Berikut adalah Motivasi Mutiara, Dr Danial pada 15 Februari 2005, jam 7.30 pagi di Radio Malaysia Pulau Pinang. ( RMPP )
"Assalamulaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan lagi Maha Penyayang. Tuan-tuan dan puan-puan, para peminat RMPP yang dimuliakan. Pada 3 sesi yang lepas saya telah bicarakan perkataan Imam Al-Ghazali berhubung dengan golongan yang tertipu. Saya telah bicarakan tentang ahli ilmu yang tertipu, ahli Ibadah yang tertipu dan ahli sufi yang tertipu. Pada pagi ini, Dr Danial akan berbicara tentang golongan yang ke-4 yang juga tertipu mengikut pandangan Imam Al-Ghazali Rahimatullahu Taala."
"Siapakah mereka. Mereka itu ialah golongan hartawan yang tertipu. Mereka kaya raya. Mereka golongan korporat. Gaji mereka besar, tetapi mereka terpedaya. Berkata Imam Al-Ghazali: Sebahagian daripada hartawan ini berbangga kerana dapat membangunkan masjid-masjid, madrasah, jambatan dan seumpamanya sambil mengukir nama-nama mereka pada bangunan-bangunan itu. Mereka menjangka dengan melakukan demikian mereka berhak mendapat keampunan daripada Allah. Sedangkan sebahagian dari harta-harta yang mereka gunakan itu diperolehi dari sumber yang haram. Sebagai contohnya daripada bisnes yang melibatkan riba, rasuah. Tiba-tiba mereka merasakan wang rasuah, riba itu akan jadi bersih jika sebahagian daripadanya digunakan untuk membuat madrasah. Mereka tertipu sebab mereka sebenarnya masih belum selamat walaupun itu mereka lakukan."
"Seterusnya berkata Al-Ghazali: Mereka tertipu sebab yang diwajibkan ke atas mereka bukan membina bangunan itu. Yang diwajibkan secara dasarnya ialah menjauhi harta yang haram. Itu yang Allah mahu. Jauhi harta yang haram dan bukan membuat bangunan tetapi mereka mengambil yang haram untuk membuat bangunan dan mengharapkan ia akan melepaskan mereka dari azab Ilahi. Mereka silap faham tentang Quran dan Sunnah. Seterusnya Al-Ghazali berkata, perbuatan mereka seperti itu sebenarnya maksiat. Sebahagian daripada mereka pula berbangga kerana berjaya mencantikkan masjid-masjid dengan perbagai hiasan. Sedangkan wang yang dilaburkan itu sepatutnya digunakan untuk membantu fakir miskin yang terdapat di kawasan itu."
"SubhanAllah tuan-tuan dan puan-puan. Ini suatu permikiran yang cantik. Pemikiran yang sebenarnya boleh menginsafkan kita bersama sebab kadangkala ada hartawan ini dia hendak menghiaskan masjid sedangkan yang utamanya bukan itu. Ada hartawan yang sanggup melaburkan wang untuk masukkan air-cond di surau, masjid tertentu dan dia merasakan dengan pelaburan itu insyaAllah dia akan mendapat pahala yang tidak putus-putus. Kata Al-Ghazali, sorry, perbuatan kamu sia-sia sebab kamu hanya menghiaskan masjid, memasukkan air-cond dan seumpamanya sedangkan ia tidak diwajibkan, ia tidak dipandang penting oleh agama. Yang perlu diutamakan ialah fakir miskin di kampung itu diberikan wang untuk memampukan mereka untuk hidup. Itu lebih penting. Tetapi tidak, kita buat yang kurang penting."
"Lainlah tuan-tuan dan puan-puan, jika yang penting sudah beres kemudian kita rasakan nak hiaskan sedikit lagi masjid dan surau, silakan. Tetapi andaikata ada perkara yang lebih penting yang perlu kita bereskan tetapi kita tidak melakukannya dan kita buat yang kurang penting kemudian kita mengatakan kita baik, kita tertipu. Itu yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali. Kata beliau lagi: Sebahagian daripada hartawan ini sanggup menghabiskan wang untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah hampir setiap tahun. Tahun ini pergi umrah, tahun hadapan umrah lagi. Subhanallah sebab apa. Duit banyak. Keluarkan wang pula untuk orang lain menunaikan umrah. Kata Al-Ghazali ini semuanya perbuatan orang yang tertipu. Setiap tahun mereka melakukan ibadah haji dan umrah sedangkan wang itu sepatutnya digunakan pada perkara yang lebih utama seperti membantu mereka yang memerlukan sebagai contoh untuk program-program pendidikan anak-anak remaja yang ramai terbabas pada hari ini, itu yang lebih utama. Tetapi tidak mereka menghabiskan 4 ~ 5 ribu setiap tahun untuk menunaikan umrah sedangkan umrah itu sunat dan hanya untuk diri sendiri, tetapi melaburkan wang untuk aktiviti pendidikan remaja, membuka kelas-kelas agama di kampung untuk remaja khasnya, itu yang wajib."
"Lantas tuan-tuan & puan-puan yang dimuliakan. Memang cantik sekali peringatan Al-Ghazali ini. Terutamanya bagi kita yang kaya-raya. Kita bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita hartawan dan jutawan. Saya mendoakan kepada mereka yang jutawan dan hartawan ini agar wang yang diperolehi ini diberkati oleh Allah dan semoga Allah tambahkan rezeki kepada anda dari masa ke semasa, ini doa Dr Danial."
"Tetapi ingat jangan jadi jutawan, hartawan yang tertipu yang hanya mementingkan perhiasan luaran dan tidak memberi tumpuan kepada keutamaan. Akhirnya masjid ada air-cond tetapi di sekeliling masjid wujudlah fakir-fakir miskin yang tidak ada makanan dan minuman setiap hari. Jangan jadi seperti itu. Semoga insyaAllah wang kita, kita salurkan kepada ibadah yang betul dan semoga insyaAllah wang kita itu disalurkan kepada keutamaan, bukan kepada perhiasan yang sebenarnya tidak penting."
(Sumber: Internet)
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan