Allah SWT menjadikan setiap hambaNya memiliki suatu kekurangan dan kelebihan. Tujuannya ialah supaya manusia saling ambil peduli, bela-membela dan sokong-menyokong.
Allah SWT juga menggilirkan susah senang dan jatuh bangun silih berganti. Malah kedudukan, peranan dan tugas setiap orang dari kita juga berbeza-beza. Dari situ kita saling bergantung dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Lihat saja bagaimana berlakunya kebergantungan ini pada anggota tubuh manusia. Kepala, badan, tangan, kaki dan segala tulang serta sendi saling bergantung untuk membolehkan kita berjalan, berlari, membuat kerja dan sebagainya.
Pancaindera seperti mata, telinga dan hidung saling membantu untuk menstabilkan seluruh tubuh. Organ-organ dalaman seperti jantung, paru-paru, buah pinggang, hati, saluran darah dan lain-lain turut sokong-menyokong untuk membolehkan tubuh sihat dan mampu berfungsi dengan normal. Jari-jemari juga saling membantu untuk melakukan pelbagai tugas yang berbeza - untuk memegang, menggenggam, menunjuk, menguis, merasa, menumbuk, menjentik dan sebagainya.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mengumpamakan kasih sayang, persaudaraan dan belas kasihan antara orang-orang Mukmin itu seperti tubuh yang satu. Apabila satu anggota tubuh ditimpa sakit dan demam, maka seluruh tubuh akan turut merasa sakit dan demam.
Walaupun masing-masing ada kekurangan, kehidupan dalam keluarga dan masyarakat akan jadi sempurna bila hidup bersatu padu dan sokong-menyokong; yang kaya membantu yang miskin, yang kuat membantu yang lemah, yang pandai membantu yang kurang pandai, yang berilmu membantu yang kurang berilmu, yang berkemahiran membantu yang kurang berkemahiran, yang di atas membantu yang di bawah, yang sihat membantu yang sakit.
Inilah yang menyerikan kehidupan dan semua ini hanya akan berlaku jika wujud sikap saling ambil peduli dan prihatin (caring) terhadap sesama saudara seagama. Dalam Islam, perkara-perkara ini memang ditekankan kerana Islam itu sendiri adalah ajaran kemasyarakatan. Islam menekankan perlunya sikap ambil peduli bermula dari sesama ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga, masyarakat dan negara hinggalah kepada seluruh umat. Inilah kekuatan sebenarnya...
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan