Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah SWT menghendaki seorang Mukmin itu dicabut nyawanya, maka datanglah Malaikat Maut. Apabila Malaikat Maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SWT."
Setelah Malaikat Maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah SWT dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."
Sebaik saja Malaikat Maut mendapat perintah Allah SWT maka beliau pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluarlah penulisan ilmu. Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."
Oleh kerana Malaikat Maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya Malaikat Maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."
Apabila gagal juga, maka Malaikat Maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali Malaikat Maut cuba mencabut roh orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata maka: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."
Setelah gagal maka Malaikat Maut kembali kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah SWT, maka Malaikat Maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah SWT. Sebaik saja melihat Asma Allah SWT dan cintanya kepada Allah SWT maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
Sayyidina Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Sayyidina Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:
1. Roh para Nabi dan Utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para Ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para Syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para Mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."
Telah bersabda Rasullullah SAW: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya (iaitu) orang-orang yang mati syahid, orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan dan orang-orang yang berpuasa di hari Arafah."
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan