Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


28 November 2009

KISAH TIGA ORANG MUKMIN YANG TIDAK MENYERTAI PERANG TABUK


Di antara puak munafikin, jumlah yang tidak menyertai gerakan ke Tabuk boleh dikatakan banyak juga. Bukan sahaja mereka gagal menyahut seruan Nabi Muhammad SAW malah mereka cuba mempengaruhi orang-orang lain supaya berbuat demikian.

Di antara orang-orang yang beriman pula, hanya tiga orang sahaja yang tidak menyertai tentera Muslimin. Mereka ini ialah Murarak bin Rabi, Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik. Murarah tidak bersama-sama Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya kerana buah-buah tamar dikebunnya telah masak dan terpaksa dikutip. Dia menyangka yang penyertaannya dalam lain-lain peperangan terdahulu daripada ini dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang sedang dihadapi. Di sini dia telah melakukan kesalahan mementingkan hartanya daripada Allah SWT. Apabila dia menyedari kesalahannya dia mendermakan kebunnya kepada orang.

Akan Hilal pula, dia sibuk mendampingi kaum keluarganya yang pulang ke Madinah selepas meninggalkan kota itu beberapa ketika lamanya. Seperti Murarah, dia juga telah menyertai beberapa peperangan yang terdahulu. Ternyata yang Hilal telah melakukan kesalahan mementingkan kaum keluarganya daripada Allah SWT. Setelah menyedari kesalahannya dia telah memutuskan perhubungan dengan kaum kerabatnya.

Mengenai Ka'ab pula, dengarlah cerita seperti yang diceritakan olehnya sendiri. Cerita Ka'ab ini terkandung di dalam semua buku-buku Hadis. Katanya: "Semasa berlaku gerakan ke Tabuk, keadaan hidup aku agak mewah. Aku mempunyai dua ekor unta kepunyaanku sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah memiliki bilangan unta seperti tersebut tadi. Telah menjadi amalan Nabi Muhammad SAW yang ia tidak suka memberitahu kepada umum tentang tempat yang ditujui oleh gerakan tentera Muslimin, tetapi sekali ini oleh kerana jauhnya perjalanan yang mesti ditempuhi, kerana musim kemarau pada masa itu dan oleh kerana kekuatan tentara kafir, ia terpaksa menceritakan segala-galanya agar persiapan-persiapan dapat diperbuat dengan sempurnanya. Orang-orang yang bakal menyertai pergerakan ke Tabuk terlalu banyak sehingga tidak mungkin diketahui nama-nama mereka semuanya. Demikian juga payahnya untuk mengetahui nama-nama mereka yang tidak menyertai Nabi Muhammad SAW."

"Pada ketika itu kebun-kebun di Madinah telah penuh dengan buah-buah yang telah masak. Tiap-tiap pagi saya bercita-cita hendak membuat persiapan-persiapan agar dapat menyertai tentera Muslimin, tetapi entah bagaimana keazaman saya itu tidak menjadi kenyataan. Saya ketahui benar-benar yang saya dapat menyertai mereka bila-bila masa sahaja. Dalam keadaan saya yang demikianlah, maka berita mengenai keberangkatan tentera Muslim telah sampai ke pengetahuan saya. Saya masih berpendapat yang saya mendahului mereka sekiranya saya dapat bersiap sedia dalam sehari-dua."
.
"Penangguhan saya untuk melakukan sesuatu yang tegas berlanjutan sehingga tibalah masanya tentera-tentera Muslimin hampir tiba di Tabuk. Dalam keadaan yang demikian pun saya masih juga menangguh-nangguh. Tiba-tiba apabila saya melihat orang-orang yang tertinggal di Madinah, saya menyedari yang kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada kaum-kaum munafikin dan mereka yang telah sengaja diuzurkan oleh Nabi Muhammad SAW kerana sebab-sebab yang tertentu. Setibanya Nabi Muhammad SAW di Tabuk, Baginda pun bertanya: "Mengapa aku tidak melihat Ka'ab?" Jawab salah seorang daripada para sahabat: "Ya Nabi Muhammad SAW, kebanggaannya kepada harta dan kesenangan kehidupannya telah menyebabkan dia tertinggal di belakang." Maaz mencelah sambil berkata: "Tidak, Ini tidak mungkin. Setahu kami dia adalah seorang Mukmin yang sebenar-benarnya." Nabi Muhammad SAW tidak mengeluarkan sepatah katapun."

Ka'ab meneruskan ceritanya: "Selepas beberapa hari saya pun mendengar berita mengenai kepulangan Nabi Muhammad SAW saya tiba-tiba dirundungi oleh perasaan sedih dan kesal yang maha hebat. Beberapa alasan iaitu yang mungkin dikemukakan kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengelakkan kemurkaan Baginda terbayang-bayang di kepala saya. Saya juga telah meminta nasihat daripada orang-orang yang cerdik pandai di kalangan keluarga saya, tetapi akhirnya alasan-alasan ini saya ketepikan dan saya membuat keputusan hendak bercakap benar kepada Nabi Muhammad SAW."

"Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila Baginda pulang dari suatu perjalanan, Nabi Muhammad SAW akan singgah di masjid untuk mendirikan Solat Tahyatul Masjid serta beramah mesra dengan pelawat-pelawatnya. Pada ketika itu, datanglah orang munafik bersumpah-sumpah sambil memberi sebab-sebab mengapa mereka tidak menyertai Nabi Muhammad SAW ke Tabuk. Nabi Muhammad SAW menerima saja alasan-alasan yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka sedangkan kandungan batin mereka tinggalkan kepada Allah SWT untuk membereskannya."

"Kemudian saya pun tibalah untuk menemui Rasulullah SAW lantas memberi salam kepada Baginda SAW. Suatu senyuman yang tawar, Baginda menolehkan mukanya ke arah lain. Saya berkata: "Wahai Rasulullah, Tuan memalingkan muka Tuan dari saya. Demi Allah SWT, saya bukannya munafik dan saya tidak meragui kebenaran agama saya." Baginda SAW menyuruh saya mendekati lalu bertanya: "Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, kalau kepada orang lain sudah tentu saya dapat memberi alasan-alasan yang sesuai kerana Allah SWT telah mengurniakan saya dengan kefasihan bercakap, tetapi kepada Tuan, walaupun saya dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang memuaskan hati Tuan, sudah tentu Allah SWT akan memurkai saya. Sebaliknya kalau saya menimbulkan kemarahan Tuan dengan bercakap benar saya percaya lambat-laun kemarahan Tuan itu akan dihapuskan oleh Allah SWT. Oleh itu saya bercakap benar. Demi Allah SWT saya tidak ada sebarang alasan pun sedangkan pada masa itu hidup saya mewah." Kata Nabi Muhammad SAW: "Dia sedang bercakap benar." Kemudian Baginda SAW berkata: "Pergilah kamu dan Allah SWT akan menentukan sesuatu bagi kamu."
.
"Apabila saya meninggalkan Nabi Muhammad SAW, orang-orang dari puak saya telah menyalahkan saya kerana telah bercakap benar di hadapan Rasulullah. Kata mereka: "Kamu sebelum ini tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Kalaulah setelah memberi satu-satu alasan yang sesuai, kamu meminta Nabi Muhammad SAW berdoa untuk diampunkan oleh Allah SWT, yang demikian itu sudah tentu mencukupi." Kemudian saya bertanya kalau-kalau ada orang yang hal keadaannya seperti saya. Mereka menceritakan mengenai Hilah bin Umayyah dan Murarah bin Rabi. Mereka juga telah mengakui kesalahan mereka dan menerima jawapan yang sama. Saya tahu yang mereka ini adalah penganut-penganut agama Islam yang sejati dan telah mengambil bahagian dalam Peperangan Badar."

"Nabi Muhammad SAW sudah memerintahkan supaya kami bertiga dipulaukan. Tidak ada seorang pun yang berani bergaul dan bercakap-cakap dengan kami. Pada masa itu saya berasa seolah-olah saya tinggal berdagang di rantau orang. Kawan-kawan berkelakuan seperti orang asing. Dunia yang begitu luas menjadi sempit. Kalau saya mati, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengimami sembahyang jenazah saya. Sebaliknya kalau Baginda SAW wafat sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas saya akan berterusan sehingga ke akhir hayat saya."

"Kawan-kawan saya yang berdua itu tidak menampakkan diri mereka di luar rumah, sedangkan saya memberanikan diri dengan berjalan-jalan di pasar dan bersembahyang berjemaah tetapi saya tidak dihiraukan oleh sesiapa pun. Kadang-kadang saya memberanikan diri menghampiri Nabi Muhammad SAW sambil memberikan salam. Saya menunggu-nuggu jawapannya dengan penuh harapan. Kerapkali selepas menunaikan solat fardhu, saya akan menunaikan solat sunat berhampiran dengan Nabi Muhammad SAW kerana ingin mengetahui sama ada Baginda SAW akan memandang saya atau tidak. Ya, Baginda SAW memandangkan saya semasa berada dalam sembahyang. Di luar sembahyang Baginda SAW memalingkan pandangannya dari saya."
.
"Pada suatu hari apabila saya rasa yang saya tidak dapat lagi menderitai pemulauan sosial yang dikenakan ke atas saya, saya telah memanjat tembok kebun sepupu saya, Qatadah. Saya mengucapkan salam kepadanya tetapi dia tidak menjawab. Saya menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Saya bertanya: "Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah SWT dan RasulNya?" Soalan saya itu terpaksa diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiganya barulah dia menjawab: "Hanya Allah SWT dan RasulNya yang mengetahui." Mendengar jawapannya itu saya menangis lalu meninggalkannya."
.
"Pada suatu ketika, sedang saya melalui sebatang jalan di Madinah, saya terpandang akan seorang Kristian berbangsa Mesir yang telah datang dari Syam. Rupa-rupanya orang itu sedang mencari saya. Apabila orang ramai di situ menunjukkan saya dia pun menghampiri saya sambil menyerahkan sepucuk surat daripada Raja Kristian yang memerintah Ghassan. Surat itu berbunyi: "Kami telah mengetahui akan penganiayaan yang kamu perolehi dari ketua kamu. Allah SWT tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Eloklah kamu menyertai kami dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu."

"Apabila saya membaca surat ini saya mengucapkan: "INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN." Demikianlah hal keadaan saya sehingga orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad. Saya tidak dapat membayangkan segala kecelakaan yang menimpa diri saya. Dengan serta merta saya mencampakkan surat itu ke dalam api dan saya pun terus pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Kata saya: "Ya Rasulullah SAW, saya telah tergelincir di dalam jurang kehinaan yang amat dahsyat sehinggakan orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad."
.
"Selepas empat puluh hari pemboikotan itu berjalan seorang utusan Nabi Muhammad SAW mendatangi saya dengan membawa satu perintah baru dari Nabi Muhammad SAW. Saya diperintahkan supaya berpisah dari isteri saya. Saya bertanya kepada utusan itu sama ada isteri saya terpaksa diceraikan. Dia hanya menyuruh saya berpisah dari isteri saya. Perintah yang sama diberikan kepada sahabat-sahabat yang berdua itu. Kata saya kepada isteri saya: "Pergilah kamu tinggal bersama-sama orangtuamu sehingga Allah SWT menentukan sesuatu bagiku."
.
"Isteri Hilal pun telah pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW sambil mengadu kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, Hilal sudah tua dan tidak ada orang untuk menjaganya. Kalau aku meninggalkannya sudah tentu dia akan mati. Izinkan aku supaya menjagainya." Nabi Muhammad SAW menjawab: "Baiklah, tetapi jangan melakukan perhubungan jenis." Kata isteri Hilal: "Ya Rasulullah, dia sudah tidak ada keinginan semenjak pemulauan dikenakan ke atasnya. Dia menghabiskan masanya dengan menangis."
.
"Ada orang yang mecadangkan kepada saya supaya meminta kebenaran daripada Nabi Muhammad SAW untuk membolehkan isteri saya tinggal bersama-sama saya tetapi saya enggan berbuat demikian kerana saya masih muda sedangkan Hilal sudah tua. Lagi pula saya tidak berani membuat permintaan yang demikian. Sehingga ini pemulauan telah dijalankan keatas kami selama lima puluh hari."
.
"Pada pagi yang kelima puluh itu sedang saya duduk-duduk di atas bumbung rumah saya, setelah melakukan Solat Fajar, saya terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit Salak. "Ada berita gembira buat kamu, ya Ka'ab." Sebaik sahaja saya mendengar berita itu saya pun bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah SWT. Saya tahu yang saya telah perolehi keampunan daripada Allah SWT. Sebenarnya Nabi Muhammad SAW mengisytiharkan keampunan Allah SWT kepada kami bertiga selepas solat Subuh itu."

"Kemudian datang pula seorang penunggang kuda membawa berita yang sama. Oleh kerana kegembiraan yang amat sangat saya telah menghadiahkan pakaian yang terlekat di badan saya kepada pembawa berita gembira itu. Pada masa itu saya hanya memiliki pakaian yang sedang saya pakai tadi. Oleh hal yang demikian saya meminjam sehelai pakaian dari sahabat saya dan memakai pakaian itu dan saya terus pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Apabila saya tiba di masjid orang-orang yang sedang berbual-bual dengan Rasulullah SAW datang menerpa dan memegang tangan saya sambil mengucapkan tahniah. Orang yang mula-mula mengucapkan tahniah kepada saya ialah Talhah. Kemudian saya pun menyampaikan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Muka Baginda SAW berseri-seri dengan cahaya kegembiraan. Saya berkata kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, saya bercadang hendak mendermakan semua harta saya sebagai mengucapkan syukur kepada Allah SWT yang telah sudi menerima taubat saya." Baginda SAW berkata: "Janganlah habiskan semua harta kamu. Tinggalkan sedikit untuk kepentingan dirimu." Saya pun mendermakan harta saya kecuali rampasan yang diperolehi dalam Peperangan Khaibar."

"Kebenaran telah menyelamatkan saya dan oleh itu saya berazam hendak bercakap benar pada setiap masa."

Wallahua'lam.
.

24 November 2009

BILAL BIN RABAH R.A.


Bilal bin Rabah r.a. adalah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling terkenal. Dia merupakan muazzin atau juru azan di Masjid Nabi. Beliau merupakan seorang hamba Habsyi yang dimiliki oleh seorang kafir di Mekah.

Keislamannya telah menimbulkan kemarahan yang tidak terhingga terhadap pemiliknya. Akibatnya, beliau pun diseksa dengan tanpa belas kasihan. Umayyah bin Khalaf, musuh Islam yang terkemuka di kalangan penduduk Mekah, yang memiliki Bilal telah membaringkannya atas pasir yang panas membakar serta meletakkan batu besar di atas dadanya sehingga ia tidak dapat menggerakkan tubuhnya.

Kemudian berkatalah Umayyah kepada Bilal: "Tinggalkanlah agamamu. Kalau tidak matilah kamu dalam kepanasan matahari yang tegak." Lantas Bilal menjawab dengan berkata: "Ahad!" (Tuhan Yang Esa!), "Ahad!" (Tuhan Yang Esa!).
.
Pada waktu malam, beliau didera dengan cemeti sehingga badannya luka-luka. Pada waktu siang pula, beliau dibaringkan di atas pasir yang panas. Tuannya berharap agar beliau akan meninggalkan agamanya atau pun mati akibat luka-luka di badannya.

Namun demikian, Bilal masih tetap dengan pendiriannya yang teguh. Umayyah, Abu Jahal dan pengikut-pengikut mereka menyiksa Bilal secara bergilir-gilir. Akhirnya Abu Bakar telah menebusnya dan semenjak hari itu, hiduplah dia sebagai seorang Muslim yang bebas. Semenjak ia dibebaskan, dia sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad SAW sehingga Baginda SAW wafat. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Bilal pun meninggalkan Kota Madinah.
.
Pada suatu ketika dia telah melihat Nabi Muhammad SAW di dalam mimpinya. Berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal: "Wahai Bilal, mengapakah kamu tidak melawatku?"
.
Sebaik-baik sahaja dia bangun dari tidurnya, dia pun bersiap-siap untuk berangkat ke Madinah. Setibanya dia di kota itu, dia telah berjumpa dengan Saidina Hasan r.a. dan Saidina Hussain r.a., cucunda Nabi Muhammad SAW. Mereka meminta agar Bilal mangalunkan azan.

Permintaan orang yang dicintainya itu tidak dapat ditolak. Apabila suara Bilal berkumandang di ruang angkasa Kota Madinah, penduduk-penduduknya pun tanpa segan silu menitiskan air mata mereka kerana terkenangkan zaman keemasan yang telah mereka lalui semasa hidupnya kekasih mereka, Nabi Muhammad SAW.

Sekali lagi Bilal telah meninggalkan Kota Madinah dan akhirnya meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah.
.

20 November 2009

SYAITAN CETUS SIFAT MARAH (HARIAN METRO, 20/11/09)


MARAH satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah SWT dan Rasulullah SAW. Perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan.

Memang benar ada yang mengatakan 'aku sudah meletup, memang aku tak boleh buat apa-apa.' Tetapi lebih baik kita belajar menenangkan diri sebelum menghamburkan sebarang bentuk perkataan kepada pihak lain. Selain itu, melihatkan status diri sebagai insan yang berakal membolehkan kita menilai dulu sesuatu perkara sebelum melakukan sebarang tindakan yang bersandarkan desakan emosi semata-mata.

Ketika dalam keadaan marah, manusia sebenarnya dikuasai syaitan yang akhirnya akan berlaku suasana tegang seperti kawan bertengkar sesama kawan atau anak mengherdik ibu bapanya. Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan Tuhanmu (Allah ) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uh', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun)." (Surah al-Isra': 23).

Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri. Lebih buruk, jika perasaan marah itu gagal ditenteramkan walaupun sebelah pihak mungkin sedaya upaya mententeramkan keadaan.

Sebagai umat Islam, Nabi Muhammad SAW menganjurkan kita beberapa teknik bagi mengawal perasaan marah. Cara terbaik dengan mengeluarkan kata-kata berhikmah. Kata-kata yang baik terbit daripada hati yang suci dan boleh menjadi pedoman kepada manusia.

Dari satu sudut lain, sifat pemarah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai sifat marah akan dizalimi serta dicerobohi haknya. Tetapi perkara tercela adalah sifat marah yang tidak kena pada tempatnya. Justeru, sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak elok ditutur, lebih baik sekiranya segera beristighfar.
.
Namun, kita sebenarnya tidak boleh menjadikan marah itu sebagai ukuran tepat untuk menggambarkan perasaan tidak puas hati. Kita masih mempunyai masa bagi mengawal percakapan daripada menuturkan kata-kata berunsur herdikan, cacian seterusnya membibitkan perasaan marah yang tiada taranya. Ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga.
.
Kita sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil jalan 'pintas' iaitu terus memarahi tanpa menyelidiki pokok pangkalnya. Sudah tentu, tindakan marah kita itu akan menjadi sia-sia serta menjarakkan hubungan persaudaraan. Walaupun orang yang dimarahi itu melakukan kesilapan, sekurang-kurangnya mereka perlu memberi peluang daripada melemparkan perasaan marah berkenaan.

Marah boleh, tetapi jangan menjadi orang yang mempunyai sifat pemarah. Sebenarnya, apa yang terkandung daripada sifat marah itu perasaan benci terutama jika emosi menebal itu gagal dikawal sehingga terhambur perkataan cabar mencabar sehingga sanggup memberi ancaman kecederaan dan bunuh kepada individu lain.

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya tidak menjadi seorang yang pemarah seperti diriwayatkan Abu Hurairah r.a., ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: "Berpesan kepadaku! Baginda berkata: "Jangan marah." Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: "Jangan marah!" (Riwayat al-Bukhari).

Bagi mengubati penyakit marah ini, Islam mengajar umatnya menahan diri ketika marah dan sabar apabila melawan hawa nafsu yang meluap-luap itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah)." (Riwayat At-Tirmidzi).

Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan syaitan yang dijadikan daripada api. Oleh itu ingatlah api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan pada anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang 'membara' akibat marah itu.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud). Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (Riwayat al-Bukhari).

Sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan. Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah as-Syu'ara: 37).

Antara langkah untuk mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang:
a. Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakiti hati itu. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.
b. Jangan menyalahkan orang lain. Beri tumpuan kepada punca sebenar yang mencetuskan kemarahan kerana ia mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri.
c. Perbaiki keadaan selepas kita berada dalam keadaan tenang dan terkawal. Jangan lepaskan kemarahan kepada orang lain semata-mata kerana tidak puas hati dengan individu lain.
d. Dapatkan rehat dan tidur secukupnya selain makan makanan berkhasiat kerana apabila badan letih, ia akan menyebabkan seseorang itu lebih cepat naik marah.
e. Amalkan senaman ringkas selama beberapa minit setiap hari bagi mengurangkan ketegangan.
f. Jadi seorang pendengar yang baik. Sifat orang pemarah adalah dia sangat sukar mendengar pendapat orang lain kerana merasakan tindakan serta pendapatnya mengatasi orang lain.
g. Jauhi amalan yang menjadi punca perkelahian seperti suka merendah-rendahkan, memperlekeh serta mengherdik orang lain lalu digantikan dengan sifat memuliakan orang.
h. Amalkan bacaan A'uzubillah himinasyaitaannirrajiim (Aku berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan direjam) selain tidak meninggalkan solat kerana di dalamnya terdapat kesan hebat yang boleh menerbitkan perasaan tenang jika diamalkan dengan sepenuh ikhlas.
.

PERJALANAN RASULULLAH S.A.W. KE TAIF


Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul, Baginda telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Makkah untuk memimpin dan memperbaiki keadaan hidup mereka. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam ataupun yang bersimpati dengan Baginda, yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang Baginda dan pengikut-pengikutnya. Di antara mereka yang bersimpati dengan perjuangan Baginda SAW termasuklah Abu Talib, bapa saudara Baginda sendiri. Sungguhpun begitu Abu Talib tidak memeluk agama Islam.
.
Berikutan kematian Abu Talib, pihak Quraish berasa bebas untuk memperhebatkan gangguan dan penentangan mereka terhadap Baginda SAW. Di Taif, bandar yang kedua terbesar di Hijaz, terdapat Bani Thafiq, suatu puak yang sangat kuat dan besar bilangan ahlinya. Nabi Muhammad SAW berlepas ke Taif dengan harapan ia dapat mengajak kaum Bani Thafiq untuk menerima Islam dan dengan demikian memperolehi perlindungan bagi pemeluk-pemeluk agama Islam dari gangguan puak Quraish. Baginda juga bercita-cita hendak menjadikan Taif markas kegiatan-kegiatan dakwah Baginda.

Sebaik-baik sahaja Rasulullah SAW tiba di sana, Baginda telah mengunjungi tiga orang pemimpin Bani Thafiq secara berasingan dan menyampaikan kepada mereka risalah Allah SWT. Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima ajaran Allah SWT, bahkan enggan mendengar apa yang dikemukakan oleh Baginda SAW kepada mereka. Baginda telah dilayani secara kasar dan biadap. Kekasaran mereka amat bertentangan dengan semangat memuliakan dan menghormati tetamu yang telah menjadi sebahagian daripada cara hidup bangsa Arab. Dengan terus terang mereka mengatakan yang mereka tidak suka Baginda SAW tinggal di tempat mereka. Rasulullah SAW berharap yang kedatangan Baginda akan disambut dengan baik. Sebaliknya Baginda telah dilempari dengan kata-kata yang kasar.
.
Kata seorang daripada pemuka-pemuka tadi dengan penuh ejekan: "Hoi, benarkah yang Allah SWT telah melantik kamu menjadi PesuruhNya?" Kata seorang lagi sambil ketawa: "Tidak bolehkah Allah memilih manusia selain dari engkau untuk menjadi PesuruhNya?" Yang ketiga pula melempar kata-kata hina yang bunyinya: "Kalau engkau benar-benar seorang Nabi, aku tidak ingin bercakap-cakap dengan engkau kerana perbuatan yang demikian akan mendatangkan bencana kepada diriku. Sebaliknya jika kamu seorang pendusta, tidak guna aku bercakap-cakap dengan engkau."
.
Dalam menghadapi penentangan yang sebegitu hebat, ketabahan dan kecekalan hati yang merupakan sifat-sifat semulajadi Nabi Muhammad SAW tidak menyebabkan Baginda berasa hampa dan gagal barang sedikit jua pun. Selepas meninggalkan pemuka-pemuka Bani Thafiq, Baginda SAW cuba menghampiri rakyat biasa. Di sini usaha Baginda juga menemui kegagalan. Mereka menyuruh Baginda keluar dalam Taif. Apabila Baginda SAW menyedari yang usahanya tidak mendatangkan hasil yang diingini, Baginda pun membuat keputusan hendak meninggalkan kota itu. Tetapi mereka tidak membiarkan Baginda SAW keluar dari Taif secara aman. Mereka melepaskan kacang-kacang hantu mereka supaya mengusik, mengejek, mengacau dan melemparinya dengan batu. Pelemparan batu yang dilakukan ke atas Baginda SAW menyebabkan tubuh Baginda SAW berdarah akibat luka-luka.

Apabila Baginda SAW berada agak jauh dari kota Taif, Baginda pun berdoa kepada Allah SWT: "Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada sesiapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaanMu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan hal ku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau."
.
Demikianlah doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT oleh Rasulullah SAW sehingga Allah SWT mengutuskan Jibrail AS menemui Baginda. Setibanya di hadapan Rasulullah, Jibril AS pun memberi salam seraya berkata: "Allah SWT mengetahui apa yang telah berlaku di antara kamu dan orang-orang ini. Allah SWT telah menyediakan malaikat di gunung-ganang disini khas untuk menjalankan sebarang perintah kamu." Sambil berkata demikian Jibril AS menghadapkan malaikat itu di hadapan Baginda SAW. Kata Malaikat tersebut: "Wahai Rasulullah, saya bersiap sedia untuk menjalankan perintah Tuan. Kalau dikehendaki, saya sanggup menyebabkan gunung-gunung di sebelah menyebelah kota ini berlanggaran sehingga penduduk-penduduk di kedua-dua belah mati tertindih. Kalau tidak, Tuan cadangkan apa saja hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini."
.
Mendengar janji-janji Malaikat itu, Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan sifat penyayang dan belas kasihan pun berkata: "Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah SWT, yang anak-anak mereka, pada satu masa nanti, akan menyembah Allah SWT dan berbakti kepadaNya."
.
Begitulah teladan mulia dan murni yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW. Kita semua mengakui yang kita menjadi pengikut-pengikutNya, tetapi dalam urusan hidup kita sehari-sehari, apabila cadangan kita ditolak atau tidak dipersetujui, maka kita dengan segera memaki hamun dan kadang-kadang bercita-cita untuk membalas dendam terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan kita. Sebagai umatnya, kita hendaklah sentiasa mencontohi Rasulullah SAW. Selepas menerima penghinaan oleh penduduk-penduduk Kota Taif, Baginda SAW hanya berdoa. Baginda tidak memarahi mereka, tidak mengutuk mereka dan tidak mengambil sebarang tindakan balas walaupun diberi kesempatan sebaik-baiknya untuk membuat demikian.

Wallahua'lam.
.

17 November 2009

PERMOHONAN ORANG KAYA DAN ORANG MISKIN


Nabi Musa AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Mereka ada yang kaya dan juga ada yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Kerana kemiskinannya, pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh.

Si miskin itu kemudian berkata kepada Nabi Musa AS: "Ya Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya." Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu: "Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT." Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata: "Bagaimana aku banyak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu lembar ini sahaja!" Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya.

Beberapa waktu kemudian, seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya. Ia berkata kepada Nabi Musa AS: "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu."

Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata: "Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT." "Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah SWT? Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat, telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya," jawab lelaki kaya itu. Akhirnya lelaki kaya itu pun pulang ke rumahnya.

Selepas peristiwa itu, Allah SWT menambah kekayaan kepada lelaki kaya itu kerana ia selalu bersyukur. Dan lelaki miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil kesemua kurnianNya sehingga lelaki miskin itu tidak memiliki sehelai pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT.

