Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


01 Mac 2013

ADAB MAKAN & MINUM RASULULLAH S.A.W



Islam adalah cara hidup  yang merangkumi semua aspek kehidupan yang mencerminkan akhlak yang terpuji. Salah satu aspek yang ditekankan termasuklah adab makan dan minum. Firman Allah SWT: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (QS Al-Baqarah: 168)

Terdapat beberapa adab yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa terjaga. Islam tidak menggalakkan penganutnya makan sesuka hati, makan terlalu kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang terbaik untuk diteladani ialah mengikut amalan Rasulullah SAW.

Amalan pemakanan Baginda SAW amat bertepatan dengan firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (QS al-A’raf: 31) 

Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Al-Bazzar pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling banyak kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan pada hari kiamat.” (HR At-Tirmidzi)

Ada beberapa panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, antaranya adalah agar memulai dengan ‘Bismillah’ ketika hendak makan dan diakhiri dengan ‘Alhamdulillah’. Hikmah membaca Basmalah dan Alhamdulillah bagi seorang Islam adalah peringatan bahawa makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah SWT yang semestinya disyukuri.

Rasulullah SAW hanya makan ketika lapar dan Baginda berhenti sebelum perut berasa kenyang. Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan. Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga bahagian. 1/3 ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air. Mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekaligus adalah amalan yang buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi lemah dan tidak mampu mencerna dengan baik.

Sabda Baginda SAW: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR At-Tirmidzi)

Di samping itu, Baginda SAW juga tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.” 

Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (HR Muslim). 

Baginda SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Hikmahnya, kandungan enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan. Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya.” (HR Muslim) 

Perbuatan membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Berkumurlah kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandungi lemak.” (HR Ibnu Majah) 

Di samping itu, Rasulullah SAW gemar berkongsi makan dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Secara tidak langsung ianya mewujudkan kemesraan dan meningkatkan kasih sayang terhadap sesama Muslim. Selain itu, amalan berkongsi makanan dalam satu dulang juga dapat mengelakkan pembaziran. Sabda Rasulullah SAW: Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan, kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian.” (HR Abu Dawud) 

Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah menyatakan antara etika makan ialah membicarakan hal yang baik dan menceritakan kisah orang yang soleh ketika makan. Menurut al-Hafidz dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim rahimahullah, Rasulullah SAW bercakap dan berbual ketika makan. 

Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah makanan pada hari ini dan memuji makanan itu.” (HR Muslim). “Dan ada kalanya Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya. Ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (HR Al-Bukhari). 

Ketika makan jangan terlalu banyak bercakap atau bercakap dengan makanan penuh dalam mulut. Juga jangan bercakap mengenai hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya. Hendaklah mengambil makanan yang paling dekat. Dalam satu hadis, yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah RA, beliau berkata: “Semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. Tanganku melintasi (menjangkaui) segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW: Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu.” 

Umat Islam juga dilarang menggunakan bekas makanan yang diperbuat dari emas dan perak. Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak. Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, melambangkan kesombongan, sedangkan sifat sombong adalah hak mutlak Allah SWT sahaja.

Dalam satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman RA, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Berkata Imam an-Nawawi: “Telah disepakati oleh sekelian ulama’ bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan.” (Syarah Sahih Muslim, Imam an-Nawawi)

Kadang-kadang, ketika makan, ada makanan yang tidak sesuai dengan selera kita, tidak sedap dan sebagainya. Situasi begini tidak hanya berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada Rasulullah SAW. Apakah tindakan Baginda apabila menghadapi situasi sedemikian?

Dalam hadis, daripada Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya Nabi menyukainya, pasti Baginda akan memakannya. Dan jika Baginda tidak menyukainya, Baginda akan meninggalkannya (yakni tidak memakannya).”

Rasulullah SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar, jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan nafas.

Peringatan Allah SWT melalui firmanNya: “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang neraka menjadi tempat tinggal mereka.” (QS Muhammad: 12)

Mudah-mudahan bermanfaat sebagai peringatan bagi kita untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Mereka itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu akan petunjuk mereka. Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk sekelian alam.” (QS Al-An’am: 90)

Wallahua’lam.


08 Februari 2013

KEPRIHATINAN TERHADAP ANAK YATIM DAN FAKIR MISKIN




Bukanlah kebajikan itu hanya menghadap muka kamu ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan (yang sebenarnya) ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab, nabi-nabi, bersedekah harta yang disayangi kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, musafir, peminta-peminta sedekah dan hamba-hamba yang menuntut kemerdekaan, mendirikan solat dan menunaikan zakat, orang yang menepati janji apabila berjanji, orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 177)

Umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa terdorong dan gemar berbuat baik serta mengasihi semua saudara seagama, lebih-lebih lagi terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Islam menghendaki semua manusia hidup bersatu padu dalam suasana persaudaraan yang harmoni.

Islam menyeru umat supaya mengambil berat, memberi perhatian, berbuat baik, menyayangi dan prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik yang memerlukan pembelaan untuk menjalani kehidupan lebih baik. Firman Allah SWT: “Berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin serta berbicara dengan kata-kata yang baik.” (QS al-Baqarah: 83)

Anak yatim ditakrifkan sebagai anak yang kematian bapa sebelum mencapai akil baligh. Apabila anak yatim itu telah sampai kepada umur baligh yang diketahui umum (umur pada adatnya baligh), maka dia tidak boleh lagi digelar dengan nama ‘anak yatim’.

Anak yatim yang hilang tempat bergantung mestilah dijaga, dibimbing serta diberi kasih sayang supaya mereka rasa disayangi dan tidak disisihkan. Orang yang memelihara anak yatim sangat mulia di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Aku dan penjaga (orang yang memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga.” Berkata Malik: “Baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda itu dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu.” (HR Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lalu Baginda bersabda: “Berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.” (HR Ahmad)

Daripada Abi Syuraih Khuwailid bin Amru RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya aku sangat mementingkan hak dua orang yang lemah iaitu hak anak yatim dan orang perempuan.” (HR An-Nasa’ie)

Orang-orang yang menzalimi anak-anak yatim, akan mendapat azab yang tidak terperi sakitnya di akhirat kelak. Firman Allah SWT: “Dan berikan kepada anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu memakan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya perbuatan itu dosa yang besar.” (QS an-Nisa’: 2)

Allah SWT juga berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (QS An-Nisa’: 10)

Dalam perkara ini, Abu Said Al Khudri RA pernah menceritakan bahawa ketika Isra’ Mikraj, Baginda SAW melihat kaum yang bibirnya seperti bibir unta. Mulut mereka disuap batu besar secara paksa sehingga keluar batu itu melalui dubur. Melihat kejadian aneh itu, Baginda bertanya Jibril, lalu  Jibril menerangkan bahawa orang itu adalah orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.

Orang fakir pula ialah orang yang tidak memiliki harta atau tidak mampu menyara diri sendiri serta keluarga. Berbuat baik, bergaul dan menyayangi fakir atau miskin adalah perbuatan para Nabi seperti sabda Rasulullah SAW: “Menyintai orang fakir termasuk pekerti Nabi dan membenci terhadap orang fakir termasuk pekerti Firaun.”

Allah SWT berfirman: “Mereka akan bertanya kamu tentang apa-apa yang mereka belanjakan. Katakanlah: “Apa jua yang baik yang kamu belanjakan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, pengembara dan apa jua kebaikan yang kamu lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”. (QS Al-Baqarah: 215)

Mereka yang berkelakuan baik terhadap golongan fakir miskin akan terhindar daripada sifat sombong dan mementingkan diri, malah dipandang mulia oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berlaku rendah hati, duduklah bersama orang miskin, nescaya kalian menjadi pembesar Allah SWT dan keluar daripada sifat sombong.”

Islam melarang kita membeza-bezakan golongan kaya dengan golongan fakir miskin. Rasulullah SAW amat benci terhadap sikap sedemikian. Baginda SAW bersabda: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan pesta (jamuan) yang mengundang orang kaya sahaja dan meninggalkan orang-orang fakir.” (HR Bukhari dan Muslim)

Allah SWT menyuruh kita berbuat baik kepada orang yang tidak bernasib baik agar silaturahim terjalin erat dan tidak ada lagi jurang pemisah antara orang susah dengan masyarakat, dapat hidup dengan baik, tidak rasa terhina dengan kesusahan yang terpaksa ditanggungnya. Kedua-dua golongan itu (anak yatim dan fakir miskin) wajib disayangi sepenuh hati kerana Allah SWT.

Selain itu, perbuatan-perbuatan baik seperti bersedekah juga menghapuskan sebahagian dosa-dosa lampau. FirmanNya:Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah lebih baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (QS Al-Baqarah: 271)

Di dalam Al-Quran, orang yang tidak mengambil berat tentang anak yatim dan fakir miskin atau yang menzalimi kedua golongan tersebut digelar sebagai ‘pendusta agama’. Firman Allah SWT: “Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (QS al-Ma’un: 1~3)

Dengan perhatian serta pembelaan terhadap orang susah, masyarakat dapat hidup bersatu padu, tidak ada sifat dengki mendengki dan beban kesusahan dapat diatasi bersama dengan sebaiknya. Hidup kita akan terhormat, disegani dalam pergaulan, menambah teman dan mendapat keberkatan rezeki daripada Allah SWT. Inilah suasana hidup masyarakat yang diberkati dan diredhai Allah SWT.

Wallahua’lam.

28 Disember 2012

KISAH BENAR: TAWAKKAL KEPADA ALLAH S.W.T



Kisah ini diceritakan sendiri oleh Atha' bin Al-Azraq. Pada suatu hari isteri Atha' menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli gandum kerana gandum di rumahnya telah habis. Setelah isterinya memberi wang sebanyak 2 dirham, Atha' mengambil karung guni dan berjalan menuju ke pasar.

Di dalam perjalanan dia mendapati seorang hamba sahaya sedang menangis. Orang ramai yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan hamba tersebut. Oleh kerana kasihan melihat keadaan hamba tersebut, Atha' menghampiri hamba yang sedang menangis itu lalu bertanya: "Kenapa kamu menangis di tepi jalan ini?" Hamba itu menjawab: "Saya diberi wang sebanyak 2 dirham oleh tuan saya supaya membeli barang keperluan di pasar. Apabila tiba di sini, saya dapati wang itu sudah tiada." Hamba tadi menangis lebih kuat lagi seraya menyambung: "Mungkin wang itu tercicir semasa dalam perjalanan kemari."

Atha' bertanya lagi: "Kenapa kamu tidak pulang saja dan memberitahu tuanmu tentang kehilangan wang tersebut?." Sambil menangis hamba tadi menjawab: "Jika saya pulang dan memberitahu tentang kehilangan wang tersebut, tentulah saya dimarahi dan dipukul dengan teruk". Atha' merasa simpati di atas penjelasan hamba itu lalu berkata: "Ambil wang ini dan belilah barang-barang yang dipesan oleh tuanmu." Hamba tadi mengambil wang itu dan mengucapkan terima kasih kepada Atha' lalu beredar dari situ menuju ke pasar untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh tuannya.

Setelah hamba tadi beredar dari situ Atha' berfikir sendirian: "Bagaimana aku hendak membeli gandum yang dipesan oleh isteriku sedangkan wang 2 dirham telah aku berikan kepada hamba tadi?" "Dari mana aku hendak mencari wang sebanyak itu?" katanya lagi. Untuk menenangkan fikirannya, Atha' menuju ke sebuah masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat sunat. Atha' berada di dalam masjid agak lama, sehingga beliau sempat bersolat Asar di situ. Beliau berdoa supaya Allah SWT membantunya.

Setelah selesai solat Asar, Atha' menuju ke rumah kawannya kerana ia takut dileteri oleh isterinya kerana pulang tanpa membawa gandum yang dipesannya. Pada mulanya Atha' ingin menceritakan dan meminta bantuan daripada kawannya tetapi apabila tiba di rumah kawannya, ia tidak tergamak untuk memberitahu hajatnya. Apabila kawannya melihat Atha' membawa karung kosong, lalu kawannya bertanya: "Apa tu? Karung kosong?" jawab Atha': "Ya" "Kalau begitu isilah habuk kayu ini dan bawalah pulang untuk dijadikan bahan bakar," kata kawannya. Tanpa berkata apa-apa, Atha' terus mengisi karung guni dengan habuk kayu yang diberikan oleh kawannya dan terus pulang ke rumahnya.

Apabila tiba dirumahnya, Atha' meletakkan guni yang berisi habuk kayu tadi di rumahnya dan beredar dari situ dengan senyap-senyap kerana takut isterinya berleter disebabkan karung tersebut telah diisi dengan habuk kayu. Atha' kemudian menuju ke masjid. Agak lama juga beliau berada di sana sehingga hampir larut malam barulah dia pulang. Setibanya di rumah, dia tercium bau harum roti yang sedang dibakar. Atha' kemudiannya masuk ke dapur dan melihat isterinya sedang membakar roti lalu berkata: "Harumnya bau roti ini!" Jawab isterinya: "Memanglah kerana gandum ini dari kualiti yang baik". Atha' bertanya lagi: "Dari mana kamu dapat tepungnya?" "Dari mana lagi, dari karung yang awak bawa baliklah!", jawab isterinya. Atha' kehairanan lalu berkata di dalam hatinya: "Dari mana datangnya gandum itu sedangkan karung tadi berisi dengan habuk kayu. Ajaib sungguh!"

Atha' bertanya kepada isterinya: "Mana karungnya? Biar aku lihat.." Isterinya menghulurkan karung tadi dan dilihatnya. "Memang benar, karung tadi yang berisi habuk kayu telah bertukar menjadi gandum yang berkualiti baik," kata Atha' di dalam hatinya. Atha' hanya mampu memandang sahaja sedangkan dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya gandum tersebut.

Begitulah jika kita sentiasa merendah diri, beriman dan bertawakkal kepada Allah SWT...

Firman Allah SWT: “Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pemelihara.” (QS Al-Ahzab: 33)

Allah SWT juga berfirman: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS Luqman: 22)

Wallahua’lam..