Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


15 April 2009

IMAM ABU HANIFAH, PENGASAS MAZHAB HANAFI


Imam Abu Hanifah adalah pengasas Mazhab Hanafi. Beliau dilahirkan pada tahun 80 Hijrah (699 Masihi) di sebuah perkampungan bernama Anbar di sekitar bandar Kufah, Iraq. Beliau hidup di zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik Bin Marwan, Khalifah Bani Umaiyah yang kelima. Nama asalnya ialah Nu'man bin Sabit bin Zautha bin Mah.
.
Sejak kecil lagi beliau telah menunjukkan kecerdasan akal fikiran yang sungguh mengkagumkan. Nu'man kemudiannya dikenali dengan panggilan Abu Hanifah(Hanif erti cenderung/condong kepada agama) kerana ketekunannya beribadah. Imam Abu Hanifah dikatakan banyak belajar pelbagai ilmu feqah, tafsir, hadis dan tauhid dari para ulama yang alim. Di antara ulama yang menjadi gurunya selain daripada Imam Hammad ialah Umar bin Zar, Atha bin Abi Rabih, Imam Nafi bin Umar dan Muhammad Al-Baqir. Beliau juga berkesempatan menimba ilmu dari beberapa orang sahabat Nabi SAW yang masih hidup seperti Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abi Aufa dan Sahal bin Saad.
.
Imam Abu Hanifah juga dikenali dengan sifatnya yang sangat mengasihi guru-gurunya. Beliau berkata bahawa beliau tidak akan pernah melupakan mendoakan guru-guru dalam setiap doa yang dipohonkan kepada Allah SWT. Para ulama besar yang menjadi gurunya tidak kurang daripada 200 orang. Bila salah seorang daripada mereka itu meninggal dunia, Imam Abu Hanifah dilantik untuk mengantikannya. Banyak majlis ilmu yang dipimpin oleh beliau. Sejak itulah nama dan peranan beliau semakin dikenali sehinggalah beliau menjadi ulama besar. Beliau juga dihormati dan dikasihi oleh orang ramai kerana kewibawaannya, kewarakan dan ketaqwaannya.
.
Imam Abu Hanifah wafat dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah (767 Masihi) dalam usia 70 tahun iaitu semasa pemerintahan Khalifah Abu Jaafar Al Mansur, Khalifah Abbasiyah yang kedua. Jenazah ulama agung ini dimaqamkan dengan penuh penghormatan oleh puluhan ribu umat Islam di tanah perkuburan Al-Khaizaran di kota Baghdad.
.
Sufyan At-Tsauri pernah ditanya kenapa dia sangat menghormati dan memuliakan Imam Abu Hanifah. Beliau menjawab: "Orang itu sangat alim, dalam ilmu agama. Selain menghormati ilmu agamanya, saya menghormati umurnya. Selain menghormati umurnya, saya menghormati ilmu fiqihnya yang amat luas dan juga sifat warak dan taqwanya."
.

Tiada ulasan: