Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


25 Jun 2009

SAHIH AL-BUKHARI


Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 di Kota Bukhara. Beliau rahimahullah adalah seorang amirul mukminin dalam bidang ilmu hadis. Kitab 'Jami’ush Shohih' karyanya diakui sebagai kitab kedua paling sahih setelah al-Quran. Ramai ulama yang mensyarahkan karya ini, antaranya Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani dengan 'Fathul Bari', Imam al-Qasthalani dengan “Irsyadus Sari” dan Imam Badruddin al-’Ayni dengan 'Umdatul Qari'.

Selain mensyarahkannya, ada pula ulama yang meringkaskannya agar kandungan kitab asalnya dapat dimanfaatkan pula oleh golongan awam yang mungkin kesibukan untuk mentelaah kitab asalnya. Antaranya yang terkenal adalah Imam az-Zabidi dengan 'at-Tajridush Shorih', Imam al-Qasthalani dengan 'Jawahirul Bukhari'nya dan Imam ‘Abdullah bin Abu Jamrah dengan 'Mukhtashar'nya.
.
Sungguh kitab sahih karya Imam al-Bukhari ini telah mendapat pandangan istimewa daripada para ulama. Selain dibaca untuk mendapat petunjuk daripada sabda2 Junjungan Nabi SAW, para ulama turut menyatakan keistimewaan lain bagi pembacaan kitab ini. Contohnya Imam ‘Abdullah bin Abi Jamrah menukilkan dalam 'Mukhtashar' menyatakan seperti berikut:-

"Aku memilih untuk menjadikan kitab al-Bukhari ini kerana ianya adalah kitab hadis yang paling sahih, juga kerana pengarangnya Imam al-Bukhari rhm. adalah seorang soleh yang mustajab doanya dan beliau telah mendoakan para pembacanya. Telah memberitahuku para qadhi yang ahli ma’rifah lagi luas perjalanan mereka (yakni dalam mencari ilmu) yang telah aku temui, daripada para pemuka agama yang diakui keutamaan mereka bahawasanya kitab Imam al-Bukhari ini tidaklah dibaca oleh seseorang pada waktu kesusahan melainkan dilepaskan dia dari kesusahan tersebut dan tidak tenggelam kenderaan yang membawa kitab tersebut sekali-kali."

Oleh itu, tidak pelik jika menjadi tradisi sebahagian ulama untuk menjadikan pembacaan dan pengajian kitab hadis ini sebagai wirid mereka. Di kalangan para habaib, tradisi membaca hingga khatam kitab Sahih al-Bukhari terutama sekali dalam bulan Rejab telah berjalan sudah ratusan tahun. Menurut penjelasan Habib Salim asy-Syathiri, tradisi Khatam Bukhari pada bulan Rejab telah dimulakan oleh Syaikh Abul Khair Ahmad bin Manshur asy-Syammadz, seorang ulama ahli hadis yang ‘abid dari Kota Zabid. Beliaulah yang telah mengajak kaum muslimin untuk membaca dan mentelaah sehingga tamat akan Sahih al-Bukhari di Masjid Jami’ Zabid. Kota Zabid ini telah melahirkan ramai ulama terkemuka, antaranya ialah Imam Zainuddin Ahmad bin ‘Abdul Lathif az-Zabidi (w. 893H) . Beliau inilah yang telah menulis ringkasan Sahih al-Bukhari yang diberinya judul “at-Tajridush Shorih li ahaadits al-Jami’ ash-Shohih“.

Di sesetengah tempat, Khataman al-Bukhari dilaksanakan dengan membaca dan menamatkan kitab mukhtashar ini. Sungguh tradisi yang mendekatkan umat kepada kitab panduan kedua setelah Al-Quran yang suci sepatutnya tetap dilakukan dan dimakmurkan. Dan hendaknya mereka-mereka yang mendakwa diri mereka pengikut sunnah, jangan menuding jari kepada para ulama dengan menuduh mereka tidak mempedulikan hadis, bahkan para ulama sentiasa menjunjung tinggi sabda2 Junjungan Nabi SAW bahkan menjadi tradisi mereka untuk mengkhatamkan setidak-tidaknya Sahih al-Bukhari setiap tahun.
.
Sesetengah orang mendakwakan diri mereka ahli hadis. Namun berapa kalikah sudah mereka mengkhatamkan dan mentelaah karya Imam Bukhari ini?
.

Tiada ulasan: