Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


Memaparkan catatan dengan label Perubatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perubatan. Papar semua catatan

06 Mac 2012

KEISTIMEWAAN MADU LEBAH


Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Baginda SAW bersabda: "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua." (HR Abu Dawud)

Rasulullah SAW juga pernah berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda SAW bersabda: "Ambillah (yakni gunakanlah) olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh, iaitu madu dan al-Quran." (HR Ibnu Majah)

Berbagai kajian telah dilakukan dengan tumpuan kepada pelbagai jenis bahan-bahan semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam al-Quran sendiri telah menyatakan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, mahupun kesihatan fizikal atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.

Firman Allah SWT: "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan." (QS An-Nahl: 69)

Daripada ayat Al-Quran serta hadis di atas ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana selain menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, ianya juga membantu memenuhi keperluan tubuh badan manusia.

Terdapat banyak hadis-hadis lain berkenaan madu lebah. Di antaranya tentang dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Pertama, mengenai kisah seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah SAW mengadu tentang saudaranya yang sakit perut. Baginda SAW menyarankan agar dia diberikan madu. Namun, lelaki tersebut datang semula mengatakan penyakit saudaranya tidak juga sembuh. Nabi Muhammad SAW menyuruh saudara pemuda itu terus minum madu sehingga tiga kali. Jawab lelaki itu, saudaranya telah minum madu tetapi penyakitnya bertambah, akhirnya Nabi SAW berkata: ”Allah benar dan perut saudaramu itu berbohong." Lalu Rasulullah SAW sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu dan dia akhirnya sembuh. (HR Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa madu merupakan ubat segala penyakit kerana Rasulullah SAW tidak melihat pesakit berkenaan, sebaliknya terus menyebutkan madu sebagai ubatnya.

Hadis yang kedua disebutkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Kesembuhan itu berada pada tiga hal iaitu minum madu, sayatan pisau bekam dan sundutan dengan api panas (kay). Sesungguhnya aku melarang umatku berubat dengan kay.” (HR Bukhari)

Madu juga memiliki aroma enak yang meningkatkan selera. Rasulullah SAW pernah bersabda daripada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: "Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar."

Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara berterusan. Hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan secara konsisten, ianya akan membantu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit selain memberi nutrien yang mencukupi untuk kesihatan manusia.

Manusia sejak zaman berzaman sudah menggunakan madu sebagai makanan dan ubat. Masyarakat Mesir purba sudah menggunakan madu di dalam bidang ilmu perubatan mereka untuk mengubat penyakit luka, sakit perut, usus, pinggang dan mata. Mereka juga menggunakan madu untuk mengawet mayat supaya tidak busuk. Masyarakat Yunani dan Rumawi menganggap madu sebagai sumber kesihatan yang boleh melanjutkan usia.

Misalnya Pitagoras, seorang ahli matematik mengatakan beliau mengamalkan madu untuk hidup sihat. Beliau meninggal dunia ketika berusia 90 tahun. Abu Qirat yang hidup selama 107 tahun adalah seorang yang sering mengamalkan meminum madu. Demikian juga Aristotle dan Galenos, ahli perubatan Greek. Ibnu Sina menyatakan: ”Jika anda ingin awet muda, minumlah madu." Beliau ada menambah: ”Sesungguhnya madu lebah dapat menguatkan semangat, menambah kerajinan, menjaga awet muda dan melancarkan percakapan.”

Madu mengandungi bahan anti-oksidan yang menghalang kanser. Ia juga berupaya mengekalkan kemudaan (awet muda), merawat sakit perut, menghilangkan kahak, memutih dan menguatkan gigi serta menguatkan badan bagi yang berumur selain merangsang tenaga batin. Ia juga menstabilkan kandungan gula dalam darah apabila digunakan bagi menggantikan gula. Selain itu, madu lebah juga memudahkan proses penghadaman, memulihkan penyakit yang berpanjangan serta menguatkan jantung dan buah pinggang.

Di samping itu dengan memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada bahagian kaki. Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit. Jika disapukan madu akan dapat mengurangkan rasa sakit yang menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kulit yang terbakar. Di samping itu banyak lagi penyakit yang boleh sembuh misalnya hidung tersumbat, anak yang kencing malam dan sesuai untuk kanak-kanak yang baru lahir.

Wallahua’lam.



14 Julai 2010

BEKAM (HIJAMAH), SUNNAH RASULULLAH S.A.W.


Bekam atau hijamah adalah teknik rawatan dengan kaedah membuang darah kotor (racun yang berbahaya) dari dalam tubuh melalui permukaan kulit.

Perkataan Al-Hijamah berasal dari istilah bahasa Arab: 'Hijama' (حجامة) yang bermaksud pelepasan
darah kotor. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut ‘cupping’, dan dalam bahasa Melayu, ia dikenali dengan istilah ‘bekam’.

Disebutkan bahawa bekam bekerja dengan cara merangsang atau mengaktifkan :

1. Sistem kekebalan tubuh;

2. Pengeluaran Enkefalin;

3. Pelepasan neurotransmitter;

4. Penyempitan dan pelebaran pembuluh darah; serta

5. “the gates for pain” pada Sistem Saraf Pusat (CNS) yang berfungsi memberikan rasa nyilu.


Berbekam merupakan kaedah rawatan klasik yang telah digunakan dalam merawati berbagai jenis penyakit seperti hemophilia, hipertensi, gout, rheumatik arthritis, sakit belakang, migrain serta penyakit-penyakit umum yang lain, sama ada bersifat fizikal mahupun mental.


Bekam merupakan rawatan yang disukai oleh Nabi Muhammad SAW, dalam hadis berikut: Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah bersabda : "Kesembuhan itu ada pada tiga hal: Dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku melarang umatku dengan besi panas." (HR Bukhari)



SEJARAH BEKAM

Hijamah/bekam/cupping dan banyak istilah lainnya sudah dikenali sejak zaman dulukala, iaitu kerajaan Sumeria, kemudian terus berkembang sampai Babylon, Mesir, Saba’ dan Iran. Pada zaman Rasulullah SAW, Baginda menggunakan kaca berupa cawan atau mangkuk tinggi.


Pada zaman China kuno, mereka menyebut hijamah sebagai ‘perawatan tanduk’ kerana tanduk digunakan menggantikan kaca. Pada kurun abad ke-18 (abad ke-13 Hijriyah), orang-orang di Eropah menggunakan lintah sebagai alat untuk hijamah. Pada suatu masa, 40 juta lintah diimport ke negara Perancis untuk tujuan itu. Lintah-lintah itu dilaparkan tanpa diberi makan. Jadi bila disangkutkan pada tubuh manusia, dia akan terus menghisap darah dengan lahap. Setelah kenyang, ia tidak berupaya lagi untuk bergerak dan terus jatuh.


Seorang pakar herba, Ge Hong (281-341 M) dalam bukunya ‘A Handbook of Prescriptions for Emergencies’ menggunakan tanduk haiwan untuk membekam / mengeluarkan bisul yang dipanggil teknik ‘jiaofa’. Semasa Dinasti Tang, bekam dipakai untuk merawat paru-paru. Pada kurun abad ke-18 (abad ke-13 Hijriyah), orang-orang di Eropah menggunakan lintah sebagai alat untuk berbekam (dikenal dengan istilah ‘Leech Therapy’) dan masih dipraktikkan secara meluas sehingga kini.


Hippocrates (460-377 SM), Celsus (53 SM-7 M), Aulus Cornelius Galen (200-300 M) mempopularkan kaedah pembuangan secara langsung dari pembuluh darah untuk rawatan di zamannya. Dalam melakukan teknik rawatan tersebut, jumlah darah yang keluar cukup banyak, sehingga ramai pesakit pengsan. Cara ini juga sering digunakan oleh orang Romawi, Yunani, Byzantium dan Itali oleh para rahib yang meyakini akan kebaikan berbekam.



JENIS BEKAM


Bekam kering atau bekam angin (Hijamah Jaaffah), iaitu menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah kotor. Bekam kering ini berkhasiat untuk melegakan sakit secara darurat atau digunakan untuk meringankan ketidakselesaan urat-urat punggung kerana rheumatik, juga penyakit-penyakit penyebab ketidakselesaan punggung. Bekam kering baik bagi orang yang tidak tahan suntikan jarum dan takut melihat darah. Kulit yang dibekam akan tampak merah kehitam-hitaman selama 3 hari.


Bekam basah (Hijamah Rothbah), iaitu mula-mula dengan melakukan bekam kering, kemudian kita melukai permukaan kulit dengan jarum tajam (lancet), lalu di sekitarnya dihisap dengan alat berbekam dan pam tangan untuk mengeluarkan darah kotor dari dalam tubuh. Lamanya setiap hisapan 3 sampai 5 minit, dan maksimum 9 minit, lalu dibuang darah kotornya.


Penghisapan tidak lebih dari 7 kali hisapan. Darah kotor berupa darah merah pekat dan berbuih. Dan selama 3 jam setelah dibekam, kulit yang lebam itu tidak boleh disirami air. Jarak waktu pengulangan bekam pada tempat yang sama adalah 3 minggu saja.



WAKTU BERBEKAM


Sebaiknya berbekam dilakukan pada pertengahan bulan, kerana darah kotor berhimpun dan lebih terangsang (darah sedang pada puncak gejolak). Anas bin Malik r.a. menceritakan bahawa:
"Rasulullah SAW biasa melakukan hijamah pada pelipis dan pundaknya. Ia melakukannya pada hari ke-17, ke-19 atau ke-21." (HR Ahmad).

Pemilihan waktu bekam adalah sebagai tindakan pencegahan untuk menjaga kesihatan terhadap penyakit. Adapun untuk rawatan penyakit, maka harus dilakukan bila-bila sahaja diperlukan. Dalam hal ini, Imam Ahmad melakukan bekam pada hari apa saja ketika diperlukan.


Imam as-Suyuthi menukil pendapat Ibnu Umar, bahawa berbekam dalam keadaan perut kosong itu adalah paling baik kerana dalam hal itu terdapat kesembuhan. Maka disarankan bagi yang hendak berbekam untuk tidak memakan makanan berat 2-3 jam sebelum berbekam.


Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berbekam pada hari ke-17, 19 dan 21 (tahun Hijriyah), maka ia akan sembuh dari segala macam penyakit.” (HR Abu Dawud)


Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik bekam yang kalian lakukan adalah hari ke-17, ke-19, dan pada hari ke-21.” (HR at-Tirmidzi)


Dari Anas bin Malik r.a., dia bercerita: ”Rasulullah SAW biasa berbekam di bahagian urat merih (jugular vein) dan punggung. Ia biasa berbekam pada hari ke-17, ke-19, dan ke-21.” (HR Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad, sanad sahih)


Dari Ibnu Abbas r.a., beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Berbekamlah pada hari ke-17 dan ke-21, sehingga darah tidak akan mengalami hipertensi yang dapat membunuh kalian." (Kitab Kasyful Astaar ‘an Zawaa-idil Bazar, karya al-Haitsami (III/388))


Ibnu Sina di dalam kitabnya ‘Al-Qaanun’ mengatakan: “Diperintahkan untuk tidak berbekam di awal bulan kerana cairan-cairan tubuh kurang aktif bergerak dan tidak normal, dan tidak di akhir bulan kerana mungkin cairan-cairan tubuh mengalami pengurangan. Oleh kerana itu diperintahkan melakukan bekam pada pertengahan bulan ketika cairan-cairan tubuh bergerak lancar dan mencapai puncak penambahannya kerana bertambahnya cahaya di bulan.
"

Wallahua'lam.

17 April 2010

MINYAK ZAITUN MENURUT AL-QURAN & HADIS


Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan penyakit dan ubatnya, dan menjadikan setiap penyakit pasti ada ubatnya. Maka berubatlah kalian, tapi jangan dengan yang haram.” (HR Abu Dawud) Berdasarkan hadis ini, maka tidak hairanlah mengapa para alim ulama lebih cenderung kepada makanan-makanan sunnah untuk mengubati penyakit-penyakit manusia berbanding ubat-ubat moden yang kandungannya diragui (syubhah).

Salah satu makanan sunnah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW telah menganjurkan penggunaan minyak zaitun, kerana khasiatnya yang amat besar, dikeluarkan dari pohon zaitun yang diberkati.


Firman Allah SWT: “Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkah, yakni pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya berlapis-lapis, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” (QS An-Nur: 35)

Firman Allah SWT: Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (QS Al-An’am: 99)

Firman Allah SWT: Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (An-Nahl:11)

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda: "Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati." (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah). Di dalam riwayat lain menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Barangsiap menggosok (badannya) dengan minyak zaitun, syaitan tidak akan mendekatinya."

Pohon zaitun tumbuh di puncak bukit. Ia mendapat sinar matahari baik di waktu matahari terbit mahupun sewaktu matahari terbenam, sehingga pohonnya subur dan buahnya menghasilkan minyak yang baik. Jika diminum, ianya bermanfaat untuk menguatkan daya ingatan, menguatkan hempedu, mencegah masalah pencernaan, mengubati penyakit buasir dan impotensi, membantu masalah haid, menghilangkan racun dalam tubuh, mencegah pertumbuhan sel-sel kanser, menurunkan kadar gula dan kolesterol, mencegah penyakit kencing manis serta bermacam-macam khasiat lagi untuk kesihatan manusia.

Jika disapukan, ianya bermanfaat untuk menghilangkan kedutan pada wajah, melindungi dari bakteria, mencegah keguguran rambut, menghilangkan penyakit kulit, menghaluskan serta melembabkan kulit, melambatkan proses penuaan dan menjaga kebersihan kulit kepala.

Rasulullah SAW adalah suri teladan terbaik bagi umat Islam. Teladan yang ditunjukkan oleh Baginda mencakupi semua aspek kehidupan, termasuklah dalam memelihara kesihatan serta merawat penyakit.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)

Wallahua’lam.