Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


05 Januari 2009

CINTA YANG ABADI...


Cintakan Allah tiada tandingan dan bandingannya. Cinta ini jika berjaya diperolehi adalah cinta yang paling memuaskan dan menenangkan. Buahnya paling menghiburkan dan paling membahagiakan. Tetapi malangnya cinta yang hakiki dan agung ini jarang orang ambil perhatian. Jarang orang memburunya seperti cinta-cinta yang bersifat sementara. Mungkin daripada jutaan manusia, hanya seorang yang memburunya.
.
Kalau seseorang itu telah mencintai Allah SWT, walaupun seluruh makhluk memusuhinya atau membencinya, namun dia tetap mendapat kebahagiaan dan ketenangan. Sebaliknya, cinta kepada makhluk tidak akan membawa manusia kepada kebahagiaan sejati dan kekal abadi, selagi cinta hakiki lagi agung daripada Allah SWT tidak dimiliki. Sebab itulah orang yang beriman dengan Allah SWT dan mentaatiNya sentiasa tenang walaupun di dalam kesusahan dan ujian.
.
Oleh yang demikian, kalau kita tidak dapat memiliki cinta daripada manusia, usahlah bersedih hati kerana cinta itu tidak abadi. Pun tidak hakiki dan sejati. Carilah dan burulah cinta yang agung, iaitu Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya. Sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya, amat beruntunglah hidupnya di dunia dan Akhirat. Di antara keuntungan yang diperolehinya ialah:

1. Tiada kecewa
Seseorang itu tidak akan kecewa dalam percintaannya merebut cinta agung. Seandainya semua makhluk di bumi dan langit berlumba-lumba merebut cinta Tuhan, tidak ada siapa yang akan kecewa bahkan Maha Kuasanya Tuhan dapat membalas cinta semua makhluk-makhlukNya serentak dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Tiada siapa yang akan kecundang dan kecewa dalam perebutan mencari cinta agung.
.
2. Tiada saingan
Tidak ada persaingan, pertarungan, permusuhan atau peperangan dalam mencari cinta Tuhan. Sebaliknya dalam perebutan mencari cinta dunia sama ada cinta manusia, biasanya akan berakhir dengan permusuhan dan akan ada yang kecewa dan menderita.
.
3. Mendapat ketenangan dan kebahagiaan
Mendapat cinta Tuhan akan membuahkan ketenangan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan yang hakiki. Jiwa lapang, hati senang dan tenang. Bahkan kesengsaraan, kesakitan atau penderitaaan dalam usaha meraih cinta agung itu pun sudah merupakan sebahagian daripada kebahagiaan. Kadangkala hati resah, cemas dan bimbang apakah cintanya terhadap Tuhan itu berbalas. Dalam keresahan cemas dan bimbang itu terubat pula dengan keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Luas RahmatNya. Maka di situ pula bertambah lagi ketenangan. Sesekali terasa diri lemah, dhaif dan lalai, tertebus pula dengan pengaduan serta bermanja-manja dengan Allah SWT yang Maha Pengasih. Bertambah pula mendalamnya rasa kehambaan. Sebaliknya merebut cinta dunia akan menimbulkan keresahan dan tiada ketenangan di jiwa. Walaupun dunia yang dicintai itu sudah ada di tangan, namun fikiran masih kusut.Mereka yang gagal mendapat dunia yang dicintai dan diburunya itu pula sudah ramai yang sakit jiwa dan berputus asa. Bahkan ada yang sanggup membunuh diri kerana kecewa dalam percintaan yang tidak kekal itu.
.
4. Persahabatan dan perpaduan
Bersama-sama mencari Tuhan membawa manusia berukhuwah dan berkawan. Walaupun manusia itu dari berlainan latarbelakang, bangsa, pangkat, kedudukan malah jika pernah menjadi musuh sekalipun, namun di dalam perjuangan merebut cinta Tuhan, secara automatik setiap hati manusia itu akan terikat satu sama lain. Kerana masing-masing sedang dalam perlumbaan mencari cinta yang satu iaitu cinta yang hakiki. Sebaliknya pertarungan dalam merebut cinta dunia akan mengakibatkan ukhuwah dan persahabatan semakin jauh. Akhirnya akan membawa kepada pecah belah dan permusuhan.
.
5. Menghilangkan mazmumah
Mencari cinta Tuhan dapat membantu menghilangkan sifat mazmumah di dalam diri. Mazmumah adalah sifat-sifat keji yang terdapat dalam diri manusia seperti hasad, dengki, sombong, ego, riak, ujub, tamak, gila dunia dan lain-lain. Mazmumah dapat merosakkan segala kebahagiaan dan ketenangan di dalam jiwa seseorang insan. Perlumbaan mencari cinta Tuhan adalah salah satu proses paling berkesan dalam usaha seseorang manusia meruntuhkan mazmumah di dalam jiwa. Sebaliknya, merebut cinta dunia akan menebalkan mazmumah. Hasad dengki pasti akan berlaku dan ia bagaikan siraman baja yang menyuburkan lagi pohon mazmumah dalam diri manusia.
.
6. Disenangi makhluk
Mengejar cinta Tuhan orang akan suka dan rasa senang. Tiada siapa yang akan rasa tercabar atau tergugat dalan pertarungan merebut cinta Tuhan. Orang yang berusaha merebut cinta agung akan disenangi semua makhluk. Manusia senang dan sayang padanya dan para malaikat juga turut mendoakannya Kerana makin ramai yang merebut mencintai Tuhan, semakin mendorong kepada tercetusnya keamanan, ketenangan dan kebahagiaan. Sebaliknya di dalam sesuatu pertarungan atau perebutan lebih-lebih lagi perebutan cinta dunia, ramai yang tidak senang dan makin dibenci orang. Semakin sengit perebutan dunia, makin bertambahlah huru-hara dan porak-perandalah kehidupan.
.
7. Tidak akan kesepian atau keseorangan
Pemburu cinta Tuhan tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana Tuhan yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Malah Tuhan bukan sekadar boleh memerhati, bahkan sentiasa menjaga dan melindungi kita. Malah di waktu kita tidur, di kala kekasih yang paling hampir dan paling kita cintai pun tidak mampu untuk menjaga kita, Tuhan masih menjaga dan mengawal kita kerana Dia tidak tidur. Meletakkan cinta dan harap pada Tuhan akan membuatkan hati sentiasa rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam kawalan dan penjagaan satu Zat yang Maha Agung lagi Berkuasa. Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Tuhan, belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap saat.
.
8. Jalannya luas dan paling selamat
Mengejar cinta Tuhan jalannya luas, lapang, selamat dan menyelamatkan, manakala mengejar cinta dunia jalannya sempit, himpit-menghimpit serta memudharatkan. Begitulah beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan cinta agungnya dan malang sekali bagi sesiapa yang memburu cinta selain Tuhan.
.

Tiada ulasan: