Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 September 2009

UMAT YANG MENJADI KHADAM KEPADA MUSUH


Sabda junjungan Rasulullah SAW: "Umat-umat yang lain akan meratah, memusuhi dan menyerang kamu sebagaimana orang-orang yang meratah makanan yang terhidang di dalam hidangan mereka." Para sahabat bertanya: "Adakah ketika itu bilangan kami sedikit wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah: "Tidak, bahkan bilangan kamu pada masa itu ramai, tetapi kamu pada masa itu umpama bunyi air banjir. Allah mencabut perasaan gerun terhadap kamu dari dalam hati musuh-musuh kamu dan kemudian Allah memasukkan wahan ke dalam hati kamu." Para sahabat bertanya: "Apa itu wahan wahai ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah: "Cintakan dunia dan takut mati."

Apa yang diberitahu oleh Rasulullah SAW benar-benar berlaku pada hari ini apabila satu persatu penghinaan menimpa umat Islam sama ada mereka dibunuh, dijajah, diserang dan dizalimi. Keadaan ini berlaku pada masa jamaah umat Islam sangat ramai melebihi satu billion orang di seluruh dunia.

Walaupun begitu, mengapa mereka tetap mendapat penghinaan daripada Allah Taala? Kenapakah dengan sumber kekayaan yang melimpah ruah yang dikurniakan oleh Allah Taala di bumi negara umat Islam daripada sumber galian, tanah yang subur dan rakyat yang ramai tiba-tiba semua itu menjadi sasaran kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam? Sepatutnya ia digunakan oleh umat Islam sendiri untuk membina kekuatan dan kemuliaan. Sebaliknya banyak tanah yang umat Islam dijajah oleh musuh-musuh Islam dan umat Islam mengalami kezaliman seperti di Bosnia, Kosovo, Palestin, Iraq dan lain-lain lagi dengan dikuasai oleh penjajah dan kuasa besar dunia seperti Amerika, Rusia, China, India, Israel dan lain-lain.

Punca sebenar kelemahan umat Islam dapat dilihat melalui susur galur sejarah umat Islam. Umat Islam tidak pernah menerima penghinaan yang sebegini rupa sejak zaman Rasulullah SAW sehingga zaman Khalifah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masehi. Walaupun di dalam tempoh tersebut ada juga tanah air umat Islam diserang oleh musuh dan juga orang-orang Islam yang dizalimi namun ianya tidak lama kerana masih ada tindakan daripada umat Islam yang menunjukkan umat Islam masih ada maruah dan harga diri mereka sendiri. Pada masa itu lagi kerajaan Islam yang menegakkan hukum Allah dan syariat Allah Taala.

Walau pun ada juga raja yang zalim tetapi kezaliman tersebut tidak sampai kepada peringkat meninggalkan hukum Allah Taala, kezaliman tersebut hanya berlaku ke atas diri mereka sendiri. Apa yang berlaku selepas gugurnya khalifah Uthmaniyyah ialah hukum Allah Taala telah ditinggalkan, yang mengundang hukumnya daripada Allah Taala apabila tanah air umat Islam dikuasai oleh musuh-musuh Islam. Tanah air umat Islam dibahagikan-bahagikan sesama kuasa-kuasa kepada seumpama bahagian kuih dan makanan sesama mereka. Tanah air umat Islam dipecah perintah oleh musuh-musuh Islam sehingga tidak memberi peluang untuk bersatu. Umat Islam meninggalkan perintah Allah Taala di dalam firmannya: "Berpegang bahulah kamu dengan Allah (Islam) dan jangan kamu berpecah belah".

Namun yang berlaku ialah masing-masing berpegang dengan fahaman kebangsaan dan semangat kenegerian di antara satu sama lain dan tidak berlaku tolong menolong sesama umat Islam. Keadaan bertambah buruk apabila pemimpin-pemimpin yang menguasai mereka tidak bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum Allah Taala. Rakyat tidak sedar bahawa tidak akan ada keadilan dan kejujuran tanpa Islam, tanpa hukum Allah. Buktinya apabila Amerika dan sekutu-sekutunya menyerang Iraq, kebanyakan pemimpin-pemimpin negara Islam diam seribu bahasa. Mereka yang berbangga dengan kemajuan dan kekuatan dahulunya, kini membisu di hadapan keganasan Amerika dan kekejaman sekutu-sekutu mereka membunuh dan mencederakan umat Islam di Iraq.

Sebenarnya sesetengah pemimpin negara umat Islam hari ini tidak lebih daripada menjadi khadam kepada Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia. Buktinya kita melihat mereka membenarkan negara mereka menjadi pengkalan tentera musuh-musuh Islam untuk membunuh umat Islam. Negara-negara umat Islam seperti Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Kuwait dan lain-lain menyediakan tapak kepada tentera-tentera Amerika. Mereka ini berlagak menjadi pahlawan Islam apabila bercakap berkenaan dengan Islam malah lebih daripada ulama-ulama Islam sendiri. Percakapan mereka tentang Islam yang mengkagumkan itu hanyalah lakonan semata-mata untuk berselindung daripada pengetahuan rakyat bahawa mereka asalnya adalah khadam kepada musuh-musuh Islam.

Umat Islam perlu insaf dan kembali semula kepada apa yang sebenarnya memberi kemuliaan dan kekuatan kepada umat Islam iaitu Al-Quran serta suri teladan kehidupan Islam di zaman Rasulullah SAW. Tidak ada cara lain selain daripada kembali beramal dengan Islam, agama Allah Taala yang diajar oleh Rasulullah SAW. Ingatlah firman Allah SWT: "... Hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepadamu dan Aku telah redha Islam sebagai agamamu…..” (QS Al-Maidah:3)
.

28 September 2009

GANJARAN BESAR PUASA ENAM (HARIAN METRO, 25/9/09)


BAGI sesetengah orang, Syawal dianggap bulan berpesta dan bersuka ria dengan jamuan dan juadah, sehingga ada yang meraikannya sebulan penuh seolah-olah puasa lenyap dalam kamus hidup mereka.

Tetapi hakikatnya, pada Syawal masih terdapat ibadat puasa iaitu 'puasa enam'. Cuma ia tidaklah menjadi suatu kewajipan seperti dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun, ibadat sunat itu adalah kesinambungan kepada ibadat Ramadan. Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh terdahulu.

Nabi Muhammad SAW ada menjelaskan ganjaran diperoleh mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya. "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW menjelaskan, sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan enam Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya.

Penegasan Nabi SAW itu menunjukkan puasa enam amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib. Baginda menggalakkan umatnya rajin beribadat, iaitu ibadat fardu disusuli amalan sunat. Ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut. Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari. Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan. Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat. Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: "Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada".

Imam As-Syafi'i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab 'seyang tiap amalan dengan niatnya' bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat. Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus. Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh 'Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti. Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal. "Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih)."

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang. Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah 'membayar' terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.
.

27 September 2009

HADIS-HADIS BERKENAAN SOLAT


1. Rasulullah SAW bersabda: "Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 darjat." (HR Bukhari dan Muslim)

2. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat berjemaah kemudian duduk berzikir hingga terbit matahari kemudian solat 2 rakaat (sunat dhuha) maka ia akan mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna." (HR Tirmidzi)

3. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berjalan untuk solat fardhu maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan jika ia berjalan untuk solat sunat maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan umrah sunat." (HR At-Tabrani)

4. Rasulullah SAW bersabda: "2 rakaat solat sunat fajar itu pahalanya lebih baik daripada dunia seisinya." (HR Muslim & Tirmidzi)

5. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka." (HR At-Tabrani)

6. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau sujud akan berjatuhanlah dosa-dosanya itu." (HR At-Tabrani)

7. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelumdan selepas zohor sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka." (HR Abu Daud & Tirmidzi)

8. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna maka keluarlah dosa dari tubuhnya sehingga dari bawah kukunya juga." (HR Muslim)

9. Rasulullah SAW bersabda: "Malaikat akan berdoa untuk kamu selama kamu masih berada didalam masjid dan melakukan solat dan selama kamu tidak berhadas. Berkata Malaikat "Ya Allah, ampunilah dia dan turunkanlah rahmatMu kepadanya." (HR Bukhari)

10. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat Isyak berjemaah maka bagaikan bangun (beribadah) malam dan (pada esok paginya) ia mengerjakan solat Subuh secara berjemaah juga maka (pahalanya) bagaikan bangun semalaman (penuh)." (HR Muslim & Ahmad)

11. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu rasa ada angin di dalam perutmu kemudian kamu ragu adakah ianya telah keluar atau belum, maka janganlah keluar dari solatmu sehingga jelas terdengar bunyi atau tercium baunya." (HR Muslim)

12. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak takutkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (mengangkat kepalanya), kelak akan digantikan kepalanya dengan kepala keldai." (HR Muslim)

13. Rasullulah SAW bersabda: "Solat dengan bersiwak (mengosok gigi) lebih afdhal(baik) dari 70x solat tanpa siwak." (HR Zanjawaih & Hakim)

14. Rasullulah SAW bersabda: "Solat sunat atau fardhu dengan memakai serban menyamai 25x solat yang tidak memakai serban dan solat Jumaat dengan memakai serban menyamai 70x Jumaat tanpa memakai serban." (HR Ibn' Asakir)

15. Rasulullah SAW bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas." (HR Bukhari & Muslim)

16. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila imam bangun dari rukuk serta membaca doa, maka hendaklah kamu membaca 'Allahuma Rabbana lakal hamdu' kerana sesiapa yang berkebetulan bacaannya dengan bacaan Malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari & Muslim)

17. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk padahal ia masih ada wuduk, maka dicatat untuknya sepuluh hasanat." (HR Abu Daud)
.

26 September 2009

ISLAM AGAMA SEJAGAT (HARIAN METRO, 25/9/09)


ISLAM! Satu agama yang menekankan konsep ketuhanan yang satu, berasaskan ajaran yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran, iaitu satu-satunya kitab yang terpelihara daripada sebarang bentuk kesilapan. Mereka yang memeluk Islam diiktiraf sebagai golongan terbaik. Ini diakui sendiri Allah melalui firman-Nya, bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada Allah." (Al-Quran, surah Ali-Imran: 110)

Sinar Islam terpancar di seluruh penjuru dunia. Selagi tempat itu dihuni manusia, demikianlah cahaya kebenaran itu menerangi hati masyarakatnya. Begitupun, Islam paling berpengaruh di benua Afrika dan rantau Timur Tengah, termasuk di beberapa negara benua Asia. Komuniti besar juga dijumpai di China, Semenanjung Balkan di Eropah Timur dan Russia, yang dulunya kebal dengan anasir komunisme. Tidak ketinggalan di Eropah Barat yang bertunas melalui kumpulan imigran Muslim. Hari ini dianggarkan ada kira-kira 1.8 bilion umat Islam, dengan 20 peratus tinggal di negara Arab, 30 peratus di wilayah dan perbatasan sebelah India manakala 15.6 peratus adalah Indonesia, iaitu negara paling ramai masyarakat Islam.

Secara umum orang Islam terbahagi kepada dua denominasi besar, Sunni (85 peratus) dan Syiah (15 peratus), namun mereka teguh bernaung di bawah kepercayaan yang satu, malah ibadatnya serupa. Jumlah yang sangat besar itu sekali gus menjadikan Islam menjadi agama kedua terbesar di dunia, selepas Kristian.

Suburnya Islam ibarat 'cendawan selepas hujan' hasil dakwah dan perjuangan yang dipelopori junjungan besar Nabi Muhammad SAW, nabi terakhir bagi manusia. Realiti ini membuktikan Islam agama yang sesuai dan semakin diterima sekalian manusia, tidak mengira jantina, usia dan taraf kedudukan, baik miskin atau kaya, selagi mengakui tuhannya Allah dan Nabi Muhammad SAW Rasulullah.

Tetapi apabila sudah besar, muncul pula perselisihan. Bukan sekadar urusan keduniaan, malah persoalan seperti untuk siapa dan milik siapa Islam ini, bahkan siapa yang layak memartabatkannya juga diperdebatkan. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, bermula daripada bibit kecil itu tercetus pertikaman lidah, tuduh menuduh dan saling mempelekehkan, sehingga terbawa-bawa kepada isu terkeluar daripada Islam yang sebenar, dek kerana terkeliru.

Penyandang Kursi Abdullah Fahim di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim, menegaskan Islam yang diturunkan Allah melalui Rasul-Nya sebenarnya untuk semua manusia. Menurutnya, sesiapapun berhak menganut agama suci itu dan tiada sebarang sekatan dalam hal ini, termasuk untuk mengamalkan ajaran Islam dan memperjuangkannya.

Nabi bersabda bermaksud: "Sesiapa mengajak kepada petunjuk, baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikuti (ajakan)nya, tidak dikurangi sedikitpun daripada pahala-pahala mereka." (Hadis riwayat Muslim)

Beliau berkata, sekiranya masyarakat menyelusuri sejarah, Islam wujud semenjak zaman Nabi Adam AS lagi, kemudian ia berterusan kepada nabi dan rasul selepas baginda. "Cuma selepas Nabi Ibrahim AS, banyak pihak yang meninggalkan ajaran Islam sehingga menyembah berhala, menyekutukan Allah. Akhir sekali datang Nabi Muhammad SAW membawa Islam iaitu Islam yang dibawa yang sama dari dulu. Cuma dakwah Nabi Muhammad ini berbeza sedikit dengan nabi sebelumnya, kerana nabi sebelumnya membawa ajaran untuk kaum tertentu saja."
.
"Baginda SAW pula membawa ajaran Islam untuk semua manusia, tidak terbatas di negara Arab dan kaum tertentu saja. Islam seluruhnya adalah komuniti yang paling besar dan kerana itu dalam solat, ibadat puasa, hatta menunaikan haji juga di tempat yang sama iaitu di Tanah Suci Makkah. Melalui ibadat ini menjelaskan kepada masyarakat, umat Islam adalah satu dan kita harus bersatu," katanya.

Beliau juga menegaskan, Islam adalah milik semua pihak yang mengaku Nabi Muhammad SAW adalah nabi terakhir, mengucap kalimah syahadah dan tidak murtad, iaitu selagi tidak menyatakan keluar daripada Islam. "Apabila mengatakan solat tidak wajib, terkeluarlah daripada Islam dan kalau melakukan maksiat sekalipun, selagi tidak menafikan kewajipan dalam beragama, masih dikira Islam," katanya.

Lima ahli hadis meriwayatkan daripada Tamim ad-Darimi dari Nabi SAW, baginda bersabda, (maksudnya): "Agama adalah nasihat." Kami bertanya: "Untuk siapa?" Nabi SAW menjawab: "Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, ulama umat Islam dan umat Islam secara keseluruhannya."

Orang Islam mempercayai Allah mewahyukan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, melalui malaikat Jibril AS serta menjunjung tinggi al-Quran dan sunnah sebagai sumber asas dalam kehidupan, sama ada membabitkan politik, ekonomi, pendidikan dan hal ehwal kemasyarakatan, selain mengambil hukum melalui ijmak, qias dan ijtihad. Sebagaimana fahaman lain yang mempunyai tatacara, Islam juga tidak terlepas daripadanya, malah rangkuman tiga segmen; ketuhanan (tauhid), peribadatan (syariah) dan nilai (akhlak), menjadikannya ajaran yang lebih tersusun. Ringkasnya, umat Islam perlu mematuhi lima prinsip yang disebut Rukun Islam, gabungan ketiga-tiga segmen terbabit.

Bagi umat Islam, walaupun Nabi Muhammad yang membawa ajaran Islam, mereka tidak menganggap baginda pengasas agama baru, tetapi sebagai rasul mengembalikan semula ajaran asal ketuhanan yang satu Nabi Ibrahim, Musa, Isa dan sekalian nabi AS. Dr Ismail berkata, dalam soal ini tidak berbangkit lagi persoalan sama ada sesetengah pihak itu Islam atau terkeluar daripada Islam, selagi dia mematuhi prinsip terbabit. "Islam bukan untuk orang Melayu atau Arab sahaja. Michael Jackson pun kalau dia mengucap kalimah syahadah, dia juga orang Islam," katanya.
.

23 September 2009

MEMIKUL AMANAH DAN BERLAKU ADIL


Ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah tiba-tiba datang seorang lelaki bertanya bilakah berlakunya kiamat. Rasulullah SAW tidak mengendahkan soalannya lalu meneruskan ucapan Baginda sehingga sahabat-sahabat yang hadir terfikir mungkin Rasulullah SAW marah kerana lelaki berkenaan bertanya dengan cara yang tidak beradab yakni bertanya ketika Baginda sedang berkhutbah.
.
Sesetengahnya ada yang berfikir kemungkinan Rasulullah SAW tidak mendengar soalan itu yang menyebabkan Baginda tidak menjawab pertanyaan lelaki berkenaan. Ada pula yang terfikir mungkin Rasulullah SAW akan menangguhkan jawapannya selepas selesai apa yang ingin diberitahu dalam khutbahnya itu.

Selesai khutbahnya barulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mana dia orang yang bertanya tentang kiamat tadi?" Lalu lelaki berkenaan berkata: "Saya di sini, wahai Rasulullah." Rasulullah SAW lalu bersabda: "Akan berlaku kiamat apabila disia-siakan amanah." Lelaki berkenaan bertanya lagi: "Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW bersabda: "Apabila diserahkan urusan orang Islam kepada orang yang bukan ahlinya (termasuk ahli maksiat, orang jahil yang tidak mengerti agama) maka tunggulah kiamat." Ini menandakan kemusnahan akan berlaku kepada umat manusia ketika itu.

Orang yang menunaikan amanah diberi pahala yang besar. Allah SWT telah menegaskan tentang amanah memerintah negara sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "...dan apabila kamu menghukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu menghukum dengan adil..." (QS An-Nisa': 58) Ayat ini menegaskan bahawa setiap hukuman mestilah selari dengan ketetapan Allah SWT.

Ad-Dahhak berkata dalam masalah perundangan, saksi diminta dari orang yang mendakwa (menuduh) dan sumpah dari orang yang engkar (yang didakwa). Hakim yang membicarakan kes di mahkamah, dia hendaklah meminta saksi dari siapa yang mendakwa seseorang. Saksi mengikut hukum Islam ialah saksi yang adil dan sumpah dipertanggungjawabkan ke atas orang yang engkar. Ayat ini lebih utama ditujukan kepada pemimpin-pemimpin. Sekiranya mereka menunaikan kewajipan dengan betul, nescaya mereka mendapat kelebihan dan pahala yang besar di sisi Allah SWT seperti yang dijanjikanNya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya orang-orang yang adil pada hari kiamat akan berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya di sebelah kanan Tuhan Yang Rahman dan kedua-dua Tangan-Nya adalah kanan (tangan yang layak dengan Allah, tidak sama dengan makhluk)."

Semuanya berada di kanan, tiada yang kiri di sisi Allah SWT. Kita tidak boleh fikir bagaimanakah keadaan-Nya. Allah sahaja Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Orang-orang yang adil ketika menjatuhkan hukuman dan orang-orang yang ahli diserahkan segala urusan keahliannya, apabila menunaikan amanah mendapat kelebihan dan ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Setiap manusia menjadi pemimpin mengikut kadar masing-masing. Sabda Rasulullah SAW: "Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinan kamu (rakyat kamu), orang lelaki memimpin keluarga, anak isterinya dan akan ditanya berhubung dengan rakyatnya. Perempuan (isteri) memimpin rumahtanga suaminya dan akan ditanya berkenaan dengan rakyatnya. Hamba yang menjaga harta tuannya akan ditanya berhubung dengan rakyatnya. Dan setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya berkenaan dengan rakyatnya."

