Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


07 Februari 2009

APAKAH ITU SUNNAH?


SUNNAH mengikut bahasa ialah 'Jalan yang dilalui sama ada terpuji atau tidak'. Juga bermaksud 'Suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik'.

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu (yakni kaum Yahudi) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dhab (serupa binatang biawak) nescaya kamu memasukinya juga."(HR Muslim)

Baginda juga bersabda: "Barangsiapa menjalani suatu sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya pahala sunnah itu dan pahala yang mengerjakan dengannya hingga hari kiamat dan barangsiapa mengadakan suatu sunnah (perjalanan) yang jahat (buruk) maka atasnya dosanya dan dosa orang yang mengerjakan dengannya hingga hari kiamat." (HR Bukhari dan Muslim)

Jelaslah di sini bahawa sunnah itu diertikan sebagai perjalanan, sama ada baik atau jahat. Sunnah mengikut istilah hadis ialah 'Segala yang dipindahkan dari Nabi SAW baik yang merupakan perkataan, perbuatan mahupun yang merupakan taqrir, sebelum Nabi SAW dibangkitkan menjadi Rasul mahupun sesudahnya'. Kebanyakan ahli hadis menetapkan bahawa pengertian yang demikian adalah sama dengan pengertian hadis. Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul ialah 'Segala yang dipindahkan dari Nabi SAW sama ada perkataannya dan perbuatannya, mahupun taqrirnya yang bersangkutan dengan hukum'. Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabda baginda: "Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan sunnah RasulNya." (HR Malik)

1.Contoh sunnah (hadis) perkataan: "Segala amal itu dengan niat." (HR Bukhari, Muslim dan sekelian ulama hadis)

2.Contoh sunnah (hadis) perbuatan: "Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang." (HR Bukhari dan Muslim)

3.Contoh sunnah taqrir: a) Nabi SAW membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredhaannya. b)menerangkan kebagusan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.

Contoh sunnah taqrir pertama: Nabi SAW membenarkan ijtihad para sahabat mengenai solat Asar di Bani Quraizah dengan sabdanya: "Janganlah bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah." (HR Bukhari). Sebahagian sahabat memahamkan menurut 'larangan' lalu mentakhirkan solat Asar itu sampai selepas Maghrib. Namun ada sebahagian yang lain yang memahamkan bahawa yang dimaksudkan ialah bergerak cepat ke Bani Quraizah, lalu mereka mengerjakan solat Asar pada waktunya sebelum tiba ke Bani Quraizah. Apabila berita tentang kedua-dua perbuatan tersebut sampai kepada Nabi SAW, baginda hanya berdiam diri tidak membantah.

Contoh sunnah taqrir kedua: Diriwayatkan bahawa Khalid Al-Walid r.a. pernah memakan Dhab (serupa biawak) yang Nabi SAW sendiri enggan memakannya. Maka bertanya sebahagian sahabat: "Adakah diharamkan makannya, ya Rasulullah?" Lalu Nabi SAW bersabda: "Tidak! Cuma binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar kepadanya."

Pernah juga dinamakan sunnah itu suatu yang ditunjuki oleh dalil syarak, baik berdasarkan dalil Al-Quran ataupun berdasarkan hadis, mahupun berdasarkan ijtihad para sahabat, seperti mengumpulkan mashaf Al-Quran dan menyuruh manusia membaca menurut suhuf Uthmani dan seperti membukukan ilmu (menyusun dan mengarangnya).

Lawan bagi sunnah adalah 'BIDAAH'. Inilah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi SAW: "Berpeganglah kamu sungguh-sungguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang mendapat petunjuk sesudahku." Ulama fiqh berpendapat suatu yang diterima dari Nabi SAW dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan 'sunnah'. Imbalannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah (dibolehkan). Talak yang dijatuhkan dalam keadaan haid menurut mereka dinamakan 'Talak Bidaah'.

Imam Syafie r.a. mengatakan bahawa sunnah itu ialah sesuatu yang dipahalai orang yang mengerjakannya, tidak disiksa orang yang meninggalkannya*. (*Menurut ulama Mazhab Hanafi, sunnah itu ialah sesuatu yang disunnahkan oleh Nabi SAW atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya seperti azan dan berjamaah)
.

Tiada ulasan: