Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


16 Januari 2009

SENYUMAN SEORANG SUAMI...

Senyuman adalah sedekah dan dengan senyuman ia akan mengembirakan teman kerana senyuman itu menandakan kasih. Semua orang selalunya ingin dikasihi. Adalah perkara yang amat memilukan dan menyedihkan jika seseorang itu merasakan dirinya tidak dikasihi oleh seseorang. Senyuman adalah gerak di bibir yang datangnya dari hati. Jika senyuman diberi dengan ikhlas ia akan mendatangkan kesan yang besar.
.
Apabila suami kembali ke rumah menemui isteri, berilah salam dan senyuman. Anggaplah isteri sebagai teman yang sudah lama tidak berjumpa. Dengan memberi senyuman ia akan mengembirakan hati isteri. Isteri di rumah sibuk menguruskan anak-anak, membasuh pinggan mangkuk dan kain baju. Temannya hanyalah kerja yang tidak mempunyai perasaan seperti insan dan tidak dapat menghargai letih dan penatnya. Kepenatan ini akan hilang jika bertemu kembali dengan suaminya dan suaminya pula mengukir senyuman sebagai tanda gembiranya terhadap isteri dan kerjanya. Walaupun kerja-kerja rumah tidak dapat dilaksanakan dengan baik, janganlah bermasam muka. Anggaplah kerja rumah itu kerja si suami dan isteri melakukannya hanyalah sebagai ihsannya.
.
Si suami janganlah kembali ke rumah dengan bermasam muka dan perasaan marah. Ukirlah senyuman walaupun dibuat secara paksa. Janganlah dibawa masalah di luar seperti masalah kerja, masalah rakan atau pejabat ke rumah. Janganlah lepaskan kemarahan itu kepada isteri atau anak-anak. Adalah menjadi satu kezaliman disebabkan kemarahan kita terhadap orang lain, isteri dan anak-anak yang lemah menjadi sasaran kemarahan kita.
.
Isteri adalah seorang wanita. Perwatakannya adalah lembut. Nabi SAW bersabda: "Yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya". (HR Baihaqi). Di antara 3 perkara yang Nabi SAW sukai ialah wanita. Maksudnya supaya wanita disayangi, dilayani dengan lembut kerana sesungguhnya wanita yang solehah itu adalah harta dunia yang paling baik. Oleh kerana wanita kelakuannya lembut, hatinya tidak akan dapat dipikat dengan kekerasan. Kelembutan wanita menyebabkan ia mudah tertawan gerak geri dan perkataan yang lembut. Kekerasan akan membuatkan wanita menjadi lebih keras, menimbulkan kebencian dihatinya dan melahirkan kederhakaan kepada suaminya.
.
Tarbiah untuk wanita terletak di tangan suami. Suamilah yang bertanggungjawab membentuk akhlak isteri. Sekiranya isteri mendapat tarbiah yang baik, dia akan membantu suaminya menuju ke syurga. Jika wanita bertabiat buruk, ia akan menjadi pembawa suaminya ke neraka. Kasih sayang terhadap isteri bukan bermakna membiarkan isterinya melakukan perkara yang tidak baik. Isteri perlu diberi nasihat. Apabila suami dapat menawan hati isteri, nasihat suami akan diterimanya. Jika kita berkeras dengannya, rasa benci akan datang dihatinya. Malah, nasihat yang baik sekalipun tidak akan dipedulikannya. Nabi SAW bersabda: "Wanita dicipta dari tulang rusuk dan yang paling bengkok di tulang rusuk ialah bahagian atasnya. Jika kamu cuba betulkan ia, nescaya akan patah dan jika kamu biarkan, maka berterusan ia dalam keadaan bengkok". (HR Bukhari dan Muslim)
.
Kekerasan tidak perlu dalam tarbiah. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang dan menasihati dengan cara yang lemah lembut dan berulang-ulang. Senyuman adalah amalan yang mahal. Ia adalan sedekah dan tidak memberatkan pemberinya. Suami tidak perlu berbelanja untuk melakukannya dan kesannya amat besar. Lemparkanlah senyuman setiap kali memandang isterimu terutama apabila kembali ke rumah. Walaupun kamu tidak mahu tersenyum disebabkan banyak masalah, paksalah diri untuk senyum. Berpura-pura senyum pada isteri walaupun hati tidak mahu adalah lebih baik daripada bermasam muka dan menunjukkan perasaan hati.
.
Seringkali suami melepaskan perasaan kepada isteri. Suami malu melepaskannya kepada orang lain kerana berpura-pura menjadi orang yang baik. Sekiranya kita boleh berpura-pura dengan orang lain untuk menunjukkan diri kita baik dan tidak mudah marah, kenapa kita tidak boleh berpura-pura kepada isteri, teman yang sentiasa bersama tatkala senang dan susah. Suami harus menyimpan masalah kepada diri sendiri (yang mengakibatkan timbul kemarahan dalam hati) dan tidak melepaskannya kepada orang lain apatah lagi kepada isteri. Ramai orang yang kelihatan begitu baik di luar tetapi menjadi pemarah ketika di rumah. Ini salah tempatnya.
.
Akibat keresahan hati, isteri menjadi mangsa. Isteri dimarahi dan dipukul kerana tersalah sedikit, akhirnya perhubungan menjadi renggang. Apabila hubungan menjadi renggang, anak-anak menjadi mangsa pertengkaran. Akibatnya, anak tidak akan faham apa itu erti kasih sayang. Anak-anak akan membesar dalam rumahtangga yang bergoncang. Bagaimana perasaan hati diluahkan? Menyimpan masalah di hati tanpa memberitahu kepada sesiapa boleh menyebabkan kekusutan fikiran dan akhirnya mengubah tingkah laku dan boleh menyebabkan penyakit.
.
Oleh yang demikian agama Islam mengajar kita agar menghadapi masalah kita dengan mendirikan solat dan selepas solat kita mengadu kepada Allah SWT. Allah SWT memerintahkan kita supaya apabila tersua dengan kesusahan, agar sabar dan solat. Solat di tengah malam adalah waktu yang amat sesuai untuk mengadu kepada Allah SWT. Apabila kita berbuat demikian, keresahan akan hilang, bantuan dan rahmat akan mulai datang. Apabila keresahan telah hilang, kita boleh kembali mengukir senyuman di siang hari. Inilah cara hidup orang yang bertaqwa. Senyumlah selalu dan berilah senyuman pada isterimu...
.

Tiada ulasan: