Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


20 April 2009

JANGAN KATAKAN KAMU BERIMAN SEBELUM DIUJI...


DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : "Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya."

Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan malaikatNya yang tidak pernah menderhaka dan tetap melaksanakan apa yang Allah SWT perintahkan kepada mereka untuk melakukan pelbagai ujian dan dugaan terhadap hamba-hambaNya. Dengan dugaan dan ujian ini, diharapkan akan terkeluarlah suara hamba itu. Namun begitu, sekiranya tidak terkeluar suara hamba itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sesuatu yang tersembunyi dalam hati hambaNya. Sesungguhnya kehidupan ini tidak sunyi daripada kesenangan dan kesusahan, kesukaan dan kedukaan yang silih berganti. Oleh itu, barang sesiapa yang beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan, kemewahan semata-mata atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya, itu adalah salah.

Melalui hadis di atas, Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah sunnatullah. Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan dugaan daripada Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannya. Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan. Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka perlulah dinilai ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana mereka telah mengaku diri beriman, tentulah Allah SWT akan menguji sejauh mana keimanan mereka terhadapNya. Dalam hal ini, Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah hanya sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan. Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: "Kami telah beriman..." Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak terhadap hati manusia.

Dalam ayat lain, Allah SWT menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan dugaan. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya." (QS Al-Kahfi:7-8). Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan Allah SWT mendatangkan pelbagai ujian ke atas hambaNya adalah untuk menilai siapakah di antara hamba-hambaNya yang terbaik. Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah. Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada kerana ujian dan dugaan akan datang kepada mereka dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan olehNya bermaksud: "Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35).

Sebenarnya ujian Allah SWT ke atas hambaNya dengan nikmat harta kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian dengan bencana, seksaan dan kesusahan. Ini kerana berapa ramaikah orang yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan kecelakaan kerana gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat sewajarnya. Kekayaan yang dimiliki akan diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan."

Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan, hinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan memiliki segala-galanya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali." (QS Al-Alaq:6-8) Ayat ini menegur sikap manusia yang angkuh dan sombong yang menganggap mereka memiliki segala-galanya dan boleh melakukan apa saja selepas mendapat kekuasaan dan pangkat dalam masyarakat. Pada hal, apa yang dimiliki hanya sedikit daripada kurniaan Allah SWT kepada para hambaNya. Rasulullah SAW bimbang kepada umatnya yang diulit kemewahan yang melupakan Allah. Ini kerana kehancuran umat terdahulu adalah kerana kemewahan. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu." (HR Bukhari)

Ujian berat bagi kaum lelaki ialah ujian terhadap wanita. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: "Sepeninggalanku tiadalah yang ujian yang lebih berbahaya kepada kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita." (HR Bukhari) Ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir pula ialah mengenai akidah dan agama. Ini kerana, ramai orang yang mengaku dirinya Muslim, beriman tetapi setelah diuji Allah akan iman dan agamanya dengan pelbagai cubaan, ternyata ramai antara mereka yang lemah dan tergelincir daripada landasan yang benar. Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan antara manusia ada yang berkata: "Kami beriman kepada Allah." Tetapi apabila mendapat gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang pertolongan daripada Allah, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami berserta dengan kamu (kaum mukmin)." Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beriman dan benar-benar mengetahui orang yang munafik." (QS Al-Ankabut:10-11).

Oleh itu, sekiranya diuji Allah, hendaklah kita bersabar kerana dengan bersabar kita akan mendapat ganjarannya iaitu dihapuskan dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik lelaki atau wanita yang mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa." (HR At-Tirmidzi)

Daripada huraian atas dapat disimpulkan, ujian yang Allah SWT turunkan ke atas hambaNya mempunyai pelbagai bentuk. Ada ujian yang menimpa tubuh, anak, harta kekayaan, pengaruh, kekuasaan, pangkat, akidah dan sebagainya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Tujuan Allah memberi ujian itu untuk melihat siapakah orang yang benar-benar beriman denganNya, untuk menghapuskan dosa hambaNya serta menguji kesabaran hambaNya supaya benar-benar menjadi seorang Mukmin berkualiti.
.

6 ulasan:

Asiah yusro berkata...

minta izin ambil sedikit ilmu

rahman berkata...

Subahanllah, perkongsian ilmu yg baik tuan..moga Allah merahmati tuan, mengampuni dosa dan kesalahn tuan dan ahli keluarga tuan..jazakallah hu khairan khasira..

Muhammad Al-Fath berkata...

nice share.. may i share it..

nazura berkata...

Jazaqallah...mohon share ye...

Qika2393 berkata...

Subahanallah.syukran atas perkongsian ilmu dari anta...semoga dakwah diredhai ILLAHI..mohon share:)

extreemblank berkata...

terimakasih atas artikel yang sangat bermanfaat.