Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 April 2010

BERHALA DI RUMAH...


Dari Aisyah r.a.: "Sewaktu Rasulullah SAW kembali dari perjalanannya, Baginda menutup rumahku dengan tabir yang nipis yang mana di sebalik tabir itu ada beberapa patung. Setelah Rasulullah melihatnya, lalu dimusnahkan dan muka Baginda berubah, lalu bersabda: "Wahai Aisyah, seksaan yang sangat dahsyat terhadap manusia pada hari kiamat iaitu mereka yang mencipta sesuatu yang menyerupai makhluk Allah." (HR Bukhari & Muslim)

Mengukir patung sama ada berbentuk manusia atau binatang adalah sangat dilarang oleh Islam dan orang yang melakukannya akan diazab pada hari akhirat kelak.

Patung yang dicipta dengan tujuan hiasan, jualan dan sebagainya adalah diharamkan dalam Islam kerana benda itu menjadi sembahan dan pujaan orang kafir.

Menyimpan patung sebagai hiasan dalam rumah juga adalah dilarang kerana ia hampir kepada syirik dan mempunyai persamaan dengan orang kafir yang menyimpan patung (berhala) dalam rumah mereka untuk disembah.

Rasulullah pernah bersabda: "Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat patung dalamnya." (HR Bukhari & Muslim)

Wallahua'lam.

26 April 2010

IMAM AL-GHAZALI: MENDIDIK ANAK


Di dalam kitab Siyarus Salikin, Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Taala berkata:

Wajib ke atas ibubapa memelihara anak daripada segala kejahatan dan maksiat serta menyuruh anak berbuat kebaikan dan melakukan amal ibadat.

Dosa anak terpikul di bahu orang tuanya jika dibiasakan anak dengan perkara kejahatan.

Melindungi anak daripada api neraka akhirat dengan memberikan didikan dan mengasuh serta mengajarkan akhlak yang elok dan menjaganya daripada berkawan dengan orang yang buruk perangai dan tingkah laku.

Tidak membiasakan anak dengan bersenang-senang, bermewah-mewahan yang akan menyebabkan anak akan mensia-siakan usia mengejarnya apabila dewasa kelak.

Tidak menyusukan anak dan menjaga anak kecuali kepada wanita yang solehah lagi berpegang teguh pada agama dan memakan hasil yang halal. Air susu dari yang halal itu ada berkatnya dan perangai anak itu mengikut perangai orang yang menjaga dan melalui air susu wanita yang menyusukannya.

Apabila anak ada perasaan malu (tanda telah 'tamyiz' iaitu berkemampuan membezakan), hendaklah mengasuhnya selaras dengan kehendak hukum syariat yang merupakan sebahagian dari iman.

Mengajarkan anak adab sopan santun ketika makan dan perlu membiasakan anak memakan roti kosong tanpa lauk pada waktu tertentu agar terbiasa tidak perlu makan banyak. Menggalakkan anak bersifat murah hati dan tidak tamak dengan mengajarnya memberi makanan pada orang lain.

Menggalakkan anak memakai pakaian berwarna putih dan melarang anak lelaki memakai sutera dan melarangnya memakai pakaian berlawanan jantina.

Anak yang dibiasakan berkawan dengan anak yang biasa bermewah-mewah, bersenang-senang, bersuka-suka nescaya akan menjadi anak yang bersifat buruk akhlaknya iaitu akan banyak berdusta, dengki, mencuri, kuat fitnah, suka berkelahi, banyak cakap/ketawa, banyak menipu yakni kurangnya perasaan malu.

Hendaklah selalu mengajak anak ke tempat pengajian pelajari Quran, Hadis, Tasauf, kisah nabi dan kisah golongan Aulia serta orang-orang soleh.

Hendaklah melarang anak dari bersyair dan bercampur dengan golongan sasterawan.

Menyanjung, memuji, mengupah anak apabila anak melakukan tingkahlaku terpuji supaya membiasakannya mengekalkan berakhlak baik. Mengecam dan menegur anak secara sembunyi atas kesalahan anak.

Hendaklah melarang anak tidur di siang hari kerana tubuh anak akan lemah dan ia akan tidak bersabar untuk menikmati keselesaan. Anak hendaklah dibiasakan unsur kurang selesa pada tempat tidur, pakaian dan makanannya.

Hendaklah melarang anak berbuat sesuatu secara sembunyi-sembunyi.

Hendaklah membiasakan anak tidak mendedahkan lutut dan segala auratnya.

Hendaklah melarang anak dari perbuatan bermegah-megah pada kawan-kawannya.

Hendaklah membiasakan anak merendah diri, hormati orang dan berlemah lembut ketika bercakap.

Hendaklah menjijikkan anak akan perbuatan sukakan emas, perak dan tamakkan keduanya.

Hendaklah membiasakan anak tidak berludah di tempat awam, tidak mengeluarkan hingus, tidak menggeliat, menguap di hadapan orang ramai, bertopang dagu, menyandar kepala di lengan kerana tanda malas dan kurang berhemah yang menjatuhkan martabat dan memalukan diri sendiri.

Hendaklah melarang anak banyak bercakap, ia petunjuk kurang sopan dan larang anak bersumpah sama ada benar atau palsu supaya tidak terbiasa.

Hendaklah membiasakan anak tidak memulakan percakapan dan sekadar menjawab apa yang ditanyakan orang serta mendengarkan baik-baik apabila orang tua bercakap dengannya.

Hendaklah melarang anak bercakap yang bukan-bukan, kotor, mengutuk dan memaki orang. Dan melarang anak bercampur dengan orang yang bermulut celupar seperti itu.

Selepas anak mengaji Al-Quran dan belajar izinkannya bermain-main yang elok dan beristirehat melapangkan fikiran setelah letih belajar supaya kecerdasannya tidak terbantut, tidak mematikan hatinya.

Kanak-kanak di ajar menghormati dan mentaati ibubapa dan tidak menderhaka, di ajar mentaati guru, pengasuh juga orang yang lebih tua darinya.

Bagi kanak-kanak tahap tamyiz, bapa mestilah tidak membenarkan anak meninggalkan amalan Thaharah, solat dan suruhlah berpuasa beberapa hari di bulan Ramadhan.

Ajarkan kanak-kanak hukum-hukum syariat, takutkannya dengan dosa-dosa mencuri, memakan yang haram, berdusta, berkhianat, bercakap kotor dan perbuatan buruknya.

Sabda Rasulullah SAW: Kanak-kanak yang bapanya masih ada di sapu kepalanya hingga ke belakang. Anak yatim yang bapanya telah tiada di sapukan kepalanya hingga ke depan kepalanya.” (HR Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW lagi: Jika engkau mahu hatimu menjadi lembut dan mencapai hajatmu, maka kasihanilah anak yatim, sapulah kepalanya dan berilah ia makananmu nescaya hatimu menjadi lembut dan hajatmu tercapai.” (HR Thabrani)

Wallahua'lam.

25 April 2010

PENYAKIT-PENYAKIT PARA PEJUANG AGAMA


Perjuangan Islam sering kali diganggu gugat oleh pelbagai penyakit atau wabak dalaman yang dihadapi para 'amilin (pejuang). Ianya berpunca dari tindak tanduk para pendukung Islam yang tidak komited dan gagal mempersiapkan diri dengan sebaiknya sebagai pendukung Islam. Antara penyakit-penyakit tersebut adalah:


# AL-FUTUR

Futur berasal dari bahasa Arab yang bermaksud 'terputus, berhenti, malas dan lambat' setelah sebelumnya konsisten dan rajin. Tahap al-futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.


Antara penyebab berlakunya al-futur ialah sikap keterlaluan dalam agama; membazir dan melampaui batasan dalam menggunakan sesuatu yang diharuskan; meninggalkan jemaah dan memilih hidup bersendirian; kurang mengingati mati dan akhirat; mengabaikan ibadat harian; mengambil makanan yang haram atau syubhah; penumpuan 'amilin ke atas sudut tertentu dari ajaran Islam; gagal memahami sunnatullah tentang alam dan penghidupan; mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggungjawab di samping kekurangan tenaga 'amilin; tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan; mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar; menjalankan tugas sambil lewa, sama ada di peringkat individu atau di peringkat jemaah; terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat serta memandang perbuatan-perbuatan sebegitu sebagai remeh.


# AL-ISRAF (PEMBAZIRAN)

Pembaziran ialah perbuatan yang melampaui batas kesederhanaan sama ada dalam soal makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Antara kesan terhadap para 'amilin ialah badan dihinggapi penyakit; keras hati; lembab daya pemikiran; rangsangan melakukan kejahatan dan dosa; kecundang di saat-saat genting dan mencabar; tidak menjaga dan mengambil berat terhadap org lain; ditanya di hadapan Allah SWT di akhirat; terlibat dengan pendapatan haram; menjadi saudara syaitan; terhalang dari kasih sayang Allah.


# AL-ISTI’JAL (TERBURU-BURU)

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan. Ramai yang berkeinginan untuk mengubah realiti kehidupan masa kini dalam sekelip mata tanpa menilai kesan buruk yang akan berlaku serta tidak memahami suasana persekitaran.


# AL-UZLAH (MEMENCILKAN DIRI)

Satu lagi penyakit yang dihidapi para 'amilin ialah mengutamakan kehidupan secara bersendirian dan meninggalkan kehidupan secara berjemaah.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Kekuasaan Allah bersama jemaah. Sesiapa yang bersendirian, dia bersendirian di neraka. Sesungguhnya serigala memakan kambing yang bersendirian, tersaing dari kumpulannya." (HR Bukhari & Muslim)


# AL-I’JAB BIL NAFSI (TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI)

Al-ijab bil nafsi ialah suatu kegembiraan terhadap diri sendiri, hasil dari apa yang dilakukannya, sama ada perbuatan tanpa menyinggung orang lain,tanpa mengambil kira perkataan dan perbuatan tersebut baik atau buruk, terpuji atau keji.


# AL-GHURUR (TERTIPU DENGAN DIRI SENDIRI)

Al-ghurur ialah kekaguman seorang 'amilin terhadap dirinya sendiri sehingga mendorongnya ke tahap menghina dan memperkecilkan apa yang diusahakan orang lain yang menyerupai apa yang sedang dilakukannya. Namun, sikapnya itu tidaklah sampai ke tahap memperlekehkan peribadi saingannya.


# AL-TAKABBUR

Al-takabbur bermaksud seseorang 'amilin itu menonjolkan kebesaran ke atas dirinya dalam bentuk menghina orang lain dan memperlekehkan kewibawaan mereka. Di samping itu, ia dengan angkuh menolak untuk menerima kebenaran dari orang lain.


(Petikan: 'Wabak Sepanjang Jalan' oleh Dr Al-Syed Muhammad Noh)

23 April 2010

UNTUKMU, WANITA...


Ibnu Umar r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Wahai kaum wanita! Kamu bayarlah sedekah dan banyak bertaubat, kerana aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita.” Salah seorang daripada pendengar berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah kesalahan kami yang kebanyakan daripada kami akan memasuki neraka?Rasulullah SAW menjawab: "Kamu paling kerap mempunyai tabiat melaknat (semasa perbualan) dan kamu lebih tidak bersyukur kepada suami kamu. Aku tidak melihat seseorang yang kekurangan dalam ketakwaan dan hikmah seperti kamu tetapi menguasai seorang yang berhikmah.” (HR Bukhari & Muslim)

Ibnu Mas’ud r.a. telah memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Seseorang wanita patut ditutupi kerana apabila dia keluar, syaitan akan memandangnya.” (HR Tirmidzi)

Begitu juga, maka perlulah wanita menjaga suara supaya tidak didengari oleh orang luar. Adalah juga penting, lelaki menghindari dari melafazkan puisi di khalayak wanita lain oleh kerana wanita bersifat lembut hatinya dan mudah cenderung kepada pengaruh buruk.

Hasan Al-Basri r.a. memberitahu bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Allah melaknati orang yang memandang kepada seseorang wanita asing dan juga seseorang yang dipandang itu.”

Abu Musa r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Mata yang memandang kepada seseorang lelaki atau wanita asing dengan niat buruk adalah penzinaan dan seseorang wanita yang mewangikan dirinya dan kemudiannya lalu di hadapan khalayak lelaki adalah tiada bezanya." (HR Tirmidzi & Abu Dawud)

Ibnu Mulaika r.a. memberitahu bahawa apabila seseorang menyatakan kepada Aisyah r.a. bahawa seorang wanita sedang memakai sandal (kasut lelaki), maka dia menjawab bahawa Rasulullah melaknati wanita yang bersifat kelakian. (HR Abu Dawud)

"Adalah sunnah bagi wanita mengucap salam dan selamat antara satu sama lain dan berjabat tangan. Ini patut digalakkan." (HR Tabrani & Baihaqi) *Nota: antara sesama wanita sahaja.

Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi telah memberitakan dari Ash Shabi bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Laknatlah kepada penyanyi-penyanyi perempuan dan kepada sesiapa yang mereka nyanyikan.”

Dalam hadis: "Di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi dari bidadari kerana amal perbuatannya ketika di dunia." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Abu Hurairah r.a. berkata: "Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Anas r.a. berkata bahawa suatu ketika sekumpulan wanita datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, kaum lelaki telah memperoleh banyak pahala dengan ikut serta dalam jihad. Tunjukkan kepada kami suatu amalan yang dapat membantu kami memperoleh pahala sebagaimana yang telah dicapai oleh para mujahid." Rasulullah SAW bersabda: “Seorang di antara kamu yang tinggal di rumahnya (menjaga malu dan kehormatannya), akan memperoleh pahala jihad.” (Musnad Bazzar)

Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa di bulan (Ramadhan), menjaga kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka akan dikatakan kepadanya: ”Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu syurga mana saja yang kamu kehendaki.” (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a. dalam hadis yang panjang berkata: Bersabda Rasulullah: "Ada dua kelompok penghuni neraka yang belum pernah aku lihat; suatu kaum yang memiliki pecut seperti ekor sapi dan dipergunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang, berjalan sambil berlenggak-lenggok, kepala mereka bagaikan punuk unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula dapat mencium wanginya, padahal wangi syurga dapat tercium dari jarak sekian dan sekian." (HR Muslim)

Sayyidina Ali k.w.j. berkata: “Adakah kamu tidak merasa malu? Adakah kamu tidak merasa cemburu? Salah seorang daripada kamu membiarkan isterinya keluar di kalangan para lelaki ajnabi. Dia melihat kepada mereka dan mereka dapat melihat kepadanya.” (Hukum Wanita Bermusafir, Syeikh Nuruddin Merbu Banjar al-Makki)

Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman agar menundukkan pandangan mereka...”(QS An-Nur: 31)

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu seluruhnya akan ditanyakan - perihal perbuatannya masing-masing." (QS Al-lsra': 36)

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak meninggalkan sesudahku fitnah bagi kaum lelaki lebih berbahaya dari perempuan.” (Muttafaqun Alaih)

Dari Ma’al bin Yasir r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Lebih baik bagimu jika sebuah paku baja ditancapkan ke kepalamu daripada engkau menyentuh wanita yang tidak dihalalkan bagimu.”(HR Thabrani & Baihaqi)

Dari Abu Said r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seseorang lelaki itu melihat kepada auratnya orang lelaki lain, jangan pula seseorang wanita melihat auratnya orang wanita lain. Jangan pula seseorang lelaki itu berkumpul tidur dengan orang lelaki lain dalam satu pakaian dan jangan pula seseorang wanita itu berkumpul tidur dengan orang wanita lain dalam satu pakaian." (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali seseorang lelaki di antara engkau semua itu menyendiri dengan seorang wanita, melainkan haruslah ada mahramnya beserta wanita tadi." (Muttafaqun Alaih)

Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya malu dan iman adalah dua bersaudara. Jika salah satunya hilang, maka yang lainnya dengan sendirinya akan hilang.” (HR Baihaqi)

Wallahua'lam.

19 April 2010

BABI: HIKMAH PENGHARAMANNYA


Babi adalah sejenis haiwan yang bermancung panjang dan berhidung leper dan dikatakan haiwan yang berasal dari Eurasia. Ia juga dikenali sebagai khinzir (perkataan Arab). Selain itu, babi adalah salah satu mamalia yang paling pintar, dan dilaporkan lebih pintar dan lebih mudah dipelihara dibandingkan dengan anjing dan kucing.

Dalam al-Quran dinyatakan bahawa babi adalah najis yang haram jika disentuh dan haram untuk dimakan oleh umat Islam. Babi juga turut diharamkan dalam agama Yahudi dan Gereja Masehi Advent di kalangan penganut Kristian. Kajian tentang DNA babi mendapati bahawa struktur genetik babi adalah terhampir dengan struktur genetik manusia berbanding haiwan-haiwan lain.

PENYAKIT-PENYAKIT YANG BERPUNCA DARI DAGING BABI

Dr Murad Hoffman, Daniel S.Shapiro, MD, seorang Pengarah Clinical Microbiology Laboratories, Boston Medical Center, Massachusetts, dan juga merupakan penolong Profesor di Pathology and Laboratory Medicine, Boston University School of Medicine, Massachusetts, Amerika Syarikat menyatakan terdapat lebih dari 25 penyakit yang boleh berpunca dari babi. Di antaranya:

*Anthrax *Ascaris suum *Botulism *Brucella suis *Cryptosporidiosis *Entamoeba polecki *Erysipelothrix shusiopathiae *Flavobacterium group IIb-like bacteria *Influenza *Leptospirosis *Pasteurella aerogenes *Pasteurella multocida *Pigbel *Rabies *Salmonella cholerae-suis *Salmonellosis *Sarcosporidiosis *Scabies *Streptococcus dysgalactiae (group L) *Streptococcus milleri *Streptococcus suis type 2 (group R) *Swine vesicular disease *Taenia solium *Trichinella spiralis *Yersinia enterocolitica *Yersinia pseudotuberculosis. (http://id.wikipedia.org/wiki/Babi)

MENGAPA BABI HARAM?

Islam melarang segala jenis darah. Analisis kimia dari darah babi menunjukkan adanya kandungan asid urik yang tinggi, suatu adunan kimia yang berbahaya bagi kesihatan manusia yang bersifat racun. Dengan kata lain, asid urik adalah sampah dalam darah yang terbentuk akibat metabolisme tubuh yang tidak sempurna yang diakibatkan oleh kandungan purine dalam makanan. Dalam tubuh manusia, senyawaan ini dikeluarkan sebagai kotoran, dan 98% dari asid urik dalam tubuh, dikeluarkan dari dalam darah oleh ginjal.

Islam mempunyai peraturan khusus dalam penyembelihan haiwan, iaitu dengan menyebut nama Allah Yang Maha Kuasa dan membuat hirisan untuk memotong urat nadi leher haiwan, tanpa menjejaskan urat-urat dan organ-organ yang lain. Dengan cara ini, kematian haiwan adalah disebabkan kehabisan darah dari tubuh, bukannya kerana kecederaan pada organ asasnya. Jika organ-organ misalnya jantung, hati atau otak dirosakkan, haiwan tersebut mati dengan segera dan darahnya akan menggumpal dalam urat-uratnya dan akhirnya mencemari daging, mengakibatkan daging haiwan akan tercemar oleh asid urik, sehingga menjadikannya beracun. Kini, para ahli makanan telah mula menyedari akan perkara ini, Subhanallah.

Apakah kita tahu bahawa babi tidak dapat disembelih di leher? Ini kerana babi tidak memiliki leher. Bagi orang Islam beranggapan kalau babi memang boleh dimakan dan layak bagi makanan manusia, tentu Allah SWT akan menciptakan haiwan ini dengan memiliki leher. Ilmu kedoktoran mengetahui bahawa babi adalah perumah (host) kepada berbagai macam parasit dan penyakit berbahaya. Sistem biochemistry babi mengeluarkan hanya 2% dari seluruh kandungan asid uriknya, sedangkan 98% bakinya kekal tersimpan dalam tubuhnya.

Allah SWT dengan jelas telah MENGHARAMKAN babi di dalam ayat-ayat berikut:
a. Al-Baqarah 173
b. Al-Ma’idah 3
c. Al-An’am 145
d. An-Nahl 115

KEBURUKAN DAGING BABI


Babi adalah binatang yang paling hodoh dan kotor. Ia suka memakan bangkai, kotorannya sendiri serta kotoran manusia. Ia sangat suka berada pada tempat yang kotor, tidak suka berada di tempat yang bersih dan kering. Babi adalah haiwan yang pemalas dan tidak suka bekerja, tidak tahan terhadap panas terik matahari, tetapi makan dengan rakus (lebih suka makan dan tidur), bahkan yang paling rakus di antara spesies haiwan-haiwan jinak. Jika bertambah umurnya, ia menjadi semakin malas & lemah. Suka dengan sejenis dan tidak cemburu. (Petikan dari ‘Adaptive Physiology on Mammals and Birds’).

Pengguna daging babi sering mengeluh tentang bau busuk pada daging babi (menurut penelitian ilmiah, hal tersebut disebabkan kerana pundi najis babi sering bocor, sehingga tahi babi merebak ke daging). Babi juga memiliki lemak punggung yang sangat tebal. Pemakan babi sering memilih daging babi yang nipis lemak punggungnya, kerana semakin tipis lemak punggungnya, kualitinya dianggap lebih baik.

Babi adalah sejenis haiwan yang kerakusannya dalam makan tidak dapat ditandingi haiwan2 lain. Ia makan semua makanan yang ada di hadapannya. Jika perutnya telah penuh atau makanannya telah habis, ia akan memuntahkan semula isi perutnya dan memakannya semula, untuk memuaskan kerakusannya. Ia tidak akan berhenti makan, bahkan memakan muntahnya. Ia memakan semua yang mampu dimakan di hadapannya. termasuklah najis manusia, haiwan atau tumbuhan, bahkan memakan kotorannya sendiri, hingga tidak ada lagi yang boleh dimakan di hadapannya.

Kadangkala ia kencing pada najisnya, kemudian memakannya kembali. Ia memakan sampah busuk dan kotoran haiwan. Babi adalah satu-satunya haiwan mamalia yang memakan tanah, memakannya dalam jumlah yang besar. Dalam waktu yang lama jika dibiarkan kulit orang yang memakan babi akan mengeluarkan bau yang hanyir.

Penelitian ilmiah moden di dua negara Timur & Barat, iaitu China dan Sweden menyatakan bahawa daging babi merupakan penyebab utama kanser anus & kolon. Peratus penderita penyakit ini di negara-negara yang penduduknya memakan babi, meningkat secara drastik, terutama di negara-negara Eropah, dan Amerika, serta di negara-negara Asia (seperti China dan India). Sementara di negara-negara Islam, peratusannya amat rendah, sekitar 1/1000. Hasil kajian ini diterbitkan pada 1986, dalam Persidangan Tahunan Sedunia tentang Penyakit Alat Pencernaan, yang diadakan di Sao Paulo, Brazil.

Babi banyak mengandungi parasit, bakteria, bahkan virus yang berbahaya, sehingga dikatakan sebagai reservoir (takungan) penyakit. Antara virus berbahaya berpunca dari babi adalah H1N1. Virus normal Al (Strain H1N1 dan H2N1) tidak akan menular secara langsung kepada manusia. Virus Al mati dengan pemanasan 60C lebih-lebih lagi apabila dimasak sehingga mendidih. Apabila melibatkan babi, virus AI dapat melakukan mutasi & boleh berkembang sehingga menjadi H5N1. Virus AI Strain H5N1 dapat menular ke manusia. Virus H5N1 ini telah menyerang Hong Kong pada tahun 1968 dan membunuh 700.000 orang (diberi nama Flu Hong Kong).

Meskipun empuk dan kelihatan begitu enak dan lazat, daging babi adalah daging yang sangat susah untuk dihadamkan kerana ia mengandungi banyak lemak. Dagingnya ibaratnya racun, begitu juga kolesterol!

Pada tahun 2001, para doktor Amerika Syarikat berjaya mengeluarkan cacing yang berkembang di otak seorang wanita, setelah beberapa waktu mengalami gangguan kesihatan yang ia rasakan setelah memakan hamburger (ham = babi). Wanita tersebut menegaskan bahawa dia merasa penat-penat (letih) selama 3 tahun setelah makan daging babi.

PENGHARAMAN BABI


Menggunakan babi hukumnya haram, baik atas daging, lemak, mahupun bahagian-bahagian yang lain. Ini dinyatakan dengan jelas melalui firman Allah SWT dalam ayat-ayat di atas.

Al-Quran menggunakan kata ‘lahma’ (daging) kerana sebahagian besar pengambilan manfaat dari babi adalah daging. Selain itu, dalam daging babi selalu terdapat lemak. Al-Quran menggunakan kata lahma, pengharaman babi bukan hanya dagingnya, tetapi keseluruhan tubuh babi.

Hikmah diharamkannya daging babi, terutama mengandungi cacing pita, seringkali disanggah oleh para ahli perubatan moden. Mereka mengatakan bahawa cacing tersebut mudah dihilangkan, bahkan dengan teknik masakan yang paling sederhana. Pandangan ini sungguh luarbiasa kerana babi itu sendiri menjijikkan bagi orang yang bersih jiwanya. Allah SWT telah mengharamkan babi sejak masa silam untuk waktu yang lama agar manusia mengetahui.

Manusia kini baru mengenal sedikit bahayanya, yakni cacing pita, namun demikian jauh sebelum itu Allah SWT telah mengharamkannya. Mungkin sekarang orang menganggap bahawa peralatan masak moden telah mengalami kemajuan, sehingga ada yang menerima kalau daging babi tidak lagi membahayakan dan bukan merupakan sumber ancaman bagi manusia. Dengan teknologi pengolahan makanan dan teknik pemanasan yang canggih, bahaya itu sudah boleh dihilangkan.

Mereka lupa bahawa untuk mengatasi bahaya cacing pita saja telah memakan waktu berabad-abad. Itu hanya untuk mengungkap satu penyakit saja. Siapa yang dapat menjamin bahawa di luar penyakit itu sudah tidak ada lagi bahaya yang terkandung di dalam daging babi. Apakah tidak selayaknya syari’at yang jauh lebih mendahului kemajuan pengetahuan manusia puluhan abad yang lalu kita percayai sepenuhnya? Semua keputusan diserahkan pada syari’at. Kita menghalalkan apa yang dibolehkan dan menghindari apa yang dilarang. Syariat ini adalah dari Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui segala makhluk-Nya.

Munculnya penyakit Japaneese Encephalitis (JE) di Malaysia suatu ketika dulu, telah kembali membuka mata. Satu lagi bencana mengancam manusia timbul dan bersumber dari babi. Rupanya Allah masih sayang pada manusia, sehingga sekali lagi manusia diingatkan agar menjauhi haiwan haram itu. Sudah banyak sekali bukti-bukti yang menunjukkan keburukan babi. Namun setakat ini manusia tetap nekad memakannya.

BABI DALAM DUNIA PERUBATAN MODEN


Bagi pengguna Muslim, babi adalah antara bahan yang diharamkan untuk diproses dan dimanfaatkan. Namun, babi sering dijadikan sebagai model penelitian yang berkaitan dengan manusia, kerana kemiripan sistem penting dalam tubuhnya. Penggunaan bahagian-bahagian babi dalam industri farmaseutikal ternyata cukup besar. Beberapa bahagian dari babi yang pernah dan atau masih menyumbangkan peranannya dalam industri farmaseutikal adalah sebagai berikut :

Kelenjar adrenalin babi
Kelenjar ini terdapat pada ginjal. Kelenjar ini dapat menghasilkan hormon yang disebut sebagai steroid dan epinephrine. Hormon hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal babi pernah merupakan sumber penting yang digunakan untuk mengatasi beberapa penyakit yang disebabkan oleh ketidakseimbangan tubuh.

Kelenjar pankreas babi

Salah satu hormon yang dihasilkan oleh pancreas babi adalah insulin. Insulin digunakan ke atas pesakit-pesakit diabetes (kencing manis). Insulin berfungsi untuk mengatur metabolisme gula dalam tubuh. Salah satu sumber insulin yang sudah tidak asing lagi digunakan dalam dunia perubatan adalah insulin babi. Sebanyak 60 ribu ekor babi diperlukan untuk menghasilkan 1 paun insulin dari yang mampu merawat pengidap diabetes seramai 750-1000 orang selama setahun, jumlah yang cukup besar. Ketika ini ada alternatif lain pengganti insulin seperti humulin yang walaupun lebih mahal sedikit, ternyata mendapat permintaan yang tinggi dari pesakit-pesakit Muslim untuk mengganti hormon insulin babi.

Lambung babi
Lapisan dalam lambung mengandung protein dan enzim. Bahagian ini secara komersial digunakan untuk membuat sejenis bahan untuk membantu pencernaan (digestive aids).

Usus halus babi
Heparin adalah bahan yang ditemui secara eksklusif pada dinding dalam usus halus babi. Heparin diklasifikasikan sebagai salah satu produk farmaseutikal yang penting.

Jantung babi
Jantung babi digunakan untuk mengganti beberapa bahagian jantung manusia yang sudah tidak berfungsi lagi. Bahagian jantung babi yang digunakan pada manusia, ternyata sangat sesuai pada tubuh manusia. Hal ini menunjukkan bahawa banyak kemiripan pada sistem penting antara manusia dan babi.

MENGAPA BABI HARAM UNTUK UMAT ISLAM?


Ada seorang ilmuwan bertanya kepada seorang Ulama mengenai babi:

Ilmuwan : Haramnya haiwan babi bagi umat Muslim adalah disebabkan kerana banyaknya parasit dan kotoran dalam haiwan ini. Dengan semakin canggihnya ilmu kedoktoran, bukannya mungkin nantinya haiwan babi dapat dibersihkan dari virus dan parasit yang mematikan ini? Apakah nantinya haiwan babi yang bersih akan menjadi halal?

Ulama : Haramnya babi bukan kerana sebab itu saja. Tetapi ada sifat babi yang sangat diharamkan untuk umat Islam.

Ilmuwan : Apakah itu?

Ulama : Cuba anda buat 2 kandang. Dimana 1 kandang diisi dengan 2 ekor ayam jantan dan 1 ekor ayam betina. 1 kandang lagi diisi dengan 2 ekor babi jantan dan 1 ekor babi betina. Apakah yang terjadi pada masing2 kandang tersebut? Bolehkah anda menekanya?

Ilmuwan : Tidak boleh!!!!

Ulama : Mari kita lihat bersama-sama sekarang. Pada kandang pertama di mana ada 2 ekor ayam jantan dan 1 ekor ayam betina, 2 ekor ayam jantan tersebut berkelahi dahulu untuk merebutkan 1 ekor ayam betina tersebut sampai ada yang menang dan kalah. Dan itu sesuai dengan Kudrat dan Fitrah manusia diciptakan Allah SWT.

Ilmuwan : Pada kandang babi?

Ulama : Ini yang menarik. Pada kandang kedua, iaitu kandang berisi 2 ekor babi jantan dan 1 ekor babi betina. Ternyata 2 ekor babi jantan tidak berkelahi untuk memperebutkan 1 ekor babi betina, tetapi 2 ekor babi jantan tersebut malahan menyetubuhi secara beramai-ramai 1 ekor babi betina tersebut dan juga terjadi hubungan Homoseksual antara kedua ekor babi jantan setelah selesai dengan si betina. Hal inilah yang jelas2 bertentangan dengan Fitrah umat manusia. Bilamana umat Islam ikut-ikutan memakan babi, maka ditakutkan umat Islam akan mempunyai sifat dan perangai seperti babi ini.

MENINGGALKAN LARANGAN TUHAN


Perbezaan antara seorang mukmin dengan kafir dalam amal perbuatannya terutama didasarkan dari niatnya. Seorang yang beriman ketika mengerjakan sesuatu atau meninggalkannya, selalu mendasarkan tindakannya itu atas perintah dan larangan dari Allah SWT. Sebaliknya seorang kafir tidak pernah menjadikan perintah dan larangan Allah SWT sebagai landasan amalnya.

Misalnya, ketika seorang muslim melakukan solat dan ditanyakan kepadanya, mengapa dia solat? Maka jawapannya adalah bahawa kerana Allah SWT telah memerintahkannya untuk solat. Tentang solat itu ada manfaatnya buat kesihatan atau ketenangan jiwa dan sebagainya, tidaklah menjadi landasan dasar atas solatnya. Dan di situlah niat yang sesungguhnya.

Demikian juga ketika seorang mukmin meninggalkan arak, zina, judi dan makan babi, niatnya semata-mata kerana dia tunduk, taat dan patuh kepada larangan dari Allah SWT. Bukan sekadar mengejar hikmah dan tujuan yang bersifat duniawi. Tidak meminum arak bukan kerana sekadar memabukkan, tetapi semata-mata kerana mematuhi larangan Allah SWT. Menghindari zina bukan kerana takut terkena HIV, tetapi kerana ada larangan dari Allah SWT. Demikian juga, tidak memakan babi bukan kerana takut pada cacing pita, tetapi kerana Allah SWT sudah mengharamkannya.

Sebenarnya masih banyak lagi rahsia dan hikmah di balik larangan memakan babi. Namun semua itu sekadar menambahkan lagi keyakinan yang sudah ada di dalam diri kita. Ianya bukan sebagai landasan utama. Yang penting, kita meninggalkan tegahan Allah SWT untuk mencapai keredhaanNya.

Wallahua’lam.

17 April 2010

MINYAK ZAITUN MENURUT AL-QURAN & HADIS


Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan penyakit dan ubatnya, dan menjadikan setiap penyakit pasti ada ubatnya. Maka berubatlah kalian, tapi jangan dengan yang haram.” (HR Abu Dawud) Berdasarkan hadis ini, maka tidak hairanlah mengapa para alim ulama lebih cenderung kepada makanan-makanan sunnah untuk mengubati penyakit-penyakit manusia berbanding ubat-ubat moden yang kandungannya diragui (syubhah).

Salah satu makanan sunnah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW telah menganjurkan penggunaan minyak zaitun, kerana khasiatnya yang amat besar, dikeluarkan dari pohon zaitun yang diberkati.


Firman Allah SWT: “Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkah, yakni pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya berlapis-lapis, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” (QS An-Nur: 35)

Firman Allah SWT: Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (QS Al-An’am: 99)

Firman Allah SWT: Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (An-Nahl:11)

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda: "Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati." (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah). Di dalam riwayat lain menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Barangsiap menggosok (badannya) dengan minyak zaitun, syaitan tidak akan mendekatinya."

Pohon zaitun tumbuh di puncak bukit. Ia mendapat sinar matahari baik di waktu matahari terbit mahupun sewaktu matahari terbenam, sehingga pohonnya subur dan buahnya menghasilkan minyak yang baik. Jika diminum, ianya bermanfaat untuk menguatkan daya ingatan, menguatkan hempedu, mencegah masalah pencernaan, mengubati penyakit buasir dan impotensi, membantu masalah haid, menghilangkan racun dalam tubuh, mencegah pertumbuhan sel-sel kanser, menurunkan kadar gula dan kolesterol, mencegah penyakit kencing manis serta bermacam-macam khasiat lagi untuk kesihatan manusia.

Jika disapukan, ianya bermanfaat untuk menghilangkan kedutan pada wajah, melindungi dari bakteria, mencegah keguguran rambut, menghilangkan penyakit kulit, menghaluskan serta melembabkan kulit, melambatkan proses penuaan dan menjaga kebersihan kulit kepala.

Rasulullah SAW adalah suri teladan terbaik bagi umat Islam. Teladan yang ditunjukkan oleh Baginda mencakupi semua aspek kehidupan, termasuklah dalam memelihara kesihatan serta merawat penyakit.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)

Wallahua’lam.

06 April 2010

TOK KENALI: ULAMA PERINGKAT WALI


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?. Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian. Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.

Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.