Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 Mei 2008

SENDA GURAU DALAM RUMAHTANGGA

Sudah menjadi sunnatullah, kebanyakan manusia suka bergurau senda dan bergelak ketawa. Umpamanya pemimpin bergurau senda dengan pengikutnya, guru bergurau senda dengan muridnya, ibubapa bergurau senda dengan anak-anaknya, suami bergurau dengan isterinya dan sebagainya.
.
Malah Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda juga biasa bergurau, ketawa, bermain-main dan berkata yang ganjil. Nabi Muhammad SAW pernah berkata bahawa ada tiga jenis permainan yang boleh menjadi ibadah.
.
Pertama ialah bermain dengan kanak-kanak dengan tujuan untuk mendatangkan kegembiraan dihatinya. Ini akan mendatangkan pahala dari Allah swt. Kedua ialah bergurau-gurau dan bergelak ketawa dengan isteri, juga merupakan satu ibadah dan boleh mendatangkan pahala. Fitrah semula jadi seseorang yang telah mengahwini seorang perempuan, sudah tentu dia suka bergurau senda dengan isterinya. Dalam pada itu, Allah beri pula pahala kerananya. Bukankah buat satu perkara dapat dua pahala. Ini menunjukkan betapa Allah sangat meredhakan para suami bergurau senda dengan isteri-isterinya dan Allah tidak suka melihat suami yang tidak pandai bergurau dengan isterinya.
.
Dalam bersenda dan bergelak ketawa dengan isteri, suami hendaklah seimbangkan di antara sifat lemah lembut dan tegas. Ertinya, di samping suami merendahkan taraf sebagai seorang lelaki dengan isteri, janganlah sampai kehebatan seorang suami hilang sama sekali. Maknanya dalam bergurau itu, kehormatan seorang suami tetap dijaga. Sebagai suami, hendaklah sentiasa mengawal syariat ketika bergurau. Jangan biarkan si isteri mengikut hawa nafsunya hingga rosak akhlak dan jangan beri peluang kemungkaran berlaku. Sesiapa yang bergurau dengan isterinya berlawanan dengan kehendak syariat, lelaki itu dayus. Syurga tidak menerima lelaki dayus.
.
Rasulullah SAW juga selalu bergurau dan bergelak ketawa dengan isterinya hinggakan beliau menurunkan taraf kerasulannya ketika bergurau senda itu kepada taraf kewanitaan. Ertinya, Rasulullah turut bergurau macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir menyindir, cubit mencubit dan sebagainya.
.
Banyak sekali riwayat-riwayat yang menggambarkan bagaimana Rasulullah melayan isteri-isterinya dengan bergurau senda dengan mereka dan menurunkan taraf kerasulannya. Misalnya, suatu hari ada beberapa orang Habsyah sedang bermain-main pedang dan memukul-mukul gendang. Hari itu ialah hari Asyura. Isterinya, Aisyah dapat mendengarnya dari rumah. Lantaran Rasulullah pun bertanya kepada Aisyah, "Kamu sukakah hendak melihat orang itu bermain?" Jawab Aisyah, "Ya". Rasulullah pun pergi ke muka pintu rumahnya dan berdiri di tengah-tengah pintu itu sambil kedua-dua tangannya memegang pintu itu. Beliau pun memanggil orang-orang Habsyah itu supaya bermain di halaman rumahnya. Aisyah pun berdiri di belakang Rasulullah sambil meletakkan dagunya di atas tangan Rasulullah. Setelah beberapa lama, Rasulullah pun berkata, "Sudah?" Aisyah tidak menjawab. Akhirnya setelah beberapa lama, Rasulullah pun berkata semula: "Sudahkah wahai Aisyah?" Barulah Aisyah menjawab, "Ya, Rasulullah". Maka Rasulullah pun menyuruh orang-orang itu pergi.
.
Pernah satu ketika Aisyah mengajak Rasulullah SAW berlari-lari. Berlumba larilah Rasulullah sedangkan ketika itu Aisyah muda belia berumur 16 tahun. Dalam hal ini Saidina Umar juga pernah berkata, "Memang sepatutnya seorang laki-laki itu ketika bergaul dengan sesama lelaki, dia menunjukkan kelakiannya, tetapi apabila dia bergaul dengan isterinya, dia adalah seperti kanak-kanak."
.
Ertinya sesama lelaki, suami bolehlah menunjukkan sikap serius tetapi apabila dia bergaul dengan isterinya janganlah terlalu serius. Contohnya cakap dengan bahasa yang keras, suara tinggi, lidah sentiasa tajam serta bersikap kasar. Ini menyebabkan isteri merasa jemu. Justeru itu para suami hendaklah memperbanyakkan gurausenda dengan isteri untuk membuahkan kemesraan dan menambat ikatan kasih sayang. Sekali sekala eloklah ditunaikan keinginan isteri jika mereka hendak melihat permainan yang tidak bertentangan dengan syariat. Sebagaimana Rasulullah berbuat terhadap isterinya kerana Rasulullah itu adalah sebagai ikutan kita. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Orang mukmin yang sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan yang paling lemah lembut dengan isterinya." Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda kepada sahabatnya: "Kahwinlah kamu dengan anak dara, kamu boleh bergurausenda dengannya dan dia juga boleh bergurau-gurau dengan kamu."
.
Suatu hari, ada seorang sahabat berkahwin dengan seorang janda, lalu Rasulullah bertanya kepadanya kenapa dia berkahwin dengan seorang janda sedangkan kalau dia berkahwin dengan anak dara, dia boleh bermanja-manja dengannya dan isterinya juga boleh bermanja-manja. Jawab sahabat itu, dia berkahwin dengan janda kerana dia ada banyak adik-adik kecil yang tidak ada siapa boleh menjaganya. Seorang janda ada pengalaman menjaga anak-anak kecil dan oleh itu dia menjaga adik-adiknya kerana ibunya sudah meninggal. Rasulullahpun diam. Di dalam mengusahakan sebuah rumahtangga, kehebatan seorang suami terletak pada sejauh mana dia dapat mempertahankan syariat semasa dia bergurau senda dengan isterinya. Kalau suami terlalu taat kepada isterinya dan mengikut sahaja apa kata-kata isterinya walaupun yang berlawanan dengan syariat, dia akan Allah benamkan ke dalam neraka. Oleh yang demikian, suami hendaklah mengawasi supaya jangan sampai isterinya menguasai dia. Jangan jadi apa yang dikatakan orang, 'Queen Control'. Itu pun dalam hal-hal yang mengenai syariat sahaja. Rasulullah mengingatkan yang bermaksud: "Tidak beroleh kemenangan dan kejayaan, laki-laki yang diperintah oleh kaum wanita."
.
Dalam hal ini Saidina Umar ada berkata, "Hendaklah kamu jangan mengikut kata-kata isteri." Di sini tidaklah bermakna suami tidak boleh langsung mengikut kata-kata isteri. Kata-kata isteri yang tidak menyalahi syariat, boleh diikut. Cuma, kata-kata yang menyalahi syariat inilah yang dilarang oleh Allah suami-suami mengikutnya. Umpamanya isteri ajak pergi tengok wayang atau melarang suami pergi mengaji Fardhu Ain, si suami ikut sahaja kata-kata isteri. Ini adalah dilarang. Tetapi, kalau isteri mengingatkan suami sembahyang, menyuruh mengaji Fardhu Ain dan seumpamanya, kata-kata begini boleh diikut. Firman Allah di dalam Al Quran yang bermaksud: "Kamu boleh bermesyuarat dengan isteri kamu tetapi kata-kata yang menyalahi syariat, hendaklah kamu salahi (jangan ikut)."
.
Suami-suami tidak boleh mengikut kata-kata isteri kerana kata Allah di dalam Al-Quran, maksudnya: "Laki-laki adalah pemimpin bagi kaum perempuan." Kebiasaannya sebagai pemimpin, tidak akan tunduk pada telunjuk ataupun kata-kata pengikutnya. Yang dipimpin kenalah mengikut kata-kata yang memimpin. Suami boleh meminta pendapat pada isteri. Mana-mana yang sesuai dengan syariat bolehlah ikut dan mana-mana yang tidak sesuai, janganlah ikut. Rasulullah SAW pun pernah mengikut kata-kata isterinya yang sesuai dengan syariat.
.
Wallahua'lam

12 Mei 2008

SAIDINA UMAR - MENGASIHANI ORANG-ORANG YANG BERDOSA...

MASIH segar dalam ingatan kaum Muslimin tatkala Rasulullah bersabda, "Aku bermimpi dalam tidur sedang memegang segelas susu. Kuminum hampir habis susu itu sampai rasa kenyang menyelusup di kuku-kukuku. Lalu sisanya kuberikan kepada Umar bin Al-Khattab."
.
Waktu itu Seorang sahabat bertanya, "Apa takwilnya, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Ilmu."
.
Nyatanya, semasa memegang jawatan khalifah, Umar bin Al-Khattab terkenal dengan kekerasan dan kegalakkannya. Akan tetapi, ilmunya menerangi semua sikap hidupnya, sehingga dalam memutuskan sesuatu perkara, yang dipedomaninya adalah kecerdasan pemikirannya, bukan sentuhan perasaannya. Selaku penguasa ia tidak terpengaruh oleh kemarahannya, kesedihannya atau kepentingan peribadi dan keluarganya.
.
Ia pernah berkata, "Membatalkan hukuman dengan diam-diam, bagiku lebih baik daripada melaksanakan hukuman dengan diam-diam." Sebab, membatalkan hukuman biasanya dilandasi oleh kebijaksanaan dan keampunan, sedangkan menjatuhkan hukuman membawa kepada rasa benci dan balas dendam. Apalagi jika dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
.
Seorang ayah pada suatu saat datang kepada Saidina Umar dan mengadu, "Anak perempuanku, wahai Amirul Mukminin, pernah terjerumus ke dalam dosa besar. Ia patah hati, lantas mengambil pisau dan mengerat lehernya sendiri. Untung aku mencegahnya. Anak itu kuselamatkan, lukanya kurawat dengan cermat hingga ia segar bugar kembali." Umar merungut, "Hem, mujur anak engkau itu. Bunuh diri adalah tanda kekufuran. Ia harus bertaubat." Ayah itu menjawab, "Memang itulah yang dikerjakannya sesudah itu. Ia menyesal dan bertaubat dengan sungguh-sungguh. Sekarang ia dipinang seorang pemuda untuk menjadi isterinya. Apakah dosa itu harus kuceritakan kepada calon suaminya, wahai Amirul Mukminin?" Umar bertitah lantang, "Apakah engkau bermaksud membongkar aib yang sengaja telah ditutupi Allah takdir-Nya? Demi Allah, seandainya kau melakukan hal itu, akan kuhukum engkau sedemikian rupa di depan masyarakat sehingga menjadi contoh yang pahit bagi yang lain. Tidak, jangan kau ungkap kembali cacat yang sudah terhapus itu. Nikahkanlah puteri engkau sebagaimana layaknya seorang perempuan terhormat dan Muslimat yang taat." Mungkin itukah yang dinamakan kearifan dan tumbuh dari rohani yang bersih dan adil.
.
Umar tidak segan-segan menceritakan kesalahannya kepada hakim dan meminta petanda mencabuknya sesuai dengan besar kecil kesalahan yang dilakukannya. Di punggungnya membekas jalur-jalur cemeti petanda itu, tanpa sekelumitpun Umar menampilkan kuasanya sebagai khalifah untuk diberi keringanan. Namun, Umar tidak ingin kecacatan orang lain diperhebohkan. Sebab, terhadap orang bersalah, yang diharapkan adalah memperbaiki, bukan memerosokkannya ke dalam kejahatan yang lebih besar. Kepada penjahat yang telah selesai menjalani hukumannya, seharusnya masyarakat memberi kesempatan untuk menebus dosanya di masa lalu, bukan mengasingkannya sehingga terpaksa mereka terperangkap ke dalam keburukan kembali.
.
Seorang lelaki seraya termengah-mengah datang menghadap Umar. Mukanya merah padam dan suaranya menggeletar manakala ia bercerita, "Wahai Amirul Mukminin. Saya melihat dengan mata kepala sendiri, seorang pemuda Fulan dan pemudi Fulanah berpelukan dengan mesra di belakang pohon kurma." Lelaki itu berharap Umar akan memanggil kedua asyik masyuk itu dan memerintahkan petanda supaya menderanya dengan cemeti. Ternyata tidak. Umar memegang leher baju lelaki itu. Sambil memukulnya dengan gagang pedang, Umar mengherdik, "Kenapa engkau tidak menutupi kejelekan mereka dan berusaha agar mereka bertaubat? Tidakkah kau ingat akan sabda Rasulullah SAW, "Siapa yang menutupi aib saudaranya, Allah akan menutupi keburukannya di dunia dan akhirat." Dalam fikiran Umar, bila kedua pemuda-pemudi itu dimalukan di tengah orang ramai, boleh jadi mereka akan nekad lantaran tidak tahu kemana hendak menyembunyikan diri. Bukankah corak maksiat yang lebih parah akan mengurung mereka dalam nista berterusan?
.
Pada waktu yang lain, seorang Muslim diheret ke hadapannya kerana telah mengerjakan suatu dosa yang patut menerima hukuman cambuk. Tiga orang saksi mata telah mengemukakan kenyataan yang membuktikan kesalahan lelaki Muslim itu. Tinggal seorang lagi yang merupakan penentuan, apakah hukuman dera harus dijatuhkan atau dikurungkan. Ketika saksi keempat itu diajukan, Umar berkata, "Aku menunggu seorang hamba beriman yang semoga Allah tidak akan mengungkapkan kejelekan sesama Muslim dengan kesaksiannya." Dengan lega saksi keempat itu menyatakan, "Saya tidak melihat suatu kesalahan yang menyebabkan lelaki itu wajib dihukum cambuk." Umar pun ikut bernafas lega.
.
Dipetik dari buku Koleksi Kisah-kisah Iktibar, Bila Kemanusiaan Disakiti, oleh K.H. AbdurRahman Arroisi

09 Mei 2008

KELUASAN NERAKA JAHANNAM

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi SAW pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi SAW: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?" Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikabarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya."
.
Lalu Nabi SAW bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam." Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya. Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."
.
Nabi SAW bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?" Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (Nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)
.
Tanya Rasulullah SAW: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?" Jawab Jibrail: "Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa AS serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar. Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah." "Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir."
.
Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah SAW sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?" Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dari ummatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat." Maka baginda jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala baginda di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku. Apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?" Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu." Kemudian Rasulullah SAW menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah. (dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yg Lalai")
.
Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:
1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat
.
Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kamiturunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk."
.
Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua. Wallahua'lam.

07 Mei 2008

MUNAFIK LAKNATULLAH !

Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menghadapi manusia yang memiliki sifat munafik. Sejarah pernah memaparkan dakwah Rasulullah SAW telah beberapa kali mendapat tentangan yang dilakukan oleh orang-orang munafik. Mereka ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul.
.
Antara kejahatan Abdullah ini ialah dia pernah menaburkan fitnah terhadap Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.anha. Aisyah telah tertinggal daripada rombongan kafilah yang hendak pulang ke Madinah kerana mencari kalungnya yang hilang lalu ditemui Safwan bin Mu'attal yang bertugas sebagai peronda untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. Saidatina Aisyah kemudian dihantar pulang, namun kesempatan ini diambil oleh orang-orang munafik untuk memfitnahnya. Fitnah ini merupakan ujian yang sangat berat kepada Siti Aisyah. Fitnah ini tidak dapat dikawal kerana orang-orang munafik telah menyebarkannya. Walaupun fitnah ini sukar dibuktikan, tetapi ia juga sukar dinafikan. Akhirnya Allah SWT telah menurunkan wahyu dan membersihkan maruah Saidatina Aisyah daripada difitnah. Peristiwa ini menunjukkan betapa sukarnya untuk menghadapi fitnah orang-orang munafik. Hanya dengan berpandukan Al-Quran, hadis dan sejarah perjuangan baginda Rasulullah saw sahaja akan kita dapat mengetahui rahsia tipuan mereka dan bagaimana menghadapinya.
.
Secara kasarnya syariat telah menggariskan sifat-sifat asas orang-orang munafik ini iaitu 'melahirkan suasana Islam dan menyembunyikan kekufuran.' Mereka ini muncul di peringkat Madinah iaitu ketika umat Islam telah membina kekuatan ekonomi, ketenteraan, undang-undang, pertanian dan lain-lain bidang kehidupan. Orang-orang munafik menyembunyikan kekafiran terhadap Allah SWT, Rasul-Nya dan Kitabullah. Orang-orang munafik akan ditimpa seksaan sebagaimana firman Allah swt: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada darjat yang paling bawah sekali dalam neraka." (Surah An-Nisa :145)
.
Sifat-sifat munafik terlalu banyak dan ada di antaranya sangat seni sehingga memungkinkan seseorang Muslim tidak dapat bebas daripadanya. Sering terjadi campur aduk antara kekafiran dan iman yang sentiasa berbolak-balik dalam jiwa seseorang. Apabila ini terjadi, dia disifatkan sebagai orang yang mempunyai 'tanda-tanda munafik'. Justeru itulah, para sahabat Rasulullah SAW sangat bimbang dengan tanda-tanda munafik yang mungkin terselit dalam hati mereka.
.
Orang-orang munafik merupakan orang-orang yang sangat berbahaya. Allah SWT sendiri telah mengingatkan kita akan tipu helah mereka hampir setiap surah dalam Al-Quran. Jadi, apakah tanda-tanda munafik yang diberitahu Allah kepada kita? Sifat-sifat orang munafik menurut Al-Quran adalah seperti berikut:
.
a. Menuduh orang beriman bersifat bodoh.
Allah SWT telah menjelaskan sifat munafik ini dalam firman-Nya: "Apabila dikatakan orang kepada mereka, "Berimanlah kamu sebagaimana manusia yang telah beriman, mereka berkata: Masakan kami beriman, sebagaimana orang-orang bodoh yang telah beriman". Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh tetapi mereka tidak tahu." (Al-Baqarah: 13). Setiap kali ada umat Islam yang ingin mengamalkan cara hidup Islam, mereka akan dituduh kolot atau ketinggalan zaman. Sekiranya ada di antara mereka ingin meninggalkan amalan riba dalam pembelian, mereka telah dituduh bodoh dan menjalani perniagaan tidak menguntungkan. Sekiranya mereka menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan, mereka giat dituduh sebagai penghalang kepada kemajuan dan sebagainya. Kerja-kerja yang tidak menyenangkan ini dilakukan oleh orang-orang munafik.
.
b. Menyuruh kepada yang mungkar dan melarang yang makruf.
Firman Allah SWT: "Orang munafik lelaki dan orang munafik yang perempuan sesetengah serupa dengan yang sesetengah yang lain. Mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang daripada membuat kebajikan, mereka menggenggam tangannya (bakhil). Mereka lupa akan Allah SWT, oleh yang demikian Allah melupakan mereka pula. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik." (Surah At-Taubah: 67).
.
c. Keras kepala dan berbangga dengan dosa.
Firman Allah SWT: "Apabila dikatakan kepadanya: "Takutlah kepada Allah". Kesombongan menjadikan dia berbuat dosa. Maka cukuplah api neraka untuk balasannya dan adalah api neraka itu seburuk-buruk tempat tinggal." (Surah Al-Baqarah: 206). Orang-orang munafik sangat sukar untuk diberi keinsafan. Mereka rela mati dalam mempertahankan kebatilan yang mereka sembunyikan itu. Sejarah pernah menceritakan bagaimana Abdullah bin Ubai telah terperangkap beberapa kali dalam 'lubang' yang digalinya sendiri, tetapi masih tidak insaf. Seluruh umurnya digunakan untuk menentang Islam.
.
d. Membantu orang kafir dan mengintip-intip orang beriman.
Sifat munafik ini diceritakan Allah SWT dalam firman-Nya: "Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Iaitu orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (hai orang-orang mukmin). Maka jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata: "Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?" Dan jika orang-orang kafir mendapat keuntungan (kemenangan), mereka berkata; "Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang mukmin?" Maka Allah akan memberi keputusan di antara kamu di hari kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman." (Surah An-Nisaa': 138~141). Pendirian orang munafik umpama lalang. Arah mana angin bertiup, ke situlah ia condong. Sebenarnya orang-orang munafik cuba mendapatkan keuntungan daripada kedua-dua belah pihak, Islam ataupun kafir. Walaupun begitu, hati mereka lebih kasih kepada orang kafir dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kekuasaan orang-orang kafir terhadap orang Islam.
.
e. Penipu, riak dan malas melaksanakan syariat Islam.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Jika mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dengan malas, serta riak (menunjuk- nunjuk) kepada manusia. Tiadalah mereka itu mengingati Allah kecuali sedikit. Mereka itu di dalam keraguan antara kafir dengan iman." (Surah An-Nisaa': 142-143). Orang munafik tidak akan merasa kemanisan bahkan seolah-olah rasa terpaksa setiap kali melakukan ibadah. Semuanya dilakukan demi mengelabui mata manusia. Sifat malas, cuai, suka bertangguh-tangguh dan bermudah-mudah akan dapat dilihat dengan jelas. Oleh kerana itu sudah menjadi tradisi bagi Khalifah Ur Rasyidin yang empat, mereka tidak akan menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang cuai beribadah (terutamanya solat) kerana khuatir amanah rakyat jatuh ke tangan orang-orang munafik.
.
f. Memecah-belahkan orang beriman.
Rasulullah SAW pernah menyuruh para sahabat meruntuhkan sebuah masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik. Peranan masjid yang asalnya suci telah dijadikan tempat untuk memecah-belah perpaduan orang-orang beriman. Orang munafik merasakan tindakan mereka bertopengkan agama itu akan berjaya. Namun Rasulullah SAW lebih tahu apa yang tersirat di hati mereka. Allah SWT telah memberitahu hal ini melalui firman-Nya: "Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya telah bersumpah: "Kami tidak menghendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya)." (Surah At-Taubah : 107).
.
Begitulah sifat-sifat orang munafik. Mungkin ada manusia bersifat munafik ini sangat hampir dengan kita seperti mana hampirnya Abdullah bin Ubai dengan Rasulullah SAW. Mereka sanggup mengorbankan tenaga dan harta seolah-olah untuk membangunkan Islam tetapi hakikatnya adalah untuk menghancurkan perjuangan Islam. Bak kata pepatah, 'tangan kanannya membangunkan Islam, namun tangan kiri meruntuhkan.' Apakah tindakan kita selama ini seperti mana pepatah ini? Bagaimanakah kita dapat menghadapi golongan munafik ini?
.
Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam.
.
Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik. Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik. Allah SWT telah berfirman: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (Surah At-Talak: 2)