAN BABI


Nabi Musa AS adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah SWT. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa AS akan naik ke Bukit Thursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah SWT. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa AS telah bertanya kepada Allah SWT: "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?" Allah SWT pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa pun turun dari Bukit Thursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut.

Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?", kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan. Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?", tanya Nabi Musa. "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu", kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba", kata pemuda itu, "sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku", sambungnya. "Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Musa AS "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami." Allah SWT juga berfirman lagi yang bermaksud: "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka dan dipindahkan ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Walau bagaimana buruk sekalipun perangai kedua ibubapa kita, itu bukan urusan kita. Urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita. Urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah SWT supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah SWT.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat. Inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur. Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah SWT.

"Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapaku sebagaimana mereka mengasihani aku sewaktu aku masih kecil. Amein..."
.