Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 September 2008

AL-QURAN SUMBER AKHLAK MULIA


Al-Quran adalah sumber bagi hukum-hukum dan peraturan-peraturan yang menyusun tingkahlaku dan akhlak manusia. Al-Quran menentukan sesuatu yang halal dan haram, apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Al-Quran menentukan bagaimana sepatutnya kelakuan manusia. Al-Quran juga menentukan perkara yang baik dan tidak baik.
.
Justeru itu Al-Quran menjadi sumber yang menentukan akhlak dan nilai-nilai kehidupan ini. Al-Quran mengharamkan yang buruk dan keji serta melarang manusia melakukannya. Al-Quran melarang manusia minum arak, memakan riba, bersikap angkuh dan sombong terhadap Allah, juga penghinaan satu-satu kaum terhadap kaum yang lain. Al-Quran melarang pencerobohan, fitnah dan berbunuhan. Al-Quran juga melarang menyebarkan maklumat mengenai perkara-perkara keji.
.
Al-Quran mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah S.W.T., bertaqwa kepada-Nya, mempunyai sangkaan baik terhadap-Nya. Al-Quran mengajak manusia berfikir, cinta kepada kebenaran dan bersedia menerima kebenaran. Malah mengajak manusia supaya berilmu dan berbudaya ilmu. Al-Quran juga mengajak manusia supaya berhati lembut, berjiwa mulia, sabar, tekun, berjihad, menegakkan kebenaran dan kebaikan. Al-Quran mengajak manusia supaya bersatupadu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturrahim.
.
Jelaslah bahawa Al-Quran menjadi sumber nilai-nilai dan akhlak mulia. Penampilan akhlak mulia dalam Al-Quran, tidak bersifat teoritikal semata-mata, tetapi secara praktikal berdasarkan realiti dalam sejarah manusia dan sesuai digunakan sepanjang zaman. Al-Quran adalah sumber yang kaya dan berkesan untuk manusia memahami akhlak mulia dan menghayatinya.
.

23 September 2008

BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU...

Sabda Nabi SAW, "Orang-orang yang mahir membaca Al-Quran adalah orang-orang yang sentiasa ditemani oleh malaikat yang mulia lagi berbakti." (HR Bukhari/Muslim). Maknanya, orang yang mahir baca Al-Quran, malaikat akan jadi temannya. Perlu diingat bahawa dalam hadith lain Nabi SAW menyebut bahawa memang ada malaikat yang mengawal kita, i.e. ada malaikat yang jaga depan/belakang kita, terutamanya bayi.
.
Kita pernah dengar cerita kemalangan kereta satu keluarga mati, tapi yang selamat hanyalah seorang bayi. Ini adalah dengan izin dan pertolongan ALLAH melalui malaikat yang mengawal manusia. Jadi, antara kaedah kita nak berdamping dengan malaikat ialah dengan memahirkan diri membaca Al-Quran.
.
Ini cerita orang yang mahir membaca Al-Quran. Tapi bagaimana pula dengan orang yang tak mahir membaca Al-Quran? Umur 62 tahun baru nak baligh, umur 62 tahun baru nak kepit kitab tajwid, umur 62 tahun baru nak idram/izhar, baru nak belajar berdengung? Orang macam ni kata Nabi SAW, "Dan orang yang membaca Al-Quran tetapi sulit/payah hingga merangkak-rangkak, dia dapat 2 pahala. Yang pertama, dia dapat pahala nak baca Al-Quran. Dan yang keduanya ialah kerana walaupun susah tapi dia tetap mencubanya."
.
Sabda Nabi SAW, "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang belajar Al-Quran, kemudian mengajarkannya." (HR Muslim). Sama ada dia belajar tajwid atau tafsir, kemudian bila dia mengajar semula kpd orang lain, maka kata Nabi SAW bahawa orang macam ni adalah baik.
.
Dari hadith Mushabih Sunnah, Nabi SAW bersabda, "Seseorang yang dalam kehidupan sehariannya langsung tidak membaca Al-Quran (seperti tak pernah beramal, tak pernah membaca dan jauh sekali menghafal), maka dia seperti sebuah rumah yang usang." Cuba tuan-tuan masuk rumah yang sudah ditinggalkan begitu lama, apa yang ada dalam rumah tu? Apa yang mungkin kita tengok ialah tahi tikus, telur ular dan bermacam-macam lagi benda yang teruk-teruk belaka. Inilah keadaan orang yang langsung tidak membaca dan memahami Al-Quran.
.
Sabda Nabi SAW, "Barang siapa yang membaca 1 huruf daripada Al-Quran, maka dia dapat 1 kebaikan. Dan 1 kebaikan itu pula diganda menjadi 10." (HR Tirmidzi). Ini merupakan satu bonus untuk kita daripada ALLAH SWT. Itu belum lagi ganjaran memahami maksud ayat. Dengan kita baca saja ayat Al-Quran, kita boleh mendapat bonus.
.
Timbul satu persoalan, iaitu seelok-eloknya sebanyak mana kita perlu baca? Seelok-eloknya kita ambil kaedah yang disebut dalam Surah al-Muzzammil ayat 20 yang bermaksud, "...bacalah oleh mu apa yang kamu rasa senang dan mudah daripada Al-Quran itu." Kalau tuan-tuan rasa mudah membaca hanya satu mukasurat sahaja, tak mengapa, silakan. Kalau tuan-tuan rasa mudah baca daripada satu `ain ke satu `ain, pun boleh, silakan. Kalau tuan-tuan rasa mudah baca satu juzuk, juga boleh silakan. Asalkan ada keinginan membaca sudah dikira baik.
.
Sebaiknya kalau boleh membaca Al-Quran setiap hari sebab itulah aset yang Nabi SAW sebut baca 1 huruf dapat 10 kebajikan. Tapi Nabi SAW tak sebut kebajikan itu dalam bentuk apa. Mungkin dalam bentuk diberi umur kita panjang. Boleh jadi dalam bentuk rezeki kita murah. Boleh jadi anak-anak kita nanti semuanya berjaya jadi orang-orang yang baik, memiliki pengetahuan agama dan seterusnya menjadi pejuang-pejuang Islam. Ini semua ada kemungkinannya, yang ALLAH janjikan kebajikan dari 1 huruf yang kita baca itu.
.
Sebab itu, saya seru diri saya sendiri dan kepada muslimin/muslimat sekelian, rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan membaca dan memahami Al-Quran kerana ia adalah ibadah yang tidak ada tolok bandingnya.
(Sumber: Internet)

07 September 2008

GANJARAN SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW

RASULULLAH SAW bersabda, yang bermaksud: "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail berkata kepadaku. Berkata Jibrail, "Wahai Rasulullah, sesiapa yang membaca selawat ke atasmu setiap hari sebanyak 10 kali, maka akan aku bimbing tangannya dan membawa dia melintasi Titian seperti kilat menyambar."
.
Berkata pula Mikail, "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka minum dari telagamu." Berkata pula Israfil, "Mereka yang berselawat kepadamu, akan aku sujud kepada Allah dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah mengampuni orang itu." Malaikat Izrail pula berkata, "Mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh anbiya."
.
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: "Sesiapa berselawat atasku sekali, maka Allah akan membalasnya dengan sepuluh kali selawat." Sebahagian ulama muhaqqiqin (terdahulu) berkata, jika Allah berselawat atas hamba-Nya sekali saja sepanjang hidup hamba itu, nescaya selawat yang satu itu cukup menjadikannya mulia dan terhormat. Justeru, tidak dapat dibayangkan bagaimana beruntungnya manusia yang menerima sepuluh selawat daripada Allah, hanya dengan mengucapkan satu selawat ke atas Kekasih-Nya, Muhammad...
.
Kelebihan berselawat kepada Baginda dijelaskan dalam banyak hadis sahih yang lain, antaranya:- "Barang siapa berselawat ke atasku satu selawat, nescaya Allah akan membalasnya dengan sepuluh selawat, mengangkat kedudukannya sepuluh darjat, mencatatkan baginya sepuluh kebajikan dan menggugurkan daripadanya sepuluh kejahatan." - "Orang yang mendapat syafaatku (pertolongan) pada hari kiamat ialah orang yang banyak berselawat ke atasku." - "Sesiapa yang mengucapkan "Allahumma solli ala Muhammad (Ya Allah, Ya Tuhan! Sampaikanlah selawat atas Muhammad) dan kurniakanlah kepadanya kedudukan yang dekat kepada-Mu pada hari kiamat", maka dia pasti akan mendapat syafaat-Ku."
.
"Sesiapa yang berkata, "Semoga Allah membalas kebaikan atas Muhammad sepantas yang harus diterimanya dari pihak kami, nescaya Dia akan menyibukkan tujuh puluh malaikat selama seribu hari." - "Berselawatlah ke atasku di mana saja kamu berada, sesungguhnya selawat kamu itu sampai kepadaku.".
.
Mengenai ganjaran menjawab selawat (salam), ada riwayat yang menyatakan bahawa setiap salam yang diucapkan oleh setiap Muslim akan beroleh balasan sepuluh salam pula daripada Allah sebagaimana balasanNya terhadap selawat. Antara hadis yang menjelaskan hal ini ialah:- "Hinalah orang, yang apabila (nama) aku disebutkan di hadapannya, maka dia tidak berselawat atasku."- "Sesiapa berpaling daripada berselawat ke atasku ketika aku disebutkan di depannya, kelak dia akan dipalingkan daripada jalan menuju syurga."
.
Rasulullah berpesan agar kita memperbanyak selawat terutama pada Jumaat. Ini bertepatan dengan hadis yang bermaksud: "Perbanyaklah berselawat ke atasku pada hari Jumaat, kerana sesungguhnya selawat umatku dibentangkan kepadaku pada tiap-tiap hari Jumaat. Orang yang paling dekat kedudukannya kepadaku ialah orang yang paling banyak berselawat atasku."
.
Justeru, berdasarkan hadis ini, marilah kita memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad sebagai bukti kecintaan kita kepada Baginda. Semoga kita diberikan keredhaan Allah dan mendapat syafaat Rasulullah pada hari dan saat kita memerlukannya.