Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


15 Jun 2009

AHLUL BAIT RASULULLAH S.A.W.


Para ulama menerangkan bahawa Ahlul Bait telah disebut secara khusus dalam Al-Quran dalam beberapa ayat, yang mana tiap-tiap ayat yang tersebut mempunyai tujuan-tujuan tertentu, di antaranya; penyucian, penghormatan terhadap mereka, peringatan kepada membencinya atau menghubungkan nasab dengan tidak benar dan menerangkan bahawa anak-anak lelaki dari puteri Rasulullah SAW dinasabkan kepada beliau dan bukan kepada yang lain. Secara ringkas pembahasan ini menerangkan tiga ayat beserta tujuan-tujuannya yang memadai bagi memperjelaskan maksud di atas.

AYAT PERTAMA

Firman Allah SWT: "Maka sesiapa yang membantah engkau tentang kebenaran ini, sesudah datang kepadamu pengetahuan, katakanlah (kepadanya): Mari! Biarlah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian itu kita berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah: Kita minta supaya kutukan Allah turun atas orang-orang yang dusta". (QS Ali Imran:61)

Ibnu Kathir menerangkan tentang tafsir ayat di atas iaitu tatkala datang rombongan orang-orang nasrani dari Najran yang ingin berhujah dengan Rasulullah SAW tentang apa yang dibawanya, maka Rasulullah SAW mengajak mereka bermubahalah.

Jabir r.a. berkata: Telah datang kepada Nabi SAW Aqib dan Tayyib, lalu beliau mengajak mereka mulaanah (meminta diturunkan laknat ke atas yang salah), lalu keduanya berjanji akan melakukannya pada esok hari, maka berangkatlah Rasulullah SAW pada pagi hari dengan membawa Ali, Fatimah, Al-Hasan dan Al-Hussain, kemudian diutusnya seorang untuk menemui keduanya namun mereka menolak seruannya dan menyatakan padanya ketidaksanggupan mereka. Lalu bersabda Rasulullah SAW: "Demi Allah yang telah mengutusku dengan kebenaran seandainya mereka berkata "ya" (tidak menolak) nescaya Allah akan menurunkan ke atas mereka api yang memenuhi lembah itu". Jabir berkata, "Kepada mereka diturunkan ayat (Mari! Biarlah kami panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, diri kami dan diri kamu)".

Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih dan Al-Hakim dalam Mustadrak dan diriwayatkan juga oleh At-Tayalisi dari Sha'bi secara mursal. Ibnu Kathir berkata "Itulah yang paling benar". Maka nyatalah bahawa ayat dan hadis ini menjadi dalil bahawa Al-Hasan dan Al-Hussin r.a. adalah keturunan atau zuriat Nabi SAW dan menempatkan Saidina Ali KWJ pada suatu martabat dan kedudukan yang tinggi yang tidak diragukan oleh orang yang mempunyai akal sehingga Nabi SAW menjadikan beliau sebagai dirinya dalam firman Allah SWT: ".....diri kami dan diri kamu".

AYAT KEDUA

Firman Allah SWT: "Katakanlah (Muhammad) untuk itu Aku tiada meminta upah (bayaran) kepada kamu, (yang ku minta) hanya kasih sayang terhadap keluarga terdekat". (QS Asy-Syura:23)

Pengertian kalimat AL-QURBA (keluarga dekat/kerabat) dalam ayat ini telah ditafsirkan dalam beberapa hadis seperti berikut:

1. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di Ghadir Khom: "Sesungguhnya aku meninggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (As-Thaqalain), Kitab Allah dan Itrahku (keturunanku), dan bahawa keduanya tidak akan berpisah sehingga kelak datang kepadaku di Telaga Haudh."

2. Muslim Ahmad dan Nasa'i telah meriwayatkan dari Zaid bin Arqam r.a. bahawa katanya: Pada suatu hari Rasulullah SAW sedang berdiri menyampaikan khutbahnya di hadapan kami di suatu paya bernama Khom yang terletak di antara Makkah dan Madinah, setelah memuji Allah dan memberi peringatan dan nasihat, kemudian baginda bersabda: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah basyar (manusia) dan aku tidak lama lagi akan menyahut seruan tuhanku, maka aku tinggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (As-Thaqalain); pertama kitab Allah Ta'ala yang di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya, maka ambillah kitab Allah itu dan berpeganglah padanya". Lalu beliau menganjurkan supaya memberi perhatian kepada kitab Allah dan menggemarinya kemudian sabdanya: "Dan Ahli Baitku, aku peringatkan kamu terhadap Ahli Baitku, aku peringatkan kamu terhadap Ahli Baitku". Lalu Husain bertanya, "Siapakah gerangan Ahli Bait baginda wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri baginda adalah Ahli Baitnya?" Jawab beliau: "Isteri-isterinya bukan dari Ahli Baitnya, tetapi Ahli Baitnya ialah mereka yang haram menerima sedekah (zakat) selepasnya." "Siapa mereka?", tanya mereka. Jawabnya: "Mereka itu adalah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Jaafar dan keluarga Al-Abbas r.a."

Tentang tafsiran ayat ini Ibnu Kathir berkata: "Dan kami tidak mengingkari adanya wasiat terhadap Ahlul Bait dan suruhan berbuat baik kepada mereka, menghormati dan memuliakannya, kerana mereka itu berasal dari zuriat yang suci dari keluarga yang paling suci dan datuk yang paling mulia di atas permukaan bumi dari segala ketinggian, kehormatan dan keturunan".

AYAT KETIGA

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan kekotoran dari kamu, Ahlul Bait dan hendak mensucikan kamu dengan sesuci-sucinya." (QS Al-Ahzab:33)

Abul Hasan Ali Bin Ahmad Al-Wahidi An-Nisaburi telah menyebutkan dalam kitabnya Asbabun-Nuzul mengenai ayat di atas, bahawa ia diturunkan untuk lima orang: Rasulullah SAW, Ali bin Abi Talib, Fatimah Az-Zahra', Al-Hasan dan Al-Husain r.a.

Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat di atas menyebutkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Bazzar dari Abi Hatim r.a. dari Awwam Bin Haushab r.a. dari sepupunya, katanya: "Aku telah masuk bersama ayahku ke rumah Aisyah r.a. maka aku menanyakan padanya tentang Ali r.a." Aisyah r.a. menjawab: "Engkau menanyakan padaku tentang orang yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW sehingga ia dikahwinkan dengan puterinya yang paling dicintainya, aku pernah melihat Rasulullah SAW mendoakan Ali, Fatimah, Hasan dan Husin r.a. lalu menutup di atas mereka dengan suatu pakaian seraya sabdanya: Ya Allah mereka ini adalah Ahli Baitku maka hindarkanlah mereka dari dosa dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya", kemudian aku mendekati mereka sambil menanyakan: "Ya Rasulullah adakah aku termasuk dari ahli baitmu?" Baginda s.a.w. menjawab: "Pergilah kamu, sesungguhnya kamu berada pada jalan yang baik". Riwayat yang sama dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dari Wathilah Bin Al-Asga' dan berkata bahawa hadis ini sahih asnadnya.

Hadis Ummu Salamah, bahawa Rasulullah SAW berkata pada Fatimah r.a.: "Bawalah padaku suamimu dan dua orang anakmu." Maka datanglah Fatimah bersama mereka, lalu Rasulullah SAW menutupkan di atas mereka dengan kisa' (pakaian) milikku yang kuperoleh dari Khaibar kemudian baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa: "Ya Allah sesungguhnya mereka ini adalah keluarga Muhammad maka kurniakan selawat dan keberkatanmu kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah mengurniakan kepada keluarga Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji Lagi Maha Agung". lalu kuangkat kisa' itu supaya aku dapat masuk bersama mereka namun ditariknya oleh Rasulullah SAW dari tanganku dan berkata: "Sesungguhnya kamu berada di atas jalan kebaikan". Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dan Ibnu Asakir. Al-Hakim dan Ibnu Syaibah juga meriwayatkan dari Ummu Salamah dengan lafaz yang hampir sama dengan riwayat di atas.

Berkata An-Nawawi dalam kitab Majmuk dari Al-Azhari dan yang lain bahawa mereka itu adalah itrahnya yang dinasabkan kepada Baginda SAW. Mereka itu ialah anak-anak Fatimah r.a. dan keturunannya sepanjang zaman.
.

Tiada ulasan: