Mutiara Kata:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)
13 Disember 2012
FITNAH DAJJAL LAKNATULLAH
13 Ogos 2011
PERCUBAAN MENCURI JASAD RASULULLAH S.A.W

Kedua-duanya menginap di tempat bersebelahan dengan kamar Nabi SAW dari arah kiblat (selatan) di luar Masjid Nabawi, berhampiran dengan kawasan asal rumah keluarga 'Umar yang dikenali dengan nama Diyar Al-'Asyrah. Al-Asnawi mengatakan bahawa kedua-dua orang itu menginap di suatu serambi berdekatan Kamar Nabi SAW.
Kedua-dua orang itu menonjolkan diri mereka sebagai orang yang soleh, bertaqwa, menyambung talian siratulrahim, berbuat kebajikan, menunaikan solat dan menziarahi perkuburan Al-Baqi' dan makam Nabi SAW. Begitulah penampilan mereka secara lahiriah, namun sebenarnya mereka sedang menggali sebuah terowong menuju ke Kamar Nabi SAW.
Mereka mengangkut tanah yang digali sedikit demi sedikit, sebahagiannya dibuang di sebuah telaga berhampiran serambi tempat mereka menginap, dan adakalanya mereka mengangkut tanah itu di dalam beg kulit dan mengelabui mata masyarakat seolah-olah mereka menziarahi perkuburan Al-Baqi', padahal tujuan mereka sebenarnya adalah untuk membuang tanah di sana.
Mereka telah berjaya melakukan tugasan itu untuk satu tempoh waktu, sehingga mereka beranggapan bahawa misi mereka sudah hampir selesai apabila terowong itu sudah mendekati makam Nabi SAW. Ketika itu kedua penjahat ini mulai berfikir bagaimana caranya hendak mengangkut jasad Baginda Rasulullah SAW. Namun, sebenarnya gerak-geri mereka tidak pernah terlepas dari pandangan Allah SWT.
Suatu masa, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki yang berada di Syam (Syria) bermimpi melihat Nabi SAW sedang menunjuk kepada dua lelaki berambut perang, seraya berkata: "Hai Mahmud, selamatkan aku dari kedua orang ini!". Maka terbangunlah Sultan Mahmud dalam keadaan gelisah. Beliau lalu menunaikan solat dan tidur kembali. Tapi beliau mengalami mimpi yang sama sebanyak 3 kali berturut-turut.
Ketika beliau terbangun untuk kali ketiganya, beliau memanggil menterinya, Jamaluddin Al-Muwashshali, seorang menteri yang berwawasan luas, alim serta sentiasa merendah diri. Mendengar tentang mimpi tersebut, Jamaluddin lalu berkata kepada Sultan: "Ini ada suatu kejadian di Madinah Munawarah, pergilah sekarang ke Madinah dan jangan bicarakan apa yang Tuanku lihat dalam mimpi Tuanku pada sesiapapun!"
Pada malam itu, Sultan Mahmud membuat persiapan dan pagi esoknya beliau berangkat bersama 20 orang lelaki beserta Jamaluddin, dengan membawa bekalan dan harta yang banyak (Majduddin Al-Mathari mengatakan Sultan membawa 1,000 ekor haiwan tunggangan sebagai kenderaan dan diikuti oleh kuda2). Rombongan beliau mengambil masa selama 16 hari untuk tiba ke Madinah setelah bertolak dari Syam.
Ketika di Madinah, beliau melakukan solat di Raudhah, lalu menziarahi makam Rasulullah SAW. Selepasnya beliau duduk termenung, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika itu Jamaluddin bertanya kepada Sultan Mahmud: "Apakah Tuanku kenal kedua orang itu jika Tuanku melihatnya?" Beliau menjawab:"Ya." Maka berkatalah menteri itu kepada seluruh penduduk Madinah ketika mereka berkumpul di Masjid Nabawi: "Sultan Mahmud membawa harta untuk disedekahkan, tulislah oleh kalian nama2 orang yang memerlukan bantuan dan sedekah dari kalangan kamu dan bawalah orang-orang itu ke sini."
Tiap-tiap orang yang datang mengadap Sultan mendapat habuan masing-masing dan pada ketika itu sebenarnya Sultan Mahmud sedang meneliti orang-orang yang datang, tetapi beliau tidak menemui kedua orang yang dilihat di dalam mimpinya.
Maka berkatalah Sultan Mahmud: "Adakah ada di kalangan kamu orang yang belum mendapat habuannya?" Mereka menjawab: "Tidak ada, kecuali 2 orang Morocco. Keduanya tidak mengambil sedikitpun, kedua-duanya adalah orang soleh." Lalu Sultan Mahmud berkata: "Serahkan urusan mereka kepadaku dan bawalah mereka berjumpa aku."
Ternyatalah mereka berdua adalah orang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpi Sultan. Maka berkatalah Sultan: "Dari mana asal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami sesungguhnya dari Morocco. Kami datang menunaikan ibadah haji dan tahun ini kami pilih untuk berada dekat dengan tempat ini." Ketika ditanya dengan lebih lanjut, mereka tetap mempertahankan jawapan mereka.
Sultan Mahmud meninggalkan mereka berdua, dijaga oleh para pengawal beliau, lalu beliau pergi ke tempat penginapan mereka di serambi bersama beberapa orang penduduk Madinah. Di tempat itu mereka menemui harta yang banyak, dua mashaf al-Quran, buku-buku atas rak dan tidak menemui sesuatu yang pelik atau berlainan. Sultan Mahmud mengelilingi tempat itu dan pada ketika inilah Allah SWT memberi ilham kepada beliau sehingga beliau mengangkat sebuah tikar yang menutupi tempat tersebut. Maka kelihatanlah sebilah papan di bawah tikar itu, lalu diangkat papan itu. Di dapati terdapat sebuah terowong yang digali menuju ke Kamar Nabi SAW, menembusi asas Masjid Nabawi. Maka tercenganglah penduduk Madinah kerana mereka semua menyangka kedua orang itu adalah orang yang soleh.
Kemudian Sultan memukul keras kedua orang itu sehingga mereka akhirnya mengaku yang mereka sebenarnya beragama Kristian. Kedua-duanya telah diutuskan oleh raja-raja Kristian dalam pakaian jemaah haji Morocco dan membiayai mereka dengan dana yang amat besar serta memerintahkan agar mereka menggunakan muslihat supaya dapat memindahkan jasad Nabi SAW dan dibawa balik ke negeri mereka.
Apabila perbuatan mereka telah terbongkar dan diakui oleh mereka sendiri, Sultan Mahmud memerintahkan agar leher mereka dipenggal berhampiran jendela sebelah timur Kamar Nabi SAW, kemudian pada petangnya jasad kedua penjahat itu dibakar hangus.
Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud memerintahkan agar digali sebuah parit mengelilingi makam Nabi SAW dan dituangkan timah cair ke dalam parit itu sehingga penuh. Kemudian barulah Sultan pulang ke Syam.
Wallahua’lam.
(Sumber: "Beberapa Bahagian dari Sejarah Madinah" oleh 'Ali Hafidh)
07 Mei 2011
TASYABBUH

At-Tasyabbuh secara bahasa di ambil dari perkataan al-musyabahah yang bererti 'meniru atau mencontohi, menjalin atau mengaitkan diri, dan mengikuti'. At-Tasybih bererti peniruan, dan mutasyabihah bererti mutamatsilat (serupa). Dikatakan ertinya serupa dengannya, meniru dan mengikutinya. Tasyabbuh yang dilarang dalam Al-Quran dan As-Sunnah secara syarie adalah peniruan terhadap orang-orang kafir dalam segala bentuk dan sifatnya, baik dalam aqidah, peribadatan, kebudayaan, atau tingkah laku yang menunjukkan ciri khusus kaum kafir.
Termasuk dalam tasyabbuh ialah meniru perbuatan orang-orang yang tidak soleh, walaupun mereka itu dari kalangan kaum muslimin, seperti orang-orang fasik, orang-orang awam dan jahil, atau orang-orang Arab (badwi) yang tidak sempurna keislamannya. Oleh kerana itu, secara umumnya kita katakan bahawa segala sesuatu yang tidak termasuk ciri khusus orang-orang kafir, sama ada dari sudut aqidahnya, adat-istiadatnya, peribadatannya, dan hal itu tidak bertentangan dengan nash-nash serta prinsip-prinsip syariat, atau tidak dikhuatiri akan membawa kepada kerosakan, maka tidak dianggap sebagai tasyabbuh.
Perkara paling utama yang harus kita fahami seperti dinyatakan dalam beberapa ketentuan Islam, adalah bahawa Islam dibangunkan di atas asas yang dinamakan at-taslim, yakni ‘penyerahan diri secara mutlak kepada Allah SWT’. Sedangkan at-taslim sendiri bermaksud ‘tunduk kepada kepada perintah-perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-larangan-Nya’. Kemudian membenarkan apa-apa yang disampaikan Rasul-Nya, tunduk kepada perintah serta menjauhi larangan-larangan Baginda.
Apabila kita sudah memahami perkara-perkara di atas, maka sebagai seorang Muslim kita hendaklah bertaslim terhadap apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan merealisasikannya di dalam setiap amal perbuatan. Dan ajaran yang Baginda SAW bawa di antaranya larangan untuk bertasyabbuh terhadap orang-orang kafir. Setelah bertaslim, kita sepatutnya merasa tenang serta yakin sepenuhnya bahawa bertasyabbuh dengan orang-orang kafir akan mendatangkan mudarat berdasarkan pertimbangan akal yang sihat serta fitrah yang suci.
