Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


Memaparkan catatan dengan label Hukum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hukum. Papar semua catatan

29 Ogos 2013

10 PERKARA YANG MEMBATALKAN KEIMANAN




PERTAMA: Mempersekutukan Allah SWT (yakni syirik) dalam beribadah.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik (menyekutukan) kepadaNya, tetapi mengampuni dosa selain itu, kepada orang–orang yang dikehendakinya.“ (QS An-Nisa’: 116)

Allah SWT juga berfirman: Sesungguhnya orang yang mempersekutukan Allah, niscaya Allah akan mengharamkan syurga baginya, dan tempat tinggalnya adalah neraka, dan tiada seorang penolong pun bagi orang–orang zalim.” (QS Al-Maidah: 72)

Di antara perbuatan syirik adalah meminta do’a dan pertolongan kepada orang- orang yang telah mati, bernazar serta menyembelih korban untuk mereka.

KEDUA: Meyakini bahawa ada kekuatan lain selain kekuatan Allah SWT, berdoa kepadanya, meminta pertolongan, bahkan bertawakkal (berserah diri) kepada perantara tersebut.

Orang yang melakukan perbuatan sedemikian, menurut ijma’ (kesepakatan) para ulama, adalah musyrik, malah ada yang mengatakan telah terkeluar dari Islam (murtad).

KETIGA: Tidak menganggap bahawa orang-orang musyrik itu kafir, atau ragu-ragu atas kekafiran mereka, atau membenarkan konsep mereka. Orang yang demikian ini adalah kafir.

KEEMPAT: Meyakini bahawa ajaran selain ajaran Nabi Muhammad SAW lebih sempurna, atau meyakini bahawa hukum selain dari yang telah dijelaskan oleh Baginda SAW lebih baik, seperti mereka yang mengutamakan aturan-aturan thaghut (aturan–aturan manusia yang melampaui batas serta menyimpang dari hukum Allah), dan mengetepikan hukum yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

KELIMA: Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT telah berfirman: “Demikian itu adalah disebabkan mereka benci terhadap apa yang diturunkan oleh Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka.” (QS Muhammad: 9)

KEENAM: Memperolok–olokkan sebahagian dari ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, atau memperolok–olokkan pahala mahupun siksaan yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran serta yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT telah berfirman: Katakanlah: Terhadap Allah kah dan ayat–ayatNya serta RasulNya kalian memperolok–olokkan? Tiada erti kalian meminta maaf, kerana kamu telah kafir setelah beriman.” (QS At-Taubah: 65~66)

KETUJUH: Melakukan sihir, antaranya termasuklah mengaplikasikan ilmu guna-guna yang menjadikan seorang suami benci terhadap isterinya, atau yang menjadikan seseorang mencintai orang lain, atau sesuatu yang dibencinya dengan cara yang zalim.

Orang yang melakukan perkara-perkara tersebut itu adalah kafir, kerana Allah SWT telah berfirman: Sedang kedua malaikat itu tidak mengajarkan (suatu sihir) kepada seorangpun, sebelum mengatakan: sesungguhnya kami hanya cobaan bagimu, sebab itu janganlah kamu kafir.” (QS Al-Baqarah: 102)

KELAPAN: Membantu orang–orang musyrik untuk memusuhi kaum muslimin.

Allah SWT berfirman: Dan barang siapa di antara kamu mengambil mereka (Yahudi dan Nasrani) menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang tersebut termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang–orang yang zalim.” (QS Al-Maidah: 51)

KESEMBILAN: Meyakini bahawa sebahagian manusia dibenarkan untuk meninggalkan syari’at Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman: Barang siapa menghendaki suatu agama selain Islam, maka tidak akan diterima agama itu daripadanya, dan di akhirat ia termasuk orang-orang yang merugi.” (QS Ali Imran: 85)

KESEPULUH: Berpaling dari Agama Allah SWT, tanpa mempelajari dan tanpa melaksanakan ajaranNya.

Allah SWT berfirman: Tiada yang lebih zalim dari pada orang yang telah mendapat peringatan melalui ayat–ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling dari padanya. Sesungguhnya kami menimpakan pembalasan kepada orang yang berdosa.” (QS As-Sajdah: 22)

Dalam hal-hal yang membatalkan keislaman ini, tidak ada perbezaan hukum antara yang main-main, yang sungguh-sungguh (yakni yang sengaja melanggar) ataupun yang takut, kecuali orang yang dipaksa. Semua itu merupakan hal-hal yang paling berbahaya dan paling sering terjadi. Maka setiap orang Islam mestilah menghindarinya. Kita berlindung kepada Allah SWT dari hal-hal yang mendatangkan kemurkaanNya dan kepedihan siksaanNya. Semoga selawat dan salam dilimpahkan kepada makhlukNya yang terbaik, para keluarga dan para sahabat Baginda.

Wallahua’lam.

01 Mac 2013

ADAB MAKAN & MINUM RASULULLAH S.A.W



Islam adalah cara hidup  yang merangkumi semua aspek kehidupan yang mencerminkan akhlak yang terpuji. Salah satu aspek yang ditekankan termasuklah adab makan dan minum. Firman Allah SWT: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (QS Al-Baqarah: 168)

Terdapat beberapa adab yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa terjaga. Islam tidak menggalakkan penganutnya makan sesuka hati, makan terlalu kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang terbaik untuk diteladani ialah mengikut amalan Rasulullah SAW.

Amalan pemakanan Baginda SAW amat bertepatan dengan firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (QS al-A’raf: 31) 

Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Al-Bazzar pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling banyak kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan pada hari kiamat.” (HR At-Tirmidzi)

Ada beberapa panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, antaranya adalah agar memulai dengan ‘Bismillah’ ketika hendak makan dan diakhiri dengan ‘Alhamdulillah’. Hikmah membaca Basmalah dan Alhamdulillah bagi seorang Islam adalah peringatan bahawa makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah SWT yang semestinya disyukuri.

Rasulullah SAW hanya makan ketika lapar dan Baginda berhenti sebelum perut berasa kenyang. Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan. Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga bahagian. 1/3 ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air. Mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekaligus adalah amalan yang buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi lemah dan tidak mampu mencerna dengan baik.

Sabda Baginda SAW: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR At-Tirmidzi)

Di samping itu, Baginda SAW juga tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.” 

Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (HR Muslim). 

Baginda SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Hikmahnya, kandungan enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan. Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya.” (HR Muslim) 

Perbuatan membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Berkumurlah kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandungi lemak.” (HR Ibnu Majah) 

Di samping itu, Rasulullah SAW gemar berkongsi makan dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Secara tidak langsung ianya mewujudkan kemesraan dan meningkatkan kasih sayang terhadap sesama Muslim. Selain itu, amalan berkongsi makanan dalam satu dulang juga dapat mengelakkan pembaziran. Sabda Rasulullah SAW: Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan, kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian.” (HR Abu Dawud) 

Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah menyatakan antara etika makan ialah membicarakan hal yang baik dan menceritakan kisah orang yang soleh ketika makan. Menurut al-Hafidz dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim rahimahullah, Rasulullah SAW bercakap dan berbual ketika makan. 

Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah makanan pada hari ini dan memuji makanan itu.” (HR Muslim). “Dan ada kalanya Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya. Ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (HR Al-Bukhari). 

Ketika makan jangan terlalu banyak bercakap atau bercakap dengan makanan penuh dalam mulut. Juga jangan bercakap mengenai hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya. Hendaklah mengambil makanan yang paling dekat. Dalam satu hadis, yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah RA, beliau berkata: “Semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. Tanganku melintasi (menjangkaui) segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW: Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu.” 

Umat Islam juga dilarang menggunakan bekas makanan yang diperbuat dari emas dan perak. Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak. Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, melambangkan kesombongan, sedangkan sifat sombong adalah hak mutlak Allah SWT sahaja.

Dalam satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman RA, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Berkata Imam an-Nawawi: “Telah disepakati oleh sekelian ulama’ bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan.” (Syarah Sahih Muslim, Imam an-Nawawi)

Kadang-kadang, ketika makan, ada makanan yang tidak sesuai dengan selera kita, tidak sedap dan sebagainya. Situasi begini tidak hanya berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada Rasulullah SAW. Apakah tindakan Baginda apabila menghadapi situasi sedemikian?

Dalam hadis, daripada Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya Nabi menyukainya, pasti Baginda akan memakannya. Dan jika Baginda tidak menyukainya, Baginda akan meninggalkannya (yakni tidak memakannya).”

Rasulullah SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar, jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan nafas.

Peringatan Allah SWT melalui firmanNya: “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang neraka menjadi tempat tinggal mereka.” (QS Muhammad: 12)

Mudah-mudahan bermanfaat sebagai peringatan bagi kita untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Mereka itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu akan petunjuk mereka. Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk sekelian alam.” (QS Al-An’am: 90)

Wallahua’lam.


11 Mei 2012

ANAK TIDAK SAH TARAF

ANAK TIDAK SAH TARAF
Isu anak tidak sah taraf di Malaysia sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing lagi kepada masyarakat hari ini. Kisah-kisah tentang pembuangan bayi sering mendapat liputan utama di dada akhbar, manakala kes-kes wanita hamil tanpa nikah yang berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Statistik kelahiran anak luar nikah daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi tahun 2000 sehingga Julai 2008 mencatatkan bilangan yang sangat besar, iaitu 155,744 orang. Pelbagai usaha dilaksanakan bagi membendung masalah ini, antaranya ialah menempatkan pesalah sosial di pusat pemulihan akhlak, mewujudkan pusat penjagaan bayi bagi bayi yang tidak dikehendaki dan memberi latihan kemahiran diri bagi membantu golongan yang bermasalah ini meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

ANAK TIDAK SAH TARAF DALAM ISLAM
Anak tidak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut 'walad al-zina' yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah). Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda: “(Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan.” (HR Al-Bukhari)

Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 2 mentafsirkan anak tidak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut: tak sah taraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa anak tidak sah taraf ialah:
i. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan;
ii. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh);
iii. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada waktu tamkin (setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut Hukum Syarak.

IMPLIKASI ANAK TIDAK SAH TARAF DALAM ISLAM
Terdapat beberapa implikasi berhubung kedudukan anak taksah taraf dalam Islam. Implikasi-implikasi tersebut ialah:

i. Penamaan dan Nasab.
Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama ”Asma’ ul-Husna” yang berpangkalkan Abdul. Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam. Kesahtarafan anak akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut memeluk Islam.

ii. Pergaulan dan Hubungan.
Dalam Islam, anak tidak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tidak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri. Perhubungan antara anak tidak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

iii. Nafkah.
Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 80 (1) iaitu: Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

iv. Penjagaan.
Hubungan nasab (keturunan) anak tidak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tidak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 85 memperuntukkan bahawa: Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Peruntukan ini selaras dengan kehendak Hukum Syarak yang menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan ibunya sahaja. Kedudukan ini sudah tentu memberikan hak penjagaan kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya.

v. Harta Pusaka.
Anak tidak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Seseorang anak tidak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.

vi. Perwalian.
Hak perwalian diri anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak tidak sah taraf perempuan dipegang oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Sabda Rasulullah SAW: “Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak mempunyai wali.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.

vii. Perkahwinan
Keraguan berhubung kesahihan perkahwinan seorang anak tidak sah taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah membezakannya dengan kanak-kanak lain. Mereka juga seperti insan-insan yang lain. Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah dosanya tetapi hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya. Oleh itu perkahwinan anak tidak sah taraf perempuan adalah sah, walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa lelaki yang baik nasabnya tidak digalakkan mengahwininya.

viii. Kematian.
Kematian seorang anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka di dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

ix. Pertukaran Status Anak Tidak Sah Taraf
Seseorang anak tidak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada seorang anak angkat.

x. Amal Kebajikan.
Amal kebajikan anak tidak sah taraf sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak yang lain. Anak tidak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu dan bapanya. Firman Allah SWT: “... dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)...(QS al-An’am: 164)

Firman Allah SWT lagi: "Katakanlah: Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan. (QS Saba’: 25)

Amal kebajikan mereka tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT sama seperti amal kebajikan orang Islam yang lain. Firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya.” (QS al-Zalzalah: 7~8)

Wallahua’lam.

(Sumber: JAKIM)

06 April 2012

HARGA DIRI WANITA ISLAM CUKUP TINGGI (HARIAN METRO 7/5/2012)


Oleh: Mohd Fadly Samsudin

PERKEMBANGAN Islam mutakhir ini menyaksikan ramai wanita Muslim memakai tudung. Ini amat menggembirakan kerana mereka sedar bahawa bertudung itu suatu fardu.

Namun, dalam keghairahan bertudung, ramai wanita masih alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam.

Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan jika mahu bertudung, mereka menutup aurat keseluruhannya, bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Seseorang itu masih tidak diiktiraf menutup aurat apabila mereka mengenakan tudung bersama baju lengan pendek, seluar ketat, skirt singkat, kain terbelah dan tidak menutup bahagian leher dan dada.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya.” (Riwayat Muslim).

Berpakaian, tetapi dilihat ‘bertelanjang’ dinisbahkan sebagai wanita yang memakai pakaian ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk badannya.

Pakaian adalah rezeki Allah kepada manusia dan jika mereka sentiasa mengikut syariat setiap masa memakainya dikira sebagai ibadah. Setiap perkara yang diperintahkan itu pasti mempunyai hikmah atau rahsia yang tersendiri.

Antara hikmah menutup aurat ialah dapat menjaga maruah dan menutup peluang orang lain terbabit dengan dosa akibat melihat aurat yang sengaja didedahkan.

Wanita juga diperintahkan menutup aurat dengan sempurna untuk membezakan antara wanita Islam dengan kafir. Tudung menjadi identiti wanita Islam sebagai benteng melindungi kehormatan diri.

Harga diri setiap wanita cukup tinggi nilainya sebab itu apabila seorang wanita sudah baligh mereka wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.

Menutup aurat bukan hanya sekadar bertudung. Masih ramai wanita mengatakan jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat.

Kini, pelbagai gaya fesyen tudung dipakai namun pemakaiannya masih tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher atau dada. Jika ada sekelumit perasaan bangga diri dengan apa yang dipakai saban itu turut mengundang dosa.

Pensyarah Pusat Pengajian Islam & Peradaban Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Nurul Bahiyah Awang, berkata wanita Islam perlu memahami betul-betul konsep bertudung.

“Tidak salah seorang wanita bertudung mengenakan fesyen tertentu tetapi dengan syarat ia menutup aurat. Ramai wanita bertudung tetapi tidak ada penghayatan serta kefahaman mengapa mereka bertudung."

“Kita tidak menolak perkembangan fesyen semasa tetapi panduan syarak perlu diutamakan dalam semua keadaan. Justeru, kawal diri supaya tidak melanggar batasan yang digariskan Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah Al-Nur, ayat 31).

Beliau berkata Islam adalah agama yang meraikan kemajuan dalam apa bidang sekalipun.

“Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam."

Setiap wanita bertudung perlu segera membetulkan prinsip dan niat mereka bertudung hanya kerana Allah serta menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya,” katanya.

Menurutnya, jika seorang wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelak diri daripada melakukan perbuatan mungkar.

“Yang pasti ia bukan bertujuan untuk tampil cantik di depan orang ramai. Setiap wanita perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita mukmin lain,” katanya.

Katanya, wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan (tabarruj) sehingga menarik perhatian orang ramai.

Jika berhias menutupi aurat sekalipun tetapi masih menarik perhatian lelaki tetap dikira sebagai tabarruj. Bagi kaum isteri cukup bagi mereka berhias itu hanya untuk suami mereka saja,” katanya.

Beliau turut menyentuh perkembangan wanita yang tampil dengan gaya berhijab mengikut fesyen Barat yang menggelar diri mereka 'Hijabista'.

“Hijabista ini adalah hasil rekaan tudung yang mengalami proses transformasi dan permodenan yang mahu Islam setanding dengan barat. Ia menjadi fenomena kepada ramai wanita yang menggayakan tudung pelbagai warna bersama denim, pakaian serta kasut berjenama."

“Mereka menganggap itu sebahagian usaha menampilkan ‘imej’ Islam yang mengetengahkan fesyen tudung Muslimah
gaya moden."

“Namun, apa yang ditonjolkan golongan ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam,” katanya.