Wallahua'lam.
.

22 September 2009

UMAIMAH MENDAPAT SUAMI YANG SYAHID


UMAIMAH binti Khalaf adalah seorang srikandi yang penyabar. Dia adalah isteri seorang pahlawan Islam yang bernama Khalid bin Said bin al-Ash. Umaimah dan suaminya adalah pasangan suami isteri yang sama padan. Mereka sanggup melalui pelbagai rintangan hidup. Sudah dan senang, Umaimah tetap bersama suami tercinta.
.
Pada suatu malam, suaminya mengalami satu mimpi yang aneh. Pada keesokan harinya, suaminya menceritakan mimpi itu kepadanya. Khalid berkata: "Malam tadi saya bermimpi. Saya lihat ada satu unggun api yang begitu besar. Nyalaan api itu begitu panas sehingga boleh membakar diri orang yang terkena api itu." Khalid menyambung lagi: "Kemudian, ayah saya datang menghampiri saya. Ayah meminta saya masuk ke dalam nyalaan api yang besar itu."
.
Umaimah mendengar cerita mimpi suaminya dengan teliti. Kemudian, dia bertanya kepada suaminya: "Apakah yang berlaku selepas itu?" Khalid menjawab: "Saya hampir-hampir masuk ke dalam api yang besar itu. Tiba-tiba saya merasa diri saya ditarik dari belakang. Saya tidak dapat melangkah ke arah unggun api itu. Kemudian saya menoleh ke belakang, alangkah terkejutnya saya apabila melihat Nabi Muhammad yang menarik baju saya."
.
"Begitukah kesudahan cerita mimpi awak?", tanya Umaimah. Khalid menyambung lagi: "Saya melihat Nabi Muhammad terus menarik saya jauh dari unggun api itu. Saya tahu tindakan Nabi Muhammad adalah bagi menyelamatkan saya daripada terkena api yang besar."
.
Selepas Umaimah mendengar cerita mimpi suaminya, dia pun berkata: "Abu Bakar as-Siddiq adalah orang yang pandai mentafsir mimpi. Awak bertanyalah dengannya." "Betul juga kata awak," ujar suaminya.
.
Khalid bergegas ke rumah Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Sampai sahaja di sana, Khalid menceritakan mimpinya. Lalu, Abu Bakar menjawab: "Anda begitu bertuah kerana mengalami mimpi itu. Mimpi itu adalah petanda baik bagi anda. Nabi Muhammad menyelamatkan anda daripada terpengaruh dengan ajakan ayah anda. Masuklah Islam. Islam menyelamatkan anda daripada seksaan api neraka."
.
Khalid memahami maksud Abu Bakar. Khalid berkata, "Terima kasih kerana membantu saya mentafsirkan mimpi itu. Saya akan berjumpa Nabi Muhammad". Lalu Khalid bergegas berjumpa Nabi Muhammad SAW. Sampai di hadapan Nabi Muhammad, Khalid mengucapkan dua kalimah syahadah. Khalid sudah memeluk agama Islam.
.
Khalid gembira kerana dia sudah memeluk Islam. Berita keislaman dirinya disampaikan kepada isteri tercinta. "Wahai isteriku, saya sudah tahu makna mimpi itu?" kata Khalid kepada Umaimah. "Apakah yang diberitahu oleh Abu Bakar tentang mimpi awak itu?," tanya Umaimah. "Jawapannya sekarang ialah saya sudah memeluk agama Islam. Saya akan terus mempelajari agama Islam daripada Nabi Muhammad," jawab Khalid.
.
"Betulkah apa yang awak katakan ini?," tanya Umaimah tidak sabar-sabar mendapat pengesahan keislaman suaminya. "Ya, benar. Saya sudah menjadi orang Islam," kata Khalid. "Saya juga mahu menjadi orang Islam seperti awak. Saya mahu berjumpa Nabi Muhammad. Bawalah saya berjumpa Nabi Muhammad," kata Umaimah kepada suaminya.
.
Akhirnya, Umaimah dan suaminya memeluk agama Islam. Kemudian, mereka berhijrah ke Habsyah selepas mendapat tentangan daripada kaum Quraisy Mekah. Semasa di Habsyah, mereka hidup dengan aman dan damai.
.
Umaimah didapati hamil. Dia selamat melahirkan anaknya di Habsyah. Selama dia dan suaminya tinggal di Habsyah, mereka dikurniakan dua orang anak. Anak-anaknya bernama Said bin Khalid dan Amah binti Khalid.
.
Pada suatu hari, tiba masanya pasukan tentera Islam pergi berperang di negeri Syam. Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a. mengarahkan Syaruhbil bin Hasan menakluk negeri Syam. Khalid bergabung dengan pasukan tentera yang diketuai oleh Syaruhbil bin Hasan.
.
Semasa dalam pertempuran itu, Khalid mati syahid. Berita kematiannya diketahui oleh isterinya. Isterinya menerima berita kematian suaminya dengan redha dan sabar.
.

18 September 2009

HIKMAH DI SEBALIK KESABARAN


ISLAM menuntut umatnya supaya sentiasa bersabar. Setiap dugaan dan halangan hidup seharian perlu ditempuhi dengan redha dan penuh keinsafan. Umpamanya apabila ditimpa kemalangan atau musibah, hendaklah menyerahkan diri dan bertawakkal kepada Allah SWT.

Sikap sabar akan memberi ganjaran kepada manusia baik di dunia atau akhirat. Ini dijelaskan dalam al-Quran bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT dan membuat kebajikan. Allah menjanjikan balasan yang baik dan kemenangan yang besar bagi orang-orang yang sabar.

Sabar adalah antara sifat orang-orang Mukmin dan menjadi salah satu amalan soleh. Orang yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Ini seperti firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau wanita sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak pula dianiaya sedikit pun...” (QS An-Nisa:124).

Justeru, hendaklah kita berlumba-lumba membuat kebaikan seperti bersedekah, menolong orang dan ringan dalam mengerjakan amal ibadat. Begitu juga dalam hal berkaitan sifat sabar, terutama ketika berhadapan dengan masalah seharian. Pergaulan dengan jiran, rakan dan saudara mara perlu dijaga dengan baik. Sekiranya timbul perbalahan, ianya perlu ditangani dengan adil, saksama dan penuh kesabaran. Kehilangan sifat sabar hanya akan mengeruhkan keadaan, bukan menyelesaikan masalah. Sifat sabar membuktikan kewibawaan, peribadi dan ciri Muslim sejati serta mulia. Belajarlah menghormati jika kita mahu diri dihormati dan disegani orang lain.

Ganjaran sabar di dunia ialah mendapat kemenangan dan kejayaan hidup dalam menegakkan kebenaran Allah. Firman Allah bermaksud: “Ya, cukuplah jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka akan datang menyerang kamu seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.” (QS Ali Imran: 125).

Orang bersabar terhadap ujian Allah SWT dan sebarang kesusahan dalam mempertahankan keimanan amat dikasihi Allah serta diberikan kurnia yang banyak. Akhirnya hidup kita akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang masa. Begitu juga orang yang kuat dalam kesabaran kerana mempertahankan keimanannya juga akan mendapat keuntungan. Firman Allah bermaksud: “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan kepada mereka...” (QS Ali Imran: 170).

Sebenarnya pelbagai ganjaran dan balasan akan diberikan oleh Allah kepada orang bersabar. Ini kerana melalui sifat sabar akan membentuk jiwa yang kuat dan mental yang berani untuk menghadapi segala cabaran dan peristiwa yang boleh mengganggu gugat keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ganjaran besar seterusnya menunggu orang yang sentiasa sabar dengan ujian Allah pada hari akhirat. Diketahui bahawa keuntungan, kesenangan, harta benda dan wang yang banyak yang diperoleh di dunia hanyalah sementara. Sebaliknya keuntungan dan kebahagiaan pada akhirat akan kekal dan abadi. Perkara inilah yang akan dinikmati oleh golongan beriman dan sabar dalam keimanannya. Ini dapat dihayati melalui maksud firman Allah: “Hai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah waspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (QS Ali Imran: 200).

Allah menyediakan tempat kembali yang mulia dan mengangkat kedudukan hambaNya yang sabar dan beriman ke tempat yang terpuji beserta para anbiya dan salaf al-soleh. Mereka inilah yang akan menerima catatan amal di sebelah kanan dan mendapat layanan sempurna pada akhirat kelak iaitu dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tidak dapat digambarkan dengan akal fikiran.

Hikmah sifat sabar dapat kita pelajari melalui ayat-ayat Al-Quran sepertimana berikut:

Orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh kelak akan kami masukkan ke dalam syurga...” (QS An-Nisa: 122)

Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya...” (QS Al-An'am: 160)

Kecuali orang sabar (terhadap ujian) dan mengerjakan amal soleh, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” (QS Hud: 11)

Jelaslah, sabar adalah sifat yang membawa kebajikan. Malah Allah SWT memberikan pahala bagi orang yang membuat kebajikan dengan ganjaran berkali-kali ganda. Orang yang sentiasa bersabar akan mendapat keampunan daripada Allah SWT terhadap segala dosa yang pernah mereka lakukan dengan pahala yang besar. Oleh itu, sentiasa ingat bahawa sabar itu sebahagian besar dari iman agar hidup kita sentiasa bahagia dan sejahtera.
.

