Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


14 Jun 2009

SIFAT TAKABBUR SEORANG MAKHLUK


Mahasuci Allah SWT, pemilik segala keagungan dan kebesaran. Hanya Dia yang layak bangga dan mendapat segala puji kerana Dialah satu-satunya Pencipta yang memiliki segala kelebihan atas setiap makhlukNya.

Sahabat, sungguh dungu orang yang takabbur kerana tertipu oleh kebodohannya. Dia menyangka keangkuhan dan pengakuan ketinggian dirinya akan mengangkat darjat kemuliaannya. Padahal, jelas tidak ada satu pun riwayat di pelosok manapun, kecuali menganggap hina dan rendah orang yang gemar membangga-banggakan dan melebih-lebihkan dirinya kepada orang lain.

Memang lengkap kerugian orang yang takabbur. Selain di dunia ini sekelian makhluk akan merasa muak, para malaikat pun mungkin akan sangat geram. Orang yang takabbur akan menjadi mangsa siksaan kubur dan kobaran api neraka jahannam kelak. Na'udzubillah! Mengapa Allah SWT demikian murka terhadap orang yang takabbur sehinggakan Rasulullah SAW sendiri bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada kesombongan walaupun sebesar zarrah". Ini kerana manusia yang angkuh dan sombong itu adalah makhluk yang tidak tahu diri dan tidak tahu malu, serta lancang mengaku sesuatu yang bukan miliknya.

Imam Al-Ghazali mengibaratkan ada seorang hamba sahaya di sebuah kerajaan, tiba-tiba dia naik singgahsana raja. Dia duduk dengan penuh kesombongan, lalu dipakainya jubah kebesaran sang Raja, lengkap dengan mahkota, pedang, dan segala perlengkapan kebesaran lainnya. Semua ini dia lakukan tanpa izin sama sekali. Kerananya, sudah dapat kita agak betapa geramnya rakyat jelata, apatah lagi Raja sendiri!

Dalam hal ini Allah Azza wa Jalla berfirman: "Dikatakan (kepada mereka), 'Masukilah pintu-pintu neraka jahannam itu; sedang kamu kekal di dalamnya. Maka, neraka jahannam itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri." (QS Az-Zumar :72) "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya." (QS Al-A'raaf:36).

Penyakit takabbur memang benar-benar seperti bau busuk yang tidak dapat disembunyikan. Orang yang mengidap penyakit ini demikian mudah dilihat oleh mata kasar orang awam sekalipun dan dapat dirasakan oleh hati siapapun. Dari lirikan mata, dengusan nafas, senyum sinis, tutur kata dan nada suara, cukup untuk menunjukkan keangkuhannya. Begitupun cara berjalan, duduk, menerima tamu, berpakaian, serta segala gerak-geri di manapun berada, bahkan sampai hujung kaki; seluruhnya menjadi gambaran jelas tentang peribadi buruknya. Ciri yang umum dan lebih jelas lagi digambarkan oleh Allah SWT melalui firmanNya: "Sungguh, sebenarnya telah datang kebenaran-Ku kepadamu, lalu kamu mendustakannya dan menyombongkan diri. Kamu memang termasuk orang-orang yang kafir." (QS Az-Zumar:59) Rasulullah SAW pernah bersabda: "Kesombongan ialah orang yang mendustakan kebenaran dan menganggap remeh/melecehkan orang lain." (HR Muslim)

Sesiapapun yang berat menerima kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah, apalagi yang mendustakannya, jelas dia termasuk orang yang takabbur yang dijamin binasa dalam keadaan hina dina jika sampai akhir hayat tidak juga mahu atau tidak sempat bertaubat. Mereka kurang mengerti bahawa Islam itu diciptakan oleh Allah SWT sejak Nabi Adam AS hingga kiamat kelak sentiasa sesuai untuk tempoh waktu yang begitu panjang dengan segala situasi ekonomi, politik, maupun sosial yang berbeza-beza. Ia selaras dengan zamannya, yang dapat memenuhi setiap naluri dan bakat manusia untuk layak menjadi ahli syurga. Kerananya, bagaimana mungkin Islam yang begitu hebat dan luas dapat ditanggung di atas kepala seseorang atau sekelompok orang yang bukan Nabi?

Justeru, dengan adanya berbagai pendapat, akan terlihatlah kebesaran dan kehebatan Islam. Sedangkan kesombongan dapat menyempitkan wawasan tentang Islam, dan tentu sikap seperti itu akan menjadi punca musibah bagi umat. Sifat takabbur bersumber dari rasa diri memiliki kelebihan, lalu timbul bangga diri dan gemar dipuji. Seterusnya menganggap orang lain tidak seperti dirinya, lebih remeh dan lebih hina daripadanya, yang kesemuanya ini dilihat dalam gerak-gerinya. Penyakit busuk hati ini menimpa semua lapisan umat termasuklah ahli agama, ahli ibadah, dll. Biasanya orang yang sering terkena virus takabbur ini adalah mereka yang diberi beberapa kelebihan oleh Allah SWT, baik berupa keahlian, kemampuan, harta, pangkat, keturunan, ilmu, kedudukan, kebagusan, dan kekuatan tubuh, pengikut, dan sebagainya.

Lantas, kerana kelemahan mental dan keimanannya, maka dia menganggap kelebihan itu miliknya sendiri, hasil perjuangan dan kebijaksanaannya sendiri, sehingga merasa berhak untuk berbangga dan menyombongkan diri. Padahal sekiranya Allah SWT menghendaki mereka dilahirkan sebagai kambing, tentu sekali mereka tidak akan memiliki segala kelebihan tersebut. Atau, kalaulah Allah SWT menghendaki mereka dilahirkan kurang sempurna, nescaya mereka tidak akan dapat berbuat apapun. Bahkan, jika Allah SWT takdirkan mereka lahir di sebuah suku di pedalaman belantara yang tidak mengenal peradaban, maka boleh jadi saat-saat sekarang ini mereka tengah mengejar babi hutan untuk santapannya.

Memang, orang yang takabbur adalah orang yang patut dikasihani oleh kita semua. Tiada yang dapat dia perolehi dari kehidupan ini, selain kesengsaraan dan kehinaan. Tiada yang dapat dikerjakannya, selain menonjolkan kebodohannya sendiri. Rugi di dunia, dan rugi di akhirat! Naudzu billaahi min dzaalik..!
.

Tiada ulasan: