Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 November 2008

REZEKI YANG DIBERKATI


Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan, rezeki akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.
.
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?" Nabi Ayub menjawab "Ya benar, demi keagunganMu, apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu". Peristiwa ini jelas menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
.
Terdapat berbagai cara untuk mendapatkan keberkatan rezeki daripada Allah SWT:
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu, selepas itu barulah bersedekah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita kerana sebenarnya dalam harta kita ada hak-hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam firman Allah SWT: "Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, hanyalah jika kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu kasihi. Sesuatu yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah mengetahui" (Ali Imran : 92)
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi SAW, 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi SAW sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. Dalam satu hadis, Nabi SAW menerangkan pada setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru "Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah". Yang satu lagi menyeru "Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)".
.
Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfakkan (membelanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar". Dan sabdanya lagi: "Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api".
.
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insya Allah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta, belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui atau dari sumber yang tidak disangka-sangka.
.

29 November 2008

4 GOLONGAN LELAKI YANG DITARIK WANITA KE NERAKA


Di akhirat, wanita akan menarik empat golongan lelaki bersamanya ke dalam neraka. Artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang dipikul!
.
1. Ayahnya
Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.....tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.
.
2. Suaminya
Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.
.
3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya.....jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM ...tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak.
.
4. Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.
.
Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.
.
Firman Allah SWT:-
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim : 6)
.
Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslimin yakni yang mengucap kalimah tauhid dijamin masuk syurga dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yg ALLAH SWT berikan pada kita.
.

28 November 2008

JARIR & SERBAN RASULULLAH SAW


Suatu hari Jarir bin Abdullah Al-Bajli terlewat datang ke rumah Rasulullah S.A.W. Ketika itu rumah baginda sudah melimpah dengan orang ramai. Sama seperti Jarir, semua yang datang ada hajat masing-masing untuk berjumpa Nabi selain ingin mendengar syarahan serta bimbingan daripada Rasulullah.
.
Jarir susup-sasap mencari tempat. Ketika itu timbul rasa kesal kerana datang terlalu lewat. Namun selepas berusaha, dapat juga dia ke ruang hadapan. Walaupun syarahan belum bermula, selalunya waktu begitu dia sudah bersila di hadapan Nabi SAW. Bagaimanapun badannya yang kecil memudahkannya menyelit di celah orang ramai itu. Selepas meminta maaf, memberikan senyuman, seorang lelaki mengesot sedikit, memberi Jarir ruang yang cukup untuk bersila.
.
Dia melihat para sahabat yang lain juga terpaksa duduk bersesak-sesak sehingga tiada ruang lagi yang kosong. Kedatangan Jarir disedari Rasulullah. Baginda nampak Jarir duduk di atas lantai tanpa tikar. Lalu baginda melepaskan serban di bahu dan memberikan kepada tetamu istimewanya itu. "Hai Jarir, duduklah di atas serbanku ini", pelawa Nabi SAW sambil tersenyum lalu membentangkan kain serban itu di lantai.
.
Jarir terkejut bercampur terharu kerana mendapat perhatian baginda. Dia mengambil serban tersebut lalu diusap-usap ke mukanya beberapa kali. Jarir kemudian menangis teresak-esak. Kemudian dia melipatnya seperti sediakala dan memulangkan semula secara terhormat kepada Rasulullah SAW. "Tak mungkin aku duduk atas pakaianmu yang mulia ini wahai Nabi Allah. Semoga Allah memuliakan Rasulullah sebagaimana baginda memuliakan aku," kata Jarir sebak.
.
Orang ramai yang hadir terpegun bahkan ada yang turut mengalirkan air mata. Sambil menoleh ke kanan dan kiri, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila datang seorang tetamu yang mulia maka muliakanlah dia, dan apabila datang kepada kamu seorang yang ada hajat atas kamu maka muliakanlah mereka".
.

SUMAYYAH BINTI KHAYYAT (WANITA SYAHADAH PERTAMA DALAM ISLAM)


Dialah Sumayyah binti Khayyat, hamba sahaya dari Abu Hudzaifah bin Mughirah. Beliau dinikahi oleh Yasir, seorang pendatang yang kemudian menetap di Mekah. Karenanya, tidak ada kabilah yang dapat membelanya, menolongnya, dan mencegah kezaliman atas dirinya. Sebab, dia hidup sebatang kara, sehingga posisinya sulit di bawah naungan aturan yang berlaku pada masa jahiliyah. Begitulah Yasir mendapatkan dirinya menyerahkan perlindungannya kepada Bani Makhzum. Beliau hidup dalam kekuasaan Abu Hudzaifah, sehingga akhirnya dia dinikahkan dengan budak wanita bernama Sumayyah. Dia hidup bersamanya dan tenteram bersamanya. Tidak berselang lama dari pernikahannya, lahirlah anak mereka berdua yang bernama Ammar dan Ubaidullah.
.
Tatkala Ammar hampir menjelang dewasa dan sempurna sebagai seorang laki-laki, beliau mendengar agama baru yang didakwahkan oleh Muhammad bin Abdullah SAW kepada beliau. Akhirnya, berpikirlah Ammar bin Yasir sebagaimana berpikirnya penduduk Mekah. Kerana kesungguhan dalam berpikir dan fitrahnya yang lurus, maka masuklah beliau ke dalam agama Islam.
.
Ammar kembali ke rumah dan menemui kedua orang tuanya dalam keadaan merasakan lazatnya iman yang telah terpateri dalam jiwanya. Beliau menceritakan kejadian yang beliau alami hingga pertemuannya dengan Rasulullah SAW, kemudian menawarkan kepada keduanya untuk mengikuti dakwah yang baru tersebut. Ternyata Yasir dan Sumayyah menyahut dakwah yang penuh barakah tersebut dan bahkan mengumumkan keislaman mereka, sehingga Sumayyah menjadi orang ketujuh yang masuk Islam.
.
Dari sinilah bermulanya sejarah yang agung bagi Sumayyah yang bertepatan dengan permulaan dakwah Islam dan sejak fajar terbit untuk yang pertama kalinya. Bani Makhzum mengetahui akan hal itu, kerana Ammar dan keluarganya tidak memungkiri bahawa mereka telah masuk Islam bahkan mengumumkan keislamannya dengan kuat, sehingga orang-orang kafir tidak menanggapinya, melainkan dengan pertentangan dan permusuhan.
.
Bani Makhzum segera menangkap keluarga Yasir dan menyiksa mereka dengan bermacam-macam siksaan agar mereka keluar dari agama mereka, mereka memaksa dengan cara mengeluarkan mereka ke padang pasir tatkala keadaannya sangat panas dan menyengat. Mereka membuang Sumayyah ke sebuah tempat dan menaburinya dengan pasir yang sangat panas, kemudian meletakkan di atas dadanya sebongkah batu yang berat, akan tetapi tiada terdengar rintihan ataupun ratapan melainkan ucapan Ahad... Ahad..., beliau ulang-ulang kata tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh Yasir, Ammar, dan Bilal.
.
Suatu ketika Rasulullah SAW menyaksikan keluarga muslim tersebut yang sedang disiksa degan kejam, maka beliau menengadahkan ke langit dan berseru: "Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya tempat kembali kalian adalah Jannah." Sumayyah mendengar seruan Rasulullah SAW, maka beliau bertambah tegar dan optimis, dan dengan kewibawaan imannya dia mengulang-ulang dengan berani, "Aku bersaksi bahwa Engkau adalah Rasulullah dan aku bersaksi bahwa janjimu adalah benar."
.
Begitulah, Sumayyah telah merasakan lazat dan manisnya iman, sehingga bagi beliau kematian adalah sesuatu yang remeh dalam rangka memperjuangkan akidahnya. Di hatinya telah dipenuhi akan kebesaran Allah Azza wa Jalla, maka dia menganggap kecil setiap siksaan yang dilakukan oleh para taghut yang zalim. Mereka tidak kuasa menggeser keimanan dan keyakinannya sekalipun hanya satu langkah semut.
.
Sementara Yasir telah mengambil keputusan sebagaimana yang dia lihat dan dia dengar dari isterinya, Sumayyah pun telah mematerikan dalam dirinya untuk bersama-sama dengan suaminya meraih kejayaan yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Tatkala para taghut telah berputus asa mendengar ucapan yang senantiasa diulang-ulang oleh Sumayyah, maka musuh Allah Abu Jahal melampiaskan keberangannya kepada Sumayyah dengan menusukkan tombak yang berada dalam genggamannya kepada Sumayyah. Maka terbanglah nyawa beliau yang beriman dan suci bersih dari raganya.
.
Beliau adalah wanita pertama yang mati syahid dalam Islam. Beliau gugur setelah memberikan contoh baik dan mulia bagi kita dalam hal keberanian dan keimanan. Beliau telah mengerahkan segala apa yang beliau miliki dan menganggap remeh kematian dalam rangka memperjuangkan imannya. Beliau telah mengorbankan nyawanya yang mahal dalam rangka meraih keridhaan Tuhannya. "Dan mendermakan jiwa adalah puncak tertinggi dari kedermawanannya."
.
Sumber: Nisaa' Haular Rasuul, Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr asy-Syalabi
.

24 November 2008

7 JENIS WAJAH MANUSIA DI DALAM KUBUR


1. Mayat yang mukanya berpaling dari arah kiblat. Itulah petanda bahawa semasa hidupnya telah melakukan perkara syirik kepada Allah. Kawan-kawan syirik ini jangan buat main-main, dosa yang paling besar dalam Islam. Kekal dalam neraka selama-lamanya.

.

2. Mayat yang mukanya berbentuk babi. Itulah petanda semasa hidupnya tidak melakukan solat lima waktu, tidak menjaga solat lima waktu. Lalai dalam solatnya. Sesungguhnya solat dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Perbuatan keji dan mungkar ini banyak, bukan hanya berduaan di tempat gelap, minum arak, berjudi sahaja. Tidak menutup aurat juga perbuatan keji. Bayangkanlah sejak dari baligh lagi kawan-kawan tak pernah tutup aurat, berapa banyak dosa yang telah dikumpulkan.

.

3. Mayat yang kepala menjadi batu yang hitam legam. Itulah mayat yang semasa hidupnya derhaka kepada kedua ibu-bapa.

.

4. Mayat yang perutnya buncit dan meletup. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka makan harta yang haram. Harta yang haram banyak contohnya. Antaranya mencuri...harta yang haram. Merompak...harta haram. Melesapkan duit kawan...harta yang haram.

.

5. Mayat yang kukunya mencengkam dan melilit seluruh tubuhnya. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka berkelahi, mengata orang dan mengumpat orang.

.

6. Mayat yang keluar mata air dari kuburnya dan air itu baunya lebih busuk dari bangkai. Itulah mayat orang yang suka makan riba'.

.

7. Mayat yang wajahnya tersenyum. Itulah mayat yang semasa hidupnya berilmu dan beramal.

.

16 November 2008

HEBATNYA KEMURKAAN ALLAH SWT...

Berikut adalah ucapan saorang pelajar Islam, Najeeb Rahman dimajlis "Charity Lunch For Maluku" di University of Leeds. Majlis tersebut di anjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia University of Leeds. Agak sedikit panjang tapi sangat menyentuh hati.
.
Baru-baru ini pembunuhan dan penyembelihan umat Islam secara rambang (massacres) telah berlaku di Maluku dan Ambon, Indonesia. Gambar-gambar foto yang mengerikan, gambar mayat kanak-kanak Islam yang dicincang serta orang-orang Islam yang dibunuh beramai-ramai (massacre) boleh dilihat di internet. Lapuran bergambar yang dilakukan oleh Dr Jemilah mengenai pembunuhan-pembunuhan tersebut apabila difikirkan boleh membuat kita menitiskan air mata. Dan kesemuanya ini benar-benar telah berlaku dan bukannya imaginasi seseorang.
.
Mengapa kekejaman ini terus menimpa umat Islam di merata dunia? Kita boleh persalahkan kekejaman ini kepada konspirasi antarabangsa terhadap Indonesia, atau rancangan jahat Barat terhadap kaum Muslimin, atau pun sebagai tindakan kebencian Yahudi dan Kristian terhadap kita, atau pun operasi cuci bersih puak Kristian Serbs. Tetapi adakah hanya ini SEBAB MUSABAB YANG SEBENARNYA?
.
Dari pengalaman saya sebagai Sukarelawan Perubatan di Kosova, saya dengan sendirinya telah melihat kubur-kubur tanaman beramai-ramai (mass graves) orang-orang Islam yang dibunuh, mayat-mayat yang sedang reput dan busuk, keluarga-keluarga terutamanya kanak-kanak yang dalam ketakutan, rumah-rumah dan masjid-masjid yang telah hancur musnah. Memangnya suatu pengalaman yang kuat tamparannya.
.
Dengan izin Allah SWT saya telah berpeluang tinggal bersama-sama suatu keluarga yang baik di Prizren, Kosova. Ketua keluarga itu, Imam Ismail dan anak sulungnya, Navahi, kedua mereka adalah imam, begitu juga dengan datok Navahi, juga saorang imam. Mereka mesra dan baik hati. Semasa satu dari perbualan kami di waktu petang kami telah berbual mengenai bala dan trajedi yang telah menimpa, bagaimana masyarakat Kosova sebelum ditimpa bala pembunuhan massacre itu.
.
Navahi yang fasih berbahasa Inggeris telah menceritakan dengan penuh rasa segan dan malu mengenai keadaan masyarakat Islam Kosova sebelum berlakunya genosid puak Kristian Serbs. Antara perkara yang beliau sebutkan adalah kaum Muslimin di Kosova telah lupa daratan dan membelakangkan Islam. Ramai tidak tahu sembahyang, tidak reti membaca Quran, telah lupakan syahadah, dan zina serta meminum arak (bir) berleluasa di merata pelusuk. Hanya kaum tua sahaja yang masih ke masjid.
.
Di sebuah bandar kecil bernama Djakova, di mana berlaku pembunuhan Massacre kaum Muslimin yang terdahsyat sekali, penduduk Islam disana telah berlaku syirik terhadap Allah SWT. Mereka menyembah kubur-kubur. Mereka memasang lilin (seperti Kristian lakukan dalam gereja) dan menyembah kubur-kubur orang-orang alim (saints) yang dianggap keramat. Mereka mendakwa yang mereka bukannya menyembah "keramat-keramat" tersebut tetapi menghampiri Allah melaluinya. Ini adalah kepercayaan mereka yang nyata sesat. Tidak ada "inter-mediaries" atau perantaraan dalam Islam. Ini nyata perbuatan syirik. Imam Ismail adalah Imam di masjid Djakova sebelum berlakunya genosid pembunuhan orang-orang Islam beramai-ramai di bandar itu oleh puak Kristian Serbs.
.
Di bandar Suhareka, lagi satu bandar di mana pembunuhan secara massacre ke atas orang Islam telah juga berlaku, penduduk bandar tersebut telah menggesa Bilal masjid supaya jangan melaungkan azan untuk memanggil orang mengerjakan solat. Ini kerana azan mengganggu tidur mereka. (Saya percaya ada di kalangan ummah kita yang sama menaruh perasaan benci mendengar azan, atau mereka akan kaleh memekakkan telinga dan mengabaikan solat. Ada yang langsung tidak bangun mengerjakan fardhu Subuh).
.
Di satu lagi bandar di Kosova, seramai 40 orang Islam (lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang-orang tua) telah dibawa ke dalam hutan dan diikat. Mereka kemudiannya ditembak mati oleh puak Kristian Serbs dengan senjata AK47. Di bandar ini hanya golongan tua sahaja yang ke masjid. Semasa kami membuat lawatan rawatan medik ke sana kami telah tiba sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Pemuda-pemuda di sana memberitahu kami hanya orang tua sahaja ke masjid. Benar kata mereka kerana apabila kami sampai ke masjid hanya ada Imam dan saorang lelaki tua dan rombongan medik kami yang bersolat di masjid tersebut. Semasa kami sedang mengedarkan Al-Quran, seorang pemuda yang mulutnya berbau arak bir meminta senaskah Al-Quran untuk dibakar buat memanaskan rumah beliau (Bandar tersebut dikelilingi hutan. Oleh demikian tidak mungkin tiada cukup bekalan kayu untuk bahan api buat memanaskan rumah).
.
Setelah membuat lawatan ke lain-lain kawasan di Kosova, kami lihat kebanyakan pembunuhan serta kemusnahan harta benda kaum Muslimin berlaku di kawasan utara Kosova di mana masjid-masjid jarang kelihatan walau pun majoriti penduduk terdiri dari orang Islam. Bukan niat saya hendak menjatuhkan air muka saudara/i Islam kita di Kosova, tetapi untuk mengingatkan kita semua kepada pengajaran dan iktibar di Kosova agar kita tidak melakukan kesilapan yang sama.
.
Seorang lelaki tua yang kami temui, yang anak lelakinya telah dibunuh dan rumahnya dibakar, telah meminta kami memberitahu umat Islam yang lain apa yang sebenarnya telah berlaku. Oleh itu saya hanya menyampaikan yang diamanahkan oleh orang tua itu. Navahi juga memberitahu kami mengenai situasi di Turki. Datuk beliau kerap ke Turki kerana ramai rakan kenalan di sana.
.
Turki, bukannya negara Islam, walau pun menonjolkan imej sedemikian. Turki diperintah golongan sekular yang ekstremis dalam fahaman bahawa agama Islam tiada kena mengena langsung dengan pemerintahan negara. Ini sudah merupakan ideologi kebanyakan orang-orang Islam moden masakini. Mereka mendakwa Islam dan politik itu berasingan dan tidak boleh dicampur. Golongan sekular Turkey pernah berkata urusan pentadbiran negara hendaklah jangan "tercemar"oleh ajaran Islam (seolah-olah politik itu suci dan Islam itu kotor). Mereka mendakwa Islam itu perlu disekat amalannya kepada masjid dan rumah-rumah sahaja, dan dilarang digunakan di Parlimen, mahkamah dan sebagainya. Pemerintah sekular Turki menganggap hukum-hukum Syariah itu kuno dan purba, sesuai hanya bagi puak-puak Arab zaman purba yang hidup di gurun dan menunggang unta. Bagi golongan sekular Turki, undang-undang Syariah tidak lagi sesuai bagi masyarakat bertamadun serba moden masakini, iaitu di zaman kereta, komputer dan internet; pro-kebebasan dan hak asasi manusia. Hukuman rejam ke atas penzina dan potong tangan yang mencuri dianggap oleh puak sekular Turki sebagai kejam dan tindakan orang-orang yang tidak bertamaddun, dan dengan demikian tidak lagi sesuai dilaksanakan. (Tidak terlintas kepada mereka bahawa mereka berlaku syirik terhadap Allah SWT). TIDAK KAH SEMUA INI SAMA DENGAN KEADAAN KITA?
.
Wanita di Turki dilarang berhijab/bertudung menutup aurat. Usaha untuk mempelajari agama Islam dijadikan perkara yang susah oleh kerajaan Turki. Pihak berkuasa yang sangat menindas Islam adalah tentera Turki. Navahi mengatakan anggota tentera yang ditangkap mengerjakan solat dikenakan 'court marshall' adalah suatu kesalahan mengikut peraturan tentera Turki untuk mengerjakan solat).
.
Saya menerima e-mail beberapa hari sebelum berlaku gempa bumi yang dahsyat di Turki baru-baru ini. Beberapa hari sebelum berlaku gempa bumi tersebut, pihak Jeneral-Jeneral tentera Turki mengadakan temasya keraian (parti) di apartmen peranginan mereka di pantai Mediterranean. Mereka mengundang perempuan jalang dari Israel dan telah bersukaria sakan, meminum arak dan berzina. Seterusnya Jenera-Jeneral tersebut telah memanggil saorang anggota pangkat bawahan untuk membaca Al-Quran sambil mereka bersukaria, mabuk dan berzina itu. Anggota pangkat bawahan enggan dan takut berbuat demikian, lalu seorang Jeneral merampas Al-Quran itu lalu memijak-mijak Al-Quran itu sambil mencabar, "Mana dia Allah untuk selamatkan Quran ini". Mereka semua ketawa terbahak-bahak. Anggota tentera pangkat bawahan telah melihat suatu cahaya berwarna merah samar memancar di horizon laut. Beliau ketakutan lalu melarikan diri keluar dari apartmen Jeneral-Jeneral itu. Sejurus kemudian satu ombak yang begitu tinggi melanda pantai dan menelan apartmen dengan Jeneral-Jeneral Turki tersebut ke dalam laut. Yang berlaku sebijik semacam salah satu bala balasan Allah yang difirmankan di dalam Al-Quran. Wallahu'alam.
.
Di Palestin, saya terdengar dari seorang di sana bahawa seorang Yahudi pernah berkata kepada seorang Arab, "Kami Yahudi tidak takut dan gentar selagi kami tidak melihat bilangan kaum Muslimin yang menunaikan solat fajar berjemaah di masjid sama dengan bilangan kaum Muslimin yang menetap di dalam qariah ." Di Bosnia, kebanyakan orang Islam telah membelakangkan agama mereka sebelum berlakunya pembunuhan massacre di sana. Mereka telah meniru cara hidup Eropah kafir. Zina, arak begitu berleluasa, dan perkahwinan antara Kristian dan Islam (secara murtad) dibenarkan. Orang Islam yang menjaga keimanan mereka terlalu sedikit bilangan mereka berbanding dengan yang memilih hidup dalam keadaan kejahilan moden dan kesesatan.
.
Saudara/i Islam, ini hanyalah contoh-contoh kemungkaran dan keingkaran. Sekali lagi ditegaskan bukan niat saya mengaibkan mereka, tetapi suatu iktibar perlu diambil. Saya pasti sudah jelas bagi anda semua SEBAB SEBENAR berlakunya bala bencana dan trajedi yang dahsyat tersebut. Seperti firman Allah SWT di dalam Al-Quran: "Janganlah kamu jadikan seruan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih." (Surah An Nur Ayat 63).
.
Dan di dalam satu lagi ayat Allah berfirman: "Maka tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut)". (Surah Az Zukhruf Ayat 55)
.
Amaran-amaran di dalam Al-Quran itu sangat jelas. Dan Allah SWT tetap tidak akan mungkir janjiNya. Bukankah mereka-mereka ini (Bosnia, Kosovo, Turki) telah tidak mematuhi perintah Allah dan RasulNya? Bukankah mereka telah mencabar Allah SWT? Adalah perkara mudah bagi Allah SWT menimpakan azab ke atas kita atau mengadakan dugaan bagi kita kerana Allah Maha Berkuasa atas segalanya. Bala dari Allah SWT itu kalau tidak dalam bentuk pembunuhan, Allah SWT boleh turunkan bala itu sebagai wabak penyakit, ribut taufan, gempa bumi dan banjir yang dahsyat seperti difirmankanNya di dalam Al-Quran.
.
Jangan pula kita mempersoalkan sifat Allah SWT yang Maha Pengasih, Maha Pengampun lagi Maha Adil kerana telah mengizinkan berlakunya pembunuhan massacre ke atas orang-orang Islam dan kanak-kanak itu. Rahmat Allah SWT tetap ujud walaupun kita tidak dapat mengamatinya. Misalnya, sesetengah yang dibunuh itu mungkin orang Islam yang lemah keimanan mereka, dan mungkin telah melakukan banyak dosa dan sekiranya mereka mati secara biasa bukan mati syahid, sudah pasti tempat bagi mereka adalah api neraka? Wallahu'alam.
.
Dan kanak-kanak yang terbunuh itu sebenarnya terselamat dari alam sekeliling yang berupa jahiliyah moden yang boleh merosakkan mereka dan mungkin apabila mereka dewasa kelak, mereka akan murtad atau berlaku syirik atau hidup bergelumang dengan dosa. Tetapi Allah SWT telah mengambil mereka kembali dari dunia di waktu mereka kecil lagi, dan dengan itu mereka terselamat dari membuat dosa, dan Insya Allah akan masuk syurga di akhirat nanti, dan sayugia diingatkan akhirat itu adalah kehidupan buat selama-lamanya.
.
Bukankah ini berupa nikmat dan rahmat Allah jua. Kalau kita percaya hidup berakhir di dunia ini sahaja maka kita akan melihatnya sebagai tragedi yang tidak adil. Tetapi kalau kita percaya kepada akhirat segala-galanya adalah ujian dan dugaan dalam perjalanan ke akhirat. Tetapi ini tidak sama sekali bermakna kita membiarkan sahaja ummah kita terus ditindas dan menderita begitu sahaja. Kita ummat Islam merupakan keluarga yang besar dan menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka dan melindungi mereka kerana meraka adalah saudara-saudari Islam kita.
.
Oleh yang demikian apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan bala dari Allah yang berupa bencana alam dan pembunuhan menimpa diri kita dan mereka yang kita sayang? Jawapannya sama seperti yang telah diturunkan zaman ke zaman. KITA PERLU kembali ke jalan yang diredhai Allah SWT. KITA PERLU memohon keampunan Allah SWT. Kita perlu bersatu di bawah panji dan kalimah 'La Ilaa Ha Illallah' dan bukan di bawah panji masing-masing. KITA PERLU berpegang sepenuhnya kepada HUKUM-HAKAM dan PERINTAH-PERINTAH Allah SWT dan berhenti melakukan segala yang dilarangNya. Ini tindakan-tindakan yang perlu kita lakukan. Nampaknya agak susah, tetapi ia sebenarnya mudah, Insya Allah. Semuanya perlu bermula dari diri dan hati kita. Jangan tinggalkan solat fardhu, pelajari dan dalami ilmu agama kita, dan berdoa memohon Allah SWT menguatkan iman kita, dan hentikan bertelingkah antara sesama sendiri mengenai perkara-perkara yang remeh. Kita boleh mengelakkan dari ditimpa dengan bala pembunuhan dan lain-lain bala ke atas diri kita dan keluarga kita.
.
Allah SWT telah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak terlebih dahulu dengan sendiri berusaha untuk mengubahkannya. Kita perlu memulakannya dahulu, dan Allah SWT akan memberi kita pertolongan seperti yang dijanjikanNya.
.
Sebagai bukti, satu keadaan di Kosova. Pada suatu petang saya telah ke daerah Opoya, terletak di wilayah selatan Kosova, dan dari mana Imam Ismail berasal. Di kawasan itu bandarnya tidak mengalami apa-apa pun. Tiada berlaku pembunuhan massacre orang Islam, tiada pula kesan-kesan kemusnahan perang, dan tiada tanda-tanda bahawa puak Kristian Serbs telah ke tempat itu. Tetapi sebenarnya puak Kristian Serbs telah menetap di kawasan itu selama 8 tahun, sama seperti di lain-lain kawasan. Perbezaan yang dapat kita lihat adalah di waktu Maghrib, masjid di Opoya PENUH. Itu hanyalah waktu solat fardhu harian yang biasa. Di hari Jumaat ianya penuh berlimpahan, dan bukan hanya kalangan tua sahaja tetapi ramai pemuda sama berjemaah. Dan mereka telah beramal walau pun godaan dan pengaruh buruk puak Kristian Serbs telah ujud. Kami tidak melihat sesiapa di kalangan orang Islam yang meminum arak di sana. Saya diberitahu hanya satu tempat sahaja yang dimusnahkan oleh bomb puak Serbs, iaitu sebuah kafe yang pernah menyajikan minuman arak. Pelanggannya datang dari kawasan lain.
.
Bandingkanlah perbezaan Opoya dengan bandar-bandar yang lain. Tidakkah jelas dan nyata bahawa kekuatan itu berada di tangan Allah SWT dan bukan bergantung sangat kepada tentera yang kuat untuk membalas serangan puak Kristian Serbs. Inilah maknanya "La Haula Wa Laa Quwata Illa Billah", tiada kekuatan atau daya kecuali dengan kehendak Allah SWT. Sekiranya Allah SWT tidak mengizinkannya, maka puak Kristian Serbs tidak akan dapat menyerang sesebuah bandar itu. Oleh itu jadikanlah ianya suatu pengajaran dan iktibar.
.

7 AKIBAT KEBAKHILAN...


Petikan dari kata-kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.: "Orang-orang yang terlalu bakhil tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan ini:
.
1. Allah SWT memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.
.
2. Allah SWT akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir dan sebagainya.
.
3. Setelah dia meninggal kelak, hartanya akan diwarisi oleh mereka yang mempergunakannya pada jalan maksiat dan kemungkaran.
.
4. Allah SWT akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga dia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakitnya.
.
5. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat lalu dia sendiri terlupa sehingga dia tidak boleh menemuinya lagi.
.
6. Terlintas di dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak yang mengakibatkan hartanya sendiri musnah.
.
7. Allah SWT meninggikan syahwatnya sehingga dia sendiri akan memusnahkan hartanya."
.

6 GOLONGAN YANG DIKUTUKI ALLAH DAN RASULNYA

Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Enam jenis golongan manusia yang aku kutuk dan Allah SWT juga turut mengutuk, pada hari kiamat kelak Allah SWT tidak akan memandang mereka dengan pandangan kasihan, mereka itu ialah:
.
1. Orang yang menambah-nambah maksud tafsiran Al-Quran (takwil yang menyimpang).
.
2. Orang yang mendustakan kepada taqdir Allah SWT.
.
3. Orang yang berkuasa tetapi takbur, dia memuliakan orang yang dihinakan oleh Allah swt sebaliknya menghina orang yang dimuliakan oleh Allah SWT.
.
4. Orang yang menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah SWT di Tanah Haram.
.
5. Orang-orang dari umatku yang menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah SWT.
.
6. Orang-orang dari umatku yang meninggalkan sunnahku."
.

10 November 2008

PERTOLONGAN DI PADANG MAHSYAR

Daripada Abdul Rahman Bin Samurah r.a. berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam sebelum aku di Isra'kan...
.
1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh malaikatul maut dengan keadaan yang amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.
.
2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, maka ia telah diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.
.
3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis laknatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.
.
4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikat Ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSYUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.
.
5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.
.
6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil memimpinnya ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.
.
7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadaan gelap gelita disekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan bingung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang benderang.
.
8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.
.
9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.
.