17 September 2009

10 PERANGKAP SYAITAN - SIFAT MAZMUMAH


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahannam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' (QS An-Nisa': 120~121)

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah, sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri kita. Apabila syaitan sudah merajai diri seseorang, individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah SWT kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan laknatullah mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia secara berterusan untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut. Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu (10 sifat mazmumah):

1. BANYAK MAKAN
Makan dan minum yang berlebihan mengakibatkan seseorang itu malas, lemah badannya serta banyak tidur. Ini menyebabkan seseorang itu lalai daripada menjalankan ibadah serta zikrullah. Firman Allah SWT: "Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (QS Al-A'raf:31)

2. BANYAK BERCAKAP
Apabila seseorang itu banyak bercakap maka banyaklah salahnya. Banyak salahnya maka banyaklah dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam." (HR Imam Muslim)

3. PEMARAH
Sifat pemarah yang dimaksudkan ialah kemarahan yang bukan pada tempatnya dan tanpa sebab yang munasabah. Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah yang dapat menjauhkan diri saya daripada kemurkaan Allah Azza wa Jalla? Baginda menjawab: "Janganlah kamu marah." (HR Imam Ahmad dan Ibnu Hibban).

4. HASAD
Orang yang memiliki sifat hasad sentiasa menginginkan agar nikmat yang diperolehi oleh orang lain berpindah kepadanya dan selalu berdukacita apabila orang lain mendapat kesenangan atau kurnia. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering." (HR Bukhari dan Muslim).

5. BAKHIL
Orang yang memiliki sifat ini bakhil untuk membelanjakan hartanya ke jalan Allah SWT dan untuk agamaNya. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperolehi adalah kurniaan Allah SWT semata-mata yang seharusnya dibelanjakan pada jalan yang hak. Kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT sepatutnya digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan, sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah. Firman Allah SWT: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Allah yang mempusakai langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Ali-Imran: 180) Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." (HR Abu Daud)

6. HUBBUL-JAH (CINTAKAN KEMEGAHAN)
Orang yang memiliki sifat ini amat kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Ini boleh mengakibatkan pekerjaan seseorang itu tidak ikhlas dan mengakibatkan pergaduhan kerana perebutan mengejar pangkat dan kedudukan. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidaklah serigala yang buas itu jika dilepaskan di kandang kambing lebih berbahaya daripada seorang cintakan pangkat, harta dan kemegahan pada keadaan agama seorang Muslim.” (HR At-Tirmidzi dan An-Nasa’i)

7. HUBBUD-DUNYA (CINTAKAN DUNIA)
Orang yang memiliki sifat ini gemarkan kesenangan dan kemewahan hidup, kesenangan duniawi yang menjadikannya lupa daripada mengerjakan kewajipan kepada Allah SWT. Orang seperti ini tidak menyedari bahawa maut sentiasa menghampirinya setiap masa. Daripada Tsauban r.a., beliau berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya: "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab: "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'". Seorang sahabat bertanya: "Apakah 'wahan' itu, hai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Cinta pada dunia dan takut pada mati." (HR Abu Daud)

8. TAKABBUR
Orang yang takabbur sentiasa memandang dirinya lebih mahir dan memandang bahawa orang lain lebih rendah serta hina darinya. Dia merasakan pendapatnya sahaja yang betul. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah SWT berfirman: "Sebenarnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka terangkan. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takabbur.'' (QS An-Nahl:23)

9. BANGGA DIRI (UJUB)
Orang yang memiliki sifat ini mengakui atau timbul dalam hatinya bahawa dialah orang yang paling sempurna seperti ibadahnya, pelajarannya, akhlaknya, kecantikannya dan lain-lain. Firman Allah SWT: “Jangan kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.” (QS Al-Qashash:76) Sebenarnya perasaan bangga dan kagum terhadap diri sendiri adalah sifat Iblis laknatullah yang memandang rendah terhadap Nabi Adam AS kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada api. Firman Allah bermaksud: "Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Kuciptakan dengan tanganKu. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang (yang) lebih tinggi?" Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.” (QS Shad: 75~76).

10. RIAK
Orang yang memiliki sifat riak suka memperlihatkan atau menunjukkan amalannya kepada orang lain yakni tidak ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Natijahnya, segala amalannya hanya akan menjadi sia-sia saja. Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam berbagai keadaan, termasuklah ketika menunaikan ibadah yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah 'asy syirkul ashghar' (syirik kecil)." Sahabat bertanya: “Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?" Baginda menjawab: "Riak.” (HR Imam Ahmad)

Semoga kita semua dihindari daripada sifat-sifat di atas. Wallahua'lam.
.

16 September 2009

ERTI PERSAHABATAN...


Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri kita sendiri. Tetapi dalam kita bersendiri, kita sebenarnya sangat beruntung kerana mempunyai sahabat yang memahami diri kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia.

Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Namun, kita tidak memberikannya peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.

Kita terlupa, bahawa kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti, kerana kita juga ada janji yang pernah kita mungkiri. Kita beri seribu alasan, memaksa dia menerima alasan kita. Waktu itu, pernahkah kita terfikir tentang perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa... tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa di sisi kita di kala kita memerlukan seorang teman. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan. Dia memberi jalan menyelesaikan masalah dan kebuntuan fikiran.

Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita, hingga kadang-kadang terlupa bahawa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita tersungkur dan kecewa? Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?

Sesekali jadilah sahabat yang mendengar, bukan sekadar hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kita kerana dia juga seorang manusia. Dia juga punya rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan teman pemberi kekuatan. Jadilah kita temannya itu.

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita duka yang ingin diluahkan. Di sebalik ketenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan yang dipendamkan, kita tidak tahu.. Tetapi jika kita cuba menjadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

Renungkanlah...
.

15 September 2009

ACEH BENARKAN HUKUMAN REJAM TERHADAP PENZINA (BERITA HARIAN, 15/9/09)


BANDA ACEH: Ahli Parlimen di Aceh sebulat suara mengundi membenarkan penzina dihukum rejam hingga mati, beberapa bulan selepas pengundi menyingkir parti konsevatif daripada berkuasa.
.
Berbaki beberapa minggu saja sebelum kerajaan baru yang diketuai parti sederhana mengambil alih pemerintahan, puak konservatif yang masih menguasai Parlimen meluluskan undang-undang itu. Apabila pengerusi dewan dengan 69 ahli itu bertanya sama ada rang undang-undang itu boleh diluluskan, mereka menjawab serentak: "Ya, boleh.".

Beberapa wakil Parti Demokrat yang bakal mengetuai kerajaan baru, menyatakan rasa kurang senang tetapi tiada sesiapa pun yang mengundi menentang rang undang-undang itu.
.
Kumpulan hak asasi manusia berkata undang-undang itu melanggar perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Indonesia. Beberapa pihak pula bercadang menentang undang-undang itu di mahkamah di Jakarta. - AP
.

12 September 2009

KURANG SOPAN DEPAN KAABAH (HARIAN METRO, 12/9/09)


MAKKAH: Berada di tempat paling suci di dunia tidak menghalang seseorang berkelakuan tidak sopan, termasuk ketika berada di depan Kaabah.

Tinjauan media Arab Saudi mendapati, sesetengah pengunjung Masjidil Haram leka bercakap menggunakan telefon bimbit ketika mengerjakan tawaf. Sesetengah yang lain pula asyik berborak mengenai isu keduniaan atau bergurau dengan suara tinggi ketika orang lain beribadah.

Seorang jemaah umrah, Ahmad Alya, berkata petugas masjid sepatutnya mengawal kelakuan pengunjung bagi memastikan kedamaian di situ terpelihara. “Saya pernah melihat seorang lelaki bercakap kuat menggunakan telefon bimbit sambil ketawa berdekah-dekah. Perbuatan sebegitu tidak dapat diterima di sini,” katanya.

Bara Salah, berkata dia pernah mendengar pengunjung masjid berbual mengenai harga hartanah menggunakan telefon bimbit. Katanya, dia cuba menegur supaya jangan mengganggu orang lain beribadah di situ dengan kelakuannya. “Malangnya dia hanya memandang saya seketika sebelum menyambung semula perbualannya,” katanya. Lebih kurang sopan, katanya, jika ada mana-mana pengunjung leka berbual melalui telefon bimbit sambil berlindung panas pada bayang-bayang Kaabah. Ada juga pengunjung, katanya, sibuk merakam pelaksanaan tawaf menggunakan kamera telefon bimbit.

Dalam kejadian lain, dua lelaki terserempak ketika mengerjakan tawaf. Sejurus selepas itu, kedua-dua lelaki terbabit dilihat berbual tanpa henti sehinggalah mereka menamatkan tawaf itu.

Sementara itu, Ketua Polis Antimaksiat Makkah, Sheikh Ahmad Al-Ghamdi, berkata sepatutnya umat Islam menumpukan perhatian beribadah sepanjang masa berada di Masjidil Haram. “Mereka perlu mengelak melakukan apa saja yang boleh mengganggu ibadah sendiri atau orang lain,” katanya.
.

11 September 2009

BIMBINGAN MUKMIN: RAHSIA SEMBAHYANG & KEUTAMAANNYA (BHG. 3)


Bersambung dari Bahagian 2

TUGAS IMAM
Orang yang menjadi Imam mempunyai beberapa tugas sebelum sembahyang, begitu pula dalam bacaannya dan pada rukun-rukunnya dan seterusnya sesudah memberi salam.

TUGAS2 IMAM SEBELUM SEMBAHYANG
Pertama: Tidak boleh menjadi imam jika sekalian makmumnya membencinya atau tiada bersetuju dengannya. Juga jangan ke depan sekiranya di belakang ada orang yang lebih faqih daripadanya, kecuali jika orang itu enggan ke depan, ketika itu bolehlah dia menjadi Imam. Dalam hal ini, makruh masing-masing tolak menolak untuk menjadi Imam.
.
Kedua: Menjaga waktu-waktu sembahyang dengan menunaikan tiap-tiap sembahyang pada permulaan waktunya, agar diperolehi keredhaan Allah Ta’ala. Permulaan waktu itu diutamakan dari pengakhirannya samalah seperti mengutamakan kehidupan akhirat dan penghidupan dunia ini. Imam tiada harus melewatkan sembahyang kerana mengganggu orang ramai datang, melainkan hendaklah ia melekaskannya agar memperoleh keutamaan permulaan waktu, kerana yang demikian itu adalah lebih afdal daripada ramainya orang yang berjemaah (tetapi lambat), dan daripada bacaan surah-surah yang panjang.

Pernah Rasulullah SAW terlambat daripada menunaikan sembahyang fajar (subuh) dalam salah satu pelayarannya; iaitu kerana sebab taharah (pensucian) dan baginda tiada menunggu, malah disuruhnya Abdul Rahman bin Auf untuk menjadi Imam pada sembahyang itu, kemudian baginda menjadi makmumnya, padahal Imam sudah masuk pada rakaat kedua, lalu baginda bangun mencukupkan satu rakaat lagi kerana terlambat itu. Para sahabat merasa kasihan kerana berlakunya hal itu, tetapi Rasulullah SAW pun bersabda: "Kamu telah membuat yang betul. Begitulah hendaknya selalu kamu lakukan."

Sekali peristiwa, Rasulullah SAW sedang sibuk mendamaikan antara sesuatu kaum, sehingga terpaksa lambat untuk menunaikan sembahyang Zohor. Para sahabat telah menunjukkan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. untuk menjadi Imam. Kemudian Rasulullah pun tiba, sedangkan Abu Bakar di pertengahan sembahyangnya, lalu baginda pun berdiri di sebelahnya. Dalam menunaikan sembahyang, Imam tidak perlu menunggu kedatangan muazzin, tetapi muazzin seharusnya menunggu kedatangan Imam, jika terlambat.
.
Ketiga: Bila menjadi Imam, hendaklah ia berikhlas semata-mata terhadap Allah azzawajalla, sebagai seorang yang menunaikan amanat Allah dalam taharahnya dan semua syarat-syarat sembahyangnya. Berikhlas, ertinya: Jangan ia mengambil upah dari sebab menjadi Imam itu. Manakala pengertian amanat di sini, ialah pensucian kebatinan dari segala rupa kefasikan dan ketakburan ataupun tidak selalu melakukan dosa-dosa yang kecil. Orang yang menjadi Imam itu, hendaklah menjauhkan diri dari segala macam keaiban ini dengan penuh kesungguhan. Sebab tugas Imam itu seperti utusan atau penjamin bagi orang ramai, maka oleh itu hendaklah ia menjadi sebaik-baik manusia.

* Syaikh Ibnu Taimiyyah r.a. berkata: Apa yang diterima dari Baitul-Mal itu bukanlah upah atau gaji, tetapi ia semacam rezeki untuk menolong mendirikan ketaatan. Begitu pula dengan harta yang diwakafkan ke atas pekerjaan-pekerjaan baik, atau harta yang diwaksiatkan atau dinazarkan untuk tujuan-tujuan kebajikan, bukanlah dikira upah atau gaji. Al-Haritsi pula berkata bahawa orang yang menghukumkan terlarangnya mengambil upah atau jenis pekerjaan untuk kebajikan tiada melarang mengambil upah itu dari harta yang diwakafkan untuk tujuan ini.

Demikian pula dengan pensucian kelahiran, iaitu dari segala rupa hadas dan kotoran, sebab mengenai perkara ini tiada seorang yang lebih mengetahui, melainkan dirinya sendiri. Jika sekiranya ia teringat berlaku hadas sedangkan ia di pertengahan sembahyang, ataupun terkentut dalam masa sembahyang itu, maka hendaklah ia jangan merasa malu, bahkan hendaklah ia memegang tangan seorang yang berdekatan dengannya seraya mengisyaratkan untuk menggantikannya.

Keempat: Sebelum mengangkat takbiratul-ihram, hendaklah ia memeriksa semua saf-saf supaya rata. Mula-mula ia menoleh ke kanan kemudian ke kiri, kalau ada saf yang jarang diperintah untuk dirapat dan diluruskannya. Ada yang mengatakan meluruskan saf itu, hingga bahu dengan bahu beriringan dan buku lali bersentuhan. Hendaklah ia tidak bertakbir, melainkan sesudah selesai muazzin dari iqamah. Muazzin pula seharusnya melambatkan iqamah dari azan, sekadar masa orang ramai dapat menyediakan diri untuk bersembahyang.

Kelima: Imam hendaklah menyaringkan suaranya ketika melafazkan takbiratul-ihram, dan seterusnya kepada semua takbir-takbir yang lain. Makmum pula jangan sampai menyaringkan suaranya lebih daripada kadar untuk mendengarkan dirinya saja, dan takbirnya hendaklah sesudah selesai takbir Imamnya, baru dia bertakbir pula.

TUGAS2 BACAAN DALAM SEMBAHYANG
Pertama: Membaca doa Iftitah dan ta’awwudz dengan sirr atau tiada menyaringkan suara, seperti seorang yang bersembahyang sendiri. Dan baca dengan jahar atau mengangkat suara pada Fatihah dan satu surah sesudahnya pada sembahyang Subuh dan dua rakaat yang pertama dari Isyak, dan Maghrib; ini termasuk sembahyang orang perseorangan juga. Membaca jahar perkatan Amiin pada sembahyang-sembahyang jahriah (yang dinyaringkan suara - iaitu Subuh, Maghrib dan Isyak, dan Jumaat) bersama-sama makmum, dan bacaan makmum itu mestilah menyertai Amiin Imamnya serentak bukannya sesudah itu.

Kedua: Hendaklah Imam dalam berdirinya menjaga tiga pemberhentian (berdiam sebentar).
(1) Sesudah melafazkan takbiratul-ihram.
(2) Sesudah membaca Fatihah
(3) Sesudah membaca surah dan sebelum rukuk.

Berdiam itu sebentar saja sekadar untuk memisahkan antara takbiratul-ihram dengan bacaan Fatihah, sebab ada larangan untuk bercepat-cepat di situ. Jangan hendaknya orang yang menjadi makmum itu membaca apa-apa di belakang Imamnya selain dari Fatihah saja. Tetapi kiranya makmum tiada mendengar bacaan imamnya dalam sembahyang-sembahyang jahriah, kerana berada terlalu jauh daripadanya, ataupun kerana sembahyang-sembahyang itu sirriyah, (yang tidak dinyaringkan - iaitu pada Zohor dan Asar) maka bolehlah makmum membaca surah sendiri di dalam sembahyang itu.

Ketiga: Meringankan sembahyang itu adalah lebih baik, terutama sekali bila jamaah makmumnya ramai sekali, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: “Apabila seseorang kamu bersembahyang dengan orang ramai, maka hendaklah meringankan sembahyang, sebab di antara mereka itu ada yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai keperluan. Tetapi jika ia bersembahyang sendirian, bolehlah ia memanjangkannya menurut kehendaknya.”

Berkata Rasulullah SAW kepada Mu’az pula: "Bacalah surah-surah Sabbihisma rabikal a’laa, Wassamaa’i-Waththaariq atau Wasysyamsi-Wadhuhaaha."

TUGAS2 RUKUN DALAM SEMBAHYANG
Pertama: Hendaklah ia meringankan rukuk dan sujud, jangan ia membaca lebih daripada tiga tasbih saja.

Kedua: Makmum jangan pula melumbai atau mendahului Imamnya dalam rukuk atau sujud, malah hendaklah ia menunggu dan tidak bersujud melainkan sesudah sampai dahi Imam ke tanah. Begitulah ketika rukuk, makmum tiada rukuk melainkan setelah Imam lurus di dalam rukuknya.

Ketiga: Tidak menambah dalam doa tasyahhud lebih dari doa yang sudah ditentukan, sebab dikhuatirkan menjadi panjang. Dan janganlah ia menentukan doa itu bagi dirinya saja, bahkan digunakan shighatul jam’i (pengertian untuk ramai) supaya doa itu umum untuk ramai. Misalnya dia berkata: “Wahai Tuhan, ampunilah kami sekalian.”

Dan tugas mengakhiri sembahyang ada tiga pula:
Pertama: Ketika memberi kedua-dua salam itu, hendaklah ia meniatkan memberi salam kepada semua orang yang berada di situ dan juga para Malaikat.

Kedua: Hendaklah ia menetap di tempatnya sesudah memberi salam, terutama sekali jika ada makmum-makmum wanita di belakangnya. Dia tiada bergerak dari tempatnya dulu, sehingga sekalian makmum-makmum wanita sudah beredar dari situ.

Ketiga: Jika dia duduk sesudah sembahyang, hendaklah ia berhadapan dengan orang ramai.

KEUTAMAAN JUMAAT DAN ADABNYA
Ketahuilah bahawa hari Jumaat itu adalah hari yang dibesarkan oleh Islam dan dikhususkan bagi umatnya, kaum Muslimin. Allah berfirman: “Apabila dipanggil untuk bersembahyang pada hari Jumaat, hendaklah berusaha berzikir kepada Allah dan tinggalkanlah berjual-beli.” (al-Jumu’ah: 9)

Allah telah melarang bekerja atau berusaha pada saat itu untuk kepentingan dunia, atau untuk sesuatu perkara yang boleh menyebabkan manusia terhindar dari melakukan Jumaat. Nabi telah bersabda: “Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya ialah hari Jumaat.”

Sabdanya lagi: “Barangsiapa meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur (sebab), Allah akan menutup matahatinya.”

Keuzuran Jumaat ialah seperti hujan lebat, terlalu lecak, kerana ketakutan, atau kerana sakit, atau menjaga orang yang sakit kiranya si sakit memerlukan penjagaan, dan uzur-uzur yang lain lagi.

Disunatkan mandi pada hari itu, walaupun sudah hampir waktu sembahyang, supaya kebersihannya lebih dekat dengan waktu melakukan sembahyang itu. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan sebaik-baik pakaian. Disunatkan juga menyegerakan pemergian ke masjid jami’. Dalam perjalanannya ke sana, hendaklah ia dalam keadaan khusyuk, merendah diri, menyegerakan kepergiannya bila sudah terdengar azan menyeru sembahyang Jumaat. Bila dalam masjid, janganlah ia melangkah-melangkah kepala orang.

Tetapi jika saf awal masih ada yang kosong, tidak dipenuhi oleh orang-orang yang telah hadir, maka tiadalah dilarang baginya untuk melangkah menuju ke sana sebab mereka itu telah mencuaikan saf-saf mereka dan telah mengabaikan tempat-tempat yang diutamakan. Berkata al-Hassan al-Basri r.a.: "Tiada mengapalah untuk melangkah orang-orang yang duduk di pintu-pintu masjid pada hari Jumaat, kerana yang demikian itu tiada haram."

Apabila masuk masjid, hendaklah ia sembahyang dua rakaat, walaupun ketika itu Imam sedang berkhutbah, Janganlah hendaknya ia berjalan di celah-celah orang ramai, malah cukuplah ia duduk di tiang yang terdekat dengannya, ataupun di tembok di situ agar orang ramai tiada melalui di hadapannya ketika ia bersembahyang nanti, sebab yang demikian itu adalah amat dilarang. Kalau ada orang yang melalui di hadapannya, hendaklah ia menolaknya. Jika ia tiada mendapati tiang, maka hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu barang sejarak satu hasta untuk menjadikan tanda batasan baginya.

Mendapatkan saf awal itu adalah digalakkan sekali, atau duduk berdekatan dengan mimbar Khatib, supaya ia boleh mendengar ucapannya dengan jelas. Dimakruhkan pula bersembahyang di pasar, ataupun di bahagian luar dari masjid. Bila Khatib Jumaat keluar, hendaklah segera ia memberhentikan pembicaraan, dan terus menjawab azan tukang bang, kemudian mendengar pula khutbah seluruhnya dengan penuh perhatian.

Dalam hal ini, Nabi SAW pernah bersabda: “Siapa yang berkata kepada temannya sedangkan Imam masih berkhutbah: "Diamlah!" Maka dia telah lalai, dan barangsiapa yang lalai pada waktu Imam sedang berkhutbah, maka tiada Jumaat baginya.” Ini menunjukkan bahawa untuk mendiamkan orang yang berkata-kata ketika Imam sedang berkhutbah, haruslah dilakukan dengan isyarat atau dengan melemparkan batu, tidak boleh dengan ucapan.

Setelah selesai sembahyang Jumaat, kembalilah ia kepada urusannya seraya mengingatkan Allah azzawajalla, memikirkan kebesaranNya. MensyukuriNya atas taufiqNya, serta merasakan ketakutan kiranya ia telah melakukan sesuatu yang tiada layak. Rasulullah SAW sendiri sering bersembahyang dua rakaat lagi dirumahnya sesudah sembahyang Jumaat.

Disunatkan juga memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW pada hari itu dan pada malamnya. Sayugialah ia memberikan sedekah pula kepada orang-orang yang berhajat, kecuali kepada orang yang meminta-minta dalam masjid pada masa Imam sedang membaca khuthabnya.

Berkata Ibnu Mas’ud: "Apabila seseorang itu meminta-minta di dalam masjid, maka sepatutnyalah dia tiada diberi." Yakni, peminta-peminta sedekah di dalam masjid yang melangkah-langkah kepala orang ramai tidak sepatut diberi sedekah. Tetapi kiranya ia meminta dalam berdiri atau duduk di tempatnya, tempatnya, tanpa melangkah-langkah kepala orang ramai, maka bolehlah ia diberikan sedekah itu.

Setengah para Salaf pula tiada memandang wajar membeli air minum di dalam masjid dari tukang jual air untuk diminum, atau dibahagi-bahagikannya kepada orang ramai sebagai sedekah, agar tiada berlaku penjualan di dalam masjid, kerana jual-beli di dalam masjid itu adalah makruh hukumnya. Kata mereka: Tiada mengapa kiranya dia membayar harganya di luar masjid untuk diminum, atau dibahagi-bahagikan kemudiannya di dalam masjid.

Sebaik-baiknya juga, seseorang itu menambah amalan-amalan baik pada hari Jumaat, kerana Allah SWT jika mengasihi seseorang hamba didorongkannya untuk membuat amalan-amalan yang baik dalam waktu-waktu yang baik pula.

BEBERAPA MASALAH YANG PERLU DIPELAJARI
Masalah pertama: Gerak-geri yang sedikit walaupun tiada membatalkan sembahyang, tetapi hukumnya makruh melainkan kerana keperluan, iaitu seperti menolak orang lalu di hadapan, membunuh kala jengking atau menggaru kerana gatal yang tentu sekali akan mengganggu kekhusyukan. Kalau menguap, tidak mengapa meletakkan tangan ke atas mulut; atau jika bersin bolehlah memuji Allah Azzawajalla di dalam hati tanpa menyebut dengan lidah atau kiranya sendawa, maka janganlah hendaknya mengangkat kepala ke atas.

Masalah kedua: Jika seorang saja yang bersembahyang berimam, hendaklah berdiri di sebelah kanan Imam di belakangnya sedikit. Jika makmumnya perempuan, hendaklah dia berdiri di belakang Imam. Sekiranya hadir bersama mereka seorang lelaki lain, hendaklah si lelaki itu berdiri di sebelah kanan belakang Imam, dan si perempuaan di belakang makmum lelaki pula.

Masalah ketiga: Makmum masbuk (terlewat) bila mendapat akhir sembahyang imam, maka itulah permulaan sembahyangnya. Hendaklah ia menyertai Imam hingga selasai sembahyangnya, kemudian ia meneruskan pula hingga genap semua sembahyangnya sendiri. Pada sembahyang subuh hendaklah dia berqunut lagi dalam rakaat keduanya sendirian, walaupun dia telah berqunut bersama Imam sebelumnya tadi.

Bila makmum masbuk mendapati Imam telah habis setengah dalam berdirinya, maka janganlah ia membaca doa Iftitahnya lagi, malah hendaklah ia terus membaca Fatihah dengan sedikit cepat. Tetapi apabila Imam rukuk sedangkan ia masih belum selesai membaca Fatihahnya, hendaklah mengagak kiranya sempat ia mengusul Imam waktu i’tidalnya dari rukuk bolehlah ia terus menghabiskan Fatihahnya, jika tak sempat hendaklah ia berhenti dari Fatihah dan terus rukuk bersama-sama Imam, sebab dihukumkan setengah Fatihahnya menjadi kesemuanya dan gugurlah Fatihah itu dengan kemasbukannya. Jika Imam ruku’ sedangkan ia masih membaca surah, hendaklah ia memutuskannya, lalu terus rukuk bersama imam.

Jika ia mendapati di pertengahan sujud atau tasyahhud, hendaklah ia bertakbir ihram dan terus sujud atau duduk bersama Imam tanpa perlu bertakbir lagi, kecuali jika ia mendapati Imam di pertengahan rukuk, maka hendaklah ia bertakbir lagi sesudah takbiratul-ihram, sebab takbir kedua itu adalah takbir perpindahan yang mesti dikira atasnya. Makmum masbuk tidak dikira mendapat satu rakaat dengan Imam, selagi tiada tumakninah di dalam rukuknya, manakala Imam ketika itu masih dalam batasan orang-orang yang rukuk, jika tiada bererti tiada terkiralah itu satu rakaat.

Masalah keempat: Sesiapa yang tertinggal sembahyang Zohornya hingga ke waktu asar, hendaklah ia bersembahyang Zohor dulu kemudian Asar pula, tetapi kiranya ada orang yang mendirikan sembahyang Asar berjemaah, hendaklah ia mendahulukan Asar berjemaah, kemudian bersembahyang Zohor sesudah itu, sebab sembahyang berjemaah itu lebih utama.

Masalah kelima: Sesiapa yang telah menunaikan sembahyang kemudian didapati pada pakaiannya ada najis, sebaik-baiknya ia mengqadha’kan sembahyang itu, tetapi hukumnya tidak wajib qadha’. Jika ia melihat ada najis pada pakaiannya ketika di dalam sembahyang, hendaklah ia melontarkan pakaian itu seraya meneruskan sembahyangnya. Asal hukum ini ialah kembali kepada peristiwa Nabi menanggalkan kedua kasutnya, apabila Jibril AS memberitahunya bahawa padanya ada najis, maka segeralah baginda menanggalkannya, lalu meneruskan sembahyang hingga akhirnya.

Masalah keenam: Sesiapa yang meninggalkan tasyahhud awal ataupun merasa syak tidak ingat berapa rakaat sudah dilakukannya, apakah tiga rakaat ataupun empat, hendaklah ia ambil dengan yang yakin, kemudian ia sujud sahwi sebelum salam. Kiranya ia lupa pula boleh juga dibawanya sujud sahwi itu sesudah salam apabila ia ingat, asalkan masanya tidak terlalu jauh.

Masalah ketujuh: Waswas dalam meniatkan sembahyang dalam hukum syarak. Kerana dalam segi niat dan maksud mematuhi perintah Allah azzawajalla itu, samalah seperti mematuhi perintah selainnya, begitu pula membesarkannya seperti membesarkan selain darinya. Andaikata seseorang kamu telah didatangi oleh seorang alim, lalu dia pun bangun kerana menghormati orang alim itu. Kalau dia berkata: "Aku berniat hendak berdiri tegak untuk menghormati kedatangan si Fulan yang termulia itu, kerana keutamaannya," dan dia pun menghadapkan wajah kepada si Fulan itu. Orang ini adalah seorang safih atau kurang sempurna akalnya (kerana perkara serupa itu tidak perlu hendak diniatkan terlebih dulu – pent.). Tetapi bila dilihatnya keadaan si Fulan itu dan diketahui keutamaannya, tentulah akan timbul dalam dirinya perasaan ingin menghormatinya, dan dia lalu bangun memberikan penghormatan; memadailah dengan cara begitu dia menjadi seorang yang menghormati kepada si Fulan tadi. Kecuali jika dia bangun itu kerana tujuan yang lain, ataupun dia bangun dalam keadaan lalai – itu tiada dikira sebagai penghormatan.
.
Adapun mensyaratkan niat sesuatu sembahyang itu sebagai Zohor yang ditunaikan pada waktunya sebagai adaan, fardhan (tunai fardhu); iaitu kerana menurut perintah syarak, maka itu samalah seperti mensyaratkan berdiri menghormat seketika tamu masuk dengan muka menghadap kepada tamu yang masuk itu serta memalingkan perhatian dari selainnya, dan serentak pula dia meniatkan penghormatan kepada tamu itu agar benar-benar menjadi penghormatan yang tulen. Andaikata ia turut berdiri tetapi membelakangi si tamu, atau menunggu seketika waktu kemudian barulah ia berdiri; ini bukanlah dinamakan penghormatan. Sifat-sifat ini mestilah menjadi termaklum dan termaksud pada orang yang berniat dan tiada boleh hadirnya terlalu lama di dalam diri dalam suatu masa, melainkan sekadar lamanya penyusunan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan niat itu menerusi sebutannya dengan lidah, ataupun memikirkannya dengan hati. Barangsiapa yang tiada mengerti niat sembahyang dalam wajah (rupa) ini, seolah-olah dia belum mengerti niat yang sebenarnya. Jadilah ia seperti seorang yang diajak untuk bersembahyang dalam waktunya, maka ia pun mengangguk tanda setuju, lalu berdiri melakukan sembahyang itu. Ketahuilah, bahawa waswas itu adalah kejahilan yang tulen.

Masalah kelapan: Seorang makmum tidak boleh mendahului Imamnya dalam rukuk, sujud dan bangun dari keduanya, begitu pula pada semua amalan-amalan sembahyang yang lain. Dia tidak boleh juga menyertai gerak-laku Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imam habis membuatnya. Itulah yang dimaksudkan dengan pengertian iqtida’ (mengikut atau makmum). Jika ia mendahului gerak-laku Imamnya, ada setengah ulama menghukumkan sembahyang itu batal dan setengah yang lain tidak (tetapi hilang pahala berjemaah – pent.).

Rasulullah SAW telah melarang dengan keras kelakuan serupa itu dengan sabdanya: “Tidakkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum Imamnya itu merasa takut, nanti Tuhan akan menggantikan kepalanya dengan kepala keledai.”

Masalah kesembilan: Wajiblah atas setiap orang yang menghadiri sembahyang beramai-ramai menegur saudaranya, jika ia melihat sesuatu kesalahan dalam sembahyang saudaranya itu, dengan membetulkannya atau mengingatkannya. Kalau orang itu seorang yang jahil tentang hal agamanya, maka hendaklah dia menegurnya dengan lemah-lembut serta mengajarnya.

Di antara kesalahan-kesalahan yang sering berlaku ialah meratakan saf, atau melarang berdiri sendirian di luar saf, atau mengingatkan supaya jangan mengangkat kepala sebelum Imam atau sebagainya.

Diriwayatkan dari Umar Ibnul-Khattab r.a., beliau berpesan: "Sering-seringlah mencari rakan-rakan kamu dalam sembahyang berjamaah, kiranya mereka tiada hadir kerana mengidap penyakit, maka hendaklah kamu melawat mereka. Jika mereka baik, tetapi tidak hadir berjamaah, hendaklah kamu mencela mereka." Mencela dari hadir sembahyang berjemaah adalah amat diberatkan oleh agama, tidak boleh diambil senang saja. Orang-orang dahulukala sangat-sangat mengambil berat sekali tentang sembahyang yang berjamaah.

KETERANGAN MENGENAI IBADAT2 YANG SUNAT
Ketahuilah, bahawa sembahyang-sembahyang selain yang difardhukan itu adalah dinamakan nafilah dan tathawwu’ (sunnat dan sukarela). Di antara sembahyang-sembahyang yang sunat ialah mengenai sebab-sebab khusuf (gerhana matahari atau bulan) atau istisqa’ (meminta hujan). Ada yang mengenai waktu-waktu sembahyang fardhu, iaitu seperti sunat-sunat rawatib’ dan sebagainya.

Sembahyang-sembahyang sunnat rawatib itu ialah:
(1) Sunat Subuh, iaitu dua rakaat sebelum Subuh; masuk waktunya dengan terbitnya fajar (sadiq). Apabila seseorang masuk masjid dan muazzin sudah beriqamat, maka hendaklah ia mengerjakan sembahyang fardhu yang didirikan itu, sebab Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila sembahyang telah diiqamatkan, maka tiada sembahyang lagi (sunat) melainkan mengerjakan sembahyang fardhu itu.” Sesudah selesai bersembahyang fardhu itu, berdirilah ia semula untuk menunaikan dua rakaat sunnat yang tertinggal itu.

(2) Sunat Zohor, iaitu empat rakaat sebelum Zohor dan empat rakaat sesudahnya. Sembahyang sunat ini boleh ditunaikan empat rakaat sekaligus dan boleh juga dengan dua rakaat, dua rakaat (dan itu adalah lebih afdhal – pent.)

(3) Sunat Asar, iaitu empat rakaat sebelum Asar. Tentang sembahyang ini Rasulullah SAW tidak begitu memberatkannya sangat, seperti baginda memberatkan sunat-sunat Zohor.

(4) Sunat Maghrib, iaitu dua rakaat sesudah sembahyang Maghrib. Adapun dua rakaat sebelumnya di antara azan dan iqamat dilakukan dengan cepat, para sahabat ramai yang melakukannya, dan memang telah disahkan perintah Nabi SAW ke atasnya, tetapi tidak digalakkan- kalau mahu boleh buat, kalau tidak tak mengapa.

(5) Sunat Isyak, iaitu dua rakaat ataupun empat rakaat sesudah Isyak.

Adapun sembahyang sunnat witir, maka masuk waktunya sesudah sembahyang Isyak, dan sebanyak-banyaknya hingga sebelas rakaat. Boleh juga dia sembahyang witir dengan sembilan rakaat, ataupun tujuh rakaat, ataupun lima rakaat, ataupun tiga rakaat bersambung dengan satu salam ataupun dengan dua salam (yakni dua rakaat dengan satu salam dan satu rakaat satu salam - Pent.). Melakukan sembahyang witir sesudah sembahyang tahajjud di bahagian akhir malam lebih utama.

Adapun sunat sembahyang Dhuha, menurut riwayat banyak bilangannya ialah delapan raakat, dan sekurng-kurangnya dua rakaat. Dan waktunya bermula dari terbitnya matahari dan meningginya.

Adapun sembahyang sunat dua Hari Raya, maka hukumnya sunat muakkadah (sangat dituntut). Ia juga merupakan syiar agama yang utama. Sunat pada Hari Raya mandi kerana membersihkn diri, memakai pakaian-pakaian yang cantik dan memakai bau-bauan.

Sembahyang sunat Tarawih pula, ialah sebanyak dua puluh rakaat, dan cara-cara mengerjakannya memang telah dimaklumi.

Sembahyang sunat Khusuf (gerhana matahari atau bulan) adalah dua rakaat; orang ramai dipanggil untuk berkumpul kerananya, kemudian Imam menyembahyangkannya berjemaah di masjid, iaitu dengan dua kali rukuk dan dua kali sujud pada tiap-tiap rakaat. Selesai sembahyang, Imam pun bangun menyampaikan khutbahnya (pidatonya) menyeru orang ramai supaya memberikan sedekah dan memperbanyakkan taubat. Masuk waktunya, ketika bermula gerhana itu sehingga kembali sempurna semula.

Sembahyang sunat Istisqa’ atau sembahyang untuk memohon hujan. Apabila sungai kering airnya dan hujan pun telah lama tidak turun, maka hendaklah pemerintah menyeru orang ramai untuk berpuasa selama tiga hari dan mengeluarkan sedekah sekadar kemampuan mereka, menjauhkan diri dari melakukan penganiyaan, memperbanyak bertaubat dari segala rupa maksiat. Kemudian pada hari keempat pemerintah mengajak orang ramai termasuk orang tua dan kanak-kanak dengan memakai pakaian-pakaian buruk dan koyak-koyak dalam keadaan hina dan rendah diri. Jika orang-orang Zimmi (kafir yang hidup di bawah perlindungan Islam) ingin menyertai mereka pun boleh, tetapi harus dipisahkan pada tempat lain yang tersendiri.

Setelah mereka sekalian berkumpul di tanah lapang atau di padang yang luas, maka diserukan kepada mereka untuk bersembahyang istisqa’, diseru dengan: 'as-Shalah Jamiah' (Sembahyang beramai-ramai). Kemudian Imam bangun bersembahyang bersama-sama mereka berjemaah seperti sembahyang Hari Raya tetapi tanpa bertakbir, kemudian Imam berdiri lagi menyampaikan dua khutbah dengan memperbanyakkan ucapan-ucapan minta ampun sambil berdoa.

Sembahyang Jenazah (mayat). Cara-caranya sudah diketahui umum dan ialah fardhu kifayah. Ia dikira sunat ke atas diri seseorang, bila sudah ada orang lain menguruskannya. *Jika tidak ada seorang yang menguruskan mayat, maka semua orang akan berdosa ---- pent.

Sunat Tahiyat Masjid iaitu dua rakaat sebagi sunat muakadah. Jika ia masuk masjid lalu terus bersembahyang fardhu atau qadha’, ia mendapat juga pahala tahiyat masjid dan keutamaannya. Kerana tujuan utama dari tahiyat masjid, ialah agar seseorang bila memasuki masjid jangan sampai kosong dari membuat sesuatu ibadat yang tertentu di dalam masjid itu.

Dua rakaat sunat Wuduk, yakni yang dilakukan sesudah mengambil wuduk, itu adalah kerana sangat-sangat dituntut kerana mengambil wuduk itu satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan tujuan dari mengambil wuduk itu adalah kerana bersembahyang.

Sembahyang sunat Istikharah. Seseorang yang hendak melakukan sesuatu perkara yang baik sedangkan hatinya sukar untuk memutuskan, maka menurut Rasullah SAW, baiklah dia melakukan sembahyang ini iaitu dua rakaat saja. Di baca pada rakaat pertama Fatihah dan surah Al-Kafirun (Qulya Ayyuhal Kafirun) dan pada rakaat kedua pula Fatihah dan surah al-Ikhlas (Qul Huallahu Ahad). Kemudian sesudah itu, dia berdoa pula sebagai berikut: "Ya Allah! Ya Tuhanku! HambaMu memohon penentuanMu yang baik dengan ilmuMu, dan penetapanMu dengan kekuasaanMu dan hamba memohon dari keutamaanMu yang Agung, kerana Engkaulah yang mentakdirkan sesuatu sedangkan hambaMu lemah tak berdaya; Engkaulah Mengetahui segala sesuatu sedangkan hambaMu tiada mengetahui, dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan segala perkara-perkara yang ghaib."

Ya Allah! Ya Tuhanku! Kiranya Engkau Mengetahui bahawa perkara ini (sebutkan perkara itu) adalah baik bagi diri hamba, sama ada mengenai agama, mahupun duni hamba; ataupun akibat urusan hamba, sama ada yang sekarang , mahupun yang akan datang, maka takdirkanlah bagi hamba untuk memperolehinya dan berikanlah hamba keberkatan padanya serta permudahkanlah ia bagi hamba. Sebaliknya kiranya Engkau Mengetahui bahawa perkara ini (sebutkan perkara itu) adalah buruk bagi diri hamba, sama ada mengenai agama, mahupun dunia hamba; ataupun akibat urusan hamba, sama ada yang sekarang, mahupun yang akan datang, maka jauhkanlah hamba daripadanya dan jauhkanlah ia daripada hamba, dan takdirkanlah bagi hambaMu ini hanya yang baik saja sekalipun di mana-mana dan dorongkanlah hamba untuk melakukan yang diredhai olehMu!” Sesudah berdoa sedemikian rupa, hendaklah ia menyatakan hajatnya pula.

WAKTU2 YANG DIMAKRUHKAN BERSEMBAHYANG
Waktu-waktu yang dimakhruhkan bersembahyang ada lima:
(1) Selepas sembahyang Asar
(2) Selepas sembahyang Subuh
(3) Selepas tergelincirnya matahari
(4) Waktu terbitnya matahari
(5) Waktu tenggelam matahari.

Semua waktu-waktu ini makruh melakukan sembahyang yang tidak bersebab. Adapun sembahyang-sembahyang yang ada sebabnya seperti mengqadhakan sembahyang sunat, sembahyang kerana gerhana matahari atau bulan, atau sembahyang jenazah maka tiadalah dihukumkan makruh. Sebab larangan ialah untuk memelihara diri dari menyamai perbuatan orang-orang yang menyembah matahari pada ketika itu. Dan juga untuk menimbulkan daya dan tenaga, Jadi dengan menjauhi waktu-waktu tersebut dalah sebagai tambahan pendorongan dan menimbulkan perhatian untuk menunggu selesainya masa-masa itu.

SEMBAHYANG SUNAT YANG BOLEH DIQADHA'KAN
Diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa baginda pernah bersembahyang dua rakaat sesudah Asar. Para sahabat bertanya: "Bukankah tuan hamba telah melarang kami dari melakukan sembahyang pada waktu ini?" Sabda baginda: "Dua rakaat yang saya sembahyang tadi, ialah sembahyang yang biasa saya lakukan sesudah zohor, tetapi saya telah terhalang daripadanya oleh perutusan yang datang tadi."

Sayyidatina Aisyah r.a pula berkata: "Rasulullah SAW apabila tertidur ataupun sakit sehingga baginda tidak bangun malam untuk bersembahyang, baginda akan bersembahyang pada awal siang hari (mengqadha’kannya) sebanyak dua belas rakaat."

Oleh itu barangsiapa yang biasa melakukan zikir pada waktu-waktu tertentu, lalu tertinggal kerana sesuatu uzur, maka sewajarnyalah ia tiada membiarkannya tertinggal begitu saja, bahkan hendaklah ia membuatnya pada waktu yang lain, sehingga tiada terbiasa bagi dirinya merasa senang-senang untuk meninggalkan sesuatu yang berfaedah. Menggantikan masanya dengan masa yang lain adalah baik sekali, kerana tujuan menentang hawa nafsu dan dengan maksud supaya ia tiada bermalas-malas untuk melangsungkan tertib amalannya terus-menerus.

(Petikan: Kitab 'Bimbingan Mukmin' oleh Hujjatul Islam Al-Ghazali)
.

09 September 2009

LUKMANUL HAKIM: HATI & LIDAH


Ada seorang wanita yang kaya, hartawan dan memiliki banyak haiwan ternakan. Suatu hari, wanita ini telah menghadiahkan seekor kambing kepada Lukmanul Hakim. Kemudian wanita ini berpesan kepada pekerjanya, wanita itu pun berkata: "Apabila kamu sampai kepada Lukman Hakim, setelah kambing itu disembelih, katakan kepada Lukman Hakim, aku minta kepada Lukman Hakim, tolong bagi kepada aku bahagian yang tidak baik yang ada di dalam tubuh badan kambing itu, suruh dia bagi kepada aku, kerana aku hendak makan."

Setelah kambing itu disembelih, Lukman Hakim pun mengambil sebahagian daripada hati kambing dan sebahagian daripada lidah kambing itu lalu dibungkusnya dan diserahkan kepada pekerja wanita itu tadi. Pekerja wanita itupun membawa balik bungkusan itu dan diserahkan kepada wanita tadi.

Terperanjat wanita itu sebab di dalam bungkusan itu terdapat hati dan lidah kambing. "Hati dan lidah itu bagus dan baik, tetapi kenapa Lukman Hakim memberikan lidah dengan hati, sedangkan yang aku minta ialah bahagian yang tidak baik, organ yang tidak bagus," kata wanita itu. Lalu dia pun memasak organ2 tersebut dan memakannya.

Selang dua tiga hari, wanita itu memanggil pekerjanya untuk menangkap seekor lagi kambing dan berkata kepada pesuruhnya tadi: "Kamu bawalah kambing ini kepada Lukman Hakim dan kamu beritahu kepadanya, setelah disembelih, aku inginkan bahagian yang baik di dalam tubuh kambing ini dan beri kepadaku".

Lukmanul Hakim ini seorang yang bijak, setelah kambing yang kedua ini disembelih, diambil sebahagian daripada hati kambing dan sebahagian daripada lidah kambing itu, dibungkusnya dan diberi kepada pekerja wanita tadi. Pekerja itu pun membawa pulang bungkusan itu lalu diberi kepada wanita itu.

Sekali lagi wanita itu terperanjat dan berkata: "Aku minta yang tidak baik, Lukman Hakim bagi hati dan lidah. Aku minta yang baik, Lukman Hakim bagi hati dan lidah juga." Wanita itu tidak memahami apakah simboliknya, apakah pengajarannya, atau apakah sindirannya. Akhirnya, wanita itupun pergi berjumpa Lukmanul Hakim.

Setelah berjumpa dengan Lukmanul Hakim, wanita itupun berkata: "Wahai Lukman Hakim yang bijak, aku pernah minta kepada kamu, apakah perkara yang baik yang ada di dalam badan kambing aku nak makan, yang aku minta yang tidak baik pun kamu bagi hati dan lidah yang baik pun kamu bagi hati dan lidah. Apakah pengajaran dan apakah maksudnya?"

Lukman Hakim pun berkata: "Yang paling mustahak, yang kita perlu jaga di dalam badan kita ini, ialah dua perkara, kerana hati itu ialah tempat iman kapada Allah, hati tempat keyakinan kepada Allah, hati tempat jatuh pandangan Allah, sedangkan yang lain tempat jatuh pandangan manusia. Utamakanlah tempat jatuh pandangan Allah, kita bimbang kalau hati kita ada sifat mazmumah, sifat-sifat yang kotor, sifat sifat yang keji, takut iman akan keluar, hidayah akan keluar, sebab itu saya kirimkan kepada Puan hati, hati yang perlu dijaga".

"Dan begitu juga lidah, lidah lebih tajam dari mata pedang, dengan sebab lidah orang boleh bermusuhan, dengan sebab lidah orang boleh bercerai berai, dengan sebab lidah orang boleh binasa, dengan sebab lidah orang boleh memutuskan silaturrahim. Orang boleh berpuasa tapi lidahnya tidak dijaga, lidahnya suka mengumpat orang, suka membenci orang, suka mencaci orang, suka mengata orang, akhirnya dia itu ahli neraka. Maka dengan sebab itu bila Puan minta apa yang tidak baik, saya bagi hati dan lidah, yang baik pun saya bagi hati dan lidah, maknanya hati dan lidah ini kita jaga baik baik, insyaAllah kita selamat dunia dan selamat akhirat."

Barulah wanita itu faham, dia mengangguk-anggukkan kepalanya dan menangis kerana dia sedar dan insaf, rupa-rupanya selama ini, hati perlu dibersihkan dan lidah perlu dijaga.

Wallahua'lam.
.