Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 Januari 2009

MALAIKAT MAUT MENCABUT ROH SEORANG MUKMIN...


Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah SWT menghendaki seorang Mukmin itu dicabut nyawanya, maka datanglah Malaikat Maut. Apabila Malaikat Maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SWT."

Setelah Malaikat Maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah SWT dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."

Sebaik saja Malaikat Maut mendapat perintah Allah SWT maka beliau pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluarlah penulisan ilmu. Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana Malaikat Maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya Malaikat Maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal juga, maka Malaikat Maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali Malaikat Maut cuba mencabut roh orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata maka: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka Malaikat Maut kembali kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah SWT, maka Malaikat Maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah SWT. Sebaik saja melihat Asma Allah SWT dan cintanya kepada Allah SWT maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Sayyidina Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Sayyidina Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:

1. Roh para Nabi dan Utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para Ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para Syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5. Roh para Mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah SAW: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya (iaitu) orang-orang yang mati syahid, orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan dan orang-orang yang berpuasa di hari Arafah."
.

9 JENIS SYAITAN


Sayyidina Umar al-Khattab r. a berkata, terdapat 9 jenis anak syaitan:

1. Zalituun : Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.

2. Wathiin : Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah SWT.

3. A'awan : Menghasut sultan / raja / pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan / kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

4. Haffaf : Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat (seperti disko, kelab malam & tempat yang ada minuman keras).

5. Murrah : Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yang sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamor, dsb.

6. Masuud : Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang bermula dari kata-kata.

7. Daasim : Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi). Oleh itu, berilah salam sebelum masuk ke rumah.

8. Walahaan : Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yg lain.

9. Lakhuus : Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.

Sebarkan pada rakan-rakan kita sebagai peringatan setiap hari dimana syaitan2 ini mengganggu hidup harian yang selama ini menghasut kita tanpa kita sedari. Sampaikan kepada saudara Muslim yang lain semoga menjadi pedoman hidup hingga ke akhir hayat, InsyaAllah.
.

28 Januari 2009

RASULULLAH S.A.W: CONTOH AKHLAK TERPUJI


Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah SAW menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual. Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayyidatina 'Aisyah r.a. menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang." Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayyidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan, ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayyidatina 'Aisyah yang bererti 'yang kemerah-merahan') 'Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa, wahai Rasulullah." Rasulullah SAW lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini", tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah SAW menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Rasulullah SAW. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" Pernah baginda SAW bersabda, "Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya."

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat. Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayyidina Umar r.a. yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah..., mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya? Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing seorang Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita... adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasulullah SAW hari ini? Apa yang kedengaran sehari-hari sepertimana yang didedahkan oleh media massa, hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka-mereka yang tidak berperanan di tempatnya. Amat sukar hendak mencari seorang manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk orang lain semata-mata kerana takutkan ALLAH SWT, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya. Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita.

Nur Muhammad itu, yang ALLAH SWT ciptakan semua makhluk yang lain kerananya, mempunyai kekuatan dalaman paling unggul. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH SWT langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayyidatina 'Aisyah r.a., "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."
.

HEBATKAH KITA...?


Berbanggalah dengan darjatmu di muka bumi ini, satu hari nanti kamu tetap akan kembali ke dalam perut bumi.

Bermegahlah kamu melakukan kemaksiatan di muka bumi ini, satu hari nanti kamu akan diazab di dalam perut bumi.

Ketawalah kamu sentiasa di muka bumi ini, satu hari nanti kamu akan menangis di dalam perut bumi.

Isilah perutmu dengan memakan dan meminum barang haram, satu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.

Kumpullah sebanyak harta yang kamu sanggup, satu hari nanti pasti akan hilang atau musnah juga harta itu apabila kamu masuk ke dalam perut bumi.

Bergembiralah dengan cahaya di muka bumi ini, satu hari nanti kamu akan hidup dalam gelap gelita di dalam perut bumi.

Berjalanlah dengan sombong dan takabbur di atas muka bumi ini, satu hari nanti kamu akan dihina di dalam perut bumi.

Bersukarialah dengan teman-temanmu di atas muka bumi ini, satu hari nanti tentu kamu akan keseorangan di dalam perut bumi.
.
"Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan bertaubat dan beriman... Amein!"
.

27 Januari 2009

SAMPAIKANLAH SALAM...


Sabda Rasulullah SAW: "Wahai manusia sampaikanlah salam, berikanlah makan dan solatlah diwaktu malam, di waktu orang-orang lain sedang tidur, maka kamu akan masuk syurga".
.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat kamar yang bermacam-macam, semuanya boleh dilihat dari luar isi dalamnya dan dari dalam boleh lihat di luar. Di dalam syurga itu terdapat kenikmatan yang belum pernah dilihat oleh mata, yang belum didengar oleh telinga dan tidak pernah dibayang oleh hati manusia." Lalu bertanya pula sahabat: "Ya Rasulullah, untuk siapakah kamar-kamar itu?" Sabda Rasulullah SAW: "Ianya adalah bagi orang yang menyampaikan salam, bagi orang yang memberi makan, bagi orang yang selalu berpuasa, bagi orang yang mengerjakan solat malam ketika orang lain sedang tidur." Bertanya para sahabat: "Siapakah yang kuat mengerjakan semua itu, ya Rasulullah?" Sabda Rasulullah SAW: "Akan aku terangkan kepada kamu semua. Barang siapa bertemu dengan saudaranya (semua orang Islam) dan memberikan salam kepadanya, maka sesungguhnya dia telah menyiarkan salam. Barang siapa yang memberi makan ahli keluarga / anak isterinya hingga kenyang maka sesungguhnya ia telah memberi makan. Barangsiapa berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian dia puasa enam hari dalam bulan Syawal (selain 1 Syawal, yang diharamkan puasa) bererti dia sudah sentiasa berpuasa sepanjang tahun. Barangsiapa solat Isyak dan solat Subuh berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mengerjakan solat malam ketika orang lain sedang tidur."
.
Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang berbicara sebelum memberi salam, maka janganlah kamu jawab." Ibnu Abbas r.a. berkata: "Sesungguhnya Iblis yang terkutuk itu menangis, sewaktu seseorang mukmin itu bersalam dan dia mengeluh: "Aduh celaka, kedua mukmin itu tidak berpisah keduanya melainkan diampuni dosanya."
.

