Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


06 Mac 2012

KEISTIMEWAAN MADU LEBAH


Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Baginda SAW bersabda: "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua." (HR Abu Dawud)

Rasulullah SAW juga pernah berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda SAW bersabda: "Ambillah (yakni gunakanlah) olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh, iaitu madu dan al-Quran." (HR Ibnu Majah)

Berbagai kajian telah dilakukan dengan tumpuan kepada pelbagai jenis bahan-bahan semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam al-Quran sendiri telah menyatakan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, mahupun kesihatan fizikal atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.

Firman Allah SWT: "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan." (QS An-Nahl: 69)

Daripada ayat Al-Quran serta hadis di atas ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana selain menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, ianya juga membantu memenuhi keperluan tubuh badan manusia.

Terdapat banyak hadis-hadis lain berkenaan madu lebah. Di antaranya tentang dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Pertama, mengenai kisah seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah SAW mengadu tentang saudaranya yang sakit perut. Baginda SAW menyarankan agar dia diberikan madu. Namun, lelaki tersebut datang semula mengatakan penyakit saudaranya tidak juga sembuh. Nabi Muhammad SAW menyuruh saudara pemuda itu terus minum madu sehingga tiga kali. Jawab lelaki itu, saudaranya telah minum madu tetapi penyakitnya bertambah, akhirnya Nabi SAW berkata: ”Allah benar dan perut saudaramu itu berbohong." Lalu Rasulullah SAW sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu dan dia akhirnya sembuh. (HR Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa madu merupakan ubat segala penyakit kerana Rasulullah SAW tidak melihat pesakit berkenaan, sebaliknya terus menyebutkan madu sebagai ubatnya.

Hadis yang kedua disebutkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Kesembuhan itu berada pada tiga hal iaitu minum madu, sayatan pisau bekam dan sundutan dengan api panas (kay). Sesungguhnya aku melarang umatku berubat dengan kay.” (HR Bukhari)

Madu juga memiliki aroma enak yang meningkatkan selera. Rasulullah SAW pernah bersabda daripada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: "Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar."

Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara berterusan. Hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan secara konsisten, ianya akan membantu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit selain memberi nutrien yang mencukupi untuk kesihatan manusia.

Manusia sejak zaman berzaman sudah menggunakan madu sebagai makanan dan ubat. Masyarakat Mesir purba sudah menggunakan madu di dalam bidang ilmu perubatan mereka untuk mengubat penyakit luka, sakit perut, usus, pinggang dan mata. Mereka juga menggunakan madu untuk mengawet mayat supaya tidak busuk. Masyarakat Yunani dan Rumawi menganggap madu sebagai sumber kesihatan yang boleh melanjutkan usia.

Misalnya Pitagoras, seorang ahli matematik mengatakan beliau mengamalkan madu untuk hidup sihat. Beliau meninggal dunia ketika berusia 90 tahun. Abu Qirat yang hidup selama 107 tahun adalah seorang yang sering mengamalkan meminum madu. Demikian juga Aristotle dan Galenos, ahli perubatan Greek. Ibnu Sina menyatakan: ”Jika anda ingin awet muda, minumlah madu." Beliau ada menambah: ”Sesungguhnya madu lebah dapat menguatkan semangat, menambah kerajinan, menjaga awet muda dan melancarkan percakapan.”

Madu mengandungi bahan anti-oksidan yang menghalang kanser. Ia juga berupaya mengekalkan kemudaan (awet muda), merawat sakit perut, menghilangkan kahak, memutih dan menguatkan gigi serta menguatkan badan bagi yang berumur selain merangsang tenaga batin. Ia juga menstabilkan kandungan gula dalam darah apabila digunakan bagi menggantikan gula. Selain itu, madu lebah juga memudahkan proses penghadaman, memulihkan penyakit yang berpanjangan serta menguatkan jantung dan buah pinggang.

Di samping itu dengan memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada bahagian kaki. Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit. Jika disapukan madu akan dapat mengurangkan rasa sakit yang menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kulit yang terbakar. Di samping itu banyak lagi penyakit yang boleh sembuh misalnya hidung tersumbat, anak yang kencing malam dan sesuai untuk kanak-kanak yang baru lahir.

Wallahua’lam.