Diceritakan bahawa di Hari Akhirat kelak, ada seorang hamba Allah sedang di adili. Ia dituduh bersalah, menyia-nyiakan umurnya di dunia untuk berbuat maksiat. Tetapi ia berkeras membantah. "Tidak. Demi langit dan bumi sungguh tidak benar. Saya tidak melakukan semua itu." "Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa," jawab malaikat.
Orang itu lalu menoleh ke kiri dan ke kanan, dan ke segenap penjuru. Tetapi anehnya, ia tidak menjumpai seorang saksi pun yang sedang berdiri. Di situ hanya ada dia bersendirian. Lalu ia pun menyanggah: "Manakah saksi-saksi yang kau maksudkan? Di sini tidak ada siapa kecuali aku dan suaramu."
"Inilah saksi-saksi itu," ujar malaikat. Tiba-tiba matanya mula berbicara: "Saya yang memandang." Disusul oleh telinga: "Saya yang mendengar." Hidung pun tidak ketinggalan: "Saya yang mencium." Bibir mengaku: "Saya yang merayu." Lidah menambah: "Saya yang menghisap." Tangan meneruskan: "Saya yang meraba dan meramas." Kaki menyusul: "Saya yang dipakai lari ketika diketahui orang."
"Nah kalau kubiarkan, seluruh anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu itu," ucap malaikat. Orang tersebut tidak dapat mempertahankan dirinya lagi. Ia putus asa dan amat dukacita, sebab sebentar lagi dia bakal dihumbankan ke dalam jahannam. Padahal, rasa-rasanya ia telah bebas dari tuduhan dosa itu.
Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, sekonyong-konyong terdengar suara yang amat lembut dari selembar bulu matanya: "Saya pun ingin juga mengangkat sumpah sebagai saksi." "Silakan", kata malaikat. "Terus terang saja, menjelang ajalnya, pada suatu tengah malam yang sunyi, aku pernah dibasahinya dengan air mata ketika ia sedang menangis menyesali perbuatan buruknya. Bukankah Nabinya pernah berjanji, bahawa apabila ada seorang hamba kemudian bertaubat, walaupun selembar bulu matanya saja yang terbasahi air matanya, namun sudah diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka saya, selembar bulu matanya, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah melakukan taubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan."
Dengan kesaksian selembar bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan dihantarkan ke syurga. Sampai terdengar suara didengari oleh para penghuni syurga: "Lihatlah, Hamba Tuhan ini masuk ke syurga kerana pertolongan selembar bulu mata."
Wallahua'lam.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan