Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


15 Jun 2009

AL-QURAN PENAWAR JIWA


Di antara amalan yang dituntut Islam dan sesuai dilakukan pada setiap masa ialah membaca Al-Quran. Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir bagi umat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT melalui perantaraan Jibril AS kepada Rasulullah SAW. Kandungannya merangkumi segala dasar syariat yang terkandung dalam kitab suci yang diturunkan sebelumnya iaitu Zabur (Nabi Daud AS), Taurat (Nabi Musa AS) dan Injil (Nabi Isa AS). Mereka yang meyakini keagungan Al-Quran akan berusaha membaca, mempelajari, memahaminya, mengamalkannya, serta mengajarkannya kepada orang lain.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa semulia-mulia ibadat ialah membaca Al-Quran dan mengajarkannya. Membaca Al-Quran adalah amalan mulia dimana pembacanya mendapat pahala bagi setiap huruf yang dibaca. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain ibadat yang diberi ganjaran berlipat ganda, Al-Quran menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang gelisah jiwanya.

Seorang lelaki berjumpa Ibnu Mas'ud r.a. meminta nasihat untuk dijadikan ubat jiwanya yang sedang resah gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh tidur seperti biasa. Ibnu Mas'ud r.a. menyatakan bahawa untuk mengubatinya, sahabat tadi hendaklah mengunjungi tiga tempat iaitu tempat orang membaca Al-Quran, yakni mendengar baik-baik orang yang membaca Al-Quran. Pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah SWT, memohon ketenangan jiwa dan ketenteraman fikiran juga kemurnian hati. Andainya jiwa masih juga tidak terubat dengan cara ini, beliau menyarankan agar lelaki tersebut meminta kepada Allah agar diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan hatinya. Sahabat itu lalu mengamalkan apa yang disuruh oleh Ibnu Mas'ud r.a.

Lelaki tersebut lalu pergi mengambil wuduk kemudian membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca Al-Quran, jiwanya dirasai begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.

Membaca Al-Quran, sama ada memahami ertinya atau tidak adalah ibadat, amalan soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya. Al-Quran memberi cahaya dalam hati, memberi cahaya kepada keluarga juga tempat di mana ianya dibaca.

Sebuah hadis riwayat oleh Baihaqi daripada Anas r.a dinyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: "Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca Al-Quran."

Bacalah Al-Quran...

Wallahua'lam.
.

Tiada ulasan: