Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


11 April 2009

DI SEBALIK DUGAAN TUHAN...


ORANG yang ditimpa sesuatu bencana hendaklah tabah menghadapinya. Ia adalah ketentuan dan ujian Allah SWT kepada hambaNya. Ada banyak hikmat di sebalik sesuatu ujian atau dugaan yang diberikan Allah SWT kepada umat manusia.

Rasulullah SAW menerangkan dalam beberapa hadis mengenai perkara itu, antaranya: Abu Sa'id al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti atau kesusahan mengingatkan apa yang telah berlaku hinggakan tikaman duri yang mencucuknya, melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya sebahagian daripada dosanya." (HR Bukhari dan Muslim)

Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seseorang Islam yang ditimpa sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya." (HR Bukhari dan Muslim)

Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum, diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (HR At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi berkata, bahawa kedua-duanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Dia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila Aku menguji seseorang daripada hambaKu yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memujiKu kerana ujianKu itu maka sesungguhnya dia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa dia dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala kesalahan", dan Allah berfirman kepada malaikat penulis amal orang itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) ketika dia berkeadaan sihat." (HR Imam Ahmad)

Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata: 'Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku'." (HR Bukhari dan Muslim)

Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi 'Kaffarah' (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Sesiapa yang menyifatkan bala bencana yang menimpanya sebagai nikmat dan menerimanya dengan reda akan mendapat balasan pahala daripada Allah SWT, selain terhapus kekotoran dosa dan kesalahannya. Allah tidak memandang kepada paras rupa, tetapi melihat kepada hati dan amalan...
.

Tiada ulasan: