Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


29 April 2009

HAJARUL ASWAD


Ketika Nabi Ibrahim AS bersama anaknya, Nabi Ismail AS membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim AS bersama Nabi Ismail AS bertungkus-lumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung.

Dalam sebuah kisah disebutkan bahawa apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim AS masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim AS lalu berkata kepada Nabi Ismail AS: "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail AS pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail AS sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril AS memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail AS dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim AS merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau lalu menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim AS bertanya: "Dari mana kamu dapat batu ini?" Nabi Ismail AS menjawab: "Batu ini ku terima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)." Nabi Ibrahim AS mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail AS.

Sehingga sekarang Hajarul Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa saja yang bertawaf di Kaabah disunatkan mencium Hajarul Aswad. Kaum muslimin sentiasa sahaja berebut-rebut ingin mencium Hajarul Aswad itu. Yang tidak mampu mendekatinya, memadailah dengan memberikan isyarat lambaian tangan saja.

Apabila manusia mencium batu itu, maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajarul Aswad itu putih bersih, tetapi akibat banyaknya dosa-dosa umat manusia, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'lam.
.
Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajarul Aswad itu merupakan tempat diperkenankan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajarul Aswad supaya tidak menyekutukan Allah SWT, sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah.

Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. apabila mencium batu itu (Hajarul Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."
.

Tiada ulasan: