Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


29 Januari 2010

KISAH TSA'LABAH


Suatu hari Rasulullah SAW sedang bersolat bersama para sahabat Baginda. Di antara sederetan sahabat di belakang Rasulullah, kelihatan seorang yang kusut masai rambutnya dengan berpakaian lusuh. Ia dikenali sebagai seorang sahabat yang tekun beribadah.

Setelah menyelesaikan solat, sahabat berpakaian lusuh itu segera bergerak pulang tanpa membaca wirid dan berdoa terlebih dahulu, lalu Rasulullah menegurnya: “Tsa’labah! Mengapa engkau tergesa-gesa pulang. Tidakkah engkau berdoa terlebih dahulu. Bukankah tergesa-gesa keluar dari masjid adalah kebiasaan orang-orang munafik?

Tsa'labah menghentikan langkahnya. Beliau sangat malu kerana ditegur oleh Rasulullah SAW, maka terpaksalah dia berterus terang kepada Rasulullah. "Wahai Rasulullah, kami hanya memiliki sepasang pakaian untuk solat dan ketika ini isteriku di rumah belum melaksanakannya solat kerana menunggu pakaian yang aku kenakan ini. Pakaian yang hanya sepasang ini kami gunakan untuk solat secara bergantian. Kami sangat miskin. Untuk itu, ya Rasulullah, jika engkau berkenan, doakanlah kami agar Allah menghilangkan semua kemiskinan kami ini dan memberi rezeki yang banyak."

Pada mulanya Rasulullah SAW menolak permintaan tersebut sambil menasihati Tsa'labah agar meniru kehidupan Baginda sahaja. Namun Tsa'labah terus mendesak beberapa kali. Akhirnya dia mengemukakan alasan yang sering kita dengar: "Ya Rasulullah, bukankah kalau Allah memberikan kekayaan kepadaku, maka aku dapat memberikan kepada setiap orang haknya?"

Rasulullah SAW akhirnya mendoakan Tsa'labah. Kemudian Rasulullah SAW memberikan kambing betina yang sedang bunting kepada Tsa’labah: "Peliharalah kambing ini baik-baik", pesan Rasulullah. Ternakannya mula berkembang biak sehingga dia terpaksa membina ladang ternakan yang agak jauh dari Madinah. Seperti yang diduga, setiap hari dia sibuk menguruskan ternakannya. Lama-kelamaan, dia tidak lagi menghadiri solat berjemaah bersama Rasulullah SAW di siang hari.

Hari-hari seterusnya, ternakannya semakin membiak, sehingga semakin sibuk pula Tsa'labah mengurusnya. Kini, dia tidak dapat lagi berjemaah bersama Rasulullah SAW. Bahkan menghadiri solat Jumaat dan solat jenazah pun tak dapat dilakukannya lagi.

Ketika turun perintah zakat, Rasulullah SAW memerintahkan dua orang sahabat untuk mengambil zakat daripada Tsa'labah. Sayang, Tsa'labah menolak utusan Nabi itu. Ketika utusan Nabi datang melaporkan masalah Tsa'labah ini, Nabi menyambut utusan itu dengan ucapan beliau: "Celakalah Tsa'labah!" Rasulullah SAW murka, dan Allah SWT pun murka!

Ketika itu turunlah ayat Quran dari Surah At-Taubah ayat 75-78: "Dan di antara mereka ada yang telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh."

Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran).

Maka Allah menimbulkan kemunafikan dalam hati mereka sampai pada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepadaNya dan (juga) kerana mereka selalu berdusta.

Tidaklah mereka tahu bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui yang ghaib?"

Tsa'labah mendengar ada ayat turun mengecam dirinya, dia mulai ketakutan. Segera dia menemui Rasulullah SAW sambil menyerahkan zakatnya. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya: "Allah melarang aku menerimanya." Rasulullah SAW mengambil segenggam tanah lalu ditaburkan di atas kepala Tsa’labah: “Inilah perumpamaan amalanmu selama ini, sia-sia belaka. Aku telah perintahkan agar engkau menyerahkan zakat tetapi engkau menolak, celakalah engkau Tsa’labah”.

Tsa'labah menangis tersedu-sedu. Setelah Rasulullah SAW wafat, Tsa'labah menyerahkan zakatnya kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a., kemudian Saidina Umar Al-Khattab r.a., tetapi kedua Khalifah itu menolaknya. Tsa'labah akhirnya meninggal dunia pada masa pemerintahan Saidina Utsman Al-Affan r.a.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Bersedekahlah, dan jangan tunggu satu hari nanti di saat engkau ingin bersedekah tetapi orang miskin menolaknya dan mengatakan 'kami tidak memerlukan wangmu, yang kami memerlukan adalah darahmu’!"

Di manakah Tsa'labah sekarang? Jangan-jangan kitalah Tsa'labah-Tsa'labah baru yang dengan linangan air mata memohon agar rezeki Allah turun kepada kita, dan apabila rezeki itu diterima, dengan sombongnya akhirnya kita lupakan kemurahan Allah SWT.

Apakah mungkin kitalah Tsa'labah? Mungkin benar, mungkin tidak. Tetapi yang nyata, Tsa'labah masih hidup dan ‘mazhab’nya masih popular sehingga kini...

Wallahua'lam.

24 Januari 2010

RENUNGAN BUAT SEKALIAN MUSLIMAT


Wanita yang taat berkhidmat pada suaminya akan tertutup tujuh pintu neraka dan terbuka tujuh pintu syurga. Masuklah mana-mana pintu yang ia sukainya dengan tanpa hisab.

Rasulullah SAW bersabda: "Wanita, apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, maka masuklah dari mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki."

Rasulullah SAW bersabda: "Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah."

Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan, kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya, maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina."

Rasulullah SAW bersabda: "Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongaklah syaitan memandang akan dia."

Rasulullah SAW bersabda: "Wanita yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak, haramlah baginya bau syurga."

Rasulullah SAW bersabda: "Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya."

Rasulullah SAW bersabda: "Wanita yang tinggal di rumah bersama anak-anaknya akan tinggal bersama ku di dalam syurga."

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapuskan baginya seribu kejahatan."

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil)."

Rasulullah SAW bersabda: "Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap gelita pada hari Qiamat, tiada nur baginya."

Syeikh Abdullah bin Abdul Rahim Al-Fatani menulis dalam kitabnya 'MUHIMMAH': "Derhaka seorang perempuan yang keluar dari rumahnya kepada majlis zikir atau majlis ilmu yang bukan fardhu ain. Wajiblah atasnya keluar supaya belajar ia akan segala fardhu ain dan haram atas suaminya menegah isteri jika ia (suami) tidak mampu mengajarnya. Jika ia ada ilmu, nescaya wajib atasnya mengajar akan isterinya itu maka ketika itu (suami mampu mengajar isterinya akan fardhu ain) haramlah keluar perempuan itu dari rumahnya lagi derhaka ia."

Wallahua'lam.

21 Januari 2010

ALLAH MURAH REZEKI HAMBA BERMURAH HATI (H.METRO, 30/12/2009)


KEDEKUT menggambarkan sikap seseorang yang berat hati untuk membelanjakan harta milikinya sama ada bersedekah, zakat atau membantu mereka yang memerlukan. Sikap itu bertentangan dengan tuntutan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (QS al-Maidah: 2)

Rasulullah SAW bersabda: “Takutilah kamu akan bakhil, kerana bakhil itu pernah membinasakan orang dahulu daripada kamu sehingga mereka suka mengalirkan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang diharamkan ke atas mereka.”

Tabiat kedekut berpunca daripada sikap terlalu sayangkan harta. Ia boleh menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah dan mengerjakan ibadat, sebaliknya memalingkan muka hati kepada dunia semata-mata.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi.” (QS al-Munafiqun: 9)

Jadi, bagi menyucikan sebahagian harta, setiap orang perlu manfaatkan harta itu dengan membelanjakannya ke jalan yang boleh memberi manfaat.

Kita juga disaran berusaha memperbaiki kelemahan dan ‘meloloskan’ diri daripada kemiskinan kerana kemelaratan itu hanya akan menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Tangan memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Jadi kita perlu sematkan dalam diri untuk bersedekah, Insya-Allah harta yang dikeluarkan akan diganti berlipat ganda. Jangan hanya sebab harta benda kita bermusuh sesama sendiri. Berdasarkan konsep rezeki yang diterangkan, Allah memberi jalan seluas-luasnya bagi setiap hamba-Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk.

Justeru, selagi berpeluang bernafas, manfaatlah harta untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain kerana rezeki yang kita miliki kadangkala ada hak kepada orang lain. Selain itu, menunaikan hajat orang lain juga boleh meluaskan jajaran rezeki.

Ibnu Abbas r.a. berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan boleh menggelapkan rupa, hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Amalan bersedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki kita seluas-luasnya. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam r.a., maksudnya: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu tergantung di Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (HR ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

Saidina Abu Bakar r.a. berkata, maksudnya: "Orang-orang yang terlalu bakhil mereka tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan iaitu:

1.Allah memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim, lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.

2.Allah akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir dan tenggelam dalam tanah.

3.Selepas meninggal, hartanya akan diwarisi mereka yang mempergunakan di jalan maksiat dan kemungkaran.

4.Allah akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga ia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakit itu.

5.Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat, lalu ia sendiri terlupa sehingga tidak boleh menemuinya.

6.Terlintas dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak, akibatnya hartanya musnah.

7.Allah meninggikan syahwat bakhilnya sehingga ia sendiri yang akan memusnahkan."

Wallahua'lam... ::

20 Januari 2010

SERUAN BUMI DAN KUBUR


Menurut Imam Anas bin Malik r.a.:

Bumi ini menyeru manusia setiap hari dengan 10 panggilan:

1. "Wahai anak cucu Adam, kamu berjalan di atasku, ingatlah tempat kembalimu di dalam perutku."

2. "Kamu melakukan maksiat dan dosa-dosa di atasku, ingatlah kamu akan diseksa dalam perutku."

3. "Kamu bergurau senda di atasku, ingatlah kamu akan menangis di dalam perutku."

4. "Kamu memakan barang haram di atasku, ingatlah cacing akan memakan kamu di dalam perutku."

5. "Kamu bergembira di atasku, ingatlah kamu akan merasa susah dalam perutku."

6. "Kamu menggunakan barang-barang haram di atasku, ingatlah kamu akan hancur dalam perutku."

7. "Kamu bersikap sombong di atasku, ingatlah kamu akan menjadi hina dina dalam perutku."

8. "Kamu berjalan dengan bersukaria di atasku, ingatlah kamu akan merasa kesedihan dalam perutku."

9. "Kamu berjalan diterangi cahaya di atasku, ingatlah kamu akan kegelapan di dalam perutku."

10. "Kamu berada dalam keramaian di atasku, ingatlah kamu akan duduk bersendirian dalam perutku."


Setiap hari kubur akan memanggil manusia sebanyak 5 kali:

1. "Aku adalah rumah yang sunyi dan keseorangan. Bagi memeriahkannya hendaklah kamu membaca Al-Quran."

2. "Aku adalah rumah yang gelap gelita. Terangilah aku dengan sembahyang malam."

3. "Aku adalah rumah yang dipenuhi dengan habuk dan debu. Hendaklah kamu membawa bekal taqwa dan amal-amal soleh."

4. "Aku adalah rumah yang dipenuhi ular. Bawalah pendinding iaitu bacaan ‘Bismillahirrahmanirrahim' hingga mencucurkan air mata."

5. "Aku adalah rumah pertanyaan Mungkar Nakir. Perbanyakkanlah membaca ‘Laa ilaaha illallah, Muhammadur Rasulullah’ agar kamu dapat memberi jawapan kepadanya."


Firman Allah SWT: "Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." (QS Al-Jumu'ah: 8)

Allah SWT juga berfirman: "Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya; dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur." (QS Al-Hajj: 7)


Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat." (HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Rasulullah SAW juga bersabda: "Apabila seseorang itu sudah mati, maka diperlihatkan kepadanya tempat di mana ia akan duduk, pada setiap pagi dan petang. Jika ia termasuk ahli syurga, maka ia (melihat) syurga, dan apabila ia termasuk ahli neraka, maka ia pun (melihat) neraka." Sabda Nabi lagi: "Kemudian dikatakan: "Inilah tempatmu yang dibangkitkan di Hari Kiamat." (HR Muslim)


Wallahua'lam.

15 Januari 2010

PEMANGKU RAJA IMAM SOLAT HAJAT (B.HARIAN, 15/1/10)


Majlis doakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, malam tadi mengimamkan solat hajat dan menyertai majlis bacaan Yassin yang disertai lebih 1,000 rakyat Kelantan yang diadakan secara terbuka dalam Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini.

Majlis anjuran Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan, bertujuan mendoakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang ketika ini sedang gering dalam rawatan di Singapura serta pentadbiran kerajaan dan rakyat Kelantan yang kini dipayungi Pemangku Raja.

Terdahulu, ketibaan Tengku Muhammad Faris Petra kira-kira jam 7 malam, disambut Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Exco kerajaan negeri.

Solat hajat itu diadakan susulan majlis meraikan kepulangan Pemangku Raja dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa petang semalam, yang dianjurkan jawatankuasa berkenaan bagi melafazkan kesetiaan dan sokongan kepada baginda.

Pada majlis ringkas itu, Tengku Muhammad Faris Petra sempat melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang berhimpun menanti kepulangannya.

"Terima kasih, terima kasih semua kerana hadir," titahnya secara spontan sambil bersalaman dengan pelbagai lapisan rakyat, dan dianggarkan lebih 5,000 menyambut kepulangan baginda dari Kuala Lumpur.

Beliau bertitah demikian sejurus selesai mengaminkan doa selamat yang dibacakan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Tengku Muhammad Faris turut berkenan menerima memorandum daripada Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan yang disertakan cenderahati berupa sebilah keris yang disampaikan Pengerusinya, Wan Mokhtar Wan Abdul Rahman.

Antara lain, memorandum itu menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Pemangku Raja dalam pelbagai isu yang berbangkit di Kelantan sejak akhir-akhir ini.

Jawatankuasa itu turut memohon perhatian baginda terhadap enam perkara yang disenaraikan, termasuk membawa balik Sultan Kelantan bagi mendapatkan rawatan di mana-mana hospital di Malaysia; membenarkan doktor, pembesar negeri serta rakyat menziarahi Tuanku Ismail dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyeleweng wang rakyat serta menyalahgunakan kuasa di Kelantan.


12 Januari 2010

DIALOG PEMUDA ISLAM DAN PADERI


Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menamatkan pengajiannya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan ilmu pengetahuan yang mendalam tentang agama Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah SWT memberinya hidayah untuk memeluk Islam.

Pada suatu hari, mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula-mula dia keberatan, namun kerana desakan, akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaan temannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku di dalam gereja tersebut.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata: "Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini."

Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata: "Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya. " Barulah pemuda ini bangun berdiri dan keluar dari gereja tersebut.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi: "Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang Muslim?"

Paderi itu menjawab: "Dari tanda yang terdapat di wajahmu."

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda tersebut dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim itupun menerima seruan debat tersebut.

Paderi berkata: "Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat. " Si pemuda tersenyum, lalu berkata: "Silakan!"

Sang paderi pun mulai bertanya: "Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada lapannya, lapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya."

"Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam syurga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!"

"Siapakah yang tercipta dari api? Siapakah yang diazab dengan api? Dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu? Siapakah yang diazab dengan batu? Dan siapakah yang terpelihara dari batu?"

"Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?"

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah SWT. Setelah membaca Basmalah, dia berkata:

- Satu yang tiada duanya ialah Allah SWT.

- Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah SWT berfirman: "Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami)." (QS Al-Isra': 12).

- Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil Dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

- Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran.

- Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

- Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah hari ketika Allah SWT menciptakan makhluk.

- Tujuh yang tiada lapannya ialah langit yang tujuh lapis. Allah SWT berfirman: "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang." (QS Al-Mulk: 3)

- Lapan yang tiada sembilannya ialah malaikat pemikul Arasy Ar-Rahman. Allah SWT berfirman: "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan orang malaikat menjunjung 'Arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka." (QS Al-Haqqah: 17).

- Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa AS yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin taufan, musim kemarau, katak, darah, kutu dan belalang.

- Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah SWT berfirman: "Barangsiapa yang berbuat kebaikan, maka untuknya sepuluh kali lipat." (QS Al-An'am: 160).

- Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah saudara-saudara Nabi Yusuf AS.

- Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu'jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah: "Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu.' Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air." (QS Al-Baqarah: 60).

- Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah saudara Nabi Yusuf AS ditambah dengan ayah dan ibunya.

- Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah SWT berfirman: "Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing." (QS At-Takwir: 18).

- Kuburan yang membawa isinya adalah ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

- Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam syurga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf AS, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya: "Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala." (QS Yusuf: 17) Setelah kedustaan terungkap,Yusuf berkata kepada mereka, "Tak ada cercaan terhadap kamu semua." (QS Yusuf: 92) Dan ayah mereka Ya'qub berkata, "Aku akan memohonkan ampun bagi muka pada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ." (QS Yusuf: 98)

- Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara keldai. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai." (QS Luqman: 19).

- Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam AS, Malaikat, Unta Nabi Saleh AS dan Kambing Nabi Ibrahim AS.

- Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim AS. Allah SWT berfirman: "Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim." (QS Al-Anbiya': 69).

- Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Saleh AS, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

- Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah tipu daya wanita, sebagaimana firman Allah SWT: "Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar." (QS Yusuf: 28).

- Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak beredar. Namun dia membatalkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini dipersetujui oleh paderi tersebut.

Pemuda ini berkata: "Apakah kunci syurga itu?"

Mendengar pertanyaan itu, lidah paderi tersebut menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kebimbangannya, namun tidak berjaya. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata: "Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!"

Paderi tersebut berkata: "Sesungguhnya aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah."

Mereka menjawab: "Kami akan jamin keselamatan anda. "

Paderi pun berkata: "Jawapannya ialah: "Asyhadu An La Ilaha Illallah, Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah". "

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui lidah seorang pemuda Muslim yang bertakwa.

Wallahua'lam.

DAULAH PARA WALI ALLAH


QUTUB
Panggilan kepada seseorang yang hatinya sentiasa musyahadah dengan Allah SWT pada setiap waktu dan saat. Sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT setiap saat dan zaman. Dianugerahi Ilmu Ladunni. Dapat meresap ke seluruh penjuru alam seperti ruh dapat menyelusupi seluruh tubuh. Ada kala secara zahir dan ada kalanya secara batin. Merupakan ketua wali seperti Uwais Al-Qarni. Qutub ini bukan seorang malahan banyak, mengikut banyaknya jenis wali dan mengikut penggantian zaman.

QUTUBUL AQTAB
Juga disebut 'Ghaus'. Ketua dari segala ketua. Ada juga menggelarnya Shahibus zaman atau Sultanul Aulia. Seorang saja untuk sezaman dan Ghaus yang terakhir adalah Imam Mahdi.

AUTAD
Ertinya paku. Disebut juga 'Paku Alam'. Satu panggilan untuk empat wali yang berada di empat penjuru alam: Timur, Barat, Utara dan Selatan. Salah satu dari mereka adalah Qutub.

ABDAL
Ertinya pengganti. Sebanyak empat puluh orang, tujuh darinya adalah yang terpilih. Salah seorang dari mereka adalah Qutub. Jika mati salah seorang mereka tidaklah diketahui masyarakat umum, sebab mereka suka beribadat secara bersendirian, suka berjaga malam serta kurang tidur, suka berpuasa dan banyak berlapar.

NUJABA
Ertinya terpuji atau yang mulia. Perangai serta akhlaknya sudah dijamin dan diakui Allah SWT. Tugasnya menanggung beban makhluk dan bencana-bencana mereka. Merekalah orang yang pertama berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya bencana dan bala diangkat serta dihindarkan. Mereka bekerja, memerah tenaga dengan doa dan sebagainya untuk kepentingan orang lain. Terkenal dengan banyak sabar dan redha. Bilangannya sezaman seramai 300 orang.

NUQABA
Ertinya ketua kecil. Sudah meningkat dari nafsu ammarah disebabkan banyak bermujahadah. Banyak ibadah serta zuhud terhadap dunia. Mereka ini seramai empat puluh orang. Terkenal dengan sangat tawakkal kepada Allah SWT dalam segala urusan. Di antara mereka itu ada seorang Qutub.

AIMMAH/IMAAMAN
Dua imam atau dua ikutan. Sebagai setiausaha kepada Qutub seorang di kanan dan seorang di kiri. Yang di pihak kanan sentiasa melihat ke alam Ghaib, dia yang menggantikan Qutub dalam urusan yang bersangkutan sana. Di sebelah kiri sentiasa memerhatikan urusan bersangkutan alam nyata, pengganti Qutub dalam urusan di alam sini. Kebanyakan wali-wali ini terdapat di Syria, Mesir dan Iraq. Jumlah para wali pada setiap zaman adalah sebanyak 500 orang.

Abu Na’im juga meriwayatkan: “Syeikh Al-Hujwiri ada menyebutkan bahawa ada seramai 4000 wali yang sentiasa hidup di dunia ini dan sentiasa tidak dapat diketahui oleh orang ramai, kerana mereka dilindungi dan disembunyikan oleh Allah SWT. Di samping itu, beliau juga ada menyebutkan bahawa terdapat 300 orang wali yang bergelar ‘al-akhyar’, 40 orang yang bergelar ‘al-abdal’, 7 orang yang bergelar ‘al-abrar’, 4 orang yang bergelar ‘al-autad’, 3 orang yang bergelar ‘al-nuqaba’, dan seorang yang bergelar ‘al-qutub’ dan ‘al-ghauth’. Mereka yang termasuk di dalam golongan yang tersebut itu mengenali antara satu sama lain."

Di zaman Imam Mahdi, dia dibantu oleh 7 orang wali kanan, seorang di Mesir, Seorang di Maghribi, Seorang di Syria, Seorang di Mekah, Seorang di Madinah, Seorang di Khurasan dan Seorang di Timur yang bergelar ‘Fatah at Tamimi’ dan lainnya seperti disebut sebelum ini serta dibantu oleh 19,000 lelaki dan wanita soleh yang bergelar Asoib.

Wallahualam.

08 Januari 2010

SAIDINA UTHMAN IBNU AFFAN 'DZUNNURAIN' R.A.


Awal Memeluk Islam

Allah yang telah mentakdirkan Saidina Uthman untuk menyertai rombongan pertama yang menerima hidayah dan agama Islam. Uthman termasuk salah satu dari tujuh orang yang sentiasa mendampingi dan menyertai perjuangan Rasulullah SAW. Dia amat mengenali siapa dan bagaimana Rasulullah SAW pada peringkat awal kerasulan Baginda. Pada suatu hari ketika pulang dari perjalanan dagangnya ke Syam dan ketika rombongan kafilahnya beristirehat di tempat teduh (antara Ma'an dan Azzarqa), Uthman dan kawan-kawannya tertidur. Ketika sedang tidur, tiba-tiba ia bermimpi mendengar suara yang menyeru mereka agar bangun kerana orang yang bernama Ahmad telah muncul di kota Makkah. Rupanya telah sampai berita gembira kepada Uthman tentang hadirnya seorang NabiAllah, nabi akhir zaman. Mendengar berita itu, apakah Uthman bersikap pasif atau ragu? Ternyata tidak! Sifatnya yang pemalu, kelapangan dadanya dan kemurahan jiwanya mendorong untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Itulah awal keislaman beliau.

Sifatnya Yang Pemalu

Setiap sahabat Nabi SAW memiliki keistimewaan tersendiri, baikdi dalam ucapan mereka mahupun di dalam amal perbuatan mereka. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW: "Orang yang paling kasih sayang dari umatku ialah Abu Bakar, dan paling teguh dalam memelihara ajaran Allah ialah Umar, dan yang paling bersifat pemalu ialah Uthman." (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim, At-Tirmidzi). Sifat pemalu itulah yang mendorong Saidina Uthman menjadi seorang dermawan yang penuh belas kasih, sehingga ketika Rasulullah SAW sedang mempersiapkan pasukan 'Al-'Usrah', seluruh perbelanjaannya ditanggung oleh Saidina Uthman secara bersendirian. Rasulullah SAW menyambutnya dengan ucapan : "Tidak akan ada sesuatu yang dapat membahayakan Uthman dengan apa yang dia lakukan hari ini. Ya Allah, redhailah Uthman, sesungguhnya aku redha kepadanya." (HR At-Tirmidzi)

Sifat Dermawan Yang Tinggi

Ketika kaum Muslimin berhijrah dari Makkah ke Madinah, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan air. Sedangkan di sana ada sumber air tetapi dimiliki oleh orang yahudi. Rasulullah SAW berharap ada sahabat yang sanggup membeli sumber air tersebut. Mendengar itu, Saidina Uthman datang ke tempat orang yahudi tersebut dan membeli separuh sumber air itu dengan sehari untuk hak muslim, sehari lagi untuk hak yahudi dengan harga 12,000 dirham. Pada giliran hak Saidina Uthman, maka kaum Muslimin mengambil air sebanyak-banyaknya yang cukup untuk 2 hari. Hal itu menyebabkan orang yahudi merasa sangat rugi kerana tidak ada lagi yang membeli airnya. Akhirnya, yahudi tersebut menjual haknya kepada Saidina Uthman sebanyak 8,000 dirham. Setelah peristiwa tersebut, Rasulullah SAW menikahkan puteri Baginda, Ummu Kalthum dengan Saidina Uthman. Sebelumnya, Saidina Uthman beristerikan Ruqayah, puteri Rasulullah SAW yang kedua tetapi telah meninggal dunia. Oleh kerana itu Saidina Uthman mendapat jolokan 'Dzunnurain' yakni 'yang memiliki dua cahaya'. Yang dimaksudkan dua cahaya ialah mengahwini dua orang puteri Rasulullah SAW.

Mushaf Uthmani

Suatu amal perbuatan yang mulia, ialah apa yang telah dilakukan Saidina Uthman r.a. apabila beliau mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran dalam lembaran-lembaran yang ditulis di masa Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan tersimpan di rumah Hafshah sesudah wafatnya Khalifah Umar Al-Khattab r.a. Kemudian kerana kepentingan itu, Saidina Uthman membentuk satu jawatankuasa yang diketuai oleh Zaid bin Tsabit r.a. dengan disertai Abdullah bin Zubair r.a., Said bin Aash r.a. dan Abdurahman bin Haarits r.a. sebagai anggota. Tugas kumpulan itu ialah membukukan Al-Quran, yaitu dengan cara menyalin dari lembaran-lembaran sehingga menjadi buku. Saidina Uthman menasihatkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan di antara mereka dalam bacaannya, maka ayat-ayat itu harus ditulis menurut dialek suku Quraisy kerana Al-Quran diturunkan menurut dialek mereka. Al-Quran yang telah dibukukan itu diberi nama 'Al-Mushaf', sebuah di tangan Khalifah Uthman (di Madinah) dan empat buah lagi dikirim ke Makkah, Syria, Basra dan Kufah agar tempat2 terbabit boleh membuat salinan. Allah SWT telah menyelamatkan Al-Quran dari sebarang perubahan. Dia telah memelihara kemurnian dan keaslian Al-Quran sampai hari kiamat. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quraan, dan sesungguhnya Kami (pulalah) yang memeliharanya." (QS Al-Hijr:9) Saidina Uthman r.a. akan tetap dikenang sebagai orang yang paling berjasa dalam bidang ini.

Uthman Dan Perluasan Dakwah Islamiah

Di masa Khalifah Uthman, perluasan dakwah Islamiah mengalami zaman keemasan. Contoh pada tahun 24 Hijriah, beliau mengirim pasukan tentera yang berada di bawah komando Al-Walid bin Aqobah menuju Azerbaijan dan Armenia, kerana ke dua-dua daerah tersebut telah membatalkan perjanjian yang dibuat dengan kaum Muslimin di zaman Khalifah Umar r.a. Juga pada tahun 25 H, penduduk Iskandariah membatalkan perjanjian kerana mereka telah dijanjikan mendapat bantuan dari kerajaan Romawi, tapi negeri itu segera tunduk dan kembali dikuasai dengan damai oleh kaum Muslimin setelah pasukannya menyerbu negeri ini. Dan masih banyak lagi, tetapi yang paling dahsyat ialah tatkala Saidin Uthman mengutus Abdullah bin Saad (27 H) untuk menyerbu Afrika. Tentara Muslimin berjumlah 20,000 berhadapan dengan kaum Barbar yang terdiri dari 120,000 orang di bawah pimpinan rajanya iaitu Jarjir. Dengan pertolongan Allah SWT, kaum Muslimin dapat mengalahkan mereka hingga mereka menuju Andalusia (Sepanyol). Para ahli sejarah menganggap era Saidina Uthman r.a. sebagai era kemenangan kaum Muslimin dan era penaklukan kekuatan-kekuatan Romawi, Parsi dan Turki.

Fitnah Besar dan Terbunuhnya Uthman

Pada akhir tahun 34H, daulah Islam mulai dilanda fitnah. Yang menjadi sasaran adalah Saidina Uthman r.a. sampai mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya. Fitnah yang keji itu datangnya dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak melaksanakan umrah pada bulan Rejab. Saidina Ali kwj bermati-matian membela Saidina Uthman atas serangan fitnah tersebut. Hingga suatu ketika keadaan semakin parah dan Uthman dikepung di rumahnya dan tidak pergi ke masjid. Pada suatu hari, para penentang menyerbu rumahnya lalu membunuhnya. Mereka tidak menaruh sedikitpun belas kasihan kepada Saidina Uthman yang telah berjuang dalam Islam dan menginfakkan hartanya untuk peperangan. Ibnu Abid Dunya menyampaikan kisah dari Abdullah Bin Salaam r.a.: "Aku pergi ke rumah Uthman ketika dia sedang dikepung di rumahnya dan aku bertemu dengan dia, lalu dia berkata: "Selamat datang saudaraku, aku bermimpi bertemu Rasulullah SAW di suatu lorong yang sempit dan dan beliau berkata: "Ya Uthman, mereka mengepung kamu?" Aku menjawab: "Ya" Nabi bertanya lagi: "Dan mereka membuat kamu haus?" Aku menjawab, "Ya" Kemudian Nabi memberiku bekas berisi air dan aku minum sampai puas dan aku rasakan dinginnya air pada dada dan pundakku, lalu Beliau berkata: "Kalau kamu menghendaki, kamu dimenangkan dan kalau kamu menghendaki berbuka puasa di tempat kami." Ketika itu Uthman di dalam keadaan puasa . Uthman berkata: "Aku memilih berbuka puasa di tempat Nabi SAW." Tepat pada petang hari itu, Saidina Uthman r.a. dibunuh. Ia dimakamkan di semak-semak bukit sebelah timur pekuburan Al-Baqi, hari Jumaat tahun 35 H tgl 17 Dzulhijjah pada usia 80 atau 82 tahun.

Semoga Allah SWT merahmati beliau. Amein...

03 Januari 2010

CIRI-CIRI PEMIMPIN SEJATI


Jika dulu, para sahabat Radhiyallahu 'Anhu sangat takut untuk dipilih menjadi seorang pemimpin. Namun sekarang, terlalu ramai orang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Semuanya mengaku calon yang terbaik!

Benar sabda Rasulullah SAW ketika baginda menyampaikan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: "Sesungguhnya kalian nanti akan sangat inginkan kepemimpinan, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (HR Bukhari)

Memilih pemimpin bukanlah perkara mudah, sebab calon2 yang terpilih itulah yang akan memperjuangkan nasib rakyat jelata. Suka atau tidak, calon yang terpilih itulah yang kemudian akan menorehkan tinta sejarah di dalam negeri. Meskipun torehan itu masih samar2, apakah akan menjadi tinta emas yang sentiasa dikenang atau tinta hitam yang sentiasa diratapi. Mampukah ia menjadi pemimpin sejati, atau sebenarnya menjadi pemimpin yang mengkhianati amanat rakyat jelata.

Pemimpin merupakan lambang kekuatan, keutuhan, kedisiplinan dan persatuan. Namun harus kita sedari bahawa pemimpin bukanlah hanya sekadar lambang. Kerana itu, ia memerlukan kemampuan dan kelayakan untuk memimpin pengikut2nya. Melihat peri pentingnya kepemimpinan, sebagai seorang Muslim, kita tentu tidak boleh memilih pemimpin secara sembarangan kerana kelak ianya akan kembali menghantui kita.

PERANAN SEORANG PEMIMPIN
Menurut perspektif Islam, ada dua peranan yang dimainkan oleh seorang pemimpin:

1. Pelayan (Khadim)
Pemimpin adalah pelayan bagi pengikutnya. Seorang pemimpin yang dimuliakan orang lain, belum tentu menjadi tanda kemuliaan baginya. Ini kerana pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu berkhidmat dan menjadi pelayan bagi pengikut atau rakyatnya. Seorang pemimpin sejati, mampu meningkatkan kemampuan dirinya untuk memuliakan orang-orang yang dipimpinnya. Dia menafkahkan lebih banyak, dia bekerja lebih keras, dia berpikir lebih kuat, lebih lama dan lebih mendalam dibanding orang yang dipimpinnya. Demikianlah pemimpin sejati berteladankan Rasulullah SAW. Bukan seperti pemimpin yang selalu ingin dilayani, selalu inginkan sesuatu dari orang-orang yang dipimpinnya.

2. Pemandu (Muwajjih)
Pemimpin adalah pemandu yang membawa atau mendorong pengikutnya kepada jalan yang terbaik agar selamat sampai kepada tujuan yang sebenar. Ini akan hanya tercapai dengan sempurna jika di bawah naungan syariat Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

CIRI2 PEMIMPIN DALAM ISLAM
Perlu disedari, dalam memilih pemimpin, ada tanggungjawab yang akan dipikul di hadapan Allah SWT terhadap pilihan kita. Di antara ciri2 pemimpin dalam Islam, ialah:

1. Jujur
Pemimpin Islam mestilah jujur terhadap dirinya sendiri serta pengikutnya. Seorang pemimpin yang jujur akan menjadi contoh terbaik yakni pemimpin yang perkataannya selari dengan perbuatannya.

2. Layak
Kelayakan di dalam kepimpinan serta ilmu2 berkaitan mestilah dimiliki oleh seorang pemimpin Islam. Orangramai hanya akan mengikuti seseorang jika mereka benar-benar meyakini bahawa orang yang memeompin mereka benar-benar berilmu serta mengetahui apa2 yang sedang dan akan dilakukannya.

3. Pendorong (Inspirasi)
Orang ramai akan merasa lapang sekiranya pemimpin mereka membawanya pada rasa tenang dan menimbulkan rasa optimis walau seburuk mana sekalipun situasi yang sedang dihadapi.

4. Sabar
Pemimpin Islam haruslah bersabar dalam menghadapi segala macam persoalan dan masalah, serta tidak bertindak tergesa-gesa dalam mengambil sebarang keputusan dalam apa jua situasi. Segala keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti.

5. Rendah diri
Seorang pemimpin Islam hendaklah memiliki sikap rendah diri, tidak suka menunjukkan kelebihannya (riya') serta tidak merendahkan atau menghina orang lain.

6. Musyawarah
Dalam menghadapi setiap persoalan, seorang pemimpin Islam haruslah menempuh jalan musyawarah serta tidak menentukan keputusan sendiri. Asy-Syaikh Abdurrahman As-Sa'di—rahimahullah—mengatakan: "Jika Allah mengatakan kepada Rasul-Nya—padahal beliau adalah orang yang paling sempurna akalnya, paling banyak ilmunya dan paling banyak ideanya, "Maka bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu." (QS. Ali Imran: 159). Maka bagaimana dengan pemimpin2 selain baginda?"

7. Berkomunikasi dengan rakyatnya
Seorang pemimpin Islam juga perlu pandai berkomunikasi dengan orang ramai. Kematangan seorang pemimpin akan membuatnya mampu berkomunikasi dengan mengenepikan sikap emosional atau kepentingan sendiri. Dan yang terpenting dari semua itu adalah pemimpin akhirnya mampu mengambil satu tindakan yang tepat di dalam apa jua keadaan.

RAHSIA KEKUATAN PEMIMPIN

1. Kekuatan iman, ilmu, dan wawasan yang luas
Seluruh nabi dan rasul memimpin dengan kekuatan iman dan ilmu. Nabi Sulaiman AS memerintah hampir seluruh makhluk (seperti jin, binatang, angin) dengan ilmu dan keimanan yang kuat. Nabi Muhammad SAW dapat menyelesaikan berbagai masalah dengan ilmu dan keimanan yang kuat. Dengan ilmu dan iman seorang pemimpin mampu memimpin dirinya (seperti memimpin matanya, hatinya, lidahnya, fikiran dan hawa nafsunya) sebelum memimpin orang lain.

2. Ibadah dan taqarrub kepada Allah
Ibadah dan banyak bertaqarrub kepada Allah, dapat melahirkan kewibawaaan, ketawadhu'an, kesabaran, keyakinan, dan sifat tawakkal. Ibadah dan taqarrub juga akan melahirkan kekuatan ruhaniyah yang kukuh.

3. Teladan
Ketika Rasulullah SAW mengajak para sahabat berjihad, beliau bertempur di depan sekali, paling banyak bersedekah dan hidup paling bersahaja. Ketika baginda menyuruh bertahajjud, bagindalah yang kakinya bengkak kerana banyak bertahajjud. Ketika Rasulullah SAW mengajak umatnya untuk berhias dengan akhlak mulia, bagindalah manusia yang paling mulia akhlaknya.

CIRI2 PENGIKUT DALAM ISLAM

1. Taat
Seorang pengikut harus sentiasa patuh kepada pemimpin. Sekiranya pemimpin dipilih berdasarkan jalan musyawarah, maka wajib bagi pengikutnya untuk mematuhi pemimpin tersebut, kecuali pemimpin secara terang-terangan telah melanggar perintah Allah.

2. Dinamis dan kritis
Seorang pengikut harus dinamis dan kritis dalam mengikuti kepemimpinan seseorang. Islam tidak mengajarkan kepatuhan membuta tuli. Ini kerana manusia tidak lari dari melakukan kesalahan. Hanya Al-Quran dan As-Sunnah sahaja petunjuk yang benar dan harus diikuti.

Wallahua'lam.