Di antara sebab larangan bertasyabbuh ialah:
a. Semua perbuatan orang kafir pada dasarnya dibangunkan di atas dasar kesesatan dan kerosakan. Inilah sebenarnya titik tolak semua perbuatan dan amalan orang-orang kafir, baik yang bersifat menakjubkan kita atau tidak, baik kerosakan yang zahir ataupun terselindung, kerana sesungguhnya yang menjadi dasar semua perlakuan orang-orang kafir adalah dlalal (sesat), inhiraf (menyeleweng dari kebenaran), dan fasad (rosak), baik dari segi aqidah, adat-istiadat, ibadah, perayaan-perayaan hari besar, ataupun dalam pola tingkah lakunya. Adapun kebaikan yang mereka perbuat hanyalah merupakan suatu pengecualian sahaja. Oleh kerana itu, jika terdapat pada mereka perbuatan-perbuatan yang baik, maka di sisi Allah SWT tidak memberi erti apapun baginya dan tidak diberi pahala sedikitpun. Firman Allah SWT: “Dan Kami hadapi amal yang mereka kerjakan kemudian Kami jadikan amal itu debu yang berterbangan.” (QS Al-Furqan: 23)
b. Dengan bertasyabbuh terhadap orang kafir, maka seorang Muslim akan menjadi pengikut mereka. Ini bererti dia telah menentang atau memusuhi Allah SWT dan Rasul-Nya sekaligus mengikuti jalan orang-orang yang tidak beriman. Padahal dalam perkara ini terdapat peringatan yang sangat keras sekali, sebagaimana berfirman Allah SWT: “Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas datang kepadanya petunjuk dan mengikuti jalan orang-orang yang tidak beriman, Kami biarkan ia leluasa dengan kesesatannya kemudian Kami seret ke dalam Jahannam. Dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (QS An-Nisa’: 115)
c. Hubungan antara si peniru dengan yang ditiru seperti yang terjadi antara si pengikut dengan yang diikuti yakni penyerupaan bentuk yang disertai kecenderungan hati, keinginan untuk menolong serta menyetujui semua perkataan dan perbuatannya. Dan sikap itulah yang menjadi sebahagian dari unsur-unsur keimanan, di mana seorang muslim diperingatkan supaya tidak terjerumus ke dalamnya.
d. Sebahagian besar tasyabbuh mewujudkan rasa kagum dan mengutamakan orang-orang kafir. Dari sana timbullah rasa kagum pada agama, kebudayaan, tingkah laku, perangai serta semua kerosakan yang berlaku. Kekaguman terhadap orang kafir tersebut akan menyebabkan penghinaan kepada As-Sunnah, merendahkan kebenaran serta petunjuk yang dibawa Rasulullah SAW dan para solehin. Ini adalah kerana barangsiapa yang menyerupai suatu kaum pasti sepakat dengan fikrah (pemikiran) mereka dan redha dengan semua perlakuannya. Inilah bentuk kekaguman terhadap mereka. Sebaliknya, ia tidak akan merasa kagum terhadap semua hal yang bertentangan dengan apa yang dikagumi tersebut.
e. Musyabbahah (meniru-niru) itu mewariskan mawaddah (kasih sayang), mahabbah (kecintaan), dan mawalah (kesetiaan) terhadap orang-orang yang ditiru tersebut. Ini adalah kerana bagi seorang muslim yang meniru dan mengikuti orang-orang kafir, tidak boleh tidak, dalam hatinya akan ada rasa ilfah (akrab dan bersahabat) dengan mereka. Dan rasa akrab dan bersahabat ini akan tumbuh menjadi mahabbah (cinta), redha serta bersahabat kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan akibatnya dia akan menjauhi orang-orang yang soleh, orang-orang yang bertakwa serta orang-orang yang mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Keadaan akan menjadi semakin parah sekiranya muqallid (si pengikut) berkenaan sedang mengalami kegoncangan jiwa. Maka, pada ketika itu, ia akan merasakan bahawa apa yang diikutinya adalah bersesuaian dengan dirinya.
f. Bertasyabbuh terhadap orang-orang kafir pada dasarnya akan menjerumuskan kepada kehinaan, kelemahan, kekerdilan (rendah diri) dan kekalahan. Demikianlah yang terjadi pada sebahagian besar orang-orang yang mengikuti orang-orang kafir sekarang ini. Ramai yang mangaku Muslim tetapi bangga dengan budaya orang-orang kafir yang merosakkan akidah serta akhlak.
Wallahua'lam