Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


01 Mac 2013

ADAB MAKAN & MINUM RASULULLAH S.A.W



Islam adalah cara hidup  yang merangkumi semua aspek kehidupan yang mencerminkan akhlak yang terpuji. Salah satu aspek yang ditekankan termasuklah adab makan dan minum. Firman Allah SWT: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (QS Al-Baqarah: 168)

Terdapat beberapa adab yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa terjaga. Islam tidak menggalakkan penganutnya makan sesuka hati, makan terlalu kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang terbaik untuk diteladani ialah mengikut amalan Rasulullah SAW.

Amalan pemakanan Baginda SAW amat bertepatan dengan firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (QS al-A’raf: 31) 

Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Al-Bazzar pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling banyak kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan pada hari kiamat.” (HR At-Tirmidzi)

Ada beberapa panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, antaranya adalah agar memulai dengan ‘Bismillah’ ketika hendak makan dan diakhiri dengan ‘Alhamdulillah’. Hikmah membaca Basmalah dan Alhamdulillah bagi seorang Islam adalah peringatan bahawa makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah SWT yang semestinya disyukuri.

Rasulullah SAW hanya makan ketika lapar dan Baginda berhenti sebelum perut berasa kenyang. Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan. Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga bahagian. 1/3 ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air. Mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekaligus adalah amalan yang buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi lemah dan tidak mampu mencerna dengan baik.

Sabda Baginda SAW: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR At-Tirmidzi)

Di samping itu, Baginda SAW juga tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.” 

Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (HR Muslim). 

Baginda SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Hikmahnya, kandungan enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan. Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya.” (HR Muslim) 

Perbuatan membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Berkumurlah kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandungi lemak.” (HR Ibnu Majah) 

Di samping itu, Rasulullah SAW gemar berkongsi makan dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Secara tidak langsung ianya mewujudkan kemesraan dan meningkatkan kasih sayang terhadap sesama Muslim. Selain itu, amalan berkongsi makanan dalam satu dulang juga dapat mengelakkan pembaziran. Sabda Rasulullah SAW: Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan, kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian.” (HR Abu Dawud) 

Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah menyatakan antara etika makan ialah membicarakan hal yang baik dan menceritakan kisah orang yang soleh ketika makan. Menurut al-Hafidz dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim rahimahullah, Rasulullah SAW bercakap dan berbual ketika makan. 

Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah makanan pada hari ini dan memuji makanan itu.” (HR Muslim). “Dan ada kalanya Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya. Ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (HR Al-Bukhari). 

Ketika makan jangan terlalu banyak bercakap atau bercakap dengan makanan penuh dalam mulut. Juga jangan bercakap mengenai hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya. Hendaklah mengambil makanan yang paling dekat. Dalam satu hadis, yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah RA, beliau berkata: “Semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. Tanganku melintasi (menjangkaui) segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW: Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu.” 

Umat Islam juga dilarang menggunakan bekas makanan yang diperbuat dari emas dan perak. Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak. Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, melambangkan kesombongan, sedangkan sifat sombong adalah hak mutlak Allah SWT sahaja.

Dalam satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman RA, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Berkata Imam an-Nawawi: “Telah disepakati oleh sekelian ulama’ bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan.” (Syarah Sahih Muslim, Imam an-Nawawi)

Kadang-kadang, ketika makan, ada makanan yang tidak sesuai dengan selera kita, tidak sedap dan sebagainya. Situasi begini tidak hanya berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada Rasulullah SAW. Apakah tindakan Baginda apabila menghadapi situasi sedemikian?

Dalam hadis, daripada Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya Nabi menyukainya, pasti Baginda akan memakannya. Dan jika Baginda tidak menyukainya, Baginda akan meninggalkannya (yakni tidak memakannya).”

Rasulullah SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar, jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan nafas.

Peringatan Allah SWT melalui firmanNya: “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang neraka menjadi tempat tinggal mereka.” (QS Muhammad: 12)

Mudah-mudahan bermanfaat sebagai peringatan bagi kita untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Mereka itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu akan petunjuk mereka. Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk sekelian alam.” (QS Al-An’am: 90)

Wallahua’lam.