Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


12 Januari 2009

4 JENIS ISTERI DI DALAM AL-QURAN


Di dalam Al-Quran, ada digambarkan empat jenis wanita yang bergelar isteri. Pertama, jenis ideal seperti isteri Nabi Musa AS. Walaupun Al-Quran tidak menyebut namanya, namun isteri Nabi Musa AS ini yang dikenali sebagai Safura adalah anak perempuan Nabi Syuaib AS. Safura digambarkan seorang gadis murni. Dia tertarik dengan Musa. Cintanya kepada calon suami, tidak hanya demi kebahagiaan keluarga, iaitu membantu ayahnya. Al-Quran menggambarkan cinta mulia dan halus Safura melalui ayat 26 surah al-Qashash yang bermaksud: "Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapaku, ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai". Dan sesungguhnya perkahwinan yang ideal ialah perempuan yang mulia serta setia berpasangan dengan suami yang kuat lagi amanah. Inilah pasangan romantis sebenar.
.
Kedua, jenis isteri Abu Lahab iaitu perempuan jahat berganding dengan suami terkutuk. Dalam surah Al-Lahab ayat 3 dan 4 yang bermaksud: "Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar". Isteri Abu Lahab bernama Ummu Jamil tidak disebut dalam Al-Quran. Abu Lahab memiliki akhlak buruk dan dikatakan pernah mencuri emas yang terdapat di Kaabah kerana tamak dan rakusnya. Isterinya pula seorang yang sombong dan memiliki perasaan hasad dengki yang kuat. Jadi, tugasnya ialah membantu kejahatan suaminya. Kalau Abu Lahab merupakan penentang utama terhadap Nabi SAW, maka isterinya adalah pendorong utama yang turut aktif di dalam kegiatan jenayah suaminya. Jadi jika suami diumpamakan terbakar dalam kejahatan nafsu, isteri pula pembawa kayu api - iaitu pengobar kejahatan suami. Maknanya isteri aktif dalam kegiatan jahat suami.
.
Ketiga, isteri yang baik dalam genggaman suami yang jahat. Watak ini menyebut Asiah, isteri Firaun sebagai contohnya. Walaupun Firaun dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai seorang Raja Besar yang dikutuk Allah SWT, namun isterinya disanjung tinggi dalam Al-Quran. Isteri Firaun bernama Asiah ini juga tidak diberikan nama oleh Al-Quran. Ia disebut sebagai "imraatu Firaun" atau perempuan Firaun sahaja. Walaupun Asiah ditakdirkan berpasangan sebagai suami isteri dengan Firaun, namun tindakan akhlaknya sangat bertentangan dengan suaminya yang zalim itu. Asiah menyelamatkan Nabi Musa AS, sebaliknya Firaun ingin menghapuskan Nabi Musa AS. Dia beriman kepada ajaran Islam yang dibawa Nabi Musa AS. Semua manusia di lingkungannya menyembah Firaun sebagai Tuhan, tetapi secara diam-diam, dia menyembah Allah SWT.
.
Keempat ialah watak perempuan Nabi Nuh AS dan Nabi Lut AS. Isteri kedua orang Nabi AS ini dinyatakan Allah SWT melalui Al-Quran surah At-Tahriim ayat 10 yang bermaksud: "Allah membuat isteri Nuh dan isteri Lut perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang salih di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun, dari (seksa) Allah dan dikatakan (kepada keduanya): "masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)". Isteri Nabi Lut AS dikatakan bernama Wa'ilah, tetapi isteri Nabi Nuh AS tidak diketahui namanya. Namun nama kedua2 perempuan ini juga tidak disebut dalam Al-Quran. Keduanya adalah isteri kepada dua lelaki pilihan Allah SWT, namun mereka disifatkan oleh Allah SWT sebagai pengkhianat dan menjadi ahli neraka.
.
Demikianlah gambaran 4 watak isteri dalam Al-Quran.
.

Tiada ulasan: