Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


17 Jun 2009

GHIBAH DAN BUHTAN


Rasulullah SAW menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat: "Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda SAW: "Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!" Kemudian Baginda ditanya lagi: "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab Baginda SAW: "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi).

Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi Buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Riwayat Muslim)

Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang difahami sebagai hinaan. Mendengar orang yang sedang ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan berikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana boleh menjejaskan ukhuwah, merosakkan kasih sayang, menimbulkan permusuhan, tersebar aib, melahirkan kehinaan dan menimbulkan keinginan untuk melakukannya.

Perkataan "fitnah" berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran. Allah SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (kecurigaan) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Kamu tiada menyukai! Dan patuhlah kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani". (QS Al-Hujuraat:12)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan maka adalah lebih baik berdiam diri sahaja. Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di depan orang ramai''. (HR Ahmad dan Thabrani)

Rasulullah SAW ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: "Taqwa kepada Allah dan keindahan akhlak." Dan ketika baginda ditanya: "Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?" Baginda SAW menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan".

Allah memberi amaran kepada golongan yang suka berbohong dan berdusta di dalam firman-Nya bermaksud: "Siapakah yang lebih besar kesalahannya daripada orang yang membuat kebohongan terhadap Allah serta mendustakan kebenaran ketika datang kepadanya? Bukankah neraka jahanam itu tempat tinggal bagi orang-orang yang tiada beriman?" (QS Az-Zumar:32).

Allah berfirman bermaksud: "Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta." (QS Asy-Syu'ara:221-223)

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman seseorang itu dengan sempurna sehingga ditinggalkan pembohongan sama ada semasa senda gurau atau semasa bersengketa atau perbalahan." Ja'far al-Sadiq berkata: "Orang yang mengada-adakan cerita palsu tentang orang Mukmin dengan tujuan untuk menghinanya, Allah akan menghinanya pada Hari Pengadilan."

Yahya bin Mu'adz Arrazi berkata: "Jadikanlah bahagian orang mukmin daripadamu tiga macam supaya tergolong orang yang baik: Jika engkau tidak dapat menguntungkan kepadanya maka jangan merugikan (merosaknya), jika engkau tidak dapat menyenangkannya, maka jangan menyusahkannya, jika engkau tidak memujinya, maka jangan mencelanya."

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang) maka Allah akan menutup kecelaannya (hal-hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya." (HR Ibnu Abib-Dunya).

Hadis Rasulullah SAW: "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya." (HR Ibnu Abid-Dunya).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah telah bersabda: "Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah." Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: "Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukanNya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan RasulNya dengan fitnah melakukan perbuatan zina."

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya."

Memperkatakan sesuatu bermaksud buruk amat ditegah. Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah."

Tiada ulasan: