Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


07 April 2009

BERITA HARIAN: 'INILAH JALAN SUNNAH NABIKU'


‘Inilah jalan sunnah Nabiku’
.
SESEORANG yang berkeyakinan tinggi suka menggunakan kata-kata ‘inilah jalan hidupku’ apabila berdepan cabaran yang mahu menggugat idealismenya. Tetapi, adakah dia bersedia menggunakan istilah lebih tepat, ‘inilah jalan sunnah Nabiku’ atau ‘inilah jalan Nabi SAW’ untuk mewakili seluruh amal dilakukannya dengan membawa hati penuh cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW.
.
Seseorang mungkin akan mencapai tahap kecintaan utuh kepada Nabi SAW selepas membaca berpuluh-puluh kitab sirahnya daripada pelbagai perspektif kajian dibawa ulama. Ada pula gigih menguatkan keyakinan dengan menyelami hati Baginda SAW melalui ribuan hadis menjanjikan sentuhan kasih sayangnya.
.
Seperti seorang hamba Allah membaca al-Quran dan merasai rahmat Allah menitis ke dalam jiwa, begitu pula ketika ia membuka kitab hadis Nabi SAW seolah-olah dia rasa berhadapan dengan Baginda.
.
Mendengar sabdanya, berasa apa dirasa Rasulullah SAW. Gembira ketika Baginda SAW membawa khabar gembira, menangis bersama sahabat yang menangis, bersemangat ketika membaca sabda jihad dilaungkan, berwaspada saat Rasulullah berwasiat, meneliti setiap patah perkataan Baginda dengan berhati-hati dan penuh minat. Inilah cinta, hakikatnya bersimpul dalam ikatan ilmu, kajian, muzakarah, amal dan perjuangan menegakkan sunnah Rasulullah SAW.
.
Ironinya, ramai Muslim terjebak dalam memahami maksud sunnah, seolah-olah mereka menganggap sunnah itu adalah perkara yang dikaitkan dengan isu panas, konflik dan pecah belah dalam masyarakat. Perkara itu berbahaya kerana boleh jadi mereka sudah menghina tanpa sedar akan sunnah Rasulullah SAW.
.
Padahal, ancaman bagi sesiapa mencela sunnah Nabi SAW adalah berat seperti firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu mengolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang selalu berbuat dosa.” (Surah at-Taubah, ayat 65-66)
.
Celaan orang jahil mengenai poligami, isu wanita kelas kedua, tohmahan bidaah, wahabi, menuduh sesat, orang awam mencela ulama, semua itu perbuatan yang tidak memahami jalan hidup sunnah yang sebenar. Sehingga orang awam pun tanpa mereka sedari menconteng kesucian sunnah disebabkan keringnya ilmu.
.
Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk mewakili setiap keadaan manusia. Beliau adalah suami yang dalam tempoh lama hanya beristeri seorang wanita, iaitu Khadijah, ini adalah sunnahnya. Jadi jangan katakan tidak ikut sunnah bagi sesiapa yang memilih monogami sebagai jalan hidup kerana Rasulullah SAW pun mengamalkannya ketika hidup bersama Khadijah.
.
Baginda pula mengamalkan poligami yang juga sunnahnya bagi sesiapa kuat iman dan takut kepada Allah sehingga dia boleh berlaku adil. Ia diamalkan bagi menyelesaikan masalah wanita pada zamannya, bukannya untuk kepuasan nafsu lelaki.
.
Umat Islam sepatutnya tidak menganggap orang kaya dan terkenal itu tidak ikhlas dan tamakkan dunia. Kononnya mereka menganggap Baginda SAW adalah Nabi bagi orang miskin dan membenci harta tersimpan di rumah.
.
Padahal ketika Baginda diangkat sebagai Rasul, saat itu Rasulullah SAW sudah memiliki empayar perniagaannya bersama Khadijah dan dengan harta itu dakwah Islam berkembang. Bahkan, orang kafir Quraisy tetap mempercayai Baginda sebagai pemegang amanah harta mereka sehingga Baginda berhijrah.
.
Sirah Nabi SAW menceritakan bahawa menjadi kaya dan berkuasa adalah sunnah Rasul jika dipergunakan untuk kemajuan agama, tetapi hati dan perbuatan mesti berasa sentiasa miskin, tawaduk lagi warak kepada Allah supaya dunia tidak mudah menipu.
.
Sesungguhnya Muhammad SAW adalah Nabi bagi orang kaya dan miskin, teladan untuk lelaki monogami dan poligami, contoh bagi sesiapa memperjuangkan Islam dengan ilmu, harta, politik dan ekonomi. Sunnahnya umpama penunjuk arah berfungsi meluruskan jalan hidup dipilih setiap insan.
.
Isu bidaah dan wahabi pula dilontarkan bagai peluru mahu mematikan amalan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang suka memberi nama ‘wahabi’ kepada individu tertentu biasanya masuk dalam salah satu kategori, iaitu orang jahil tidak mengerti hukum hakam dan dalil syarak yang pelbagai atau orang alim yang dengki sesama ulama kerana inginkan pengaruh dunia.
.
Konflik wahabi dan bidaah boleh diubati dengan cara mendekati orang jahil dengan ilmu dan dalil kerana selama ini mereka mengenal Islam melalui pendekatan tengok dan ikut-ikutan saja tanpa didedahkan fakta serta dalil sahih mengikut al-Quran dan al-Hadis. Antara ulama berbeza pandangan pula mestilah dijalin semangat kejujuran, hormat menghormati, kasih sayang dan takut kepada Allah.
.
Menurut Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Shaydul Khatir, “Tabiat mendengki adalah sifat semula jadi manusia yang perlu diluruskan, apabila ia boleh membangkitkan sikap berlumba-lumba ke arah kebaikan maka ia menjadi dengki yang baik tetapi yang tercela apabila sifat ini melahirkan keinginan mahu mencelakakan orang lain sama ada dengan kata-kata ataupun perbuatan.”
.
Diharapkan tohmahan bidaah dan wahabi tidak sekali-kali menyurutkan langkah mereka yang mahu memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW. Sesungguhnya dalam diri Rasulullah SAW ada teladan baik dalam usaha menghadapi orang awam yang jahil.
.
Sahabat ramai yang alim, tetapi mereka tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat sebagai bentuk kekayaan ilmu, keluasan pemikiran, pandangan dan fahaman dalam Islam. Sunnah Rasul bukan terletak pada dalil hukum-hakam dan cara ibadat saja bahkan akhlak dan hubungan kemanusiaan dipamerkan Baginda sememangnya mesti diikut, disanjung dan diamalkan sebagai suatu sunnah yang turut dituntut.
.
Teladan dalam mencintai Rasulullah SAW bolehlah dilihat melalui kehidupan sahabat dan salafus salih. Mereka adalah generasi paling tahu mengenai Rasulullah SAW dan melalui merekalah kita tahu sunnah Baginda SAW.
.
Suatu ketika, Rasulullah SAW duduk bersama Umar dan sahabatnya. Lalu Umar berkata: “Wahai Rasulullah, dirimu sangat kukasihi melebihi segala-galanya melainkan diriku sendiri. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan beriman seseorang sehingga ia mencintai diriku melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Mendengar sabda Rasulullah ini Umar lantas berkata: Demi Allah, sekarang aku lebih mencintaimu daripada diriku sendiri. Rasulullah bersabda: Sekarang saatnya wahai Umar (iman kamu sudah sempurna).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
.
Imam Malik sudah mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dalam al-Muwatta’. Beliau pernah merasai gigitan kala 30 kali dalam suatu majlis ilmu tetapi masih membacakan hadis Rasulullah SAW seraya berkata: “Aku malu menghentikan bacaan hadis Rasulullah SAW semata-mata untuk kepentingan diriku.”
.
Sa’id bin Musayyab pernah ditanya suatu hadis, ketika itu dia dalam keadaan sakit tenat. Beliau menyuruh keluarganya mendudukkannya dan berkata: “Bagaimana mungkin aku membaca hadis Rasulullah SAW sedangkan aku dalam keadaan berbaring?”
.
Kasih sayang, cinta dan perjuangan ulama terhadap Sunnah Rasulullah SAW sudah berhasil menghidupkan kembali ajaran Baginda SAW di tengah-tengah umat. Sekali gus menghapus segala bentuk penyelewengan bertentangan sunnahnya.
.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya umat berhati-hati terhadap penyelewengan halus yang menyusup masuk dalam akidah mereka. Baginda bersabda yang bermaksud: “Janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam memujiku seperti yang dilakukan kaum Nasrani terhadap Isa Ibnu Maryam, sesungguhnya aku hanyalah hamba biasa dan katakanlah aku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
.
Umat Islam mesti meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sesuai dengan tuntutan al-Quran dan al-Hadis, bukannya mengikut hawa nafsu. Jika mereka melebihkan daripada sepatutnya, sesungguhnya jerat iblis sangat halus hatta di belahan dada orang alim, inikan mereka yang jahil.

(Sumber: Berita Harian, 7 April 2009)
.

Tiada ulasan: