"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)
Inilah gerangan suatu madah mengarangkan syair terlalu indah, membetuli jalan tempat berpindah, di sanalah i’tikat diperbetuli sudah
Wahai muda kenali dirimu, ialah perahu tamsil tubuhmu, tiadalah berapa lama hidupmu, ke akhirat jua kekal diammu.
Hai muda arif-budiman, hasilkan kemudi dengan pedoman, alat perahumu jua kerjakan, itulah jalan membetuli insan.
Perteguh jua alat perahumu, hasilkan bekal air dan kayu, dayung pengayuh taruh di situ, supaya laju perahumu itu
Sudahlah hasil kayu dan ayar, angkatlah pula sauh dan layar, pada beras bekal jantanlah taksir, niscaya sempurna jalan yang kabir.
Perteguh jua alat perahumu, muaranya sempit tempatmu lalu, banyaklah di sana ikan dan hiu, menanti perahumu lalu dari situ.
Muaranya dalam, ikanpun banyak, di sanalah perahu karam dan rusak, karangnya tajam seperti tombak ke atas pasir kamu tersesak.
Ketahui olehmu hai anak dagang riaknya rencam ombaknya karang ikanpun banyak datang menyarang hendak membawa ke tengah sawang.
Muaranya itu terlalu sempit, di manakan lalu sampan dan rakit jikalau ada pedoman dikapit, sempurnalah jalan terlalu ba’id.
Baiklah perahu engkau perteguh, hasilkan pendapat dengan tali sauh, anginnya keras ombaknya cabuh, pulaunya jauh tempat berlabuh.
Lengkapkan pendarat dan tali sauh, derasmu banyak bertemu musuh, selebu rencam ombaknya cabuh, La ilaha illallahu akan tali yang teguh.
Barang siapa bergantung di situ, teduhlah selebu yang rencam itu pedoman betuli perahumu laju, selamat engkau ke pulau itu.
La ilaha illallahu jua yang engkau ikut, di laut keras dan topan ribut, hiu dan paus di belakang menurut, pertetaplah kemudi jangan terkejut.
Laut Silan terlalu dalam, di sanalah perahu rusak dan karam, sungguhpun banyak di sana menyelam, larang mendapat permata nilam.
Laut Silan wahid al kahhar, riaknya rencam ombaknya besar, anginnya songsongan membelok sengkar perbaik kemudi jangan berkisar.
Itulah laut yang maha indah, ke sanalah kita semuanya berpindah, hasilkan bekal kayu dan juadah selamatlah engkau sempurna musyahadah.
Silan itu ombaknya kisah, banyaklah akan ke sana berpindah, topan dan ribut terlalu ‘azamah, perbetuli pedoman jangan berubah.
Laut Kulzum terlalu dalam, ombaknya muhit pada sekalian alam banyaklah di sana rusak dan karam, perbaiki na’am, siang dan malam.
Ingati sungguh siang dan malam, lautnya deras bertambah dalam, anginpun keras, ombaknya rencam, ingati perahu jangan tenggelam.
Jikalau engkau ingati sungguh, angin yang keras menjadi teduh tambahan selalu tetap yang cabuh selamat engkau ke pulau itu berlabuh.
Sampailah ahad dengan masanya, datanglah angin dengan paksanya, belajar perahu sidang budimannya, berlayar itu dengan kelengkapannya.
Wujud Allah nama perahunya, ilmu Allah akan [dayungnya] iman Allah nama kemudinya, “yakin akan Allah” nama pawangnya.
“Taharat dan istinja’” nama lantainya, “kufur dan masiat” air ruangnya, tawakkul akan Allah jurubatunya tauhid itu akan sauhnya.
Salat akan nabi tali bubutannya, istigfar Allah akan layarnya, “Allahu Akbar” nama anginnya, subhan Allah akan lajunya.
“Wallahu a’lam” nama rantaunya, “iradat Allah” nama bandarnya, “kudrat Allah” nama labuhannya, “surga jannat an naim nama negerinya.
Karangan ini suatu madah, mengarangkan syair tempat berpindah, di dalam dunia janganlah tam’ah, di dalam kubur berkhalwat sudah.
Kenali dirimu di dalam kubur, badan seorang hanya tersungkur dengan siapa lawan bertutur? di balik papan badan terhancur.
Di dalam dunia banyaklah mamang, ke akhirat jua tempatmu pulang, janganlah disusahi emas dan uang, itulah membawa badan terbuang.
Tuntuti ilmu jangan kepalang, di dalam kubur terbaring seorang, Munkar wa Nakir ke sana datang, menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.
Tongkatnya lekat tiada terhisab, badanmu remuk siksa dan azab, akalmu itu hilang dan lenyap, (baris ini tidak terbaca)
Munkar wa Nakir bukan kepalang, suaranya merdu bertambah garang, tongkatnya besar terlalu panjang, cabuknya banyak tiada terbilang.
Kenali dirimu, hai anak dagang! di balik papan tidur telentang, kelam dan dingin bukan kepalang, dengan siapa lawan berbincang?
La ilaha illallahu itulah firman, Tuhan itulah pergantungan alam sekalian, iman tersurat pada hati insap, siang dan malam jangan dilalaikan.
La ilaha illallahu itu terlalu nyata, tauhid ma’rifat semata-mata, memandang yang gaib semuanya rata, lenyapkan ke sana sekalian kita.
La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah, sekalian makhluk ke sana berpindah, da’im dan ka’im jangan berubah, khalak di sana dengan La ilaha illallahu.
La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan, siang dan malam jangan kau sunyikan, selama hidup juga engkau pakaikan, Allah dan rasul juga yang menyampaikan.
La ilaha illallahu itu kata yang teguh, memadamkan cahaya sekalian rusuh, jin dan syaitan sekalian musuh, hendak membawa dia bersungguh-sungguh.
La ilaha illallahu itu kesudahan kata, tauhid ma’rifat semata-mata. hapuskan hendak sekalian perkara, hamba dan Tuhan tiada berbeda.
La ilaha illallahu itu tempat mengintai, medan yang kadim tempat berdamai, wujud Allah terlalu bitai, siang dan malam jangan bercerai.
La ilaha illallahu itu tempat musyahadah, menyatakan tauhid jangan berubah, sempurnalah jalan iman yang mudah, pertemuan Tuhan terlalu susah.
DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?. Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.
Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian. Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.
Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).
Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali
Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.
Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.
Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.
Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.
Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).
Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.
Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).
Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.
Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.
'Wali Songo' bererti sembilan orang wali. Mereka adalah Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, Sunan Muria, dan Sunan Gunung Jati. Mereka tidak hidup pada masa yang sama. Namun satu sama lain mempunyai perkaitan erat, sama ada dalam ikatan darah atau dalam hubungan guru-murid.
Maulana Malik Ibrahim adalah yang tertua. Sunan Ampel adalah anak Maulana Malik Ibrahim. Sunan Giri adalah anak saudara Maulana Malik Ibrahim yang bererti juga sepupu Sunan Ampel. Sunan Bonang dan Sunan Drajat adalah anak Sunan Ampel. Sunan Kalijaga merupakan sahabat sekaligus murid Sunan Bonang. Sunan Muria adalah anak Sunan Kalijaga. Sunan Kudus pula adalah murid Sunan Kalijaga. Sunan Gunung Jati adalah sahabat para Sunan lain, kecuali Maulana Malik Ibrahim yang lebih dahulu meninggal.
Mereka tinggal di pantai utara Jawa dari awal abad 15 hingga pertengahan abad 16, di tiga wilayah penting. Yakni Surabaya-Gresik-Lamongan di Jawa Timur, Demak-Kudus-Muria di Jawa Tengah, serta Cirebon di Jawa Barat. Mereka adalah para intelektual yang menjadi pembaharu masyarakat pada masa masing2. Mereka memperkenalkan berbagai bentuk peradaban baru; dari kesihatan, bercucuk tanam, berniaga, kebudayaan dan kesenian, kemasyarakatan hingga pemerintahan.
Pesantren Ampel Denta dan Giri adalah dua institusi pendidikan paling penting di masa itu. Dari Giri, peradaban Islam berkembang ke seluruh wilayah timur Nusantara. Sunan Giri dan Sunan Gunung Jati bukan sekadar ulama, tetapi juga pemimpin sebuah pemerintahan. Sunan Giri, Bonang, Kalijaga, dan Kudus adalah pencipta karya seni yang pengaruhnya masih terasa hingga ke hari ini. Sunan Muria pula adalah pendamping sejati rakyat jelata.
1. MAULANA MALIK IBRAHIM
Maulana Malik Ibrahim, atau Makdum Ibrahim As-Samarkandy dikatakan lahir di Samarkand, Asia Tengah, pada awal abad 14. Babad Tanah Jawi versi Meinsma menyebutnya Asmarakandi, mengikuti pengucapan lidah Jawa terhadap As-Samarkandy, berubah menjadi Asmarakandi.
Maulana Malik Ibrahim juga disebut sebagai Syeikh Magribi. Sebahagian rakyat malah menyebutnya Kakek Bantal. Ia bersaudara dengan Maulana Ishak, ulama terkenal di Samudera Pasai, sekaligus ayah dari Sunan Giri (Raden Paku). Ibrahim dan Ishak adalah anak dari seorang ulama bernama Maulana Jumadil Kubra (Sayyid Hussein Jamadil Kubra). Maulana Jumadil Kubra diyakini adalah keturunan ke-10 dari Saidina Hussein, cucu Nabi Muhammad SAW.
Maulana Malik Ibrahim pernah bermukim di Champa, (sekarang Kemboja) selama tiga belas tahun sejak tahun 1379. Ia malah menikahi puteri raja, yang memberinya dua putera. Mereka adalah Raden Rahmat (dikenal dengan Sunan Ampel) dan Sayid Ali Murtadha alias Raden Santri. Merasa cukup menjalankan misi dakwah di negeri itu, tahun 1392M, Maulana Malik Ibrahim berhijrah ke Pulau Jawa meninggalkan keluarganya.
Beberapa versi menyatakan bahawa kedatangannya disertai beberapa orang. Daerah yang ditujunya pertama kali yakni desa Sembalo, daerah yang masih berada dalam wilayah kekuasaan Majapahit. Desa Sembalo sekarang, adalah daerah Leran, 9 kilometer di utara kota Gresik.
Perkara pertama yang dilakukannya ketika itu adalah berdagang dengan membuka warung. Warung itu menyediakan barang2 keperluan dengan harga murah. Selain itu, Maulana Malik Ibrahim juga mengubati orangramai. Sebagai tabib, khabarnya, ia pernah diundang untuk mengubati isteri raja yang berasal dari Champa. Besar kemungkinan permaisuri tersebut juga mempunyai pertalian kekeluargaan dengan isterinya.
Beliau juga mengajarkan cara-cara baru bercucuk tanam. Ia mendekati masyarakat bawahan, kasta yang disisihkan dalam Hindu. Maka sempurnalah misi pertamanya, iaitu mencari tempat di hati masyarakat sekitar yang ketika itu sedang dilanda krisis ekonomi dan perang saudara. Selesai mendirikan pondok agama di Leran, pada tahun 1419M, Maulana Malik Ibrahim wafat. Beliau dimakamkan di Kampung Gapura, Gresik, Jawa Timur.
2. SUNAN AMPEL
Sunan Ampel adalah putera tertua Maulana Malik Ibrahim. Menurut Babad Tanah Jawi dan Silsilah Sunan Kudus, semasa kecilnya ia dikenali sebagai Raden Rahmat. Beliau lahir di Champa pada 1401M. Nama Ampel diambil sempena nama tempat di mana beliau lama bermukim, di daerah Ampel atau Ampel Denta, wilayah yang kini menjadi bahagian dari Surabaya (kota Wonokromo sekarang).
Beberapa versi menyatakan bahawa Sunan Ampel masuk ke Pulau Jawa pada tahun 1443M bersama adiknya, Sayid Ali Murtadho. Tahun 1440, sebelum ke Jawa, mereka singgah dulu di Palembang. Setelah tiga tahun di Palembang, kemudian mereka tiba ke daerah Gresik. Kemudian pergi ke Majapahit menemui makciknya, seorang puteri dari Champa, bernama Dwarawati, yang dikahwini salah seorang raja Majapahit beragama Hindu bergelar Prabu Sri Kertawijaya.
Sunan Ampel berkahwin dengan puteri seorang adipati di Tuban. Dari perkahwinannya itu ia dikurniakan beberapa putera dan puteri. Di antaranya ialah Sunan Bonang dan Sunan Drajat. Ketika Kesultanan Demak (25 kilometer arah selatan kota Kudus) hendak didirikan, Sunan Ampel turut menyumbang tenaga sehingga tertubuhnya kerajaan Islam pertama di Jawa itu. Ia pula yang memilih muridnya Raden Patah, putera dari Prabu Brawijaya V raja Majapahit, untuk menjadi Sultan Demak tahun 1475 M.
Di Ampel Denta, daerah yang dihadiahkan oleh Raja Majapahit, beliau membangunkan dan mengembangkan pondok pengajian agama (pesantren). Pada pertengahan Abad 15, pesantren tersebut menjadi pusat pendidikan yang sangat berpengaruh di wilayah Nusantara. Di antara para muridnya adalah Sunan Giri dan Raden Patah. Murid-muridnya kemudian dihantar untuk berdakwah ke berbagai pelosok Jawa dan Madura.
Sunan Ampel mengikuti mahzab Hanafi. Namun, pada para muridnya, beliau hanya memberikan pengajaran sederhana yang menekankan pada penanaman akidah dan ibadah. Beliaulah yang memperkenalkan istilah 'Mo Limo' (moh main, moh ngombe, moh maling, moh madat, moh madon), yakni seruan untuk 'tidak berjudi, tidak minum minuman keras, tidak mencuri, tidak menggunakan dadah, dan tidak berzina.'
Sunan Ampel dikatakan wafat pada tahun 1481M di Demak dan dimakamkan di sebelah barat Masjid Ampel, Surabaya.
3. SUNAN BONANG
Beliau ialah anak Sunan Ampel, cucu Maulana Malik Ibrahim. Nama kecilnya adalah Raden Makdum Ibrahim. Dilahirkan dalam tahun 1465M oleh seorang perempuan bernama Nyi Ageng Manila, puteri seorang adipati di Tuban.
Sunan Bonang belajar agama dari pesantren ayahnya di Ampel Denta. Setelah cukup dewasa, beliau merantau untuk berdakwah di berbagai pelosok Pulau Jawa. Mula-mula ia berdakwah di Kediri, yang majoriti masyarakatnya beragama Hindu. Di sana, ia mendirikan Masjid Sangkal Daha.
Ia kemudian menetap di Bonang - desa kecil di Lasem, Jawa Tengah -sekitar 15 kilometer timur kota Rembang. Di desa itu, beliau mendirikan zawiyah sekaligus pesantren yang kini dikenali dengan nama Watu Layar. Beliau kemudiannya dikenali pula sebagai imam rasmi pertama Kesultanan Demak, bahkan sempat menjadi panglima tertinggi. Meskipun demikian, Sunan Bonang tak pernah menghentikan kebiasaannya untuk berkelana ke daerah-daerah yang sangat sulit.
Beliau kerap berkunjung ke daerah-daerah terpencil di Tuban, Pati, Madura mahupun Pulau Bawean. Di pulau inilah, pada 1525 M beliau meninggal. Jenazahnya dimakamkan di Tuban, di sebelah barat Masjid Agung.
Tidak seperti Sunan Giri yang mudah dalam soal feqah, ajaran Sunan Bonang memadukan ajaran ahlussunnah dengan gaya tasawuf dan garis salaf ortodoks. Ia menguasai ilmu feqah, usuludin, tasawuf, seni, sastera dan senibina. Masyarakat juga mengenali Sunan Bonang sebagai seorang yang pakar mencari sumber air di tempat-tempat yang gersang.
Ajaran Sunan Bonang berintikan pada falsafah 'cinta' ('isyq) yang mirip dengan kecenderungan Jalaluddin ar-Rumi. Menurut Bonang, cinta sama dengan iman, pengetahuan gerak hati (makrifat) dan kepatuhan kepada Allah SWT atau haq al yaqqin. Ajaran tersebut disampaikannya secara popular melalui media kesenian yang disukai masyarakat. Dalam hal ini, Sunan Bonang bantu-membantu dengan murid utamanya, Sunan Kalijaga.
Sunan Bonang banyak melahirkan karya sastera berupa suluk. Salah satunya adalah 'Suluk Wijil' yang dikatakan dipengaruhi kitab Al-Shidiq karya Abu Sa'id Al Khayr (wafat pada 899). Suluknya banyak menggunakan tamsil cermin, bangau atau burung laut, satu pendekatan yang juga digunakan oleh Muhyiddin Ibn Arabi, Fariduddin Attar, Rumi serta Hamzah Fansuri.
Sunan Bonang juga menggubah gamelan Jawa yang ketika itu kental dengan ilmu keindahan Hindu, dengan memberi perbezaan baru. Dialah yang menjadi pencipta gamelan Jawa seperti sekarang, dengan menambahkan instrumen bonang. Gubahannya ketika itu memiliki perbezaan zikir yang mendorong kecintaan pada kehidupan di alam malakut.
4. SUNAN DRAJAT
Nama kecilnya ialah Raden Qosim. Sebagaimana Sunan Bonang, beliau juga adalah anak Sunan Ampel. Dikatakan bahawa Sunan Drajat yang bergelar Raden Syaifuddin ini lahir pada tahun 1470M.
Sunan Drajat mendapat tugas pertama dari ayahnya untuk berdakwah ke pesisir Gresik, melalui laut. Ia kemudian terdampar di Dusun Jelog, pesisir Banjarwati atau Lamongan sekarang. Tapi setahun berikutnya Sunan Drajat berpindah 1 kilometer ke selatan dan mendirikan pondok santri di Dalem Duwur, yang kini bernama Desa Drajat.
Dalam pengajaran tauhid dan akidah, Sunan Drajat mengambil cara ayahnya; langsung dan tidak banyak mendekati budaya tempatan. Meskipun demikian, cara penyampaiannya mengadaptasikan cara berkesenian yang dilakukan oleh Sunan Muria terutamanya seni suluk. Sunan Drajat juga dikenali sebagai seorang yang bersahaja yang suka menolong orang. Di pondok pesantrennya, beliau memelihara ramai anak-anak yatim piatu serta fakir miskin.
5. SUNAN GIRI
Ia memiliki nama kecil Raden Paku, alias Muhammad Ainul Yakin. Sunan Giri lahir di Blambangan (kini Banyuwangi) pada 1442M. Ada juga yang menyebutnya Jaka Samudra. Sebuah nama yang dikaitkan dengan masa kecilnya yang pernah dibuang oleh keluarga ibunya, seorang puteri raja Blambangan bernama Dewi Sekardadu ke laut. Raden Paku kemudian dipungut dan dijadikan anak angkat oleh Nyai Semboja (Babad Tanah Jawi versi Meinsma).
Ayahnya adalah Maulana Ishak, saudara kandung Maulana Malik Ibrahim. Maulana Ishak berhasil mengIslamkan isterinya, tapi gagal mengIslamkan mertuanya. Oleh itu, beliau meninggalkan keluarga isterinya dan berkelana sehingga ke Samudra Pasai.
Sunan Giri sejak kecil menuntut ilmu di pesantren Sunan Ampel, tempat di mana Raden Patah juga belajar. Ia sempat berkelana ke Melaka dan Pasai. Setelah merasa cukup ilmu, ia membuka pesantren di daerah perbukitan Desa Sidomukti, Selatan Gresik. Dalam bahasa Jawa, bukit adalah 'giri'. Maka beliau dipanggil 'Sunan Giri'.
Pesantrennya tidak hanya dipergunakan sebagai tempat pendidikan dalam erti sempit, namun juga sebagai pusat pengembangan masyarakat. Raja Majapahit, konon kerana khuatir Sunan Giri mencetuskan pemberontakan, memberi kuasa kepadanya untuk mengatur pemerintahan. Maka pesantren itupun berkembang menjadi salah satu pusat kekuasaan yang disebut Giri Kedaton. Sebagai pemimpin pemerintahan, Sunan Giri juga disebut sebagai Prabu Satmata.
Giri Kedaton tumbuh menjadi pusat politik yang penting di Jawa, waktu itu. Ketika Raden Patah melepaskan diri dari Majapahit, Sunan Giri malah bertindak sebagai penasihat dan panglima tentera Kesultanan Demak. Hal tersebut tercatat dalam Babad Demak. Selanjutnya, Demak tak lepas dari pengaruh Sunan Giri. Ia diakui juga sebagai mufti, pemimpin tertinggi keagamaan di Tanah Jawa.
Giri Kedaton bertahan hingga 200 tahun. Salah seorang penerusnya, Pangeran Singosari, dikenal sebagai tokoh paling gigih menentang kumpulan VOC dan Amangkurat II pada Abad 18.
Para murid pesantren Giri juga dikenali sebagai penyebar Islam yang gigih ke berbagai pulau, seperti Bawean, Kangean, Madura, Haruku, Ternate, hingga Nusa Tenggara. Penyebar Islam ke Sulawesi Selatan, Datuk Ribandang dan dua sahabatnya, adalah murid Sunan Giri yang berasal dari Minangkabau.
Dalam keagamaan, ia dikenal kerana pengetahuannya yang luas dalam ilmu feqah. Orang-orang pun menyebutnya sebagai Sultan Abdul Fakih. Selain itu. beliau juga pencipta karya seni yang luar biasa.
6. SUNAN GUNUNG JATI
Banyak kisah yang tidak masuk akal yang dikaitkan dengan Sunan Gunung Jati. Di antaranya adalah bahawa ia pernah mengalami perjalanan spiritual seperti Isra' Mi'raj, lalu bertemu Rasulullah SAW, bertemu Nabi Khidir, dan menerima wasiat Nabi Sulaiman. (Babad Cirebon Naskah Klayan hal.xxii).
Semua itu hanya mengisyaratkan kekaguman masyarakat masa itu terhadap Sunan Gunung Jati. Sunan Gunung Jati atau Syarif Hidayatullah dikatakan lahir sekitar tahun 1448M. Ibunya adalah Nyai Rara Santang, puteri dari raja Pajajaran Raden Manah Rarasa. Sedangkan ayahnya adalah Sultan Syarif Abdullah Maulana Huda, pembesar Mesir keturunan Bani Hasyim dari Palestina.
Syarif Hidayatullah mendalami ilmu agama sejak berusia 14 tahun dari para ulama Mesir. Ia sempat berkelana ke berbagai negara. Menyusul berdirinya Kesultanan Bintoro Demak, dan atas restu kalangan ulama lain, ia mendirikan Kesultanan Cirebon yang juga dikenal sebagai Kesultanan Pakungwati.
Dengan demikian, Sunan Gunung Jati adalah satu-satunya wali songo yang memimpin pemerintahan. Sunan Gunung Jati memanfaatkan pengaruhnya sebagai putera Raja Pajajaran untuk menyebarkan Islam dari pesisir Cirebon ke pedalaman Pasundan atau Priangan.
Dalam berdakwah, ia menganut kecenderungan Timur Tengah yang mudah. Namun ia juga mendekati rakyat dengan membangunkan infrastruktur2 berupa jalan-jalan yang menghubungkan antara wilayah. Bersama putranya, Maulana Hasanuddin, Sunan Gunung Jati juga melakukan ekspedisi ke Banten. Penguasa setempat, Pucuk Umum, menyerahkan penguasaan wilayah Banten secara sukarela.
Pada usia 89 tahun, Sunan Gunung Jati berundur dari jabatannya semata2 untuk berdakwah. Kekuasaan itu diserahkannya kepada Pangeran Pasarean. Pada tahun 1568M, Sunan Gunung Jati wafat dalam usia 120 tahun, di Cirebon (dulu Carbon). Ia dimakamkan di daerah Gunung Sembung, Gunung Jati, sekitar 15 kilometer sebelum kota Cirebon dari arah barat.
7. SUNAN KALIJAGA
Dialah 'Wali Allah' yang paling banyak disebut oleh masyarakat Jawa. Beliau lahir sekitar tahun 1450M. Ayahnya adalah Arya Wilatikta, Adipati Tuban, keturunan dari tokoh pemberontak Majapahit, Ronggolawe. Masa itu, Arya Wilatikta dikatakan telah menganut Islam.
Nama kecil Sunan Kalijaga adalah Raden Said. Ia juga memiliki sejumlah nama panggilan seperti Lokajaya, Syeikh Malaya, Pangeran Tuban atau Raden Abdurrahman.Terdapat berbagai versi berkenaan asal-usul nama Kalijaga yang disandangnya.
Masyarakat Cirebon berpendapat bahawa nama itu berasal dari dusun Kalijaga di Cirebon. Sunan Kalijaga memang pernah tinggal di Cirebon dan bersahabat erat dengan Sunan Gunung Jati. Kalangan Jawa mengaitkannya dengan kesukaan beliau berendam di sungai (kali) atau 'jaga kali'. Namun ada yang menyebut istilah itu berasal dari bahasa Arab "qadli dzaqa" yang menunjuk statusnya sebagai "penghulu suci" kesultanan.
Masa hidup Sunan Kalijaga dikatakan mencapai lebih dari 100 tahun. Dengan demikian ia mengalami masa akhir kekuasaan Majapahit (berakhir 1478), Kesultanan Demak, Kesultanan Cirebon dan Banten, bahkan juga Kerajaan Pajang yang lahir pada 1546 serta awal kehadiran Kerajaan Mataram dibawah pimpinan Panembahan Senopati. Beliau juga ikut serta merancang pembangunan Masjid Agung Cirebon dan Masjid Agung Demak. Tiang "tatal" (pecahan kayu) yang merupakan salah satu dari tiang utama masjid adalah atas kreativiti Sunan Kalijaga.
Dalam dakwah, ia memiliki pola yang sama dengan mentor sekaligus sahabat dekatnya, Sunan Bonang. Beliau cenderung kepada 'sufistik berbasis salaf' bukan sufi panteistik (pemujaan semata). Ia juga memilih kesenian dan kebudayaan sebagai jalan untuk berdakwah.
Ia sangat berlembut terhadap budaya tempatan. Ia berpendapat bahawa masyarakat akan menjauh jika diserang pendiriannya. Maka mereka harus didekati secara bertahap: mengikuti sambil mempengaruhi. Sunan Kalijaga berkeyakinan bahawa jika Islam sudah difahami, dengan sendirinya kebiasaan lama akan hilang.
Maka ajaran Sunan Kalijaga berkesan dalam memperkenalkan Islam. Ia menggunakan seni ukir, wayang, gamelan, serta seni suara suluk sebagai sarana dakwah. Cara dakwah tersebut sangat efektif. Sebahagian besar golongan pemerintah di Jawa memeluk Islam melalui Sunan Kalijaga. Di antaranya adalah Adipati Padanaran, Kartasura, Kebumen, Banyumas, serta Pajang (sekarang Kotagede - Yogya). Sunan Kalijaga dimakamkan di Kadilangu, selatan Demak.
8. SUNAN KUDUS
Nama kecilnya ialah Jaffar Shadiq. Beliau adalah putera pasangan Sunan Ngudung dan Syarifah (adik Sunan Bonang), anak Nyi Ageng Maloka. Disebutkan bahawa Sunan Ngudung adalah salah seorang putera Sultan di Mesir yang berkelana hingga di Jawa. Di Kesultanan Demak, ia pun diangkat menjadi Panglima Perang.
Sunan Kudus banyak berguru pada Sunan Kalijaga. Kemudian ia berkelana ke berbagai daerah tandus di Jawa Tengah seperti Sragen, Simo hingga Gunung Kidul. Cara berdakwahnya pun meniru pendekatan Sunan Kalijaga; sangat lembut pada budaya setempat. Cara penyampaiannya bahkan lebih halus. Itulah sebabnya para wali, yang sukar mencari pendakwah untuk ke Kudus, memilih beliau.
Cara Sunan Kudus mendekati masyarakat Kudus adalah dengan memanfaatkan simbol-simbol Hindu dan Buddha. Hal itu dapat dilihat dari binaan masjid Kudus. Bentuk menara, gerbang dan pancuran/padasan wuduk yang melambangkan delapan jalan Buddha. Sebuah kompromi yang dilakukan oleh Sunan Kudus.
Suatu ketika, ia menarik masyarakat untuk pergi ke masjid mendengarkan syarahannya. dengan menambatkan lembunya yang diberi nama Kebo Gumarang di halaman masjid. Orang-orang Hindu yang mengagungkan lembu, menjadi simpati. Apalagi setelah mereka mendengar penjelasan Sunan Kudus tentang surah Al-Baqarah yang bererti 'sapi betina'. Sampai sekarang, sebahagian masyarakat tradisional Kudus, masih menolak untuk menyembelih lembu.
Sunan Kudus juga menggubah cerita-cerita ketauhidan. Kisah tersebut disusunnya secara bersiri, sehingga masyarakat tertarik untuk mengikuti kelanjutannya. Sebuah pendekatan yang tampaknya mengambil cerita dari Hikayat 1001 malam dari masa kekhalifahan Abbasiyah. Begitulah Sunan Kudus berdakwah dalam masyarakatnya.
Bukan hanya berdakwah seperti itu yang dilakukan Sunan Kudus. Sebagaimana ayahnya, ia juga pernah menjadi Panglima Perang Kesultanan Demak. Ia ikut berperang ketika Demak, di bawah kepemimpinan Sultan Prawata, bertempur melawan Adipati Jipang, Arya Penangsang.
9. SUNAN MURIA
Beliau ialah putera kepada Dewi Saroh, adik kandung Sunan Giri sekaligus anak Syeikh Maulana Ishak, dengan Sunan Kalijaga. Nama kecilnya adalah Raden Prawoto. Nama Muria diambil dari tempat tinggal terakhirnya di lereng Gunung Muria, 18 kilometer ke utara kota Kudus.
Gaya berdakwahnya banyak mengambil cara ayahnya, Sunan Kalijaga. Namun berbeza dengan ayahandanya, Sunan Muria lebih suka tinggal di daerah sangat terpencil dan jauh dari pusat kota untuk menyebarkan agama Islam. Bergaul dengan rakyat jelata, sambil mengajarkan kaedah bercucuk tanam, berdagang dan menangkap ikan.
Sunan Muria seringkali dijadikan sebagai orang tengah dalam konflik dalaman di Kesultanan Demak (1518-1530). Beliau dikenali sebagai seorang yang mampu menyelesaikan berbagai masalah biarpun betapa rumitnya masalah itu. Cadangan penyelesaiannya selalunya dapat diterima oleh semua pihak yang bermusuhan. Sunan Muria berdakwah dari Jepara, Tayu, Juana hingga sekitar Kudus dan Pati.
DALAM buku saya yang berjudul Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara terbitan Al-Ikhlas, Surabaya, 1980, kisah Tok Pulai Chondong telah dibicarakan secara ringkas. Selain itu riwayat hidup Tok Pulai Chondong juga pernah dimuatkan dalam majalah Pengasuh terbitan Kota Bharu, Kelantan, bilangan 45 September 1979/ Syawal 1399. Selain kedua-dua riwayat tersebut terdapat beberapa penulisan oleh para pengkaji tentang ulama sufi yang berasal dari Pulai Chondong, Kelantan itu.
Penulisan yang paling lengkap dan terkini adalah yang diusahakan oleh Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof dalam kertas kerja berjudul ‘Tok Pulai Chondong: Riwayat Hidup dan Sumbangan dalam Pendidikan Islam di Kelantan’. Kertas kerja tersebut dibentang dalam Nadwah Ulama III pada 15 hingga 17 April 2006 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Perlu juga saya sebutkan di sini bahawa nama sebenar Tok Pulai Chondong ialah Abdus Shamad. Terdapat sekurang-kurangnya dua ulama terkenal yang bernama demikian di Kelantan. Yang seorang lagi ialah Abdus Shamad yang digelar orang dengan nama ‘Tuan Tabal’.
Selain gelaran yang berbeza nama orang tua juga berbeza. Nama orang tua Tuan Tabal ialah Muhammad Salleh al-Kalantani. Beberapa orang yang bercerita tentang kedua-dua ulama tersebut tidak dapat membezakan antara kedua-duanya.
ASAL USUL
Rencana minggu ini tetap merujuk kepada tulisan saya dalam buku terbitan 1980 itu, sekali gus dilengkapi dengan petikan yang dibicarakan dalam kertas kerja Nadwah Ulama III yang disebut di atas.
Nama lengkap Tok Pulai Chondong ialah Haji Abdus Shamad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim, Pulai Chondong al-Kalantani (selanjutnya disingkatkan Tok Pulai Chondong saja). Lahir semasa pemerintah Long Yunus (1762-1794) iaitu pada tahun 1207 H/1792 M.
Beliau ialah saudara dua pupu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Mengenai tulisan saya (pada tahun 1980) yang belum sempat saya bahas, tiba-tiba Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof memberikan maklumat yang lebih lengkap (pada tahun 2006) bahawa Haji Hasyim (datuknya) berasal daripada keturunan Sultan Ahmad Minangkabau, Sumatera, yang berhijrah ke Patani pada abad ke-18. Saya tidak bermaksud membantah tentang cerita ini, cuma saya masih meragukan perkataan ‘Sultan Ahmad Minangkabau’. Kemungkinan sebenarnya ialah Sutan Ahmad Minangkabau. Perkataan ‘Sultan’ dengan ‘Sutan’ mengandungi pengertian yang berbeza. Istilah ‘Sutan’ banyak digunakan pada pangkal nama orang-orang yang berasal dari Minangkabau walaupun mereka tidak memerintah dalam kerajaan.
Yang saya bicarakan pada perenggan ini adalah dipetik dan diringkaskan daripada tulisan Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof. “Setelah belajar di Patani beliau menjadi ulama, digelar orang ‘Tok Saraf’ kerana pakar dalam ilmu tersebut. Imam Hasyim mempunyai tiga anak iaitu Faqih Haji Abdullah, Faqih Ali dan Faqih Deramat. Faqih Haji Abdullah ialah ayah Tok Pulai Chondong. Akhirnya imam Hasyim, anaknya Faqih Haji Abdullah dan Wan Mek pindah ke Kelantan. Selepas imam Hasyim dan keluarganya sampai di Kelantan, mereka membuka perkampungan yang dinamakan Kampung Bukit.
“Imam Hasyim meninggal dunia di Kampung Bukit itu, selanjutnya anak beliau Faqih Haji Abdullah dilantik menjadi imam di situ. Faqih Haji Abdullah apabila meninggal dunia dikebumikan di Kampung Pisang, Perol, Kota Bharu....” Demikianlah diringkaskan daripada kertas kerja Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof.
PENDIDIKAN
Tok Pulai Chondong setelah belajar daripada ayah dan datuknya sendiri menurut pengajian sistem tradisional Patani. Beliau juga pernah belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin al-Fathani. Selanjutnya pergi ke Mekah pada tahun 1223 H/1808 M. Di sana beliau belajar kepada Tuan Guru Haji Adam. Riwayat yang sahih ramai orang menceritakan bahawa Tok Pulai Chondong ialah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Baik masih berada di Pondok Pauh Bok, mahupun setelah di Mekah, beliau bersahabat dengan beberapa orang antaranya ialah Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani (yang kemudian dikenali dengan nama Tuan Hasan Besut). Juga saudaranya Syeikh Wan Ali bin Wan Ishaq al-Fathani. Sewaktu belajar di Mekah, Tok Pulai Chondong juga bersahabat dengan Syeikh Abdul Malik bin Isa Terengganu, Syeikh Wan Musa dan ramai lagi.
Setelah menetap beberapa tahun di Mekah, Tok Pulai Chondong pulang ke Kelantan. Seterusnya Tok Pulai Chondong menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang pengetahuan iaitu usuluddin, fiqh dan tasawuf. Tidak berapa lama di Kelantan, Tok Pulai Chondong berangkat pula ke Mekah dalam tahun 1256 H/1840 M melanjutkan pelajarannya kerana dirasakan bahawa beliau masih perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, Tok Pulai Chondong yang dalam bidang tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar.
Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof menulis bahawa pada tahun tersebut Tok Pulai Chondong pergi ke Mesir menziarahi makam Imam Syafie bersama sahabatnya, Tuan Hasan Besut. Kisah ini merupakan maklumat baru, dan sekali gus menggambarkan persahabatan yang sangat rapat antara Tok Pulai Chondong dengan Tuan Hasan Besut yang terkenal itu.
Masih dalam konteks ini, Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof juga menulis, “ada pendapat lain yang menyatakan bahawa Tok Pulai Chondong telah pergi ke Mekah buat kali kedua pada tahun 1278 H/1861 M bersama anaknya Muhammad Arsyad yang berusia 13 tahun. Pada kali inilah beliau telah mengambil peluang menziarahi kubur Imam Syafie.”
AKTIVITI
Makin bertambah banyak pengetahuannya di bidang tasawuf, makin bertambah kuatlah Tok Pulai Chondong beramal. Sebenarnya memang sejak kecil Tok Pulai Chondong ialah seorang yang memang mempunyai ciri-ciri khusus tentang amalan itu. Pada masa tuanya beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam.
Doa yang paling sering diamalkannya ialah Hizb al-Bahri yang sanadnya bersambung dengan pengamalnya yang mula-mula iaitu Wali Allah Saiyidi Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Hizb al-Bahri telah beliau ijazahkan kepada beberapa muridnya di Mekah.
Antaranya ialah orang Arab bernama Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan. Syeikh Ahmad ad-Dihan mengijazahkan pula kepada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menulis doa tersebut dalam sebuah kitab yang diberi judul Lum'ah al-Aurad. Daripada sini ia tersebar dan banyaklah orang mengamalkan Hizb al-Bahri melalui penerimaan ijazah daripada seorang guru ke seorang guru hinggalah ke hari ini.
Aktiviti Tok Pulai Chondong yang diserlahkan oleh Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof dalam kertas kerjanya antara lain termasuk menjadi pelopor kepada pembangunan Kampung Pulai Chondong apabila beliau membuka penempatan baru yang tidak berjauhan dari Kampung Bukit, iaitu Kampung Bilal Talib.
Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah surau yang akhirnya menjadi sebuah tempat pengajian sistem pondok. Mereka yang belajar ilmu di situ datang dari pelbagai pelosok nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Patani, Terengganu, negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu sendiri dan lain-lain. Pondok Tok Pulai Chondong telah didirikan oleh Tok Pulai Chondong pada tahun 1820.
Berdasarkan tahun berdirinya pondok itu, maka para sejarawan Malaysia berkesimpulan bahawa Pondok Pulai Chondong merupakan pondok terawal di Kelantan.
Setelah Tok Pulai Chondong dilantik menjadi imam di Kampung Bukit dan berhasil membuka Kampung Bilal Talib, Tok Pulai Chondong membina pula masjid. Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof menulis bahawa “kebetulan di pinggir kampung tersebut terdapat sebuah pokok Pulai yang besar lagi condong maka Tok Pulai Chondong mengambil sempena keadaan pokok itu lalu menamakan perkampungan tersebut dan kawasan sekitarnya sebagai Kampung Pulai Chondong."
Walau bagaimanapun, masjid yang dibina tersebut telah terbakar pada 1820 M dan ia kemudian dipindahkan ke Kampung Surau iaitu tempat terletaknya masjid itu pada masa sekarang. Pada tahun 1856, masjid tersebut sekali lagi terbakar dan dengan kerjasama anak-anak mukim tempatan, Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah masjid lain di tepi Sungai Pulai Chondong yang terletak tidak jauh dari tempat terbakarnya masjid tersebut. Masjid yang baru didirikan ini kemudiannya dilengkapkan dengan mimbar, gendang dan menara. Sehingga kini menara Masjid Pulai Chondong masih lagi merupakan objek kemegahan tempatan yang dibina oleh Tok Pulai Chondong pada 1856.
Tok Pulai Chondong juga dilantik oleh Sultan Muhammad II sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan tentang agama Islam. Sumbangan Tok Pulai Chondong yang dapat dilihat selain mengasaskan institusi pendidikan dan pengembangan syiar Islam ialah beliau juga berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil sehingga menjadi masyarakat yang berilmu dan patuh terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya.
KETURUNAN
Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof juga mendokumentasikan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai tiga orang adik-beradik. Mereka ialah Halimah, Abd. Rahman dan Tok Pulai Chondong sendiri. Halimah iaitu yang sulung kahwin dengan orang Kubang Kiat, Kota Bharu dan selepas itu menetap di Labok yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Pulai Chondong.
Di antara tiga adik beradik itu hanya Tok Pulai Chondong yang mewarisi jejak langkah ayah dan datuknya sebagai ulama. Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai empat orang isteri. Nama-nama mereka ialah Mek Mendusa, Bi'ah, Thamani dan Zaleha. Tok Pulai Chondong dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil manakala 12 anak Tok Pulai Chondong terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga perempuan iaitu:
1. Haji Abdul Hamid
2. Haji Abdul Syukur
3. Haji Abdul Aziz
4. Haji Umar
5. Haji Muhammad Said
6. Haji Taib
7. Hajah Siti Mariam
8. Haji Muhammad Arsyad
9. Haji Abdullah
10. Haji Muhammad
11. Hajah Zainab
12. Hajah Ummu Maimunah
Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof mencatatkan pula bahawa hasil perkahwinan Tok Pulai Chondong dengan Thamani memperoleh empat anak iaitu Haji Taib, Haji Abdul Syukur, Haji Muhammad Arsyad dan Haji Abdul Aziz. Anak-anak Tok Pulai Chondong yang lain tidak dapat diketahui daripada isteri-isteri beliau yang mana.
Oleh: Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah (Allahyarham)
DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.
. Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.
. Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).
. Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.
. Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.
. Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.
. Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.
. Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.
. Pendidikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan 'Saiyid'. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.
. Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).
. Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.
. Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama 'Wan' pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga 'al-Aidrus'.
. Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga 'al-Aidrus'. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.
. Perjuangan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.
. Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.
. Katanya: "Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan".
. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.
. "Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun." (Ulama Terengganu, hlm. 184)
Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.
. Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.
. Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
. Penulisan Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain' adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul 'Dhiya' 'Uqud ad-Durratain', ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, "Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus...."
. Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, "Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M)."
. Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani. Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.
. Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul 'Ma'arij al-Lahfan'. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan. Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.
. Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah. Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab 'Nazam Kanz al-Ula' karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.
Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam Agamaku, Al-Quran Imamku, Kaabah Kiblatku, Solat Kewajipanku, Sekelian Muslimin Saudaraku dan Ibrahim Al-Khalil Datukku. Aku hidup dan mati atas kalimah 'LAA ILAHA ILLALLAH'