Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 April 2009

PENCINTA ALLAH S.W.T.


CINTA yang tidak pernah berubah hingga ke akhir hayat adalah cita-cita setiap pasangan yang berkasih. Setiap ujian diharungi dengan kesabaran. Begitu juga pembuktian cinta kepada Allah SWT yang menagih keteguhan iman dan pengorbanan hamba-hambaNya.

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam." Janji ini menjadi penawar di hati seorang hamba, redha menempuhi setiap ujian dalam kehidupan kerana kerinduan bertemu dengan Zat yang Maha Agung di akhirat kelak. Firman Allah SWT: "Katakanlah: Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai; kalau itu lebih kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberikan pimpinan kepada kaum yang jahat." (QS At-Taubah:24)

Cinta kepadaNya tidak pernah luntur dalam setiap keadaan; susah atau senang, sihat atau sakit; sentiasa setia dengan janji yang diikrarkan hingga kembali kepadaNya.

Maka marilah kita hayatilah doa berikut. Semoga kita semua dikurniakan cinta yang sejati kepada Allah SWT di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW bersabda: "Inilah antara doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud AS: "Ya Allah, sesungguhnya saya memohon cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan saya kepada cintaMu. Ya Allah, apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang saya cintai maka jadikanlah ia kekuatan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang saya cintai maka jadikanlah ia keredhaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai. Ya Allah, jadikanlah cintaMu sesuatu yang paling kucintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan. Ya Allah, jadikan saya mencintaiMu, mencintai malaikatMu, rasulMu dan hambaMu yang soleh. Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cintaMu dan jadikanlah saya bagiMu seperti apa yang Engkau cintai. Ya Allah, jadikanlah saya mencintaiMu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaanMu." (HR At-Tirmidzi dalam Jami' al-Sahih).
.

29 April 2009

HAJARUL ASWAD


Ketika Nabi Ibrahim AS bersama anaknya, Nabi Ismail AS membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim AS bersama Nabi Ismail AS bertungkus-lumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung.

Dalam sebuah kisah disebutkan bahawa apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim AS masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim AS lalu berkata kepada Nabi Ismail AS: "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail AS pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail AS sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril AS memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail AS dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim AS merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau lalu menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim AS bertanya: "Dari mana kamu dapat batu ini?" Nabi Ismail AS menjawab: "Batu ini ku terima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)." Nabi Ibrahim AS mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail AS.

Sehingga sekarang Hajarul Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa saja yang bertawaf di Kaabah disunatkan mencium Hajarul Aswad. Kaum muslimin sentiasa sahaja berebut-rebut ingin mencium Hajarul Aswad itu. Yang tidak mampu mendekatinya, memadailah dengan memberikan isyarat lambaian tangan saja.

Apabila manusia mencium batu itu, maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajarul Aswad itu putih bersih, tetapi akibat banyaknya dosa-dosa umat manusia, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'lam.
.
Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajarul Aswad itu merupakan tempat diperkenankan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajarul Aswad supaya tidak menyekutukan Allah SWT, sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah.

Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. apabila mencium batu itu (Hajarul Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."
.

27 April 2009

KESAKSIAN MATA DAN TELINGA


Pada hari akhirat, setiap anggota manusia akan menjadi saksi terhadap segala perbuatan di dunia. Tiada sesiapa pun dapat lari daripada dihisab atas perbuatan baik atau buruk masing-masing. Mata dan telinga adalah antara anggota paling berguna kepada manusia kerana dengannya manusia dapat memandang dan menikmati kurniaan Allah SWT. Mata pula adalah satu saksi yang penting.

Sebagai mensyukuri nikmat mata, kita mestilah memeliharanya daripada melihat sesuatu yang haram seperti perempuan yang bukan isteri atau muhrim. Bagi wanita pula matanya mesti dipelihara daripada melihat lelaki muda atau auratnya. Allah SWT berfirman: "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan kerana yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan.'' (QS An-Nur:3)

Sebagai umat, wajiblah kita mengikut perintahNya kerana jika ingkar pastinya seksaan menanti. Selain itu, telinga juga penting. Manusia perlu menjaganya daripada umpatan, adu-domba dan segala perbuatan tidak baik seperti pertelingkahan. Perkataan yang didengari mestilah menberi manfaat kerana apabila kita mendengar sesuatu yang buruk ia akan menjadi racun yang berkekalan dalam hati, lebih lama daripada kekalnya makanan dalam perut. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya pendengar, pelihat dan hati sekalian itu akan ditanya daripada pada hari kiamat.'' (QS Isra':37).

Allah berfirman: "Dan sesungguhnya kami jadikan isi neraka Jahanam kebanyakan untuk jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, malah lebih sesat lagi, mereka itu orang yang lalai.'' (QS Al-A'raf:179)
.

26 April 2009

ZIKRULLAH


Pengertian zikir adalah mengingat Allah atau menyebut Allah. Sekiranya kita sentiasa berzikir, sudah tentu kita selalu menyebut dan mengingati Allah.

Ketahuilah bahawa di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menganjurkan supaya kita sentiasa berzikir mengingati Allah SWT seperti tertera dalam surah Al-Baqarah ayat 152: "Maka berzikirlah kamu akan Aku supaya Aku menyebut akan kamu dan syukurilah olehmu akan Aku dan jangan kamu ingkari akan (nikmat Ku)"

Dalam surah Al-Anfal ayat 45: "Ucapkanlah olehmu akan Allah dengan sebutan yang banyak supaya kamu beroleh kemenangan" Juga dinyatakan dalam surah Ar-Ra'd ayat 28: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram."

Manakala Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak duduk satu jamaah mengucapkan zikrullah, melainkan (di tempat itu) sudah dikelilingi malaikat yang dipenuhi rahmat dan diturunkan kepada mereka sakinah atau ketenangan hati."

Perlu diketahui pula jika seseorang yang tidak pernah berfikir dan mengingati Allah, maka Allah SWT akan menurunkan syaitan sebagai teman dalam hidupnya. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-A'raf ayat 204: "Barang siapa yang berpaling akan zikir kepada Allah, maka kami turunkan kepadanya syaitan yang terus menerus menjadi kawan seiring baginya."

Dengan demikian betapa tinggi fadhilat daripada zikir itu, di samping mendapat pahala daripada Allah SWT. Bagi yang membaca, hatinya akan menjadi tenteram dan penuh sakinah dalam kehidupannya.
.

25 April 2009

NUZUL QURAN


PERISTIWA Nuzul al-Quran adalah antara peristiwa penting yang harus diingati dan direnungkan oleh setiap Muslim. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Bermula dengan peristiwa inilah, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah yang Maha Esa. Dalam erti kata lain, peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat. Allah SWT berfirman: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (QS Al-Anbiya:108)

Mafhum daripada ayat ini menjelaskan bahawa, melalui utusan Nabi Muhammad SAW yang diangkat oleh Allah SWT sebagai Rasul, Baginda menjadi rahmat bagi seluruh alam kerana membawa petunjuk (al-Quran) yang memandu manusia ke jalan keselamatan dan kesejahteraan. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran ketika menyebarkan dan menegakkan syiar Islam.

Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang suatu ketika dulu hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran. Peristiwa Nuzul al-Quran perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada tempat yang terletak di sebelah atas ke tempat di sebelah bawah. ‘Al-Quran’ pula bererti bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu, terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat dan sebagainya.

Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat. Ini adalah kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Firman Allah SWT: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (QS Al-Alaq:1~5)

Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran seharusnya dihayati oleh umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah Kalam Allah SWT. Bahkan, ia dilihat sebagai asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, satu-satunya agama yang diredhai pada sisi Allah SWT. Dengan berlakunya Nuzul al-Quran, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah SWT. Banyak keterangan dalam al-Quran dan hadis bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman ke arah mencapai darjat muttaqin, iaitu orang yang bertakwa. Firman Allah SWT: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa." (QS Al-Baqarah:2).

