Berikut adalah beberapa cara menyuburkan jiwa:
1. Muraqabah selalu kepada Allah SWT
Apabila seseorang muslim yang hendak melakukan sesuatu pekerjaan mengetahui bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan selalu bersamanya dan juga mengawasi gerak-gerinya, insyaAllah dia akan sentiasa bertindak mengikut apa yang ditunjuki oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan sunnah RasulNya.
2. Selalu mengingati kematian dan kehidupan selepasnya
Seseorang itu harus menanamkan di dalam hatinya akan ajal yang pasti menjemputnya di dalam waktu yang singkat mahupun lama. Dia harus juga membayangkan syurga yang cantik dan indah. Dengan cara ini, hati akan sentiasa peka dan akan menimbulkan ketakwaan kepada Allah SWT untuk menghadapi kematiannya.
3. Membayangkan hari akhirat dan kejadian di dalamnya
Hendaklah membayangkan peristiwa besar yang akan terjadi di akhirat nanti seperti kenikmatan ahli syurga dan kesengsaraan ahli neraka. Ini akan melahirkan rasa tunduk, tawadhuk dan khusyuk. Ini juga akan merangsang seseorang untuk bersungguh-sungguh beribadah bagi mencapai keredhaan Allah SWT.
4. Memperbanyakkan tilawatil Al-Quran serta memahaminya
Tilawah yang diiringi kefahaman tentang apa yang difirmankan Allah SWT di dalam Al-Quran akan melahirkan kekhusyukan, ketakwaan, mempertajamkan mata hati dan menyembuhkan penyakit pada hati.
5. Hidup akrab bersama Rasul dengan mengikuti sirahnya
Rasulullah SAW merupakan uswatun hasanah dan idola yang terbaik bagi ikutan umat Islam. Sebagai umatnya, kita harus menyambung lidah para Nabi (dakwah dalam menegakkan Islam) serta mencontohi perilaku Baginda SAW semampu yang boleh. Antara beberapa contoh kehidupan Nabi SAW yang harus diteladani iaitu Ibadahnya, Kezuhudannya (cara Baginda berinteraksi dengan dunia), Ketaqwaannya (takutnya kepada Allah), Kesabaran dan kelembutannya, Keteguhannya dalam memegang prinsip, Kekuatan fizikalnya dan Keberaniannya.
6. Bersahabat dengan orang-orang pilihan yang berhati bersih dan berilmu pengetahuan dien (agama)
Untuk menjadi seorang Islam yang baik tidak cukup dengan hanya tekad dan usaha sendiri tetapi memerlukan sokongan daripada orang lain. Oleh itu kita perlukan teman2 yang mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk peribadi mukmin. Antara ciri-ciri teman yang baik ialah Komitmen dengan syariat Islam dengan niat yang tulus ikhlas, jujur dalam ketaatan dan istiqamah (berterusan) dalam beramal. Sentiasa menghindari kemaksiatan, bidaah ataupun hal-hal yang menyalahi syarak. Sentiasa menyibukkan diri dengan mencari kelemahan dan aib diri sendiri. Beramar makruf nahi mungkar dengan landasan kekuatan iman dan keberanian. Tampak cahaya keimanan di wajah mereka. Sentiasa memerhatikan permasalahan umat Islam dan bersemangat menghadapi pelbagai masalah yang dihadapi umat. Jujur demi tanggungjawab dakwah dan memiliki semangat yang tinggi dan ikhlas dalam jihad dan islahul ummah (memperbaiki ummah).
7. Zikir di setiap waktu dan keadaan
Didalam Al-Quran dan hadis banyak sekali kita temukan perintah untuk berzikir. Hal ini kerana zikir merupakan suatu perkara yang penting. Zikir merupakan wasilah diri kepada Allah SWT. Dengan zikir, insyaAllah hati akan menjadi tenang dan jernih.
8. Menangis disaat berkhalwat kerana takut kepada Allah SWT
Tangisan seorang mukmin yang sejati lahir daripada rasa takut kepada Kematian sebelum bertaubat, Istidraj (pemberian tanpa redha) dengan berbagai nikmat yang menyebabkan suul khatimah (mati tidak dalam iman yang benar kepada Allah), Sakaratul maut dan tercabutnya roh, Pertanyaan dua malaikat dan siksa kubur, Hari hisab dan saat menyeberangi titian sirat, Neraka dan pelbagai siksanya, dan Diharamkan baginya syurga dan pelbagai kenikmatan. Dengan perasaan sedih, hati akan menjadi kuat dan selalu berusaha keras untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT.
9. Bersungguh-sungguh menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan ibadah-ibadah sunat
Semakin dekat seseorang hamba kepada Allah SWT dengan melakukan amalan sunat seperti qiamullail (berjaga malam untuk beribadah) & amalan sunat lainnya, maka semakin kuat pulalah jiwanya.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan