Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


20 Disember 2008

PERSAUDARAAN DALAM ISLAM


Perpaduan adalah asas bagi ajaran Islam kerana ia bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah SWT semata-mata tetapi kita juga diseru supaya mengukuhkan hubungan baik sesama manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Ini dapat dilihat secara jelas dalam maksud firman Allah SWT yang bermaksud: “ Ditimpa kehinaan ke atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. ” (QS Ali Imran:112)
.
Untuk membina perpaduan sesama umat Islam, Allah SWT menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara antara satu sama lain yang mana asas persaudaraan itu bukan sekadar dari hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa tetapi disatukan dengan ikatan akidah dalam Islam seperti firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara.” (QS Al-Hujurat:10)
.
Ayat di atas mengambarkan kepada kita bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan dari Allah SWT sebagai saudara seagama, di mana banyak hak yang perlu dipelihara bersama-sama. Di dalam Al-Quran, banyak ayat yang menggalakkan kita sebagai Muslim untuk menghormati saudara sesama Islam, bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara, malah dalam segala aspek ekonomi dan keseimbangan kehidupan sosial juga, meletakkan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Dalam syariah Islam, setiap umat bukan sekadar disuruh untuk melakukan ibadah sembahyang, puasa, haji dan sebagainya sebagai tanda pengabdian kepada Allah SWT semata-mata, tetapi digalakkan juga kita melakukan secara berjemaah dan bersatupadu dengan matlamat yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Malah dalam aspek pembinaan masyarakat Islam itu sendiri, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan dan kedudukan sosial mereka.
.
Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa belum pernah berlaku penyatuan satu umat yang besar melainkan kejayaan Rasulullah SAW membina ketamadunan umat dalam tempoh yang pendek dan mengabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza, kepada agama Islam. Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dan peradaban kehidupan manusia ketika itu, di mana orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba sahaya sehingga sanggup berkorban nyawa, disebabkan perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap saudara seagama, seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a dengan Saidina Bilal bin Rabah r.a. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari perpaduan serta persaudaraan berteraskan agama Allah. Ini dapat dilihat dari hadis Rasulullah SAW: “ Tidak ada kebaikan orang Arab ke atas A’jami (bukan Arab) melainkan yang bertaqwa.”
.
Walaupun persaudaraan merupakan satu lambang keamanan sejagat untuk umat manusia menggembleng pemikiran dan tenaga untuk mengimarahkan dan memakmurkan dunia ini dengan berteraskan konsep tauhid dan ilmu pengetahuan, namun terdapat unsur-unsur dalaman dan luaran yang akan mengagalkan misi umat Islam di dunia ini. Unsur-unsur dalaman terdapat dalam diri setiap insan yang mendorong ke arah sangkaan buruk dan cemburu di atas kejayaan saudaranya. Tidak cukup sekadar itu, sikap hasad dan dengki mendorong manusia terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memusnahkan kejayaan saudaranya itu. Sifat-sifat seperti ini adalah merupakan satu penyakit umat Islam masa kini yang semakin parah sehingga umat Islam kini menderita dan gagal bersaing dengan agama lain.
.
Maka tidak hairanlah terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang melarang kita dari bersifat sedemikian. Sebagai contoh, baginda Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti mana api memakan daun kering.” Faktor luaran pula, sebagai contohnya, pelbagai hasutan dan khabar angin yang sengaja diada-adakan agar umat Islam sentiasa bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain, supaya benteng persaudaraan ini ranap dan roboh begitu sahaja. Akhirnya, umat Islam yang mendakwa menganuti agama yang sempurna, tidak lagi dapat membawa apa-apa kesan dan keutuhan kepada umat Islam itu sendiri. Apa yang terjadi ialah satu demi satu, sama ada negara atau bangsa akan tersungkur tunduk patuh kepada orang kafir, sama ada kepada orang Yahudi, Kristian mahupun Komunis.
.
Sebenarnya umat Islam hari ini amat mengharapkan mana-mana negara umat Islam yang belum ditimpa kemelut ini menghulurkan bantuan dan memerdekakan mereka dari penjajahan Barat, yang semakin memeras dan menindas umat dan kesucian Islam. Sudah ramai yang menjadi penonton sepi di atas penderitaan umat Islam. Kalau bukan orang Islam sendiri yang datang menebus kesucian dan maruah umat Islam, siapa lagi?
.
Oleh itu marilah kita merendahkan diri dan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam yang semakin terhakis dan ingatlah orang Islam itu saudara kita, bukan musuh kita dan kita akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak mengenai tanggungjawab yang telah kita jalankan terhadap saudara seagama kita.
.

19 Disember 2008

BAGI HAMBA-HAMBA YANG DIUJI...


KENAPA AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang2 yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang2 yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yang dusta." (QS Al-Ankabut: 2-3)
.
KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU INGINKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (QS Al-Baqarah: 216)
.
KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sekadar kesanggupannya..." (QS Al-Baqarah: 286)
.
RASA KECEWA?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang2 yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang2 yang beriman." (QS Al-Imran: 139)
.
BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk" (QS Al-Baqarah: 45)
.
APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang2 mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... " (QS At-Taubah: 111)
.
KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selainNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dialah yang memiliki Arasy yang agung" (QS At-Taubah: 129)
.
AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
"... Orang yang putus harapan dari rahmat Tuhan itu, hanyalah orang2 yang sesat." (QS Al-Hijr: 56)
.

99 JALAN KE SYURGA


1. Bersyukur apabila mendapat sebarang nikmat;
2. Sabar apabila mendapat sebarang kesulitan;
3. Tawakkal apabila mempunyai sebarang rancangan;
4. Ikhlaskan diri dalam segala amal perbuatan;
5. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;
6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;
7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;
8. Jangan hasad dengan kekayaan orang;
9. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang lain;
10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan;
11. Jangan tamak kepada harta;
12. Jangan terlalu mengejar sesuatu kedudukan;
13. Jangan hancur kerana kezaliman;
14. Jangan rasa tergugat kerana fitnah;
15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri;
16. Jangan menambahkan harta dengan harta yang haram;
17. Jangan sakiti ayah dan ibu;
18. Jangan usir orang yang meminta-minta;
19. Jangan sakiti anak yatim;
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;
21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);
23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu’;
24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;
25. Biasakan solat malam;
26. Perbanyakkan zikir dan do'a kepada Allah;
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;
28. Sayangi dan santuni fakir miskin;
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;
30. Jangan marah secara berlebih-lebihan;
31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;
32. Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah kerana Allah;
33. Berlatihlah menumpukan fikiran;
34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;
36. Jangan percaya ramalan manusia;
37. Jangan terlampau takut miskin;
38. Hormatilah setiap orang;
39. Jangan terlampau takut kepada manusia;
40. Jangan sombong, takabbur dan besar kepala;
41. Berlakulah adil dalam segala urusan;
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;
43. Sentiasa perhatikan kebesaran Allah pada alam persekitaran;
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;
45. Hubungkanlah silaturrahim;
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;
47. Berbicaralah secukupnya;
48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;
49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;
51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin;
52. Sediakan waktu untuk bersama keluarga;
53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan;
54. Hormatilah kepada guru dan ulama;
55. Sering-sering bersalawat kepada Nabi SAW;
56. Cintai keluarga (Ahlul Bait) Nabi SAW;
57. Jangan terlalu banyak berhutang;
58. Jangan terlampau mudah berjanji;
59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;
60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti kata-kata yang sia-sia;
61. Bergaullah dengan orang-orang soleh;
62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;
63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah berkemampuan;
64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;
65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan;
66. Jangan membenci seseorang kerana fahaman dan pendiriannya;
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;
68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan;
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang kesulitan;
70. Jangan melukai hati orang lain;
71. Jangan membiasakan berdusta;
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan kerugian;
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggungjawab;
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;
75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita;
76. Jangan membuka aib orang lain;
77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berjaya dari kita;
78. Ambillah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;
79. Sediakan waktu untuk menilai semula apa-apa yang sudah dilakukan;
80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya;
81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara;
82. Kenalpasti kekurangan diri dan kenalpasti pula kelebihan orang lain;
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;
85. Hargai prestasi dan pemberian orang;
86. Jangan habiskan waktu untuk sekadar hiburan dan kesenangan;
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun kadangkala tidak menyenangkan;
88. Sediakan waktu untuk riadah yang sesuai dengan norma-norma agama dan keadaan diri kita;
89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita terganggu;
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;
91. Lupakanlah kesalahan orang dan lupakanlah jasa kita;
92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang menyebabkan orang lain merasa terhina;
93. Jangan cepat percaya kepada berita tidak baik tentang sahabat kita sebelum dipastikan kebenarannya;
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dengan tidak berlebihan;
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan diri;
97. Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;
98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan merosakkan;
99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang lain dan jangan kaya dengan memiskinkan orang lain.

18 Disember 2008

KISAH MASYITAH (TUKANG SIKAT RAMBUT FIRAUN)


Firaun menjadi sombong dan angkuh kerana kebesaran empayarnya dan kehebatan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan yang agung dan memusuhi sesiapa saja yang bertuhankan selain dirinya. Malahan dia akan membunuh mereka yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. Masyitah walaupun bekerja di istana Firaun, namun di dalam hati kecilnya tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan segala makhluk di muka bumi ini termasuk Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kepercayaan ini dirahsiakannya supaya tidak diketahui oleh Firaun dan sekutunya.
.
Pada suatu hari, sedang dia menyisir rambut anak Firaun, sikat di tangannya terjatuh. Masyitah terlatah dan berkata "Mampus Firaun!". Apabila anak Firaun mendengar kata-kata penghinaan terhadap bapanya, dia bertanya, "Kenapa kau berkata begitu terhadap bapaku? Adakah tuhan lain selain bapaku?" Jawab Masyitah, "Memang benar! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyitah bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapa engkau. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."
.
Sebaik saja Firaun diberitahu oleh anaknya tentang Masyitah, dia menjadi murka dan memanggil Masyitah. Dia bertanya sama ada benar apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Masyitah tetap mengatakan Tuhannya ialah Allah. Firaun mengugut untuk membunuh Masyitah dan keluarganya sekiranya dia tidak mengubah pendiriannya. Keesokannya, keluarga Masyitah dibawa ke satu tempat lapang, berhadapan dengan sebuah kawah besar yang berisi dengan minyak yang sangat panas. Firaun hendak memasukkan kesemua ahli keluarga Masyitah termasuk anaknya yang masih kecil ke dalam minyak panas sekiranya Masyitah tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. Keimanan Masyitah tidak luntur meskipun berhadapan dengan ancaman maut. Melihatkan iman Masyitah tidak berganjak, Firaun menyuruh askarnya mencampakkan keluarga Masyitah seorang demi seorang ke dalam kawah yang besar itu.
.
Apabila sampai giliran anaknya yang kecil, perasaan Masyitah menjadi belas dan sebak. Hati siapa tidak sedih melihatkan anak yang disayangi akan dilontar ke dalam kawah yang membuak-buak dengan minyak panas. Masyitah meminta supaya dia dicampakkan dulu sebagai ganti kepada anaknya. Tiba-tiba dengan kuasa Allah SWT, anaknya yang kecil itu membuka mulut dan berkata, "Ibu, jangan bersedih. Teruskan! Biarkan saya dicampak ke dalam kawah itu." Masyitah dan orang-orang di sekeliling terperanjat melihat seorang bayi boleh berkata-kata. Mendengar kata-kata anaknya itu, Masyitah menjadi semakin yakin dan tabah. Dia menghulurkan anaknya untuk dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas kesihan askar Firaun terus melontarkan anak Masyitah ke dalam minyak panas. Selepas itu barulah Masyitah dibawa ke tepi kawah yang panas itu lalu dicampakkan ke dalamnya.
.
Demikianlah hebatnya Masyitah mempertahankan kebenaran aqidah sehingga dia dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun. Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi SAW sampai di satu tempat yang sangat harum. Malaikat Jibrail AS menerangkan bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyitah dan keluarganya.
.

17 Disember 2008

HINDARI 3 PERKARA...


Telah bersabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada Allah. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya, maka telah hilang dua pertiga agamanya."
.

16 Disember 2008

PESANAN RASULULLAH S.A.W. TENTANG SOLAT


Rasulullah SAW bersabda: "Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27x darjat" (H.R. Bukhari dan Muslim)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat berjemaah kemudian duduk berzikir hingga terbit matahari kemudian solat 2 rakaat (sunat dhuha) maka ia akan mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna" (H.R. Tirmidzi)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berjalan untuk solat fardhu maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan jika ia berjalan untuk solat sunat maka pahalanya seperti orang yg mengerjakan umrah sunat" (H.R. At-Tabrani)
.
Rasulullah SAW bersabda: "2 rakaat solat sunat fajar itu pahalanya lebih baik daripada dunia seisinya" (H.R. Muslim & Tirmidzi)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka" (H.R. At-Tabrani)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau sujud akan berjatuhanlah dosa-dosanya itu" (H.R. At-Tabrani)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas zohor sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka" (H.R. Abu Daud & Tirmidzi)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna maka keluarlah dosa dari tubuhnya sehingga dari bawah kukunya juga" (H.R. Muslim)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Malaikat akan berdoa untuk kamu selama kamu masih berada di dalam masjid dan melakukan solat dan selama kamu tidak berhadas. Berkata Malaikat, "Ya Allah, ampunilah dia dan turunkanlah rahmatMu kepadanya" (H.R. Bukhari)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat Isyak berjemaah maka bagaikan bangun (beribadah) malam dan (pada esok paginya) ia mengerjakan solat Subuh secara berjemaah juga maka (pahalanya) bagaikan bangun semalaman(penuh). (H.R. Muslim & Ahmad)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu rasa ada angin di dalam perutmu kemudian kamu ragu adakah ianya telah keluar atau belum, maka janganlah keluar dari solatmu sehingga jelas terdengar bunyi atau tercium baunya" (H.R. Muslim)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Tidak takutkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (mengangkat kepalanya), kelak akan digantikan kepalanya dengan kepala keldai" (H.R. Muslim)
.
Rasullulah SAW bersabda: "Solat dengan bersiwak (mengosok gigi) lebih afdhal(baik) dari 70x solat tanpa siwak" (H.R. Zanjawaih & Hakim)
.
Rasullulah SAW bersabda: "Solat sunat atau fardhu dengan memakai serban menyamai 25x solat yang tidak memakai serban dan solat jumaat dengan memakai serban menyamai 70x Jumaat tanpa memakai serban" (H.R. Ibn'Asakir)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Malaikat senantiasa berdoa untuk kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas" (H.R. Bukhari & Muslim)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila imam bangun dari rukuk serta membaca doa, maka hendaklah kamu membaca "Allahuma Rabbana lakalhamdu" kerana sesiapa yang berkebetulan bacaannya dengan bacaan Malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu" (H.R. Bukhari & Muslim)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan malaikatNya pula mendoakan bagi orang-orang yang sembahyang pada saf yang pertama" (H.R. Ahmad & Abu Daud)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk padahal ia masih ada wuduk, maka dicatat untuknya sepuluh hasanat" (H.R. Abu Dawud)
.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka ia kafir terang-terangan" (H.R. At-Tabrani)
.

15 Disember 2008

HATI IBARAT RUMAH


Ada 3 macam rumah, Pertama: Rumah Raja, di dlmnya ada simpanannya, tabungannya serta perhiasannya. Kedua: Rumah Hamba, di dlmnya ada simpanan, tabungan & perhiasan yg tidak spt yg dimiliki seorang raja. Dan ketiga: Rumah Kosong, tidak ada isinya.
.
Jika datang seorang pencuri, rumah mana yang akan dimasukinya? Apabila anda menjawab, ia akan masuk rumah yang kosong, tentu suatu hal yg tidak masuk akal, kerana rumah kosong tidak ada barang yang boleh dicurinya. Kerana itulah apabila dikatakan kepada Ibnu Abbas r.a. bahawa ada orang-orang Yahudi mengatakan bahawa di dalam solat, mereka 'tidak pernah terganggu', maka Ibnu Abbas berkata: "Apakah yang mampu dikerjakan oleh syaitan di dalam rumah yang sudah rosak?"
.
Bila jawapan anda adalah: "Pencuri itu akan masuk rumah raja." Hal tersebut bagaikan sesuatu yang hampir mustahil, kerana tentunya rumah raja dijaga oleh penjaga dan tentera, sehingga pencuri tidak mampu mendekatinya. Bagaimana mungkin pencuri tersebut mendekatinya sementara para penjaga dan tentera sentiasa bersiap sedia di sekitar raja? Sekarang tinggal rumah kedua, maka hendaklah orang-orang berakal memperhatikan permisalan ini sebaik-baiknya, dan menganalogikannya (rumah) dengan hati, kerana inilah yang dimaksudkannya.
.
Rumah Kosong iaitu hati yang kosong dari kebajikan, yaitu hati orang-orang kafir dan munafik, adalah rumah syaitan, yang telah menjadikannya sebagai benteng bagi dirinya dan sebagai tempat tinggalnya. Maka adakah rangsangan untuk mencuri dari rumah itu sementara yang ada didalamnya hanyalah peninggalan syaitan, simpanannya dan gangguannya?
.
Rumah Raja iaitu hati yang telah dipenuhi dengan kekuasaan Allah SWT dan keagunganNya, penuh dengan kecintaanNya dan sentiasa dalam penjagaanNya dan selalu malu darinya, syaitan mana yang berani memasuki hati ini? Bila ada yang ingin mencuri sesuatu darinya, mampukah ia mencurinya?
.
Rumah Hamba iaitu hati yang di dalamnya ada tauhid Allah, mengerti tentang Allah, mencintaiNya, dan beriman kepadaNya, serta membenarkan janjiNya. Namun di dalamnya ada pula syahwat, sifat-sifat buruk, hawa nafsu dan tabiat tidak baik. Hati ini ada di antara dua hal. Kadang hatinya cenderung kepada keimanan, makrifat dan kecintaan kepada Allah semata, dan kadang condong kepada panggilan syaitan, hawa nafsu dan tabiat tercela. Hati semacam inilah yang dicari oleh syaitan dan diinginkannya. Dan Allah memberikan pertolonganNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya sebagaimana firmanNya: "Dan kemenanganmu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Ali Imran:126)
.
Syaitan tidak mampu mengganggunya kecuali dengan senjata yang dimilikinya, yang dengannya ia masuk ke dalam hati. Di dalam hati seperti ini syaitan mendapati senjata-senjatanya yg berupa syahwat, syubhat, khayalan2 dan angan2 dusta yang berada di dalam hati. Saat memasukinya, syaitan mendapati senjata-senjata tersebut dan mengambilnya serta menjadikannya menetap di hati. Apabila seorang hamba mempunyai benteng keimanan yang mampu mengimbangi serangan tersebut, serta memiliki kekuatan melebihi kekuatan penyerangnya, maka ia akan mampu mengalahkan syaitan.
.
Tiada daya dan kekuatan kecuali dari Allah semata-mata...
.

14 Disember 2008

KEIKHLASAN HATI...


1. Berbaktilah kepada kedua ibu bapa anda kerana tidak lama mereka akan meninggalkan anda. Dan hormatilah keduanya dengan ketinggian budi. Ramai menyesal kerana tidak sempat berbuat baik ketika keduanya masih hidup.
.
2. Bagi orang pemurah dan ikhlas, satu kesenangan baginya menolong orang lain. Tetapi bagi orang bakhil, kesenangannya apabila tidak ada orang meminta kepadanya.
.
3. Orang bersifat ikhlas dia sentiasa tahu, bagaimana juga kejadiannya kebenaran tetap menang disebabkan kebatilan menunggu ajalnya kerana alam ini tidak mahukan kekotoran.
.
4. Perjuangan yang tidak mengenal erti susah, tak mengenal erti sakit dan senang dapat memuliakan diri seseorang. Gagal dalam kemuliaan lebih baik daripada menang dalam kehinaan. Hidup ertinya berjuang, takut berjuang bererti bukan hidup. Dunia adalah medan perjuangan yang manakah manusia sejati dan yang palsu. Hanya yang ikhlas dan tabah akan mendapat kemenangan.
.

13 Disember 2008

KELEBIHAN MEMBACA AYAT KURSI

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Quran sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."
.
Berkata Anas bin Malik r.a.: "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?" Sabda Rasulullah SAW: "Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat."
.

AMALAN2 TERBALIK DALAM MASYARAKAT HARI INI

Jika direnung-renungkan, kita akan dapati banyak amalan kita adalah bertentangan dari apa yang dituntut oleh Islam. Secara tidak sedar, kita telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Antara contoh amalan yang terbalik dalam masyarakat:
.
1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuhdan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW di mana Rasulullah SAW menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyediakan makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah kita khuatir kalau-kalau termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
.
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju!
.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan dijamu, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidangkan supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat sebaiknya banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk mengelakkan rasa riak.
.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun! Sepatutnya perbelanjaan di bulan puasalah yang terendah.
.
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduripun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain?
.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus peperiksaan.
.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah SWT diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, tuhan sahaja yang tahu. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
.

12 Disember 2008

12 SIFAT SAHABAT SEJATI MENURUT IMAM AL-GHAZALI

1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
.
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
.
3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
.
5. Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
.
6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
.
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
.
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
.
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
.

10 PERKARA YANG SIA-SIA

Sufyan ats-Tsauri, seorang ulama hadis yang terkemuka, menyatakan bahawa ada sepuluh hal yang termasuk dalam kategori sia-sia, iaitu:-
.
1. Laki-laki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkan doanya untuk ibu-bapanya sendiri serta kaum Muslimin.
.
2. Orang yang kerapkali membaca Al-Quran, tapi tidak membaca secara tertib sampai seratus ayat tiap-tiap hari.
.
3. Laki-laki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan solat tahiyyatul-masjid.
.
4. Orang-orang yang melewati tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.
.
5. Laki-laki yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan shalat Jumaat berjemaah.
.
6. Laki-laki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.
.
7. Dua orang laki-laki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.
.
8. Laki-laki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.
.
9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.
.
10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.
.

11 Disember 2008

10 SIFAT-SIFAT MAZMUMAH

1. Syarrut Ta‘am (Banyak Makan)
Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum. Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah. Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada kelalaian daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.
.
2. Syarrul Kalam (Banyak Berkata-kata)
Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap. Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak kesalahan, dan banyak kesalahan itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.
.
3. Ghadhab (Pemarah)
Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan. Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya. Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.
.
4. Hasad (Dengki)
Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya. Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah SWT kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain. Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
.
5. Bakhil (Kedekut)
Iaitu menahan hartanya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah SWT menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.
.
6. Hubbul Jah (Kasihkan Kemegahan)
Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah SWT. Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.
.
7. Hubbud Dunya (Cinta Dunia)
Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat. Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat. Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah. Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.
.
8. Takabbur (Sombong)
Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak. Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat. Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah SWT dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.
.
9. ‘Ujub (Bangga Diri)
Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna. Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan. Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
.
10. Riya’ (Menunjuk-nunjuk)
Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain. Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal iaitu untuk mencapai keredhaan Allah SWT semata-mata. Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.
.

09 Disember 2008

5 WASIAT DARI ALLAH S.W.T. KEPADA RASULULLAH S.A.W


Dari Nabi S.A.W.: "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya:
> Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
> Jadikan cintamu kepadaKu sebab tempat kembalimu adalah kepadaKu.
> Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.
> Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.
> Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.
.
Ibrahim bin Adham r.a. berkata: "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :
> Orang yang banyak bicaranya, janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
> Orang yang banyak makan, janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.
> Orang yang banyak bergaul dengan manusia, janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
> Orang yang cinta kepada dunia, janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
> Orang yang bodoh, janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
> Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim, janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
> Orang yang mencari keredhaan manusia, janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."
.

08 Disember 2008

AL-QUR'AN SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT


Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah SAW memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."
.
Telah bersabda Rasulullah SAW : "Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?" Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
.
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah SWT. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian diletakkan mahkota di atas kepalanya.
.
Pada kedua ayah dan ibunya pula yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."
.

KISAH IMAM AHMAD BIN HANBAL


SEBAGAI 'pewaris' para nabi, ulama silam sering tabah menghadapi pelbagai seksaan, antaranya ialah Ahmad bin Hanbal atau lebih dikenali sebagai Imam Hanbal. Dalam zaman Khalifah Harun al-Rasyid, timbul suatu fahaman bahawa al-Quran adalah makhluk. Basyar al-Murisy telah menyebarluaskan pendapat itu. Namun, Khalifah Harun membanterasnya secara habis-habisan. Sekali gus ia memerintahkan agar penyebar itu ditangkap dan diadili. Basyar menyembunyikan diri sebaik mengetahui perintah itu dikeluarkan. Dia menyembunyikan diri hingga Khalifah Harun meninggal. Khalifah al-Amin, anak Khalifah Harun, menghidupkan perintah itu sebaik sahaja mewarisi kerajaan ayahnya.
.
Setelah Khalifah al-Amin meninggal, Khalifah al-Makmun pula mewarisi pemerintahan. Namun, beliau berfaham muktazilah (golongan yang mengutamakan pemikiran logik). Al-Makmun menyokong fahaman Basyar. Para ulama, secara bersembunyi, berfatwa ajaran Basyar itu sesat, lagi menyesatkan. Namun kerana takut dizalimi, ramai ulama berhijrah ke negara lain. Ramai pula yang terpaksa bersembunyi. Imam Hanbal berpendapat al-Quran adalah kalamullah (pena Allah) yang bersifat qadim. Akibat pendapatnya itu, dia ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah Makmun. Hanbal dirantai dan dibawa ke bilik persidangan. Seorang pengawal kemudian tampil dengan membawa al-Quran dan diletakkan di hadapannya. "Al-Quran bukan makhluk, al-Quran adalah Kalamullah", Imam Ahmad menegaskan.
.
Akibatnya, Imam Ahmad dipenjara dan diseksa. Setiap hari dalam penjara seorang pegawai disuruh menemui Imam Hanbal supaya pendapatnya diubah. Namun, Imam Hanbal terus bertegas dengan pendiriannya. Suatu pertemuan kemudian diadakan. Tujuannya untuk menghukum Imam Ahmad. Berbagai-bagai peralatan seperti pedang, lembing dan cabuk disediakan. Jika beliau masih teguh dengan fahamannya, senjata itulah yang akan digunakan untuk menyeksanya. Namun, Imam Hanbal masih bertegas. Beliau dicabuk. Pada sebatan pertama, Imam Ahmad berkata 'Bismillah'. Pada sebatan kedua beliau membaca 'La haula wala kuata illa billah'. Pada sebatan ketiga beliau membaca firman Allah bermaksud: "Katakanlah, sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami."
.
Kini sudah 29 kali Imam Hanbal dicabuk. Akibatnya kulitnya terkupas. Darah mengalir. Ketika sedang dicabuk, Imam Hanbal merasa tali seluarnya terputus. Seluarnya sedikit demi sedikit menurun. Auratnya dirasakan hampir terbuka. Beliau segera mengangkat pandangannya ke langit. Bibirnya bergerak. Bisikan doanya dikabulkan. Tiba-tiba seluarnya yang tadi turun, naik semula ke tempat semula. Auratnya tidak sempat terbuka. Setelah dicabuk, beliau kemudian dibawa ke penjara. Al-Muktasim telah menggantikan Khalifah Makmun yang meninggal dunia. Namun, fahaman muktazilah masih berkembang. Akibatnya Imam Hanbal terus diseksa. Debat terbuka antara Imam Hanbal dengan Kadi Besar Ahmad bin Ali Daud dianjurkan Khalifah al-Muktasim. Namun, Imam Hanbal pintar menjawab secara jitu segala soal dan bidasan.
.
Walaupun terpengaruh, hadirin majlis masih takutkan seksaan khalifah. Oleh malu kerana melihat kadi besarnya itu ditewaskan Imam Ahmad dalam debat itu, khalifah memaksa Imam Hanbal mengakui kesilapannya. Namun, Imam Hanbal masih tabah. Seksaan dan penjara untuknya diteruskan. Khalifah al-Muktasim meninggal dunia dan digantikan oleh Khalifah al-Watsik yang masih terpengaruh oleh ajaran sesat itu. Seksaannya ditambah kepada Imam Hanbal.
.
Hanya setelah al-Watsik meninggal dan digantikan oleh al Mutawakkil Billah, barulah berakhir seksaan ke atas Imam Hanbal dan beliau dibebaskan. Khalifah itu menyedari kesilapan 3 orang khalifah terdahulu dan memerintahkan pengikut muktazilah ditangkap dan dihukum. Imam Hanbal bersyukur kepada Allah kerana terselamat. Namun, pada usia tua dan sakit, beliau masih terus berdakwah menentang ajaran sesat sehingga akhir hayatnya.
.

07 Disember 2008

KATA-KATA NASIHAT PARA SAHABAT (R.A)


Muaz bin Jabal (r.a) : “Tidak ada seorang hamba yang mengadap Allah pada hari kiamat yang tidak akan menggerakkan tapak kakinya sehingga ia ditanya 4 perkara:
1. Bagaimana tubuhnya digunakan.
2. Bagaimana ia menghabiskan umurnya.
3. Bagaimana ia mengamalkan ilmunya.
4. Bagaimana ia mendapat dan membelanjakan hartanya.

Uwais Al-Qarni (r.a) : “Andaikata engkau beribadah kepada Allah sebanyak ibadahnya penghuni langit dan bumi, maka tidak akan diterima ibadahmu, sebelum engkau percaya kepada Allah dan jaminanNya.”

Ibnu Mas'ud (r.a) : “Sebaik-sebaik kaya ialah hati. Sebaik-sebaik bekal ialah takwa. Seburuk-buruk buta ialah buta hati. Sebesar-besar dosa ialah dusta. Sejelek-jelek usaha ialah memungut riba. Seburuk-buruk makanan ialah memakan harta anak yatim. Siapa yang memaafkan orang lain akan dimaafkan Allah dan siapa yang mengampuni orang akan diampuni Allah.”

Syaddad bin Aus (r.a) : “Mati itu huru-hara terburuk di dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Jika mayat itu dibangkitkan dari kubur lalu ia menerangkan kepada penduduk dunia tentang kematian, nescaya mereka tidak mengejar kenikmatan dalam kehidupan dan tidak berleka-leka dengan banyak tidur.”

(Dipetik dari: ‘Himpunan Nasihat Tokoh2 Islam Sedunia’ (Zabidi H. Nawawi, Pustaka Muda, Ipoh)


05 Disember 2008

KATA-KATA NASIHAT DARI KHULAFA AR-RASYIDIN


Saidina Abu Bakar As-Siddiq (r.a.) : “Orang yang cerdas ialah orang yang takwa. Orang yang dungu ialah orang yang derhaka. Orang yang dusta ialah orang yang khianat. Orang yang benar ialah orang yang dapat dipercayai.”

Saidina Umar Al-Khattab (r.a.) : “Kami adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Maka sekalipun kita mencari kemuliaan selain dengan apa yang Allah muliakan kepada kita, maka Allah akan menghinakan kita.”

Saidina Usman Al-Affan (r.a.) : Tatkala pemberontak memukulnya, beliau berkata, “Tidak ada Tuhan selain Engkau, sesungguhnya aku adalah di antara orang-orang yang menganiaya diriku sendiri. Ya Allah, ya Tuhan, aku mohon bantuanMu atas mereka dan aku minta pertolongan padaMu atas segala urusanku. Aku mohon padaMu supaya sabar menerima cobaan yang menimpa diriku ini.”

Saidina Ali bin Abi Talib (k.w.j) : Pesanan Saidina Ali kepada Gabenor Mesir, “Jangan sesekali kamu memusuhi Tuhanmu, kerana engkau tidak mempunyai sedikitpun kekuatan untuk berlindung dari kemurkaanNya dan engkau tidak berupaya membiarkan dirimu keluar daripada kasih sayang dan keampunanNya. Janganlah engkau merasa kesal kiranya engkau memaafkan sesiapa dan janganlah engkau merasa bangga menghukum sesiapa. Dan janganlah menaikkan marahmu kerana ianya tidak akan menguntungkan sesiapa.”

(Dipetik dari: ‘Himpunan Nasihat Tokoh2 Islam Sedunia’ (Zabidi H. Nawawi, Pustaka Muda, Ipoh)

KIAMAT !


Sewaktu para sahabat sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad SAW kepada kami lalu bertanya: "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?" Lalu para sahabat menjawab: "Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat."
.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda:-
1. Asap
2. Dajjal
3. Binatang melata di bumi
4. Terbitnya matahari sebelah barat
5. Turunnya Nabi Isa A.S
6. Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
7. Gerhana di timur
8. Gerhana di barat
9. Gerhana di jazirah Arab
10. Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka.
.
Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat. Dajjal boleh membuat apa sahaja perkara-perkara yang luar biasa. Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan di antara kedua matanya tertulis perkataan 'Ini adalah orang kafir'. Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.
.
Binatang melata yang dikenali sebagai Dabbatul Ard ini akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabbatul Ard ini akan membawa tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S. Apabila binatang ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi orang itu 'Ini adalah orang yang beriman'. Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan tertulislah 'Ini adalah orang kafir'.
.
Turunnya Nabi Isa A.S di negeri Syam di menara putih, beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad SAW. Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar. Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.
.
Rasulullah SAW telah bersabda: "Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah (umpat-mengumpat) menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq".
.
Sabda Rasulullah SAW: "Akan datang di suatu masa di mana Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuk sahaja, Al-Qur'an hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah. Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat."
.
Sabda Rasulullah SAW lagi: "Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, orang dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat."
.

AURAT...

Di antara yg harus ditundukkannya pandangan, ialah kepada aurat. Kerana Rasulullah SAW telah melarangnya sekalipun antara laki-laki dengan laki-laki atau antara perempuan dengan perempuan, baik dengan syahwat ataupun tidak.
.
Sabda Rasulullah SAW: "Seseorang laki-laki tidak boleh melihat aurat laki-laki lain, dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain, dan tidak boleh seorang laki laki bercampur dengan laki-laki lain dalam satu pakaian, dan begitu juga perempuan dengan perempuan lain bercampur dalam satu pakaian." (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Termizi)
.
Dengan dasar Hadis tersebut ulama-ulama berpendapat laki-laki atau perempuan tidak boleh berbaring bersama yang kiranya ada sentuhan badan. Aurat laki-laki yang tidak boleh dilihat oleh laki-laki lain atau aurat perempuan yang tidak boleh dilihat oleh perempuan lain, iaitu antara pusat dan lutut, sebagaimana yang diterangkan dalam Hadis Nabi. Tetapi sementara ulama, seperti Ibnu Hazm dan sebahagian ulama Maliki berpendapat, bahawa paha itu bukan aurat. Sedang aurat perempuan dalam hubungannya dengan laki-laki lain (yg bukan mahram) ialah seluruh badannya kecuali muka dan dua tapak tangan.
.

04 Disember 2008

KEBURUKAN MENGUMPAT (GHIBAH)



Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud: "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim)
.
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum dimaafkan oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
.
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).
.
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering." (Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili).
.
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diakhirat seseorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
.
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang yang muflis di akhirat nanti. Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.
.

KISAH SOLAT PARA SAHABAT


Solat sahabat-sahabat Nabi SAW begitu khusyuk dan nikmat sehinggakan selemah-lemah sahabat pun diriwayatkan sekurang-kurangnya mereka solat 200 rakaat setiap hari.
.
Kisah 1: Pada suatu ketika, peha Sayyidina Ali r.a. telah terkena panah. Apabila cuba dicabut, beliau merasa begitu sakit. Seseorang telah mencadangkan supaya panah itu dicabut ketika beliau sedang solat. Apabila selesai solat, beliau bertanya sudahkah mereka mencabut panah tersebut. Mereka menjawab 'ya'. Apabila ditanya, apakah beliau tidak merasa sakit? Beliau menjawab, beliau sedikit pun tidak merasa sakit.
.
Kisah 2: Pada suatu ketika di medan jihad, Nabi SAW telah bertanya kepada para sahabatnya, siapakah yang bersedia untuk menjaga khemah beliau pada waktu malam. Dua orang sahabat telah bersetuju. Seorang bernama Ammar bin Yasir r.a dan seorang lagi bernama Abbad bin Basyir r.a. Pada malam itu mereka telah berkawal. Abbad telah mencadangkan kepada Ammar supaya mereka berkawal secara bergilir. Beliau akan menjaga pada sebahagian malam dan Ammar akan berkawal pada sebahagian malam lagi. Ammar telah bersetuju.
.
Maka Abbad telah berkawal. Sementara berkawal beliau telah mendirikan solat. Dalam solatnya itu, beliau telah membaca surah Al Kahfi. Seorang peninjau musuh telah melihat beliau sedang solat lalu melepaskan panah kepadanya. Satu anak panah telah kena pada badannya. Apabila melihat beliau masih tetap solat, maka musuh telah melepaskan panah yang kedua. Bagaimanapun, Abbad tetap juga solat. Musuh tersebut melepaskan panah yang ketiga, lalu Abbad memberhentikan solatnya. Apabila melihatkan keadaan itu dan terlihat Ammar yang berada di situ, maka pihak musuh menyangkakan masih ramai lagi tentera Islam yang berkawal di situ. Lalu musuh tersebut telah melarikan diri. Dengan badan yang berlumuran darah, Abbad telah mengejutkan Ammar yang sedang tidur.
.
Melihatkan badan sahabatnya yang berlumuran darah itu, Ammar begitu terkejut. Ammar bertanya mengapa beliau lambat membangunkannya. Dia menjawab, ketika itu beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya. Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan Nabi SAW, maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.
.
Lihatlah mutu solat para sahabat. Bagaimana pula dengan solat kita hari ini? Seekor nyamuk pun boleh merosakkan solat kita. Firman Allah yang bermaksud: "dan neraka Wail lah bagi orang yang lalai dalam solatnya." (Surah Al-Ma'un). Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengamalkan apa yang kita tahu dan dapat menyampaikannya di antara satu sama lain.
.

01 Disember 2008

SALAHUDDIN AL-AYYUBI


Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914). Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini. Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memiliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
.
Walau bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak dibawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)
.
Pertukaran Hidup Salahuddin
Apabila Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
.
Bahkan Stanley Lane Poole (1914) telah menuliskan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
.
Semangat Jihadnya
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihad melawan tentera salib ia akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.
.
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam. Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
.
Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahawa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
.
Kecintaan Salahuddin Kepada Islam
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jemaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi". Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jemaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada nabi kamu, Muhammad, untuk menyelamatkan kamu". Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
.
Menawan Baitul Maqdis
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Maqdis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan Baitul Maqdis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah SAW naik ke langit. Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Maqdis. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
.
Salahuddin Yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Maqdis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Paderi besar pun telah menderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.
.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Maqdis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasib baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Maqdis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga. Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlanjutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M, keseluruhanya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigris di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentera-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
.
Musyawarah
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.
.
Wafatnya Salahuddin
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan dengan nada yang gembira ia berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.
.
Salahuddin yang Wara'
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang malam, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan. Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.
.
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera ia membayar fidyah.
.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewafatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur'an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendengar bacaan Qur'an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah SAW. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh Suhrawady yang membawa ajaran sesat.
.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat. Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya, "Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang perlu ku lakukan?" Aku menjawab, "Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajatlah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini" Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi"
.
Perangai Salahuddin
Sesiapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah. Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendengarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain. Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidakadilan.
.
Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, "Aku hampir mati kehausan". Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, "Cakap sajalah kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar 'Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan. Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata Bahauddin, "Ia mengatakan dirinya".
.
Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangan terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit. Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
.
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khusus kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.
.
Kesungguhan & Semangat
Ketika mengepung bandar Acra, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit kuat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda". Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. "Apabila ia sakit", kata Bahauddin, "Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam".
.
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sendiri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perkara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam beberapa ketika, tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acra, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemah tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
.
Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suati hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai".
.
Salahuddin Sebagai Ulama
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an, ia juga banyak menghafal syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur'an.
.
Rujukan :Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H. Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir
.