Al-Quran diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan semata-mata, tetapi apa yang lebih utama ialah menjadikannya sebagai panduan dan pedoman sepanjang hayat. Itu sebabnya al-Quran dikatakan sebagai iman bagi umat Islam. Al-Quran, di samping membawa maksud kitab bacaan, juga dikenali sebagai An-Nur, Al-Furqan, Al-Zikr dan sebagainya, secara tidak langsung menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. An-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Justeru, bagaimana seharusnya sikap kita agar al-Quran itu menjalankan berperanan sebagai cahaya yang menerangi hidup dan pembeza antara hak dan batil serta pemberi peringatan? Bolehkah al-Quran berperanan sebagai cahaya penerang dan pembimbing hidup jika kita tidak memahami isi kandungannya? Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah SWT untuk memperhambakan diri kepadaNya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan laranganNya, maka penghambaan kita kepada Allah SWT tidak akan sempurna tanpa memahami kehendakNya. Demikian juga perhambaan kepada Allah SWT tidak akan sempurna melainkan selepas difahami dan diamalkan kehendakNya kerana semua kehendak Allah SWT itu tercatat dalam al-Quran. Renung-renungkan...
.

24 April 2009

TUMPAHKANLAH AIRMATAMU...


Sabda Rasulullah SAW: “Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis.” (HR Bukhari dan Muslim)

Indahnya hidup dengan celupan iman. Saat itulah terasa bahawa dunia bukan segala-galanya. Ada yang jauh lebih besar dari apa yang ada di depan mata. Semuanya teramat kecil dibandingkan dengan balasan dan siksaan Allah SWT.

Dosa tak akan dipikul oleh orang lain
Siapa pun kita, janganlah sekali-kali berfikir bahawa dosa-dosa yang telah kita lakukan akan dipikul oleh orang lain. Siapa pun sama ada pemimpin, guru atau hartawan. Semua kebaikan dan keburukan akan kembali kepada pelakunya. Maha Benar Allah dengan firmanNya: "Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakanNya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.” (QS Al-An’am:164).

Lalu, pernahkah kita menghitung-hitung dosa yang telah kita lakukan. Berapa banyak dan besar dosa-dosa itu. Jangan-jangan, jumlahnya terlalu besar dibandingkan dengan nikmat Allah yang kita terima. Masihkah kita merasa aman dengan mutu diri seperti itu? Belumkah kita sedar tidak ada jaminan bahawa esok kita masih bernyawa atau masih mampu beramal?

Diri terasa amat hina di hadapan Yang Maha Agung
Di antara keindahan iman adalah anugerah pemahaman bahawa kita begitu hina di hadapan Allah SWT. Saat itulah seorang hamba menemui jati dirinya yang sebenar. Ia datang ke dunia ini tanpa membawa apa-apa dan akan kembali dengan hanya selembar kain putih penutup badan. Itu pun kerana jasa baik orang lain. Apa yang kita dapatkan pun tidak lebih dari anugerah Allah SWT semata-mata. Kita berilmu kerana ibubapa menyekolahkan kita. Seperti itulah sunnatullah yang menjadi kelaziman bagi setiap orang tua. Kekayaan yang kita peroleh mungkin hanya berasal dari warisan orang tua atau kerana berkah yang telah Allah kurniakan kepada kita. Nyatalah kita sebenarnya begitu faqir di hadapan Allah SWT. Firman Allah: “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.” (QS Faathir:15~17)

Syurga mungkin tak menerima amal yang sedikit
Mungkin kita, sebagai seorang Muslim, pernah berangan-angan bahawa sudah menjadi kemestian bahawa Allah SWT akan memasukkan kita ke dalam syurgaNya. Fikiran itu tercetus kerana merasa diri kita telah begitu banyak beramal. Siang malam, tak henti-hentinya kita menunaikan ibadah. Namun, jika dibandingkan dengan generasi sahabat Rasulullah SAW, kita akan melihat pemandangan lain. Para sahabat Rasulullah SAW sekalipun pun tidak pernah merasa aman, sentiasa bimbang kalau-kalau mereka akan dihumban ke neraka. Seperti itulah dasar pijakan mereka ketika ada arahan baru yang diperintahkan Rasulullah. Begitulah juga ketika turun perintah untuk berhijrah. Dalam benak masing-masing terbayang sanak keluarga yang akan ditinggalkan, harta yang pasti akan dirampas, namun dengan satu harapan - Allah SWT pasti akan memberikan balasan yang terbaik. Dan itu adalah pilihan yang tak boleh disia-siakan.
.
Begitu pun ketika secara tidak disengajakan, Allah SWT mempertemukan mereka dengan pasukan yang tiga kali lebih banyak lalu bersabung nyawa dalam perang Badar bagi memenangkan Islam. Tambahan pula, semua itu mereka tempuh demi meraih syurga. Begitulah Allah menggambarkan mereka melalui firmanNya: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (QS Al-Baqarah:214)

Azab Allah itu teramat pedih
Apa yang mampu kita bayangkan ketika semua manusia berkumpul dalam tempat luas yang tak seorang pun punya hak istimewa kecuali dengan izin Allah? Jangankan hak istimewa, pakaian pun tak ada. Yang jelas dalam benak manusia saat itu cuma pada dua pilihan: Syurga atau Neraka. Di dua tempat itulah penghujung nasib seorang manusia. Firman Allah SWT: “Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (QS 'Abasa:34-37)

Mulailah bayang-bayang pedihnya siksaan neraka tergambar jelas. Kematian di dunia cuma sekali. Sementara di neraka, orang tidak pernah mati. Selamanya merasakan pedihnya siksaan, selamanya dan selamanya dan selamanya... Rasulullah SAW pernah menggambarkan satu contoh siksaan yang paling ringan: “Sesungguhnya seringan-ringan siksa penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang di bawah kedua tumitnya diletakkan dua bara api yang dapat mendidihkan otaknya. Sedangkan ia berpendapat bahawa tidak ada seorang pun yang lebih berat siksaannya daripada itu, padahal itu adalah siksaan yang paling ringan bagi penghuni neraka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Belumkah tiba saatnya kita menangis di hadapan Allah SWT. Atau jangan-jangan, hati kita sudah teramat keras atau sudah tertutup untuk tersentuh dengan kekuasaan Allah SWT yang jelas di hadapan kita. Imam Ghazali pernah memberi nasihat, "jika seorang hamba Allah tidak lagi mudah menangis kerana takut dengan kekuasaan Allah, justeru menangislah kerana ketidakmampuan itu."
.

23 April 2009

SAIDINA ALI K.W.J. : SIFAT-SIFAT MUKMININ


Daripada Abban bin Abi ‘Iyasy daripada Sulaim berkata: Telah berdirilah seorang lelaki daripada sahabat Amir al-Mukminin a.s. bernama Hammam, seorang ahli ibadah yang gigih lalu berkata: "Beritahukan kepadaku sifat-sifat Mukminin seolah-olah aku sedang melihat kepada mereka." Maka Amir al-Mukminin a.s. (Saidina Ali bin Abi Talib kwj) berasa berat untuk memberikan jawapan kepadanya.

Kemudian beliau berkata: "Wahai Hammam! Bertakwalah kepada Allah dan berbuat baiklah, kerana Allah bersama orang yang bertakwa dan orang yang berbuat baik." Maka Hammam berkata kepadanya: "Aku bertanyakan anda dengan Yang telah memuliakan anda, memberi keistimewaan kepada anda, mencintai anda dan memberi kelebihan kepada anda tentang sifat-sifat Mukminin."

Maka Amir al-Mukminin a.s. berdiri di atas dua kakinya. Beliau memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya serta bersalawat ke atas Nabi, dan Ahl Baitnya a.s. Kemudian beliau berkata: "Amma ba‘d. Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk dan ketika Dia menciptakannya, ia kaya dengan ketaatan mereka serta aman daripada kemaksiatan mereka, kerana kemaksiatan mereka tidak akan memudaratkan-Nya, begitu juga ketaatan mereka tidak akan memanfaatkan-Nya. Dia telah membahagi-bahagikan di kalangan mereka kehidupan mereka dan meletakkan kedudukan mereka di Dunia. Dia menurunkan Adam ke Dunia adalah sebagai balasan kepada apa yang telah dilakukannya. Allah telah melarangnya, tetapi beliau menyalahinya. Dia telah memerintahkannya, tetapi beliau menderhakai-Nya."

"Lantaran itu, Mukminun di Dunia adalah Ahli Kelebihan. Mantiq mereka adalah kebenaran. Pakaian mereka adalah kesederhanaan. Perjalanan mereka adalah tawadhu‘. Mereka tunduk kepada Allah dengan ketaatan. Mereka pergi di dalam keadaan merendahkan pandangan mereka daripada apa yang diharamkan oleh Allah ke atas mereka dan berdiri di dalam keadaan pendengaran mereka tertumpu kepada ilmu. Jiwa mereka di dalam kesusahan seperti jiwa mereka yang di dalam kesenangan meridhai Qadha’ Allah."

"Sekiranya tidak ada ajal yang telah ditulis oleh Allah untuk mereka, nescaya roh-roh mereka tidak akan tinggal pada jasad-jasad mereka walaupun sekejap, kerana syauq kepada pahala, dan takutkan azab. Betapa besarnya Pencipta pada diri mereka dan betapa kecilnya selain daripada-Nya pada pandangan mereka. Mereka dan Syurga seperti mereka telah melihatnya. Maka mereka dikurniakan nikmat. Mereka dan Neraka sepertilah mereka telah melihatnya. Maka mereka padanya diazab."

"Hati mereka bersedih. Batasan mereka adalah dijamin. Badan mereka adalah kurus. Keperluan mereka adalah sedikit. Diri mereka adalah jujur. Pertolongan mereka pada Islam adalah besar. Mereka bersabar pada hari-hari yang pendek, kemudian mereka diikuti kerehatan yang berpanjangan. Satu perniagaan yang menguntungkan dan dipermudahkannya untuk mereka oleh Tuhan Yang Maha Mulia. Dunia menghendaki mereka, tetapi mereka tidak menghendakinya. Ia menuntut mereka, tetapi mereka menolaknya."

"Adapun pada waktu malam, mereka membaca al-Qur’an dan bersedih dengannya. Mereka merujuk kepadanya untuk mengubati penyakit mereka. Tangisan dan kesedihan mereka begitu mendalam ke atas dosa-dosa yang dilakukan. Apabila mereka bertemu dengan ayat tasywiq (memberangsangkan), mereka cenderung kepadanya kerana tamakkannya. Air mata mereka berlinang di atas pipi mereka sambil mengharapkan Allah melepaskan mereka daripada Neraka. Apabila mereka bertemu dengan ayat takhwif (menakutkan), hati dan mata mereka tertumpu kepadanya. Kulit mereka menggeletar dan hati mereka menjadi lemah. Mereka menyangka suara Neraka di telinga mereka. Adapun mereka pada siang hari, adalah lemah lembut dan ulama baik yang bertakwa, seakan-akan dikuasai ketakutan."

"Orang yang melihat menyangka bahawa mereka sakit, tetapi mereka bukanlah sakit. Malah mereka dicampur-aduk dengan perkara yang besar. Apabila mereka menyebut kebesaran Allah, kekuasaanNya, mengingati kematian dan azab Hari Kiamat, hati mereka menjadi kecut dan akal mereka menjadi lemah. Dan apabila mereka sembuh daripadanya, mereka bersegera kepada Allah dengan amalan yang baik. Mereka tidak meridhai Allah dengan sedikit. Dan mereka tidak membesar-besarkan apa yang mereka lakukan kepadaNya. Mereka mengambil berat pada diri mereka dan daripada amalan yang dilakukan mereka mengharapkan pahala."

"Jika seseorang daripada mereka dipuji, dia menjadi takut terhadap apa yang mereka perkatakan kepadanya, lalu berkata: "Aku lebih mengetahui tentang diriku daripada orang lain, dan Tuhanku lebih mengetahui tentangku selain daripadaku. Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau mengambilku dengan apa yang mereka perkatakan. Jadilah aku kebaikan ke atas apa yang mereka sangkakan. Ampunilah aku di atas apa yang mereka tidak mengetahuinya, kerana Engkau mengetahui perkara yang ghaib dan penutup segala keaiban."

"Anda boleh melihat tanda mereka; pada kekuatan beragama, keimanan pada keyakinan, cintakan ilmu, pandai bersahabat, khusyuk di dalam ibadat, menanggung penderitaan, kesabaran dalam kesusahan, memberi apa yang hak, mencari rezeki yang halal, cergas di dalam petunjuk, menjauhi ketamakan, meneruskan sesuatu di dalam istiqamah, teguh melawan syahwat, tidak terpedaya akan pujian orang yang jahil. Tidak menangguhkan amalan untuk kebaikan dirinya. Matlamatnya adalah kesyukuran, sibuk dengan zikir, bermalam dengan penuh kewaspadaan, dan bergembira pada waktu pagi. Berwaspada pada tempatnya. Bergembira apabila mereka mendapat kelebihan dan rahmat sekalipun dirinya sukar menerimanya."

"Mereka mencampurkan sifat lemah-lembut dengan ilmu, dan ilmu dengan akal, anda melihatnya jauh tetapi cita-citanya dekat. Sentiasa meramalkan ajalnya. Hatinya khusyuk, memadai apa yang ada. Kuat mempertahankan agamanya, mati syahwatnya, menahan kemarahannya. Akhlaknya bersih, jirannya berasa aman dengannya, berpuas hati apa yang ditakdirkan terhadapnya. Kesabarannya kukuh, urusannya cekap, setia kepada janjinya, dan tidak menyembunyikan penyaksian musuh. Tidak melakukan sesuatu dengan riak, dan tidak meninggalkan sesuatu kerana malu. Kebaikan daripadanya adalah yang diharapkan dan kejahatan daripadanya adalah dijamin."

"Mereka memaafkan orang yang telah menzaliminya. Mereka memberi kepada orang yang menegahnya. Mereka menghubungi orang yang memutuskan silaturahim dengannya. Mereka tidak mempercepatkan apa yang disyakinya. Percakapannya lembut dan benar. Perbuatannya adalah baik, menghadapi kebaikan dan membelakangi kejahatan. Mereka adalah tenang di dalam gegaran, sabar di dalam menghadapi perkara yang dibencikannya. Bersyukur ketika senang. Tidak takut orang memarahinya. Tidak berasa bersalah apa yang mereka kasihi. Tidak mendakwa bukan haknya. Begitu juga dia tidak mengingkari haknya ke atasnya."

"Mengakui kebenaran sebelum dipersaksikan ke atasnya. Tidak menghilangkan apa yang dijaganya. Tidak bermegah dengan gelaran. Tidak bersaing dengan sesiapapun. Tidak dikuasai oleh hasad, tidak memudaratkan jiran, dan tidak bergembira dengan musibah yang menimpa orang lain. Menunaikan amanah, bersegera kepada solat, lambat kepada kemungkaran. Menyuruh melakukan kebaikan, melarang kemungkaran. Tidak memasuki sesuatu perkara dengan kejahilan. Tidak keluar daripada kebenaran dengan kelemahan. Jika mereka diam, diamnya berfaedah. Dan jika mereka bercakap, mereka tidak akan bercakap perkara yang salah. Jika mereka ketawa, mereka tidak meninggikan suaranya."

"Memadai apa yang ditakdirkan untuknya. Tidak menimbulkan kemarahan dan tidak dikuasai oleh hawa nafsunya. Tidak kedekut dan tidak pula tamak kepada bukan haknya. Bergaul dengan orang ramai untuk mengetahui dan diam untuk selamat. Bertanya supaya mereka memahaminya. Berniaga untuk mendapat ganjaran. Mereka tidak diam untuk kebaikan bagi meninggikan diri. Tidak bercakap untuk memaksa orang lain. Dirinya di dalam kepenatan sedangkan orang ramai di dalam kerehatan."

"Mereka memenatkan diri untuk akhiratnya dan merehatkan orang ramai daripada dirinya. Jika diserang, mereka bersabar sehingga Allah memberi kemenangan untuknya selepasnya. Sesiapa yang menjauhinya, mereka memaafkannya. Sesiapa yang mendekatinya, mereka berlembut. Jika mereka berjauhan, bukanlah kerana meninggikan diri. Dekatnya bukanlah suatu tipu-daya. Malah kerana mengikuti orang yang terdahulu daripada ahli kebaikan. Dan mereka adalah imam bagi ahli kebaikan dan di belakang mereka."

Beliau berkata: "Hammam telah melaung, kemudian tidak sedarkan diri." Maka Amir al-Mukminin a.s. berkata: "Demi Tuhan! Aku telah menduga kekhuatiranku terhadapnya," dan beliau berkata: "Begitulah kesan nasihat yang tepat kepada ahlinya." Ada orang berkata kepadanya: "Wahai Amir al-Mukminin! Apa gerangan anda wahai Amir al-Mukminin!" Beliau berkata: "Setiap ajal tidak akan melepasinya. Dan setiap sebab tidak akan melewatinya. Nanti! Janganlah anda melepasinya. Sesungguhnya Syaitan telah menghembuskan nafasnya di atas lidah anda." Kemudian Hammam telah mengangkat kepalanya, kemudian terjatuh, lalu meninggal dunia.
.

21 April 2009

RAHSIA DI SEBALIK SOLAT


Solat boleh dilakukan oleh semua orang. Amalan bersolat boleh memberikan kita manfaat senaman minda dan senaman jasmani selain daripada memberikan kita ketenangan. Pergerakan solat yang dilakukan berulangkali setiap hari mampu mengekalkan kesihatan kepada tubuh dan menghindar segala penyakit jasmani seperti lemah jantung, darah tinggi, sakit sendi, sakit tulang, sakit mata dan berbagai lagi penyakit fizikal yang lain. Berikut adalah di antara manfaat bersolat mengikut pergerakan solat:

Posisi Pertama - Berdiri Lurus Dan Kedua-dua Tangan Diangkat Ke Atas
Faedah: Badan rasa mudah menanggung berat badan kerana beratnya terletak sama rata kepada dua kaki. Belakang lurus membuatkan badan tidak bongkok. Fikiran dapat dikawal dan ditumpukan. Pandangan mata ke tempat sujud. Otot-otot atas dan bawah bahagian belakang terasa tenang dan rehat. Pusat otak yang atas dan bawah bersatu.

Posisi Kedua - Berdiri Betul Serta Membaca Al-Fatihah Dan Surah
Faedah: Menimbulkan konsentrasi minda. Merehatkan kaki serta bahagian belakang, menimbulkan rasa rendah diri, khusyuk dan tawadhuk. Dalam bacaan, hampir semua bunyi dalam bahasa Arab dituturkan, menggerakkan dan menyelerakkan semua getaran dari sebutan 99 nama Allah dalam keadaan yang terkawal dan sempurna ke seluruh badan, fikiran dan jiwa. Getaran vokal panjang, a, i, u, merangsangkan hati, kelenjar gondo (thyroid), kelenjar ‘pineal’, ‘pitunitary’, kelenjar adrenal, dan paru-paru membersih dan mempertingkatkan perjalanan semua anggota tubuh tersebut.

Posisi Ketiga - Rukuk
Faedah: Merenggangkan otot-otot bahagian bawah belakang, paha dan betis. Darah dipam ke bahagian atas. Melembutkan otot-otot perut dan buah pinggang. Lama-kelamaan gaya ini akan mempertingkatkan lagi peribadi, menimbulkan kebaikan hati dan mengharmonikan batin.

Posisi Keempat - Iktidal - Berdiri Lurus Selepas Rukuk
Faedah: Darah yang baru bergerak masuk ke dalam semasa gaya rukuk kembali ke keadaan asalnya dengan membawa bahan tidak berguna iaitu sisa-sisa tubuh. Badan mendapat kerehatan semula dan melepaskan ketegangan.

Posisi Kelima - Sujud
Faedah: Lutut berbentuk sudut tepat. Membangunkan otot perut dan mengelakkan perut jadi buncit. Menambah aliran darah ke bahagian atas badan, khususnya bahagian kepala (termasuk mata, telinga dan hidung) dan paru-paru. 'Mental toxin' minda dibersihkan oleh darah. Menyesuaikan dan mewajarkan kedudukan janin wanita yang hamil. Memperbetulkan kedudukan alat peranakan wanita. Mengurangkan tekanan darah tinggi, menambahkan keanjalan sendi-sendi. Menghapuskan egoisme dan keangkuhan. Meningkatkan kesabaran dan tawakal kepada Allah. Meninggikan maqam roh dan menimbulkan tenaga jiwa yang tinggi ke seluruh badan. Kedudukan sujud ini adalah pati ibadat solat.

Posisi Keenam - Duduk Di Antara Dua Sujud
Faedah: Tumit kaki kanan melentur serta berat kaki dan sebahagian badan terletak diatasnya. Posisi Ini membantu mengeluarkan keracunan (toxin) dari hati jasmani dan menggerakkan tindakan otot pada usus besar. Wanita membiarkan kedua kaki mereka bertapak tegak ke atas, di bawah badan mereka. Posisi tubuh badan memberikan kerehatan yang selesa, dan gerakan ini membantu penghadaman dengan menekan kandungan-kandungan dalam perut ke bawah.

Posisi Ketujuh - Sujud Kedua
Faedah: Membersihkan pernafasan, peredaran darah dan nafas serta sistem urat saraf. Memberi keringanan pada badan dan ke bahagian emosi. Pengoksidanan seluruh badan lebih sempurna. Sistem urat saraf menjadi lebih seimbang.

Posisi Kelapan - Bangun Semula Dari Sujud
Faedah: Darah kembali peredarannya ke tubuh bahagian atas. Posisi Ini membantu mengeluarkan keracunan (toxin) dari hati jasmani dan menggerakkan tindakan otot pada usus besar posisi tubuh badan memberikan kerehatan yang selesa, dan gerakan ini membantu penghadaman dengan menekan kandungan-kandungan dalam perut ke bawah.

Pendapat Doktor Perubatan
Doktor perubatan telah menerangkan manfaat posisi bersolat sebagai berikut :

1.Sujud fizikal menambah kekuatan aliran darah ke otak dan menggelakkan penyakit pening kepala, migrain dan menajamkan akal. Juga melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.
2.Memudahkan wanita di dalam proses bersalin kelak
3.Merangsang payudara untuk menghasilkan susu untuk bayi
4.Mengurangkan kegemukan (obesity)
5.Melegakan paru paru dan ketegangan saraf
6.Menggelakkan pendarahan otak
7.Melegakan sakit hernia
8.Membetulkan kedudukan buah pinggang
9.Melegakan sakit senggugut wanita dan berbagai lagi manfaat kesihatan lain.

Wallahua'lam.

(Sumber: Internet)
.

20 April 2009

JANGAN KATAKAN KAMU BERIMAN SEBELUM DIUJI...


DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : "Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya."

Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan malaikatNya yang tidak pernah menderhaka dan tetap melaksanakan apa yang Allah SWT perintahkan kepada mereka untuk melakukan pelbagai ujian dan dugaan terhadap hamba-hambaNya. Dengan dugaan dan ujian ini, diharapkan akan terkeluarlah suara hamba itu. Namun begitu, sekiranya tidak terkeluar suara hamba itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sesuatu yang tersembunyi dalam hati hambaNya. Sesungguhnya kehidupan ini tidak sunyi daripada kesenangan dan kesusahan, kesukaan dan kedukaan yang silih berganti. Oleh itu, barang sesiapa yang beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan, kemewahan semata-mata atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya, itu adalah salah.

Melalui hadis di atas, Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah sunnatullah. Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan dugaan daripada Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannya. Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan. Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka perlulah dinilai ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana mereka telah mengaku diri beriman, tentulah Allah SWT akan menguji sejauh mana keimanan mereka terhadapNya. Dalam hal ini, Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah hanya sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan. Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: "Kami telah beriman..." Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak terhadap hati manusia.

Dalam ayat lain, Allah SWT menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan dugaan. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya." (QS Al-Kahfi:7-8). Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan Allah SWT mendatangkan pelbagai ujian ke atas hambaNya adalah untuk menilai siapakah di antara hamba-hambaNya yang terbaik. Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah. Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada kerana ujian dan dugaan akan datang kepada mereka dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan olehNya bermaksud: "Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35).

Sebenarnya ujian Allah SWT ke atas hambaNya dengan nikmat harta kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian dengan bencana, seksaan dan kesusahan. Ini kerana berapa ramaikah orang yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan kecelakaan kerana gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat sewajarnya. Kekayaan yang dimiliki akan diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan."

Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan, hinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan memiliki segala-galanya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali." (QS Al-Alaq:6-8) Ayat ini menegur sikap manusia yang angkuh dan sombong yang menganggap mereka memiliki segala-galanya dan boleh melakukan apa saja selepas mendapat kekuasaan dan pangkat dalam masyarakat. Pada hal, apa yang dimiliki hanya sedikit daripada kurniaan Allah SWT kepada para hambaNya. Rasulullah SAW bimbang kepada umatnya yang diulit kemewahan yang melupakan Allah. Ini kerana kehancuran umat terdahulu adalah kerana kemewahan. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu." (HR Bukhari)

Ujian berat bagi kaum lelaki ialah ujian terhadap wanita. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: "Sepeninggalanku tiadalah yang ujian yang lebih berbahaya kepada kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita." (HR Bukhari) Ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir pula ialah mengenai akidah dan agama. Ini kerana, ramai orang yang mengaku dirinya Muslim, beriman tetapi setelah diuji Allah akan iman dan agamanya dengan pelbagai cubaan, ternyata ramai antara mereka yang lemah dan tergelincir daripada landasan yang benar. Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan antara manusia ada yang berkata: "Kami beriman kepada Allah." Tetapi apabila mendapat gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang pertolongan daripada Allah, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami berserta dengan kamu (kaum mukmin)." Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beriman dan benar-benar mengetahui orang yang munafik." (QS Al-Ankabut:10-11).

Oleh itu, sekiranya diuji Allah, hendaklah kita bersabar kerana dengan bersabar kita akan mendapat ganjarannya iaitu dihapuskan dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik lelaki atau wanita yang mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa." (HR At-Tirmidzi)

Daripada huraian atas dapat disimpulkan, ujian yang Allah SWT turunkan ke atas hambaNya mempunyai pelbagai bentuk. Ada ujian yang menimpa tubuh, anak, harta kekayaan, pengaruh, kekuasaan, pangkat, akidah dan sebagainya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Tujuan Allah memberi ujian itu untuk melihat siapakah orang yang benar-benar beriman denganNya, untuk menghapuskan dosa hambaNya serta menguji kesabaran hambaNya supaya benar-benar menjadi seorang Mukmin berkualiti.
.

19 April 2009

KISAH HASAN AL-BASRI DAN WANITA CANTIK


HASAN AL-BASRI pada zaman mudanya, kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian yang mahal. Beliau sering berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang kerana keindahan dan ramainya penduduk tinggal di kota itu.

Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau melihat seorang wanita cantik. Melihat wanita cantik itu, Hasan lalu berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau tidak malu?" Jawab Hasan: "Malu pada siapa?" Wanita itu berkata: "Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati."

Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya. Akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu. Wanita itu berkata lagi kepadanya: "Mengapa engkau mengikuti aku?" Jawab Hasan: "Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu itu." Wanita itu berkata: "Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang engkau kehendaki." Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.

Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan wanita itu kepadanya membawa bekas bertutup sehelai sapu tangan. Ketika Hasan membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata wanita itu ada di dalamnya. Melihat hal sedemikian, maka pelayan tersebut berkata: "Sungguh tuan puteri berkata: "Aku tidak ingin mata yang memuatkan fitnah dan mempesonakan orang." Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: "Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu." Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman.

Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta maaf atas segala kesalahannya. Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisan wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku. Dikatakan bahawa pemilik rumah itu telah meninggal dunia. Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari. Pada malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam syurga. Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya: "Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku." Jawab wanita itu: "Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau."

Hasan berkata: "Berikanlah kepadaku akan nasihatmu." "Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepadaNya," kata wanita berkenaan. Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan melaksanakan nasihat tersebut sehingga dia menjadi seorang Sufi yang masyhur di kalangan masyarakat dengan sifat zuhud dan taatnya kepada Allah SWT. Akhirnya, dia pun memperoleh darjat yang tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah SWT.
.

17 April 2009

25 PESANAN LUQMANUL HAKIM


01 - Hai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
.
02 - Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya utk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.
.
03 - Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadhuk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
.
04 - Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.
.
05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
.
06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut (khauf), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
.
07 - Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
.
08 - Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
.
09 - Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimu lah saja yang layak menjadi utusan.
.
10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
.
11 - Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
.
12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yg terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
.
13 - Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
.
14 - Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
.
15 - Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
.
16 - Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.
.
17 - Selalulah baik tuturkata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
.
18 - Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
.
19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yg tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
.
20 - Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
.
21 - Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
.
22 - Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.
.
23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yg mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.
.
24 - Hai anakku, bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
.
25 - Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
.

SEBAB2 KESUSAHAN...


Terdapat beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan kesusahan atau secara lebih khusus sebagai penyebab ditimpa kesusahan dan penderitaan yang mana pada kebiasaannya kita mengambil ringan tentang perkara tersebut. Dalam kitab 'Al-Barakah fi Fadhl lis Sa'yi Wal Harakah' yang disusun oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Habsyi, telah diterangkan perkara yang mempunyai hubung kait dengan kesusahan seseorang:

1. Tidak sembahyang atau solat.

2. Tidak membaca 'Bismillah' ketika hendak makan.

3. Makan atas pinggan yang terbalik.

4. Memakai kasut atau sandal memulakan sebelah kiri.

5. Menganggap ringan apa2 yang terjatuh dalam hidangan makanan.

6. Berwuduk di tempat buang air besar atau air kecil.

7. Suka bersandar pada pintu rumah.

8. Suka duduk di atas tangga.

9. Membiasakan diri mencuci tangan di dalam pinggan selepas makan.

10. Membasuh tangan dengan tanah atau bekas tepung.

11. Tidak membersihkan rumah.

12. Membuang sampah atau menyapu dengan kain.

13. Suka membersihkan rumah pada waktu malam.

14. Suka tidur di atas muka.

15. Membakar kulit bawang.

16. Menjahit baju yang sedang dipakai.

17. Mengelap muka dengan baju.

18. Berdiri sambil bercekak pinggang.

19. Tidur tidak memakai baju.

20. Makan sebelum mandi hadas.

21. Tergesa-gesa keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh.

22. Pergi ke pasar sebelum matahari terbit.

23. Lambat pulang dari masjid.

24. Mendoakan perkara yang tidak baik terhadap ibubapa dan anak-anak.

25. Kebiasaan tidak menutup makan yang dihidangkan.

26. Suka memadam pelita dengan nafas.

27. Membuang kutu kepala dalam keadaan hidup.

28. Membasuh kaki dengan tangan kanan.

29. Membuang air kecil pada air yang mengalir.

30. Memakai seluar sambil berdiri.

31. Memakai serban sambil duduk.

32. Mandi junub di tempat buang air atau tempat najis.

33. Makan dengan menggunakan dua jari.

34. Berjalan di antara kambing.

35. Berjalan di antara dua perempuan.

36. Suka mempermainkan janggut.

37. Suka meletakkan jari jemari tangan pada bahagian lutut.

38. Meletakkan tapak tangan pada hidung.

39. Suka menggigit kuku dengan mulut.

40. Mendedahkan aurat di bawah sinaran matahari dan bulan.

41. Mengadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil.

42. Menguap ketika solat.

43. Meludah di tempat buang air besar atau air kecil.

Wallahua'lam.
.

16 April 2009

MUHASABAH DIRIMU...



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika engkau mahu menyebut cacat cela orang lain, maka lihatlah terlebih dulu cacat cela dirimu sendiri." (HR Ar-Rafi'i).

Setiap manusia ada titik-titik kelemahan dan cacat cela pada diri sendiri. Oleh itu, untuk menjadi seorang Muslim yang adil, maka tidak patutlah kita menyebarkan cacat cela dan kelemahan orang lain tapi melupakan cacat cela dirinya sendiri.

Dalam sebarang pertelingkahan dan perbalahan, manusia selalu condong kepada memperbesar-besarkan cacat cela atau kesalahan orang lain dan meletakkan dirinya sebagai seorang yang bersih, baik, tidak salah atau jujur. Begitu juga dalam kebiasaan mengumpat dan mengeji, manusia selalu lupa kepada kecacatan diri sendiri tapi sebaliknya hanya melihat keburukan yang kemudian sengaja diperbesar-besarkan.

Rasulullah SAW memberi satu garis panduan yang adil dan jelas iaitu apabila kita ingin untuk mengkritik, mengumpat dan menyalahkan orang lain, maka hendaklah lebih dulu kita mengambil cermin untuk melihat cacat cela diri sendiri.

Menurut ahli jiwa, kecenderungan mengumpat dan menyebut cacat cela orang lain itu didorong oleh perasaan dendam kesumat, perasaan benci dan hasad dengki yang terpendam sekian lama di dalam jiwa seseorang. Perasaan itu mungkin tercetus oleh perasaan rendah diri.

Walau bagaimanapun, hadis ini tidak bertujuan melarang orang membuat kritikan membina dan jujur terhadap mana-mana tindakan yang dianggap menyinggung kepentingan umum kerana menjadi kewajipan setiap Muslim menghapus penyelewengan.

Apa yang dilarang di sini ialah kritikan dan serangan menyentuh kehormatan, maruah dan cacat cela sehingga boleh mendatangkan keburukan kepada orang itu seperti dibenci atau dipulaukan orang ramai.
.

RENUNGAN UNTUK MELAYU ISLAM...


Artikel berikut diambil dari forwarded email yang dihantar oleh seorang Mualaf. RENUNGKANLAH...:

Nampaknya semua netters Melayu melenting apabila melihat kaumnya dianaktirikan, menduduki kelas kedua dalam aras ekonomi. Pernahkah saudara seIslamku terfikir kenapa Tuhan menjadikan kamu begitu?

Saya adalah seorang Cina Muslim dan saya masuk Islam kerana saya mengenal Islam dahulu dan bukan saya kenal Melayu dahulu. Andai kata saya kenal Melayu dahulu, maka saya melihat Islam ini begitu buruk, ganas, mundur disebabkan oleh apa yang diperagakan oleh bangsa Melayu mengenai Islam.

Bangsa Melayu amat bertuah kerana dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak seperti saya dilahirkan sebagai seorang Buddha. Saya banyak mengenali Islam melalui pembacaan buku dan artikel mengenai Islam dan paling malangnya sepanjang pergaulan saya dengan orang Melayu, tidak pernah saya diajak atau diperkenalkan dengan Islam. Kebanyakan orang Melayu hanyut dipengaruhi budaya barat dan semakin jauh dengan Islam.

Saya teringat akan kata-kata Umar Al-Khattab selepas pembukaan Baitulmaqdis bahawa orang Islam mulia kerana Islam itu dan kita akan dihina jika kita menjauhkan diri dari Islam. Dan satu lagi hadir mengatakan bahawa "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi dari Islam".

Jadi saya melihat orang Melayu semakin hari semakin meninggalkan Islam. Semakin hanyut dengan pengaruh duniawi dan barat. Jangan salahkan bangsa lain jika kamu dihina. Salah diri kamu sendiri. "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu kaum sehingga kaum itu mengubah diri mereka sendiri".

Orang Melayu semakin leka dengan hiburan dan maksiat. Jika tengok gejala sosial sekarang, kaum mana yang merajai gejala sosial? Tidakkah kaum Melayu di tempat pertama. Jumlah penagihnya, perogolnya, buang anaknya, anak zinanya, perompaknya dan lain-lain lagi.

Jadi sedarlah orang Melayu. Kamu mundur kerana kamu semakin jauh dengan Islam. Tengoklah saudara kamu di Bosnia. Bagaimana mereka meninggalkan Islam sebagai cara hidup. Selepas itu Allah turunkan bala penghinaan ke atas mereka. Mereka disembelih, dibunuh, dirogol dan dihina, dihalau dari tanah air sendiri. Dan perkara tersebut mungkin akan berlaku di Malaysia kepada bangsa Melayu jika kamu terus jauh dari nur Islam.

Jadi, kemunduran orang Melayu adalah disebabkan oleh orang Melayu itu sendiri kerana meninggalkan Islam. Jika kamu orang Melayu semakin jauh dari Islam, tunggulah masanya kamu akan disembelih sepertimana yang berlaku kepada saudara kita di Bosnia.

Jadi orang Melayu nak maju, kembalilah kepada Islam. Jangan terpengaruh dengan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengatakan Islam membawa kemunduran. Orang Melayu mestilah bijak memilih pemimpin. Kerana pemimpin yang membawa kamu ke arah Islam atau menjauhi Islam. Jika pemimpin Melayu banyak membawa dan menawarkan maksiat, tunggulah hari kebinasaan kerana kamu sendiri yang memintanya ("U ask for it"). Kita tengok sekarang terlalu banyak program maksiat yang dibawa kepada bangsa Melayu melalui artis-artis seperti Sure Heboh, Akademi Fantasia dan lain-lain.

Jadi insaflah wahai orang Melayu. Kembalilah kepada Islam yang sebenarnya!!!!!!!!!!!!!!
.
KEMBALILAH KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH !!!
.

15 April 2009

UKHUWAH DALAM ISLAM


Agama Islam telah meletakkan dasar-dasar yang praktikal dan cara yang positif dalam usaha memperkukuhkan ikatan kasih sayang dan dalam memperdalamkan roh ukhuwah. Jika peraturan-peraturan ini dipegang teguh oleh umat Islam, maka persaudaraan (ukhuwah) itu akan semakin kukuh. Berikut adalah beberapa panduan bagi mencapai kekukuhan ukhuwah sesama Muslim:

>MEMBERITAHU KEPADA SAUDARA YANG DICINTAINYA - Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Apabila seseorang mencintai saudaranya, maka hendaknya ia memberitahu kepadanya." (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

>BERDOA UNTUK MEREKA - Menurut riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata; "..dan bagimu juga seperti itu."

>MEMBERI SENYUMAN KETIKA BERTEMU - Seperti yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Janganlah engkau remehkan kebaikan apa saja (yang datang dari saudaramu). Dan jika engkau berjumpa saudaramu, maka berikan dia senyuman kegembiraan." (HR Muslim)

>BERJABAT TANGAN BILA BERTEMU - Rasulullah SAW menganjurkan umatnya bila bertemu dengan saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud dari Barra r.a.: "Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah."

>MENGUNJUNGI SAUDARA - Dalam kitabnya 'Al-Muwathtaa', Imam Malik r.a. meriwayatkan: Bersabda Nabi Muhammad SAW bahawa Allah berfirman: "Pasti akan mendapat cintaku orang-orang yang mencintai kerana Aku, di mana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku."

>MENYAMPAIKAN UCAPAN SELAMAT - Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah menggembirakan pada hari kiamat." (HR Thabrani) Rasulullah SAW pernah mengajar hal tersebut seperti dicontohkan dalam hal-hal sebagai berikut:

a. Berkenaan dengan kelahiran anak: "Semoga anda diberkati atas pemberianNya itu dan bersyukur dengan Yang Memberi Rezeki mulai dari kelahiran dilimpahi dengan kebaikan hingga hari tuanya." (HR Hussein bin Ali r.a.)

b. Apabila kembali dari menunaikan haji: "Semoga Allah menerima hajimu, mengampuni dosamu, dan menggantikan nafkahmu." (HR Ibnu Sunni dari Ibnu Umar r.a.)

c. Apabila salah seorang saudara menikah : "Mudah-mudahan Allah mengekalkan keberkatan atasmu dan mengumpulkanmu berdua di dalam kebaikan." (HR Abu Daud dan Tirmidzi dari Abu Hurairah r.a.)

d. Ucapan Selamat Aidil Fitri: "Semoga Allah menerima amal kita, membalas kebaikan saudara dengan ucapan selamat: "Semoga Allah memberkatimu, keluargamu, hartamu, dan mudah-mudahan Allah membalas kebaikan kepadamu." (HR Nasa'i dari Ibnu Majah)

>MEMBERI HADIAH - Imam Dailami meriwayatkan dari Anas r.a. dengan marfu' bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati." Dalam hadisnya marfu', Imam Thabrani meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Biasakanlah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan saling mencintai."

>MEMPERHATIKAN KEPERLUAN SAUDARA - Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Siapa yang meringankan beban penderitaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam keadaan susah pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutupi aib seseorang muslim pasti Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya." (HR Muslim)

>MENEGAKKAN HAK-HAK PERSAUDARAAN - Untuk memperkukuhkan ukhuwah maka adalah wajib bagi kita untuk menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain, seperti menziarah saudaranya yang sakit, mendoakannya ketika bersin, dan menolong bagi yang teraniaya (dizalimi). Oleh kerana itu adalah tidak perlu ragu lagi bagi kita bila seorang muslim memberitahu saudaranya bahawa ia mencintainya, membiasakan mendoakan saudaranya dari jauh, bersikap senang apabila berjumpa dengan saudaranya, membiasakan berjabat tangan bila berjumpa, mengucapkan salam, memberi hadiah, saling menziarahi. Maksud dari semua itu adalah tidak lain untuk menunjukkan rasa cinta kasih sekali gus untuk mempereratkan ukhuwah ikhlas kerana Allah SWT.
.

IMAM ABU HANIFAH, PENGASAS MAZHAB HANAFI


Imam Abu Hanifah adalah pengasas Mazhab Hanafi. Beliau dilahirkan pada tahun 80 Hijrah (699 Masihi) di sebuah perkampungan bernama Anbar di sekitar bandar Kufah, Iraq. Beliau hidup di zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik Bin Marwan, Khalifah Bani Umaiyah yang kelima. Nama asalnya ialah Nu'man bin Sabit bin Zautha bin Mah.
.
Sejak kecil lagi beliau telah menunjukkan kecerdasan akal fikiran yang sungguh mengkagumkan. Nu'man kemudiannya dikenali dengan panggilan Abu Hanifah(Hanif erti cenderung/condong kepada agama) kerana ketekunannya beribadah. Imam Abu Hanifah dikatakan banyak belajar pelbagai ilmu feqah, tafsir, hadis dan tauhid dari para ulama yang alim. Di antara ulama yang menjadi gurunya selain daripada Imam Hammad ialah Umar bin Zar, Atha bin Abi Rabih, Imam Nafi bin Umar dan Muhammad Al-Baqir. Beliau juga berkesempatan menimba ilmu dari beberapa orang sahabat Nabi SAW yang masih hidup seperti Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abi Aufa dan Sahal bin Saad.
.
Imam Abu Hanifah juga dikenali dengan sifatnya yang sangat mengasihi guru-gurunya. Beliau berkata bahawa beliau tidak akan pernah melupakan mendoakan guru-guru dalam setiap doa yang dipohonkan kepada Allah SWT. Para ulama besar yang menjadi gurunya tidak kurang daripada 200 orang. Bila salah seorang daripada mereka itu meninggal dunia, Imam Abu Hanifah dilantik untuk mengantikannya. Banyak majlis ilmu yang dipimpin oleh beliau. Sejak itulah nama dan peranan beliau semakin dikenali sehinggalah beliau menjadi ulama besar. Beliau juga dihormati dan dikasihi oleh orang ramai kerana kewibawaannya, kewarakan dan ketaqwaannya.
.
Imam Abu Hanifah wafat dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah (767 Masihi) dalam usia 70 tahun iaitu semasa pemerintahan Khalifah Abu Jaafar Al Mansur, Khalifah Abbasiyah yang kedua. Jenazah ulama agung ini dimaqamkan dengan penuh penghormatan oleh puluhan ribu umat Islam di tanah perkuburan Al-Khaizaran di kota Baghdad.
.
Sufyan At-Tsauri pernah ditanya kenapa dia sangat menghormati dan memuliakan Imam Abu Hanifah. Beliau menjawab: "Orang itu sangat alim, dalam ilmu agama. Selain menghormati ilmu agamanya, saya menghormati umurnya. Selain menghormati umurnya, saya menghormati ilmu fiqihnya yang amat luas dan juga sifat warak dan taqwanya."
.

14 April 2009

GURAU SENDA MEMBUAHKAN KEMESRAAN...


Sudah menjadi sunnatullah, manusia suka bergurau senda dan bergelak ketawa. Umpamanya pemimpin bergurau senda dengan pengikutnya; guru bergurau senda dengan muridnya; ibubapa bergurau senda dengan anak-anaknya; suami bergurau dengan isterinya dan sebagainya. Malah Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Baginda juga biasa bergurau, ketawa dan bermain-main.

Nabi Muhammad SAW pernah berkata bahawa ada tiga jenis permainan yang boleh menjadi ibadah. Pertama ialah bermain dengan kanak-kanak dengan tujuan untuk mendatangkan kegembiraan dihatinya. Ini akan mendatangkan pahala dari Allah SWT. Kedua ialah bergurau dan bergelak ketawa dengan isteri, juga merupakan satu ibadah dan boleh mendatangkan pahala. Fitrah semula jadi seseorang yang telah mengahwini seorang perempuan, sudah tentu dia suka bergurau senda dengan isterinya. Dalam pada itu, Allah SWT beri pula pahala kerananya. Bukankah buat satu perkara dapat dua pahala? Ini menunjukkan betapa Allah SWT sangat menyukai para suami yang bergurau senda dengan isteri-isterinya dan Allah tidak suka melihat suami yang tidak bergurau senda dengan isterinya.

Dalam bersenda dan bergelak ketawa dengan isteri, suami hendaklah seimbangkan di antara berlemah-lembut dengan ketegasan. Ertinya, di samping suami merendahkan taraf sebagai seorang lelaki dengan isteri, janganlah sampai kehebatan seorang suami hilang sama sekali. Maknanya dalam bergurau itu, kehormatan seorang suami tetap utuh. Sebagai suami, hendaklah sentiasa mengawal syariat ketika bergurau. Jangan biarkan si isteri mengikut hawa nafsunya hingga rosak akhlaknya dan jangan beri peluang kemungkaran berlaku.

Sesiapa yang bergurau dengan isterinya berlawanan dengan kehendak syariat, lelaki itu dayus. Syurga tidak menerima lelaki dayus. Rasulullah SAW juga selalu bergurau dan bergelak ketawa dengan isterinya hinggakan beliau menurunkan taraf kerasulannya ketika bergurau senda itu kepada taraf kewanitaan. Ertinya, Rasulullah turut bergurau macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir-menyindir, cubit-mencubit dan sebagainya. Banyak sekali riwayat-riwayat yang menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW melayan isteri-isterinya dengan bergurau senda dengan mereka dan menurunkan taraf kehebatan Baginda.

Misalnya, suatu hari ada beberapa orang Habsyah sedang bermain-main pedang dan memukul-mukul gendang pada hari Asyura. Aisyah r.a. dapat mendengarnya dari rumah. Lalu Rasulullah SAW pun bertanya kepada Aisyah r.a.: "Kamu sukakan hendak melihat orang itu bermain?" Jawab Aisyah: "Ya". Rasulullah lalu pergi ke muka pintu rumahnya dan berdiri di tengah-tengah pintu itu sambil kedua-dua tangannya memegang pintu itu. Beliau pun memanggil orang-orang Habsyah itu supaya bermain di halaman rumahnya. Aisyah pun berdiri di belakang Rasulullah SAW sambil meletakkan dagunya di atas tangan Rasulullah. Setelah beberapa lama, Rasulullah pun berkata: "Sudah?" Aisyah tidak menjawab. Akhirnya setelah beberapa lama, Rasulullah pun berkata semula: "Sudahkah wahai Aisyah?" Barulah Aisyah menjawab: "Ya, Rasulullah." Maka Rasulullah pun menyuruh orang-orang itu pergi.

Pernah satu ketika Aisyah mengajak Rasulullah SAW berlari-lari. Berlumba larilah Rasulullah sedangkan ketika itu Aisyah beru berusia 16 tahun. Dalam hal ini, Saidina Umar r.a. juga pernah berkata: "Memang sepatutnya seorang laki-laki itu ketika bergaul dengan sesama lelaki, dia menunjukkan kelakiannya, tetapi apabila dia bergaul dengan isterinya, dia adalah seperti kanak-kanak." Ertinya sesama lelaki suami bolehlah menunjukkan sikap serius tetapi apabila dia bergaul dengan isterinya janganlah terlalu serius. Contohnya cakap dengan bahasa yang keras, suara tinggi, lidah sentiasa tajam serta bersikap kasar. Ini menyebabkan isteri merasa jemu.

Justeru itu, para suami hendaklah memperbanyakkan gurau senda dengan isteri untuk membuahkan kemesraan dan menambat ikatan kasih sayang. Sekali sekala eloklah ditunaikan keinginan isteri jika mereka hendak berhibur tanpa yang tidak bertentangan dengan syariat. Sebagaimana Rasulullah SAW berbuat terhadap isterinya kerana Rasulullah itu adalah sebagai ikutan kita. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Orang mukmin yang sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan yang paling lemah lembut terhadap isterinya." Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda kepada sahabatnya: "Kahwinlah kamu dengan anak dara, kamu boleh bergurau senda dengannya dan dia juga boleh bergurau-gurau dengan kamu."

Suatu hari, ada seorang sahabat berkahwin dengan seorang janda, lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya kenapa dia berkahwin dengan seorang janda sedangkan kalau dia berkahwin dengan anak dara, dia boleh bermanja-manja dengannya dan isterinya juga boleh bermanja-manja. Jawab sahabat itu, dia berkahwin dengan janda kerana dia ada banyak adik-adik kecil yang tidak ada siapa boleh menjaganya. Seorang janda ada pengalaman untuk menjaga anak-anak kecil dan oleh itu dia menjaga adik-adiknya kerana ibunya sudah meninggal. Rasulullah SAW pun diam.

Di dalam mengusahakan sebuah rumahtangga, kehebatan seorang suami terletak pada sejauh mana dia dapat mempertahankan syariat semasa dia bergurau senda dengan isterinya. Kalau suami terlalu taat kepada isterinya dan mengikut sahaja apa kata-kata isterinya walaupun yang berlawanan dengan syariat, dia akan Allah benamkan ke dalam neraka. Oleh yang demikian, suami hendaklah mengawasi supaya jangan sampai isterinya menguasai dia. Jangan jadi apa yang dikatakan orang, 'Queen Control'. Itu pun dalam hal-hal yang mengenai syariat sahaja. Rasulullah SAW mengingatkan yang bermaksud: "Tidak beroleh kemenangan dan kejayaan, laki-laki yang diperintah oleh kaum wanita." Dalam hal ini Saidina Umar r.a. ada berkata: "Hendaklah kamu, jangan mengikut kata-kata isteri."

Di sini tidaklah bermakna suami tidak boleh langsung mengikut kata-kata isteri. Kata-kata isteri yang tidak menyalahi syariat, boleh diikut. Cuma, kata-kata yang menyalahi syariat inilah yang dilarang oleh Allah SWT terhadap suami-suami. Umpamanya isteri ajak pergi tengok wayang atau melarang suami pergi mendalami Fardhu Ain, si suami ikut sahaja kata-kata isteri. Ini adalah dilarang. Tetapi, kalau isteri meminta suami sembahyang, meminta belajar Fardhu Ain dan seumpamanya, kata-kata begini boleh diikut. Firman Allah SWT di dalam Al Quran yang bermaksud: "Kamu boleh bermesyuarat dengan isteri kamu tetapi kata-kata yang menyalahi syariat, hendaklah kamu salahi (jangan ikut)."

Suami-suami tidak boleh mengikut kata-kata isteri kerana firman Allah SWT di dalam Al Quran, maksudnya: "Laki-laki adalah pemimpin bagi kaum perempuan." Kebiasaannya sebagai pemimpin, tidak akan mengikut telunjuk ataupun kata-kata pengikutnya. Yang dipimpin kenalah mengikut kata-kata yang memimpin. Suami boleh meminta pendapat pada isteri. Mana-mana yang sesuai dengan syariat bolehlah ikut dan mana-mana yang tidak sesuai, janganlah diikut. Rasulullah SAW pun pernah mengikut kata-kata isterinya yang bersesuaian dengan syariat.

Wallahua'lam.
.

13 April 2009

HARTA KEKAYAAN DALAM ISLAM


IMAN adalah aset rohani manusia yang tidak ternilai harganya. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah SWT ditentukan dengan kadar keimanan yang ada pada diri masing-masing. Sesiapa yang paling kuat dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia dalam pandangan Allah.

Keimanan yang tinggi itu mahal harganya. Ia tidak mungkin diperoleh begitu saja tanpa berhadapan dengan perjuangan yang sukar. Ini kerana Allah SWT akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan dugaan hidup untuk melihat dengan jelas hasil daripada ujian itu, mutu iman setiap manusia, apakah ia emas atau tembaga. Allah SWT berfirman: "Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (QS Al-Mulk:2).

Sesungguhnya dalam hidup ini setiap individu tidak dapat lari atau dipisahkan daripada pelbagai ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan kekayaan serta sentiasa berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan. Amat rugi anggapan individu yang berasakan hidup ini hanya kesenangan semata-mata, suka dan bahagia atau hanya menganggap hidup ini penuh duka. Pada hal, setiap bahagia dan sengsara, untung dan rugi, sihat dan sakit dan segala macam kejadian yang menimpa, adalah perjalanan hidup yang sudah menjadi ketetapan Tuhan. Begitu juga dengan keadaan manusia, ada yang miskin, kaya atau kurus dan gemuk. Segala-galanya adalah fitrah alam yang diciptakan Allah SWT sebagai renungan dan ujian kepada hambaNya yang sentiasa berfikir terhadap kebesaran Pencipta.

Berkenaan dengan iman, ujian ketika hidup ini adalah ukuran terhadap usaha dan iman seseorang sama ada berjaya atau tidak. Semuanya terletak pada sejauh mana kemampuannya menghadapi ujian itu. Proses ini juga berlaku kepada iman dan takwa seseorang kepada Allah SWT seperti mana diterangkan Allah melalui firmanNya: "Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan dan demi sesungguhnya kami menguji orang terdahulu daripada mereka maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui orang berdusta." (QS Al-Ankabut:1~3).

Ayat ini memberikan pengertian bermakna berkaitan hubungan manusia dengan hidup sebagai hubungan ujian dan dugaan. Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan yakni dengan berkata "Kami sudah beriman kepada Allah...", sedangkan mereka belum diuji oleh Allah SWT. Ini kerana, setiap ujian dan dugaan yang dihadapkan Allah SWT kepada hambanya adalah garis penentu untuk menentukan siapa yang benar-benar beriman dan siapa hanya membuat pengakuan lisan, sedangkan dari segi amalannya mereka berdusta kepada Allah.

Sesungguhnya, ujian kesusahan dan kesakitan adalah ujian paling ringan, kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji kesabaran dan kerelaan seseorang menerima qadar dan qada' Allah SWT. Apabila ternyata sabar, maka Allah SWT akan menetapkan pahala dan seterusnya menghapuskan sebahagian daripada dosa atau dipertingkatkan darjat hingga ujian itu menjadi nikmat dan kurniaan yang besar dari Allah SWT untuk hamba-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Setiap orang Islam yang ditimpa bencana sama ada yang terkena duri atau lebih berat daripada itu, maka itu adalah semata-mata ujian, kerananya Allah akan hapuskan perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosanya sebagaimana pokok kayu menggugurkan daunnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Manakala, ujian Allah melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula adalah lebih berat daripada ujian kesusahan dan kesakitan kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian itu. Apabila diberi kekayaan dan kedudukan oleh Allah SWT, mereka terpesong lalu gagal menjadikan diri mereka sebagai Muslim yang sempurna yang dijadikan khusus oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepadaNya. Bertepatan dengan perkara ini, Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang suatu zaman atas umatku, bahawa mereka sangat sukakan lima perkara dan melupakan lima perkara yang berlainan dengannya. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan, mereka sukakan rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan manusia dan melupakan Tuhan Penciptanya." (HR Bukhari).

Dalam hadis lain pula, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan." (HR At-Tirmidzi). Daripada hadis ini, jelas bahawa ujian terbesar kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah ujian berupa harta-benda dan kekayaan. Harta-benda dan kekayaan menyebabkan banyak di antara manusia tergelincir daripada prinsip dan akidah Islam sebenar serta tidak dapat mempertahankan diri sebagai Muslim bermaruah tinggi dan berakhlak mulia.
.