.

15 November 2009

NABI SULAIMAN A.S. DAN SEEKOR SEMUT


Pada suatu masa, kerajaan Nabi Sulaiman AS sedang mengalami musim kering yang begitu lama. Sudah lama hujan tidak turun membasahi bumi. Nabi Sulaiman AS mulai didatangi oleh umatnya untuk mendapatkan pertolongan dan memintanya memohon kepada Allah SWT agar menurunkan hujan untuk membasahi kebun-kebun dan sungai-sungai mereka.

Nabi Sulaiman AS kemudian memerintahkan satu rombongan besar pengikutnya yang terdiri dari bangsa jin dan manusia berkumpul di tempat lapang untuk berdoa memohon kepada Allah SWT agar musim kemarau segera berakhir dan hujan kembali turun.

Apabila mereka tiba di tempat tersebut, Nabi Sulaiman AS melihat seekor semut kecil berada di atas sebuah batu. Semut itu berbaring kepanasan dan kehausan. Nabi Sulaiman AS kemudian mendengar si semut mulai berdoa memohon kepada Allah SWT:

"Ya Allah pemilik segala khazanah, aku berhajat sepenuhnya kepada-Mu, Aku berhajat akan air-Mu. Tanpa air-Mu, ya Allah, aku akan kehausan dan kami semua kekeringan. Ya Allah, aku berhajat sepenuhnya pada-Mu akan air-Mu, kabulkanlah permohonanku," doa si semut kepada Allah SWT.

Mendengar doa si semut maka Nabi Sulaiman AS kemudian segera memerintahkan rombongannya untuk kembali pulang sambil berkata pada mereka: "Kita segera pulang, sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan hujan-Nya kepada kalian. Allah SWT telah mengabulkan permohonan seekor semut." Kemudian Baginda Sulaiman dan rombongannya pulang kembali ke kerajaan.

Suatu hari Baginda Sulaiman AS sedang berjalan-jalan. Ia melihat seekor semut sedang berjalan sambil mengangkat sebutir buah kurma. Nabi Sulaiman AS terus mengamatinya, kemudian beliau memanggil si semut dan bertanya padanya: "Hai semut kecil, untuk apa kurma yang kau bawa itu?" Si semut menjawab: "Ini adalah kurma yang Allah SWT berikan kepadaku sebagai makananku selama satu tahun."

Nabi Sulaiman AS kemudian mengambil sebuah botol lalu ia berkata kepada si semut: "Wahai semut kemarilah engkau, masuklah ke dalam botol ini. Aku telah membagi dua kurma ini dan akan aku berikan separuhnya padamu sebagai makananmu selama satu tahun. Tahun depan aku akan datang lagi untuk melihat keadaanmu". Si semut lalu mematuhi perintah Nabi Sulaiman AS.

Setahun telah berlalu. Nabi Sulaiman AS datang kembali melihat keadaan si semut. Ia melihat kurma yang diberikan kepada si semut itu tidak banyak berkurang. Nabi Sulaiman AS bertanya kepada si semut: "Hai semut mengapa engkau tidak menghabiskan kurmamu?"

Jawab si semut: "Wahai Nabiullah, aku selama ini hanya menghisap airnya dan aku banyak berpuasa. Selama ini Allah SWT yang memberikan kepadaku sebutir kurma setiap tahunnya, akan tetapi kali ini engkau memberiku separuh buah kurma. Aku takut tahun depan engkau tidak memberiku kurma lagi kerana engkau bukan Allah Pemberi Rezki (Ar-Razak)."

Wallahua'lam.
.

13 November 2009

DOA ORANG BERDOSA DITOLAK ALLAH (HARIAN METRO, 13/11/09)


SEBAGAI manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib. Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.

Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan. Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya?

Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.

Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.

Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.

Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa. Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah SWT iaitu:
.
Dosa kerana mengingkari pemimpin
Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat. Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah SWT. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.
.
Dosa kerana tidak taat guru
Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.
.
Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa
Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita. Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.
.
Dosa kerana derhaka kepada suami
Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya." Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.
.
Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang
Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.
.

11 November 2009

SYAHID SELEPAS MEMELUK ISLAM


Suatu ketika, tatkala Rasulullah SAW sedang bersiap sedia di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak diduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda SAW. Rupanya dia ingin memeluk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah SAW.

Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu telah memeluk Islam setelah tokoh yang terkenal, Saad bin Muaz, memeluk Islam. Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, beliau menjawab: "Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya."

Demikian angkuhnya Amar. Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia hidup terasing, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang.

Kini dalam saat orang bersiap-siap untuk ke medan perang, dia segera menemui Rasulullah SAW, menyatakan dirinya akan memeluk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Pedangnya yang tajam turut dibawanya.
.
Rasulullah SAW menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira, tambah pula beliau rela ikut serta bersama Nabi Muhammad SAW. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya.

Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai akhirnya dia jatuh pengsan. "Untuk apa ikut ke mari, ya Amar?", demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab mereka menyangkakan beliau masih musyrik. Mereka kira Amar ini masih belum Islam lalu mengikut sahaja.

Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata: "Aku sudah beriman kepada Allah SWT dan RasulNya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah SWT akan memberikan syahidah kepadaku dalam waktu yang tidak lama lagi." Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid.

Waktu hal ini diketahui Rasulullah SAW, maka Baginda SAW pun bersabda: "Amar itu nanti akan berada dalam syurga." Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh takjub, sebab ianya di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a. sahabat yang banyak mengetahui hadis Rasulullah SAW berkata kepada kaum Muslimin: "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap Allah SWT." "Jika kamu tidak tahu orangnya," kata Abu Hurairah r.a. lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya, "Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar bin Thabit."

Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Rasulullah SAW.

Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang sebagai mujahid yang berani. Akhirnya beliau tewas dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid, mati membela agama Allah SWT di medan perang. Maka syurgalah tempat baginya. Rasulullah SAW menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.

Wallahua'lam.
.

09 November 2009

ABU BAKAR, ORANG YANG PALING BERANI


Al-Bazzar meriwayatkan dalam kitab Masnadnya dari Muhammad bin Aqil katanya: "Pada suatu hari Ali bin Abi Talib (kwj) pernah berkhutbah di hadapan kaum Muslimin dan beliau berkata: "Hai kaum Muslimin, siapakah orang yang paling berani ?" Jawab mereka: "Orang yang paling berani adalah engkau sendiri, hai Amirul Mukminin."

Kata Saidina Ali: "Orang yang paling berani bukan aku tapi adalah Abu Bakar. Ketika kami membuatkan Nabi Muhammad SAW gubuk di medan Badar, kami tanyakan siapakah yang berani menemankan Nabi Muhammad SAW dalam gubuk itu dan menjaganya dari serangan kaum Musyrik? Di saat itu tiada seorang pun yang bersedia melainkan Abu Bakar sendiri. Dan beliau menghunus pedangnya di hadapan Nabi Muhammad SAW untuk membunuh siapa sahaja yang mendekati gubuk Nabi Muhammad SAW. Itulah orang yang paling berani."

"Pada suatu hari juga pernah aku menyaksikan ketika Nabi Muhammad SAW sedang berjalan kaki di kota Mekah, datanglah orang Musyrik sambil menghalau beliau dan menyakiti beliau dan mereka berkata: "Apakah kamu menjadikan beberapa tuhan menjadi satu tuhan?" Di saat itu tidak ada seorang pun yang berani mendekat dan membela Nabi Muhammad SAW selain Abu Bakar.

Beliau maju ke depan dan memukul mereka seraya berkata: "Apakah kamu hendak membunuh orang yang bertuhankan Allah?" Kemudian sambil mengangkat kain selendangnya, beliau mengusap air matanya. Kemudian Saidina Ali berkata: "Adakah orang yang beriman dari kaum Firaun yang lebih baik daripada Abu Bakar?" Semua jamaah diam sahaja, tidak ada yang menjawab.

Saidina Ali seterusnya berkata: "Sesaat dengan Abu Bakar lebih baik daripada orang yang beriman dari kaum Firaun walaupun mereka sepuluh dunia, kerana orang beriman dari kaum Firaun hanya menyembunyikan imannya sedangkan Abu Bakar menyiarkan imannya."
.

06 November 2009

SEORANG NASRANI MEMELUK ISLAM


Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat seorang Qadhi yang kaya-raya. Suatu hari kebetulan hari Asyura, datanglah seorang fakir miskin meminta sedekah. Berkatalah si miskin tersebut: "Wahai tuan Qadhi, adalah saya seorang miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan kemuliaan hari ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah saya sedekah sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging dan duit dua dirham." Qadhi menjawab: "Datanglah selepas waktu zohor!"

Selepas solat zohor, orang miskin itu pun datang meminta sedekah. Sayangnya si Qadhi itu tidak menepati janjinya dan menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. Apabila dia datang selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata si Qadhi tidak memberikan apa-apa. Maka beredarlah simiskin dari rumah si Qadhi dengan penuh kecewa.

Sewaktu si miskin berjalan mencari-cari, ia melintas di depan seorang Nasrani sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. Kepada orang Nasrani itu si miskin minta sedekah: "Tuan, demi keagungan dan kebesaran hari ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya." Si Nasrani lalu bertanya: "Hari apakah hari ini?" "Hari ini hari Asyura.", jawab si miskin, sambil menerangkan keutamaan dan kisah-kisah hari Asyura.

Rupanya orang Nasrani itu sangat tertarik mendengar cerita si miskin itu dan dia berkenan untuk memberi sedekah. Berkata si Nasrani: "Katakan apa hajatmu padaku!" Berkata si miskin: "Saya memerlukan sepuluh keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja." Dengan segera ia memberi si miskin tersebut kesemua keperluan yang dimintanya. Si miskin itu pun pulang dengan senang hati kepada keluarganya.

Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya. "Angkat kepalamu!" kata suara dalam mimpinya. Sebaik sahaja ia mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua buah bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan warnanya. Si Qadhi bertanya: "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat cantik ini?" Terdengar jawapan: "Semua bangunan ini adalah untuk kamu andaikan sahaja kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini bangunan itu dimiliki oleh seorang Nasrani."

Apabila Qadhi bangun dari tidurnya, iapun pergi kepada si Nasrani yang dimaksudkan dalam mimpinya. Qadhi bertanya kepada si Nasrani: "Amal apakah gerangan yang kau buat semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang sangat cantik?" Orang Nasrani itu pun menceritakan tentang amal yang dilakukannya bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya pada hari Asyura itu.

Kata Qadhi: "Juallah amal itu kepadaku dengan harga seratus ribu dirham." Kata si Nasrani: "Ketahuilah wahai Qadhi, sesungguhnya amal baik yang diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan sekalipun dengan harga bumi serta seisinya." Orang Nasrani itu lalu membuang tanda salibnya dan mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Wallahua'lam.
.

05 November 2009

KURMA MADINAH


Ketika Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya untuk segera berangkat ke Tabuk menghadapi kaum kafir, mereka semua bersegera menyambutnya. Hanya beberapa orang sahabat yang tidak mengikuti peperangan tersebut, selain orang tua, para wanita dan anak-anak serta orang-orang munafik.

Musim kurma hampir tiba dan masa itu musim panas yang terik sedang melanda Madinah, sementara bekalan dan senjata yang dimiliki para Muslimin sangat sedikit, akan tetapi Rasulullah SAW dan para sahabatnya r.a. tetap berangkat. Di waktu itulah keimanan dan pengorbanan para sahabat diuji. Orang-orang munafik mulai menghasut para sahabat agar tidak meninggalkan kebun kurma mereka dan tidak menyertai peperangan tersebut.

Hasutan para munafiqin itu tidak hanya ditujukan kepada para sahabat r.a. tetapi juga kepada isteri para sahabat r.a. pun tidak luput dari hasutan mereka. Mereka para munafiqin itu berkata: "Suami-suami kalian pergi ke Tabuk sementara kurma di kebun-kebun kalian sebentar lagi ranum, siapakah yang akan mengurusnya. Mereka meninggalkan kesempatan yang bagus ini dan pergi meninggalkannya begitu saja." Isteri-isteri para sahabat itu menjawab dengan keimanan mereka: "Pencari rezeki telah pergi dan pemberi rezeki telah datang."

Pada masa itu Rasulullah SAW dan para sahabat dengan pertolongan Allah SWT kembali dari peperangan dalam waktu yang sangat singkat. Allah SWT menjaga kebun-kebun kurma dan keluarga mereka. Tidak satupun buah kurma yang telah masak itu jatuh dari tangkainya, malah kebun mereka berlipat ganda hasilnya. Oleh yang demikian, para sahabat tidak kerugian sedikit pun. Sampai saat ini kurma Madinah adalah yang paling digemari dan terkenal di mana-mana.
.

04 November 2009

RASULULLAH S.A.W. DAN 8 DIRHAM


Suatu hari, Nabi Muhammad SAW keluar membeli keperluan. Dengan berbekalkan wang 8 dirham, Baginda hendak membeli pakaian dan peralatan rumah tangga. Sebelum tiba di pasar, beliau berjumpa dengan seorang wanita yang sedang menangis. Rasulullah SAW lalu bertanya kenapa ia menangis.

Perempuan itu mengatakan bahawa dia adalah seorang hamba sahaya yang telah kehilangan wang sebanyak 2 dirham. Ia menangis kerana takut didera oleh majikannya. Lalu Rasulullah SAW mengeluarkan 2 dirham dari saku Baginda untuk menghibur perempuan malang tersebut. Kini tinggal 6 dirham. Baginda lalu meneruskan perjalanannya untuk membeli pakaian.
.
Akan tetapi baru beberapa langkah pulang dari pasar, seorang tua lagi miskin setengah berteriak berkata: "Barang siapa yang memberiku pakaian, Allah SWT akan mendandaninya kelak." Rasulullah SAW memeriksa laki-laki tersebut. Pakaiannya lusuh, tidak sesuai lagi untuk dipakai. Pakaian yang baru Baginda beli dilepaskan dan diberikan kepada orang tua itu. Nabi Muhammad SAW tak jadi memakai baju baru.

Dengan langkah ringan Nabi Muhammad SAW hendak segera pulang. Tetapi berlaku lagi satu peristiwa yang menguji kesabaran. Kali ini Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan perempuan yang diberi dua dirham tadi mengadukan bahawa dia takut untuk pulang. Dia khuatir akan dihukum oleh majikannya kerana terlambat. Biasanya hukuman berbentuk fizikal sudah sangat biasa diterima oleh hamba-hamba sahaya. Sedangkan Rasulullah SAW diutus ke dunia untuk membela rakyat jelata. Dengan senang hati Rasulullah SAW menghantarkan perempuan tersebut ke rumah majikannya.

Sesampainya di rumah, Rasulullah SAW mengucapkan salam. Sekali, dua kali, belum ada jawapan. Hanya salam yang ketiga dijawab oleh penghuni rumah. Nampaknya semua penghuni rumah tersebut adalah perempuan. Ketika ditanya kenapa salam Baginda SAW tidak dijawab, pemilik rumah itu mengatakan mereka sengaja melakukannya dengan maksud didoakan oleh Rasulullah SAW dengan salam tiga kali.

Seterusnya Rasulullah SAW menyampaikan maksud kedatangannya. Baginda menghantar hamba sahaya tersebut kerana takut mendapat hukuman. Rasulullah SAW kemudian berkata: "Jika perempuan budak ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku yang menerima hukumannya." Mendengar ucapan Rasulullah SAW itu, penghuni rumah terkesima. Mereka merasa mendapat pelajaran yang sangat berharga dari Rasulullah SAW, lalu mereka berkata: "Budak belian ini merdeka kerana Allah SWT!."

Betapa bahagianya Rasulullah SAW mendengar kata-kata tersebut. Baginda sangat bersyukur kerana dengan wang 8 dirham tersebut, terdapat keuntungan ribuan dirham, yakni harga budak itu sendiri. Rasulullah SAW berkata: "Tiadalah aku melihat lapan dirham demikian besar berkatnya dari pada lapan dirham yang ini. Allah SWT telah memberi ketenteraman bagi orang yang ketakutan, memberi pakaian orang yang telanjang, dan membebaskan seorang budak belian."

Rahmat dan kasih sayang, bantuan dan pertolongan kepada masyarakat bawahan akhirnya mendatangkan kesejahteraan dan kemajuan. Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: "Bahawasanya Allah menolong hambaNya, selama ia menolong saudaranya."

Wallahua'lam.
.

01 November 2009

ANJING-ANJING NERAKA !


Sabda Rasulullah SAW kepada Mu'adz bin Jabal r.a.: "Wahai Mu'az, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan:

· Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin.

· Bacalah Al-Quran

· Tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain.

· Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.

· Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.

· Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.

· Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik.

· Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.

· Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.

· Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.

Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka."
.
Firman Allah SWT: "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain."

Sabda Rasulullah SAW: "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."

Kata Mu'az: "Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?"

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah SWT."
.