Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


22 Jun 2009

MENTAATI KEDUA IBUBAPA DALAM ISLAM


TAAT kepada ibu bapa adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana mentaati ibu bapa bererti mentaati perintahNya. Allah SWT memberikan kedudukan yang tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka. Ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firmanNya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapamu. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut di dalam pemeliharaanmu, maka janganlah kamu sekali-kali mengatakan kepada kedua-duanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." (QS Al-Isra':23).

Berbakti kepada kedua ibu bapa bermaksud berbuat baik kepada mereka, mentaati, melaksanakan hak, menjauhi perkara yang menyakiti hati dan kehidupan mereka serta banyak lagi bakti yang patut dilaksanakan untuk mereka. Perintah mentaati ibu bapa tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu, malah rasulNya juga tidak terlepas daripada melakukan ketaatan seperti pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ismail AS memenuhi permintaan bapanya, Nabi Ibrahim AS. Firman Allah: "... Wahai ayah, jalankan apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku termasuk di kalangan orang-orang yang sabar." (QS As-Shaffat:102).

Ayat berkenaan menjelaskan bagaimana Nabi Ismail AS berbakti kepada bapanya Nabi Ibrahim AS dengan mentaati perintah Allah SWT. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat, sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturrahim."

Pada dasarnya, berbakti kepada ibu bapa tidak bermakna hanya di kala ibu bapa masih hidup, malah ketika mereka telah tiada. Abu Daud dan Ibnu Majah serta Ibnu Hibban di dalam sahihnya, daripada Abi Asid Malik bin Rabi'ah As-Sa'idy, berkata: "Ketika kami sedang duduk di rumah Rasulullah, tiba-tiba datang seorang lelaki dari Bani Salamah lalu berkata : "Ya Rasulullah apakah masih ada apa-apa cara yang boleh saya lakukan untuk berbakti kepada ibu bapa selepas mereka meninggal dunia?" Rasulullah SAW bersabda: "Ya, menyembahyangkan jenazah mereka, dan meminta ampunkan dosa mereka, dan menunaikan janji mereka setelah mereka meninggal dunia serta membuat tali silaturrahim yang tidak disambung kecuali dengan mereka dan menghormati kawan-kawan mereka."

Menziarahi kubur ibu bapa dikira sebagai amalan bakti yang akan diberi ganjaran baik, sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan oleh Thabrani dalam Al-Ausath bermaksud: "Sesiapa yang menziarahi kuburan kedua ibu bapanya atau salah seorang di antara mereka setiap hari Jumaat, nescaya diampuni dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti."

Beruntunglah bagi setiap anak yang mengambil berat dan mentaati akan kedua-dua ibu bapa mereka sama ada sewaktu hidup mahupun setelah mereka (ibu bapa) tiada.
.

Tiada ulasan: