Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


26 Ogos 2010

JUDI MEMUDARATKAN DIRI & MASYARAKAT


Satu fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa tabiat berjudi hidup dan berkembang di kalangan masyarakat kita. Judi dikategorikan sebagai aktiviti mungkar yang telah lama wujud di dunia ini. Malah menurut catatan sejarah, Raja Parsi yang bernama Ardasyir bin Babak merupakan orang yang pertama mencipta permainan dadu.

Dalam masyarakat Melayu pula, kita dihidangkan sejarah Pak Kaduk yang mempertaruhkan kampungnya sebagai taruhan. Akibat tipu daya raja, Pak Kaduk akhirnya kalah dan akibatnya kampungnya tergadai. Cerita ini menunjukkan aktiviti judi telah berakar-umbi sejak zaman-berzaman tanpa mengira status dan keturunan.

Kita sering melihat pada hari-hari yang tertentu, sesetengah jalan raya menjadi sesak sehingga pemandu-pemandu kenderaan menyangka mungkin ada kemalangan berlaku. Namun apa yang sebenarnya berlaku ialah kerana kenderaan-kenderaan yang diletakkan di tepi jalan menghalang lalu lintas kerana pemiliknya berpusu-pusu membeli nombor ekor. Apa yang lebih menyedihkan ialah di kalangan orang yang berpusu-pusu itu terdapat orang-orang Islam yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Tidak kira apa nama yang diberi, apabila ia mempunyai unsur pertaruhan ianya dianggap sebagai judi. Musa bin Uqbah r.a. meriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a. berkata: “Judi itu ialah pertaruhan.”

Di dalam Islam, judi dikategorikan sebagai dosa besar, sama seperti meminum arak, bertenung nasib dan menyembah berhala. Ia merupakan amalan syaitan iaitu makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT. Di dalam tafsir Ruhul Maani dalam membicarakan ayat 90 Surah Al-Maidah menyatakan bahawa: “Allah SWT menyebut arak dan judi bersama patung berhala dan tenung nasib untuk menunjukkan arak dan judi sama keji dan sama besar dosanya dengan menyembah patung dan bertenung nasib.”

Di dalam Al-Quran juga, ayat berkaitan judi sering dikaitkan dengan arak yang menunjukkan betapa ianya adalah perbuatan yang amat dimurkai oleh Allah SWT yang membawa pelbagai masalah sosial seperti jenayah, membunuh, penzinaan, peras ugut, rasuah dan sebagainya. Selain dikira sebagai perbuatan yang keji, judi boleh merosakkan akidah, memporak-perandakan syariat dan meruntuhkan akhlak hingga ulama mengatakan bahawa perbuatan mengajak berjudi itu sudah dikira berdosa. Sebagaimana Imam Al-Zahbi mengatakan dalam kitab Al-Kabair: “Kalau hanya mengajak berjudi sudah berdosa, apatah lagi bermain judi. Maka sudah tentu dosanya besar.”

Tabiat berjudi bukan sahaja membawa keburukan dalam urusan dunia, tetapi juga urusan agama. Malah perkataan ‘Tahi Judi’ itu sendiri menggambarkan bahawa ia sesuatu yang amat menjijikkan lagi najis dan dilarang keras bagi umat Islam. Cuba kita renungkan, belum pernah berlaku orang yang memenangi perjudian menjadi kaya raya. Jika pun ia menjadi kaya, ia merupakan kemurkaan dari Allah. Apabila ia dapat mendirikan rumah besar sekalipun, belum tentu ia bahagia atau selesa di dalam kedamaiannya. Jika ia membuka gedung perniagaan, belum tentu perniagaannya akan bertambah maju. Ini adalah kerana punca perolehan hasil adalah dari sumber yang tiada keberkatan lagi haram.

Tabiat berjudi juga boleh merosakkan akidah, apabila mereka terlibat dengan unsur-unsur pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor. Kegiatan memuja kubur, pohon besar, keris hikmah dan tangkal azimat boleh menyebabkan syirik kepada Allah SWT. Terdapat juga peminat nombor ekor yang menemui bomoh nombor untuk mendapatkan nombor bertuah. Bomoh tersebut akan menggunakan sihir dan tipu daya bagi memenuhi hajat pemohon dengan memuja atau melalui amalan menurun. Perbuatan ini jelas merosakkan akidah kerana kita meminta pertolongan kepada pihak lain dan bukan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Sahabat bertanya: “Apakah perkara-perkara itu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan membuat tuduhan jahat ke atas perempuan mulia lagi beriman.” (HR Bukhari)

Kerosakan dari sudut syariat pula dapat kita lihat apabila kaki judi mengalami kekalahan. Mereka akan membuat perkara yang dilarang syarak bagi mendapatkan wang atau modal untuk berjudi seperti mencuri, peras ugut dan merompak. Institusi keluarga menjadi musnah. Tanggungjawab kepada isteri dan anak akan terabai. Nafkah tidak terjaga kerana segala harta yang ada akan dihabiskan untuk berjudi. Malah ada yang sanggup meminjam kepada along bagi mendapatkan wang segera untuk berjudi bagi memenuhi impian menjadi kaya yang tidak pernah menjadi realiti. Kekalahan dalam perjudian juga menyebabkan seseorang menjadi pendendam hingga membawa kepada pembunuhan.

Selain itu. tabiat berjudi juga menyebabkan seseorang suka berhutang. Apabila hutang tidak dapat dilunaskan, maka ia akan mewujudkan satu lagi tabiat yang buruk iaitu suka berdusta. Peminjam akan memberikan pelbagai alasan apabila pemiutang datang untuk menuntut haknya.

Orang yang berjudi sebenarnya telah melakukan keingkaran kepada Allah SWT dan hidupnya tidak berada dalam ketenangan semasa di dunia lagi. Tabiat berjudi menyebabkan individu berkenaan dihinggapi penyakit keluh kesah. Ini berlaku apabila ia leka berjudi menyebabkan jiwanya khusyuk dan lidahnya kering dari berzikir sedangkan zikir adalah benteng kegelisahan. Apabila berada dalam kegelisahan, seseorang itu akan mudah diperdayakan oleh syaitan laknatullah.

Orang-orang Islam mestilah sedar bahawa berjudi tidak membawa sebarang manfaat, malah boleh menjerumuskan seseorang kepada memakan harta haram atau harta orang lain secara batil, yang mana ini amat ditegah oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya: “Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang batil. Dan janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan dosa, pada hal kamu mengetahui.” (QS Al-Baqarah: 188)

Maka jangan salahkan anak kita jika mereka tidak cerdik, menjadi kaki rempit, terbabit dengan bohsia atau suka melawan kata kedua ibubapa. Ini adalah kerana sesetengah ibubapa, sama ada secara sedar atau tidak, mungkin telah memberikan nafkah makan minum dan pakaian dari sumber yang haram melalui kegiatan berjudi.

Perlu juga dijelaskan bahawa berjudi tidak dikira sebagai mencari rezeki. Malah harta yang diperolehi dari perjudian tidak boleh dibersihkan dengan menggunakan untuk beramal jariah seperti bersedekah atau menjamu selera sahabat handai. Ia bukan sahaja tidak membawa apa-apa kesan, selain mendapat dosa dan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa, lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah atau menderma pada jalan Allah, maka dikumpulkan semua dan diciptakan bersamanya (orang tersebut) ke dalam neraka Jahannam.” (HR Abu Dawud)

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha menjauhkan umat Islam daripada mendekati aktiviti-aktiviti perjudian, walaupun yang dianggap permainan seperti tikam gula-gula mainan, judi internet dan lain-lain lagi.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran arak dan judi itu serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, berhentilah.” (QS Al-Maidah: 91)

Wallahua’lam.

20 Ogos 2010

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH, PENAKLUK KONSTATINOPEL


PENGENALAN

Sultan Muhammad al-Fateh (Sultan Muhammad II) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dari kelompok pemerintah sama seperti Salahuddin al-Ayyubi. Beliau menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran ‘Al-Fath’, yang bermaksud kemenangan, adalah sempena kejayaannya menakluk Konstantinopel (Istanbul).

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)

Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki Konstantinopel yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja pejuang-pejuang yang maju ke hadapan untuk memenuhi maksud hadis tersebut. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai usaha ketenteraan telah dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok berlapis Konstantinopel. Konstantinopel yang berada di dalam Empayar Byzantine dianggap sangat penting kerana ianya merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad SAW itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub al-Ansari r.a. syahid berhampiran tembok kota Konstantinopel. Beliau melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Beliau berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinopel, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.


ZAMAN KANAK-KANAK

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Adrianapolis yang terletak di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) adalah seorang yang soleh, handal dalam perang dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad menjadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.

Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Ini cukup untuk menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.

Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah bermazhab Hanbali itu amat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Tokoh yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Beliau bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.

Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinopel tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian.


ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah kerajaan Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad menjalankan urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah beliau menjawat jawatan khalifah secara rasmi. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.


ZAMAN DEWASA

Sepanjang hidupnya, Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri kempen ketenteraan sebanyak 25 kali. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan bahawa ketika tentera Islam membina ‘Benteng Rumeli Hisari’, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan sehingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.

Sultan Muhammad sangat gemar memakai serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu juga adalah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka untuk syahid pada bila-bila masa selain kecintaan kepada sunnah Rasulullah SAW. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu berserban. Beliau seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Beliau sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga gurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap meminta bapanya ke medan perang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah: “Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.” Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.


MEMBUKA KONSTANTINOPEL

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinopel, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Beliau belajar daripada sejarah yang menyaksikan kegagalan tentera Islam berulangkali dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.

Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.

Tentera Islam tiba di Konstantinopel dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, ianya memberikan kesan yang besar terhadap semangat tentera musuh.

Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinopel ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.

Sultan Muhammad, yang berusia 21 tahun pada ketika itu, dan tenteranya tiba di Konstantinopel pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinopel masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.

Namun, satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh.

Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.

Sesudah berlalu 53 hari, Konstantinopel masih tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan nekad dia berkata: “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate beserta 30 orang pejuang Islam menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu menaikkan lagi semangat tentera Islam. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinopel berjaya ditakluki oleh tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya gugur syahid akibat terkena anak panah musuh yang bertali arus.

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople akhirnya jatuh ke tangan Islam. Sultan Muhammad dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya, lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah beliau diberi gelaran Al-Fatehiaitu yang menang kerana kejayaannya menakluk Konstantinopel.

Sultan Muhammad kemudiannya menukar nama Konstantinopel kepada ‘Islambolyang bermaksudIslam Keseluruhannya’ (Nama Islambol kemudiannya diubah pula kepada ‘Istanbul’ oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk laknatullah). Sultan Muhammad juga menukar Gereja Besar St. Sophies kepada sebuah masjid yang diberi nama ‘Aya Sofia’ (Sekarang telah dijadikan muzium). Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Selepas berjaya menakluki Konstantinopel, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam?

Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya: “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu setelah baligh, sila duduk.” Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fardhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.

Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.” Sebahagian daripada tenteranya duduk.Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.” Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak akil baligh!


AKHIR HAYAT

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcayırı, Gebze. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini.

Wallahua’lam.


14 Ogos 2010

QARIN: MAKHLUK HALUS PENDAMPING MANUSIA

Qarin ialah perkataan Arab yang bermakna teman atau rakan. Istilah qarin di sini bermaksud roh-roh jahat dari kalangan makhluk-makhluk halus yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjerumuskan manusia dengan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu.

Semua manusia mempunyai qarin termasuklah Nabi atau orang yang alim. Allah SWT berfirman: “Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.” (QS Al-An’am: 112)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang berbunyi: “Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat.” Sahabat bertanya: “Adakah engkau juga, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: “Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan.”

Tersebut dalam Al-Quran tentang tugas-tugas malaikat. Di antara mereka ada yang tugasnya mencatat amalan makhluk setiap hari, mencatat segala ucapan, dan ada yang membawa wahyu kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Ada pula yang menjadi duta-duta. Ada pula yang bertugas memelihara Al-Quran, ada yang menjaga syurga dan ada yang menjaga neraka. Di antara mereka juga ada yang sentiasa berdoa siang dan malam, memuji-muii Allah dan bersujud. Ada pula yang sentiasa berdoa agar makhluk yang taat kepada Allah diberi keampunan. Tersebut juga dalam Al-Quran tentang adanya malaikat yang datang membawakan ilham kepada Maryam bahawa dia akan diberi putera, atau yang kelihatan oleh Rasulullah SAW ketika beliau mula-mula menerima wahyu. Disebut juga tentang malaikat yang bersayap, satu-satu, dua-dua, tiga-tiga dan empat-empat.

Tersebut juga dalam Al-Qu'ran bahawa malaikat yang datang membawa wahyu kepada rasul-rasul itu namanya Jibril AS, yang juga disebut Ruhul-Amin dan Ruhul-Qudus. Manusia yang sentiasa beriman dan istiqamah (tetap hati) akan didatangi oleh malaikat-malaikat untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka.

Dalam peperangan Badar, malaikat telah datang menolong orang-orang Islam, sampai 3,000 malaikat jumlahnya. Dijelaskan juga dalam hadis-hadis bahawa malaikat-malaikat itu memberi ilham yang baik kepada manusia, yang melahirkan keteguhan semangat dan iman. Ketika manusia diberi ilham yang baik oleh malaikat atau was-was yang buruk oleh syaitan, maka yang menerima ilham atau was-was itu bukanlah badan kasar, melainkan roh manusia jua. Tidak ada seorang pun yang dapat melihat dengan matanya sama ada malaikat atau syaitan yang datang memberi ilham atau waswas, melainkan pengaruh mereka itu masuk ke dalam jiwa atau perasaan orang yang berkenaan.

Kenyataan ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi & An-Nasa'i: “Sesungguhnya dari syaitan ada semacam gangguan kepada anak Adam, dan dari malaikat pun ada pula. Adapun gangguan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan sentuhan malaikat ialah menjanjikan kebaikan dan menerima kebenaran. Maka barang siapa merasai yang demikian, dia hendaklah mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, dan terima kasihlah ia kepadanya. Tetapi kalau didapatinya yang lain, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam. Kemudian ia membaca: “Syaitan menyuruh menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan kekejian.”

Telah berkata Sayyidatina Aishah r.a.: Bahawasanya Rasulullah SAW telah keluar dari sisinya pada satu malam, tiba-tiba berlakulah satu tiupan (syaitan) terhadapnya. Maka Rasulullah pun datang melihat perkara yang sedang saya lakukan. Baginda bertanya: “Apakah yang terjadi Aishah?” Maka saya menjawab: “Apa halnya saya, tidak diberi daya sebagaimana yang dikurniakan kepada engkau?” Jawab Rasulullah SAW: “Adakah syaitanmu telah datang?”. Maka saya menjawab: “Wahai Rasulullah. Adakah syaitan bersamaku?” Jawab baginda: “Ya.” Saya bertanya lagi: “Adakah terjadi pada tiap manusia?” Jawab baginda: “Ya.” Maka saya pun bertanya: “Adakah juga berlaku atasmu, wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Ya, tetapi Tuhanku memelihara akan daku hingga aku selamat daripada tipu dayanya. Sesungguhnya tidak ada seorang daripada manusia (yang dilahirkan) melainkan dikembari Allah seorang jin sebagai kawan.”

Jelasnya bahawa setiap orang itu mempunyai qarin. Maksud qarin di sini ialah syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Di antara qarin dan manusia, perbezaannya ialah manusia adalah seumpama bahan tunggangan, manakala qarin (iblis dan syaitan) tadi adalah penunggangnya. Demikianlah, perbandingan yang diberi oleh Rasulullah SAW. Maksud menunggang atau memperkosa di sini bukanlah seumpama manusia itu menunggang kuda, menjadikan syaitan itu seumpama seorang penunggang yang sentiasa berada di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat dilihat.

Iblis dan syaitan sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut kehendaknya. Banyak di antara mereka yang terpedaya dengannya sehingga menjadikan manusia itu memandang benda-benda yang baik itu buruk dan yang buruk itu baik serta menarik, cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang perintah Allah SWT. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan qarin tadi.

Gambaran godaan iblis dan syaitan terhadap manusia dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud bahawa seseorang itu apabila hendak menganut agama Islam, iblis akan menggoda dan menipu manusia. Syaitan akan bertanya adakah mereka hendak meninggalkan agama asal mereka, iaitu agama yang telah dianuti oleh bapa-bapa dan keturunan mereka sejak dahulu kala lagi.

Ketika manusia hendak berhijrah, iblis dan syaitan bertanya, adakah mereka sanggup meninggalkan tanahair yang telah mereka diami sejak dahulu kala. Adakah mereka akan meninggalkan langit atau tempat mereka berlindung. Padahal tempat yang hendak dituju belum pasti dapat menjamin kebahagiaan mereka. Begitu juga halnya ketika manusia hendak berjihad ke jalan Allah. Iblis dan syaitan menakut-nakutkan manusia supaya mereka sayangkan dunia yang begitu indah termasuk harta benda yang mereka miliki. Kemudian dibisikkan dalam hati mereka adakah mereka sanggup melihat isteri-isteri dikahwini oleh orang lain apabila mereka mati ketika berjihad. Harta yang ditinggalkan akan dibahagi-bahagi untuk orang yang masih hidup. Orang lain bersuka ria menikmati harta peninggalan. Isteri yang ada berkahwin lain. Perjuangan seumpama ini adalah merugikan.

Begitulah gambaran ringkas atas tamsil yang terjadi diantara manusia dan qarinnya atau dengan syaitan lain. Hanya manusia yang leka dan sesat sahaja yang akan terpedaya dengan qarinnya yang boleh diperintah dan dipacu menurut kehendaknya. Mereka inilah yang akan menjadi kuda tunggangan iblis dan syaitan.

Inilah jawapan Allah SWT ketika iblis laknatullah bersumpah akan membinasakan manusia: “Sesungguhnya hamba-hambaku tidak ada kekuasaan bagimu atas mereka, kecuali orang yang mengikuti kamu iaitu orang-orang yang sesat.” (QS Al-Hijr: 42)

Selain gangguan qarin, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW ada bersabda, yang bermaksud bahawa tidak ada anak Adam yang dilahirkan ke dunia ini yang tidak diganggu oleh syaitan kecuali Isa 'alaihissalam dan ibunya Maryam berdasarkan firman Allah SWT: “Sesungguhnya aku melindungi akan dia (Maryam) serta anak keturunannya daripada syaitan yang direjam.” (QS Ali Imran: 36)

Lantaran gangguan-gangguan yang sedia menunggu itu maka Allah menyuruh supaya dibacakan azan (bang) di telinga kanan dan (qamat) di telinga kiri sebaik-baik seorang bayi itu dilahirkan yang salah satu tujuannya untuk mengelakkan daripada gangguan iblis dan syaitan.

Dari Abu Rafi r.a. (bekas hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW) ia berkata: “Aku lihat Rasulullah SAW membaca azan solat di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah r.a. melahirkannya.”

Sebuah hadis lain, dari Husain bin Ali r.a., ia berkata bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan itu diazankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan (jin yang menganggu kanak-kanak) tidak akan menganggunya.”

Sehubungan dengan gangguan-gangguan ini, Rasulullah SAW ada bersabda yang berbunyi: “Apabila malam meliputi (atau apabila malam menyelubungi) maka cegahlah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu berkeliaran ketika itu. Maka apabila luputlah satu ketika daripada Isyak, maka berilah kebebasan kepada mereka, selak pintu kamu serta sebut nama Allah dan padamkan lampu serta sebut nama Allah, dan tudunglah bekas-bekas minuman kamu dan sebut nama Allah, dan tutuplah bekas-bekas makanan dan menyebut nama Allah biarpun bekas itu telah ditudungi atau direntangi sesuatu ke atasnya.” (HR Bukhari)

Jelasnya anak-anak kecil perlu berada dalam rumah pada waktu maghrib. Jangan biarkan mereka berada di luar rumah kerana pada masa itu segala jenis makhluk halus sedang keluar dari tempat kediaman masing-masing untuk mencari rezeki sambil mengenakan mangsanya.

Hakikatnya, malam bukan masa untuk manusia keluar dari rumah seperti yang seharusnya dilakukan pada waktu siang. Malam adalah untuk berehat, menenangkan fikiran dengan mengingati Allah, bukan untuk berkeliaran di luar rumah seperti firmanNya: “Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang mendengar.” (QS Yunus: 67)

Rasulullah SAW menyuruh supaya setiap orang mengurangkan keluar pada waktu malam kerana pada waktu malam segala kejahatan buruk boleh terjadi tanpa diduga. Keluar pada malam itu tidak digalakkan kecuali sebab-sebab tertentu. Apatah lagi jika keluar seorang diri. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda: “Andainya manusia itu tahu apa yang terjadi ketika berseorangan, seseorang itu tidak akan berjalan bersendirian biarpun satu malam buat selama-lamanya.”

Menurut kepercayaan keagamaan orang Mesir pada zaman lampau, qarin ialah makhluk kedua dalam setiap individu, atau secara umumnya sebagai teman, rakan dan syaitan. Dengan kata lain, qarin umumnya dipercayai sebagai hantu, syaitan atau jin yang lahir bersama-sama bayi dan akan menjadi teman sepanjang hidup.

Kepercayaan orang-orang Islam di Afrika Utara terhadap qarin berkait rapat dengan kepercayaan orang-orang Mesir. Jin yang terdiri daripada jantina yang berlainan menjadi rakan pada roh. Sekiranya bayi yang lahir itu lelaki, maka qarin itu dianggap sebagai kakak, begitulah sebaliknya. Qarin dikatakan tidur dengan kembarnya dan mempunyai kaitan dalam tidurnya yang dikenali sebagai mimpi.

Seorang yang sedang tidur dikatakan pengaruh qarinnya lebih kuat daripada orang itu. Dibandingkan dengan jumlah makhluk-makhluk lain, jumlah manusia adalah yang terkecil. Nisbah bilangan manusia hanya 1 %, bilangan jin 9%, manakala malaikat ialah 90%. Rasulullah SAW ada bersabda yang berbunyi: “Sesungguhnya Allah mencipta malaikat dan jin juga manusia 10 bahagian. Kadar malaikat 9 bahagian, jin dan manusia satu bahagian. Allah ciptakan dari satu bahagian itu dipecahkan kepada 10 bahagian. 9 bahagian daripadanya adalah bilangan jin dan hanya satu bahagian sahaja bilangan manusia.”

Wallahua’lam.

13 Ogos 2010

KESEDERHANAAN DALAM KEHIDUPAN (QANAAH)


Amru bin Harith r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika wafat tidak meninggalkan dinar, dirham, hamba sahaya lelaki atau perempuan, dan tiada sesuatu apa pun, kecuali keldai yang putih yang biasa ditungganginya dan sebidang tanah yang disedekahkan untuk kepentingan orang-orang yang merantau.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya, maka dia telah memperoleh keberuntungan yang banyak.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)

Rasulullah SAW selama hidupnya adalah seorang yang berperibadi sederhana. Meskipun memiliki kekuasaan yang besar, tidak sedikitpun dimanfaatkannya untuk memiliki harta yang berlimpah. Kesederhanaan Rasulullah SAW tidak terbatas pada sikap Baginda yang memang sangat sederhana, tetapi juga terhadap apa sahaja yang dimilikinya. Hal itu tampak jelas dalam kehidupan sehari-harinya.

Rasulullah SAW bersabda: "Tiada hak bagi seorang anak Adam dalam semua hal ini kecuali rumah tempat tinggal, baju yang menutup auratnya, roti kering dan air." (HR Tirmidzi)

Ibnu Abbas r.a. menceritakan bahawa kadang-kadang Rasulullah SAW beserta keluarganya tidak makan beberapa malam, kerana tidak ada makanan dan kebanyakan makanan mereka terdiri dari roti dan tepung gandum.

Dalam kehidupan dunia hari ini yang semakin materialistik, sikap sederhana adalah sesuatu yang jarang ditemui. Kebanyakan manusia cenderung mempertontonkan kemewahan dan berlebihan terhadap apa yang mereka miliki. Kebanyakan manusia merasa tidak pernah puas dengan apa yang telah mereka miliki. Ketika mereka telah dikurniakan oleh Allah SWT kendaraan berupa motosikal, mereka ingin memiliki kereta. Apabila hajatnya sudah dipenuhi, mereka berusaha memiliki kereta yang lebih mewah. Begitulah sifat tamak manusia yang akhirnya menyebabkan seseorang itu menjadi bakhil kerana takutkan kemiskinan atau berkurangnya harta kekayaan.

Firman Allah SWT: “Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Ali Imran: 180)

Perilaku di atas sering kali menjerumuskan manusia pada perilaku yang bertentangan dengan syariat Islam. Ketika manusia cenderung berperilaku berlebih-lebihan, sering kali pula manusia dibutakan matanya dengan melakukan perbuatan-perbuatan berupa perbuatan rasuah serta bentuk-bentuk kejahatan yang lain. Padahal, asas kesederhanaan adalah ‘Qanaah’ iaitu adanya rasa kecukupan pada dirinya dengan apa yang diterimanya.

Hidup sederhana adalah hidup tidak berlebih-lebihan, tidak bersikap mempertontonkan kemewahan kepada orang lain, terutamanya terhadap jiran tetangga. Hidup sederhana juga bererti sentiasa berlaku adil serta mensyukuri nikmat yang telah diberikan Allah SWT. Sikap hidup sederhana juga bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya, menggunakan harta yang dimilikinya untuk kepentingan dan kemaslahatan umat, dan sentiasa berzakat dan bersedekah.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS Al-Hasyr: 9)

Allah SWT juga berfirman: “Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (QS Al-Baqarah: 265)

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh bahagia orang orang yang masuk Islam, rezekinya cukup dan Allah menjadikan dia qanaah, berhati rela menerima segala pemberianNya." (HR Muslim)

Hidup sederhana bukan bererti tidak diperkenankan memiliki harta kekayaan. Namun, dalam pemilikan harta kekayaan harus didapatkannya sesuai dengan aturan yang telah digariskan dalam syariat terutama yang halalan thoyyiba (halal lagi suci), bersih dari unsur rasuah, terhindar dari segala bentuk kebatilan dan kefasikan, atau jauh dari norma-norma Islam, tidak cacat dari sudut syarie, tiada kerakusan, tidak meminta-minta apatah lagi mengemis yang dapat menjatuhkan martabat secara peribadi atau kolektif.

Firman Allah SWT: “Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezkikan kepadamu, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.” (QS Al-Maidah: 88)

Wallahua'lam.


09 Ogos 2010

PUASA BINA KEKUATAN DIRI (UTUSAN MALAYSIA 1/8/10)


Bersempena dengan kehadiran Ramadan al-Mubarak yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi, saya mengambil kesempatan dalam ruangan ini untuk memberi sedikit komentar tentang ibadah puasa yang begitu ditunggu-tunggu oleh mereka yang mengaku beriman dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

Sudah menjadi ketetapan dan kebijaksaan Allah SWT melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain, sepertimana Ia melebihkan sebahagian hari ke atas sebahagian hari yang lain, sebahagian malam ke atas sebahagian malam yang lain, begitu juga sebahagian bulan ke atas sebahagian bulan yang lain. Maka, begitulah bulan Ramadan yang bakal menemui kita beberapa hari lagi, Allah SWT melebihkannya dengan beberapa ciri dan keistimewaan melebihi dari bulan-bulan sebelum dan selepasnya. Allah SWT menganugerahkan di dalam bulan yang mulia ini dengan penurunan al-Quran yang menjadi penyuluh dari kegelapan kufur kepada cahaya iman. Dari kehinaan kejahilan kepada kemuliaan pengetahuan. Dari kerapuhan bermasyarakat kepada kekuatan berjamaah. Begitulah anugerah yang tiada tara dan nilainya anugerah dari Allah SWT yang Maha Agung untuk para warga bumi agar mereka sentiasa memurnikan ibadah hanya kepadaNya.

Allah SWT dengan keagungannya jua telah menetapkan ke atas manusia yang beriman untuk melaksanakan sepanjang siang hari di bulan yang penuh keberkatan ini dengan menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang boleh membawa kepada terbatalnya puasa. Bukan sekadar itu sahaja, malah umat Islam juga dituntut agar menghindarkan diri daripada melakukan pelbagai perkara yang boleh mencacatkan pahala puasa seperti mengumpat, mencaci, memandang perkara mungkar dan lain-lain lagi yang disebut sebagai perkara keji dan mungkar.

Sejarah mencatatkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini juga, berlaku peristiwa pembukaan kota Mekah yang mana pembukaan ini merakam suatu lembaran baru dalam sejarah Islam. Bermula dari lembaran ini, maka tersebar siarnya laungan kalimah Allah ke seperempat semenanjung Arab yang akhirnya membawa Islam berkembang dengan pesat ke serata alam timur dan barat. Natijah dari itu, umat Islam dihormati dan dipandang mulia dengan ketinggian akhlak dan kesopanannya. Pemerintah Islam dan keadilan pemerintahannya menyerlahkan lagi ketinggian martabat Islam ia berjaya menarik minat warga kuffar kepada agama Islam itu sendiri.

Jelas di atas bagaimana Ramadan, merupakan bulan gemilang bagi umat Islam dalam memaksimumkan kualiti dan kuantiti ibadat, malah memperkukuhkan semangat perjuangan dan pengorbanan. Kesemuanya itu terhasil bila manusia dengan kekuatan iman yang ada berjaya mengoptimumkan kekuatan diri dan akhlak dalam menewaskan musuh nafsu dan syahwat yang sentiasa mengikuti mereka.

Engkar

Apa yang dapat kita lihat dan dapati hari ini, bulan Ramadan datang dan pergi setiap tahun. Ramadan tidak pernah engkar untuk datang menemui umat Islam dan kita juga dalam keadaan reda menyambut kedatangan Ramadan biarpun dalam keadaan bersedia atau sebaliknya. Namun apa yang kita lihat hari ini, umat Islam masih berhadapan situasi sukar dengan rantaian permasalahan yang tidak kunjung padam. Isu sosial seperti zina, pembuangan bayi, jenayah,ekonomi dan begitu juga perpaduan ummah masih kabur untuk mencari jalan penyelesaiannya. Inilah yang telah disabdakan oleh Baginda Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan bahagian dari puasanya melainkan lapar dan dahaga, dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan bahagian dari ibadahnya melainkan rasa mengantuk sahaja." Hadis no 8501 ini riwayat Imam Ahmad menjelaskan bahawa sekiranya kerendahan kualiti ibadat yang sedemikian menempel pada diri umat Islam, nescaya amat sukar untuk mereka menyelesaikan persoalan-persoalan besar dalam kehidupan mereka.

Rupa-rupanya nilaian puasa yang hanya sekadar berlapar dahaga, solat sekadar berdiri menghadapkan diri ke kiblat semata-mata bagi melepaskan diri dari taklif sahaja, sudah pasti tidak ada kesan yang mendalam pada jiwa dan rohani, belum tentu ibadat itu hidup dan kembali menyuburkan roh pelakunya. Umpamanya, seorang pelajar yang cuma belajar bagi memperoleh markah lulus 'cukup makan' semata-mata bagi melayakkannya mendapat segulung sijil. Maka, kesannya adalah pelajar tersebut tidak mampu untuk memahami apa yang telah diajar kepadanya dengan baik dan seterusnya gagal untuk mempraktikkan ilmu tersebut di luar sekolah dengan berkesan, apatah lagi mahu mengajarkannya. Ini kerana ilmu yang difahami dan dihayati sepenuhnya di sekolah mempunyai roh yang tinggi yang terkesan buat jiwa dan pemikiran. Begitulah puasa yang dilakukan tanpa penghayatan dan kerendahan hati memohon keredaan Allah SWT, nescaya tiada nilai di sisi Allah SWT apatah lagi untuk mengharap pengampunan dariNya. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa kerana iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (Imam Bukhari - hadis no:37)

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniah puasa itu antaranya :

1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan daripada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh Islam dan segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, berbohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, kerana setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa.

5) Jangan membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

6) Hendaklah hati merasa bimbang dan takut, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah SWT , sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT.

Atas adunan enam perkara yang telah disebutkan, bahawa puasa itu puasa mata, telinga, lidah, pemikiran dan hati. Puasa bukan saja dari perkara haram malah dari apa yang makruh dan berlebih-lebihan. Puasa yang semata-mata kerana Allah SWT dan untuk Allah SWT, bukan kerana 'diet' mahupun ikutan atau budaya, puasa inilah yang akan memberikan ganjaran cemerlang untuk kita semua.

Puasa menyatukan umat ini.

Kedatangan bulan Ramadan sepatutnya menyerlahkan perpaduan di kalangan umat Islam. Di pelosok bumi mana pun kita berada, pastinya kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadah yang sama dengan saudara seagama kita di bumi yang lain. Tidak kira apa jua bangsa, warna kulit dan keturunan. Kita bersama-sama berpadu merasai kelaparan bukan kerana menuruti arahan saudara mara mahupun proksi kita, tetapi kita menuruti arahan yang datangnya dari Allah SWT yang Maha Agung. Begitulah hal-hal lain dalam kehidupan kita bermasyarakat, apakah kita masih gagal berpadu dan bersatu atas tali Allah, sedangkan Allah SWT yang esa itulah juga yang menyuruh kita bertindak sedemikian.

Puasa Ramadan juga mengingatkan kita akan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh saudara seagama kita di tempat yang lain. Dugaan yang ditempoh sepanjang Ramadan menimbulkan simpati, kasihan belas, kasih sayang, semangat persaudaraan terhadap umat Islam lain. Dengan kedatangan Ramadan, tidakkah terlintas di dalam hati kita akan mihnah perjuangan rakyat Palestin? Pergolakan yang berlaku di Iraq dan kesusahan umat Islam yang lain. Maka, perasaan sedemikian wajar disematkan dalam diri umat Islam biarpun terdapat sedikit perbezaan pandangan dan ideologi.

Maka oleh kerana itu saya menyeru dan memperingatkan diri saya dan kita semua untuk menilai kualiti ibadah puasa kita apakah ia sudah mencapai markah cemerlang atau sekadar 'cukup makan'. Puasa yang sepatutnya menjadikan diri kita ini bertaqwa, jika ternyata belum berlaku kita sepatutnya memuhasabahkan diri kita selagi kita punya peluang bertemu dengan Ramadan ini. Akhir kata saya ucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam, semoga Allah SWT akan menerima segala ibadat kita nanti, amin ya Rabbal alamin.