BANYAK KETAWA MENGUNDANG SEKSAAN


Dalam satu keterangan dikatakan bahawa orang yang banyak tertawa akan diseksa dengan sepuluh macam seksaan iaitu:

1) Hati akan mati

2) Tidak punya rasa malu

3) Disenangi oleh syaitan

4) Dibenci oleh Allah Yang Maha Penyayang

5) Dihisab pada hari kiamat

6) Dikutuk oleh malaikat

7) Dibenci oleh ahli langit dan bumi

8) Lalai dalam banyak hal

9) Nabi akan berpaling padanya

10) Akan mendapat rasa malu
.
Ketawa Rasulullah SAW adalah berupa senyuman. Kalau pun lebih dari gambaran senyuman, maka gusi beliau kelihatan ketika ketawa, dan itu merupakan ketawa yang merupakan karisma (keperibadian), tidak mengeluarkan suara, terbahak-bahak atau sejenisnya.
.
Daripada Aisyah r.a., dia berkata: "Sekali pun aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berlebih-lebihan ketika ketawa hingga aku lihat anak lidahnya. Ketawa beliau hanya berupa senyuman." (HR Bukhari & Muslim). Daripada Abu Dzar r.a., dia berkata: "Rasulullah SAW tidak pernah tertawa selain daripada senyuman" (HR Muslim & Ahmad).
.
Daripada Abu Hurairah r.a., bersabda Rasulullah SAW: "Jangan kalian banyak ketawa, kerana banyak ketawa itu mematikan hati." Rasulullah SAW juga bersabda: "Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa." Sabdanya lagi: "Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."
.
Hassan al-Banna juga pernah berpesan: "Janganlah banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu, selalunya tenang dan tenteram." Pesannya lagi: "Janganlah bergurau, kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam sebarang perkara. Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya."
.
Seorang Hukama pernah bersyair: "Aku hairan dan pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan." Golongan salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.
.
Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur: "Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."
.

25 Januari 2009

KATA-KATA HIKMAH IMAM SYAFIE R.A.


1. Barangsiapa yang tidak dimuliakan oleh taqwa, maka tidak ada kemuliaan baginya.
.
2. Perhiasan ulama' itu adalah taqwa; dan kecantikannya adalah murah hati.
.
3. Tidaklah berjaya dalam menuntut ilmu, melainkan orang yang menuntutnya dalam kekurangan.
.
4. Tidak ada aib yang lebih buruk bagi ulama' selain dari kesukaan mereka terhadap apa-apa yang tidak disukai Allah buat mereka, dan ketidaksukaan mereka terhadap apa-apa yang disukai Allah buat mereka.
.
5. Ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat.
.
6. Terlalu luas bergaul dapat mendatangkan teman jahat, tidak suka bergaul dapat menimbulkan permusuhan, kerana itu bersikaplah antara keduanya itu.
.
7. Menuntut kemewahan duniawi itu adalah suatu seksaan yang ditimpakan Allah kepada ahli tauhid.
.
8. Barang siapa merasa dirinya lemah, maka ia akan memperoleh istiqamah.
.
9. Barang siapa yang ingin hatinya diterangkan oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwat (menyendiri), mengurangi makan, dan tidak bergaul dengan orang-orang bodoh yang buruk budi pekertinya, serta tidak berkumpul dengan orang-orang berilmu yang tidak mempunyai keinsafan dan tidak mempunyai adab.
.
10. Aku tidak pernah kekenyangan selama enam belas tahun kecuali hanya satu kali, lalu aku muntahkan ketika itu jua.
.
11. Tidak mengetahui riya' kecuali orang-orang yang ikhlas.
.
12. Kalau aku tahu bahawa meminum air itu menghilangkan keperwiraanku, tentu aku tidak akan meminumnya.
.
13. Barangsiapa yang telah berbuat baik kepadamu maka ia telah mengikatmu. Dan barang siapa yang kasar terhadapmu maka ia telah membebaskanmu.
.
14. Ketika ditanya: "Mengapa tuan sering memegang tongkat, padahal tuan bukan seorang yang lemah?" Ia menjawab: "Agar aku dapat mengingat bahawa aku akan berangkat dari dunia ini."
.
15. Janganlah kamu berbicara kecuali yang perlu saja, sebab kalau kamu mengucapkan satu kalimat bererti ia telah menguasai kamu dan kamu tidak boleh menguasainya.
.
16. Orang yang berakal itu ialah orang yang diikat oleh akalnya dari segala perbuatan tercela.
.
17. Tanda persahabatan itu hendaklah menjadi teman pula terhadap teman sahabatnya dan menjadi musuh terhadap musuhnya.
.
18. Tidak ada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabat, dan tidak ada kesedihan yang menyamai perpisahan dengan mereka.
.
19. Janganlah kau meragui hak saudaramu kerana percaya akan kebaikan hatinya.
.
20. Barangsiapa menasihati saudaranya secara diam-diam, bererti ia telah menasihati dan mengingati kebaikannya; dan barang siapa menasihatinya ditempat ramai, maka ia telah membuka rahsianya dan memburukkan namanya.
.
21. Persahabatan dengan orang yang tidak takut celaan itu adalah tercela.
.
22. Tidakkah engkau menghormati seseorang melebihi harga dirinya, melainkan harga diriku jatuh setimbang dengan penghormatanku yang lebih tadi.
.
23. Allah telah menciptakan kamu sebagai orang merdeka, maka jadilah seperti apa yang telah Allah ciptakan itu.
.
24. Barangsiapa bersahabat dengan orang dermawan, ia akan menjadi orang dermawan. Dan barangsiapa bersahabat dengan orang jahat maka iapun akan dituduh orang jahat.
.
25. Tidaklah aku berbincang dengan seseorang, melainkan aku tidak peduli apalah kebenaran itu keluar dari lisanku atau lisannya. Dalam riwayat lain: tidaklah aku berbincang dengan seseorang, melainkan aku suka kalau Allah menampakkan kebenaran di tangan orang itu.
.

4 TANDA CELAKA...


Tersebut di dalam kitab 'Minhajul Muallim', Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa tanda celaka itu ada empat:
.
1. Melupakan dosa-dosa yang lalu, sedangkan dosa-dosa itu masih tersimpan di sisi Allah di dalam catatanNya.
.
2. Menyebut-nyebut semua kebaikan yang telah lalu sedangkan dia tidak tahu apakah diterima atau tidak amalannya itu.
.
3. Melihat atau membandingkan orang yang di atasnya dalam urusan dunia.
.
4. Melihat atau membandingkan orang yang di bawahnya dalam urusan akhirat.
.
Semoga kita semua terpelihara dari tanda-tanda ini...Amein.
.

KISAH BENAR - AZAB ANAK DERHAKA HADAPI SAKARATUL MAUT

( Gambar Hiasan)
.
OLEH: USTAZ NAHRAWI MARZOKI
.
Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya. Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah manuju ke katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan bordoa semoga Jalal cepat sembuh.
.
Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil. "Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai. Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bungsu mereka itu. "Apa sakitnya ni?", tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."
.
Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan menyedihkan. "Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami.
.
Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya? "Panggil ibunya segera," kata saya. Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri. "Kenapa ni?" tanya saya. Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas." "Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat membantu," kata saya berterus terang. Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat.
.
Saya semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal. "Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku." "Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami," jawab salah seorang daripada mereka. Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya - kisah yang cukup menyayat hati saya.
.
Menurutnya, Jalal adalah anak bungsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan, dua lelaki dan dikalangan mereka, Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya.Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumah-tangga.
.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak di syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi semakin parah. Walau di syarikat mana pun yang Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumah-tangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai.
.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu. "Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya kasar. "Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik beradik kamu," jawab si ibu. "Ahhh, saya tak kira." "Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit ti nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya. Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun.
.
Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai-rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. bermulalah azab dalam hidup Jalal.
.
Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya. Jalal sebaliknya maraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apakecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
.
"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya. Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan. "Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah." Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan 'ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa 'ke situ' dan apa yang dilihatnya di situ?
.
Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak...". Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi. Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit saya berdering. "Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang. Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah al-Asr, Sura al-Falaq, Surah an-Naas serta Asma ul Husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar.
.
Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak. Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya.
.
Selepas 'rentapan' itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka. Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas.
.
Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratul maut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat. Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan.
.
Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya. Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di Pantai Barat Semenanjung.
.
Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak. Van yang cuma membawa lima orang-mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu - boleh patah shock absorbernya? Kelendan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang.
.
Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul - tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya.
.
Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya. Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham. "Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz." "Apa masalahnya itu." tanya saya. "Kubur adik saya berlubang ustaz." Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula. " Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.
.
Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham. "Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yasin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."
.
Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya. Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah. Amin.
.

HARI RAYA SEBENAR...


Telah berkata Anas bin Malik r.a. bahawa ada 5 hari raya yang sebenar, iaitu:
.
1. Hari yang dilalui oleh orang Mukmin itu tidak dicatat di atasnya dosa-dosa.
.
2. Hari yang ia keluar dari dunia ini (mati) dengan membawa iman, dapat mengucapkan syahadah (khusnul khotimah) dan terpelihara daripada tipudaya syaitan.
.
3. Hari yang dia berjaya menempuh Siratul Mustaqim, aman daripada huru-hara kiamat dan lepas dari seksaan Malaikat Zabaniah.
.
4. Hari yang dia masuk ke dalam Syurga dan aman (terpelihara) daripada api neraka Jahim.
.
5. Hari yang mana dia dapat melihat Tuhannya...
.

21 Januari 2009

MENJAGA TUTUR KATA


Mengenai manis tutur kata merupakan satu perkara yang tidak kurang pentingnya, kalaupun tidak lebih penting dari yang lain. Perkataan para pendakwah merupakan alat penghubung antaranya dengan orang ramai, ia juga merupakan alat untuk menyampaikan sesuatu maksud dan fikrah, oleh itu kiranya para pendakwah dapat memelihara lidahnya, menguasai percakapannya, berupaya untuk memilih perkataan-perkataan yang baik-baik dan susunan kata yang indah, bererti beliau telah mampu menarik hati orang ramai dan sekaligus beliau berjaya menyelam masuk ke dalam hati dan diri mereka.
.
Tetapi sebaliknya jika beliau tidak mampu berbuat demikian, malah tidak mengambil endah terhadap apa yang keluar dan celah kedua bibirnya, bererti beliau telah membina sendiri benteng yang memisahkannya dengan orang ramai, benteng yang tidak mudah untuk ditembusi, malah dengan itu menjadikannya dicela, dibenci dan dijauhi oleh orang ramai. Di antara firman Allah SWT yang berhubung dengan permasalahan ini ialah firman-firman Allah berikut:
.
"Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." [QS Al-Isra':53]
.
"Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia." [QS Al-Baqarah:83].
.
"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima), Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun." [QS Al-Baqarah:263].
.
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar." [QS Al-Ahzab:70].
.
"Dan mereka diberi pertunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjuki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji." [QS Al-Hajj:24].
.
"Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik." [QS An-Nahl:125].
.
"Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." [QS Thaha:44]
.
[Petikan: 'Konsep Penguasaan Dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah' - Fathi Yakan]
.

BIODATA IBLIS LAKNATULLAH...


> Nama : IBLIS LAKNATULLAH (formerly known as AZAZIL)
> Status asal : Ketua para Malaikat
> Status terkini : Fasik kelas pertama
> T.Lahir : Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s
> Agama : Kufur
> Tempat Tinggal : Rumah2 berhala dan hati-hati mereka yang kosong dari Dzikrullah (mengingati Allah SWT)
> Alamat Tetap : Neraka Jahanam
> Kawasan : Setiap tempat yang didalamnya tiada usaha untuk mengingati Allah SWT
> Arah perjalanan : Tiada haluan dan bengkang-bengkok
> Isteri : Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati Allah SWT, Rasul dan suaminya
> Kaum kerabat : Semua golongan yang menentang dan memusuhi Allah SWT
> Modal pusingan : Angan-angan kosong
> Tempat pertemuan : Disko, Hard Rock Cafe, Konsert-konsert, Kasino-kasino
> Musuh ketat : Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa
> Motto kerja : 'Cintailah dunia and let's enjoy!'
> Hobi : Melalaikan orang dari mengingati Allah SWT, menggoda dan menyesatkannya
> Cita-cita : Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kufur
> Kelemahannya : Bila orang membaca istighfar (i.e. 'Astaghfirullah...')
> Logo : Sebarang tatu pada badan
> Pejabat operasi : Tandas, bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat-tempat maksiat
> Rakan kongsi : Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia
> Sumber pendapatan : Segala harta yang diperolehi dengan jalan haram dan riba
> Jenis perkhidmatan : Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap Allah SWT
> Tempoh perkhidmatan : Sehingga hari kiamat
> Matlamat : Membawa setiap makhluk ke Neraka Jahanam
> Teman sejawat : Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran
> Ganjaran : Dosa dan kemurkaan Allah SWT
> Pembantu setia : Dajjal, ifrit, orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam
> Makanan kegemaran : Daging orang mati dan segala najis dan kotoran
> Yang ditakuti : Orang mukmin yang bertakwa
> Yang dibenci : Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati Allah SWT
> Alat perangkap : Wanita seksi, model, pelacur, peragawati dan sebagainya
> Saat ajal : Bila tiba waktu yang ditentukan Allah SWT di hari kiamat kelak
> Tugas yang paling disukai : Homoseks dan lesbian
> Janji-janji : Janji kosong, angan-angan dan tipu daya
> Yang membuatnya menangis : Bila orang sujud kepada Allah SWT
.

20 Januari 2009

MAKA DERHAKALAH SI ISTERI KEPADA SUAMINYA...


Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti dinyatakan di dalam kitab 'Muhimmah' :-
.
a. Menghalang suaminya dari bersuka-suka dengan dirinya.
.
b. Keluar rumah tanpa izin suaminya sama ada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain. Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suaminya ingin masuk.
.
f. Bermasam muka ketika berhadapan dengan suaminya.
.
g. Meminta talak daripada suaminya.
.
h. Berpaling atau membelakangi suaminya ketika bercakap.
.
i. Menyakiti hati suaminya sama ada dengan perkataan atau perbuatan.
.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin suaminya.
.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.
.

RAMUAN PENCUCI DOSA...


Hasan Al-Basri r.a. telah bercerita bahawa suatu hari dia bersama seorang pemuda ahli ibadah berkeliling melalui jalan-jalan kecil dan beberapa pekan di Basrah. Tiba-tiba ia bertemu dengan seorang tabib yang sedang duduk di atas sebuah kerusi, di hadapannya ada beberapa orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang sedang memegang botol berisi air di tangan mereka. Setiap orang meminta tabib itu menyebutkan ramuan ubat bagi penyakit masing-masing.
.
Hasan Al-Basri r.a. mara ke depan tabib itu dan berkata: "Tuan tabib! Adakah tuan mempunyai ubat yang boleh mencuci dosa, serta menyembuhkan penyakit hati?" Berkata Tabib itu: "Ya, saya ada". Lalu pemuda itu berkata: "Berilah pada saya."
.
Berkata Tabib itu: "Ambillah dari saya sebagai ramuannya sebanyak 10 perkara iaitu: Ambil oleh mu akar kayu FAKIR dan akar kayu TAWADHUK dan campurkan dengan pencuci kotoran perut bernama TAUBAT. Lalu masukkan semua ke dalam lesung REDHA, dan giling sampai halus dengan pengetam QANA'AH. Kemudian masukkan ke dalam periuk TAQWA, dan tuangkan ke dalamnya air HAYA' (malu). Lalu didihkan dengan api MAHABBAH (cinta). Selepas itu pindahkan dia ke dalam mangkuk SYUKUR dan kipaskan dengan kipas angin RAJA' (harapan). Kemudian minumlah dia dengan sudu PUJIAN. Jika engkau perbuat semua itu, maka dia bermanfaat bagimu, untuk melindungi dirimu dari semua penyakit serta bala di dunia dan di akhirat".
.

19 Januari 2009

SEDEKAH YANG DIBERKATI...


Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak beribadah haji, beliau tertidur di Masjidil Haram. Dalam tidurnya, dia telah bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa banyak orang-orang yang berhaji pada tahun ini?" Jawab yang lain, "Enam ratus ribu." Lalu ia bertanya lagi, "Berapa banyak yang diterima?" Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat berhaji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun itu diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."
.
Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapannya itu, maka terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke Damsyik mencari orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga ia sampailah ke rumahnya. Dan ketika diketuknya pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera ia bertanya namanya. Jawab orang itu, "Muwaffaq." Lalu Abdullah bin Mubarak bertanya padanya, "Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjat yang sedemikian itu?"
.
Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin berhaji tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus dirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu, lalu aku berniat haji pada tahun ini sedang isteriku pula hamil, maka suatu hari dia tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pergi ke rumah jiranku dan menyampaikan tujuan sebenarku kepada wanita jiranku itu. Jawab jiranku, "Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anak yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, kerana itu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba bertemulah aku dengan bangkai himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk masak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk makanan kamu." Ketika aku mendengar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan kuserahkan kepada jiranku tadi seraya menyuruhnya membelanjakan wang itu untuk keperluan anak-anak yatim yang ada dalam jagaannya itu. "Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Kata Muwaffaq lagi.
.
Demikianlah cerita yang sangat berkesan bahawa membantu jiran tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya apalagi di dalamnya terdapat anak-anak yatim. Rasulullah SAW ada ditanya, "Ya Rasulullah, tunjukkan padaku amal perbuatan yang bila kuamalkan akan masuk syurga." Jawab Rasulullah SAW, "Jadilah kamu orang yang baik." Orang itu bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimanakah akan aku ketahui bahawa aku telah berbuat baik?" Jawab Rasulullah SAW, "Tanyakan pada tetanggamu, maka bila mereka berkata engkau baik maka engkau benar-benar baik dan bila mereka berkata engkau jahat, maka engkau sebenarnya jahat."
.

TEMAN...


Yusuf bin Al-Husain r.a. telah berkata: "Aku telah bertanya kepada Zun-Nuun Al-Misri r.a. ketika aku akan berpisah darinya: "Siapakah yang sewajarnya aku jadikan sahabat dan selalu duduk bersamanya?"
.
Jawab Zun-Nuun: "Mestilah engkau bersahabat dengan orang yang apabila engkau melihatnya, engkau teringat akan Allah 'Azza wa Jalla, dan kehebatannya meresap ke dalam sanubarimu/batinmu. Dan apabila engkau mendengar ucapannya / mantiqnya / kalamnya maka amal engkau akan menjadi bertambah. Dan bila engkau memandang amalnya maka engkau menjadi seorang yang zahid/zuhud terhadap dunia ini. Dan selagi engkau berada di sampingnya, selagi itulah engkau tidak menderhakai Allah SWT. Dia memberikan mau'idzoh / nasihat kepadamu menerusi lidah fi'ilnya / perbuatannya dan tidak hanya dia menasihatimu menerusi lidahnya sahaja."
.

18 Januari 2009

NASIHAT SEORANG IBU BUAT ANAKNYA...

"Inilah laluan cinta anakku. Memang indah menjadi isteri yang dicintai suami. Inilah yang menjadi impian para isteri. Tetapi indah bukan menjanjikan ketenangan, kebahagiaan apatah lagi keselamatan yang kekal, anakku. Kerana itulah ibu berani berkata bahawa jika cinta suami gagal engkau perolehi, bukan bermakna tertutupnya pintu bahagia di dunia ini. Apatah lagi, kebahagiaan yang kita buru adalah kebahagian yang kekal di Akhirat nanti. Memanglah hebat, jika suami isteri saling cinta menyintai kerana Allah SWT. Tetapi apabila berlaku tidak seperti apa yang kita mahu, pasti ada sesuatu hikmah disebaliknya."
.
"Anakku, bila engkau memandang segalanya dari Allah SWT, yang mencipta segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sebab sakitnya hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu...pasti akan damailah hatimu. Kerana, masakan Allah SWT sengaja mentakdirkan sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah SWT tidak tahu penderitaanmu, pecahnya hatimu..., tapi mungkin itulah yang Dia mahu. Kerana Dia tahu, hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab denganNya."
.
"Anakku, mungkin benar, perkahwinan ini memang bukan atas pilihanmu sendiri, tapi bila ia telah berlaku, hakikatnya itulah pilihan yang Allah SWT mahu untukmu. Ibu ayah mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia. Tapi, terlalu banyak perkara berlaku di luar jangkaan kita... Cuma yang mahu ibu ingatkan engkau, perkahwinan atau suami bukanlah matlamat akhir hidup kita. Ia hanyalah alat untuk kita merebut keampunan dan keredhaan Ilahi."
.
"Anakku, sesuatu yang kita tidak mahu cintai kadang-kadang begitu dicintai oleh hati. Sebaliknya kadang-kadang kita terlalu ingin dan mahu cintakan sesuatu, tapi hati menolak. Hal ini adalah takdir yang kita sendiri pun tidak boleh mengawal dan menentukannya, walau siapapun kita. Tapi ia bukan sesuatu yang perlu engkau kesalkan anakku.. Sedangkan sikap kita yang tidak mencintai Allah SWT pun sering kita berikan maaf, walaupun ia satu kesalahan yang lebih besar, mengapa pula sikap suami ini begitu payah untuk kita terima? Inilah kita, anakku. Terlalu mudah sakit bila hak kita terabai, sedangkan bila hak Allah SWT terbiar, hati kita tidak tersentuh langsung."
.
"Anakku, Allah SWT sayang padamu. Dia mahu engkau juga sayang dan cinta padaNya. Kerana itulah diberiNya kesusahan pada perasaanmu. Dia mahu engkau berpaling dari cinta sementara yang amat engkau buru itu kepada cinta mutlak yang maha agung lagi indah. Maka, janganlah engkau sia-siakan peluang ini dengan sungutan dan rasa tidak redhamu..."
.
"Anakku, jika dalam pada engkau tahu suamimu tidak mencintaimu tetapi engkau masih mampu memberikan khidmat terbaik padanya dan mendoakannya, maka itulah bererti bahawa engkau memang bersungguh-sungguh untuk memburu cinta Ilahi. Jika tidak, deritamu itu hanyalah derita yang lahir dari nafsu tercabar. Ia tidak bererti dan tidak layak untuk mendapat simpati, anakku..."
.
"Anakku, suamimu itu walau dipegang sekuat-kuatnya atau dipeluk seerat-eratnya namun dia tidak akan kekal, hidupnya ada batasan dan akhirnya dia akan pergi meninggalkanmu. Suatu masa nanti engkau akan tetap kehilangannya. Kerana itu, selagi terbuka peluang untuk engkau merebut pahala sabar, redha dan syukur ini, rebutlah anakku. Dan jika sakitnya terlalu menusuk, bagaikan menghiris hatimu, datanglah pada Allah. Dialah tempat untuk mengadu dan merayu. Katakan, bukan engkau tidak redha, tapi engkau adalah hambaNya yang terlalu lemah. Mohonlah pimpinan dan kekuatan dariNya... Jika Dia belum mahu mengangkat derita itu, maka mintalah derita itu menjadi sebab untuk engkau terus berada dalam perhatian dan kasih sayangNya."
.
"Anakku, ingatlah juga bahawa mungkin ini juga satu hukuman untukmu. Hukuman pada dosa-dosa yang tidak bersungguh-sungguh kita memohon keampunan daripadaNya. Dengan datangnya ujian ini, moga kita akan sedar dan insaf. Sedar yang kita hanyalah hamba yang layak dihukum olehNya. Supaya kita datang kepadaNya, merayu-rayu meminta ampun pada kesalahan kita selama ini dan meminta ketenangan abadi yang hanya Allah SWT sahaja boleh memberikannya."
.
"Anakku, teruskanlah mendoakan suamimu juga untuk dirimu sendiri. Engkau sedang melintasi satu jambatan yang pendek tapi sulit, untuk pergi ke satu mahligai yang kekal abadi dan bahagia yang hakiki. Berbaktilah sesungguh hati padanya, yang telah Allah SWT takdirkan sebagai suamimu. Dan hasilnya jangan kau tuntut darinya anakku, tapi nantikanlah ia di Akhirat yang kekal abadi..."
.

17 Januari 2009

PENGAJARAN DARI 5 PERISTIWA...


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
.
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
.
Selepas kejadian itu, Nabi itu meneruskan perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi itu ke rumahnya.
.
Pada malam itu, Nabi itu pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintahMu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini." Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (mengumpat, menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
.
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berfirman Allah SWT, "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."
.
Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita menghindari umpat-mengumpat atau mencerca orang lain walaupun ia benar sekalipun.
.

SALMAN AL-FARISI R.A.: SAHABAT YANG TAWADHUK


Salman Al-Farisi r.a. tergolong sebagai salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau berasal dari negeri Parsi. Pernah di masa hidupnya, Salman telah diberi jawatan sebagai Gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian kedudukannya itu tidak sedikit pun mengubah keperibadiannya yang penyantun, rendah diri serta zuhud terhadap kemewahan dunia.
.
Pada suatu hari, diriwayatkan seorang rakyat awam tanpa mengenali Salman terus menariknya secara kasar lalu menyuruhnya melakukan suatu kerja yang berat. Orang itu menjumpai Salman ketika berada di tepi jalan. Ia mempunyai sebuah karung besar lalu menyuruh Salman memikulnya sampai ke rumah. Tanpa banyak soal Salman terus memikulnya.
.
Di pertengahan jalan, seorang lelaki telah memberi salam kepadanya. Alangkah terkejutnya melihat Salman memikul karung. Lalu berkata: "Wahai tuan! Tahukah tuan bahawa orang yang memikul karung tuan itu adalah Salman Al-Farisi, Amir negeri kita ini." Terkejut lelaki itu mendengarnya, apabila dikenangkan orang yang dikasarinya itu adalah gabenornya sendiri.
.
Lantas dia meminta maaf lalu meminta Salman menurunkan karung yang sedang dipikulnya itu. Tetapi Salman menjawab: "Oh, tidak mengapa tuan. Biarlah saya memikul barang tuan ini hingga sampai ke rumah tuan". Demikianlah ketinggian budi pekerti Salman Al-Farisi r.a., salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang tawadhuk dan tidak mementingkan darjat kedudukan.
.

16 Januari 2009

BAHAGIAN-BAHAGIAN UNTUK IBLIS LAKNATULLAH


Anas bin Malik r.a. berkata: "Iblis telah bertanya pada Allah: Katanya, wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepadaMu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku." Firman Allah SWT: "Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas."
.
Iblis bertanya lagi: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?" Firman Allah SWT: "Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat."
.
Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (Al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?" Firman Allah SWT: "Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan."
.
Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?" Firman Allah SWT: "Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta."
.
Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula azan untukku?" Firman Allah SWT: "Azan untukmu ialah seruling."
.
Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusanMu dari para Rasul dan juga Nabi, siapakah yang menjadi utusanku?" Firman Allah SWT: "Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang menduakan Aku."
.
Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci Al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?" Firman Allah SWT: "Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan."
.
Iblis bertanya: "Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?" Firman Allah SWT: "Perangkap bagimu ialah wanita."
.
Iblis bertanya: "Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebutkan namaMu, apakah pula minuman untukku?" Firman Allah SWT: "Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta tidak disebutkan namaKu padanya."
.
Sabda Rasulullah SAW: "Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya Allah tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang ringan namun berterusan." (HR Muslim)
.

SENYUMAN SEORANG SUAMI...

Senyuman adalah sedekah dan dengan senyuman ia akan mengembirakan teman kerana senyuman itu menandakan kasih. Semua orang selalunya ingin dikasihi. Adalah perkara yang amat memilukan dan menyedihkan jika seseorang itu merasakan dirinya tidak dikasihi oleh seseorang. Senyuman adalah gerak di bibir yang datangnya dari hati. Jika senyuman diberi dengan ikhlas ia akan mendatangkan kesan yang besar.
.
Apabila suami kembali ke rumah menemui isteri, berilah salam dan senyuman. Anggaplah isteri sebagai teman yang sudah lama tidak berjumpa. Dengan memberi senyuman ia akan mengembirakan hati isteri. Isteri di rumah sibuk menguruskan anak-anak, membasuh pinggan mangkuk dan kain baju. Temannya hanyalah kerja yang tidak mempunyai perasaan seperti insan dan tidak dapat menghargai letih dan penatnya. Kepenatan ini akan hilang jika bertemu kembali dengan suaminya dan suaminya pula mengukir senyuman sebagai tanda gembiranya terhadap isteri dan kerjanya. Walaupun kerja-kerja rumah tidak dapat dilaksanakan dengan baik, janganlah bermasam muka. Anggaplah kerja rumah itu kerja si suami dan isteri melakukannya hanyalah sebagai ihsannya.
.
Si suami janganlah kembali ke rumah dengan bermasam muka dan perasaan marah. Ukirlah senyuman walaupun dibuat secara paksa. Janganlah dibawa masalah di luar seperti masalah kerja, masalah rakan atau pejabat ke rumah. Janganlah lepaskan kemarahan itu kepada isteri atau anak-anak. Adalah menjadi satu kezaliman disebabkan kemarahan kita terhadap orang lain, isteri dan anak-anak yang lemah menjadi sasaran kemarahan kita.
.
Isteri adalah seorang wanita. Perwatakannya adalah lembut. Nabi SAW bersabda: "Yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya". (HR Baihaqi). Di antara 3 perkara yang Nabi SAW sukai ialah wanita. Maksudnya supaya wanita disayangi, dilayani dengan lembut kerana sesungguhnya wanita yang solehah itu adalah harta dunia yang paling baik. Oleh kerana wanita kelakuannya lembut, hatinya tidak akan dapat dipikat dengan kekerasan. Kelembutan wanita menyebabkan ia mudah tertawan gerak geri dan perkataan yang lembut. Kekerasan akan membuatkan wanita menjadi lebih keras, menimbulkan kebencian dihatinya dan melahirkan kederhakaan kepada suaminya.
.
Tarbiah untuk wanita terletak di tangan suami. Suamilah yang bertanggungjawab membentuk akhlak isteri. Sekiranya isteri mendapat tarbiah yang baik, dia akan membantu suaminya menuju ke syurga. Jika wanita bertabiat buruk, ia akan menjadi pembawa suaminya ke neraka. Kasih sayang terhadap isteri bukan bermakna membiarkan isterinya melakukan perkara yang tidak baik. Isteri perlu diberi nasihat. Apabila suami dapat menawan hati isteri, nasihat suami akan diterimanya. Jika kita berkeras dengannya, rasa benci akan datang dihatinya. Malah, nasihat yang baik sekalipun tidak akan dipedulikannya. Nabi SAW bersabda: "Wanita dicipta dari tulang rusuk dan yang paling bengkok di tulang rusuk ialah bahagian atasnya. Jika kamu cuba betulkan ia, nescaya akan patah dan jika kamu biarkan, maka berterusan ia dalam keadaan bengkok". (HR Bukhari dan Muslim)
.
Kekerasan tidak perlu dalam tarbiah. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang dan menasihati dengan cara yang lemah lembut dan berulang-ulang. Senyuman adalah amalan yang mahal. Ia adalan sedekah dan tidak memberatkan pemberinya. Suami tidak perlu berbelanja untuk melakukannya dan kesannya amat besar. Lemparkanlah senyuman setiap kali memandang isterimu terutama apabila kembali ke rumah. Walaupun kamu tidak mahu tersenyum disebabkan banyak masalah, paksalah diri untuk senyum. Berpura-pura senyum pada isteri walaupun hati tidak mahu adalah lebih baik daripada bermasam muka dan menunjukkan perasaan hati.
.
Seringkali suami melepaskan perasaan kepada isteri. Suami malu melepaskannya kepada orang lain kerana berpura-pura menjadi orang yang baik. Sekiranya kita boleh berpura-pura dengan orang lain untuk menunjukkan diri kita baik dan tidak mudah marah, kenapa kita tidak boleh berpura-pura kepada isteri, teman yang sentiasa bersama tatkala senang dan susah. Suami harus menyimpan masalah kepada diri sendiri (yang mengakibatkan timbul kemarahan dalam hati) dan tidak melepaskannya kepada orang lain apatah lagi kepada isteri. Ramai orang yang kelihatan begitu baik di luar tetapi menjadi pemarah ketika di rumah. Ini salah tempatnya.
.
Akibat keresahan hati, isteri menjadi mangsa. Isteri dimarahi dan dipukul kerana tersalah sedikit, akhirnya perhubungan menjadi renggang. Apabila hubungan menjadi renggang, anak-anak menjadi mangsa pertengkaran. Akibatnya, anak tidak akan faham apa itu erti kasih sayang. Anak-anak akan membesar dalam rumahtangga yang bergoncang. Bagaimana perasaan hati diluahkan? Menyimpan masalah di hati tanpa memberitahu kepada sesiapa boleh menyebabkan kekusutan fikiran dan akhirnya mengubah tingkah laku dan boleh menyebabkan penyakit.
.
Oleh yang demikian agama Islam mengajar kita agar menghadapi masalah kita dengan mendirikan solat dan selepas solat kita mengadu kepada Allah SWT. Allah SWT memerintahkan kita supaya apabila tersua dengan kesusahan, agar sabar dan solat. Solat di tengah malam adalah waktu yang amat sesuai untuk mengadu kepada Allah SWT. Apabila kita berbuat demikian, keresahan akan hilang, bantuan dan rahmat akan mulai datang. Apabila keresahan telah hilang, kita boleh kembali mengukir senyuman di siang hari. Inilah cara hidup orang yang bertaqwa. Senyumlah selalu dan berilah senyuman pada isterimu...
.

MENGGAPAI KEREDHAAN ALLAH SWT...


Kita sekarang dihidupkan oleh Allah SWT, di bumi Allah dan di dalam zaman yang Allah SWT tentukan. Selepas itu kita akan dikembalikan, sama ada disedari atau tidak ke salah satu daripada dua negeri yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka. Sekarang kita sedang berjalan ke destinasi yang kita sendiri pilih - syurga atau neraka. Allah SWT menyediakan dua jalan untuk kita pilih. Terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada jejak ke syurga atau jejak ke neraka.
.
Namun begitu, Allah SWT sudah memberitahu kita di dalam Al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan di neraka. Nabi Muhammad SW juga menguatkan lagi melalui hadis-hadisnya yang masih segar dibaca dan didengar hingga ke hari ini. Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya. Setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah SWT memasukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah SWT masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya dia sengaja memilih jalan ke neraka. Terpulang kepada kita hendak mengikuti jalan ke syurga atau ke neraka...
.
Antara Jalan Ke Syurga:
> Beramal di usia muda
> Bantu-membantu kerana Allah SWT
> Jauhi diri dan keluarga dari zina
> Mendidik anak tentang kewajipan beragama
> Mendirikan solat wajib dan sunat
> Bertahajjud di tengah malam
> Menangis dan menginsafi diri kerana takut akan Allah SWT
> Bersedekah, menderma dan berwakaf secara senyap
> Berpaut hati pada masjid
> Sentiasa belajar hal-ehwal agama
> Sembahyang berjemaah
> Selalu berada di tempat pengajian agama
> Menziarahi orang sakit
> Mengiringi mayat hingga ke kubur
> Mengadakan kenduri cara Islam
> Mendamaikan pergaduhan sesama Muslim
> Menolong anak yatim dan miskin, dsb..
.
Antara Jalan Ke Neraka:
> Tidak mengajar anak tentang hal-hal keagamaan
> Kaya tapi bakhil
> Menipu
> Mengambil arak, dadah dan apa-apa yang memabukkan
> Mengadakan majlis maksiat
> Berzina
> Memakan harta anak yatim
> Meninggalkan atau meringankan sembahyang
> Tidak mengeluarkan zakat
> Panjang angan-angan dan tak mahu bertaubat
> Durhaka kepada ibu bapa
> Berbuat fitnah
> Suami dayus (membebaskan isteri)
> Ibubapa dayus (membebaskan anak)
> Memakan harta atau makanan yang haram
> Berbohong dan berdusta
> Menggunakan sihir
> Dengki dan khianat, dsb..
.
Sementara kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk memilih jalan yang menentukan nasib kita pada masa hadapan, sentiasalah berusaha untuk meninggalkan sifat tercela (mazmumah) dan saling bantu-membantu menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.
.

WANITA YANG DIMURKAI...


1. Wanita yang digantung dengan rambutnya : Wanita yang tidak menjaga rambutnya (tidak memakai tudung) di kalangan lelaki yang bukan muhrimnya.
.
2. Wanita yang digantung dengan lidahnya : Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan kata-kata. Kemudian Nabi SAW bersabda: "Tidak seorang wanita yang menyakiti hati suaminya melalui kata-katanya kecuali Allah akan membuatnya mulutnya kelak di hari kiamat, selebar 70 zira' kemudian akan mengikatnya di belakang lehernya."
.
3. Wanita yang digantung dengan buah dadanya : Wanita yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.
.
4. Wanita yang diikat dengan kaki & tangannya : Wanita yang keluar dari rumahnya tanpa keizinan suami, tidak mandi wajib dari haidh & nifas.
.
5. Wanita yang memakan badannya sendiri : Wanita yang suka bersolek supaya dilihat lelaki lain serta suka membicarakan (mengumpat) tentang keaiban orang lain.
.
6. Wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka : Wanita yang suka menonjolkan diri (ingin terkenal) di kalangan orang banyak dengan maksud supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta padanya kerana melihat perhiasannya.
.
7. Wanita yang diikat kedua kaki & tangannya sampai ke ubun2nya & dibelit oleh ular & kala jengking : Wanita yang mampu mengerjakan solat & puasa, tetapi tidak mahu berwuduk & tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.
.
8. Wanita yang kepalanya seperti kepala babi & badannya seperti keldai : Wanita yang suka mengadu-domba (melaga-lagakan orang) serta berdusta.
.
9. Wanita yang berbentuk seperti anjing : Wanita yang suka berbuat fitnah serta suka memarahi suaminya.
.

14 Januari 2009

RAHSIA DI SEBALIK SOLAT...


Niat Solat : Memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.
.
Berdiri Betul : Ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.
.
Takbiratul Ihram : Sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.
.
Al-Fatihah : Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.
.
Rukuk : Sebagai tikar kita di dalam kubur.
.
Iktidal : Akan diberi minuman air dari telaga Al-Kautsar ketika di dalam kubur.
.
Sujud : Memagar kita ketika menyeberangi titian Siratul Mustaqim.
.
Duduk Antara Dua Sujud : Akan dinaungi panji-panji Nabi kita di dalam kubur.
.
Duduk Antara Dua Sujud (akhir) : Menjadi kenderaan ketika kita di Padang Mahsyar.
.
Tahiyyat Akhir : Sebagai penjawab bagi setiap soalan yang dikemukakan oleh Mungkar dan Nakir di dalam kubur.
.
Selawat Nabi : Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.
.
Salam : Memelihara kita di dalam kubur.
.
Tertib : Akan pertemuan kita dengan Allah.
.