Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 Oktober 2008

TAWAKKAL SI ANAK KECIL

Abu Faidh Thauban atau yang terkenal dengan nama panggilan Zunnun Al-Mishri adalah seorang ahli Tasawwuf yang besar dari negara Mesir. Diceritakan bahawa pada suatu hari Zunnun Al-Mishri pergi ke laut untuk menjala ikan untuk menyara hidupnya dengan disertai oleh anak perempuannya yang masih kecil. Zunnun menebarkan jaringnya, tidak berapa lama kemudian jaring itupun ditariknya. Dia beruntung kerana dapat menangkap seekor ikan. Anak perempuanya yang ikut turun ke laut, menyaksikan bahawa mulut ikan itu bergerak-gerak seperti orang berzikir.
.
Apabila Zunnun menghulurkan tangannya untuk mengambil ikan yang sudah dijangka menjadi rezekinya itu, tiba-tiba anaknya menghalangnya. Dengan pantas anaknya mengambil ikan yang masih hidup itu dan mencampakkannya ke laut semula. Maka bebaslah ikan itu di alamnya. Zunnun tidak dapat menghalang perbuatan anaknya itu dan hanya melihat dengan penuh kehairanan.
.
"Mengapa kau membuang rezeki yang sudah kita perolehi?" tanya Zunnun kepada anaknya. Anaknya menjawab: "Saya tidak rela makan makhluk yang berzikir kepada Allah". Zunnun hairan terhadap jawapan anaknya itu kerana setiap ikan yang baru ditangkap sudah tentu bibirnya bergerak-gerak.
.
"Apa yang hendak kita buat?" tanya Zunnun lagi. Anaknya menjawab: "Kita bertawakkal kepada Allah semoga Dia memberi kita rezeki benda yang tidak berzikir kepada Allah. Kedua-duanya pun balik tidak meneruskan kerjanya sebagai penangkap ikan dan mencari kerja lain sambil bertawakkal kepada Allah.
.
Setelah bekerja sampai petang, keduanya belum juga mendapatkan sesuatu rezeki untuk dimakan sedangkan perutnya sudah mulai lapar. Apabila waktu Isyak sudah masuk, tiba-tiba Allah menurunkan hidangan dari langit yang terdiri daripada berbagai jenis makanan, maka makanlah keduanya dari rezeki itu. Keadaan seperti ini berlaku setiap malam dan berlangsung lebih kurang 12 tahun.
.
Zunnun menyangka bahawa kurnia dari Allah yang sangat istimewa ini adalah disebabkan dirinya yang sangat rajin beribadah, solat, berpuasa dan berdoa kepada Allah. Apabila keadaan ini sudah berlangsung lebih kurang 12 tahun, anak perempuannya yang ikut ke laut sudah meninggal. Ternyata hidangan dari langit tidak lagi turun berikutan kematian anaknya itu.
.
Lalu Zunnun menyedari bahawa kurnia Allah yang turun pada keluarganya berupa makanan dari langit itu bukan disebabkan kerana dirinya yang rajin beribadah dan berdoa, tetapi disebabkan kerana ketinggian tawakkal anak perempuannya yang sudah meninggal dunia."

28 Oktober 2008

KAMAR-KAMAR DI SYURGA

Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa di dalam syurga itu terbahagi didalamnya kamar-kamar. Dindingnya tembus pandang dengan hiasan di dalamnya yang sangat menyenangkan. Didalamnya pula terdapat pemandangan yang tidak pernah dilihat di dunia dan terdapat satu hiburan yang tidak pernah dirasakan manusia di dunia.
.
"Untuk siapa kamar-kamar itu, wahai Rasulullah S.A.W?" tanya para sahabat. "Untuk orang yang mengucapkan dan menyemarakkan salam, untuk mereka yang memberikan makan kepada yang memerlukan, dan untuk mereka yang membiasakan puasa, dan solat di waktu malam saat manusia lelap dalam mimpinya."
.
"Siapa yang bertemu temannya lalu memberi salam, dengan begitu ia bererti telah menyemarakkan salam. Mereka yang memberi makan kepada ahli dan keluarganya sampai berkecukupan, dengan begitu bererti termasuk orang-orang yang membiasakan berpuasa. Mereka yang solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, dengan begitu ia bererti termasuk orang yang solat malam di saat orang-orang sedang tidur lelap."
.
Begitu Nabi SAW menjelaskan sabdanya kepada sahabatnya. ingatlah,kita yang harus mengawal hawa nafsu bukannya nafsu yang mengawal diri kita. INGAT!!! KEANGKUHAN HAWA NAFSU TIADA TOLOK BANDINGNYA.

27 Oktober 2008

ENAM PERTANYAAN IMAM GHAZALI...

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:
.
PERTAMA: Beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab: "Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185.
.
KEDUA: Beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab: "Negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.
.
KETIGA: Beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: "Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179.
.
KEEMPAT: Beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab: "besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.
.
KELIMA: Beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab: "Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.
.
KEENAM: Beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab: ''Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

8 MANFAAT BELAJAR 33 TAHUN...

Kisah ini adalah diriwayatkan daripada Hatim Al Asom yang merupakan penuntut kepada Sadiq Al Balqi r.a.
.
Pada suatu hari Sadiq bertanya kepada Hatim: "Wahai muridku! Berapa lamakah engkau mengenaliku?" Jawab Hatim: "33 tahun". Kata Sadiq: "Apa yang engkau pelajari daripadaku dalam tempoh tersebut?". Maka Hatim menjawab: "Hanya lapan (8) perkara yang aku perolehi daripadamu".
.
Lalu gurunya terkejut dengan jawapan itu lalu dia pun bertanya: "Telah berlalu umurku bersamamu dan engkau tidak pelajari selain lapan perkara?". Hatim berkata: "Wahai guruku, aku tidak mempelajari selain lapan perkara tersebut dan aku tidak mahu membohongimu". Gurunya bertanya: "Apakah lapan perkara itu?"
.
Jawab Hatim: "Pertama - Aku melihat kepada manusia ini, dan aku dapati setiap daripada mereka mencintai kekasihnya, tetapi percintaannya terbatas, apabila kekasihnya menemui ajal, maka aku menjadikan kebaikan sebagai kekasihku, apabila aku mati aku pergi bersamanya.
.
"Kedua - Aku mengamati pada kalam Allah yang maksudnya: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah dan mengekang hawa nafsunya sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya", maka aku mengetahui bahawa kalam Allah itu benar, lalu aku bersungguh-sungguh mengekang nafsuku sehingga benar-benar menuruti perintah Allah."
.
"Ketiga - Aku melihat manusia apabila dia mempunyai sesuatu yang bernilai, ia berusaha untuk menjaga dan memeliharanya dengan sebaik-baiknya, lalu aku teringat firman Allah yang bermaksud: "Apa yang kamu miliki pasti akan binasa dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal abadi".
.
"Keempat - Aku melihat manusia itu berbangga dengan harta, keturunan dan pangkat. Maka aku merenung pada firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu".
.
"Kelima - Aku melihat manusia saling menuduh dan melaknat sesama mereka dan semua itu berpunca daripada hasad, aku merenung firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanmu mengagihkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dan menentukannya".
.
"Keenam - Aku melihat manusia itu menzalimi dan membunuh sesama mereka, maka aku merenung firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu, maka ambillah dia sebagai musuh yang sebenar".
.
"Ketujuh - Aku melihat manusia dan aku dapati setiap daripada mereka itu berdukacita dengan apa yang mereka tidak perolehi dan selalu menolak ketentuan Allah Taala. Keadaan ini mengingatkan aku kepada firman Allah yang bermaksud: "Setiap apa yang melata di atas muka bumi ini Allahlah yang menentukan rezeki mereka".
.
"Kelapan - Aku melihat manusia dan aku melihat mereka bergantung nasib kepada makhluk, lalu aku teringat firman Allah yang bermaksud: "Bertawakallah kepada yang hidup dan tidak mati".

23 Oktober 2008

HARAPAN WANITA ACUAN AL-QURAN


Suami idamanku adalah seorang suami yang beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah swt
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu Agama
Yang sentiasa dahaga akan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tak pernah takut untuk berkata benar
Yang tak pernah gentar untuk melawan hawa nafsu
Yang sentiasa bersama orang-orang yang berjuang ke jalan Allah
Yang sentiasa menunggu seruan jihad fisabilillah
.
Suami idamanku adalah suami yang menjaga tutur-katanya
Yang bijaksana apabila memberi nasihat dan teguran
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak bermegah dengan harta yang dicarinya
Yang yang sentiasa bersembunyi bila berbuat kebajikan
Yang sentiasa bersifat penyayang kepada isteri dan anak-anaknya
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang
Yang sanggup mengorbankan harta dan jiwanya demi agama Allah
.
Suami idamanku adalah suami yang menghormati ibunya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya dan keluarganya
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangganya
Yang akan mendidik anak isterinya mendalami Islam Minnallah
Yang mengamalkan hidup dengan penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya merupakan rumah sementara menuju akhirat
.
Suami idamanku sentiasa bersedia menjadi imam
Yang hidup dibawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah saw
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang menjaga matanya dari berbelanja
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya
.
Suami idamanku tidak pernah membazirkan masanya
Yang matanya kepenatan kerana banyak membaca
Yang suaranya kelesuan kerana kuat mengaji dan berzikir
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Bangunnya subuh penuh kecergasan
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan
.
Suami idamanku sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kjehidupan itu perlu dibaja dan dijaga
Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik
Demi meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian
.
Suami idamanku adalah suami syurgawi
Yang tidak terpesona dengan buaian duniawi
Kerana dia mengimpikan syurga
Disitulah rumah idamannya
Dan dia ingin membawa seluruh keluarganya bersama
Dialah suami idamanku
.
(Dipetik dari kitab Imam Al-Ghazali : Qasidah Siti Zubaidah - seorang Wali Allah)

06 Oktober 2008

DOSA

Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik dan buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk, melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya".
.
Orang yang banyak melakukan dosa semakin renggang hubungannya dengan Allah dan orang mukmin lain. Ini kerana apabila seseorang itu patuh kepada perintah Allah, ia dekat kepadaNya. Orang yang sentiasa melakukan dosa selalu memandang perbuatan dosa itu sebagai perkara kecil. Dalam hal ini, Ibnu Masud berkata: "Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya".
.
Dosa yang dilakukan itu akan membawa kehinaan, manakala ketaatan pula dapat melahirkan kemuliaan kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu kepunyaan Allah jua".
.
Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya, manakala mereka yang taat lapang dadanya. Allah berfirman yang bermaksud: "Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayat nescaya Allah memberi kelapangan dadanya untuk menerima (ajaran) Islam. Sesiapa yang Allah hendak menyesatkan nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)".
.
Dosa boleh menggelapkan hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh menyinarinya. Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya".
.
Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat". Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada ibadat di waktu malam)".
.
Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.
.
(Petikan dari buku Bimbingan Semasa oleh Mohd Fauzi Mustaffa Al-Besuty.)

02 Oktober 2008

KELEBIHAN SURAH AL-IKHLAS

"Auzu billahi minash syaitannir rajim. Bismillahirrahmannirrahim". Maksudnya: "Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani". Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada di dalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.
.
Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas, kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussomad. Lam yalid walam yu-lad. walam yakul lahu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca Bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.
.
Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang biasa bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.
.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga." (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).
.
Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya :"Siapakah antara kamu yang dapat khatam Al-Quran dalam jangka masa dua-tiga minit?" Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Sayyidina Umar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengkhatam Al-Quran dalam begitu cepat. Kemudiannya Sayyidina Ali mengangkat tangannya. Sayyidina Umar bersuara kepada Sayyidina Ali bahawa Sayyidina Ali (yang masih kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Sayyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali benar. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 juzuk Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali maka khatamlah Al-Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juzuk Al-Quran.
.
Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah SAW) diisrak ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan".
.
Sabda Rasulullah SAW lagi: "Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya 'Qul Huwallahu Ahadu' itu tertulis di sayap malaikat Jibril a.s, 'Allahhus Somad' itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, 'Lamyalid walam yuulad' tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, 'Walam yakullahu kufuwan ahadu' tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s
(Sumber: Internet)