Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 Jun 2009

MEMBACA & MEMAHAMI AL-QURAN


Sabda Rasulullah SAW: "Orang-orang yang mahir membaca Al-Quran adalah orang-orang yang sentiasa ditemani oleh malaikat yang mulia lagi berbakti." (HR Bukhari/Muslim) Hadis ini bermaksud bahawa orang-orang yang mahir membaca Al-Quran sentiasa ditemani para malaikat dan dicintai oleh mereka.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW telah bersabda bahawa memang ada malaikat ditugaskan menjaga kita. Jadi, antara kaedah untuk kita berdamping dengan para malaikat ialah dengan memahirkan diri membaca Quran serta memahami kandungannya.

Tapi bagaimana pula dengan orang yang tidak mahir membaca Al-Quran? Usia sudah lanjut baru ada kesedaran untuk mendalami ilmu membaca dan memahami Al-Quran. Berkenaan orang-orang yang kurang mahir membaca Al-Quran, Rasulullah SAW bersabda: "Dan orang yang membaca al-Quran tetapi sulit/payah hingga merangkak-rangkak, dia mendapat 2 pahala. Yang pertama, dia mendapat pahala kerana membaca Al-Quran. Dan yang keduanya ialah kerana walaupun sukar tapi dia tetap mencubanya."

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang belajar Al-Quran, kemudian mengajarkannya." (HR Muslim) Perlu diingat bahawa Al-Quran bukan hanya diturunkan kepada bangsa Arab, malah untuk semua bangsa di dunia. Oleh yang demikian selain tajwid, memahami kandungan Al-Quran walaupun dalam bahasa ibunda sendiri adalah amat penting dalam membentuk peribadi setiap Muslim kerana akhlak Rasulullah SAW sendiri adalah selari dengan Al-Quran.

Dari hadis Mushabih Sunnah, Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang yang dalam kehidupan sehariannya langsung tanpa Al-Quran (seperti tidak pernah mengamalkan kandungannya, tidak pernah membaca dan jauh sekali menghafal), maka dia seperti sebuah rumah yang usang." Cuba kita bayangkan memasuki rumah-rumah yang sudah lama ditinggalkan orang. Tentu sekali rumah sebegini tidak bernilai langsung bagi sesiapapun apatah lagi bagi Allah SWT sebagai pemilik seluruh alam. Inilah sebesar-besar kerugian bagi orang yang langsung tiada mengamalkan Al-Quran.

Nabi SAW juga bersabda: "Barang siapa yang membaca 1 huruf daripada Al-Quran, maka dia mendapat 1 kebaikan. Dan 1 kebaikan itu pula diganda menjadi 10." (HR Tirmidzi) Ini merupakan satu ganjaran istimewa yang diberikan oleh ALLAH SWT bagi orang-orang yang membaca Al-Quran. Namun, timbul satu persoalan, iaitu seelok-eloknya sebanyak manakah ayat yang patut dibaca? Seelok-eloknya ambillah kaedah yang telah ALLAH SWT firmankan di dalam Surah al-Muzzammil ayat 20 yang bermaksud: "...bacalah oleh mu apa yang kamu rasa senang dan mudah daripada Quran itu." Bukanlah jumlah banyaknya ayat yang penting. Tetapi yang penting sekali bagi setiap Muslim ialah istiqamah dengan membaca Al-Quran setiap hari sambil mencuba memahami kandungannya yang penuh hikmah.

Rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan membaca dan memahami kandungan Al-Quran kerana ia adalah ibadah yang tidak ada tolok bandingnya selain kitab yang memberi petunjuk ke jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.
.

29 Jun 2009

KEPUASAN DARI SUJUD


Pernahkah kita terfikir, setelah saban usia kita mendirikan solat beserta syarat rukunnya, apakah rukun solat yang paling disukai oleh Allah SWT? Persoalan ini kita utarakan, mudah-mudahan dapat menambahkan kefahaman kita mengenai ibadah solat yang kita dirikan selama ini.

Dengan menyelami, memahami, menjiwai serta menghayati setiap detik ibadah atau solat yang dikerjakan, barulah kita akan mendapat kemanisan dan faedah darinya. Barulah ibadah kita itu dapat mendinding dan mencegah diri kita dari dosa dan noda. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar." (QS Al-Ankabut:45)

Sememangnya segala rukun di dalam solat, baik rukun yang melibatkan hati (qalbi), lisan (qauli) mahupun perbuatan (fi'li) mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di sisi Allah SWT. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya sarat dengan hikmah dan pendidikan dari Allah SWT. Namun begitu, amalan atau rukun yang paling disukai Allah ialah rukun sujud. Dikatakan juga bahawa waktu sujud itu adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Kenapa rukun sujud itu sangat utama dan paling disukai Allah?

Cuba kita perhatikan bagaimanakah keadaan kita ketika bersujud itu. Tidakkah pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan 'rasa menghina dirinya' seseorang hamba itu di depan Tuhannya. Dia berada di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa: "Ya Allah, hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan meminta pertolongan."

Seorang Sahabat Nabi SAW, iaitu Huzaifah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah, daripada Dia melihat hambaNya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah (sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)" (Riwayat Imam Thabrani di dalam Ausath).

Orang yang tidak mahu, tidak suka, enggan ataupun malas bersujud kepada Allah sudah dapat digambarkan tahap kesombongan, keangkuhan dan keegoannya. Sinonimnya orang yang ego untuk sujud kepada Allah, adalah orang yang juga ego dan sombong kepada sesama manusia. Tidak begitu? Untuk sujud, meratakan dahi (muka) setaraf bumi dirasakan terlalu leceh, kolot dan membuang masa. Kalau ia bersujud pun, sujudnya tidak sempurna ibarat patukan ayam sahaja, seboleh-bolehnya disegerakan. Apalagi kalau yang bersujud sama di sebelahnya ketika itu adalah seorang fakir miskin. Hatinya rasa mendongkol dan bibirnya menjuih ke depan penuh penghinaan. Inilah manusia-manusia angkuh. Manusia-manusia yang ingin memakai 'selendang' Allah, sedangkan selendang sombong (kibriyak) itu hanya layak untuk Allah SWT sahaja.

Ikutan kepada manusia-manusia angkuh itu tak lain tak bukan adalah Iblis laknatullah sendiri. Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT telah merakamkan betapa angkuh dan bongkaknya Azazil ini untuk sujud kepada Nabi Adam AS, sebagai satu perintah dari Yang Maha Berkuasa.

Sementara itu, di kalangan manusia, masih ramai lagi bilangan yang tidak mendirikan solat lima waktu. Tidak bersolat maknanya tidak bersujud dan tidak tunduk kepada Allah. Justeru, orang yang tidak mendirikan solat sebenarnya adalah orang yang sombong terhadap Allah. Sedangkan setiap orang daripada kita, tidak kira siang atau malam, pagi atau petang, menghidup udara Allah, meratah dan memburu rezekiNya di segenap penjuru dunia, juga menghidu setiap kuntum nikmatNya. Hamba jenis apakah kita ini jika masih tidak mahu tunduk dan sujud kepada Tuhan pemberi nikmat?

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami) mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri." (QS As-Sajadah:15)

Di dalam perlakuan sujud itu, ada simbolik dan hikmah yang harus kita fahami dan hayati iaitu ratanya tujuh anggota badan kita dengan bumi. Pergerakan yang sepenuh jiwa, sepenuh rasa hina dan mengharap kepada Allah SWT. Simboliknya ialah penyerahan total seorang hamba terhadap Penciptanya dalam menerima serta mematuhi segala perintah dan larangan dariNya. Jangan sampai berlaku, hanya di dalam solat sahaja kita sujud, tetapi tidak pada saat2 yang lain di dalam kehidupan seharian kita. Dalam erti kata yang lain, kita tidak tunduk, tidak taat dan tidak menyerah secara total kepada peraturan dan sistem Allah yang Maha Sempurna. Sujud sebegini adalah sujud yang tidak luhur, tidak tulus kepada Allah SWT. Sujud yang tiada penghayatan (roh), dan tidak akan membentuk diri empunyanya.

Marilah kita sama-sama membina sujud yang berkualiti. Sujud akan memberi makna dan kepuasan maksimum bilamana hamba-hamba Allah ini sujud di hadapanNya dalam keadaan menghina diri, memohon keredhaanNya.

Ubadah bin Somit r.a. telah mendengar Nabi SAW bersabda: "Tiadalah seorang hamba yang sujud kepada Allah dengan sekali sujud, melainkan Allah menuliskan bagi hambaNya itu satu kebaikan, menghapuskan baginya satu kejahatan dan mengangkatkan baginya satu darjat."

Wallahua'lam.

(Sumber: Anis, Ustaz Amal)
.

28 Jun 2009

AMANAH


Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh." (QS Al-Ahzab:72)

Allah SWT juga berfirman: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (QS An-Nisa':58)

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak ada iman bagi orang yang tidak ada amanah baginya." Dan hadis tanda orang munafiq yang tiga: "Apabila bicara ia bohong, apabila berjanji ia memungkiri, apabila diberi amanah ia berkhianat."

Sesungguhnya amanah adalah sesuatu yang besar. Langit, bumi dan gunung-gunung merasa khuatir dan takut untuk memikulnya, yang akhirnya dipikul oleh manusia. Orang-orang yang menunaikan amanah akan naik darjatnya ke darjat mu'minin muttaqin, dan orang yang mensia-siakan amanah akan turun ke asfalassafiliin (darjat yang paling rendah). Sesungguhnya amanah itu ada di dalam ibadah dan mu'amalat. Adapun amanah di dalam ibadah adalah kita menunaikannya.

Wahai kaum muslimin, dengan apa yang diwajibkan Allah kepadamu dengan ikhlas kepadaNya dan mengikuti RasulNya SAW tanpa adanya penambahan dan pengurangan, menjunjung tinggi segala perintah, menjauhi segala larangan, kamu takut kepada Allah secara sembunyi dan terang-terangan, kamu takut kepadanya di hadapan manusia dan semasa bersendirian, kerana Allah SWT mengetahui kerdipan mata dan apa yang disembunyikan hati, kamu menyembah Allah seolah olah kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya DIA melihatmu, kamu mengaplikasikan dua kalimat syahadat, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan, berhaji ke Baitullah dan ber'umrah, dan kamu menunaikan apa yang diwajibkan kepadamu di hadapan Tuhanmu kerana ingin mendapatkan keredhaanNya dan kerana takut kemarahan dan kemurkaanNya. Maka siapa yang seperti itu maka sesungguhnya dia telah menunaikan amanah di hadapan Tuhannya dan mendapatkan kenikmatan yang abadi dengan izin Allah.

Dan adapun amanah di dalam mu'amalat, ruang lingkupnya sangatlah banyak, sebahagiannya adalah bahawa kamu bermu'amalah dengan manusia sebagaimana kamu menginginkan orang lain mempergaulimu seperti itu dari nasihat dan tutur kata, dan kamu memelihara hak-hak mereka yang berhubungan dengan harta ataupun bukan, dari tiap sesuatu yang diberi amanah kepadanya baik secara lafaz maupun 'urf (kebiasaan).

Amanah juga ada antara seseorang dan isterinya, maka diwajibkan kepada masing-masing memelihara yang lain pada harta dan rahsianya, maka janganlah menceritakan kepada seseorang tentang hal itu. Dalam sebuah hadis yang sahih dari Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya sejahat-jahat manusia kedudukannya disisi Allah pada hari kiamat adalah seorang laki laki yang berkumpul (bersetubuh) dengan isterinya, dan kemudian salah satu dari keduanya membuka rahsia yang lainnya."

Amanah juga ada antara seseorang dengan temannya, ia bercerita kepadanya tentang rahsianya yang ia ketahui bahawasanya ia tidak ingin orang lain mengetahui tentang hal itu kemudian ia berkhianat kepadanya, tidak menunaikan sesuatu yang diamanahkan kepadanya, membuka rahsianya, serta menceritakannya kepada orang lain.

Amanah juga ada dalam jual beli, sewa-menyewa, maka tidak boleh bagi peniaga mengkhianati pembeli dengan mengurangi sukatan atau timbangan, atau menambah harga atau menyembunyikan aib, atau menyamarkan aqad. Pembeli pun tidak boleh mengkhianati penjual dengan mengurangi harga, atau mengingkari, tidak mau membayar hutang padahal dia mampu (mumaathalah).

Orang yang menyewakan juga tidak boleh mengkhianati penyewa denga cara mengurangi harga atau mengingkarinya atau suatu mu'amalah yang merugikan penyewa baik itu berupa rumah, tempat, alat, atau yang ditunggangi (kenderaan).

Amanah juga terdapat dalam perwakilan dan kekuasaan, maka wajib atas wakil melakukan yang terbaik dan ia tidak boleh berkhianat kepada orang yang mewakilkan kepadanya (muwakkil) maka ia menjual barang milik muwakkil dalam perdagangannya lebih murah dari nilainya kerana bersubahat dengan pembeli. Atau ia membelikan barang untuk muwakkil di dalam pembeliannya lebih mahal dari harga semestinya kerana bersubahat dengan penjual.

Dan di dalam kekuasaan, setiap orang yang berkuasa atau sesuatu yang khusus atau umum, maka ia diberi amanah yang wajib ditunaikannya. Maka seorang qadhi adalah amin (orang yang diberi amanah), amir (penguasa) adalah amin, pemimpin-pemimpin pejabat dan pengarah adalah amin. Mereka wajib melakukan segala hal yang berhubungan dengan kekuasaan mereka dengan yang lebih baik untuk kekuasaan mereka dan pada apa yang mereka diberi kekuasaan sebatas kemampuan mereka. Pengurus-pengurus anak yatim, masjid dan orang-orang yang diberi wasiat, mereka semua adalah amin, wajib melaksanakan amanah dengan yang lebih baik.

Ketahuilah bahawasanya sebahagian dari amanah ada yang berhubungan dengan kebudayaan pendidikan dan pengajaran. Maka wajib atas orang yang melaksanakan itu, baik itu pembuat-pembuat manhaj (dasar), ketua bahagian dan para pembimbing memelihara amanah dalam hal yang demikian itu dengan memilih manhaj yang benar serta pengajar pengajar yang baik, membekalkan para pelajar dengan ilmu dan amal, agama dan dunia, ibadah dan akhlak.
.
Dan sebahagian dari amanah adalah memelihara ujian dari permainan dan menganggap remeh, memelihara ujian dalam membuat soalan yang sesuai kemampuan siswa/i, pemikiran dan keilmuan. Kerana soalan-soalan itu kalau ternyata di atas kemampuan mereka menyusahkan dan menghancurkan mental mereka serta mensia-siakan seluruh tahun pelajaran mereka, dan kalau ternyata lebih rendah (mudah) dari kemampuan mereka maka soalan-soalan itu memudaratkan pada keilmuan mereka secara umum. Dan sebahagian dari memelihara ujian ketika menjawab pertanyaan-pertanyaan adalah agar pengawas ujian tersebut cerdik dan tidak membiarkan satu kesempatan pun untuk meniru dan tidak bersubahat (memberi kesempatan) dengan kaum kerabatnya dan juga kepada anak temannya kerana mereka di sini adalah sama, semuanya sama-sama berada dalam tanggungjawab pengawas.

Memelihara ujian ketika memeriksa jawapan adalah dengan memeriksa lembaran jawapan dengan cermat dengan tidak melewati batas yang telah ditentukan dalam peraturan sehingga tidak menzalimi seseorang atas yang lainnya dan menempati seseorang kecuali di tempat yang semestinya. Sesungguhnya kita terhadap amanah di dalam ujian pada tiga tempat tadi (menulis soalan, mengawas, dan memeriksa) maka semua itu untuk kemaslahatan (kepentingan/kebaikan) semua umat, kemaslahatan ilmu, dan untuk kemaslahatan pelaksana ujian dengan menunaikan amanah atas mereka dan melepaskan tanggungjawab mereka dan untuk kebaikan siswa/i agar mendapatkan darjat keilmuan dan tidak adalah bahagian mereka hanya ada pada kertas yang mereka bawa atau gelaran yang tak ada maknanya dan juga adalah kemaslahatan ilmu sekiranya kuat dan bertambah-tambah kebenaran.

Ketika melaksanakan ujian, kita tidak mementingkan banyaknya siswa/i yang lulus, kerana mutu lebih penting dari jumlah. Kalau pencapaian mereka rendah pada tahun ini mereka akan bertambah baik pada tahun berikutnya sekiranya mereka selalu bersungguh-sungguh dan menyiapkan diri untuk menghadapi ujian tersebut.

Semoga Allah selalu memberi taufik kepada kita semua untuk menunaikan amanah dan melepaskan tanggungjawab. Dan semoga Allah memelihara kita dari mensia-siakannya dan meremehkannaya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Mulia.

(Rujukan: Khutbah Syekh Marzuki Salim di Masjid Masjid Ar-Rahmah - Mekkah Mukarramah)

27 Jun 2009

KETEGUHAN IMAN MENGHADAPI UJIAN


Kehidupan manusia di dunia ini tidak akan terlepas dari ujian, kerana ujian adalah sunnah Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam firmanNya: "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (QS Al-Ankabut:2-3).

Dalam ayat di atas, Allah SWT menyatakan bahawa keimanan yang telah kita ikrarkan akan diuji oleh Allah SWT. Ujian itu mungkin berbentuk penyakit, kelaparan, kemiskinan, kematian, ketakutan, bencana alam dan sebagainya. Ujian yang diberikan ini akan dapat membezakan sama ada keimanan yang kita ikrarkan itu benar atau palsu.

Keimanan bagi seorang Muslim adalah sesuatu yang sangat bernilai harganya. Kerana itu, Islam menganjurkan agar seseorang Muslim mempertahankan keimanannya dari segala hal yang dapat menghancurkannya. Jangan hanya kerana urusan dunia, maka kita menggadaikan keimanan kita. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah memberikan contoh kepada kita betapa beliau tegar dan tegas dalam mempertahankan keimanan ini.

Ketika Rasulullah SAW mendapat tawaran dari orang kafir untuk mengadakan ibadah bersama, satu hari bersama golongan muslimin dan hari yang lain bersama golongan kafir, maka dengan tegas Rasulullah SAW menolak tawaran yang merosakkan keimanan ini. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Kafirun ayat 1-6: "Katakanlah hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang aku sembah, Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah, Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah, untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku."

Demikian pula yang dikatakan oleh Rasulullah SAW apabila bapa saudaranya, Abu Talib, menyampaikan permintaan orang kafir agar beliau menghentikan dakwahnya. Maka, Baginda SAW bersabda: "Demi Allah, wahai bapa saudaraku, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan perkara ini, maka aku tidak akan meninggalkannnya, sehinggalah agama ini menang atau aku binasa bersamanya."

Kita boleh melihat betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam mempertahankan keimanan ini. Maka, apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini kemudian memberikan pengaruh yang cukup kuat melekat di hati dan sanubari para sahabat, sebagaimana yang terjadi dalam Perang Khandaq. Di saat orang munafik hampir saja mengadakan perdamaian dengan kabilah Bani Ghatfan dengan memberi sepertiga hasil kurma Madinah, maka berkatalah dua Sa'ad, yaitu Sa'ad bin Muaz r.a., tokoh suku Aus, dan Sa'ad bin Ubadah r.a., tokoh suku Khazraj: "Ya Rasulullah, dahulu ketika kami dan mereka masih dalam keadaan menyekutukan Allah dan menyembah berhala dan mereka tidak pernah menerima kurma dari kami selain dengan jalan hutang atau beli. Apakah kini setelah Allah memuliakan kami dengan Islam dengan memberi petunjuk kami kepada Islam serta kami bangga dengan engkau dan Allah akan kami berikan harta kami kepada mereka? Demi Allah, kami tidak perlu berdamai. Demi Allah, kami tidak rela memberikan kepada mereka sesuatu selain pedang, sampai Allah memutuskan sesuatu antara kami dan mereka." Peristiwa ini diulas dalam beberapa kitab tafsir: "Tidaklah Rasulullah SAW meredai perdamaian itu, melainkan beliau ingin menguji keteguhan orang-orang Ansar, ketabahan hati, dan kekuatan izzahnya. Maka, Rasulullah SAW melihat pada dua Sa'ad ini apa yang menyenangkan hatinya."

Demikian pula yang dilakukan oleh Ka'ab bin Malik r.a. apabila beliau dipulaukan oleh kaum muslimin kerana tidak ikut serta dalam perang Tabuk. Selama 50 hari tak ada seorang pun yang menyapa, menegur, memberi salam, dan menjawab salamnya. Maka bumi ini terasa begitu sempit baginya. Lalu manakala ia tengah berjalan-jalan di pasar, ia mendapati seorang petani dari Syam yang biasa menjual makanan di pasar Madinah bertanya: "Siapakah yang suka menunjukkah kepada saya Ka'ab bin Malik." Maka semua orang yang ditanya menunjuk kepada saya. Kemudian orang itu mendekati saya sambil membawa sepucuk surat dari Raja Ghassan yang di dalamnya tertulis: "Sebenarnya saya telah mendengar bahawa kamu telah diboikot oleh teman-temanmu dan Allah tidak menjadikan kamu orang yang terhina, maka datanglah kepada kami tentu kami akan menerimamu."

Apakah yang dilakukan oleh Ka'ab mendapat tawaran seperti itu? Apakah ia akan menjual agamanya, apakah dia akan bergabung dengan orang-orang kafir dan mencari kemuliaan di sana, sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang? Tidak, tetapi yang dikatakan oleh Ka'ab adalah: "Ini juga sebagai ujian." Lalu ia pergi ke tempat api dan membakar surat itu. Mengapa ia membakar surat itu? Kerana ia tahu bahawa Rasulullah SAW adalah sumber kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT berfirman: "Sekali-kali orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela terhadap kamu, sehingga kamu mengikuti agama mereka." Dalam ayat ini jelaslah bahawa orang-orang Nasrani dan Yahudi akan sentiasa berusaha untuk menghancurkan keimanan kaum muslimin dengan berbagai-bagai muslihat. Maka, yang terpenting bagi kita adalah untuk tetap teguh mempertahankan keimanan kita.

Wallahua'lam.
.

26 Jun 2009

BERHATI-HATILAH DENGAN GOLONGAN FASIK


Allah SWT telah berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan teliti (tabayyun) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (QS Al-Hujuraat:6)

Allah SWT dengan begitu tegas telah memberikan peringatan kepada kita di dalam menghadapi sesuatu berita terutamanya berita yang dibawa atau disiarkan oleh orang-orang fasik. Ertinya, jangan terpedaya atau mudah percaya begitu saja kepada suatu berita, khabar, pendapat, atau maklumat yang disebarkan oleh orang-orang fasik.

Siapakah golongan orang-orang yang disebut fasik itu? Perkataan 'fasik' berasal dari kata dasar al-fisq, yang bererti 'keluar' (khuruj). Para ulama mendefinisikan fasik sebagai 'orang yang menderhaka kepada Allah SWT kerana meninggalkan perintahNya atau melanggar ketentuanNya'.

Orang fasik adalah orang yang melakukan dosa besar dan sering melakukan dosa kecil. Jika tidak berhati-hati, memang tidak mudah bagi kita untuk memahami erti 'fasik' yang sebenar. Ini adalah kerana, di dalam Al-Quran, kata fasik muncul dalam berbagai konteks. Seseorang boleh dikategorikan sebagai fasik akibat melakukan dosa besar atau dosa kecil. Seseorang dikategorikan kafir akibat tidak beriman atau dosa besar yang memang dapat mengeluarkan pelakunya dari Islam, seperti syirik akbar dan dosa-dosa lain yang memenuhi syarat untuk menjadikan pelakunya kafir. Jadi, orang fasik belum tentu kafir, tetapi orang kafir sudah tentu adalah fasik. Sebahagian ulama mazhab Syafi'i menyatakan bahawa seseorang dapat dikatakan tidak fasik (adil) apabila kebaikannya lebih banyak dari kejahatannya dan tidak terbukti bahawa ia sering berdusta.

Tingkat penerimaan atau kepercayaan kita terhadap sesuatu maklumat, berita atau informasi mengenai masalah agama, iaitu yang bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah dengan khabar berita masalah lainnya, tidaklah sama. Mengapa dikatakan tidak sama? Bukankah sama-sama khabar/berita/maklumat?

Islam memiliki mekanisme yang cukup rapi, dipercayai dan meyakinkan di dalam konsep penyampaian berita/maklumat. Islam meletakkan 'kefasikan' dan 'keadilan' sebagai hal yang penting. Para ulama hadis telah melakukan suatu penelitian dan penilaian terhadap sifat, keadaan dan perilaku seseorang yang meriwayatkan sebuah hadis. Al-Mawardi meriwayatkan sebuah hadis Nabi SAW: "Umumkanlah orang fasik dengan keadaan yang ada padanya agar masyarakat mewaspadainya." Imam Thabrani juga meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad hasan: "Sampai bila kamu enggan menyebut tentang orang pendusta (fajir)? Umumkanlah sampai masyarakat mengetahuinya."

Para imam hadis tidak sembarangan dalam menerima setiap sanad (isnad) yang disebutkan orang, tetapi mereka memilih setiap perawi yang ada dalam sanad dengan ketat. Para perawi hadis itu, diteliti kecerdasannya, akhlaknya, guru-gurunya, dan juga murid-muridnya. Jika tidak jelas, hadis yang bersumber dari perawi tersebut ditolak. Para perawi hadis disyaratkan harus jujur, kuat hafalan (dhabit), adil, dan berdisiplin.

Berdasarkan pemilihan para pakar hadis itulah, mereka kemudian membuat kategori hadis dan membahaginya kepada tiga kelompok: Pertama: Hadis Mutawatir, yakni hadis yang diriwayatkan oleh ramai para sahabat, tabi'in, dan seterusnya, yang dipastikan mereka tidak mungkin bersepakat berbohong. Hadis tingkat ini dapat diyakini kebenaran secara pasti (tidak diragukan), bahawa khabar atau berita itu berasal dari Nabi SAW. Kedua: Hadis Masyhur, yaitu hadis yang diriwayatkan oleh satu atau dua orang sahabat, tetapi tidak sampai mencapai darjat mutawatir, lalu diriwayatkan oleh generasi sesudahnya dengan darjat mutawatir. Ketiga: Hadis Ahad, yaitu hadis yang seluruh perawinya, mulai generasi sahabat, tabi'in dan tabi'it tabi'in, tidak mencapai darjat mutawatir.

Kemudian, kelompok hadis yang ketiga yaitu Hadis Ahad, diasingkan lagi menjadi tiga macam, iaitu Pertama: Hadis Sahih, yaitu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang adil (tidak fasik), sempurna ketelitiannya, sanadnya bersambung sampai kepada Nabi SAW, tidak mempunyai cacat, dan tidak bertentangan periwayatan orang yang lebih dipercayai. Kedua: Hadis Hasan, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang adil, tetapi kurang ketelitiannya, sanadnya bersambung sampai Nabi SAW, tidak mempunyai cacat, dan tidak bertentangan dengan periwayatan orang yang lebih dipercayai. Jadi bezanya dengan hadis sahih terdapat pada ketelitian perawi. Ketiga: Hadits Dha'if, yakni hadis yang tidak memenuhi syarat sahih maupun hasan. Adapun hadits dha'if ini banyak jenisnya, yaitu: maudhu' (palsu), mursal, munqathi', mu'allaq, mudallas, mudraj, munkar, dan mubham.

Ternyata di dalam agama Islam untuk menerima suatu hadis atau khabar yang diterima dari Rasulullah SAW, memiliki syarat-syarat yang sangat ketat. Ini merupakan suatu mekanisme yang sangat berharga bagi agama yang lurus ini, di mana agama-agama lain di dunia tidak memiliki mekanisme sumber-sumber berita keagamaan yang dapat dipercayai.

Kalau kita bertanya kepada orang-orang Kristian misalnya, mengapa kitab Injil yang mereka yakini kebenarannya itu, terdapat perbezaan (bias) di antara kitab-kitab Injil yang ada di dunia? Bagaimana boleh berbeza? Bolehkah menelusuri sesiapa sahaja yang telah meriwayatkan ayat-ayat yang ada dalam kitab Injil? Menelusuri siapa yang meriwayatkan berita saja tidak mampu, bagaimana mungkin berita itu layak dipercayai, apalagi untuk diyakini! ???

Tetapi di dalam Islam, sesiapa saja yang ingin membuktikan Al-Quran, di mana pun anda berada, pasti kalimat dan maknanya sama. Dan lebih menakjubkan lagi, kita dapati terlalu ramai anak-anak remaja yang menghafal Al-Quran, apatah lagi orang-orang dewasa. Mereka menghafal Al-Quran kerana dibimbing oleh gurunya yang hafal, gurunya dari guru-gurunya dan seterusnya sambung-menyambung hingga kepada Rasulullah SAW. Begitulah di antara tanda-tanda kebenaran khabar berita yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW hingga hari ini, di samping berbagai kebesaran Ilahi yang dikaitkan dengan Baginda semenjak saat kelahirannya sehinggalah saat kewafatannya.

Semoga bermanfaat untuk kita semua sebagai bahan renungan bagi kita bahawa nilai perkhabaran / maklumat mengenai agama kita sehingga hari ini dapat diyakini dengan pasti tentang kebenarannya. Semoga dengannya keyakinan kita bertambah mantap dan bertambah yakin, amien.
.

25 Jun 2009

SAHIH AL-BUKHARI


Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 di Kota Bukhara. Beliau rahimahullah adalah seorang amirul mukminin dalam bidang ilmu hadis. Kitab 'Jami’ush Shohih' karyanya diakui sebagai kitab kedua paling sahih setelah al-Quran. Ramai ulama yang mensyarahkan karya ini, antaranya Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani dengan 'Fathul Bari', Imam al-Qasthalani dengan “Irsyadus Sari” dan Imam Badruddin al-’Ayni dengan 'Umdatul Qari'.

Selain mensyarahkannya, ada pula ulama yang meringkaskannya agar kandungan kitab asalnya dapat dimanfaatkan pula oleh golongan awam yang mungkin kesibukan untuk mentelaah kitab asalnya. Antaranya yang terkenal adalah Imam az-Zabidi dengan 'at-Tajridush Shorih', Imam al-Qasthalani dengan 'Jawahirul Bukhari'nya dan Imam ‘Abdullah bin Abu Jamrah dengan 'Mukhtashar'nya.
.
Sungguh kitab sahih karya Imam al-Bukhari ini telah mendapat pandangan istimewa daripada para ulama. Selain dibaca untuk mendapat petunjuk daripada sabda2 Junjungan Nabi SAW, para ulama turut menyatakan keistimewaan lain bagi pembacaan kitab ini. Contohnya Imam ‘Abdullah bin Abi Jamrah menukilkan dalam 'Mukhtashar' menyatakan seperti berikut:-

"Aku memilih untuk menjadikan kitab al-Bukhari ini kerana ianya adalah kitab hadis yang paling sahih, juga kerana pengarangnya Imam al-Bukhari rhm. adalah seorang soleh yang mustajab doanya dan beliau telah mendoakan para pembacanya. Telah memberitahuku para qadhi yang ahli ma’rifah lagi luas perjalanan mereka (yakni dalam mencari ilmu) yang telah aku temui, daripada para pemuka agama yang diakui keutamaan mereka bahawasanya kitab Imam al-Bukhari ini tidaklah dibaca oleh seseorang pada waktu kesusahan melainkan dilepaskan dia dari kesusahan tersebut dan tidak tenggelam kenderaan yang membawa kitab tersebut sekali-kali."

Oleh itu, tidak pelik jika menjadi tradisi sebahagian ulama untuk menjadikan pembacaan dan pengajian kitab hadis ini sebagai wirid mereka. Di kalangan para habaib, tradisi membaca hingga khatam kitab Sahih al-Bukhari terutama sekali dalam bulan Rejab telah berjalan sudah ratusan tahun. Menurut penjelasan Habib Salim asy-Syathiri, tradisi Khatam Bukhari pada bulan Rejab telah dimulakan oleh Syaikh Abul Khair Ahmad bin Manshur asy-Syammadz, seorang ulama ahli hadis yang ‘abid dari Kota Zabid. Beliaulah yang telah mengajak kaum muslimin untuk membaca dan mentelaah sehingga tamat akan Sahih al-Bukhari di Masjid Jami’ Zabid. Kota Zabid ini telah melahirkan ramai ulama terkemuka, antaranya ialah Imam Zainuddin Ahmad bin ‘Abdul Lathif az-Zabidi (w. 893H) . Beliau inilah yang telah menulis ringkasan Sahih al-Bukhari yang diberinya judul “at-Tajridush Shorih li ahaadits al-Jami’ ash-Shohih“.

Di sesetengah tempat, Khataman al-Bukhari dilaksanakan dengan membaca dan menamatkan kitab mukhtashar ini. Sungguh tradisi yang mendekatkan umat kepada kitab panduan kedua setelah Al-Quran yang suci sepatutnya tetap dilakukan dan dimakmurkan. Dan hendaknya mereka-mereka yang mendakwa diri mereka pengikut sunnah, jangan menuding jari kepada para ulama dengan menuduh mereka tidak mempedulikan hadis, bahkan para ulama sentiasa menjunjung tinggi sabda2 Junjungan Nabi SAW bahkan menjadi tradisi mereka untuk mengkhatamkan setidak-tidaknya Sahih al-Bukhari setiap tahun.
.
Sesetengah orang mendakwakan diri mereka ahli hadis. Namun berapa kalikah sudah mereka mengkhatamkan dan mentelaah karya Imam Bukhari ini?
.

KEBAHAGIAAN ULAMA'


Ada dua pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya. Pertama: "Jihad yang paling afdhal adalah mengatakan kebenaran kepada Sultan yang zalim." Kedua: "Katakanlah kebenaran itu walaupun pahit."

Adalah menjadi satu kebahagiaan bagi umat Islam, khasnya para ulama', bila mereka telah dapat merealisasikan pesanan Rasulullah SAW tersebut. Bila kita masih belum juga melaksanakan pesanan tersebut, baiklah kita baca riwayat berikut.

Sekitar abad ke-4 Hijrah atau ke-10 Masihi, hiduplah di Mesir seorang ulama' sufi, Abu Hasan. Yang berkuasa di negeri itu adalah seorang penguasa yang zalim, Ahmad Ibnu Thulun.

Ibnu Thulun telah membunuh seramai 18,000 orang dengan cara tidak memberi mereka makan dan minum. Kerana kezaliman penguasa itu sudah demikian teruknya, maka Abu Hasan teringat akan pesanan Nabi SAW di atas, "Jihad yang paling utama adalah mengatakan kebenaran di depan penguasa yang zalim".

Semangat iman Abu Hasan tiba-tiba melonjak. Tanpa merasa gerun sedikit pun dia tampil ke hadapan Ahmad Ibnu Thulun. Dengan berani Abu Hasan berkata: "Innaka zhallamtar ra'yah" (Engkau telah menzalimi rakyat...!).

Ahmad Ibnu Thulun marah luar biasa mendengar kata-kata itu. Dia segera menangkap Abu Hasan dan memenjarakannya. Di dalam tahanan, seekor singa yang kelaparan dilepaskan. Inilah gelanggang yang tidak seimbang. Mereka melepaskan singa yang lapar untuk memakan Abu Hasan.

Tetapi mari kita lihat apa sebenarnya yang berlaku. Singa itu maju selangkah dan mundur, mendengus dan kemudian diam. Kemudian binatang buas itu menundukkan kepalanya sambil mendekati Abu Hasan, kemudian menciumnya. Setelah itu ia pergi dengan tenang meninggalkan Abu Hasan.

Ahmad Ibnu Thulun menyaksikan peristiwa itu dengan berdebar. Dia tiba-tiba tersentak dari tempat duduknya apabila singa itu tiba-tiba memandangnya dengan tajam! Orang-orang yang menyaksikan peristiwa yang mengerikan itu merasa kagum dan hormat kepada Abu Hasan, dan mereka pun bertakbir beramai-ramai.

Tetapi ada kisah yang lebih menakjubkan daripada itu. Setelah Ahmad Ibnu Thulun menyaksikan peristiwa ajaib itu, dia segera memanggil Abu Hasan dan menyoalnya.

Ibnu Thulun: "Ceritakan kepadaku apa yang engkau fikirkan pada waktu singa itu mendekatimu. Engkau tidak sedikitpun melihat dan engkau tidak peduli kepadanya!"

Abu Hasan: "Saya hanya memikirkan tentang air liurnya. Bila singa itu menyentuh saya, apakah itu suci ataupun najis?".

Ibnu Thulun: "Apakah engkau tidak takut kepada singa?"

Abu Hasan: "Tidak, kerana Allah telah melindungiku dari kejahatannya".

Kita berasa kagum dengan keberanian Abu Hasan. Cuba bandingkan dengan sikap para ulama' sekarang. Barangkali, berpeluh pun kita mencari ulama' sebegitu tak akan jumpa. Dengan itu, seolah-olah pesanan Rasulullah SAW di atas terpaksa diketepikan. Setidak-tidaknya untuk menyelamatkan "asap" di rumah.

(Petikan: Abu Hikmah, Dunia Islam Oktober 1994/Jamadil Awwal 1415)
.

24 Jun 2009

UZLAH (MENGASINGKAN DIRI) DAN PERGAULAN


Ketahuilah, bahawasanya setengah-setengah para salaf, ada yang suka beruzlah atau memencilkan diri dari orang ramai (menyendiri), kerana di dalam uzlah itu terdapat berbagai-bagai faedah seperti senang beribadat tanpa gangguan atau melapangkan diri untuk berfikir-fikir ataupun menumpukan perhatian kepada pendidikan ilmu pengetahuan. Selain itu dengan uzlah dapat menjauhkan diri dari melakukan larangan-larangan Allah yang biasanya dilakukan oleh orang ramai disebabkan pergaulan seperti riya’, mengumpat meninggalkan perintah membuat kebajikan dan menjauhi dari melakukan kemungkaran, meniru-niru tabiat dan akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan yang jelek dari kawan-kawan yang jahat atau seumpamanya.

Sementara sebahagian para salaf yang lain menggalakkan pergaulan dengan orang ramai dan mencari seberapa banyak kenalan dan kawan untuk mewujudkan perpaduan dan kasih sayang antara kaum Mukminin. Kemudian mereka bantu membantu antara satu sama lain dalam urusan-urusan agama, yakni untuk menegakkan kebaktian dan ketaqwaan kepada Zat Allah yang Maha Agung SWT.

Hanya dengan jalan bercampur gaul sajalah segala faedah uzlah atau memencilkan diri dapat terhasil iaitu dengan tekad bersungguh-sungguh serta mengalahkan hawa nafsu. Pendek kata pergaulan itu mempunyai banyak faedah yang besar melebihi faedah-faedah memencilkan diri.

Mungkin anda akan bertanya: Apakah dia faedah-faedah bercampur gaul itu, dan apakah pula pendorong-pendorong yang menyebabkan kita wajib bercampur gaul? Faedahnya ialah:

>Memberi pengajaran kepada orang lain atau mengambil pelajaran daripadanya.

>Melakukan sesuatu pekerjaan yang bermanfaat kepada orang lain, atau mengambil manfaat dari sesuatu pekerjaan yang dilakukan orang.

>Mendidik atau menerima didikan.

>Menempa hiburan atau menghiburkan.

>Mendapat pahala kerana menunaikan sesuatu hak yang wajib.

>Selain itu dapat mempraktikkan diri supaya bertawadhu’ dan mendapatkan faedah dari berbagai-bagai pengalaman orang lain, serta mengambil iktibar dari contoh teladan.

Berikut disenaraikan antara faedah-faedah bercampur gaul serta dihuraikan secara terperinci agar manfaatnya memberi kesan di dalam diri:

Memberi pengajaran atau menerima pelajaran
Kedua-duanya adalah antara sebesar-besar ibadat yang boleh dilakukan oleh seseorang di dalam dunia ini. Yang demikian itu tidak akan tercapai, melainkan menerusi pergaulan. Orang yang sangat berhajat kepada pengetahuan dan menuntut pelajaran ilmu agama yang wajib adalah dosa kepada Allah, kiranya ia memencilkan diri dan beruzlah. Orang yang mempunyai bakat dan mampu ke depan untuk mempelajari ilmu pengetahuan syariat dan ilmu pemikiran, baginya memencilkan diri sebelum mempelajari ilmu-ilmu tersebut adalah suatu kerugian yang besar. Sebab itulah Nakha’i dan orang-orang yang seumpamanya berkata: "Lengkapkanlah dirimu dengan ilmu pengetahuan terlebih dahulu, kemudian baru pencilkan diri atau duduk beruzlah."

Seseorang yang memencilkan diri sebelum menerima ilmu pengetahuan terlebih dulu, adalah orang yang mensia-siakan masanya dengan banyak tidur atau memikirkan sesuatu yang tidak berfaedah. Paling banyak dia menghabiskan masanya dengan membaca berbagai-bagai wirid dan mengulangi-ulanginya, padahal amalan-amalan yang dilakukan menerusi badan dan hati itu, tiada terjamin akan terlepas dari kemegahan dan kebanggaan diri. Cara serupa ini selalunya menjadi tipuan syaitan belaka, sedangkan ia mengganggap dirinya orang yang banyak beribadat. Ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan itulah yang menjadi puncanya agama, dan tidak ada gunanya beruzlah atau memencilkan diri bagi orang umum yang jahil dan bodoh. Adapun tentang pengajaran dan menaburkan ilmu pengetahuan kepada orang ramai, maka pekerjaan ini memang besar pahalanya, apabila niat si pengajar dan si pelajar itu bersih dan jujur.

Memberi manfaat dan mengambil manfaat.
Mengambil manfaat dapat dihasilkan menerusi usaha dan bermuamalah, dan yang demikian itu tidak boleh berlaku melainkan dengan bercampur gaul dengan orang ramai. Oleh kerana itu orang yang suka berusaha sendirian, lalu suka pula bersedekah dari amal usahanya, maka ia adalah lebih utama daripada orang yang suka memencilkan diri dengan banyak melakukan amal ibadat saja.

Adapun memberikan manfaat pula, ialah dengan membuat sesuatu perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain, sama ada dengan membelanjakan wang ringgit mahupun dengan memerah keringat sendiri, umpamanya menolong orang lain dalam segala keperluannya, semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala. Menyediakan diri untuk menunaikan hajat-hajat kaum Muslimin ada pahalanya dan yang demikian itu tidak akan terlaksana melainkan dengan bercampur gaul dengan orang ramai. Orang yang mampu menjalankan kerja-kerja serupa ini dengan menjaga batasan-batasan, adalah lebih diutamakan daripada orang yang hanya memencilkan dirinya kerana sesuatu pekerjaan yang tak berfaedah.

Pendidikan
Adapun mendidik orang lain dengan berbagai-bagai nasihat ataupun mengambil pelajaran-pelajaran pendidikan bagi dirinya sendiri.

Penghiburan
Menghibur diri atau menghiburkan orang memang amat digalakkan dalam urusan agama, iaitu bagi orang yang benar-benar merasa terhibur, bila melihat hal-ehwalnya atau ucapannya dalam urusan agama, dan ada kalanya berkaitan juga dengan kepentingan diri.

Penghiburan juga kadang-kadang menjadi sunat, kalau tujuannya ialah untuk melapangkan hati, agar sesudah itu akan timbullah sebab-sebab yang bakal mencergaskan diri semula dalam melakukan ibadat, sebab hati itu apabila terlalu sedih atau risau, niscaya ia akan menjadi buta. Jiwa manusia itu tidak selamanya dapat dipaksa membuat yang hak semata-mata, selagi tidak diberi kelapangan untuk dihiburkan dan dalam memaksanya menunaikan kewajiban-kewajibannya terus-menerus akan menimbulkan rasa bosan dan perasaan meleset. Ibnu Abbas r.a. telah berkata: "Andaikata tidak kerana takutkan perasaan waswas timbul dalam diri saya, niscaya saya tidak akan mengajak orang ramai duduk bersenang-lenang."

Nyatalah seorang yang memencilkan dirinya itu, tidak boleh tidak mestilah berkehendakkan seorang teman yang dapat diajak bertemu dan berbual dalam sehari semalam, walaupun sebentar saja. Oleh itu hendaklah ia berusaha mencari seorang teman yang sesuai dan mengerti kehendaknya. Jangan sampai masa sebentar bersenang-lenang dengan teman itu, kelak akan merosakkan pula segala masanya yang lain, yang dihabiskan dalam memencilkan diri atau berzlah itu. Rasulullah SAW telah bersabda: “Seseorang itu menurut perjalanan temannya, maka hendaklah seseorang mau memerhatikan siapa yang patut diajak berkawan.”

Dalam pertemuan dengan kawan itu nanti, biarlah semua perbicaraannya berkisar di sekitar urusan-urusan agama, dan perkara-perkara yang dapat menetapkan hati atas yang hak dan kebenaran. Dalam perbicaraannya sebegitu, jiwa akan merasa lega dan senang. Itulah satu-satunya cara yang paling baik untuk melapangkan hati, bagi seorang yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan peribadi.

Mencari Pahala.
Adapun untuk mencari pahala dari sesuatu amalan, maka ini dapat dilakukan dengan sentiasa menghadiri jenazah-jenazah, melawat pesakit-pesakit ataupun hadir bersembahyang jemaah pada semua solat, sebab tidak ada kelonggaran untuk meninggalkan jemaah, kecuali kerana khuatir sesuatu bahaya yang nyata akan menimpanya yang bila diimbangkan dengan bahaya maka terluputnya keutamaan sembahyang berjemaah sama beratnya, ataupun lebih sedikit dan perkara serupa itu tentulah jarang sekali terjadinya. Begitu pula, untuk mendapatkan pahala, ialah dengan menghadiri pertemuan-pertemuan yang baik dan undangan-undangan, kerana yang demikian itu boleh menimbulkan kegembiraan dalam hal seseorang Muslim.

Menyebabkan orang lain mendapat pahala
Untuk melakukan sesuatu agar orang lain boleh memperoleh pahala, ialah dengan membenarkan orang melawatnya ketika ia sakit, atau menyampaikan kepadanya takziah bila berlaku kematian dalam keluarganya, atau mengucap tahniah atas kenikmatan-keniknatan yang baru dicapainya. Cara ini akan mendatangkan pahala kepada orang-orang yang melakukannya. Bagi dirinya, hendaklah ia mempertimbangkan segala pahala-pahala yang akan diperolehi disebabkan percampur gaulan ini dengan bahaya-bahaya yang kami sebutkan satu persatu di atas. Ketika itu akan jelaslah persoalannya. Mungkin sekali baginya uzlah atau memencilkan diri itulah yang lebih diutamakan atau diberatkan. Mungkin pula bercampur gaul dengan orang ramai yang patut diikuti.

Merendah diri
Tawadhu’ atau merendah diri itu adalah darjat paling utama sekali bagi manusia. Ini tidak akan berlaku, selagi dia menyendiri atau duduk berjauhan dari orang ramai. Mungkin seseorang itu lebih suka beruzlah atau memencilkan diri kerana beberapa sebab misalnya:
(1) Kerana sudah terlalu tua umurnya.
(2) Kerana khuatir dirinya tidak diberikan penghormatan dalam satu-satu keramaian atau tidak dikedepankan.
(3) Kerana dia merasakan dirinya akan lebih dihormati, bila dia menjauhkan diri dari bercampur gaul dengan orang ramai.
(4) Kerana dia menganggap bahawa memencilkan diri itu akan lebih meyakinkan orang ramai dalam kerja-kerja ibadatnya atau kezuhudannya atau sebagainya.

Tanda orang-orang ini ialah mereka lebih suka diziarahi oleh orang ramai, tetapi mereka sendiri tidak suka menziarahi orang lain. Mereka merasa senang sekali, bila orang-orang umum datang untuk mendekatkan diri kepada mereka, apatah lagi kalau yang datang pula orang-orang yang berpangkat, maka hatinya akan terus berlonjak-lonjak kegembiraan. Kalaulah kerana terlalu sibuk menguruskan diri sendiri itu yang menyebabkan mereka tidak suka bercampur gaul dan terus memencilkan diri dari orang ramai, tentulah mereka tidak ingin pula orang ramai datang menziarahi mereka. Yang sebenarnya sebab pemencilan diri dan uzlah mereka itu, adalah kerana hendak menguruskan kedatangan orang ramai kerana hati mereka terpikat oleh pandangan orang ramai terhadapnya dengan penuh penghormatan dan sanjungan.

Ketahuilah, bahwa uzlah dan pemencilan diri kerana sebab-sebab serupa ini, adalah suatu kejahilan dan kebodohan dan boleh ditinjau dari beberapa segi seperti berikut:
.
(1) Bersifat tawadhu' dalam percampuran gaulan dengan orang ramai, tidak sama sekali mengurangkan kedudukan atau darjat orang yang merasa sombong dan bongkak, disebabkan banyak ilmunya atau mendalam agamanya.
.
(2) Orang yang suka menonjol-nonjolkan diri untuk mendapatkan keredhaan orang ramai, dan memancing kepercayaan mereka kepadanya, adalah orang yang ditipu oleh kemegahan diri sendiri. Sebab kalaulah ia telah mengenal Allah dengan sebenar pengenalan dan makrifat, tentulah ia akan maklum bahawa semua makhluk tidak dapat memberikan apa-apa manfaat kepadanya dalam sesuatu perkara selain dari Allah. Dan bahawasanya semua bahaya dan manfaat itu adalah dalam kekuasaan Allah dan takdirNya, malah untuk memperoleh keredhaan manusia sepenuhnya, adalah seperkara yang sukar untuk dicapai. Oleh yang demikian maka keredhaan Allah itu adalah lebih utama dituntut. Kerana hal ini jugalah maka Imam Syafi’i telah berkata kepada Yunus bin Abdul A’la: "Demi Allah! Apa-apa yang saya katakan kepadamu ini, ialah sebagai nasihat semata-mata. Ingatlah, tidak ada jalan untuk mencapai keselamatan dari mana-mana manusia pun. Oleh kerana itu, maka hendaklah engkau teliti baik-baik, apa yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagimu, hendaklah engkau lakukan."

Kalau begitu, barangsiapa yang sengaja memencilkan dirinya di dalam rumah, dengan tujuan agar orang ramai dapat memandangnya dengan pandangan penuh kepercayaan dan iktikad, adalah dalam bahaya yang besar di dalam dunia, kemudian azab di akhirat pula akan menunggunya dan azab lebih besar kiranya mereka mengetahui.

Kesimpulan
Tidaklah dipandang baik mengasingkan diri atau memencilkan diri menghabiskan masa, kecuali bertujuan mempelajari ilmu pengetahuan, sekira-kira jika ia bergaul dengan orang ramai niscaya semua masanya akan hilang, dan banyak pula bahaya lain yang akan timbul.

(Petikan: Kitab 'Bimbingan Mukmin' oleh Imam Al-Ghazali)

23 Jun 2009

KELAHIRAN INSAN AGUNG


KEWAFATAN Abdullah, suami tercinta benar-benar ditangisi oleh Siti Aminah Wahab, lebih-lebih pemergian itu berlaku ketika beliau sedang sarat mengandung anak pertama mereka!

Namun seolah-olah tahu bahawa anak yang dikandung itu bukan calang-calang manusia yang akan dilahirkan ke dunia. Lalu Siti Aminah terpaksa membuang jauh-jauh kesedihannya itu kecuali tetap menguatkan diri dan perasaannya demi kebaikan anak dalam kandungan dan mahu melahirkan bayinya itu dengan selamat.

Malah terdapat kisah sebagaimana yang diceritakan oleh Siti Aminah sendiri: "Ketika kandunganku genap berusia enam bulan, datang seorang yang tidak ku kenali pada suatu malam dan berkata: "Hai Aminah, sesungguhnya puan sedang mengandungkan seorang pemimpin besar. Apabila bayi mu itu lahir kelak namakanlah dia dengan nama Muhammad!" (sesetengah riwayat mengatakan Siti Aminah bermimpi mengenai anak dalam kandungannya itu).

Sehingga saat hendak melahirkan anaknya itu, Siti Aminah dikatakan tidak sedikit pun berasa gentar dan bimbang malah kita mendengar dalam banyak kisah, beliau dibidani oleh wanita-wanita yang didatangkan dari syurga, malah turut dibantu para bidadari itu sendiri. Dikatakan wanita-wanita itu merupakan Siti Asiah, isteri kepada Firaun dan Siti Mariam, ibu Nabi Isa AS yang datang untuk membantu Siti Aminah melahirkan puteranya itu. Lalu pada subuh Isnin 12 Rabiulawal, tahun pertama selepas peristiwa Tahun Gajah, maka lahirlah ke dunia ini, seorang anak yatim yang mulia..

Bayi yang dilahirkan itu tidak lain, tidak bukan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hisyam bin Abdul Manaf bin Qushaiy bin Kilaab bin Murrah bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik Ibnu Nader bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudar bin Nizar (Hizar) Bin Maad bin Adnan, sehinggalah selanjutnya nasab keturunan Adnan ini bersambung kepada Nabi Ismail AS, putera Nabi Ibrahim AS.

Tidak sahaja kerana fajar mentari yang menyingsing bagi menyingkap pagi yang paling suci tetapi dikatakan kelahiran Nabi SAW di penempatan Bani Hasyim di Mekah itu terdapatnya sinar yang begitu menerangi sehingga ke pelosok negeri. Ibnu Saad meriwayatkan bahawa bonda Rasulullah SAW pernah berkata: "Setelah aku melahirkan bayi ini keluar dari rahimku, maka bersamanya terdapat cahaya gemilang yang menerangi sehingga ke istana-istana di Syam."

Malah sejurus keputeraan Nabi Muhammad SAW itu dikatakan terjadinya perkara-perkara luar biasa (irhas) sebagai tanda-tanda bahawa Rasulullah SAW merupakan utusan Allah SWT yang bakal mengubah keburukan2 yang telah sebati pada fizikal, mental, rohani dan akidah umat manusia pada masa itu kepada akhlak yang terpuji.

Dikatakan ketika Baginda SAW lahir, empat belas lengkungan pintu gerbang Istana Kisra, milik Raja Parsi secara tiba-tiba telah runtuh, roboh dan pecah bertaburan. Api biara yang selama berpuluh-puluh tahun tidak pernah padam, yang menjadi penyembahan kaum Majusi akhirnya gelap terpadam dan sehinggalah gereja-gereja di sekitar Bahirah runtuh secara tiba-tiba akibat ia mendap ke dalam bumi.

Jika alam semesta turut menyambut dengan gembira keputeraan Nabi Muhammad SAW, apatah lagi kepada datuk Baginda, Abdul Mutalib yang sangat merasai kehilangan anaknya, Abdullah sebelum ini. Sebaik Nabi Muhammad SAW selamat dilahirkan, berita gembira kelahiran ini terus disampaikan kepada Abdul Mutalib yang ketika itu dikatakan sedang bertawaf di Kaabah kerana menantikan kelahiran cucunya itu.

Abdul Mutalib benar-benar gembira menerima berita kelahiran cucu laki-laki itu yang sekali gus mengingatkan beliau kepada anaknya, Abdullah. Segera beliau menemui Siti Aminah untuk mengucapkan tahniah dan tanpa berlengah Abdul Mutalib menatang dengan penuh kasih sayang bayi yang baru lahir itu dan dibawanya terus menuju ke Kaabah. Sesetengah riwayat menceritakan Abdul Mutalib membawa cucunya itu masuk ke dalam Kaabah. Di tempat sesuci itu, Abdul Mutalib berdoa kepada Allah SWT memohon supaya cucunya itu diberi kemuliaan sepanjang hidupnya kelak. Lalu Abdul Mutalib menamakan bayi itu dengan permulaan yang cukup mulia iaitu 'Muhammad' yang bererti 'yang terpuji'! Iaitu satu nama yang masih agak asing di kalangan masyarakat Arab ketika itu. Apabila mereka mengetahui bahawa anak itu diberi nama Muhammad, mereka tertanya-tanya mengapa Abdul Mutalib tidak suka atau mempertahankan nama nenek moyang. Lalu Abdul Mutalib menjawab: "Ku inginkan anak ini akan menjadi seorang yang Terpuji bagi Tuhan di langit dan bagi makhluk-makhlukNya di bumi!"

Pada hari ke-7 kelahiran Rasulullah SAW itu, sebagai tanda gembira dan bersyukur serta melaksanakan tanggungjawab sebagai datuk, Abdul Mutalib telah menyembelih unta dan dijamukan kepada seluruh penduduk Mekah, masyarakat Quraisy pada masa itu. Malah walau sesetengah riwayat menyebut Nabi Muhammad telah dikhatankan sejak dilahirkan, namun pada hari ketujuh itu juga Abdul Mutalib telah mengkhatankan cucunya itu. Bagi tidak membezakan si anak dengan anak-anak lain yang masih mempunyai ibu dan ayah, Nabi Muhammad benar-benar telah dilimpahkan dengan kekayaan kasih sayang walaupun daripada seorang datuk!

Namun tentunya kita sering mendengar bahawa keputeraan Nabi Muhammad SAW tidak lebih sebagai satu kelahiran seorang nabi palsu, iaitu satu tuduhan yang sangat jahat! Iaitu satu konotasi sesetengah ajaran yang tercatat dalam kitab mereka yang menuduh Nabi Muhammd SAW adalah antara 'banyak nabi palsu akan muncul dan menyesatkan banyak orang'. Ini dilakukan apabila mereka tidak pernah menguji pengetahuan mengenai Nabi Muhammad SAW. Namun di celah-celah hasutan tersebut, seorang dari kalangan mereka mengemukakan pandangan yang berbeza mengenai Rasulullah SAW. Seorang pemikir dan ahli sejarah terkemuka Inggeris, Thomas Carlyle (meninggal 1881) dari era atau zaman Victoria, dalam bukunya Heroes and Hero-worship (1841) dengan tegas menyatakan: "Pembohongan yang begitu semangat telah dituduhkan pada Muhammad (Nabi), adalah hanya menghinakan diri kita sendiri." Menurutnya lagi, jika Nabi Muhammad itu nabi yang palsu, jangankan hendak menyebarkan agama, membina rumah pun Baginda tidak akan mampu! "Nabi palsu mendirikan sebuah agama? Manakan mampu? Seorang yang palsu bahkan tidak akan mampu membangunkan sebuah rumah yang diperbuat daripada batu bata!"

"Jika dia tidak tahu dan tidak mengikuti ilmu dan cara-cara membuat adunan simen, bata dan segala sesuatu yang berhubungan dengan itu. Bukannya rumah yang dapat Baginda dirikan, melainkan tidak lebih longgokan dan lambakan sampah sarap. Adakah sampah, jika agama yang dibawa oleh Muhammad itu dapat bertahan selama dua belas abad (sekarang abad ke 14), memiliki pengikut sebanyak 180 juta orang (sekarang lebih dari 1 bilion pengikut)! Ajarannya akan hancur berantakan jika Muhammad itu nabi atau imam palsu!" tegas Carlyle.

Justeru, tuduhan dusta tentang Nabi Muhammad SAW itu boleh dijawab dengan segala detik-detik sejarah kelahiran atau keputeraan Baginda SAW sendiri yang ternyata bukan satu kelahiran yang biasa!
.
Wallahua'lam.
.

TEMPOH MENITI TITIAN SIRATUL MUSTAQIM


Tiada suatu jambatan yang paling panjang dalam dunia kini yang terpaksa dilalui dalam masa setahun, apalagi 15,000 tahun atau 28,000 tahun, dan tiadalah pula suatu jambatan dalam dunia kini yang dapat dilalui dalam sekelip mata sahaja.

Tempoh meniti Siraat atau panjang Siraat yang akan dilalui oleh seseorang adalah bergantung kepada keimanan atau amalan seseorang. Terdapat 4 sumber atau tempoh masa yang akan dilalui oleh manusia iaitu:

1. Menurut Al-'Allaamah Ibnu Abi Jamrah dalam kitab 'Bahjah An-Nufuus' (Syarh Al-Bukhaari: 2:27). Ada sumber mengatakan bahawa Siraat itu mempunyai 7 sekatan pemeriksaan di mana setiap sekatan memakan masa 3,000 tahun perjalanan, dan seandainya tertahan pada satu sekatan, maka terpaksalah menunggu 1,000 tahun. Ini bererti semuanya memakan masa 28,000 tahun (jika tersekat kesemuanya)

2. Menurut berita menerusi Fudhail b. 'Iyaadh ialah selama 15,000 tahun(belum termasuk 7,000 tahun di sekatan) iaitu:
i) Mendaki selama 5,000 tahun
ii) Menurun selama 5,000 tahun
iii) Mendatar selama 5,000 tahun

Fudhail b. Iyaadh berkata: "Sampai berita kepada kami bahawa panjang Siraat itu ialah kadar perjalanan 15,000 tahun iaitu 5,000 tahun perjalanaan mendaki, 5,000 tahun perjalanan menurun dan 5,000 tahun perjalanan mendatar, sedangkan ia lebih halus dari urat rambut dan lebih tajam dari mata pedang." (HR Ibnu 'Asaakir, Rujuk Kitab Aqiidah An-Naajiin)

3. Menurut berita menerusi Mujaahid dan Dhahhaak ialah selama 3,000 tahun (belum termasuk 7,000 tahun di sekatan) iaitu:
i) Mendaki selama 1,000 tahun
ii) Mendatar selama 1,000 tahun
iii) Menurun selama 1,000 tahun (Rujuk Bahrul Maadzi)

4. Seterusnya menurut suatu sumber lain ialah selama 21,000 tahun di mana tempoh mendaki, mendatar dan menurun masing-masing 1,000 tahun.(belum termasuk 7,000 tahun di sekatan) "Di atas Siraat itu terdapat 7 kaunter, manakala setiap kaunter memakan perjalanan 3,000 tahun, di mana ditambah lagi 1,000 tahun mendaki, 1,000 tahun mendatar, dan 1,000 tahun menurun, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang dan keadaannya lebih gelap daripada kegelapan malam." (Al-Hadith)

Berdasarkan sumber-sumber di atas, nyatalah bahawa terdapat perbezaan besar tentang tempoh melalui Siraat. Ini bergantung kepada keimanan dan amalan masing-masing. Setelah dibuat perbandingan, perjalanan yang paling lama melintasi Siraat itu adalah: Paling lama (mungkin merangkak/mengesut) 28,000 tahun (kes 1 & 2); 25,000 tahun (menurut suatu riwayat) 22,000 tahun (kes 2); 10,000 tahun (kes 3). Manakala yang paling cepat ialah sekelip mata.
.
Wallahua'lam.
.
(Petikan: 'Bagaimana Meniti Siraat Al-Mustaqim' oleh Abdullah Al-Qari Salleh)
.

22 Jun 2009

MENTAATI KEDUA IBUBAPA DALAM ISLAM


TAAT kepada ibu bapa adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana mentaati ibu bapa bererti mentaati perintahNya. Allah SWT memberikan kedudukan yang tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka. Ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firmanNya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapamu. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut di dalam pemeliharaanmu, maka janganlah kamu sekali-kali mengatakan kepada kedua-duanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." (QS Al-Isra':23).

Berbakti kepada kedua ibu bapa bermaksud berbuat baik kepada mereka, mentaati, melaksanakan hak, menjauhi perkara yang menyakiti hati dan kehidupan mereka serta banyak lagi bakti yang patut dilaksanakan untuk mereka. Perintah mentaati ibu bapa tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu, malah rasulNya juga tidak terlepas daripada melakukan ketaatan seperti pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ismail AS memenuhi permintaan bapanya, Nabi Ibrahim AS. Firman Allah: "... Wahai ayah, jalankan apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku termasuk di kalangan orang-orang yang sabar." (QS As-Shaffat:102).

Ayat berkenaan menjelaskan bagaimana Nabi Ismail AS berbakti kepada bapanya Nabi Ibrahim AS dengan mentaati perintah Allah SWT. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat, sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturrahim."

Pada dasarnya, berbakti kepada ibu bapa tidak bermakna hanya di kala ibu bapa masih hidup, malah ketika mereka telah tiada. Abu Daud dan Ibnu Majah serta Ibnu Hibban di dalam sahihnya, daripada Abi Asid Malik bin Rabi'ah As-Sa'idy, berkata: "Ketika kami sedang duduk di rumah Rasulullah, tiba-tiba datang seorang lelaki dari Bani Salamah lalu berkata : "Ya Rasulullah apakah masih ada apa-apa cara yang boleh saya lakukan untuk berbakti kepada ibu bapa selepas mereka meninggal dunia?" Rasulullah SAW bersabda: "Ya, menyembahyangkan jenazah mereka, dan meminta ampunkan dosa mereka, dan menunaikan janji mereka setelah mereka meninggal dunia serta membuat tali silaturrahim yang tidak disambung kecuali dengan mereka dan menghormati kawan-kawan mereka."

Menziarahi kubur ibu bapa dikira sebagai amalan bakti yang akan diberi ganjaran baik, sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan oleh Thabrani dalam Al-Ausath bermaksud: "Sesiapa yang menziarahi kuburan kedua ibu bapanya atau salah seorang di antara mereka setiap hari Jumaat, nescaya diampuni dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti."

Beruntunglah bagi setiap anak yang mengambil berat dan mentaati akan kedua-dua ibu bapa mereka sama ada sewaktu hidup mahupun setelah mereka (ibu bapa) tiada.
.

21 Jun 2009

MENEGUHKAN KEIMANAN...


Bersama-samalah kita bertakwa kepada Allah SWT dan tingkatkanlah keyakinan kita kepadaNya agar keyakinan itu tertanam kukuh dalam jiwa kita. Di saat seperti itu orang yang benar-benar kuat keyakinannya akan berkata seperti Imam Ali kwj: "Sekiranya tabir penutup keajaiban tersingkap, tidaklah sedikit pun aku bertambah keyakinan."

Ini menunjukkan kuat dan kukuhnya iman sehingga menjadi laksana gunung-ganang yang tinggi menjulang, takkan tergoncangkan oleh berbagai keraguan dan kebimbangan, sehingga tiada sedikitpun wujud keraguan dan kebimbangan mampu bersemayam di hati. Kalaupun hal itu datang dari luar, telinga takkan mengendahkannya, tidak pula hati akan berpaling kepadanya. Syaitan pun tidak akan mampu mendekati orang yang memiliki keyakinan seperti ini, bahkan ia akan lari ketakutan, seperti yang pernah diriwayatkan dalam sabda Rasulullah SAW: "Syaitan takut pada bayangan Umar. Kerana itu, setiap kali Umar melintasi suatu lorong, pasti syaitan memilih lorong lainnya."

Keyakinan dapat dikuatkan dan diperelokkan dengan beberapa cara, antara lain:

Pertama: Berusaha mendengar dan menyemak dengan tekun ayat-ayat dan riwayat-riwayat yang mengungkapkan tentang keagungan Allah SWT serta Kemampuan, Kebesaran, Keperkasaan dan KeesaanNya dalam soal Penciptaan, Kekuasaan dan KekuatanNya, tentang kebenaran para Rasul dan kesempurnaan mereka serta mukjizat-mukjizat yang diberikan Allah SWT kepada mereka untuk menjalankan tugas kerasulan, tentang berbagai hukuman dan akibat buruk bagi sesiapa yang menentang. Juga riwayat-riwayat tentang hari kiamat, termasuk yang bersangkutan dengan pahala yang diberikan kepada orang yang melakukan kebajikan dan hukuman yang ditimpakan kepada para orang yang melakukan kejahatan. Semua ini pada hakikatnya sudah cukup disyaratkan oleh firman Allah SWT: "Tidak cukupkah bagi mereka bahawa kami telah menurunkan kepadamu al-kitab (Al-Quran) sedang ia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam Al-Qur'an itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman." (QS Al-Ankabut:51)

Kedua: Memperhatikan dan merenungkan fakta-fakta pada kerajaan di langit dan bumi, keajaiban-keajaiban dan keindahan-keindahan yang tiada taranya yang ditebarkan oleh Allah SWT pada semua itu seperti dinyatakan dalam firmanNya: "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagimu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?" (QS Fussilat:53)

Ketiga: Meletakkan setiap perbuatan dan kepentingan terhadap keimanan secara lahir dan batin, secara berterusan dalam hal itu dengan sedaya upaya seperti yang difirmankan Allah SWT: "Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." (QS Al-Ankabut:69)

Di antara buah keyakinan adalah perasaan tenteram akan terlaksananya janji Allah SWT, kepercayaan hati akan jaminanNya, pemusatan himmah seseorang padaNya, penghindaran diri dari segala yang memalingkan diri dariNya, kembali kepadaNya dalam setiap keadaan, serta penyaluran seluruh daya dan tenaga dalam mencari keredhaanNya.

Secara umum, keyakinan adalah pokok utama sedangkan segala macam kedudukan yang mulia, akhlak terpuji dan amal-amal soleh adalah cabang-cabang serta buah-buahnya. Akhlak dan amal seseorang selalu mengikuti keyakinan dirinya baik dalam hal kuat atau lemahnya serta sihat dan sakitnya. Telah berkata Luqman AS: "Tiada amal baik dapat dilaksanakan kecuali dengan keyakinan, tiada seorang hamba mampu beramal kecuali sekadar keyakinannya, dan tiada akan terkurang amalnya sampai berkurang pula keyakinannya." Kerana itulah Rasulullah SAW pernah bersabda: "Keyakinan adalah keseluruhan keimanan."

Adapun keyakinan kaum Muslimin secara umumnya dapat dikategorikan kepada tiga tingkatan iaitu:

Pertama: Tingkatan kaum kanan (ashabul yamin), yakni kepercayaan yang pasti dan kuat namun masih disertai kemungkinan timbulnya keraguan dan kegoncangan apabila datang hal-hal yang dapat mempengaruhinya. Keadaan seperti ini biasanya disebut keimanan (iman).

Kedua: Tingkatan orang-orang yang didekatkan (muqarrabin), yakni berkuasanya iman atas hati secara penuh sedemikian rupa sehingga tidak terjadi sesuatu yang berlawanan dengannya. Keadaan seperti ini biasa disebut keyakinan (yakin).

Ketiga: Tingkatan para Nabi dan pewaris mereka yang sempurna, yakni kaum yang tulus (as-siddiqun), iaitu beralihnya sesuatu yang ghaib menjadi benar-benar hadir atau wujud dengan jelas di depan penglihatan mereka. Keadaan seperti ini biasa disebut "penyingkapan dan pandangan langsung."

Di antara ketiga-tiga jenis keyakinan itu terdapat perbezaan darjat yang cukup besar. Masing-masing mempunyai keutamaan meskipun sebahagian dari mereka lebih utama dari yang lainnya. Itulah kurniaan Allah SWT yang diberikanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dan sungguh Allah SWT adalah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dari penjelasan di atas, maka dapat difahami bahawa keyakinan adalah merupakan sesuatu yang penting dan perkara asas yang harus dimiliki oleh setiap Muslim. Oleh kerana itu, marilah kita bersama-sama meningkatkan dan menguatkan keyakinan kita. Semoga Allah SWT meneguhkan keimanan kita dan istiqamah hingga ke akhir hayat, amien.
.

20 Jun 2009

LARANGAN RASULULLAH S.A.W. TENTANG KUBUR


Larangan dari Rasulullah SAW tentang kubur:
.
Dari Jabir r.a., dia berkata: “Rasulullah SAW telah melarang kuburan dikapur (disimen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.” (HR Imam Muslim)

Perbuatan membawa bunga-bungaan / jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah diharamkan yang telah menular di kalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. Juga kerana perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga.
.
Manakala hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar(marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah SAW, juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah syarak serta terdapat sifat bermegah-megahan dan menunjuk-nunjuk yang amat dimurkai Allah SWT.
.
Ali bin Abi Talib k.w.j. berkata kepada Abi Hayyaj Al-Asadi: “Tidakkah kamu mahu aku utuskan kamu untuk melakukan perkara yang aku diutuskan oleh Rasulullah untuk melakukan? Kamu hendaklah meruntuhkan semua berhala dan meratakan semua kubur yang ditinggikan orang.”
(HR Imam Muslim)
.

19 Jun 2009

15 KESILAPAN BIASA MENDIDIK ANAK


"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (QS At-Taghabun:15)

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH SWT dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH SWT kepada kita hamba-hambaNya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan pernah bersabda: "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul?" Berkata para sahabat: "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia." Antara kesilapan mendidik anak:

1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar; Doa memohon rahmat (QS Ali 'Imran: 8-9); Doa memohon zuriat yang baik (QS Surah Ali Imran:38); Doa agar anak mengerjakan solat (QS Ibrahim:40-41)

Juga kerana kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH SWT (QS Al-Baqarah:128); Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (QS Al-Furqan:74); Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap atau hantu jembalang, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan dan minat mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat, meninggikan suara secara melampau dan memaki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Juga membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (fizikal), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai ibubapa zaman sekarang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah SAW kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussain bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah SAW melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi." (HR Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang menarik dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh (e.g. berkemban) atau berpakaian seksi di hadapan anak-anaknya.

8. Kesilapan kelapan: Susun atur atau persekitaran rumahtangga yang tidak kemas dan kotor. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas, pengotor dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang mengikuti dan menerapkan sunnah Rasulullah SAW di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam. Ramai ibubapa lebih mementingkan 'JomHeboh' dari kuliah2 agama.

12. Kesilapan keduabelas: Ibubapa bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya. Tabiat ini mungkin berlarutan apabila anak-anak berumahtangga.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat kita sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton oleh anak-anak sama ada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, akhlak tidak bermoral, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa, kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.
.

18 Jun 2009

'KEPEMIMPINAN KELUARGA PAMER MODEL TERBAIK LAHIR GENERASI SALIH': BERITA HARIAN (19/6/09)


INSTITUSI keluarga adalah asas untuk melahirkan generasi yang salih dan bertakwa. Kejayaan dan keharmonian sesebuah keluarga berkait rapat dengan kualiti kepemimpinan ketua keluarga. Justeru, Islam meletakkan bapa sebagai pemimpin dan ketua keluarga bertanggungjawab memastikan mereka yang berada dalam jagaannya keadaan baik serta mengikut landasan diredai Allah.

Tanggungjawab serta peranan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin ia bertanggungjawab terhadap rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya."
.
Untuk membina sebuah keluarga bahagia, ibu bapa seharusnya mempamerkan contoh dan teladan terbaik diikuti anak. Keluarga yang ingin anak berakhlak mulia, maka mereka perlu mempraktikkan akhlak mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak berkelakuan buruk. Akhlak baik yang dilihat anak akan membentuk peribadi mereka secara tidak langsung. Mereka juga secara tidak langsung meneladani tunjuk ajar, budi bicara dan perbuatan mulia ibu bapa. Dengan sebab itu, bapa dan ibu diharapkan dapat menjadi model yang baik akan dituruti oleh anak. Segala tingkah laku, akhlak, tindak tanduk, adab dan budi bahasa sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka.
.
Fenomena hari ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak dan remaja akibat kegagalan kepemimpinan keluarga mempamerkan contoh teladan yang baik dalam keluarga. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Muliakanlah anak kamu dan tunjukanlah kepada mereka adab yang baik." (Hadis riwayat Ibnu Majah) Imam Al-Ghazali berkata: "Anak adalah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan maka menderitalah dia dan binasa." Untuk merealisasikan hasrat melahirkan generasi yang salih dan bertakwa dalam sesebuah institusi keluarga, bapa sebagai pemimpin hendaklah mengambil berat terhadap perkara berikut:
.
Berperanan memberi dan menyediakan pendidikan agama yang sempurna kepada seluruh ahli keluarga; Tanggungjawab itu dinyatakan Allah dalam firman bermaksud: "Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim, ayat 6) Berdasarkan ayat itu Allah memerintahkan orang yang beriman supaya menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka Allah. Hanya dengan roh yang lahir daripada keluarga beriman saja dapat menyelamatkan daripada jatuh ke dalam api neraka.
.
Ibu bapa hendaklah memastikan sumber rezeki yang diberikan kepada isteri dan ahli keluarga daripada sumber rezeki halal lagi suci. Firman Allah bermaksud: "Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Surah Al-Baqarah, ayat 168) Setiap makanan diberi kepada anak hendaklah daripada sumber halal serta menjauhi sumber syubhah, apatah lagi sumber haram seperti rasuah, riba dan penipuan. Rezeki yang halal bukan saja membawa keberkatan, tetapi dapat melahirkan zuriat pintar dan sihat yang akhirnya mendorong seseorang melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat di akhirat.
.
Memperuntukkan masa yang berharga dan berkualiti bagi membentuk keluarga cemerlang. Ibu bapa hendaklah menjadikan rumah sebagai 'syurga' iaitu tempat penuh dengan ketenangan, kenikmatan serta kebahagiaan. Ia dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama, membaca buku agama di rumah beramai-ramai, meluangkan masa beriadah dan berkelah dengan anak serta keluarga. Tindakan itu secara tidak langsung dapat menambahkan hubungan kasih sayang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bapa sebagai ketua keluarga perlulah berazam menjadi pemimpin yang melaksanakan perintah Allah dan amanah sebenar. Sesungguhnya kejayaan di dunia dan akhirat sesebuah keluarga hanya dapat dicapai dengan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Janganlah kita sebagai bapa atau ketua keluarga menjadi punca kepada masalah dalam keluarga atau melahirkan anak yang terbabit dengan masalah sosial dalam masyarakat dan seterusnya boleh menjadi masalah kepada negara.
.
- Khutbah Jakim online
.