Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


03 April 2009

SEBENARNYA JIN TAKUT KEPADA MANUSIA...


Di antara sifat jin adalah merasa takut kepada manusia kecuali jika manusia itu mengagungkannya, maka sebaliknya akan terjadi.

Mujahid berkata, "Sesungguhnya jin itu sangat takut kepada manusia sebagaimana manusia juga takut kepada mereka. Demikian dengan syaitan yang lebih takut kepada salah seorang dari kamu (yang beriman). Kerana itu, jika ia memperlihatkan dirinya kepada kamu, janganlah kamu takut kerana memikirkan ia lebih berkuasa dari kamu, tetapi bersikap keraslah kepada mereka, nescaya mereka akan pergi. Aku (Mujahid) pernah menyerangnya dan menikamnya (sewaktu cuba menggangguku dalam solat malam) hingga dia jatuh dan terdengar olehku suara jatuhnya. Setelah kejadian itu aku tidak lagi pernah melihatnya."

Al-Athby pernah menjelaskan bahawa Ibn Zubair pada suatu ketika pernah melihat seorang laki-laki yang pendek sekali, tingginya hanya dua jengkal dan sedang menaiki untanya sambil katanya: "Saya adalah Izib". Ibn Zubair bertanya: "Izib tu apa?" Jawabnya: "Izib adalah seorang laki-laki dari kalangan jin". Dengan cepat Ibn Zubir memukul jin itu dengan cambuk sehingga ia lari tunggang langgang. Sebaliknya jika jin melihat bahawa manusia memohon perlindungan kepada mereka kerana takut, maka mereka pun menambahkan lagi rasa takut yang ada di hati manusia.

Qatadah berkata: "Lalu mereka (jin) menambahkan rasa takut itu dan dengan demikian jin tersebut bertambah berani kepada mereka". Rasa takut manusia itu seolah-olah memberikan kekuatan atau membantu syaitan memperlihatkan diri dalam bentuk yang menakutkan manusia. Demikian juga bila seseorang itu jauh dari berzikir kepada Allah, lalai dari melaksanakan tuntutan syariat (seperti meringan-ringankan solat, membuka aurat dan sebagainya), dalam hadas, berjalan di tempat-tempat sunyi atau kuburan pada malam hari tanpa teman, maka ia mudah terdedah kepada gangguan jin.

Nabi SAW pernah menegah seorang sahabat dari mengucapkan: "Nafsasy-syaitan". (meyakini kejadian itu disebabkan oleh perbuatan syaitan) selepas baginda terjatuh dari keledainya. Sabda baginda: "Maka janganlah kamu berkata, musibah itu (atau sebarang penyakit) dikeranakan oleh jin/syaitan, kerana apabila engkau mengucapkan 'Nafsasy-syaitan', maka ia akan bertambah besar. Dan syaitan akan berkata, "Dengan kekuatan akulah, aku dapat membanting (menimpakan demikian ke atasnya). Akan tetapi apabila engkau mengucapkan Bismillah, pastilah dia akan menjadi semakin kecil iaitu sebesar lalat." (HR Imam Ahmad)

Hasbunallahu Wani' Mal Wakiil... Wallahu a'lam.
.

Tiada ulasan: