Beberapa langkah utama yang mesti dijaga oleh setiap Mukmin untuk menjaga kesejahteraan imannya adalah seperti berikut:
1. Menuntut Ilmu
Orang yang mencari ilmu untuk dijadikan bekalan di dalam perjalanan hidup untuk Hari Kemudian dan berniat untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata, maka ia termasuk dalam golongan orang-orang yang bakal memperolehi keselamatan dan kejayaan. Imam Al-Ghazali menyatakan: "Yang paling utama sekali adalah waktu kamu digunakan untuk menambah ilmu yang berguna dan bermanfaat terhadap Deen, iaitu ilmu yang dapat menghantar kamu menuju ketaqwaan kepada Allah, membuka kesedaran kamu untuk menyaksikan segala keburukan yang terdapat di dalam dirimu. Memperdalamkan makrifat terhadap ibadah kepada Allah. Mengurangkan hasrat kamu yang berlebih-lebihan terhadap dunia dan menambah penglibatan dirimu terhadap kehidupan di akhirat kelak. Ilmu ini dapat membuka luas mata hatimu terhadap cacat cela segala macam amal perbuatanmu, sehingga kamu dapat menjaga jangan sampai berulang lagi perbuatan yang buruk, malah membuat kamu lebih waspada dan berhati-hati sekali terhadap godaan-godaan syaitan dan tipu dayanya."
2. Mentaati Perintah Allah
Taat itu maksudnya ialah menurut atau patuh kepada peraturan-peraturan dan ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Perintah-perintah Allah itu terdiri daripada amal-amal yang wajib dan sunat. Amal-amal yang wajib adalah merupakan amal pokok yang paling penting bagi menggerakkan setiap urusan serta membawa manusia ke jalan yang selamat dan bahagia. Amalan-amalan sunat pula merupakan keuntungan yang memberikan dan mengangkat darjat kepada kejayaan dan kemuliaan. Dalam mentaati perintah Allah SWT, seseorang Mukmin mestilah menunaikan kewajipan-kewajipan yang telah difardhukan kepadanya seperti solat, puasa pada bulan Ramadhan, menunaikan haji dan mengeluarkan zakat. Demi untuk memastikan keempat-empat fardhu ini hidup di dalam dirinya hendaklah ia menyeru manusia kepada perlaksanaannya serta melarang manusia dari mengabaikannya. Usaha ini dinamakan sebagai amru bil ma'ruf wa nahu 'anil munkar. Oleh itu sekiranya tugas ini tidak dilaksanakan dengan sempurna, maka menjadi kewajipan kepadanya untuk melaksanakannya. Di samping melakukan perkara-perkara yang fardhu, seseorang Mukmin itu hendaklah meningkatkan dirinya bagi melaksanakan amalan-amalan sunat. Amalan-amalan yang sunat ini begitu luas ruang lingkupnya. Oleh itu perkara yang paling penting dalam melaksanakan amalan-amalan sunat ini hendaklah ia berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.
3 . Menjauhi Maksiat
Seorang Mukmin itu juga mestilah menjauhi dirinya dari maksiat. Memandang berat terhadap dosa-dosa besar, berwaspada terhadap dosa-dosa kecil dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhinya. Imam Al-Ghazali memberi peringatan: "Di dalam tuntutan Deen terdapat dua perkara yang sangat penting untuk diperhatikan: Pertama, meninggalkan dan menjauhi segala sesuatu yang dilarang dan diharamkan. Kedua, berbuat taat dan menunaikan segala perintah, beribadah dan berbakti kepada Allah. Untuk menjadikan Iman jauh dari pengaruh maksiat hendaklah seseorang Muslim itu menjaga adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW." Ini kerana kebiasaannya syaitan itu menyerang manusia dari pintu-pintu yang terlemah di dalam dirinya. Oleh itu hendaklah ia membentengi dirinya daripada serangan-serangan syaitan. Adab-adab ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, ia bersangkutan dengan:
a. Mata dan apa yang dilihatnya.
b. Telinga dan apa yang didengarinya.
c. Lidah dan apa yang diucapkannya.
d. Perut dan dari sumber yang bagaimana dimasukkan ke dalamnya.
e. Tangan dan apa yang dilakukannya.
f. Kaki dan ke mana diarahkannya.
g. Kemaluan dan bagaimana dijaganya.
h. Hati dan dosa-dosa yang dilakukannya.
Kita berdoa semoga Allah sentiasa menggolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang beriman dan menjauhkan diri kita daripada menyekutukan-Nya.
Dipetik dari kitab 'Bidayatul Hidayah' oleh Imam Al-Ghazali
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan