"Malu itu separuh dari iman", begitu sabda Rasulullah SAW. Malu yang dimaksudkan ialah malu kepada Allah SWT. Malu untuk melakukan maksiat dan malu meninggalkan taat. Jika malu itu 50% daripada IMAN, mana 50% lagi? Yang selebihnya ialah TAKWA. Malu dan takwa adalah gandingan sifat yang menjadikan seseorang mempunyai 100% keimanan.
.
Takwa bermaksud bukan saja takut kepada Allah SWT tetapi lebih daripada itu "buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah". Jika sekadar takut saja, tak jadi apa-apa. Misalnya takut gagal dalam peperiksaan tidak bererti jika tidak diikuti dengan rajin membaca buku dan mengulangi pelajaran. Takut kepada Allah SWT mestilah diikuti dengan melakukan ketaatan dan menjauhi larangan.
.
Ukurlah diri kita berapa peratuskah sifat MALU dan TAKWA yang ada pada diri kita. Itulah darjat keimanan kita. Bak kata orang periksalah diri kita sebelum kita diperiksa. Ulama pernah menyebutkan "bertafakkur satu saat (dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun". Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat memadai dengan bertafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan beribadat.
.
Proses musyahadah perlu dilakukan secara berterusan sehingga menjadi darah daging. Atau sehingga terasa benar di dalam diri kita tentang kebesaran Allah SWT dan merasakan bahawa tidak ada sesuatu yang Allah SWT jadikan secara sia-sia. Kesemuanya ada hikmah yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya. Musyahadah menjadi satu daripada beberapa jalan untuk mencapai iman.
.
Dengan iman ini, kita akan berasa lazat berzikir, mencari ilmu agama, melakukan ibadat fardhu, menambah dengan ibadat sunat serta berusaha mencari keredhaan Allah SWT. Sebaliknya kita benci melakukan kejahatan sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka. Barulah ketika itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang rapat dengan Allah SWT disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita.
.
Di samping melakukan proses musyahadah, kita perlu melakukan muraqabah yakni menghampirkan diri terhadap Allah dengan melakukan segala amal fardhu dan sunat. Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hablum minAllah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia). Dalam hubungan ini, Allah sering mengingatkan kita supaya berjalan di muka bumi Allah SWT dengan niat melihat kebesaran Allah SWT sambil memerhatikan balasan yang Allah SWT timpakan kepada umat-umat terdahulu yang telah menganiayai diri mereka sendiri.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan