Para ulama telah sepakat (ijma') bahawa hadis Rasulullah SAW adalah dasar bagi hukum Islam selepas Al-Quran dan umat Islam wajib mematuhinya sebagaimana kewajipan mematuhi Al-Quran.
Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang memberi penekanan yang tegas bahawa hadis itu adalah suatu dasar bagi syariat Islam yang mesti ditaati sebagaimana Al-Quran wajib ditaati. Umat Islam tidak boleh membelakangi, meninggalkan atau menentang hukum Al-Quran, Hadis atau kedua-duanya sekali walau dengan apa jua alasan sekalipun. Berikut adalah antara ayat-ayat Al-Quran yang menekankan peri pentingnya mematuhi RasulNya:
"..Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka hendaklah kamu terima, dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu hentikan. Dan patuhlah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat keras siksaanNya." (QS Al-Hasyr:7)
"Dan turutlah perintah Allah dan RasulNya supaya kamu mendapat rahmat." (QS Ali Imran:132)
"Katakanlah: Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sekiranya mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang yang tidak beriman." (QS Ali Imran:32)
"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata." (QS Al-Ahzab:36)
Jelaslah di sini bahawa kepatuhan kepada Rasulullah SAW adalah wajib yakni sama ertinya mematuhi hukum Allah SWT. Keingkaran terhadap Rasulullah SAW adalah satu kesalahan yang membawa kepada kesesatan, terpesong dari jalan yang benar.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan