Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


31 Disember 2009

MARTABAT TAKWIM HIJRAH (HARIAN METRO, 18/12/09)


JIKA ditanya tarikh bulan Islam, ramai yang menjawab tergagap-gagap. Jika tahu pun, kemungkinan hari itu jatuh pada hari kebesaran Islam seperti Aidilfitri (1 Syawal), Aidiladha (10 Zulhijjah), Maulidur Rasul (12 Rabiulawal) dan Awal Muharam (1 Muharam). Kita terpaksa mengakui ramai lebih tahu kalendar masihi berbanding bulan Islam disebabkan terlalu mengagung-agungkan bulan terbabit berbanding bulan Islam.

Justeru, amat sesuai tarikh hari ini (1 Muharam 1431 hijrah) iaitu tahun baru dalam kalendar Islam kita meningkatkan kesedaran serta penghayatan terhadap taqwim hijrah. Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorang pun mahu mahu terus berada dalam kepayahan.

Sempena kehadiran bulan Muharam, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad SAW, bermula dari kota Makkah ke Madinah. Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad SAW. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam. Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.

Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "...(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar." (Surah al-Hasyr ayat 8).

Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Makkah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, meminum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.

Justeru, Rasulullah SAW melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia (sirr) dan terbuka. Maka bermula penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai bentuk penindasan serta perpecahan di antara penduduk Makkah. Kebangkitan Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.

Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka turut mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat. Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah.

Apabila umat Islam memiliki kesungguhan untuk mengubah diri mereka, Allah pasti memberikan pertolongan terhadap hamba-Nya. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad ayat 7).

Penghijrahan Rasulullah SAW itu akhirnya membuahkan hasil apabila mengubah segala pengalaman lampau seperti permusuhan, kejahilan serta kemunduran kepada penyatuan persaudaraan, masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi serta rancak dengan limpahan kemajuan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan, orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Hasyr ayat 9).

Namun, di sebalik kesukaran berhijrah, ia memberi pengajaran mendalam kepada umat Islam. Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad SAW adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Baginda seterusnya mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam. Nama Yathrib ditukar kepada Madinah al-Munawwarah yang bermaksud bandar yang bercahaya serta memeterai piagam Madinah.

Nabi Muhammad SAW menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkukuhkan tahap keselamatan negara. Keadaan inilah yang dimanfaatkan Rasulullah SAW dan sahabat r.a. mengerah usaha menyeru manusia kepada Islam sehingga akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia. Saidina Umar r.a mengungkapkan kata yang bermaksud: "Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini."

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata tahun hijrah dipilih tahun permulaan Islam berdasarkan strategi serta perancangan hebat peristiwa itu. "Kenapa tidak dipilih hari kebesaran Islam lain sebagai tahun permulaan hijrah? Ini disebabkan peristiwa hijrah lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam Makkah yang sanggup menggadai nyawa, meninggalkan segala harta benda untuk mencari keredaan Allah. Kemudian peristiwa hijrah ini menarik bukan kerana ia sarat dengan sejarahnya tetapi dengan 'pelancaran' strategi yang bijak serta terancang," katanya.

Katanya, umat Islam jangan menjadikan peristiwa hijrah ini satu catatan sejarah saja tanpa mengambil inti patinya. "Peristiwa hijrah ini membuktikan Nabi Muhammad sanggup bersama-sama berkorban mengharungi kepayahan. Jika diikutkan statusnya sebagai kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW boleh membuat 'permintaan khas' bagi melakukan tugas sukar itu dengan mudah. Ini dibuktikan dalam peristiwa Isra' bagaimana Nabi Muhammad naik ke langit dengan menunggang binatang digelar Buraq," katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu mempunyai simbolik terhadap kerjasama erat antara umat Islam dan bukan Islam. "Ini dikaitkan dengan pembabitan Abdullah bin Arqat yang menjadi penunjuk jalan dalam perjalanan bertolak ke Madinah. Jalan yang dilalui pula bukan jalan biasa kerana Abdullah memang mahir selok belok laluan berkenaan bagi mengelak dihidu kafir Quraisy yang sentiasa meneliti pergerakan Nabi Muhammad SAW," katanya.

Biarpun beribu bertahun lamanya peristiwa itu, ia tetap dikenang umat Islam sebagai bukti kejayaan. Jangan bangga dengan nama Islam tetapi tidak menjiwai watak sebenar seorang Muslim sejati. Jadikan roh kejayaan Nabi Muhammad SAW pada tahun hijrah ini sebagai detik bermulanya 'perjuangan' yang tidak ada penghujungnya, iaitu perubahan seluruh jiwa ke arah kebaikan.


27 Disember 2009

KEIKHLASAN: HINDARI RIYA' DAN SUM'AH DALAM IBADAH


Alfaqieh Abul-Laits berkata: "Telah menerangkan kepada kami Muhammad bin Alfadhel bin Ahnaf berkata: "Telah menerang kepada kami Muhammad bin Ja'far Alkaraabisi ia berkata : "Telah menerang kepada kami Ibrahim bin Yusuf ia berkata: "Telah menerang kepada kami Ismail bin Ja'far, dari Amr Maula Al-Muthalib dari Ashim dan Muhammad bin Labied berkata: Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: "Yang sangat saya khuatirkan atas kamu ialah syirik yang terkecil." Sahabat bertanya: "Ya Rasullullah, apakah syirik yang kecil itu?" Nabi Muhammad SAW menjawab: "Riya'. Pada hari pembalasan kelak Allah s.w.t. berkata kepada mereka : "Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka di dunia, lihatlah di sana kalau-kalau kamu mendapatkan kebaikan dari mereka."

Riya' ialah beramal untuk dilihat orang, dipuji apabila dilihat orang, Abul Laits berkata: "Dikatakan pada mereka sedemikian itu kerana amal perbuatan mereka ketika didunia secara tipuan, maka dibalas demikian."

Allah SWT membalas cara tipuan mereka itu dan membatalkan semua amal perbuatan mereka itu, "kerana kamu dahulu tidak beramal untukKu maka pembalasan amalmu itu tidak ada padaKu", sebab tiap amal yang tidak ikhlas kepada Allah SWT, maka tidak sampai kepadaNya, kerana itu tiap amal yang dikerjakan tidak kerana Allah SWT dan kerana lainNya, maka Allah SWT berlepas tangan daripadanya.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata, dari Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: "Allah SWT telah berfirman: "Akulah yang terkaya dari semua sekutu, Aku tidak berhajat kepada amal yang dipersekutukan yang lain-lain, maka siapa beramal lalu mempersekutukan kepada lain-lainKu, maka Aku lepas bebas dari amal itu."

Hadis ini sebagai dalil bahawa Allah sSWT tidak menerima amalan kecuali yang ikhlas kepadaNya, maka jika tidak ikhlas, tidak diterima dan tidak ada pahalanya, bahkan tempatnya tetap dalam neraka jahannam, sebagaimana tersebut dalam ayat 18 surah Al-Israa: "Siapa yang menginginkan dunia dengan amalnya, Kami berikan kepadanya dari kekayaan dunia bagi siapa Kami kehendaki kebinasaannya, kemudian Kami masukkan ia ke dalam neraka jahannam sebagai orang terhina dan terusir jauh dari rahmat Allah (18). Dan siapa yang menginginkan akhirat dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, dan disertai iman, maka usaha amal mereka itulah yang terpuji (diterima) (19). Masing-masing dari dua golongan Kami beri rezki, dan pemberian Tuhanmu tidak terhalang (20)."

Dari ayat keterangan ini nyatalah bahawa yang beramal kerana Allah SWT maka akan diterima sedang yang beramal tidak kerana Allah SWT tidak akan diterima dan hanya lelah dan sia-sia semata-mata, sebagaimana dinyatakan dalam hadis: Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda: "Adakalanya orang puasa dan tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan haus, dan ada kalanya orang bangun malam dan tidak mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali tidak tidur semata-mata, yakni tidak mendapat pahala dari amalnya."

Seorang ahli hikmah berkata: "Contoh orang yang beramal dengan riya' atau sum'ah itu bagaikan orang yang keluar kepasar dan mengisi poketnya dengan batu, sehinggakan orang melihat poketnya semua berasa kagum dan berkata: "Alangkah penuhnya poket wang orang itu.", tetapi sebenarnya dia sama sekali tidak berguna sebab tidak dapat dibeli apa-apa tetapi hanya sekadar mendapat pujian orang sahaja. Demikianlah pula orang yang beramal dengan riya' sum'ah, tidak ada pahalanya di akhirat kelak." Sebagaimana firman Allah SWT: "Dan Kami periksa semua amal perbuatan mereka, lalu Kami jadikan debu yang berterbangan."

Waki' meriwayatkan dari Sufyan Ats-Tsauri dari orang yang mendengar Mujahid berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: Ya Rasullullah, saya bersedekah mengharapkan keredhaan Allah SWT dan ingin juga disebut dengan baik." Maka turunlah ayat 111 Surah al-Kahfi: "Maka siapa yang benar-benar mengharap akan bertemu dengan Tuhannya, maka hendaklah berbuat amal yang baik, dan jangan mempersekutukan Allah dalam semua ibadatnya dengan sesiapa."

Seorang pujangga berkata: "Siapa yang berbuat tanpa tujuan, tidak berguna perbuatannya. Siapa yang takut tanpa hati-hati, maka tidak berguna takut itu, seperti berkata: "Saya takut kepada siksaan Allah SWT tetapi tidak berhati-hati dari dosa, maka tidak berguna takutnya itu. Siapa yang mengharapkan tanpa amal seperti mengharapkan pahala dari Allah SWT tetapi tidak beramal, maka tidak berguna harapannya itu. Siapa yang niat tanpa perlaksanaan, niat yang berbuat kebaikan tetapi tidak melaksanakan akan tidak berguna niatnya itu. Siapa berdoa tanpa usaha, seperti berdoa semoga mendapat taufiq untuk kebaikan, tetapi tidak berusaha untuk kebaikan. Siapa yang beristigfar tanpa penyesalan, maka tidak akan berguna istigfarnya itu. Siapa yang tidak menyesuaikan lahir dengan batiniahnya, seperti lahirnya untuk berbuat kebaikan tetapi hati tidak ikhlas. Siapa yang amal tanpa ikhlas maka tidak akan berguna amal perbuatannya."

Abu Hurairah berkata: Nabi Muhammad SAW bersabda: "Akan keluar pada akhir zaman suatu kaum (golongan) yang mencari dunia dengan menjual agama, memakai pakaian bulu domba, lidah mereka lebih manis dari madu sedang hati mereka bagaikan serigala. Allah akan berfirman kepada mereka: "Apakah terhadapKu mereka bermain-main dan melawan, dengan kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka fitnah ujian bala sehingga seorang yang berakal tenang akan bingung."

Abdullah bin Al-Mubarak meriwayatkan dari Abu Bakar bin Maryam dari Dhomiroh dari Abu Habib berkata: Rasullullah SAW bersabda: "Adakalanya para Malaikat membawa amal seorang hamba dan mereka anggap banyak dan mereka menyanjungnya sehingga sampai ke hadrat Allah, maka Allah berfirman kepada mereka: "Kamu hanya mencatat amal hambuku, sedang Aku mengawasi isi dan niat hatinya, hambaku ii tidak ikhlas kepadaKu dan amalnya, maka catatlah dalam sijjin (neraka)", dan ada kalanya membawa naik amal hamba lalu mereka menganggap sedikit dan kecil sehingga sampai kehadapan Allah, maka Allah berfirman kepada para Malaikat: "Kamu mencatat amal perbuatan hambaKu dan Aku mengawasi isi hati dan niatnya, orang ini benar-benar ikhlas dalam amal perbuatannya kepadaKu, catatlah amalnya itu dalam illiyin (syurga)."

Dengan ini nyatalah bahawa amal yang sedikit dengan ikhlas lebih baik daripada yang banyak jika tidak ikhlas, sebab amal yang diterima oleh Allah SWT dilipatgandakan pahalanya. Adapun yang tidak ikhlas maka tidak ada pahalanya, bahkan tempatnya di dalam neraka jahannam.

Wallahua'lam.

21 Disember 2009

BILAL BERCERITA MENGENAI RASULULLAH S.A.W.


Bilal bin Rabah r.a. telah ditanya mengenai perbelanjaan Rasulullah SAW. Dia menjawab: "Baginda SAW tidak pernah menyimpan sesuatu untuk kegunaan pada masa depan. Sayalah yang menguruskan wang bagi pihaknya. Apabila datang seorang fakir yang sedang menderita kelaparan, orang itu akan diserahkannya kepada saya. Saya pun akan memenuhi keperluan orang itu dengan meminjamkan wang."

Pada suatu hari datang seorang musyrik lalu berkata: "Wang saya terlampau banyak. Kalau kamu berkehendakkan wang, datanglah berjumpa dengan saya. Janganlah meminjam dari orang lain."

Saya berasa gembira dengan tawaran ini. Saya pun mulai meminjam wangnya untuk memenuhi keperluan Rasulullah SAW. Pada suatu hari selepas mengambil wuduk, saya sedang bersiap-siap untuk azan, tiba-tiba datang orang musyrik itu diikuti oleh beberapa orang lain. Dia memekik-mekik memanggil saya, apabila saya mendapatkannya, dia telah mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap saya.

Katanya: "Ada beberapa hari lagi dalam bulan ini?" Saya menjawab: "Bulan ini hampir genap." Dengan marahnya dia berkata: "Ada empat hari lagi untuk kamu menyelesaikan hutang-hutang kamu. Kalau kamu gagal menjelaskannya, aku akan jadikan kamu hambaku dan kamu terpaksa mengembala kambing seperti dahulu." Kemudian dia pun meninggalkan saya.

Saya merasa sangat dukacita. Selepas sembahyang Isyak, apabila Rasulullah SAW duduk berseorangan, saya pun mendekati Baginda. Kata saya: "Ya Rasulullah, Tuan tidak mempunyai sesuatu apa pun dan saya pula tidak dapat menguruskan pinjaman serta merta. Saya rasa si-musyrik itu akan memalukan saya. Oleh itu saya akan pergi dari sini sehingga saya mendapat wang untuk menjelaskan hutang saya itu."

Sekembali saya ke rumah, saya mengemaskan pedang, perisai dan kasut kepunyaan saya kerana bersiap-siap untuk berpergian pada pagi esoknya. Hampir-hampir waktu Subuh, datang seorang utusan Rasulullah SAW sambil berkata: "Lekas, Rasulullah SAW ingin berjumpa dengan engkau." Saya pun segeralah berangkat ke masjid.

Di sana saya dapati empat ekor unta yang sarat dengan bebanan. Kata Rasulullah SAW: "Ada berita gembira, wahai Bilal. Allah SWT telah menyampaikan pengurniaanNya untuk menjelaskan hutangmu. Ambillah unta-unta ini serta muatan mereka. Barang-barang ini telah dihantar kemari sebagai hadiah untukku oleh puak Fidak."

Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT lalu menjelaskan semua hutang saya. Apabila saya balik ke masjid, saya berkata kepada Rasulullah SAW: "Alhamdulillah, hutang saya telah pun dijelaskan, ya Rasulullah." Baginda bertanya sama ada masih ada yang tertinggal dan saya menjawab: "Ya, Rasulullah." Baginda meminta saya menghabiskannya dan Baginda mengatakan yang Baginda tidak akan pulang ke rumah selagi barang tersebut masih ada.

Saya pun pergilah untuk membahagi-bahagikan baki barang-barang yang masih tinggal kepada fakir miskin. Selepas Isyak, Rasulullah SAW bertanya kalau-kalau masih ada lagi barang-barang itu. Saya menjawab mengatakan bahawa tidak ada lagi kerana terdapat ramai fakir miskin untuk dibahagi-bahagikan barang-barang tersebut. Pada malam itu, Rasulullah SAW tidur di masjid.

Keesokannya, selepas Isyak, Rasulullah SAW bertanya lagi tentang berang-barang itu. Saya berkata: "Ya, Allah telah memberkati Tuan dengan ketenteraman jiwa. Semua barang-barang itu telah saya habiskan." Rasulullah SAW pun memuji-muji Allah SWT. Pada malam itu, barulah Baginda pulang ke rumah. Rasulullah SAW tidak suka menghadapi maut selagi ada harta kekayaan ditangannya.

.

18 Disember 2009

ORANG BERIMAN MULIAKAN TETAMU (HARIAN METRO, 18/12/09)


SETIAP individu pasti pernah didatangi tetamu. Tetamu yang datang berkunjung ke rumah pastinya dengan hajat dan keperluan tertentu. Islam amat menitikberatkan hubungan antara sesama manusia. Justeru, sejak daripada awal Islam menggariskan adab bagi memuliakan tetamu ke rumah.

Tetamu yang datang adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab ke atas tetamu selama berada di rumahnya serta wajib menafkahkan sebahagian rezekinya buat tetamu itu. Dengan menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya, ia menjadikan seseorang Muslim itu memiliki iman yang sempurna apatah lagi tetamu itu saudara seagama. Namun, tetamu bukan Islam turut mendapat layanan yang sama daripada tuan rumah beragama Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim).

Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim AS adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.

Allah SWT merakamkan perihal Nabi Ibrahim AS ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).

Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Bukhari).

Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:

- Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis

- Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik.

- Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu.

- Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu.

- Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah.

- Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah.

- Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqaan, ayat 67).

Rasulullah SAW bersabda: "Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Keadaan ini adalah bagi mengelak perasaan terbeban tuan rumah. Amalan yang pada awalnya dikira sebagai amalan yang mulia, tetapi jika ia berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, ia dikhuatiri akan menimbulkan suasana tidak selesa malah boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Dalam konteks yang lebih besar lagi, rakyat sebuah negara yang diiktiraf sebagai antara negara Islam contoh, seharusnya kita rakyat Malaysia sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada khalayak yang berkunjung ke negara ini.

Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang di negara ini. Sifat ringan mulut memberi bantuan apabila diajukan soalan oleh tetamu negara dan disertakan dengan senyuman adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah SWT, menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut tuntutan Islam.
.

17 Disember 2009

AL-GHAZALI: 10 SIFAT MAHMUDAH & 10 SIFAT MAZMUMAH


Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela.

Ilmu tasauf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah. Antara syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainnah ialah banyak bersabar serta banyak melalui penderitaan.

Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah (Terpuji) di dalam kitab 'Arbain Fi Usuluddin' iaitu:

1) Taubat

2) Khauf (Takut)

3) Zuhud

4) Sabar

5) Syukur

6) Ikhlas

7) Tawakkal

8) Mahabbah (Kasih Sayang)

9) Redha

10) Zikrul Maut (Mengingati Mati)

Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah (Tercela) di dalam kitab tersebut iaitu:

1) Banyak Makan

2) Banyak Bercakap

3) Marah

4) Hasad

5) Bakhil

6) Cintakan Kemegahan

7) Cintakan Dunia

8) Bangga Diri

9) Ujub (Hairan Diri).

10) Riya' (Menunjuk-nunjuk).

Semoga Allah SWT menggantikan sifat Mazmumah dalam diri kita dengan sifat Mahmudah. Amein...

13 Disember 2009

KISAH NABI MUSA A.S. DAN QARUN


Qarun adalah seorang dari umat Nabi Musa AS dan mempunyai pertalian kekeluargaan dengan baginda. Ia dikurniakan oleh Allah SWT kelapangan rezeki dan kekayaan harta benda yang tidak ternilai banyaknya. Dia hidup mewah, selalu beruntung dalam usahanya mengumpulkan kekayaan, sehingga hartabendanya bertimbun-timbun sehinggakan para pembawa kunci hartanya tidak berdaya membawa atau memikul kunci-kunci peti khazanahnya kerana terlalu banyak dan berat.

Qarun hidup mewah dan menonjol di dalam masyarakatnya. Segala-gala tentangnya adalah luar biasa dan lain dari yang lain. Mahligai-mahligai tempat tinggalnya, pakaiannya sehari-hari, pelayan-pelayannya serta hamba-hamba sahayanya melebihi keperluannya. Namun begitu, dia masih merasa belum puas dengan kekayaan yang dimilikinya dan sentiasa berusaha untuk menambahkan hartanya, sifat manusia yang haloba yang tidak pernah puas dengan apa yang sudah dicapai. Jika ia sudah memiliki segantang emas ia ingin memperolehi segantang yang kedua dan demikianlah seterusnya.

Sebagaimana halnya dengan kebanyakan orang-orang kaya yang telah dimabukkan oleh harta bendanya, Qarun tidak sedikit pun merasa bahawa dia mempunyai kewajiban terhadap fakir miskin dengan harta kekayaannya itu. Dalam hidupnya, ia hanya memikirkan kesenangan dan kesejahteraan peribadinya, memikirkan bagaimana ia dapat menambahkan lagi kekayaannya yang sudah melimpah ruah itu.

Qarun telah dinasihatkan oleh pemimpin-pemimpin kaumnya agar menyumbangkan sebahagian daripada kekayaannya bagi menolong fakir miskin dan orang-orang yang tidak berpakaian dan kelaparan. Beliau telah diperingatkan bahawa kekayaan yang diperolehi itu adalah kurniaan dari Tuhan semata-mata yang wajib disyukuri dengan melakukan amal kebajikan terhadap sesama manusia dan meringankan penderitaan fakir miskin dan orang-orang yang ditimpa musibah. Diperingatkan kepadanya bahawa Allah SWT yang telah memberinya rezeki yang banyak itu, dapat pula menarik semula nikmat kesenangan apabila kewajipannya terhadap masyarakat diabaikan.

Nasihat yang baik dan peringatan yang jujur oleh pemimpin-pemimpin kaumnya itu tidak diendahkan oleh Qarun, malah tidak mendapat tempat di dalam hatinya. Bahkan ia merasa bahawa kekayaannya menjadikannya pemberi nasihat dan bukan penerima nasihat. Orangramai harus tunduk kepadanya, mematuhi perintahnya, mengiakan kata-katanya serta membenarkan segala tindak tanduknya.

Qarun menyombongkan diri dengan mengatakan kepada orang-orang yang memberikan nasihat bahawa kekayaan yang beliau miliki adalah semata-mata hasil jerih payahnya dan hasil kecekapan dan kepandaiannya berusaha dan bukan merupakan kurniaan atau pemberian dari sesiapapun. Oleh itu, ia bebas menggunakan harta kekayaannya sekehendaknya dan tidak merasa terikat oleh kewajipan sosial untuk membantu golongan yang memerlukan. Sebagai tentangan bagi para orang yang menasihatinya, Qarun makin meningkatkan cara hidup mewahnya dan sengaja menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan berlebih-lebihan.

Apabila ia keluar, ia mengenakan pakaian dan perhiasan yang bergemerlapan, membawa pembantu yang ramai dari kebiasaannya dan menunggang kuda-kuda yang dihiasi dengan indah. Kemewahan yang ditonjolkan itu, menjadikan ramai orang iri hati terhadapnya terutama mereka yang masih lemah imannya. Mereka berbisik-bisik di antara sesama mereka, mengeluh dengan berkata: “Mengapa kami tidak diberi rezeki dan kenikmatan seperti yang telah diberikan kepada Qarun? Alangkah mujurnya nasib Qarun dan alangkah bahagianya dia dalam hidupnya di dunia ini! Dan mengapa Tuhan melimpahkan kekayaan yang besar itu kepada Qarun yang tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang melarat dan sengsara, orang-orang yang fakir dan miskin yang memerlukan pertolongan berupa pakaian mahupun makanan. Dimanakah letak keadilan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih itu?” Qarun yang tidak mempedulikan nasihat agar bersedekah akhirnya didatangi oleh Nabi Musa AS yang menyampaikan kepadanya bahawa Allah SWT telah mewahyukan perintah berzakat bagi tiap-tiap orang yang kaya dan berada.

Diterangkan oleh Nabi Musa AS kepadanya bahawa di dalam harta kekayaan, ada bahagian yang telah ditentukan oleh Tuhan sebagai hak fakir miskin yang wajib diserahkan kepada mereka. Qarun merasa jengkel untuk menerima perintah wajib berzakat itu dan menyatakan keraguan dan kesangsian terhadap Nabi Musa AS. Ia berkata: “Hai Musa, kami telah membantumu dan menyokongmu dalam dakwahmu kepada agama barumu. Kami telah menuruti segala perintahmu dan mendengarkan segala kata-katamu. Sikap kami yang lunak itu terhadap dirimu telah memberanikan engkau bartindak lebih jauh dari apa yang sepatutnya dan mulailah engkau ingin meraih harta benda kami. Engkau rupanya ingin juga menguasai harta kekayaan kami setelah kami serahkan kepadamu hati dan fikiran kami sebulat-bulatnya. Dengan perintah wajib zakatmu ini engkau telah membuka topengmu dan menunjukkan dustamu dan bahawa engkau hanya seorang pendusta dan ahli sihir belaka.”

Tuduhan Qarun yang ingin melepaskan dirinya dari kewajipan berzakat itu ditolak oleh Nabi Musa AS yang menegaskan bahawa kewajipan berzakat itu mesti dilaksanakan kerana ia adalah perintah Allah yang wajib ditaati. Qarun tidak dapat mengelakkan diri dari kewajiban zakat itu setelah berbantah dan berdebat dengan Musa, maka ia menyerah dan ditentukan berapa besar zakat yang harus dikeluarkan dari harta kekayaannya.

Setelah tiba di kediamannya, ia menghitung-hitung bahagian yang harus dizakatkan dari harta miliknya. Qarun merasa jumlah yang harus dizakatkan terlalu besar dan merasa sayang untuk mengeluarkan dari khazanahnya sejumlah wang tanpa memperolehi sesuatu keuntungan dan laba sebagai pulangan. Akhirnya Qarun mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan zakat walau apapun yang akan terjadi akibat tindakannya itu. Untuk menguatkan pemboikotannya terhadap kewajiban mengeluarkan zakat, Qarun menyebarkan fitnah terhadap Nabi Musa AS dengan mengajak orang ramai agar menentang perintah mengeluarkan zakat sebagaimana diperintahkan oleh Nabi Musa AS.

Ia menyebarkan fitnah seolah-olah Nabi Musa AS dengan dakwahnya dan penyiaran agama barunya bertujuan ingin memperkayakan diri dan bahawa perintah zakatnya itu adalah merupakan cara perampasan yang halus terhadap milik-milik para pengikutnya. Lebih jahat lagi untuk menjatuhkan Nabi Musa AS dan kewibawaannya, Qarun berpakat dengan seorang wanita agar mengaku di depan umum bahawa ia telah melakukan perbuatan zina dengan Nabi Musa AS. Akan tetapi Allah SWT tidak rela RasulNya difitnah oleh tuduhan palsu yang diaturkan oleh Qarun itu. Maka digerakkanlah hati wanita tersebut untuk menyatakan keadaan yang sebenar dan bahawa apa yang ia tuduhkan kepada Nabi Musa AS adalah fitnah Qarun semata-mata dan bahawasanya Nabi Musa AS adalah bersih dari perbuatan yang dituduh itu.

Nyatalah bagi Nabi Musa AS bahawa Qarun berniat tidak baik dan tidak dapat diharapkan untuk menjadi pengikut yang soleh yang mematuhi perintah Allah terutama perintah wajib zakat bahkan ia dapat merosakkan akhlak dan iman para pengikut Musa dengan sikap dan cara hidupnya yang berlebih-lebihan. Tambahan pula, Qarun sentiasa berusaha untuk merosakkan kewibawaan Nabi Musa AS dengan melontarkan fitnah serta berbagai hasutan. Akhirnya, Nabi Musa berdoa kepada Allah SWT agar menurunkan azab ke atas diri Qarun yang sombong dan bongkak itu, agar menjadi pengajaran bagi kaumnya yang sudah mulai goyah imannya melihat kenikmatan yang berlimpah-limpah yang telah Allah kurniakan kepada Qarun. Maka dengan izin Allah SWT, maka terjadilah tanah runtuh yang dahsyat di atas mana terletak bangunan yang mewah tempat tinggal Qarun dan gedung-gedung harta kekayaannya. Terbenamlah ketika itu juga Qarun hidup-hidup beserta semua harta kekayaan yang menjadi kebanggaannya.

Peristiwa yang menimpa Qarun dan harta kekayaannya itu menjadi contoh bagi pengikut-pengikut Nabi Musa AS serta ubat rohani bagi mereka yang iri hati dan menginginkan kenikmatan dan kemewahan hidup sebagaimana yang telah dimiliki oleh Qarun. Mereka berkata seraya bersyukur kepada Allah: “Sekiranya Allah telah melimpahkan rahmat dan kurniaNya, niscaya kami dibenamkan pula seperti Qarun yang selalu kami inginkan kedudukan duniawinya. Sesungguhnya kami telah tersesat ketika kami beriri hati dan menginginkan kekayaannya yang membawa binasa baginya. Aduhai benar-benar tidaklah beruntung orang-orang yang mengingkari nikmat Allah.”

Cerita di atas terdapat dalam surah “Qashash” ayat 76 sehingga 82 dan surah “Al-Ahzab” ayat 69. Wallahua'lam.

09 Disember 2009

HAK ANAK TERHADAP IBUBAPA


Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Hak anak yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa ada tiga iaitu: Memilihkan nama yang baik ketika lahir; Mengajari kitab Allah SWT (Memberi didikan agama); Harus dikahwinkan jika telah dewasa."
.
Seorang datang kepada Saidina Umar r.a. lalu berkata: "Puteraku ini durhaka kepadaku." Maka Umar r.a. berkata kepada anak lelaki itu: "Apakah kau tidak takut kepada Allah SWT? Engkau telah berbuat durhaka terhadap ayahmu, engkau tahu kewajipan anak untuk orang tuanya ......(begini dan begitu)." Lalu anak itu bertanya: "Ya Amirul Mukminin, apakah anak itu tidak berhak terhadap ayahnya?" Jawab Umar: "Ada hak yakni harus memilihkan ibu yang bangsawan, jangan sampai tercela kerana ibunya, harus memberi nama yang baik, harus mengajari kitab Allah SWT." Maka berkata anak itu: "Demi Allah, dia tidak memilihkan untukku ibuku, dia membeli budak wanita dengan harga 400 dirham dan itu ibuku, dia tidak memberi nama yang baik untukku, saya dinamai kelawar jantan dan saya tidak diajari kitab Allah SWT walau satu ayat." Maka Umar r.a. menoleh kepada ayahnya dan berkata: "Engkau telah durhaka kepada anakmu sebelum ia durhaka kepadamu. Pergilah engkau dari sini!"
.
Abul Laits berkata: "Saya telah mendengar ayahku bercerita dari Abu Hafsh Alyaskandi seorang ulama di Samarqand ketika didatangi oleh seorang yang mengeluh kerana dipukul oleh anaknya hingga sakit. Abu Hafsh berkata: "SubhanAllah, apakah ada anak yang memukul ayahnya?" Jawab lelaki itu: "Benar, saya dipukul hingga sakit." Lalu ditanya: "Apakah kau tidak mendidik anakmu dengan adab dan sopan?" Jawab lelaki itu: "Tidak." "Apakah sudah diajari Al-Quran?" ditanya lagi. Jawab lelaki itu: "Tidak." "Lalu apakah pekerjaan anak mu itu?" "Anakku itu bertani," jawab lelaki itu. Abi Hafsh berkata: "Engkau tahu mengapakah dia memukul engkau?" Jawabnya: "Tidak." Abu Hafsh berkata: "Mungkin ketika ia sedang di atas himar menuju ke sawah ladang menyanyi dan bersiul sedang di kanan kirinya kerbau dan lembu dan di belakangnya anjing, tiba-tiba engkau menegur padanya, kerana ia mengira engkau itu lembu sedang mengganggu maka ia memukul engkau, sungguh beruntung dan ucapkan Alhamdulillah kerana ia tidak memukul kepalamu."
.
Tsabit Al-Bunani berkata: "Ada seorang memukul ayahnya di suatu tempat dan ketika anak itu ditegur orang-orang: "Mengapakah sedemikian?" Jawab ayahnya: "Biarlah ia kerana saya dahulu telah memukul ayahku di tempat ini, maka kini aku dibalas anakku memukul aku di tempat ini, semoga ini menjadi tebusan itu dan ia tidak dapat disalahkan."
.
Ahli Hikmah berkata: "Siapa durhaka terhadap kedua ibu bapanya, maka tidak terasa kesenangan dari anaknya. Dan siapa tidak bermesyuarat dalam urusan-urusannya tidak tercapai hajatnya dan siapa yang tidak mengalah kepada keluarganya (isterinya) maka akan hilang kesenangan hidupnya."

Asysya'bi meriwayatkan dari Nabi Muhammad SAW bersabda: "Allah akan merahmati kepada ayah yang membantu anaknya untuk berbakti taat kepadanya, yakni tidak menyuruh sesuatu yang dikhuatiri anak itu tidak dapat melaksanakannya."
.
Al-Fudhail bin Iyadh berkata: "Orang yang sempurna kemanusiaannya iaitu yang taat kepada kedua ayah ibunya, dan menghubungi kerabatnya dan hormat pada kawan-kawannya dan baik budinya kepada keluarga dan anak-anaknya serta pelayan-pelayannya dan menjaga agamanya dan memperbaiki harta kekayaannya dan menyedekahkan kelebihan hartanya dan memelihara lidahnya dan tetap tinggal di rumahnya (yakni tekun dalam ibadat kepada Tuhannya) dan amal pekerjaannya dan tidak berkumpul dengan orang-orang yang suka membicarakan hal orang lain."
.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Empat macam sebagai syarat kebahagiaan seseorang iaitu jika isterinya solehah, anak-anaknya taat, kawan-kawannya orang-orang yang soleh dan penghasilan rezekinya di dalam negerinya."
.
Yazid Arraqqasyi meriwayatkan dari Anas r.a. berkata: "Tujuh macam yang dapat diterima pahala sampai sesudah matinya iaitu: Siapa yang membangunkan masjid maka tetap mendapat pahalanya selama ada orang sembahyang di dalamnya; Siapa yang mengalirkan air sungai, selama ada yang minum daripadanya; Siapa yang menulis mushaf, ia mendapat pahala selama ada orang yang membacanya; Orang yang menggali perigi, selama masih ada orang menggunakan airnya; Siapa yang menanam tanaman, selama dimakan oleh orang atau burung; Siapa yang mengajar ilmu yang berguna, selama dikerjakan oleh orang yang mempelajarinya; Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mendoakan dan membaca istighfar baginya, yakni jika mendapat anak lalu diajari ilmu dan Al-Quran, maka ayahnya akan mendapat pahalanya selama anak itu melakukan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri, sebaliknya jika dibiasakan berbuat maksiat, fasik maka ia mendapat dosanya tanpa mengurangi dosa orang yang berbuat sendiri."

Sebagaimana riwayat Abu Hurairah r.a. berkata: "Nabi Muhammad SAW bersabda: "Jika telah mati anak Adam, maka terhenti amalnya kecuali tiga macam iaitu Sedekah yang berjalan terus; Ilmu yang berguna dan diamalkan; Anak yang soleh yang mendoakan kebaikan baginya."

Wallahua'lam.
.

05 Disember 2009

PERIBADI MULIA SAIDINA UMAR R.A.

Saidina Umar Al-Khattab r.a. sering memegang sehelai jerami sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku dapat menjadi jerami seperti ini." Kadang-kala dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak dilahirkan oleh ibuku!"
.
Pada suatu ketika, Umar sedang sibuk dengan urusan yang penting. Tiba-tiba datang satu hamba Allah dengan satu pengaduan menuntut pembelaan. Umar memukul orang itu di bahagian bahunya. Umar berkata: "Bila aku duduk hendak menerima pengaduan engkau tidak datang tetapi bila aku sibuk dengan urusan penting engkau datang mengganggu aku." Tanpa berkata apa-apa, orang itu pun meninggalkan Umar. Sejurus kemudian dia dibawa kehadapan Umar sekali lagi. Sambil mengunjukkan cemeti tadi padanya Umar berkata: "Pukullah aku sebagai membalas perbuatan tadi." Kata orang tersebut: "Saya memaafkan anda kerana Allah SWT."
.
Kekesalan Saidina Umar tidak dapat dibayangkan. Dengan cepat dia kembali ke rumahnya lalu mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Dia mengkritik dirinya sendiri seperti berikut: "Wahai Umar, dahulu kedudukanmu rendah tetapi kini telah ditinggikan oleh Allah SWT. Dahulu kamu sesat tetapi kini telah dipimpin oleh Allah SWT dan Dia telah memberi kamu kuasa ke atas hamba-hambaNya. Apabila salah seorang daripada mereka datang untuk mendapat keadilan ia dipukul dan disakiti. Apakah alasan yang hendak kamu berikan di hadapan Allah SWT?"
.
Soalan ini dihadapkan kepada dirinya bukan sekali malah beberapa kali. Pada suatu malam, Saidina Umar sedang meronda di suatu tempat di sekitar kota Madinah dengan hambanya Aslam. Tiba-tiba kelihatan cahaya api tidak jauh dari tempat mereka berada. Dia berkata: "Nun ditengah-tengah padang pasir nampaknya ada khemah, mungkin kepunyaan suatu kafilah yang tidak dapat memasuki kota kerana kegelapan malam. Mari kita uruskan perlindungan mereka." Setibanya mereka di tempat perkhemahan itu, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan dengan beberapa orang anaknya. Si ibu tadi sedang menjerang secerek air, sambil memberi salam dia meminta izin untuk mendekatinya.
.
Umar: "Mengapa kanak-kanak ini menangis?"
Perempuan: "Kerana mereka lapar."
Umar: "Apa yang ada di dalam cerek itu?"
Perempuan: "Hanya air untuk memperdayakan mereka supaya mereka tidur dengan sangkaan yang makanan sedang disediakan untuk mereka. Ah, Allah SWT akan mengadili pengaduanku terhadap Umar pada hari kiamat nanti kerana membiarkan aku di dalam keadaan begini."
Umar: (Menangis) "Semoga Allah SWT mengampuni kamu tetapi bagaimanakah Umar hendak mengetahui tentang penderitaan kamu!"
Perempuan: "Orang yang menjadi Amir patut tahu akan keadaan setiap rakyatnya."
.
Saidina Umar pulang ke kota dan terus ke Baitulmal. Dia mengisikan sebuah karung dengan tepung, buah tamar, minyak dan kain baju. Dia mengeluarkan juga sedikit wang. Apabila karung tadi telah penuh, Umar pun berkata kepada Aslam: "Letakkan karung ini keatas belakangku Aslam." Aslam menjawab: "Tidak, tidak, ya Amirul Mukminin! Biar saya yang memikulnya." Umar berkata: "Apa! Adakah engkau yang akan memikul dosaku di hari kiamat kelak? Aku terpaksa memikulnya kerana akulah yang akan dipersoalkan nanti mengenai perempuan ini."
.
Dengan perasaan serba salah, Aslam meletakkan karung itu di atas belakang Saidina Umar. Dengan diikuti oleh Aslam, beliau berjalan dengan pantas menuju khemah perempuan itu. Dia memasukkan sedikit tepung, buah tamar dan minyak ke dalam cerek tadi lalu mengacaunya. Dia sendiri meniup bara untuk menyalakan api. Kata Aslam: "Saya melihat asap mengenai janggutnya."
.
Sebentar kemudian makanan itu pun siap. Saidina Umar sendiri menghidangkan kepada keluarga miskin itu. Selepas kenyang perut kanak-kanak itu, mereka pun bermainlah dengan gembiranya. Melihat keadaan anak-anaknya, perempuan itu pun berkata: "Semoga Allah SWT memberi ganjaran kepada kamu kerana kebaikan hatimu. Sesungguhnya kamu lebih layak memegang jawatan khalifah daripada Umar." Umar menghiburkan hati perempuan itu lalu berkata: "Apabila kamu datang berjumpa dengan khalifah, kamu akan menjumpai aku di sana."
.
Setelah melihat kanak-kanak itu bermain beberapa ketika, Saidina Umar pun beredar dari situ. Dalam perjalanan pulang, Saidina Umar bertanya kepada Aslam: "Adakah kamu tahu mengapa aku duduk di situ beberapa ketika? Aku ingin melihat mereka bermain-main dan gelak ketawa kerana kesukaan setelah melihat mereka menangis kelaparan."
.
Mengikut riwayat, ketika mengerjakan solat fajar, Saidina Umar sering membaca Surah Al-Kahfi, TaHa dan lain-lain surah yang hampir-hampir sama dengan surah-surah itu. Waktu inilah dia kerap menangis sehingga tangisannya jelas kedengaran beberapa saf di belakang. Pada suatu subuh ketika membaca ayat Surah Yusuf 86 yang bermaksud: "Hanya aku mengadukan kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah", beliau telah menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan pembacaannya.
.
Semoga kisah-kisah Saidina Umar dijadikan teladan oleh kita bersama. Saidina Umar diketahui umum merupakan pahlawan Islam yang terkenal kerana gagah beraninya. Namanya saja sudah dapat mengecutkan perut pemusuh-pemusuh Islam. Namun demikian di hadapan Allah SWT, dia menangis ketakutan.
.
Wallahua'lam.
.

28 November 2009

KISAH TIGA ORANG MUKMIN YANG TIDAK MENYERTAI PERANG TABUK


Di antara puak munafikin, jumlah yang tidak menyertai gerakan ke Tabuk boleh dikatakan banyak juga. Bukan sahaja mereka gagal menyahut seruan Nabi Muhammad SAW malah mereka cuba mempengaruhi orang-orang lain supaya berbuat demikian.

Di antara orang-orang yang beriman pula, hanya tiga orang sahaja yang tidak menyertai tentera Muslimin. Mereka ini ialah Murarak bin Rabi, Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik. Murarah tidak bersama-sama Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya kerana buah-buah tamar dikebunnya telah masak dan terpaksa dikutip. Dia menyangka yang penyertaannya dalam lain-lain peperangan terdahulu daripada ini dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang sedang dihadapi. Di sini dia telah melakukan kesalahan mementingkan hartanya daripada Allah SWT. Apabila dia menyedari kesalahannya dia mendermakan kebunnya kepada orang.

Akan Hilal pula, dia sibuk mendampingi kaum keluarganya yang pulang ke Madinah selepas meninggalkan kota itu beberapa ketika lamanya. Seperti Murarah, dia juga telah menyertai beberapa peperangan yang terdahulu. Ternyata yang Hilal telah melakukan kesalahan mementingkan kaum keluarganya daripada Allah SWT. Setelah menyedari kesalahannya dia telah memutuskan perhubungan dengan kaum kerabatnya.

Mengenai Ka'ab pula, dengarlah cerita seperti yang diceritakan olehnya sendiri. Cerita Ka'ab ini terkandung di dalam semua buku-buku Hadis. Katanya: "Semasa berlaku gerakan ke Tabuk, keadaan hidup aku agak mewah. Aku mempunyai dua ekor unta kepunyaanku sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah memiliki bilangan unta seperti tersebut tadi. Telah menjadi amalan Nabi Muhammad SAW yang ia tidak suka memberitahu kepada umum tentang tempat yang ditujui oleh gerakan tentera Muslimin, tetapi sekali ini oleh kerana jauhnya perjalanan yang mesti ditempuhi, kerana musim kemarau pada masa itu dan oleh kerana kekuatan tentara kafir, ia terpaksa menceritakan segala-galanya agar persiapan-persiapan dapat diperbuat dengan sempurnanya. Orang-orang yang bakal menyertai pergerakan ke Tabuk terlalu banyak sehingga tidak mungkin diketahui nama-nama mereka semuanya. Demikian juga payahnya untuk mengetahui nama-nama mereka yang tidak menyertai Nabi Muhammad SAW."

"Pada ketika itu kebun-kebun di Madinah telah penuh dengan buah-buah yang telah masak. Tiap-tiap pagi saya bercita-cita hendak membuat persiapan-persiapan agar dapat menyertai tentera Muslimin, tetapi entah bagaimana keazaman saya itu tidak menjadi kenyataan. Saya ketahui benar-benar yang saya dapat menyertai mereka bila-bila masa sahaja. Dalam keadaan saya yang demikianlah, maka berita mengenai keberangkatan tentera Muslim telah sampai ke pengetahuan saya. Saya masih berpendapat yang saya mendahului mereka sekiranya saya dapat bersiap sedia dalam sehari-dua."
.
"Penangguhan saya untuk melakukan sesuatu yang tegas berlanjutan sehingga tibalah masanya tentera-tentera Muslimin hampir tiba di Tabuk. Dalam keadaan yang demikian pun saya masih juga menangguh-nangguh. Tiba-tiba apabila saya melihat orang-orang yang tertinggal di Madinah, saya menyedari yang kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada kaum-kaum munafikin dan mereka yang telah sengaja diuzurkan oleh Nabi Muhammad SAW kerana sebab-sebab yang tertentu. Setibanya Nabi Muhammad SAW di Tabuk, Baginda pun bertanya: "Mengapa aku tidak melihat Ka'ab?" Jawab salah seorang daripada para sahabat: "Ya Nabi Muhammad SAW, kebanggaannya kepada harta dan kesenangan kehidupannya telah menyebabkan dia tertinggal di belakang." Maaz mencelah sambil berkata: "Tidak, Ini tidak mungkin. Setahu kami dia adalah seorang Mukmin yang sebenar-benarnya." Nabi Muhammad SAW tidak mengeluarkan sepatah katapun."

Ka'ab meneruskan ceritanya: "Selepas beberapa hari saya pun mendengar berita mengenai kepulangan Nabi Muhammad SAW saya tiba-tiba dirundungi oleh perasaan sedih dan kesal yang maha hebat. Beberapa alasan iaitu yang mungkin dikemukakan kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengelakkan kemurkaan Baginda terbayang-bayang di kepala saya. Saya juga telah meminta nasihat daripada orang-orang yang cerdik pandai di kalangan keluarga saya, tetapi akhirnya alasan-alasan ini saya ketepikan dan saya membuat keputusan hendak bercakap benar kepada Nabi Muhammad SAW."

"Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila Baginda pulang dari suatu perjalanan, Nabi Muhammad SAW akan singgah di masjid untuk mendirikan Solat Tahyatul Masjid serta beramah mesra dengan pelawat-pelawatnya. Pada ketika itu, datanglah orang munafik bersumpah-sumpah sambil memberi sebab-sebab mengapa mereka tidak menyertai Nabi Muhammad SAW ke Tabuk. Nabi Muhammad SAW menerima saja alasan-alasan yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka sedangkan kandungan batin mereka tinggalkan kepada Allah SWT untuk membereskannya."

"Kemudian saya pun tibalah untuk menemui Rasulullah SAW lantas memberi salam kepada Baginda SAW. Suatu senyuman yang tawar, Baginda menolehkan mukanya ke arah lain. Saya berkata: "Wahai Rasulullah, Tuan memalingkan muka Tuan dari saya. Demi Allah SWT, saya bukannya munafik dan saya tidak meragui kebenaran agama saya." Baginda SAW menyuruh saya mendekati lalu bertanya: "Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, kalau kepada orang lain sudah tentu saya dapat memberi alasan-alasan yang sesuai kerana Allah SWT telah mengurniakan saya dengan kefasihan bercakap, tetapi kepada Tuan, walaupun saya dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang memuaskan hati Tuan, sudah tentu Allah SWT akan memurkai saya. Sebaliknya kalau saya menimbulkan kemarahan Tuan dengan bercakap benar saya percaya lambat-laun kemarahan Tuan itu akan dihapuskan oleh Allah SWT. Oleh itu saya bercakap benar. Demi Allah SWT saya tidak ada sebarang alasan pun sedangkan pada masa itu hidup saya mewah." Kata Nabi Muhammad SAW: "Dia sedang bercakap benar." Kemudian Baginda SAW berkata: "Pergilah kamu dan Allah SWT akan menentukan sesuatu bagi kamu."
.
"Apabila saya meninggalkan Nabi Muhammad SAW, orang-orang dari puak saya telah menyalahkan saya kerana telah bercakap benar di hadapan Rasulullah. Kata mereka: "Kamu sebelum ini tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Kalaulah setelah memberi satu-satu alasan yang sesuai, kamu meminta Nabi Muhammad SAW berdoa untuk diampunkan oleh Allah SWT, yang demikian itu sudah tentu mencukupi." Kemudian saya bertanya kalau-kalau ada orang yang hal keadaannya seperti saya. Mereka menceritakan mengenai Hilah bin Umayyah dan Murarah bin Rabi. Mereka juga telah mengakui kesalahan mereka dan menerima jawapan yang sama. Saya tahu yang mereka ini adalah penganut-penganut agama Islam yang sejati dan telah mengambil bahagian dalam Peperangan Badar."

"Nabi Muhammad SAW sudah memerintahkan supaya kami bertiga dipulaukan. Tidak ada seorang pun yang berani bergaul dan bercakap-cakap dengan kami. Pada masa itu saya berasa seolah-olah saya tinggal berdagang di rantau orang. Kawan-kawan berkelakuan seperti orang asing. Dunia yang begitu luas menjadi sempit. Kalau saya mati, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengimami sembahyang jenazah saya. Sebaliknya kalau Baginda SAW wafat sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas saya akan berterusan sehingga ke akhir hayat saya."

"Kawan-kawan saya yang berdua itu tidak menampakkan diri mereka di luar rumah, sedangkan saya memberanikan diri dengan berjalan-jalan di pasar dan bersembahyang berjemaah tetapi saya tidak dihiraukan oleh sesiapa pun. Kadang-kadang saya memberanikan diri menghampiri Nabi Muhammad SAW sambil memberikan salam. Saya menunggu-nuggu jawapannya dengan penuh harapan. Kerapkali selepas menunaikan solat fardhu, saya akan menunaikan solat sunat berhampiran dengan Nabi Muhammad SAW kerana ingin mengetahui sama ada Baginda SAW akan memandang saya atau tidak. Ya, Baginda SAW memandangkan saya semasa berada dalam sembahyang. Di luar sembahyang Baginda SAW memalingkan pandangannya dari saya."
.
"Pada suatu hari apabila saya rasa yang saya tidak dapat lagi menderitai pemulauan sosial yang dikenakan ke atas saya, saya telah memanjat tembok kebun sepupu saya, Qatadah. Saya mengucapkan salam kepadanya tetapi dia tidak menjawab. Saya menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Saya bertanya: "Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah SWT dan RasulNya?" Soalan saya itu terpaksa diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiganya barulah dia menjawab: "Hanya Allah SWT dan RasulNya yang mengetahui." Mendengar jawapannya itu saya menangis lalu meninggalkannya."
.
"Pada suatu ketika, sedang saya melalui sebatang jalan di Madinah, saya terpandang akan seorang Kristian berbangsa Mesir yang telah datang dari Syam. Rupa-rupanya orang itu sedang mencari saya. Apabila orang ramai di situ menunjukkan saya dia pun menghampiri saya sambil menyerahkan sepucuk surat daripada Raja Kristian yang memerintah Ghassan. Surat itu berbunyi: "Kami telah mengetahui akan penganiayaan yang kamu perolehi dari ketua kamu. Allah SWT tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Eloklah kamu menyertai kami dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu."

"Apabila saya membaca surat ini saya mengucapkan: "INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN." Demikianlah hal keadaan saya sehingga orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad. Saya tidak dapat membayangkan segala kecelakaan yang menimpa diri saya. Dengan serta merta saya mencampakkan surat itu ke dalam api dan saya pun terus pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Kata saya: "Ya Rasulullah SAW, saya telah tergelincir di dalam jurang kehinaan yang amat dahsyat sehinggakan orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad."
.
"Selepas empat puluh hari pemboikotan itu berjalan seorang utusan Nabi Muhammad SAW mendatangi saya dengan membawa satu perintah baru dari Nabi Muhammad SAW. Saya diperintahkan supaya berpisah dari isteri saya. Saya bertanya kepada utusan itu sama ada isteri saya terpaksa diceraikan. Dia hanya menyuruh saya berpisah dari isteri saya. Perintah yang sama diberikan kepada sahabat-sahabat yang berdua itu. Kata saya kepada isteri saya: "Pergilah kamu tinggal bersama-sama orangtuamu sehingga Allah SWT menentukan sesuatu bagiku."
.
"Isteri Hilal pun telah pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW sambil mengadu kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, Hilal sudah tua dan tidak ada orang untuk menjaganya. Kalau aku meninggalkannya sudah tentu dia akan mati. Izinkan aku supaya menjagainya." Nabi Muhammad SAW menjawab: "Baiklah, tetapi jangan melakukan perhubungan jenis." Kata isteri Hilal: "Ya Rasulullah, dia sudah tidak ada keinginan semenjak pemulauan dikenakan ke atasnya. Dia menghabiskan masanya dengan menangis."
.
"Ada orang yang mecadangkan kepada saya supaya meminta kebenaran daripada Nabi Muhammad SAW untuk membolehkan isteri saya tinggal bersama-sama saya tetapi saya enggan berbuat demikian kerana saya masih muda sedangkan Hilal sudah tua. Lagi pula saya tidak berani membuat permintaan yang demikian. Sehingga ini pemulauan telah dijalankan keatas kami selama lima puluh hari."
.
"Pada pagi yang kelima puluh itu sedang saya duduk-duduk di atas bumbung rumah saya, setelah melakukan Solat Fajar, saya terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit Salak. "Ada berita gembira buat kamu, ya Ka'ab." Sebaik sahaja saya mendengar berita itu saya pun bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah SWT. Saya tahu yang saya telah perolehi keampunan daripada Allah SWT. Sebenarnya Nabi Muhammad SAW mengisytiharkan keampunan Allah SWT kepada kami bertiga selepas solat Subuh itu."

"Kemudian datang pula seorang penunggang kuda membawa berita yang sama. Oleh kerana kegembiraan yang amat sangat saya telah menghadiahkan pakaian yang terlekat di badan saya kepada pembawa berita gembira itu. Pada masa itu saya hanya memiliki pakaian yang sedang saya pakai tadi. Oleh hal yang demikian saya meminjam sehelai pakaian dari sahabat saya dan memakai pakaian itu dan saya terus pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Apabila saya tiba di masjid orang-orang yang sedang berbual-bual dengan Rasulullah SAW datang menerpa dan memegang tangan saya sambil mengucapkan tahniah. Orang yang mula-mula mengucapkan tahniah kepada saya ialah Talhah. Kemudian saya pun menyampaikan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Muka Baginda SAW berseri-seri dengan cahaya kegembiraan. Saya berkata kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, saya bercadang hendak mendermakan semua harta saya sebagai mengucapkan syukur kepada Allah SWT yang telah sudi menerima taubat saya." Baginda SAW berkata: "Janganlah habiskan semua harta kamu. Tinggalkan sedikit untuk kepentingan dirimu." Saya pun mendermakan harta saya kecuali rampasan yang diperolehi dalam Peperangan Khaibar."

"Kebenaran telah menyelamatkan saya dan oleh itu saya berazam hendak bercakap benar pada setiap masa."

Wallahua'lam.
.

24 November 2009

BILAL BIN RABAH R.A.


Bilal bin Rabah r.a. adalah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling terkenal. Dia merupakan muazzin atau juru azan di Masjid Nabi. Beliau merupakan seorang hamba Habsyi yang dimiliki oleh seorang kafir di Mekah.

Keislamannya telah menimbulkan kemarahan yang tidak terhingga terhadap pemiliknya. Akibatnya, beliau pun diseksa dengan tanpa belas kasihan. Umayyah bin Khalaf, musuh Islam yang terkemuka di kalangan penduduk Mekah, yang memiliki Bilal telah membaringkannya atas pasir yang panas membakar serta meletakkan batu besar di atas dadanya sehingga ia tidak dapat menggerakkan tubuhnya.

Kemudian berkatalah Umayyah kepada Bilal: "Tinggalkanlah agamamu. Kalau tidak matilah kamu dalam kepanasan matahari yang tegak." Lantas Bilal menjawab dengan berkata: "Ahad!" (Tuhan Yang Esa!), "Ahad!" (Tuhan Yang Esa!).
.
Pada waktu malam, beliau didera dengan cemeti sehingga badannya luka-luka. Pada waktu siang pula, beliau dibaringkan di atas pasir yang panas. Tuannya berharap agar beliau akan meninggalkan agamanya atau pun mati akibat luka-luka di badannya.

Namun demikian, Bilal masih tetap dengan pendiriannya yang teguh. Umayyah, Abu Jahal dan pengikut-pengikut mereka menyiksa Bilal secara bergilir-gilir. Akhirnya Abu Bakar telah menebusnya dan semenjak hari itu, hiduplah dia sebagai seorang Muslim yang bebas. Semenjak ia dibebaskan, dia sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad SAW sehingga Baginda SAW wafat. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Bilal pun meninggalkan Kota Madinah.
.
Pada suatu ketika dia telah melihat Nabi Muhammad SAW di dalam mimpinya. Berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal: "Wahai Bilal, mengapakah kamu tidak melawatku?"
.
Sebaik-baik sahaja dia bangun dari tidurnya, dia pun bersiap-siap untuk berangkat ke Madinah. Setibanya dia di kota itu, dia telah berjumpa dengan Saidina Hasan r.a. dan Saidina Hussain r.a., cucunda Nabi Muhammad SAW. Mereka meminta agar Bilal mangalunkan azan.

Permintaan orang yang dicintainya itu tidak dapat ditolak. Apabila suara Bilal berkumandang di ruang angkasa Kota Madinah, penduduk-penduduknya pun tanpa segan silu menitiskan air mata mereka kerana terkenangkan zaman keemasan yang telah mereka lalui semasa hidupnya kekasih mereka, Nabi Muhammad SAW.

Sekali lagi Bilal telah meninggalkan Kota Madinah dan akhirnya meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah.
.

20 November 2009

SYAITAN CETUS SIFAT MARAH (HARIAN METRO, 20/11/09)


MARAH satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah SWT dan Rasulullah SAW. Perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan.

Memang benar ada yang mengatakan 'aku sudah meletup, memang aku tak boleh buat apa-apa.' Tetapi lebih baik kita belajar menenangkan diri sebelum menghamburkan sebarang bentuk perkataan kepada pihak lain. Selain itu, melihatkan status diri sebagai insan yang berakal membolehkan kita menilai dulu sesuatu perkara sebelum melakukan sebarang tindakan yang bersandarkan desakan emosi semata-mata.

Ketika dalam keadaan marah, manusia sebenarnya dikuasai syaitan yang akhirnya akan berlaku suasana tegang seperti kawan bertengkar sesama kawan atau anak mengherdik ibu bapanya. Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan Tuhanmu (Allah ) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uh', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun)." (Surah al-Isra': 23).

Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri. Lebih buruk, jika perasaan marah itu gagal ditenteramkan walaupun sebelah pihak mungkin sedaya upaya mententeramkan keadaan.

Sebagai umat Islam, Nabi Muhammad SAW menganjurkan kita beberapa teknik bagi mengawal perasaan marah. Cara terbaik dengan mengeluarkan kata-kata berhikmah. Kata-kata yang baik terbit daripada hati yang suci dan boleh menjadi pedoman kepada manusia.

Dari satu sudut lain, sifat pemarah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai sifat marah akan dizalimi serta dicerobohi haknya. Tetapi perkara tercela adalah sifat marah yang tidak kena pada tempatnya. Justeru, sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak elok ditutur, lebih baik sekiranya segera beristighfar.
.
Namun, kita sebenarnya tidak boleh menjadikan marah itu sebagai ukuran tepat untuk menggambarkan perasaan tidak puas hati. Kita masih mempunyai masa bagi mengawal percakapan daripada menuturkan kata-kata berunsur herdikan, cacian seterusnya membibitkan perasaan marah yang tiada taranya. Ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga.
.
Kita sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil jalan 'pintas' iaitu terus memarahi tanpa menyelidiki pokok pangkalnya. Sudah tentu, tindakan marah kita itu akan menjadi sia-sia serta menjarakkan hubungan persaudaraan. Walaupun orang yang dimarahi itu melakukan kesilapan, sekurang-kurangnya mereka perlu memberi peluang daripada melemparkan perasaan marah berkenaan.

Marah boleh, tetapi jangan menjadi orang yang mempunyai sifat pemarah. Sebenarnya, apa yang terkandung daripada sifat marah itu perasaan benci terutama jika emosi menebal itu gagal dikawal sehingga terhambur perkataan cabar mencabar sehingga sanggup memberi ancaman kecederaan dan bunuh kepada individu lain.

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya tidak menjadi seorang yang pemarah seperti diriwayatkan Abu Hurairah r.a., ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: "Berpesan kepadaku! Baginda berkata: "Jangan marah." Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: "Jangan marah!" (Riwayat al-Bukhari).

Bagi mengubati penyakit marah ini, Islam mengajar umatnya menahan diri ketika marah dan sabar apabila melawan hawa nafsu yang meluap-luap itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah)." (Riwayat At-Tirmidzi).

Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan syaitan yang dijadikan daripada api. Oleh itu ingatlah api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan pada anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang 'membara' akibat marah itu.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud). Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (Riwayat al-Bukhari).

Sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan. Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah as-Syu'ara: 37).

Antara langkah untuk mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang:
a. Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakiti hati itu. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.
b. Jangan menyalahkan orang lain. Beri tumpuan kepada punca sebenar yang mencetuskan kemarahan kerana ia mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri.
c. Perbaiki keadaan selepas kita berada dalam keadaan tenang dan terkawal. Jangan lepaskan kemarahan kepada orang lain semata-mata kerana tidak puas hati dengan individu lain.
d. Dapatkan rehat dan tidur secukupnya selain makan makanan berkhasiat kerana apabila badan letih, ia akan menyebabkan seseorang itu lebih cepat naik marah.
e. Amalkan senaman ringkas selama beberapa minit setiap hari bagi mengurangkan ketegangan.
f. Jadi seorang pendengar yang baik. Sifat orang pemarah adalah dia sangat sukar mendengar pendapat orang lain kerana merasakan tindakan serta pendapatnya mengatasi orang lain.
g. Jauhi amalan yang menjadi punca perkelahian seperti suka merendah-rendahkan, memperlekeh serta mengherdik orang lain lalu digantikan dengan sifat memuliakan orang.
h. Amalkan bacaan A'uzubillah himinasyaitaannirrajiim (Aku berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan direjam) selain tidak meninggalkan solat kerana di dalamnya terdapat kesan hebat yang boleh menerbitkan perasaan tenang jika diamalkan dengan sepenuh ikhlas.
.

PERJALANAN RASULULLAH S.A.W. KE TAIF


Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul, Baginda telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Makkah untuk memimpin dan memperbaiki keadaan hidup mereka. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam ataupun yang bersimpati dengan Baginda, yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang Baginda dan pengikut-pengikutnya. Di antara mereka yang bersimpati dengan perjuangan Baginda SAW termasuklah Abu Talib, bapa saudara Baginda sendiri. Sungguhpun begitu Abu Talib tidak memeluk agama Islam.
.
Berikutan kematian Abu Talib, pihak Quraish berasa bebas untuk memperhebatkan gangguan dan penentangan mereka terhadap Baginda SAW. Di Taif, bandar yang kedua terbesar di Hijaz, terdapat Bani Thafiq, suatu puak yang sangat kuat dan besar bilangan ahlinya. Nabi Muhammad SAW berlepas ke Taif dengan harapan ia dapat mengajak kaum Bani Thafiq untuk menerima Islam dan dengan demikian memperolehi perlindungan bagi pemeluk-pemeluk agama Islam dari gangguan puak Quraish. Baginda juga bercita-cita hendak menjadikan Taif markas kegiatan-kegiatan dakwah Baginda.

Sebaik-baik sahaja Rasulullah SAW tiba di sana, Baginda telah mengunjungi tiga orang pemimpin Bani Thafiq secara berasingan dan menyampaikan kepada mereka risalah Allah SWT. Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima ajaran Allah SWT, bahkan enggan mendengar apa yang dikemukakan oleh Baginda SAW kepada mereka. Baginda telah dilayani secara kasar dan biadap. Kekasaran mereka amat bertentangan dengan semangat memuliakan dan menghormati tetamu yang telah menjadi sebahagian daripada cara hidup bangsa Arab. Dengan terus terang mereka mengatakan yang mereka tidak suka Baginda SAW tinggal di tempat mereka. Rasulullah SAW berharap yang kedatangan Baginda akan disambut dengan baik. Sebaliknya Baginda telah dilempari dengan kata-kata yang kasar.
.
Kata seorang daripada pemuka-pemuka tadi dengan penuh ejekan: "Hoi, benarkah yang Allah SWT telah melantik kamu menjadi PesuruhNya?" Kata seorang lagi sambil ketawa: "Tidak bolehkah Allah memilih manusia selain dari engkau untuk menjadi PesuruhNya?" Yang ketiga pula melempar kata-kata hina yang bunyinya: "Kalau engkau benar-benar seorang Nabi, aku tidak ingin bercakap-cakap dengan engkau kerana perbuatan yang demikian akan mendatangkan bencana kepada diriku. Sebaliknya jika kamu seorang pendusta, tidak guna aku bercakap-cakap dengan engkau."
.
Dalam menghadapi penentangan yang sebegitu hebat, ketabahan dan kecekalan hati yang merupakan sifat-sifat semulajadi Nabi Muhammad SAW tidak menyebabkan Baginda berasa hampa dan gagal barang sedikit jua pun. Selepas meninggalkan pemuka-pemuka Bani Thafiq, Baginda SAW cuba menghampiri rakyat biasa. Di sini usaha Baginda juga menemui kegagalan. Mereka menyuruh Baginda keluar dalam Taif. Apabila Baginda SAW menyedari yang usahanya tidak mendatangkan hasil yang diingini, Baginda pun membuat keputusan hendak meninggalkan kota itu. Tetapi mereka tidak membiarkan Baginda SAW keluar dari Taif secara aman. Mereka melepaskan kacang-kacang hantu mereka supaya mengusik, mengejek, mengacau dan melemparinya dengan batu. Pelemparan batu yang dilakukan ke atas Baginda SAW menyebabkan tubuh Baginda SAW berdarah akibat luka-luka.

Apabila Baginda SAW berada agak jauh dari kota Taif, Baginda pun berdoa kepada Allah SWT: "Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada sesiapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaanMu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan hal ku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau."
.
Demikianlah doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT oleh Rasulullah SAW sehingga Allah SWT mengutuskan Jibrail AS menemui Baginda. Setibanya di hadapan Rasulullah, Jibril AS pun memberi salam seraya berkata: "Allah SWT mengetahui apa yang telah berlaku di antara kamu dan orang-orang ini. Allah SWT telah menyediakan malaikat di gunung-ganang disini khas untuk menjalankan sebarang perintah kamu." Sambil berkata demikian Jibril AS menghadapkan malaikat itu di hadapan Baginda SAW. Kata Malaikat tersebut: "Wahai Rasulullah, saya bersiap sedia untuk menjalankan perintah Tuan. Kalau dikehendaki, saya sanggup menyebabkan gunung-gunung di sebelah menyebelah kota ini berlanggaran sehingga penduduk-penduduk di kedua-dua belah mati tertindih. Kalau tidak, Tuan cadangkan apa saja hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini."
.
Mendengar janji-janji Malaikat itu, Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan sifat penyayang dan belas kasihan pun berkata: "Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah SWT, yang anak-anak mereka, pada satu masa nanti, akan menyembah Allah SWT dan berbakti kepadaNya."
.
Begitulah teladan mulia dan murni yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW. Kita semua mengakui yang kita menjadi pengikut-pengikutNya, tetapi dalam urusan hidup kita sehari-sehari, apabila cadangan kita ditolak atau tidak dipersetujui, maka kita dengan segera memaki hamun dan kadang-kadang bercita-cita untuk membalas dendam terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan kita. Sebagai umatnya, kita hendaklah sentiasa mencontohi Rasulullah SAW. Selepas menerima penghinaan oleh penduduk-penduduk Kota Taif, Baginda SAW hanya berdoa. Baginda tidak memarahi mereka, tidak mengutuk mereka dan tidak mengambil sebarang tindakan balas walaupun diberi kesempatan sebaik-baiknya untuk membuat demikian.

Wallahua'lam.
.

17 November 2009

PERMOHONAN ORANG KAYA DAN ORANG MISKIN


Nabi Musa AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Mereka ada yang kaya dan juga ada yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Kerana kemiskinannya, pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh.

Si miskin itu kemudian berkata kepada Nabi Musa AS: "Ya Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya." Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu: "Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT." Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata: "Bagaimana aku banyak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu lembar ini sahaja!" Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya.

Beberapa waktu kemudian, seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya. Ia berkata kepada Nabi Musa AS: "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu."

Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata: "Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT." "Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah SWT? Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat, telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya," jawab lelaki kaya itu. Akhirnya lelaki kaya itu pun pulang ke rumahnya.

Selepas peristiwa itu, Allah SWT menambah kekayaan kepada lelaki kaya itu kerana ia selalu bersyukur. Dan lelaki miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil kesemua kurnianNya sehingga lelaki miskin itu tidak memiliki sehelai pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT.

.