Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


13 April 2009

HARTA KEKAYAAN DALAM ISLAM


IMAN adalah aset rohani manusia yang tidak ternilai harganya. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah SWT ditentukan dengan kadar keimanan yang ada pada diri masing-masing. Sesiapa yang paling kuat dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia dalam pandangan Allah.

Keimanan yang tinggi itu mahal harganya. Ia tidak mungkin diperoleh begitu saja tanpa berhadapan dengan perjuangan yang sukar. Ini kerana Allah SWT akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan dugaan hidup untuk melihat dengan jelas hasil daripada ujian itu, mutu iman setiap manusia, apakah ia emas atau tembaga. Allah SWT berfirman: "Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (QS Al-Mulk:2).

Sesungguhnya dalam hidup ini setiap individu tidak dapat lari atau dipisahkan daripada pelbagai ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan kekayaan serta sentiasa berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan. Amat rugi anggapan individu yang berasakan hidup ini hanya kesenangan semata-mata, suka dan bahagia atau hanya menganggap hidup ini penuh duka. Pada hal, setiap bahagia dan sengsara, untung dan rugi, sihat dan sakit dan segala macam kejadian yang menimpa, adalah perjalanan hidup yang sudah menjadi ketetapan Tuhan. Begitu juga dengan keadaan manusia, ada yang miskin, kaya atau kurus dan gemuk. Segala-galanya adalah fitrah alam yang diciptakan Allah SWT sebagai renungan dan ujian kepada hambaNya yang sentiasa berfikir terhadap kebesaran Pencipta.

Berkenaan dengan iman, ujian ketika hidup ini adalah ukuran terhadap usaha dan iman seseorang sama ada berjaya atau tidak. Semuanya terletak pada sejauh mana kemampuannya menghadapi ujian itu. Proses ini juga berlaku kepada iman dan takwa seseorang kepada Allah SWT seperti mana diterangkan Allah melalui firmanNya: "Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan dan demi sesungguhnya kami menguji orang terdahulu daripada mereka maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui orang berdusta." (QS Al-Ankabut:1~3).

Ayat ini memberikan pengertian bermakna berkaitan hubungan manusia dengan hidup sebagai hubungan ujian dan dugaan. Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan yakni dengan berkata "Kami sudah beriman kepada Allah...", sedangkan mereka belum diuji oleh Allah SWT. Ini kerana, setiap ujian dan dugaan yang dihadapkan Allah SWT kepada hambanya adalah garis penentu untuk menentukan siapa yang benar-benar beriman dan siapa hanya membuat pengakuan lisan, sedangkan dari segi amalannya mereka berdusta kepada Allah.

Sesungguhnya, ujian kesusahan dan kesakitan adalah ujian paling ringan, kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji kesabaran dan kerelaan seseorang menerima qadar dan qada' Allah SWT. Apabila ternyata sabar, maka Allah SWT akan menetapkan pahala dan seterusnya menghapuskan sebahagian daripada dosa atau dipertingkatkan darjat hingga ujian itu menjadi nikmat dan kurniaan yang besar dari Allah SWT untuk hamba-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Setiap orang Islam yang ditimpa bencana sama ada yang terkena duri atau lebih berat daripada itu, maka itu adalah semata-mata ujian, kerananya Allah akan hapuskan perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosanya sebagaimana pokok kayu menggugurkan daunnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Manakala, ujian Allah melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula adalah lebih berat daripada ujian kesusahan dan kesakitan kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian itu. Apabila diberi kekayaan dan kedudukan oleh Allah SWT, mereka terpesong lalu gagal menjadikan diri mereka sebagai Muslim yang sempurna yang dijadikan khusus oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepadaNya. Bertepatan dengan perkara ini, Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang suatu zaman atas umatku, bahawa mereka sangat sukakan lima perkara dan melupakan lima perkara yang berlainan dengannya. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan, mereka sukakan rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan manusia dan melupakan Tuhan Penciptanya." (HR Bukhari).

Dalam hadis lain pula, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan." (HR At-Tirmidzi). Daripada hadis ini, jelas bahawa ujian terbesar kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah ujian berupa harta-benda dan kekayaan. Harta-benda dan kekayaan menyebabkan banyak di antara manusia tergelincir daripada prinsip dan akidah Islam sebenar serta tidak dapat mempertahankan diri sebagai Muslim bermaruah tinggi dan berakhlak mulia.
.

Tiada ulasan: