ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia sebagai makhluk ciptaanNya dalam kehidupan mereka. Justeru, Allah SWT telah merangka peraturan dan undang-undang yang bersifat adil dan saksama kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, agama atau warna kulit. Maka, tidak akan ada seorang pun manusia yang akan merasa dirinya dizalimi atau ditindas sekiranya hukum Allah SWT ditegakkan di dalam masyarakat Islam. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman dalam surah Fathir, ayat 31 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan hambaNya lagi Maha Melihat dan Memerhatikan."
Keadilan adalah satu perkara yang menjadi harapan dan impian setiap manusia yang menghuni bumi Allah ini. Keadilan di sini bukanlah bermaksud kesamarataan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam kini. Sebaliknya, keadilan sebenarnya bererti 'meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya'. Yang lebih penting lagi keadilan merupakan antara unsur yang utama dan terpenting dalam mewujudkan suasana yang harmoni dan aman damai dalam sesebuah masyarakat. Apabila rakyat jelata melihat bahawa undang-undang dan hukum Allah ditegakkan dengan cara yang seadil-adilnya, mereka akan rasa hak-hak mereka terjamin dalam meneruskan kelangsungan hidup, mengutarakan pendapat, memperolehi layanan yang adil dan seterusnya menerima apa yang sepatutnya mereka terima. Maka tidak hairanlah bahawa Sayyidina Ali bin Abi Talib kwj pernah berkata: "Kekuasaan akan abadi bersama dengan keadilan dan sebaliknya akan binasa bila berlakunya kezaliman."
Sejarah Islam telah membuktikan kebenaran hal ini di mana pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, seorang wanita berketurunan kaya dari Bani Makhzum telah terbukti melakukan jenayah mencuri barang perhiasan. Kemudian, keluarganya dan beberapa orang pemimpin terkemuka Quraisy tersentak dengan kejadian tersebut dan mereka mulalah mencari jalan keluar agar wanita kaya tersebut terlepas dari hukum Allah yang telah ditetapkan iaitu potong tangan yang wajib dilaksanakan terhadap orang-orang yang telah disabitkan bersalah dalam jenayah tersebut. Perbuatan tersebut telah dilaporkan kepada Baginda SAW sebagai ketua negara dan telah diakuinya akan kesalahannya. Maka kaumnya itu khuatir jika Baginda SAW akan melaksanakan hukum Allah terhadap wanita kaya tersebut yang mana mereka pastinya akan menanggung malu dan rahsia mereka pula akan terbongkar juga akhirnya di khalayak ramai.
Oleh itu, kaum Bani Makhzum telah melakukan berbagai-bagai pendekatan termasuk merayu melalui keluarga Rasulullah SAW, namun ianya tidak berhasil. Akhirnya mereka bersepakat untuk melobi terus kepada Rasulullah SAW dengan menggunakan perantaraan orang tengah iaitu Usamah bin Zaid r.a. yang dianggap oleh mereka merupakan orang yang paling sesuai pada pandangan mereka dalam mengajukan permohonan pengecualian hukum Allah kepada Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi, Usamah adalah putera kepada anak angkat kesayangan Baginda SAW iaitu Zaid bin Harithah r.a. Begitu saja mendengar permohonan Usamah yang mewakili Bani Makhzum, serta merta wajah Baginda SAW merah padam sambil menahan perasaan marah dan terus mengecam Usamah dengan bersabda: "Apakah kamu hendak menolong orang-orang ini supaya aku tidak melaksanakan satu ketentuan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah?"
Kemudian Baginda SAW berdiri di hadapan himpunan orang ramai lalu bersabda dengan suara lantang: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya punca yang menyebabkan orang-orang yang terdahulu daripada kamu rosak binasa ialah kerana apabila ada di antara mereka seorang yang kaya dan mulia mencuri, dibiarkan sahaja (tidak dilaksanakan hukuman terhadap kesalahannya). Akan tetapi apabila yang mencuri itu seorang yang lemah iaitu rakyat jelata atau rakyat biasa yang tidak ada kedudukan dalam masyarakat, maka mereka akan melaksanakan hukuman yang sebenar-benar terhadapnya. Demi Allah! Andai kata Fatimah puteri Muhammad mencuri, sudah pasti aku akan potong tangannya terhadap kesalahannya." (Hadis riwayat al-Jama'ah)
Jelas di sini bahawa hukum Allah wajib ditegakkan pada setiap masa dan ketika tanpa mengira kedudukan, bangsa dan warna kulit. Semua manusia adalah sama di sisi hukum Allah. Orang kaya dan miskin, pemimpin dan rakyat, lelaki dan wanita, orang kuat dan lemah, semuanya tunduk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Yang paling menariknya, Baginda SAW sanggup mempertaruhkan nyawa puteri kesayangannya, Fatimah sebagai satu isyarat yang jelas betapa hukum Allah mesti ditegakkan dan juga mengatasi segala-galanya tanpa sebarang pengecualian terhadap para pemimpin, golongan bangsawan, orang kaya, malah sesiapa pun jua. Ketegasan yang diperlihatkan oleh Baginda SAW dalam menjulang hukum Allah ini menyingkap beberapa hikmah dan pengajaran yang boleh dimanfaatkan bersama oleh umat Islam di zaman ini. Kesemua ini tidak lain tidak bukan menggambarkan betapa Rasulullah SAW amat berpegang teguh dengan ajaran Islam dan memiliki prinsip yang mantap dalam mengembangkan syiar Islam di bumi Allah ini.
Antara hikmah yang terselit melalui kisah yang lalu ialah hukum Allah wajib ditegakkan di dalam setiap sendi masyarakat Islam agar roda kehidupan bermasyarakat dan juga bernegara berada di atas landasan yang benar dan lurus. Tambahan pula Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia dalam kehidupan sejagat. Oleh itu, tidak wajar sekiranya timbul sebarang perasaan keraguan atau syak wasangka terhadap hukum Allah sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Hikmah yang seterusnya ialah sebenarnya tidak ada tawar menawar atau pengecualian dalam menegakkan hukum Allah. Kita dapat melihat bagaimana melentingnya Rasulullah SAW terhadap Usamah yang cuba memohon pelepasan terhadap wanita kaya yang telah disabitkan jenayahnya. Ini menunjukkan hukum Allah ini tertinggi dan tidak mengenal bulu dan warna kulit. Semua manusia tidak terlepas dari hukum Allah jika disabitkan kesalahan jenayah masing-masing.
Selanjutnya, perlaksanaan hukum Allah ini lebih menjurus kepada menjamin keadilan di mana ianya didasarkan di atas asas persamaan semua manusia di hadapan hukum Allah. Akhirnya, apabila tertegaknya hukum Allah pastinya akan mendatangkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan di dalam masyarakat sehingga mereka mampu mengorak langkah dan menyusun strategi dengan penuh yakin serta bersemangat waja dalam menuju kehidupan yang diimpikan. Kegagalan dalam menegakkan hukum Allah bermakna masyarakat telah menempah kerugian dan hanya menanti masa dan ketika sahaja untuk menuju ke saat kehancuran dan kebinasaan. Pendek kata, kelangsungan ummah amat bergantung kepada penegakan hukum Allah dan juga neraca keadilan dalam sesebuah masyarakat.
Jika ditinjau di dalam al-Quran, terdapat rangkaian ayat suci yang menyeru kepada penegakkan hukum Allah dan juga keadilan kepada semua manusia, termasuk juga terhadap kedua-dua orang tua sendiri dan kaum kerabat. Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah An Nisa', ayat 135 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu; baik orang kaya atau miskin kerana Allah lebih dekat kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-belitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." Jelas dari mafhum ayat suci bahawa Allah SWT memberi amaran kepada umat manusia daripada terikutkan turutan hawa nafsu yang sentiasa menggoda ke arah kebinasaan.
Ahli sejarah Barat terkenal, Gibson dalam bukunya 'The Decline and the Fall of Roman Empire', ada menyatakan bahawa keruntuhan kuasa besar Romawi adalah berpunca dari ketidakmampuan para pemimpin dan rakyatnya dalam mengendali dan mengawal hawa nafsu. Justeru, mereka begitu mudah terjebak dalam perangkap kepentingan peribadi, kronisme, rasuah dan lan-lain lagi jenayah yang terkutuk. Undang-undang negara dikesampingkan dan keadilan tidak lagi menjadi agenda utama negara. Akibatnya, Empayar Romawi hancur binasa hanya kerana turutkan hawa nafsu yang bergelora.
Kesimpulannya, kisah silam sewajarnya dihayati dan diteladani dalam usaha umat Islam untuk mengembalikan martabat mereka sebagai umat yang terbaik. Untuk itu, hukum al-Quran dan hadis Rasulullah SAW semestinya dirujuk kembali dan diletakkan di tempat yang selayaknya sebagai tonggak terpenting yang mendasari kehidupan umat Islam. Masyarakat yang sejahtera di bawah bayangan keredhaan Ilahi adalah kerana mereka amat berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Wallahua'lam.
.
1 ulasan:
tiada masalah untuk merujuk kembali kepada hukum Al-Quran namun yng dibimbangi ialah masalahnya sejauhmana keadilan dapat diberikan dalam pelaksanaanya.
Pertukaran kepada undang2 hudud adalah satu bentuk pertukaran deraf dari undang2 manusia kepada undang2 Allah!! dan usaha itu adalah cukup baik tapi masalahnya adakah kita telah juga melihat kepada usaha perubahan dalam bentuk pentadbriannya? Kalau kita ubahsuai rumah secantik atau sebersih mana sekali pun bagi tujuan mewujudkan persepsi yang positif kepada tuan rumah tersebut namun kalau sikap tuan rumah itu yg tinggal di dalamnya tidak berubah dan masih bersikap negatif sudah tentu tiada gunanya!! Apa yang lebih cantik dan hebat adalah perubahab sikap dan tindakan manusia itu. Jika ini dapat berubah maka rumah yang cantik dan berseri itu akan lebih hebat dan ramai akan berkunjung untuk menjadi tetamunya. Hudud adalah sama seperti undang2 lain iaitu tidak bernyawa untuk secara otomatik melaksana dan menguatkuasakan keadilan. Hudud sama bentuk seperti undang2 lain yang diderafkan oleh manusia cuma bezanya hudud 'diderafkan' oleh Allah untuk kepentingan umatNya dan ianya lebih telus. Sesungguhnya Allah 'tidak turun' untuk hadir melaksana hudud serta menjadi hakim untuk mengadili manusia didunia tetapi oleh manusia yg diamanahkan untuk laksana dan adili menggunakan undang2Nya. Oleh itu jika benar caranya maka hudud ini akan diperakui sebagai undang2 yang hebat, sebaliknya, jika salah caranya, berlaku peenipuan, berkompromi dgn pihak berkuasa dan tak adil dalam menentukan hukuman serta perlaksanaannya maka bersedialah kepada para penyokong, pelaksana dan pentadbir hudud ini dimana mereka kelak akan menjawabnya di hadapan mahkamahh Allah atas alasan mempermain dan menghina hudud Allah!!
masalahnya terdapat banyak masyarakat yang masih kuat dengan budaya feudal maka hudud dalam masyarakat ini akan gagal. seperti di malaysia. Misalnya tidak ada seorang ulama termasuk PAS yang berani menegur pemerintah mereka, baik sultan dan raja. Ini keranak pemikiran taat kepada raja dan menjadi 'hamba' mereka masih lagi membeku dalam benak mereka!!
Catat Ulasan