Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


07 Januari 2009

BERKATA-KATA ATAU DIAM...


Diriwayatkan daripada Abu Syuraih al-Khuza'iy r.a katanya: Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam."
.
Allah SWT memiliki suatu sifat yang sebenarnya amat akrab dengan kehidupan manusia. Iaitu mustahil bagiNya berbuat perkara yang sia-sia, tanpa tujuan, ataupun mengandungi kesalahan. Kalaupun ada penciptaan atau kejadian yang tampak kejam, ia hanyalah bersifat sementara. Ertinya, jika dilihat dan diteliti, akhirnya ia akan membuktikan bahawa di balik kejadian itu semua ternyata mengandung nilai-nilai kebenaran. Dalam hal ini, manusia memang harus banyak melihat sejarah hidupnya secara peribadi mahupun sejarah kemanusiaan itu sendiri, tujuan ia diciptakan, ke mana destinasinya dan sebagainya. Sifat tersebut amat akrab dengan kita kerana ia tercermin ke manapun kita melihat. Pantulannya boleh dilihat kepada sesiapa yang ingin melihat.
.
Sulit bagi kita untuk menyebutkan suatu makhluk atau kejadian alam yang diciptakan tanpa ada gunanya. Seolah semua menyiratkan bahawa Allah SWT menciptakan setiap sesuatu untuk tujuan-tujuan tertentu. Bukan sekadar permainan tanpa arah. FirmanNya: “Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan mengandungi kesalahan. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu karena mereka akan masuk neraka.” (QS Shad: 27)
.
Kejadian seekor nyamuk sekalipun ternyata begitu penting pada pandangan Allah SWT, sehingga disebutkan di dalam Al-Quran. FirmanNya: "Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka memiliki ilmu sehingga mereka tahu bahwa itu adalah al-haq dari Rabb mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?". Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan oleh Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberinya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.” (QS Ali Imran:26)
.
Tetapi kenapa manusia sentiasa kebingungan mencari dan mengenalpasti fungsinya? Kenapa kita senantiasa tertanya-tanya tentang tujuan kewujudan kita di muka bumi ini? Kenapa diri manusia dipenuhi sikap-sikap ketidaktahuan akan fungsinya? Apakah mungkin kita hidup tanpa tujuan yang jelas, kukuh dan konkrit? Tidak mungkin! Allah SWT menjadikan seekor nyamuk pun ada manfaat dan fungsinya. Bahkan sejak lahir mereka sudah tahu apa yang harus dibuat dan apa fungsi yang harus dijalankan. Kerana itu amat mustahil, bila susuk tubuh insan yang Allah khabarkan diciptakan dalam 'ahsani taqwim' (pembentukan yg paling sempurna), diciptakan sia-sia dan tanpa tujuan. Apa mungkin seorang manusia lahir hanya untuk membesar dewasa, berkeluarga, dan mati?
.
Sesungguhnya pada manusia itulah tugas yang amat berat dipikul tambahan pula ia sebagai wakil Allah SWT di atas muka bumi ini, untuk mentadbir alam. Ingat, bahawasanya langit, bumi, gunung-ganang dan bukit-bukau semuanya tidak sanggup manyandang amanah Allah, kecuali manusia yang menyatakan kesanggupannya. Justeru, manusia perlu berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab ini supaya tidak tergolong di dalam manusia yang berbuat kezaliman dalam kejahilan. Lebih baik diam dari berdusta, memfitnah, mengumpat atau berkata-kata tentang perkara-perkara yang kita tidak tahu.
.

Tiada ulasan: